Saya ada dua posting utama untuk disiapkan sebelum bercuti Krismas dari 24 Dis 2015 - 3 Januari 2016. Panjang dapat cuti kali ini, 2 tahun lamanya. Posting pertama adalah berkaitan Holiday Party Organized By Management Department, The Wharton School. Jemputan pertama dah dapat lama, dalam 2/3 hari sebelum majlis ada jemputan ingatan. Pada 10 Disember 2015 yang lalu, saya menghadiri "Holiday Party" anjuran Jabatan Pengurusan, The Wharton School. Snider Entrepreneurial Research Center pada umumnya di bawah Jabatan Pengurusan, walaupun disepadukan dengan WhartonEntrep. Majlis diadakan di Inn@Penn, hotel di bawah University of Pennsylvania. Nak datang atau tidak, saya pilih datang, kerana ia bukan majlis agama, sekadar majlis makan-minum. Saya mengambil semangat dari dakwah Wali Songo, Sunan Ampel ketika berdakwah di Pulau Jawa dahulunya 'yang masuk majlis orang Jawa yang masih beragama Hindu/Buddha', dan juga kisah Sheikh Abdullah al-Qumairi yang 'masuk majlis Marahaja Derbar Raja yang belum beragama Islam'.
Antara kesukaran seorang Muslim menghadiri majlis sebegini adalah apa nak dimakan? Alhamdulillah, saya ternampak seorang Muslim wanita yang bekerja di Jabatan ini (memakai tudung) dan bertanya kepada beliau, "Apa yang boleh dimakan?". Beliau memberitahu beberapa makanan yang boleh dimakan. Menu saya yang biasa di majlis sebegini adalah salad/sayuran, buah-buahan, dan air. Sekadar memerhati majlis orang putih, memang muzik tidak dapat lari dalam kehidupan mereka. Kalau di jalan raya, biasa kita akan berjumpa orang AS dengan earphone di telinga dan sibuk mendengar muzik. Sebab itu Nabi SAW ada menyebut tentang akhir zaman dalam hadisnya tentang 'manusia yang memakai earphone'. Ramai juga yang hadir, saya anggarkan dalam 200 orang juga. Ada juga yang membawa anak-anak mereka ke majlis ini. Walaupun ada tari-menari, tidak ramai orang putih yang menari di ruang yang disediakan. Orang putih pun dah berubah agaknya, bisik hati saya.
Dulu-dulu di universiti di Malaysia, zaman 1970-an ada majlis makan minum begini dan tari-menari sebegini, saya difahamkan. Zaman dah berubah. Nilai dan prinsip hidup masyarakat dah berubah. Kalau dalam kalangan orang Melayu, kehidupan sebahagian besar masyarakat adalah ke arah kehidupan Islam yang syumul. Sedikit demi sedikit amalan Sunnah Nabi SAW dihidupkan dan sedikit demi sedikit amalan 'kurang Islam' ditinggalkan. Saya kasihan dengan perjuangan G25 di Malaysia. Mereka yang merupakan bekas pegawai tinggi kerajaan hidup dalam 'zaman yang berbeza' dan mahu mengekalkan kehidupan mereka yang berbeza/lama dalam masyarakat yang sudah berubah. Ramai orang Islam semakin berubah, mereka kelihatannya tidak mahu berubah dan mahukan majoriti masyarakat Muslim 'mengikut mereka'. Moga Allah memberikan petunjuk dan hidayah kepada mereka. Adakah nilai, prinsip hidup dan gaya hidup masyarakat Barat mempengaruhi mereka? Saya tiada jawapannya. Tetapi pengalaman saya di UK kelihatannya ada dua implikasi bagi orang Islam yang tinggal di negara Barat. Ada yang semakin kuat mempertahankan aqidah dan iman mereka kerana pelbagai cabaran dosa dan maksiat yang ada. Ramai juga yang terpesong kerana tak tahan dengan ujian dosa dan maksiat yang mempengaruhi, khususnya generasi kedua dan ketiga. Semoga aqidah dan iman kami terus terpelihara. Wassalam.
Bersama rakan Visiting Scholar dari Italy. Beliau bertugas di sebuah universiti baru di Milan dan berasal dari Naples. Yang menariknya adalah beliau amat jarang minum minuman beralkohol/arak dan tidak merokok.
No comments:
Post a Comment