Tuesday, 19 April 2016

Saya Anak MARA : Dari MRSM Kulim Ke MRSM Balik Pulau

Assalamu'alaikum semua,





Pada Januari 1985, saya mendaftar sebagai pelajar di MRSM Kulim. Ketika itu, ia merupakan kali kedua saya memasuki MRSM Kulim setelah kali pertama datang untuk mengambil Ujian IQ semasa darjah enam. Saya tinggal di Junjong Tasek (Kampung Tasek Junjong), tak begitu jauh dari MRSM Kulim, sekitar 7-8 kilometer begitu. Dengan menaiki Bas Junjong (nombor 46) yang dikendalikan oleh Kulim Baling Road Transport, kami boleh terus berhenti di hadapan MRSM Kulim. Alhamdulillah, Allah Taala memudahkan apabila kerana tidak terlalu jauh dari bonda di kampung. 

Bas Kulim Baling Road Transport (Gambar ihsan Google Image)

Pengalaman sekitar 6 bulan di MRSM Kulim boleh dikatakan menarik. Walaupun kali pertama berpisah lama dengan bonda, saya tidak kekok kerana sudah diajar berdikari di rumah oleh bonda. Ketika itu, pelajar ditempatkan di asrama (dorm) mengikut tahun pengajian. Pelajar lelaki tingkatan satu ditempatkan di dua asrama. Semasa minggu orientasi, kami ditempatkan di asrama lain. Selepas minggu orientasi, saya ditempatkan di Asrama Mat Kilau. Setiap blok/asrama ditempatkan pelajar senior dari Tingkatan berbeza sebagai ‘Tok Penghulu’. Tok Penghulu asrama kami adalah pelajar Tingkatan 3. Yang saya ingat namanya Razman, kami pelajar Tingkatan Satu panggil 'Abang Razman'. Beliau berkulit putih, berbadan besar dan seorang Senior yang baik kepada adik-adik yang masih mentah.

Mengikut sistem di MRSM, semenjak tahun 1972 lagi, pelajar dibahagikan mengikut Keluarga Pelajar (homeroom). Satu Keluarga Pelajar mengandungi seorang guru sebagai Penasihat dan sekitar maksimum 15 orang pelajar, gabungan lelaki dan perempuan. Ikatan sesama ahli keluarga pelajar boleh dikatakan kuat kerana berkongsi asrama yang sama. Dalam masa yang sama, dua buah keluarga pelajar membentuk satu kelas (sekitar 30 orang begitu). Setiap Keluarga Pelajar biasanya mempunyai Ketua Setiausaha. Apa pengalaman menarik di MRSM Kulim? Ia merupakan pengalaman pertama berdikari sebagai seorang yang masih kebudak-budakan.  Antara pengalaman menarik adalah kali pertama membeli minuman air berkotak dari vending machine, seterika baju sendiri, uruskan kehidupan sendiri. Kemudahan dobi disediakan kepada pelajar, jadi kalau pakaian berat seperti cadar, sarung bantal dan sebagainya itu pelajar biasa hantar dobi di kawasan asrama. Antara yang menarik juga adalah kali pertama masuk makmal sains, buat eksperimen sains. 

Ketika itu MRSM memberikan wang saku RM15 sebulan, maka dengan wang itulah saya membeli keperluan asas seperti alat tulis, buku, keluar ke pekan dan sebagainya.   Cukup? Memang mencukupi ketika itu. Seingat saya, di malam minggu, di dalam dewan besar MRSM Kulim, pelajar-pelajar dihidangkan dengan tayangan filem di skrin besar. Antara filem yang saya ingat adalah filem “The Car” yang seram itu….he3.. Budaya MRSM juga ketika itu tidak seperti sekarang. Ada bilik muzik disediakan dan ramai pelajar senior yang berlatih bermain muzik, membentuk Kugiran dan mengadakan persembahan di dalam maktab.  Kes buli saya jarang dengar sesama kawan memandangkan pelajar dikelompokkan di asrama mengikut tingkatan. Ketika itu juga, Masjid Air Merah belum dibina, jadinya, kami pelajar MRSM Kulim bersolat Jumaat di Surau Maktab dengan orang kampung dan sekitar masuk ke dalam maktab.

Bersama Rosdi Yaakub di MRSM Kulim (1985)

Sistem berpindah bilik kuliah/kelas seperti di Universiti memang telah lama diamalkan di MRSM. Selepas habis satu kelas, kita akan berpindah ke tempat lain. Antara rancangan menarik adalah Program Pertandingan Sains. Saya masih ingat melihat pelajar-pelajar senior bertanding membuat jambatan dari sejenis bahan/macam batang ais krim. Pelajar digalakkan memasuki pelbagai Persatuan yang wujud. Saya ingat lagi, saya memasuki sebuah Persatuan (lupa Sains atau Matematik) dan berpeluang melawat sebuah kilang semikonduktor di Kulim. Dengan Keluarga Pelajar saya, (Penasihat - Puan Masrifatun) kami melawat Taman Botani, Muzium Negeri dan beberapa tempat lain yang menarik  di Pulau Pinang.

Di Taman Botani Pulau Pinang

Di Muzium Negeri Pulau Pinang

Sistem PNGK diamalkan di universiti memang telah diamalkan di MRSM ketika itu. Keputusan semester saya yang pertama agak baik, Alhamdulillah.  Namun, saya tidak lama di MRSM Kulim. MARA telah membuat keputusan untuk menukarkan MRSM Kulim sebagai Pusat Matrikulasi MARA. Makanya, pelajar tingkatan 1 dan 2 diminta berpindah ke MRSM Balik Pulau dan MRSM Taiping. Untuk memudahkan proses, pelajar dipindahkan mengikut alamat rumah. Sebahagian pelajar yang tinggal di kawasan Sungai Petani sehingga ke Selatan diminta berpindah ke MRSM Taiping, manakala pelajar yang tinggal di Utara Sungai Petani (sehingga Perlis) diminta berpindah ke MRSM Balik Pulau.  Saya mendapat tempat di MRSM Taiping. Memandangkan kekanda saya berada di MRSM Balik Pulau, maka bonda mencadangkan saya berpindah ke MRSM Balik Pulau, memudahkan beliau melawat, jika perlu.  Alhamdulillah, MRSM membolehkan pertukaran suka sama suka dan saya berjaya mendapat tempat ke MRSM Balik Pulau dengan bertukat tempat dengan Sdr Rodzi Osman dari Perlis yang ingin ke MRSM Taiping.  Antara rakan satu Keluarga Pelajar yang ke MRSM Taiping adalah Mahadir, Jefry, Rahimi, Rosmawati (masih berhubung di Facebook) dan Ketua kami, Haizam. Sementara itu Rosdi Yaakub (Buka perniagaan sendiri) , Abdul Rahman Johari (usahawan di Lembah Klang), Saliza Othman (guru di Ipoh), Rohaya Ismail (kerja swasta rasanya di Lembah Klang), Mohd Fisoludin (Usahawan di Perlis), Zainudin aka Zip (loss contact selepas 1989) dan Che Rashidah (dengarnya ikut suami ke luar negara) merupakan antara rakan satu homeroom yang berpindah ke MRSM Balik Pulau.

Dulu MRSM Kulim, kini Kolej MARA Kulim

Antara 1990-1992, saya masuk semula ke sini mengambil program Matrikulasi UUM. Ketika itu ia bernama Pusat Matrikulasi MARA sebelum sekarang dikenali sebagai Kolej MARA Kulim.

Banyak kenangan manis di MRSM Balik Pulau antara 1985-1989

Untuk mendaftar dan pergi ke MRSM Balik Pulau ketika itu bukanlah mudah. Itulah realiti kehidupan dahulu tanpa kemudahan kenderaan sendiri, bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam. Mula-mula jalan kaki ke Pekan Junjong, menunggu bas yang datang sejam sekali (Kulim Baling Road Transport). Perjalanan Junjong-Kulim mengambil masa sekitar 25-30 minit. Sampai Kulim, tunggu bas ke Butterworth pula (Bas sejam sekali juga). Perjalanan Kulim-Butterworth mengambil masa sekitar 45 – 60 minit. Sampai di Pengkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth, kena jalan kaki dan naik feri untuk ke Tanjung/Georgetown, tengok ‘rezeki’, ambil masa dalam 40-60 minit juga. Kemudian dari Pengkalan Jeti di Tanjung, kami perlu menunggu untuk menaiki bas Penang Yellow Bus ke Balik Pulau yang mengambil masa sekitar sejam juga. Kawasan menunggu bas ini merupakan tempat kegemaran saya untuk makan nasi lemak. Berhenti di Pekan Genting, Balik Pulau, kena berjalan kaki dalam 20-30 minit ke MRSM Balik Pulau. Dahulunya ada kawasan ternakan buaya di Jalan Pondok Upeh tetapi telah ditutup kemudiannya.  Paling cepat dalam 4 jam juga boleh sampai. Sekarang dengan kenderaan sendiri, dengan jalinan lebuhraya, Jambatan Kedua dan sistem jalan yang ditambahbaik, dalam 45-60 minit sudah sampai ke MRSM Balik Pulau dari rumah. 


Bas Kulim Butterworth (juga Kulim-Bukit Mertajam ketika itu)


Bas Penang Yellow Bus

Ketika mendaftar di Tingkatan 1 di MRSM Balik Pulau, kami pelajar MRSM Kulim ditempatkan bercampur dengan pelajar Tingkatan 2, 3 dan 4. Saya ditempatkan di Tingkat atas Blok A. Pelajar Tingkatan 1 Lelaki (sebaya dengan saya) MRSM Balik Pulau ketika itu ditempatkan di Blok C, tidak bercampur dengan pelajar senior. Ini kali pertama tinggal di asrama dan bercampur dengan pelajar senior. Takut? Takut juga, apatah lagi saya antara kumpulan pelajar lelaki terkecil dalam tingkatan. Setiap bilik ada dua orang dengan tiada pintu, rakan sebilik saya adalah Abang Rizal, salah seorang pelajar tertinggi Tingkatan 4. Beliau memang baik dengan saya, tidak pernah membuli saya. Kira-kiranya sebagai 'pelindung' saya juga.  Kalau saya berdiri di atas katil pun di dalam bilik, beliau masih tinggi dari saya….(rendahnya saya ketika itu). Walaupun takut, Alhamdulillah, saya dan rakan lain dari MRSM Kulim diterima dengan baik oleh pelajar senior MRSM Balik Pulau. Saya tiada pengalaman dibuli dengan teruk, setakat kena ambil nasi di Dewan Selera itu biasalah. Seminggu sekali, kadang-kadang kena basuh baju senior sehelai dua, tolong seterika baju senior (sebab saya rajin seterika baju, jadi senior selalu suruh seterika baju mereka…he3), kadang-kadang kena suruh picit belakang senior tu, kami kira ‘biasalah’, adat dok di asrama. Belajarlah cara memicit di belakang dari senior dan junior yang lain. Yang penting bagi pelajar junior, saya kira, tak kena lempang, penumbuk atau sepak terajang…Antara kenangan manis tingkatan satu ketika di Blok A adalah ketika elektrik tiada, senior buat ‘upacara sapa nak tengok hantu’. Sesiapa pelajar yang pergi akan dapat tengok hantu di mana anda disuruh pejam mata, maka senior lumurkan jelaga pelita/dll ke atas muka anda, kemudian mereka letakkan cermin di hadapan anda, suruh buka mata, maka anda akan melihat hantu di depan (wajah anda sendiri)…he3…

Ketika masuk ke Tingkatan Dua, polisi meletakkan pelajar lelaki Tingkatan Satu di asrama berasingan masih dikekalkan. Masuk Tingkatan Dua, ‘rasa dah besar sedikit’. Kumpulan Pelajar Tingkatan Tiga (kohort 1983) telah berpindah ke MRSM lain pada tahun 1986, jadinya ada pelajar Tingkatan 1,2,3 dan 5 di MRSM Balik Pulau. Saya bersama beberapa pelajar Tingkatan dua yang lain (asal BP dan asal Kulim) terpilih tinggal bersama pelajar Tingkatan Satu di Blok C (bawah). Tahun 1986 merekodkan pelbagai peristiwa ‘penting’ di MRSM Balik Pulau, tetapi biarlah ia menjadi sejarah dan kenangan MRSM Balik Pulau. Antara permainan kegemaran kami di Blok C (bawah) adalah permainan Millionaire (macam Monopoli).   Habis kelas, lepas makan tengahari, main Millionaire, petang lepas Prep pun main Millionaire.  Rakan sebilik saya ketika itu adalah Sdr Mohd Fadzil Mohd Alwi, orang Selangor. Alhamdulillah, saya bersahabat semula dengan Sdr Mohd Fadzil Mohd Alwi apabila bertemu semula pada tahun 2014/2015 (selepas bertemu kali terakhir di Pusat Matrikulasi MARA Kulim tahun 1992).  Tahun 1986 juga saya mula belajar berniaga di MRSM BP. Dengan menggunakan wang saku RM15 sebulan pemberian MARA, mula-mula saya berniaga Maggi dan kemudiannya kad raya. Kad Raya saya beli ‘bundle’ di Pekan Balik Pulau dan jual semula di Maktab. Begitu juga dengan Maggi, mula-mula saya beli borong di Pekan Balik Pulau dan jual di asrama. Kemudiannya, saya mendapat jaringan yang baik dengan seorang Abang yang bekerja di Dewan Selera (dah lupa nama). Selepas itu, beliau menjadi agen saya (dengan menggunakan motorsikal) untuk membeli Maggi di luar dan memberinya kepada saya. Saya pun dah lupa berapa upah yang saya berikan kepada beliau. Jenama yang popular ketika itu adalah Maggi (perasa Kari, Ayam dan Asam Laksa), Cintan (perasa Asli) dan Mamee (perasa Lontong).

Tahun 1987, apabila memasuki Tingkatan 3, pelajar tingkatan satu (1986) dan menjadi pelajar Tingkatan 2 (1987) bersama kami pelajar Tingkatan 2 (1986) berpindah ke Blok B (Atas). Kiranya dua tahun juga saya bersama pelajar Kohort 1986. Antara Kohort 1986 yang terkenal adalah anak Menteri, yakni Akramsyah Muamar Ubaidah.  Antara kenangan menarik tahun 1987 adalah saya tidak pulang Cuti Raya Haji (Kekanda Hazlim saya pulang bercuti) kerana Peperiksaan SRP yang dekat. Itu pengalaman pertama tidak sambut Raya Haji dengan keluarga. Tinggallah saya bertiga di Blok B (atas), bersama Shamsul Mardi (allahyarham), dan Halim Rais (mantan Kapten kapal). Ada beberapa orang pelajar lain Tingkatan 3 di blok lain.   Alhamdulillah, Maktab menyediakan makanan seperti biasa. Terasa Maktab yang begitu sunyi. Antara kenangan menarik adalah Shamsul Mardi dan Halim Rais ‘sengaja meninggalkan’ saya berseorangan di Blok B (atas). Tahu-tahu berseorangan, tetapi Alhamdulillah, saya tidaklah takut kepada benda-benda pelik-pelik. Melepaskan geram kepada Shamsul Mardi dan Halim Rais, saya mengunci pintu Blok B (atas).  Kemudiannya, bonda yang memahami datang semasa cuti tersebut untuk berjumpa anaknya yang seorang ini dan memberi rangsangan untuk menghadapi SRP.
Belakang dari kiri : Badlishah Jamil, Dr. Helmi Azmi (pakar bius ), Shamsul Khalil, Mohd Nazri Md Ligun (arwah), Mohd Fisoludin, Shamsul Mardee (arwah), Khairul Anuar Ismail (KABI), Mejar Azraf Omar dan Mohd Fadzil Mohd Alwi
Depan dari kiri: Zaimi Zakaria, Azhim Hadi, Kamarul Azhar, saya, Ainul Syahril, Ahmad Nizam Muhaidin (kini di Korea Selatan), Halim Rais

Tingkatan 3 (Blok B atas - 1987)

Keputusan Peperiksaan SRP 1987 memanglah memberangsangkan bagi MRSM Balik Pulau. MRSM Balik Pulau mempunyai bilangan pelajar teramai yang mendapat 8A1 di seluruh negara. MARA juga telah membuat perubahan dasar, dengan mengumpulkan pelajar 8A1 dari seluruh MRSM ketika itu di Tingkatan 4 di Pusat Matrikulasi MARA, Kulim. Walaupun tidak semua pelajar 8A1 berpindah, ramai juga yang turut serta. Antara rakan baik saya yang berpindah ketika itu adalah Khairul Anuar Bin Ismail aka KABI dari Sungai Petani. Beliau memang saya kenal dari MRSM Kulim, dua tahun bersama di Blok C (bawah) dan Blok B (atas). Dalam kalangan pelajar Kohort 85 yang tinggal bersama Kohort 86 selama dua tahun itu, bilik KABI adalah Bilik Berkumpul untuk mendengar pelbagai cerita, celoteh dan bersembang sampai lewat malam. KABI juga bersama saya dalam kelas H dari 1985 ke 1987 di MRSM BP. Dalam Peperiksaan SPM 1989, kumpulan pelajar Pusat Matrikulasi MARA Kulim ini merupakan Sekolah Pertama di Malaysia di mana semua pelajar mendapat Gred 1 (maklumlah semua 8A1).

Kelas H 1985-1987: Saya, Shamsul Khalil, Juzita dan Saliza Othman - Reunion 2014 (25 tahun) di Bukit Merah, Perak

Ketika memasuki Tingkatan 4, saya memutuskan untuk tidak bersama Kohort 1986 lagi. Cari-cari bilik, dapatlah bilik di Blok A (bawah), Kohort 86 masih di Blok B (atas). Tukar bilik punya tukar, dapat sebilik dengan Saudara Aznurin Ahmad. Saya loss contact Saudara Aznurin Ahmad selepas 1989 sehingga kini.  Pengalaman Tingkatan Empat ketika itu memang menyeronokkan kerana ia dianggap sebagai Tahun ‘Honeymoon’, tiada peperiksaan utama.  Saya pula selepas dua tahun dok bercampur dengan pelajar junior setahun, berpeluang bercampur dengan pelajar Senior setahun (Kohort 1984) yang ketika itu di Tingkatan 5. Senior di Blok A (bawah) memang rock-rock belaka. Ketika itu memang zaman Rock. Ramai kawan dan senior yang ke Konsert Rock di Georgetown dan lain-lain. Search, Lefthanded, Wings, May, dan Bumiputera Rockers merupakan antara kumpulan rock popular ketika itu. Tahun 1988 juga, kami pelajar Tingkatan 4 harus memilih jurusan sama ada Sains Tulen atau Sains Gunaan. Maka berpisahlah dengan rakan saya di Kelas H, yang kami agak rapat kerana bersama dari Julai 1985 sehingga penghujung 1987. Antara rakan sekelas dalam Kelas H yang saya ingat adalah KABI, Shamsul Khalil (masih bersahabat sehingga kini), Kamarus Shahar (jurutera kapal terbang), Munir Kasman (usahawan berjaya di Kuantan - Intan's Oven), Mohd Nazri Yusoff (Etikoi-usahawan orkid berjaya di Kedah -  Avvi), Mejar Azraf (ATM), Anuar Mohamed, Rodzi (Yol),… lupa dah… Terus terang saya katakan, tiada siapa yang menasihati saya jurusan mana paling baik. Akhirnya, saya memilih Sains Gunaan, ambil mata pelajaran Fizik, Kimia dan Perakaunan tetapi tidak ambil Biologi. Maka di Tingkatan 4, saya dan rakan lain sekitar 30 orang yang ambil Sains Gunaan (Kohort Akaun 1988-1989). Sebagai satu kelas, kami memang rapat sehingga Tingkatan 5. Kami sempat buat satu baju panas untuk kohort kami, dan baju ini masih saya simpan sehingga sekarang kerana ianya masih elok.

Dalam asrama

Ketika di Tingkatan 4, saya mula berjinak dengan kamera.  Dengan kamera RM35 sebuah, dengan flash murah, saya mula menggendong kamera murah itu ke sana-sini. Banyaklah gambar senior dengan Jeans dan Jaket rock mereka yang saya ambil dan cetak. Saya dah lupa nama senior-senior ini, di lorong kiri Blok A bawah. Yang saya ingat adalah ‘Korak’ kerana kepelikan namanya dan beliau mempunyai tambahan satu jari kecil di salah satu tangannya. Menjadi jurukamera tidak bertauliah dengan kamera automatik murah sebenarnya merupakan satu episod penting dalam hidup saya, bukan kerana saya menjadi jurukamera profesional kemudiannya tetapi ketika tahun 1985-1987, saya agak gemuruh berhadapan orang ramai. Sedangkan ketika di Sekolah Rendah (Sekolah Kebangsaan Junjong - 1982-1984), selaku Ketua Pengawas, saya tidaklah gemuruh berhadapan orang ramai. Ketika itu (tahun 1984), seperti biasa pada perhimpunan pagi, sayalah yang akan memberi arahan kepada murid-murid beratur dan menyanyikan lagu Negaraku. Dengan mengendong kamera kecil ini, saya ‘belajar masuk’ ke majlis, berdiri di hadapan orang ramai, tidak kekok, tidak malu berhadapan orang ramai, walaupun belum berani bercakap di hadapan orang ramai sebenarnya.

Tahun 1989 merupakan tahun terakhir di MRSM BP dan merupakan tahun terbaik dan terindah sebenarnya…he3… Mengapa? Kerana sudah bergelar pelajar senior…he3… Memandangkan dah semakin meninggi, tidaklah kecil seperti di Tingkatan Satu, lepas tu Senior pula, nak lah rasa ‘nikmat’ menjadi Senior. Tapi saya tidaklah nakal ataupun jahat, tiada rekod disiplin pun, ‘budak baik’.  Saya taklah buat benda pelik-pelik, sekadar ‘memotong barisan’ ketika beratur di Dewan Selera, itupun bukan selalu.  Yang lainnya meminta pelajar Junior mengambil makanan dari depan asrama (Blok A bawah), itupun jarang-jarang, sekadar nak ‘rasa’ apa nikmatnya orang ambil makanan untuk kita …he3. Yang lainnya, saya tidak pernah kacau pelajar Junior, hatta jentik sekalipun. Saya orang susah, saya tahu kesusahan orang, sentiasa ingat pesan bonda di kampung. Rakan sebilik ketika ini adalah Mohd Rezuwan (Pakcik). Satu yang menarik ketika di Tingkatan lima, bilik asrama kami kembali disusun mengikut Keluarga Pelajar.

Bagi saya, antara waktu terbaik tahun 1989 adalah ketika menghadapi Peperiksaan SPM. Maktab kosong, tiada pelajar lain, hanya kami pelajar Tingkatan 5. Terasa maktab begitu aman, rakan-rakan semuanya fokus dengan tekun belajar, biasalah ada juga yang ‘melencong’ ke sana-sini. Tiada kelas, tiada prep, macam tiada jadual, bebas nak buat apa-apa sebelum minggu peperiksaan dan sepanjang 3 minggu peperiksaan SPM. Asrama kosong, belajarlah kat mana nak belajar. Bilik kelas juga kosong, kawalan guru memang dilonggarkan dan saya amat menghargainya. Dah nasib kami, Mata Pelajaran Bahasa Malaysia kena ambil dua kali sebab kebocoran kertas peperiksaan. Antara yang saya ingat juga adalah heboh tajuk-tajuk soalan yang akan keluar dalam mata pelajaran Sejarah, maka kami pelajar yang ambil sejarah sibuk ulangkaji tajuk-tajuk ini. Rupanya ia hanya jangkaan, bukan bocor pun…Satu yang saya ingat adalah ketika menjawab mata pelajaran terakhir dalam peperiksaan SPM,  saya berkata dalam diri sendiri, “ini peperiksaan terakhir aku sebagai pelajar sekolah, lepas ni bahagianya dah tak jadi pelajar sekolah”…he3…


Antara kenangan indah di BP adalah ketika Maktab terputus bekalan air.  Maka berpusu-pusulah pelajar pergi mandi di bilik air di kawasan akademik. Ada juga kami mandi di kawasan Tangki Air di sebelah Pondok Pengawal tu. Dalam kes yang lebih kritikal, kami, para pelajar dibenarkan keluar maktab untuk mandi di sungai-sungai berdekatan, di rumah orang kampung dan di kawasan ‘hutan’ sebelah maktab. Saya pernah mengikuti senior untuk mandi kawasan hutan tu, juga di sungai-sungai di kawasan orang kampung. Maktab juga terletak bersebelahan Kebun Durian dan Dusun orang kampung. Apabila musim buah, sama ada terputus bekalan air atau tidak, banyaklah ‘aktiviti kawan-kawan’.

MRSM mengajar kami berdikari. Saya mula belajar menggunting rambut ketika Tingkatan Dua di Blok C bawah. Tanpa kursus atau sebarang latihan, tengok kawan gunting, saya pun belajar menggunting rambut pelajar Tingkatan Satu. Mula-mula memanglah ‘tak menjadi’, lama-lama menjadilah. Saya juga tidak pernah menggunting rambut di luar maktab. Kekanda Hazlim saya yang tinggal seMaktab akan menggunting rambut saya apabila ‘tiba masanya’.  Pengalaman dan asas kemahiran gunting rambut ini saya kira penting apabila saya menyambung PhD di U.K. Semua anak lelaki saya yang tiga orang itu tidak pernah pergi ke kedai gunting rambut, di mana saya (juga isteri saya) pakat-pakat mengguntingnya.

Zaman saya dan rakan-rakan membesar adalah zaman rock. Satu Kumpulan Rock kohort kami adalah Snyder. Snyder dianggotai oleh Syed Yusrie (Lead guitar), Lan Kapchai  (Bass), Upai (Drummer), Boro (Vokal) dan Angem (Second Lead). Sekali-sekala kat asrama, dengarlah Snyder bermain, walaupun agak sumbang…he3. Zaman tu, seluar yang besar di bawah sengaja dikecilkan. Chee antara ‘Tukang jahit bertauliah’.  Saya pun ikut tren juga, tapi jahit sendirilah. Jahit biar kecil di bawah, bila nak sarung, tapak kaki kena masukkan dalam plastik dahulu, baru boleh sarung seluar. Kalau tidak, kaki tak lepas…kih3..Kasut yang popular adalah Fung Keong dan Pallas Jazz.





Pengalaman belajar di MRSM Balik Pulau memanglah menarik. Saya berpandangan MRSM pada ketika itu mempunyai sistem pembelajaran yang lengkap.  Kemudahan asrama boleh dikatakan sederhana, biasalah tandas kadang-kadang tersumbat, tetapi kemudahan kelas, dewan makan, kemudahan sukan dan lain-lain boleh dianggap selesa dan canggih  berbanding sekolah biasa. MRSM mempunyai sistem pembelajaran yang tersusun sepertimana SBP yang lain. Bermula dengan sarapan pagi (Subuh sendiri-sendiri/ada yang berjemaah), perhimpunan pagi, kelas, habis satu kelas terkejar-kejar ke kelas lain (MRSM ikut sistem universiti dalam hal ini).  Setiap kelas membawa kapur dan pemadam (duster) ke sana-sini dan saya antara pelajar yang diberikan tugas membawa barang ini ke sana-sini.

Berhenti sekejap minum pagi jam 1000/1030, kemudian sambung dengan kelas sebelum berhenti untuk makan tengahari, rehat dan solat Zohor. Selepas itu aktiviti disambung dengan prep, habis prep, ada minum petang (Solat Asar sendiri-sendiri) dan kemudiannya aktiviti sukan (biasanya bebas boleh lepak di macam-macam tempat dalam maktab). Selepas sukan, dalam jam 600 petang, dah boleh mula makan malam sehingga ke 700 petang, kemudian mandi, solat Maghrib (biasanya berjemaah di asrama masing-masing) dan prep pada waktu malam. Habis prep, dalam jam 1000 malam, boleh kembali ke Dewan Makan/Selera untuk minum malam dan balik ke asrama untuk tidur (Solat Isyak sendiri-sendiri). Itulah rutin harian hari sekolah. Hari Sabtu biasanya ada Perhimpunan Pagi. Sabtu dan Ahad juga boleh keluar ke bandar (saya dah lupa turutannya). Bagi yang banyak duit, mereka akan ke Georgetown (Tanjung). Di Georgetown, 'banyaklah aktiviti' pelajar-pelajar MRSM ini...he3...Tapi saya tidaklah nakal semasa di MRSM cuma tahu aktiviti kawan-kawan...he3...

Di MRSM BP, saya belajar menggunakan komputer seawal tahun 1986. Ada dua jenis komputer ketika itu iaitu berasaskan Apple dan berasaskan IBM, di mana tiada compatibility antara kedua sistem ini. Disket yang digunakan ketika itu sebesar 5 inci. Sekarang dengan clouding, kita tidak perlu lagi bawa thumb drive ke mana-mana asalkan internet beroperasi, cepatnya teknologi berkembang. Kami belajar membuat program dengan program BASIC @ GWBASIC (saya dah lupa). Taip sebaris demi sebaris arahan, lepas tu RUN, maka keluarlah di skrin computer SELAMAT DATANG sebagai contoh.  Kami juga belajar Word Star, yang popular dengan Control K D dan Control K S.  Permainan popular adalah Karate Kid dan Taipan. Pelajar akan mencuri-curi bermain permainan ini di dalam makmal dan 1001 kisah lain yang tidak perlu dipaparkan di sini. Semasa di Matrikulasi Kulim, saya juga ‘mencuri-curi main 'Taipan’ di makmal komputer (termasuk Syarif Tuah; senior setahun di MUUM Kulim)…he3… Pelajar MRSM memang berbakat, kreatif dan berani…he3

Saya kira selain kecemerlangan akademik yang ditekankan di MRSM, keseimbangan aktiviti ko-kurikulum juga disepadukan.  Terima kasih kepada MARA kerana sepanjang di MRSM Balik Pulau, saya berkesempatan menimba pelbagai pengalaman ko-kurikulum.  Ko-kurikulum yang saya sertai merupakan Pengakap, Kelab Basikal, bermain sofbol untuk Maktab. Saya paling banyak pengalaman dengan Pasukan Pengakap ke-12 Balik Pulau kerana menyertainya dari MRSM Kulim sehingga BP. (Saya menyertai Pengakap dari Sekolah Rendah dan arwah ayah saya juga orang kuat Pengakap di Kulim ketika dahulu). Enam bulan di Kulim, tidak banyak aktiviti pengakap yang saya sertai kecuali kami lulus ‘keahlian’.

Sepanjang 5 tahun bergelar Mat Pengakap, saya berpeluang berkhemah di pelbagai tempat. Antaranya di Kem Maju di Taiping (sewaktu Tingkatan 1 atau 2) di mana kami menaiki bas dari Balik Pulau ke Kem Maju dan menjalankan aktiviti di sana. Agak mengecewakan ketika itu di Taiping kerana ‘Pengakap BP’ tidak dibenarkan masuk ke dalam MRSM Taiping (nak jumpa kawan-kawan lama dari Kulim). Dengan Pengakap, kami berjalan ke Pantai Pasir Panjang, Balik Pulau dan berkhemah di sana. Dengan Pengakap, saya belajar buat BBQ Ayam, dan pelbagai kemahiran kemandirian. Dengan Pengakap, saya dan rakan-rakan membantu Cikgu Nadiyah Elias (kini Dr. Nadiyah Elias) untuk aktiviti di bawah bimbingan beliau (saya lupa, Puteri Islam rasanya) di Pantai Pasir Panjang.  Semasa di Tingkatan 2, dengan pimpinan Sdr Rizal Kamis (kini pegawai di Suruhanjaya Pilihanraya Pulau Pinang; baru kembali menemui Allah Taala pada 23 Mac 2016 akibat kemalangan jalan raya), saya (dengan MRSM BP) pernah menyertai perkhemahan di Sekolah Kebangsaan St George Balik Pulau. Cikgu Azlan merupakan antara Penasihat Pasukan Pengakap MRSM BP  selain Cikgu Zahari. Saya masih ingat, kami beramai-ramai menyanyikan Lagu Bahtera Merdeka dalam Malam Persembahan.

Bersama Rizal Kamis, saya menyertai perkhemahan  Sekolah Menengah Kebangsaan Seri BP di Teluk Bahang (semasa di Tingkatan 4) sebagai Pembantu Perkhemahan. Memang agak panas berkhemah di Teluk Bahang, dan sayalah yang menjadi tukang masak untuk kumpulan Cikgu-Cikgu Sekolah Seri. Apa yang saya masak? Tahulah sikit-sikit, Kerabu tomato, telur goreng, sardin dll. Kebetulan, saya empat beradik semuanya lelaki, jadi bonda ‘mengajar’ kami hal ehwal ceruk dapur dari kecil. Sehingga sekarang, saya kira, kami adik-beradik lelaki tidak kekok di dapur. Adinda saya Hazlisham memang pakar masak masakan kari, kekanda Hazlim saya suka  masak pelbagai jenis masakan dan kuih-muih. Satu benda yang saya belum sempat belajar dari Bonda, iaitu buat ‘Rempah Giling’ untuk kari/gulai (orang Utara panggil kari sebagai Gulai). Kalau Bonda buat Gulai dengan Rempah Giling, memang superb, pasti habis, semua nak bawa balik (tapau).

Dari kiri: Kekanda Hazlim, Kekanda Haslan, Adinda Hazisham dan saya

Saya pernah mengikut kursus khas Pengakap (lupa nama kursus) di Kem Coronation di Taman Botani (Tingkatan 4) anjuran Pasukan Pengakap Pulau Pinang. Dari BP-12, kami tak ramai, dalam 6 orang rasanya, Rizal Kamis, Aziran Abdul Majid (jurutera aeronatik; saya tak pasti nama kerja sebenar), Halim Rais (mantan Kapten kapal, kini dok di darat), Taufik Yusof (guru di Kuala Lipis) dan Azmi Ismail (guru di Nibong Tebal). Aktiviti kem ini lebih mencabar termasuk mendaki Bukit Bendera (mendaki kali kedua) dan pelbagai aktiviti ikhtiar hidup. Selain itu, saya pernah mengikuti dua/tiga Jamboree Pengakap di Pulau Pinang. Pengalaman indah adalah kami dari Pasukan Pengakap ke-12 Balik Pulau mendapat tempat ketiga dalam Jamboree di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang (1988). Lebih 50 sekolah menyertai Jamboree tersebut, dan kami mendapat tempat ketiga...Alhamdulillah. Bangga juga bukan sahaja kerana banyak sekolah yang bertanding, tetapi berpuluh   aktiviti yang terlibat yang memerlukan kerjasama berpasukan untuk menang.

Pengalaman lain yang menarik semasa di Tingkatan 4 adalah Pasukan Pengakap dipenuhi pelajar perempuan dengan pelajar lelaki sebagai minoriti (ko-kurikulum diwajibkan ketika itu dan ramai pelajar lelaki masuk Kadet Bomba dan Kadet Tentera Laut/Darat). Majoriti pelajar perempuan yang glamour-glamour masuk Pengakap. Saya menjadi Setiausaha Pasukan Pengakap ketika itu, juga Quartermaster Pasukan. Antara yang menarik adalah kami pelajar Tingkatan 4 berkhemah di Kem Coronation  di Taman Botani. Apa yang menariknya? Sebagai Setiausaha juga Quartermaster, saya yang memesan makanan dan minuman dari Pengurus Asrama. Ini pengalaman pertama saya jadi ‘Ketua Tukang Masak’ untuk Masak Kawah. Alhamdulillah, disebabkan ramai pelajar perempuan, kami dapat masak makanan dengan baik dan semua dapat makan. Yang paling susah adalah masak nasi kawah, silap sikit boleh jadi nasi mentah. Antara yang memainkan peranan penting ketika itu adalah Puan Mazza (kini jiran seBangi). Mazza memang cekap memasak,  'tangan memang jadi' bila memasak. Ia juga pengalaman pertama saya mendaki Bukit Bendera (ikut jalan raya). Memang best menikmati keindahan flora dan fauna sepanjang perjalanan ke puncak Bukit Bendera.

Antara yang menarik juga semasa berpengakap adalah  saya sempat bersilaturrahim dengan rakan-rakan sekolah luar dan menjadi sahabat baik pasca MRSM. Antaranya adalah Sdr Rozhan Yusof (kini Pesuruhjaya Pengakap Daerah Balik Pulau). Selepas SPM, saya sempat bermalam beberapa malam di rumah beliau di Balik Pulau dan menikmati mandi pagi dalam sungai yang jernih dan penuh kedinginan. Adinda saya, Hazlisham meneruskan ‘tradisi keluarga’ untuk aktif berpengakap dan kini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang (Teknologi Komunikasi dan Koperasi).

Selain Pengakap, MRSM memberikan pelbagai peluang dalam kegiatan ko-kurikulum. Di MRSM BP, kami didedahkan dengan Kem Bina Insan, yang diperkenalkan oleh Cikgu Hussain Ibrahim, Pengetua ketika itu. Mengikut Keluarga Pelajar, kami berjalan kaki dari MRSM ke Pantai Pasir Panjang, bermalam di sana dan diberikan aktiviti ‘membina insan’. (Beberapa tahun selepas itu sebahagian besar Pantai Pasir Panjang diberikan kepada Biro Tatanegara untuk dijadikan Kem Bina Negara). Memang lumrah tidak semua pelajar suka Kursus Bina Insan, tapi bagi saya yang berlatarbelakangkan keluarga susah, ia memang baik dan mengukuhkan jati diri saya. Semasa habis Peperiksaan SRP, kami sepatutnya menjalani Program Post-SRP di Kem Polis Hutan di Ulu Kita, Perak. Namun, situasi semasa tidak memihak kepada kami dan program ini dibatalkan. Tak silap saya, ia berkaitan Ops Lalang ketika itu. Jadinya Pasukan Polis Hutan (PPH), kini Pasukan Gerakan Am, datang ke MRSM Balik Pulau untuk melatih pelajar selain Polis Balik Pulau. Sekali lagi, kami ke Pantai Pasir Panjang untuk pelbagai aktiviti. Sekitar seminggu Program Post SRP memang memenatkan, tapi bagi saya ia menarik.

Saya pernah menjadi Setiausaha dan Bendahari Kelab Basikal semasa di Tingkatan 4. Walaupun kurus dan mungkin dianggap tidak sesuai sebagai pelumba basikal yang berpotensi, dengan Kelab Basikal, kami pelajar MRSM berpeluang keluar dari MRSM setiap petang hari sekolah (waktu Sukan).  Pada hari Sabtu dan Ahad juga, kami berpeluang keluar untuk berlatih di luar. Antara yang menarik adalah saya sempat berbasikal ke Air Terjun Titi Kerawang dari MRSM BP bersama rakan-rakan (Zaimi Zakaria & Fisoludin). Puas juga nak memanjat bukit untuk sampai ke Titi Kerawang. Dengan Kelab Basikal, habis satu Daerah Balik Pulau saya jelajah di waktu petang. Semua jalan sekitar Balik Pulau saya hadam dengan Kelab Basikal. Dengan Kelab Basikal, kami ke Balik Pulau pada petangnya, membeli Bun, Burger Malaysia dan kuih lain untuk dijual di dalam maktab. Dengan keuntungan itu, dapatlahlah menampung sedikit kos penyelenggaraan basikal-basikal lumba yang kami ada. Kami belajar berdikari tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan Maktab. Senior saya dalam Kelab Basikal adalah Sdr Roslan dan ??? . Beliau banyak menyertai pertandingan di sekitar Pulau Pinang. Kini, saya difahamkan Roslan membuka sebuah Restoran Nasi Arab di Kulim.

Satu komponen utama di MRSM adalah Keluarga Pelajar (Homeroom). Kalau di peringkat matrikulasi, dipanggil Mentor-Mentee. Seorang guru akan bertindak sebagai Penasihat Keluarga Pelajar dengan jumlah pelajar sekian banyaknya, gabungan pelajar lelaki dan perempuan. Keluarga Pelajar dikelompokkan mengikut pelbagai nama dari huruf A sehingga P. Saya Keluarga Pelajar Obor '85. Penasihat kami adalah Cikgu Mohd Amin Rohani (kini di MRSM Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka). Sepanjang dekat 5 tahun bersama Cikgu Mohd Amin Rohani, saya kira beliau seorang yang tegas. Tetapi ketegasan itulah yang membolehkan anak didiknya berdisiplin dan berjaya. Saya banyak belajar menulis karangan, esei, laporan dan sebagainya dari Cikgu Mohd Amin Rohani kerana dua tahun belajar Bahasa Malaysia dengannya (Tingkatan 4 dan 5). Alhamdulillah, teknologi internet dan Facebook membolehkan saya berhubung semula dan menziarahi semula. Jutaan terima kasih Cikgu Mohd Amin Rohani.

Rakan-rakan di Obor 85

(Taufik Yusoff (Guru di Kuala Lipis), Rafieqah Zainal Abidin (Ikut suami di luar negara, Sudan rasanya), Shaharudin Salleh (Jurutera carigali; menetap di Johor), Aznurin Ahmad (tiada berita), Hairolnizam Zainudin (aka Cat; di Selangor; masih kelakar macam dulu2), Khairul Anuar Md. Akhir (aka Jazz; Doktor perubatan di Teluk Intan, buka klinik sendiri), Syed Mohd Yusrie Syed Alwi (kerja bank di Kedah; juga jurufoto professional separuh masa), Mohd Helmi Azmi (Doktor pakar bius; berkahwin dengan Shuzlina Abd Rahman; rakan seMaktab), Mohd Rezuan Ismail (aka Pakcik; di Lembah Klang), Anuar Mohamed (jurutera carigali; menetap di Seremban), Zul Izhar Ismail (doktor pakar di HUSM Kubang Kerian, Kelantan), Maswati Salim (pensyarah di UUM) dan Wan Mastura Azlina (aka Tora; di SPNB KL)


Satu komponen utama di MRSM adalah Keluarga Pelajar (Homeroom). Kalau di peringkat matrikulasi, dipanggil Mentor-Mentee. Seorang guru akan bertindak sebagai Penasihat Keluarga Pelajar dengan jumlah pelajar sekian banyaknya, gabungan pelajar lelaki dan perempuan. Keluarga Pelajar dikelompokkan mengikut pelbagai nama dari huruf A sehingga P. Saya Keluarga Pelajar Obor '85. Penasihat kami adalah Cikgu Mohd Amin Rohani (kini di MRSM Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka). Sepanjang dekat 5 tahun bersama Cikgu Mohd Amin Rohani, saya kira beliau seorang yang tegas. Tetapi ketegasan itulah yang membolehkan anak didiknya berdisiplin dan berjaya. Saya banyak belajar menulis karangan, esei, laporan dan sebagainya dari Cikgu Mohd Amin Rohani kerana dua tahun belajar Bahasa Malaysia dengannya (Tingkatan 4 dan 5). Alhamdulillah, teknologi internet dan Facebook membolehkan saya berhubung semula dan menziarahi semula. Jutaan terima kasih Cikgu Mohd Amin Rohani.

Bawa sekali isteri dan anak-anak ziarah Cikgu


Ziarah Cikgu Mohd Amin Rohani pada 6 Disember 2014



Kami sempat ziarah Cikgu Hasran Hashim yang tinggal tidak jauh dari 
Cikgu Mohd Amin Rohani


Setiap minggu, ada masa khusus untuk pertemuan semua pelajar dengan Penasihat Keluarga masing-masing. Kekanda saya, Hazlim pernah melawat Langkawi dengan keluarga pelajar beliau. Antara aktiviti keluarga pelajar adalah berniaga di malam minggu di dalam maktab. Saya berpendapat ia satu aktiviti yang baik untuk pelajar kerana mendidik erti keusahawanan di peringkat awal. Dalam kajian keusahawanan, antara faktor yang boleh mendorong individu menjadi usahawan adalah pengalaman-pengalaman positif mengenai keusahawanan yang ditempuhi seseorang dalam hidupnya....

Keluarga Pelajar juga dikelompokkan dalam Rumah Sukan masing-masing. Rumah Sukan saya adalah Rumah Kuning (Cahaya, Gemilang, Khidmat dan Obor). Apa menariknya Rumah Kuning dengan Cikgu Mohd Amin Rohani sebagai Penasihat Utama? Rumah Kuning merupakan Johan Kejohanan Sukan yang diadakan di MRSM BP. Antara atlet utama Rumah Kuning yang saya ingat adalah Azad (Azhar Adnan), Shamsul Mardee (arwah) dan Inayah. Bab olahraga memang saya tidak layak, lari tak pantas, kurus pulak tu, nak masuk apapun tak berbakat. Tapi saya menjadi jurukamera ketika ini dan sempat merakamkan detik-detik manis Rumah Kuning menjadi Johan dalam Kejohanan Olahraga 1989. Kebetulan saya juga Rumah Kuning semasa Sekolah Rendah (Sebagai Naik Ketua) dan kami juga Juara Keseluruhan (Johan catur, Johan ping pong lelaki, Johan ping pong perempuan, Johan kuiz Sains, naib johan bolasepak, naib johan bola jaring...apa lagi?).

Semasa bulan Disember 1988, MRSM menganjurkan pelbagai aktiviti untuk pelajar MRSM SeMalaysia. Alhamdulillah, saya terpilih menyertai Kem Rekreasi di Pusat Pengajian Alam Semulajadi di Lanchang, Pahang. Lama juga kem ini, dalam seminggu. Saya naik bas dari Kulim, menumpang bermalam di rumah saudara di Petaling Jaya, kemudiannya kami berkumpul di depan Bangunan MARA lama (kini telah tiada disebabkan dibina Bangunan Baru MARA yang menempatkan Hotel Premiera Kuala Lumpur). Dengan Bas MRSM, kami menempuh perjalanan melalui Leburaya Karak. Menariknya Kem Rekreasi adalah kerana bilangan pelajar yang tidak ramai, dalam 30 orang dan majoritinya pelajar perempuan, pelajar lelaki dalam 7 orang sahaja. Pelajar lelaki hanyalah saya bersama pelajar Junior setahun dari Balik Pulau (Mejar (B) Shaheezam dan tiga rakannya), Firdaus dari MRSM Jasin dan seorang lagi dari MRSM Muar.

Kami tinggal di asrama dalam beberapa malam, mengikuti ceramah, berkawad, aktiviti kompas dan lain-lain. Ketika itu juga, rombongan kami naik bas menuju ke satu tempat untuk satu lawatan di Pahang tetapi tidak dapat meneruskan perjalanan kerana banjir menutupi jalan. Kemudiannya kami bermalam lagi 3 malam dengan berkhemah tidak jauh dari PPAS. Pengalaman berkhemah ini memang menarik, dengan pelbagai aktiviti di dalam hutan selain jungle tracking ke Penempatan Orang Asli. Sekali lagi, saya berperanan sebagai tukang masak semasa berkhemah. Pengalaman Kem Rekreasi memang menjatuhkan hati saya dengan hutan dan alam semulajadi. Ianya menambah nilai kepada saya di samping aktiviti berPengakap dan berkhemah.  Saya sempat membawa isteri dan anak-anak untuk lihat PPAS dan kawasan kami berkhemah apabila saya sekeluarga pergi ke Pusat Pemuliharaan Gajah di Kuala Gandah, Lanchang beberapa tahun yang lepas. 

Jika tidak kerana saya tidak mengambil kursus Biologi di peringkat SPM, saya mungkin sudah menyambung pengajian dalam bidang Sarjanamuda Sains Perhutanan di UPM. Waktu tu kecewa juga, nak buat macam mana, tidak ada sesiapa menasihatkan saya semasa menentukan sama ada memasuki Sains Tulen atau Sains Gunaan di awal Tingkatan 4. Tapi setiap satu ada hikmahnya, kalau jadi Pegawai Hutan, mungkin tidak sampai pula ke Wharton School…he3… Dua orang rakan dari MRSM lain yang saya berjumpa di Kem Rekreasi PPAS Lanchang,  saya bertemu kembali semasa di Matrikulasi UUM di Kulim iaitu Zamzamila Zambri dan Anis Khairi Md Taib, dan masih berkawan dengan mereka sehingga kini.

Dalam aktiviti sukan, saya aktif dalam ping pong dan sofbol. Antara rakan sepermainan ping pong saya adalah Anuar Mohamad (jurutera carigali minyak dan menetap di Seremban), dan Hasmadi Hassan (Gaban). Senior yang hebat bermain Ping Pong adalah Sdr Nor Azizi Romli (kini Timbalan Pengetua di MRSM Kubang Pasu). Saya mula bermain ping pong semasa di Sekolah Rendah, pernah mewakili Sekolah Rendah, tetapi di MRSM, ping pong ketika itu tidak begitu diberi perhatian. Sofbol merupakan sukan baru di BP ketika itu. Pasukan Senior (Kohort 84) merupakan pasukan perintis sofbol di MRSM BP. Kami, Kohort 85 merupakan kumpulan kedua. Pitcher kami adalah Nazri Elias aka O’OL (Kapten kapal terbang) dan Shaharudin Salleh (Jurutera carigali). Saya bermain di posisi Shortstop. Rakan lain adalah Assuad (dah tak bawa kapal, menetap di Bangi, bekerja di Singapura), Jaz (Dr. Khairul Anuar Md Akhir – buka klinik sendiri di Teluk Intan), Aznurin, Shamsul Khalil (usahawan/kerja sendiri), Meon (kerja sendiri, Tokey Koop), Nizam (seconded di Geoje, Korea Selatan), Caom (doktor di Australia), Halim Rais (dah tak bawa kapal; Pengurus Operasi di Sungai Udang Port) Omar Musa (dengan Petronas), Mat Nasiaq (usahawan berjaya melalui Syarikat Salbira Cakes and Cookies) dll. Dengan menggunakan nama ‘Havoc’, kami berjaya melepasi Pusingan Awal dan melangkah ke peringkat Suku Akhir di Pulau Pinang. Rezeki tidak menyebelahi kami apabila tidak berjaya melepasi suku akhir.  Satu yang menarik mengena sofbol adalah kami berniaga burger hampir setiap hujung minggu di dalam Maktab. Ini memberikan pengalaman berdikari, berniaga, dan asas keusahawanan yang cukup penting untuk kerjaya masa hadapan.




Saya juga berpeluang menyertai Sidang Redaksi Majalah Maktab sebagai jurufoto dan salah seorang Editor Sukan dengan Muhammad Yazid Jalaluddin (kini Profesor di Pusat Perubatan Universiti Malaya; pakar dalam bidang kanak-kanak/pediatrik) sebagai Ketua Editor. Dengan meminjam kamera O’OL, banyak peristiwa di maktab saya sempat rakamkan. Penasihat kami adalah Cikgu Zakiah. Saya kira amanah dan kepercayaan Cikgu Zakiah kepada saya penting, kerana saya mengurus semua aspek kewangan gambar secara sendiri (cuci gambar, beli negatif dan lain-lain). Kamera dan beg hitam menjadi ‘trademark’ saya di Balik Pulau. Saya meneruskan hobi mengambil gambar sehingga ke UUM, dan berhenti lama selepas itu. Apabila menyambung pengajian PhD di UK (2006-2010), saya menyambung hobi ini, untuk suka-suka sahaja, dan kini memiliki kamera Nikon D5000 dengan Zoom 300 dan Canon EOS (18-105). Gambar kulit majalah Nostalgia kohort kami dilukis oleh Sdr Nadisha, seorang pelukis yang prolifik, kini seorang pilot kapal terbang bersama MAS. Majalah ini masih dalam proses penerbitan semasa kami mengambil Peperiksaan SPM. Saya masih ingat Cikgu Zakiah memanggil Yazid, saya dan  beberapa orang lagi untuk suntingan terakhir sebelum majalah dicetak sewaktu kami sedang mengambil SPM.

...bersambung Pengalaman Di Matrikulasi UUM, Kulim selepas ini...












1 comment:

  1. terbaca nukilan tuan..mmg duduk di MRSM Kulim ini mengimbau nostalgia zaman remaja yang membawa kenangan yang sangat manis.

    Saya berbangga menjadi pelajar Pioneer MRSM Kulim 1977-1981.

    Badri Khan
    0102313549

    ReplyDelete