Wednesday, 30 December 2015

Malaysia Day @ Athens, Ohio

Assalamu'alaikum dan selamat berjalan,

Pada 24 Disember 2015, saya sekeluarga bersama Sdr Azhari ke Athens, Ohio dari Philadelphia. Rancangan ini rancangan Sdr Azhari, memandangkan beliau sedang sambung PhD bawah Prof. Jayum di UPM. Dipermudahkan Allah, beliau ikut isteri yang buat sub kepakaran di UPenn, Prof. Jayum dapat peluang sebagai Profesor Pelawat, Penyandang Kerusi Tun Abdul Razak di Ohio University, Athens, Ohio. Kerusi Tun Abdul Razak di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Tinggi dan fokus kepada Kajian Malaysia dengan tempoh lantikan selama 2 tahun. Kerusi ini bermula semenjak 1980an dan sudah ramai Profesor di Malaysia menjadi penyandang kerusi ini.  Jadi mereka berdua 'bertemu semula' di AS setelah 'berpisah' di Malaysia.  Itulah kehendak Allah dan juga pertolongan Allah kepada Sdr Azhari.

Ketika mula-mula Sdr Azhari mengajukan cadangan ini, saya dah survei perjalanan melalui Google Map....ehmmm paling cepat adalah memandu selama 7 jam 30 minit tanpa henti dan tanpa masalah trafik. Jika diambil kira jarak perjalanan, masa berhenti solat dan makan tengahari, berhenti di stesen minyak dan ke bilik air, saya dah anggarkan paling cepat 9 jam.  Jadinya, kami bertolak sekitar jam 830 pagi pada hari Khamis, 24 Disember 2015. Perjalanan pada Khamis ini memang mengujakan. Seperti saya katakan dalam penulisan sebelum-sebelumnya, untuk perjalanan jarak jauh, hati mesti tenang, minda mesti relaks, agar kita tidak tertekan semasa memandu. Saya tidak bawa dengan begitu laju, dalam kelajuan 95-110 km sejam. Sasaran pertama untuk berhenti solat dan makan tengahari adalah di Islamic Center of Johnstown. Sasaran ini terletak dalam 4 jam - 4.5 jam dari lokasi kami di Philadelphia. Kami sampai tidak begitu lewat di Islamic Center of Johnstown. Agak mendukacitakan sedikit kerana ia berkunci. Saya beranggapan Pusat Islam ini dibuka untuk solat dan sebagainya. Saya ada lagi satu lokasi, yakni sebuah masjid dalam sejam pemanduan dari sini. Memandangkan kami dah berhenti, semua dah lapar, kami solat Jamak Takdim dan makan tengahari di sini.

Bagaimana nak bersolat? Sdr Azhari menggunakan air mineral yang dibawanya. Saya dan keluarga menggunakan Wudhuk Spray yang saya bawa ke Wharton setiap hari. Sdr Azhari membawa sejadah manakala saya memang meletakkan/meninggalkan sekeping tikar dalam kereta untuk kegunaan bersolat.  Alhamdulillah, kami dapat bersolat dan makan tengahari dengan lahapnya. Terasa benarnya Hadis Nabi SAW, yakni 'makan apabila lapar'. Kiblat kami cari menggunakan dua program Pencari Kiblat dalam telefon.  Selepas bersolat dan makan tengahari, satu masalah timbul. Telefon kami semua tidak menerima talian, No Service!. GPS awal hanya disetkan ke Islamic Center of Johnstown. Nak setkan GPS baru tidak boleh. Bagaimana mahu keluar dari sini dan menuju ke Athens, Ohio kerana kami sendiri tidak tahu di mana harus dituju, peta juga tidak ada.  Perkara penting dalam keadaan sedikit mencemaskan adalah jangan panik. Ini kerana kalau panik, minda biasanya tidak boleh berfikir dengan baik. Jadi saya memandu mencari stesen minyak kerana perlu mengisi minyak. Dalam keadaan sebegini, minyak kena isi penuh kerana lokasi dituju masih jauh dan dengan kereta memiliki minyak penuh, peluang untuk sampai lebih tinggi.

Bagaimana mencari stesen minyak? Mulanya saya bertanyakan seorang Orang Putih di sini. Tetapi cakapnya saya kurang faham kerana beliau bercakap dengan nada sengau. Dengan panduannya, saya tidak dapat mencari stesen minyak. Jadi saya perlu ikut pengalaman berkelana di merata tempat. Panduannya adalah stesen minyak biasanya dibina di lokasi strategik, di jalan utama, jalan sibuk, jalan yang lebih besar dari jalan biasa. Untuk mencari jalan sebegini, cari jalan yang banyak kereta menggunakannya. Alhamdulillah, kami dapat jumpa stesen minyak dalam 5-10 minit melilau-lilau dalam bandar. Perlu diingatkan Johnstown merupakan sebuah bandar kecil sahaja di Pennsylvania.  Papan tanda lokasi stesen minyak juga tidak begitu banyak seperti di Malaysia. Setelah mengisi minyak sampai penuh, saya bertanya juruwang  kaunter stesen minyak tentang panduan ke Athens. Alhamdulillah, ini pengalaman kelima  tentang baik hati Orang Putih di AS.  

Pengalaman pertama ketika baru sampai di Lapangan Terbang Philadelphia pada 24 Oktober 2015. Pegawai kastam yang memeriksa kami memberi banyak nasihat berguna tentang Philadelphia dan macam-macam dipesannya. Pengalaman kedua adalah budi bahasa pemandu Shuttle Bus yang kami naiki dari Lapangan Terbang Philadelphia ke rumah Sdr. Azhari. Saya terkejut dan teruja apabila mengetahui beliau seorang Muslim.  Pengalaman ketiga adalah ketika menaiki keretapi dari Pusat Bandar Philadelphia ke rumah. Tambang seperjalanan adalah sebanyak USD$2.25. Dalam kesibukan saya mencari duit pecah/duit syiling, seorang Orang Putih lelaki memberi 25 sen kepada saya. Pengalaman keempat adalah ketika menaiki keretapi juga. Saya bercadang bertukar pengangkutan dari keretapi ke Trolley (macam Tram) dari 8th Street ke Wharton. Setelah diberi penerangan oleh kakitangan terbabit, dan saya dilihatnya kurang faham dengan sistem yang digunakan, beliau keluar dari kaunternya dari menceritakan satu demi satu tentang platform keretapi, panduan selepas keluar dari keretapi pertama, jalan yang diikuti yakni tidak perlu keluar dari stesen, bagaimana bertukar stesen dan mencari Stesen Trolley.

Berbalik kepada Juruwang ini, setelah menceritakan masalah kami 'kehilangan GPS kerana tiada talian' dan mana hendak dituju, beliau menceritakan bagaimana perlu keluar dari bandar kecil ini dan mencari lebuhraya menuju ke Barat (Athens). Saya bertanya sama ada beliau boleh menulis panduan ringkas di atas kertas, beliau bersetuju dan menulisnya di atas kertas. Selepas menulisnya di atas kertas, beliau mendoakan juga agar kami selamat dalam perjalanan dan sampai di lokasi dengan selamat.....Memang mengujakan...

Satu perkara penting yang saya juga baru tahu, walaupun kehilangan GPS di Google Maps akibat tiada talian/perkhidmatan, Google Maps masih menunjukkan lokasi anda yang sebenar. Kita masih boleh melihat bandar-bandar berdekatan dan lebuhraya berhampiran.  Maksudnya, kita masih selamat dan boleh menuju ke destinasi yang dimaksudkan, cuma mengambil masa yang lebih. Setelah berjaya memasuki lebuhraya, talian telefon berfungsi semula dan boleh setkan semula GPS ke lokasi yang dikehendaki. Kami perlu menyambung perjalanan  selama 4-5 jam dengan jarak melebihi 350km.


Kami berhenti solat dan makan di sini

Kami bersolat di kawasan ini
 Banyak pemandangan indah dalam perjalanan

 Alhamdulillah, cuaca selepas berhenti solat dan makan cerah dan mengujakan



Saya tidak berniat bawa laju. Dengan slow and steady, kami sampai di rumah Prof. Jayum dalam jam 615 petang, 9 jam 45 minit dari masa bertolak dari Philly.  Saya dan isteri diberikan bilik tidur yang lengkap, anak-anak juga diberikan bilik tidur berasingan di Attic. Sdr Azhari juga diberikan bilik asing. Ada lima bilik di rumah Prof Jayum, yang mana rumah ini disediakan oleh Ohio University, termasuk kenderaannya.  Dalam jam 630 malam, majlis makan-makan bermula. Prof. Jayum merupakan orang Sarawak beragama Kristian dan telah menetap di Semenanjung Malaysia melebihi 20/30 tahun.  Tetamu jemputan selain kami adalah pelajar Malaysia di Ohio University, Athens. Ada seorang pelajar perempuan bujang dari Sarawak, seorang pelajar berbangsa Cina dari Help University, dan tiga/empat orang pelajar PhD (bersama keluarga) di Ohio University dari Fakulti Sains Kesihatan UKM. Jumpa juga Geng UKM di Athens, mana nak sangka!!!

Hidangan memang macam-macam dan menyelerakan. Ada nasi berlauk, bubur kacang kuah durian, kuih berbijan, murtabak, mash potato/kentang putar, salad, mee goreng, nasi berkunyit, ayam bakar dan ...dah lupa. Walaupun berbeza agama dan etnik, Prof. Jayum dan isteri amat arif tentang keperluan makanan halal bagi masyarakat Muslim. Beliau ke Columbus, Ohio untuk membeli makanan halal bagi kami semua (lebih 200 km perjalanan pergi-balik). Seorang pelajar Melayu dari Malaysia di sini juga sudah biasa menyediakan makanan di rumah Prof. Jayum.  Isteri Prof. Jayum juga sudah biasa dan arif memasak masakan Melayu dan masakan di Semenanjung Malaysia kerana sudah lebih 20 tahun menetap di Semenanjung Malaysia. Dalam majlis yang kecil ini, kami ada wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Setelah habis majlis, saya dan Azhari menyambung bicara dengan Prof. Jayum. Dekat jam 1200 tengah malam baru kami berhenti berbicara dan masuk tidur....bersambung untuk penulisan seterusnya...

Sdr Azhari memulakan majlis

Walaupun tidak ramai, suasana KeMalaysiaan begitu terasa

Saya terimbau kembali kenangan di UK di mana 'makan-makan' merupakan satu aktiviti yang ditunggu-tunggu

Memang menyelerakan

Pelajar lelaki berbaju merah sudah habis belajar dan akan kembali ke Malaysia dalam 1-2 hari lagi. Pada ketika artikel ini ditulis, beliau sudah sampai ke Malaysia

Prof. Jayum berjaya 'menjadi seorang Ayah' kepada para pelajar Malaysia di Athens.

Dua hari Sdr Azhari dan saya berbincang secara ilmiah dan menimba ilmu dengan Prof. Jayum. Ini saya akan ulas dalam artikel selepas ini.

Anak-anak Malaysia di perantauan


No comments:

Post a Comment