Assalamu'alaikum dan selamat membaca,
(Sekolah lama saya dari tahun 1985-1989)
Alhamdulillah, ramai ibu-bapa semakin bergembira dengan pencapaian anak-anak mereka dlm SPM, walau berapa A yg anak mereka dapat, walau apa keputusan anak-anak. Yang penting, usaha anak-anak, hasilnya, kita terima sajalah kerana itu lambang usahanya dan setakat itu pencapaiannya. Kita, ibu-bapa kena redha juga walau atas usaha anak kita, walau atas doa yang berterusan dari kita, ibu-bapa mereka, itu yang mereka dapat. Kalau nak marah pun boleh, marahlah sikit-sikit atas kesilapan anak-anak, bukan atas hasil pencapaian anak-anak. Saya dulu pun lepas anak sulong dapat keputusan SPM, saya redha dengan keputusan tersebut. Marah? Saya marah juga sedikit, bukan sebab anak tak dapat keputusan yang baik atau cemerlang, marah kepada anak tanda saya sayangkan beliau. Kalau tak marah langsung, anak mungkin ingat 'tak apa dapat keputusan macam mana pun'. Marah juga sedikit supaya anak sedar akan kesilapannya dalam pembelajaran, bukan kesilapan dia dalam peperiksaan. Biar anak sedar antara kesilapan dia dalam pembelajaran adalah tidak belajar dari awal, banyak leka, tidak fokus semasa belajar, tidak banyak buat latihan, dan yang terpenting, saya marah anak saya sebab suka belajar minit-minit terakhir. Marah sebab nak bagi anak faham, bahawa jika proses pembelajarannya betul, maka hasilnya juga akan baik. Moga-moga dengan 'marah sedikit' saya itu, 'banyak leteran saya itu', dia akan sedar suatu hari nanti mengapa saya marah. Dan saya 'kena marah sedikit' sebab kalau saya tak marah langsung, isteri saya memang tak akan marah...he3... (isteri saya susah nak marah anak-anak).
Bukan semua anak cepat dalam belajar. Bukan semua anak dilahirkan cerdas otaknya. Bukan semua anak dilahirkan boleh cemerlang dalam peperiksaan. Bakat yang Allah Taala berikan kepada setiap anak berbeza-beza. Kita, ibu-bapa harus mengenalpasti bakat, kemampuan, kekuatan dan kelemahan anak masing-masing dan mendidik mereka selaras dengan bakat, kemampuan, kekuatan dan kelemahan anak. Itulah juga pengalaman saya di U.K. dan Amerika Syarikat. Guru sekolah membimbing dan mendidik anak murid mengikut kemampuan anak-anak. Setiap pelajar mempunyai standard pencapaian yang berbeza-beza walau dalam kelas yang sama. Mengikut tahun pengajian, tugas guru membimbing anak murid agar mencapai sasaran peribadi yang ditetapkan, bukan mencapai standard sama yang ditetapkan oleh pihak Sekolah atau Kementerian. Cuma di penghujungnya, anak murid disasarkan mencapai standard minimum yang digariskan. Kalau anak kita boleh melepasi standard minimum itu, menjadi lebih cemerlang, itu satu bonus. Tahun demi tahun, pelajar akan dibimbing oleh guru, dan pelajar yang lemah akan diberikan lebih perhatian. Jadinya, pengalaman bersekolah rendah selama 7-8 tahun di sekolah itu memberi satu keluwesan kepada guru membimbing anak murid memperolehi satu pencapaian minimum. Sesi Parents' evening saya dengan guru-guru dari di U.K dulu sehingga ke U.S tidak mengambil masa yang lama, bukan kerana pencapaian anak saya cemerlang, kerana sikap dan kelakuan anak saya dalam kelas memang amat memuaskan guru. Kalau anak bermasalah dalam kelas, panjang guru bercerita dengan ibu-bapa saya tengok. Jadi selain kecemerlangan akademik, guru-guru menekankan sebenarnya aspek sikap/kelakuan. Ini satu perkara yang penting. Kelakuan yang baik akan menatijahkan keputusan yang baik dan cemerlang. Anak anda boleh mendapat keputusan yang baik jika menghantar pelbagai kelas tuisyen, membuat latih tubi dan 1001 kaedah belajar, tetapi tidak semestinya mereka berkelakuan baik. Itu sisi positif dari UK dan US. Sisi negatif saya tidak mahu bicara di sini. Adakah sistem di UK dan US tidak menekankan pentingnya keputusan peperiksaan? Tidak kerana anda perlu mendapat keputusan yang cemerlang jika ingin memasuki universiti yang hebat. Cuma proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah/menengah itu tidak sama dengan Malaysia.
Semua anak kita sudah terpilih pada hakikinya. Mereka dikurniakan bakat, kelebihan, kekurangan, minat, potensi yang berbeza-beza. Zaman anak-anak perlu jadi 'doktor, peguam atau jurutera' sepatutnya sudah lama berlalu. Kita lihat sebentar apa yang berlaku kepada ramai doktor yang sedang menjalani housemanship tetapi gagal menghabiskanya. Mereka 'doktor', graduat tetapi tidak dapat praktis. Persoalanya mengapa? Saya sedikit gelihati apabila membaca antara puncanya ia dikaitkan dengan pencapaian Bahasa Inggeris. Mereka, doktor pelatih ini sudah cemerlang akademiknya, sudah hebat Bahasa Inggerisnya, tetapi kenapa gagal menghabiskan housemanship? Kalau di UKM, dari beribu yang mendapat skor 4.00 dan memohon (berapa peratus pelajar mendapat 4.00? sedikit sangat kan!), peluang untuk mendapat tempat begitu kecil. Ini menunjukkan 'mereka sudah terpilih' dari segi pencapaian akademik. Apa yang kurangnya sehingga gagal menghabiskan housemanship? Dalam perbualan saya dengan beberapa doktor, dengan rakan yang anak mereka mengambil bidang kedoktoran, antara kelemahan utama doktor pelatih ini adalah tidak tahan dengan tekanan dan bebanan kerja. Mereka perlu bekerja melebihi 48 jam seminggu. Kecekalan dan ketabahan itu kurang, mengapa? Antaranya kerana ibu-bapa menekankan kecemerlangan akademik semata-mata, tidak ditekankan pentingnya aspek kecekalan, ketabahan, berdikari, sedangkan kemahiran kemandirian tidak diberikan keutamaan. Anak-anak dimanjakan dengan wang saku yang banyak, kemudahan gajet elektronik seperti telefon, tablet, dan komputer sendiri diberi apabila belum tiba masanya, tidak buat kerja di rumah seperti membasuh baju sendiri, memasak, mengemas rumah dan lain-lain kerja sebab ada orang gaji. Apa yang diminta akan diberikan oleh ibu-bapa. Saya sendiri terkejut semasa di Malaysia apabila ibu-bapa memberikan anak-anak di peringkat sekolah rendah hadiah berupa telefon iPhone. Memang tidak salah jika anda mampu, tetapi persoalannya di mana anda menekankan aspek yang membentuk jati diri yang kukuh untuk anak-anak. Memberi terlalu banyak kemudahan kepada anak-anak apabila belum sampai masanya, memanjakan dan memewahkan anak-anak memang tidak salah tetapi akibat buruk di kemudian hari juga adalah tinggi!
Saya tidak mahu menuding jauh, saya fikir antara silapnya adalah didikan ibu-bapa. Terlalu menekan anak-anak belajar bersungguh-sungguh, terlalu fokuskan kecemerlangan akademik sehingga terlupa pembangunan anak-anak itu perlu seimbang. Dari anak kecil, masuk darjah satu, sudah masuk kelas tuisyen pada petangnya atau malamnya, pada hujung minggunya sehinggalah UPSR. Dalam enam tahun anak hidup di sekolah, berapa banyak masa anak dihabiskan dengan tuisyen/pencapaian akademik berbanding kegiatan lain? Begitu jugalah sehingga 5 tahun di sekolah menengah. Berapa banyak masa anak-anak untuk kegiatan ko-kurikulum? untuk kegiatan sosial dengan rakan-rakan? bersama ibu-bapa dan adik-beradik dalam masa berkualiti bersama keluarga? Berapa banyak masa kita tekankan untuk anak-anak dalam aspek rohani? beribadat bersama-sama? Anak dah baligh, tetapi solat Fardhu mereka bagaimana? Saya terbaca kenyataan Dato' Dr. Asraf Wajdi Dasuki "jangan swastakan pendidikan anak-anak ke sekolah/guru-guru". Amat tepat sekali pandangan beliau. Jika anak anda bersolat di sekolah (atau di SBP/MRSM), masihkah anak bersolat di rumah jika ibu-bapa mereka sendiri tidak bersolat di rumah?
Semua ibu-bapa nakkan anak-anak mereka cemerlang dalam peperiksaan, tetapi pencapaian akademik (khususnya kognitif) itu salah satu sahaja pencapaian mereka dalam kehidupan. Apatah lagi kalau berkonsepkan peperiksaan, bukan semua yang gagal menjawab peperiksaan dengan baik itu tidak menguasai ilmu tersebut dengan baik. Siapa yang mengikuti tulisan saya biasa membaca saya menulis perlunya keseimbangan jasmani, emosi, rohani dan intelek. Saya bukan buat formula sendiri, itu terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara!!! Isunya, pencapaian akademik itu hanya salah satu dari pencapaian intelektual, bukannya segala-galanya dalam kehidupan mereka. Saya pernah terbaca di Facebook seorang bapa yang marah kepada guru kerana anaknya tidak dapat menguasai mata pelajaran Matematik Tambahan dengan baik, macam-macam sumpah seranah beliau hamburkan kepada guru tersebut, termasuk meminta guru tersebut dipindahkan. Inilah antara bahana 'apabila menswastakan pendidikan anak-anak kepada guru/sekolah'.
Ramai rakan saya menjadi guru. Antara masalah yang mereka hadapi adalah keruntuhan akhlak, penzahiran kelakuan yang merosakkan dalam kalangan murid sekolah, khususnya sekolah menengah. Mereka kata, kami tak buat apa-apa, sentuh pun tidak. Mengapa? Kerana ramai ibu-bapa yang 'terlalu memanjakan anak-anak mereka', mempertahankan kesilapan/kesalahan anak-anak. Kami sentuh sikit, ibu-bapa buat laporan polis. Apa sudah jadi dengan masyarakat kita? Adalah amat salah mempertahankan kesalahan anak-anak. Rakan saya di Kuala Lipis, Cikgu Taufik pernah menceritakan seorang bapa 'ajak bergaduh' kerana beliau menangkap anak kepada bapa tersebut atas satu kesalahan. Dunia sudah terbalik! Kalau saya jadi bapa tersebut, saya ucap terima kasih kepada Cikgu Taufik kerana menangkap anak saya atas kesalahan tersebut, bukan pertahankan salah anak! Ramai ibu-bapa tidak percaya dengan 'kejahatan' anak-anak mereka di sekolah! Sentuh pun tidak boleh, apatah lagi dengan 1001 keburukan perangai anak-anak zaman sekarang. Jadi jangan salahkan guru/sekolah jika mereka tidak bertindak, salahkan diri sendiri dahulu, mendidik anak dengan cara yang tidak betul.
Pendidikan anak-anak bermula pada awalnya di rumah di mana ibu dan bapa sebagai guru pertama anak-anak. Lebih awal lagi, pendidikan anak-anak bermula di alam rahim. Banyak amalan Sunnah dan baik untuk mendidik anak di alam rahim, dari 'masa kejadian' sehinggalah anak dilahirkan. Lebih awal dari alam rahim, paling awalnya pendidikan anak-anak bermula sebelum anak dijadikan, yakni sebelum menjadi ibu-bapa, sebelum berkahwin, iaitu dalam memilih pasangan hidup masing-masing. Kata seorang guru saya dalam bab pendidikan anak-anak adalah "gabungan Tanah yang bersih lagi subur dengan benih yang baik lagi terpilih'. Tanah yang bersih itu dikiaskan kepada akhlak dan keperibadian bakal si isteri dan 'subur' itu dikiaskan kepada 'boleh melahirkan anak'. Benih yang baik itu dikiaskan kepada bakal si suami itu seorang yang baik akhlaknya, soleh orangnya, dan terpilih itu boleh saya simpulkan sebagai 'benih yang amat berkualiti' (Panjang bab benih yang terpilih ini tetapi saya tidak boleh bicarakan di dalam blog ini kerana tidak sesuai untuk bacaan orang awam).
Berbalik kepada tajuk artikel ini, SPM memang penting, hatta bagi para guru dan sekolah kerana itu dapat dilihat sebagai ukuran pencapaian dan kejayaan sekolah. Saya tidak nafikan kepentingan SPM dan perlu mendapat keputusan yang baik, kalau pun bukan cemerlang. Tapi SPM hanya salah satu 'milestone' dalam kehidupan anak-anak. Jangan terlalu pening dan gundah gulana jika anak tidak begitu baik atau cemerlang dalam SPM. Ramai lulusan cemerlang SPM, 'hanyut' apabila memasuki universiti. Di Fakulti saya di UKM, beberapa tahun lepas, untuk satu kohort tersebut mendapat PNGK minimum 3.84/3.85 untuk layak memasuki Fakulti kami. Memasuki tahun akhir pengajian, ramai juga pelajar dari kohort minimum 3.84/3.85 ini yang hampir tewas, PNGK 2.00-2.15. Melihat keputusan SPM dan Matrikulasi/STPM pelajar-pelajar ini, memangkah hebat tetapi masuk saja ke universiti, maka sudah hanyut dan terus hanyut.
Universiti bukan sistem sekolah. Tiada ibu-bapa yang kejut bangun pagi-pagi, tiada warden asrama yang meronda di asrama, tiada jadual rasmi pengajian dari 600 pagi sehingga 1100 malam (seperti di SBP/MRSM), tiada kelas tuisyen malam-malam atau hujung minggu untuk ulangkaji tambahan, tiada guru nak marah kalau dapat keputusan peperiksaan teruk, tiada siapa nak ingatkan tugasan dah buat ke belum, dan tiada pelbagai sistem denda atau hadiah untuk merangsang anda belajar. Semua sendiri-sendiri. Kebanyakan yang hanyut ini adalah kerana kejutan budaya ini. Satu atau dua tahun di tadika, 6 tahun sekolah rendah, 5 tahun sekolah menengah, 1 tahun di Matrikulasi, keseluruhannya hampir 13-14 tahun bersekolah, tetapi ibu-bapa tidak menyediakan anak-anak menghadari 'era persaingan bebas', era berdikari, pentingnya pembelajaran yang berterusan, pentingnya disiplin diri dan mengurus diri, dan peri pentingnya komitmen dalam melaksanakan sesuatu. Itu belum saya bahaskan dari sudut kerohanian. Ibu-bapa asyik sangat dengan pencapaian duniawi anak-anak sampai lupa pencapaian akhirat dan kerohanian. Perkara paling asas, anak-anak mendirikan Solat Fardhu atau tidak? Apabila anak-anak dah masuk universiti, ia bukanlah lagi masanya kita nak didik anak-anak agar mendirikan solat atau tidak. Anak-anak sudah besar, sudah mencorakkan masa depan mereka masing-masing, kalau buluh pun dah jadi betung, mereka akan membawa kehidupan mereka sendiri.
Sepatutnya, kita ibu-apa menyedari dan memahami bakat, kemampuan, kekuatan dan kelemahan anak masing-masing. Kalau anak memang tidak suka ke sekolah sebagai contoh, tidak cemerlang dalam peperiksaan, lihat bakat dan kemampuan anak tersebut dalam bidang lain. Kementerian Pendidikan Malaysia sudah menambah peluang Teknikal, Vokasional dan Latihan (TVET) melalui Kolej Vokaional sebagai contoh, mungkin sesuai dilorongkan anak tersebut dalam bidang teknikal kerana ia tidak banyak teori (usaha-usaha kognitif/peperiksaan) tetapi banyak praktikal. Kalau anak tidak minat belajar, boleh hantar ke Pusat Giat MARA, IKBN, IKTBN, ILP dan pelbagai institusi kemahiran. Di peringkat paling asas, kewujudan Kolej Komuniti seharusnya memberikan peluang kepada mereka yang kurang cemerlang dalam peperiksaan untuk terus belajar.
Dalam dunia pendidikan tanpa sempadan masa kini, keputusan SPM hanyalah satu langkah dalam 1001 langkah anak-anak kita. Peluang pendidikan masa kini terbuka luas. Dari keputusan SPM yang tidak memuaskan, masih ada peluang untuk anak menyambung pengajian peringkat sijil di kolej, kalaupun bukan diploma. Kalau sudah bekerja selepas SPM, masih banyak peluang untuk menyambung pengajian. Universiti Terbuka Malaysia contohnya menawarkan peluang pengajian di peringkat pendidikan tinggi kepada oarang awam berlandaskan pengalaman kerja. USM merupakan universiti pertama menawarkan pendidikan jarak jauh di Malaysia. UUM menawarkan pendidikan jarak jauh kepada kakitangan/pegawai yang tidak berpeluang membuat ijazah pertama dahulunya menyambung pengajian secara separuh masa. Di Fakulti saya di UKM, semenjak 1995, kami menawarkan program sarjanamuda pentadbiran perniagaan/perakaunan secara eksekutif. Pelajar akan mengikuti kuliah pengajian di waktu malam pada hari bekerja (700-1000 malam) atau di hujung minggu (800 pagi - 600 petang). Beribu siswazah sama ada lulusan diploma ataupun SPM (berasaskan pengakaman kerja) yang telah graduat dari program ini. Ramai sudah yang menjawat jawatan besar di pelbagai sektor kerajaan, swasta mahupun membuka perniagaan sendiri.
Isu menyambung pengajian tinggi bukanlah isu besar jika anak-anak kita berkehendak, jika kita ibu-bapa memberi dorongan yang sesuai. Dahulunya di UKM, ramai Profesor yang asalnya anak kampung, belajar kelas malam sewaktu peperiksaan STPM. Di UiTM, ramai anak Bumiputera yang kurang cemerlang sewaktu SPM, melalui pra-matrikulasi, diploma dan akhirnya menjadi Profesor, menjadi akauntan, jurutera, profesional dalam pelbagai bidang dan berjaya dalam pekerjaan. Pokoknya adalah niat dan kemahuan untuk berubah.
Jika anak anda kurang cemerlang dalam SPM, beliau boleh sambung belajar sehingga STPM. Masih ada masa 2 tahun untuk mengubah sikap dan kelakuan serta berusaha bersungguh-sungguh dan cemerlang dalam STPM, seterusnya masuk ke universiti. Jika tidak mahu sambung ke STPM, boleh ambil sijil di kolej swasta, politeknik atau kolej komuniti. Sepanjang belajar 2-3 tahun di peringkat sijil dan dah habis mengaji, anak anda boleh sambung diploma secara sepenuh masa ataupun memasuki dunia pekerjaan. Jika keputusan SPM baik sikit, tidak dapat masuk ke matrikulasi, boleh ambil diploma di kolej swasta, politeknik, UiTM dan pelbagai IPTS. Selepas menghabiskan diploma, boleh sambung ijazah pertama di universiti awam, universiti/kolej swasta secara sepenuh masa. Apa masalahnya? Jika nak bekerja selepas diploma, kerjalah. Dah stabil sedikit, ada simpanan sedikit, masih boleh sambung belajar di peringkat ijazah sarjanamuda secara jarak jauh di USM atau secara separuh masa/eksekutif di UKM, UPM, UUM dan beberapa universiti lain.
Jika tidak mahu sambung sijil atau diploma, nak bekerja selepas SPM, bekerjalah. Dapatkan pengalaman kerja, dapatkan sedikit wang untuk simpanan. Sudah bekerja 5-10 tahun, rasa nak sambung belajar, anda boleh sambung belajar di peringkat ijazah sarjanamuda secara jarak jauh di USM atau Universiti Terbuka Malasia atau secara separuh masa/eksekutif di UKM, UPM, UUM dan beberapa universiti lain. Anda tidak perlu berhenti kerja, tetapi perlu bekerja keras dalam 4-5 tahun untuk melakukan dua kerja, yakni bekerja dan belajar. Ribuan graduan berjaya menamatkan pengajian dengan cara ini. Apa yang pasti adalah laluan bekerjaya itu tidak sama antara satu dengan yang lain.
Bagi mereka yang dapat masuk matrikulasi, itu bukan jaminan anda dapat program yang diminati apabila memasuki universiti kelak. Persaingan belajar setahun di Matrikulasi sebenarnya lebih sengit. Dengan ramainya lulusan Matrikulasi, keputusan peperiksaan anda tidak memberangsangkan, anda kemungkinan besarnya tidak dapat memasuki program pengajian yang disasarkan. Maka dengan PNGK yang tidak memberangsangkan semasa Matrikulasi, anda kemungkinan 'akan dilelong' masuk program yang tidak diminati ditempatkan di universiti yang anda tidak pilih/sukai. Apabila 'anda dilelong' sebegini, maka masuklah juga ke program dan universiti yang bukan pilihan anda, apa akan jadi? Sebahagiannya tidak cemerlang, membazir masa, yang akhirnya merugikan diri sendiri, wang mak ayah dan subsidi kerajaan yang diberikan kepada universiti. Walaupun bergraduat, anda rugi 3-4 tahun masa di universiti, belajar akan apa yang anda tidak minat, tidak menjadi manusia yang bermanfaat hatta untuk diri sendiri. Tentatifnya adalah jika ibu-bapa mengetahui pencapaian akademik anak-anak mereka, kemampuan anak mereka, maka pilihan yang baik adalah ambil program diploma yang bersesuaian dengan minat dan kehendak anak-anak. Peluang memasuki program pengajian peringkat diploma lebih mudah untuk dapat bidang yang anak anda minati kerana pelajar yang cemerlang akademik lazimnya mengambil Matrikulasi. Yang pentingnya anak anda dapat program yang beliau minat/berkehendak. Dah ada diploma, usaha betul-betul, cemerlang dalam PNGK, kemudiannya nanti boleh sambung ijazah sarjanamuda dalam bidang tersebut di universiti terpilih. Lazimnya universiti awam ada 'kuota' untuk lulusan diploma bagi program ijazah sarjanamuda dan antara kaedah penilaian yang digunakan adalah keputusan PNGK diploma yang cemerlang.
Saya boleh menulis lagi tentang peluang ada di pelbagai tempat, di pelbagai jurang masa, jika anak anda sanggup belajar. Tapi rasanya cukuplah di sini. Pokoknya kejayaan akan datang dengan usaha. Pokoknya orang yang cemerlang SPM tidak semestinya cemerlang dalam ijazah pertama, tidak semestinya cemerlang dalam kehidupan. Kejayaan mungkin tidak menunggu anak anda ketika SPM, tetapi mungkin kejayaan akan dicipta anak anda di peringkat diploma atau sarjanamuda atau sarjana. Kejayaan bakal dicapai anak anda, mungkin bukan dalam pencapaian akademik, tetapi dalam berniaga, dalam bekerja, sebagai usahawan berjaya, sebagai ayah yang hebat kepada anak-anaknya. Jangan mematikan semangat anak anda untuk belajar. Suntikkan semangat dan motivasi untuk cemerlang ke dalam diri anak anda. Ramai saya lihat pelajar diploma mendapat keputusan lebih baik di peringkat sarjanamuda berbanding lulusan matrikulasi.
Kita memerlukan konsep pembelajaran sepanjang hayat dan konsep kecemerlangan berterusan sepanjang hidup. Sentiasa berusaha untuk menambah ilmu di dada, sentiasa berusaha untuk menjadi insan cemerlang. Ramai rakan saya yang sambung PhD bukan cemerlang pun di peringkat SPM. Ramai rakan saya yang menjadi Pengurus Besar, usahawan berjaya, tidak cemerlang pun dalam SPM. Tidak ramai anak yang pintar seperti Sdri Nur Amalina (yang dapat 17A1). Laluan kerjaya seperti Nur Amalina (sambung kedoktoran di UK) tidak boleh diikuti oleh anak-anak kita. Jangan paksa anak kita memilih laluan yang tidak sesuai dengan kemampuan dan minat mereka. Bukan semua anak diciptakan Allah untuk menjadi doktor, peguam, jurutera, akauntan mahupun arkitek. Ringkasnya, seperti saya katakan awalnya, saya tidak menafikan kepentingan keputusan peperiksaan yang baik/cemerlang dalam SPM, tetapi banyak lagi perkara yang penting selain keputusan SPM. Anak kita masih boleh berjaya tanpa keputusan SPM yang baik/cemerlang asalkan mereka tahu bahawa mereka perlu berubah dan mengapa dan bagaimana mereka boleh berjaya dalam kehidupan di dunia dan kehidupan di akhirat. Wassalam.

No comments:
Post a Comment