Sunday, 14 October 2018

Kepada yang sudah berumur, kejayaan tidak pernah terlewat

Assalamu'alaikum dan salam bahagia,

Dua minggu lepas, saya ke UUM, Sintok. Always love to go back to UUM, my alma mater. Saya mengenakan tali leher UUM, yang diberikan kpd saya dalam satu program yang saya terlibat sebagai salah seorang penceramahnya dua tahun sebelumnya. Setelah bergraduasi pada tahun 1996, tahun 2016, selepas 20 tahun, barulah UUM mengundang saya ke program anjurannya. Alhamdulillah, ini kali kedua saya ke UUM. Moga-moga ada lagi jemputan dari UUM. Saya memang teruja 'turun' ke UUM, sebuah universiti pengurusan yang menyediakan pelbagai pentas kepada saya dan mematangkan saya dalam kehidupan. Apatah lagi di zaman anak muda dengan darah muda, macam-macam pengalaman pahit-manis semasa belajar di UUM dahulu.

Walaupun ramai pelajar tak suka, peraturan memakai tali leher di UUM mendisiplinkan saya dalam memakai pakaian yang kemas. Apatah lagi di zaman 1992-1996, pokok-pokok di UUM Sintok masih belum tinggi, belum merimbun, kampusnya masih panas. Dengan berbaju kemeja tangan panjang dan mengenakan tali leher, tahap kepanasan tubuh badan akan meningkat, peluh cepat keluar, macam mana hendak belajar? Di sebalik permasalahan itu, peraturan ini ada kebaikannya. Melihat pelajar universiti zaman sekarang, kadang-kala begitu selekeh sedangkan kekemasan diri itu mencerminkan juga perwatakan dan keperibadian diri. Kita pun bukan nak ikut Barat sepenuhnya, tapi apa yang baik itu dan tidak bertentangan dengan agama tidak salah untuk diikut (bukan ditiru).

Saya sampai agak awal di Ghazalie Shafie Graduate School of Government (GSGSG) di COLGIS. Menunggu 90 minit sebelum viva bermula di dalam bilik tetamu pasti merimaskan saya. Justeru itu, saya berjalan dari COLGIS, merentasi Pust Konvensyen yang rekabentuknya menyusahkan kita melintasinya (siapa arkitek bangunan ini...he3),  ke bangunan HEP lama, melihat kaunter servis yang canggih, kafetaria HEP yang semakin canggih, pejabat Jab Pembangunan yang berubah menjadi muzium, kemudian ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah. Saya banyak juga meminjam buku di Perpustakaan dan menyewa loker di situ untuk meletak barangan saya. Kemudian saya ke  kafetaria bawah, juga sudah berubah wajah dan menyelusuri 'Sekolah Ekonomi Lama', kini Pusat Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, sehingga sampai ke 'Sekolah Bahasa lama' dan Pusat Pembangunan Sosial.  Kafetaria semuanya sudah berubah wajah dan menampakkan wajah terkini, Alhamdulillah. 

Dari Pusat Pembangunan Sosial, saya kembali ke 'Sekolah Perakaunan dan Sekolah Teknologi Maklumat' yang lama, lalu sebelah Pusat Komputer lama (kini Pusat IT) dan masuk ke 'Sekolah Pengurusan Lama', kini Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan. Sekolah Pengurusan merupakan sekolah lama saya dan Dekan semasa saya mula memasuki tahun satu adalah Prof. Dato Dr. Sudin Harun (baru dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UUM). Kemudian saya kembali ke COLGIS dan menunggu sesi viva. Melihat universiti yang dah banyak berubah semenjak saya meninggalkannya tahun 1996. Terlalu banyak kenangan di Sintok dalam empat tahun di situ.

Pada zahirnya, saya kemungkinan besar tidak akan dapat ke sana (kerana satu sebab), tapi perancangan dan keizinan Allah itu berbeza dengan logik akal fikiran kita. Saya membawa kereta dari BBBangi bermula jam 4.45 pagi, sampai di KLIA2 jam 525 pagi, isteri say amembawa kereta kembali ke rumah, saya menunggu waktu untuk bersolat Subuh dan Alhamdulillah, AirAsia tepat pada masa dan saya selamat mendarat di LTSAH. Pemandu yang disediakan sudah menunggu saya di LTSAH, dan saya sampai di UUM dengan lebih awal. Dari zaman saya belajar, Perkhidmatan Kenderaan di UUM memang cekap dan berkesan dan itu nampaknya berterusan sehingga kini. 

Kunjungan kali ini menemukan saya dengan bekas Tok Guru saya, Prof Dr. Basir, yang baru pencen. Saya hanya ingat nama beliau dan lupa apa kursus saya belajar dengan beliau. Cuma Prof. Basir masih mengingati Prof. Dr. Zafir Mohamed makhbul, rakan sekerja saya di FEP UKM yang memang terkenal kerana kerajinannya belajar dari zaman prasiswazah lagi. Kebetulan beliau merupakan Penyelia Utama calon PhD yang mana saya merupakan pemeriksa luarnya.  Calon PhD merupakan bekas KCS, bekas YDP MPLangkawi, dah dua kali tak habis PhD sebelumnya (ini kali ketiga dan dapat Viva), sudah pencen, berumur 62 tahun, bergelar Dato. Kali pertama Dato Dr. Harun Jasin mendaftar PhD adalah pada tahun 2000 di USM, tapi kesibukan kerja menyebabkan beliau gagal meneruskan pengajian.

Cubaan kedua Dato pada tahun 2008 di UUM tapi terhenti separuh jalan. Namun kerana minat mencari ilmu yang ada pada jiwa Dato Dr. Harun Jasin, pada tahun 2013, ketika bertugas sebagai timbalan SUK (pembangunan)/pengarah Unit Perancang Ekonomi Kedah, beliau sekali lagi mendaftar PhD. Alhamdulillah tahun 2018 ketika berumur 62 tahun beliau dapat menyelesaikan PhD. Kata-kata dari beliau  “Ini hadiah saya untuk anak-anak muda supaya jangan putus asa untuk mencuba. Kepada yang sudah berumur, kejayaan tidak pernah terlewat.”


Banyak inspirasi dari Dato Dr. Harun Jasin yang saya boleh kongsikan. Antaranya beliau seorang yang hatinya bersama masyarakat, ‘passion’ dengan pengusaha mikro (micro enterprises) dan walaupun sudah bersara, masih berhasrat menyumbang bakti untuk anak bangsa, khususnya untuk orang Kedah. Dato juga berkongsi petua Mendiang Tan Sri Loh Bon Siew tentang ‘beli tanah’. Petuanya adalah beli saja jika ianya murah, jangan fikir sangat tentang akses jalan, air, elektrik dan lain-lain. Tahniah Dato Dr. Harun Jasin atas kejayaan yang memberikan 1001 inspirasi. Saya mendoakan Dato berjaya di dunia dan akhirat.

Image may contain: 7 people, including Mohd Hizam Hanafiah, people smiling, people standing
(Selepas viva - dalam bilik viva)

Selepas viva, kami 'makan bersama; di Manager's Coffee di sebelah Perpustakaan Sultanah Bahiyah. Saya tertarik dengan Manager’s Coffee di UUM, sebuah ‘kedai kopi’ milik UUM yang nampak anggun dan terkini. Moga berkembang ke seluruh Malaysia dan seantero dunia. Kalau pengalaman saya sewaktu viva di University of Esssex, UK, memang calon PhD akan 'makan bersama dengan penyelia, pemeriksa dalaman dan luaran' selepas sesi Viva bagi meraikan kejayaan calon dalam PhDnya. Ketika itu, Alhamdulillah ada sebuah Restoran Halal makanan India/Pakistan di Southend-On-Sea dan kami makan di situ.

Image may contain: 7 people, including Muhammad Hussin and Mohd Hizam Hanafiah, people smiling, people standing
Tempat rasmi bergambar selepas Viva di COLGIS

Selepas makan, Alhamdulillah dapat berjumpa Sdr Muhamad Iskandar Zulkarnain Mohd Suhaimi,  kini pegawai tadbir di UUM, sahabat lama zaman universiti, orang Pahang yang bertemu jodoh dengan orang Kedah dan menjadi orang Kedah. Walaupun beliau senior setahun dari saya, kami banyak pengalaman bersama di UUM (Hanya mampu senyum sendirian mengenangkan kisah-kisah lama). Beliau bawa saya bertemu Abang Azli, pegawai di Bhg Grafik. Bersama Abang Azli, kami mengimbas kembali kenangan lama ke Pontianak, KALBAR pada bulan Jun 1993 ketika saya menjadi Pengarah Program Jalinan Muhibah Sintok - Pontianak. Waktu itu saya baru di tahun satu program pengajian dan saya berjaya membuktikan bahwa dengan tekad yang jitu, dengan dedikasi dan kesungguhan, bersama pasukan dan perancangan yang bagus, usia tidak menjadi penghalang untuk sesiapa berjaya mengurus sesuatu. Alhamdulillah ketika di semester pertama pengajian, kertas kerja saya diterima PMUUM dan diluluskan HEP dan di cuti penghujung tahun, kami berjaya ke Pontianak. 

Image may contain: Mohd Hizam Hanafiah, smiling, standing and indoor
Di Manager's Coffee

Banyak rintangan untuk program tersebut yang saya difahamkan program lawatan ke luar negara yang pertama dianjurkan oleh pelajar (sebelum ini dianjurkan oleh HEP dan Universiti). Antara kesedihan saya adalah pihak Universiti tidak mahu memberikan cenderahati rasmi universiti untuk kami bawa ke Pontianak kerana 'ia program anjuran pelajar'. Betapa jumud pemikiran pegawai universiti saat itu sedangkan program kami, walaupun anjuran pelajar (UUM), ia kerjasama dengan HEP UUM dan mempunyai kerjasama dengan Universitas Tanjung Pura (UNTAN), Wali Kota Pontianak, Kamar Dagang dan Industri (KADIN) Pontianak dan Konsulat Besar Malaysia di Pontianak. Kami berjaya mengatasi masalah cenderahati dengan kreativiti apabila kami sempat membawa banyak gambar besar UUM yang cantik ke sana (dengan bantuan Abang Azli). Gambar-gambar besar ini kami letakkan dalam 'frame' yang cantik di kedai gambar di Pontianak dan itulah cenderahati dari UUM kepada semua pihak di Pontianak. 

Di akhir waktu di UUM, saya sempat juga bertemu dengan Prof. Madya Dr. Amy Azhar, junior setahun semasa di UUM. Dapat bertanya khabar saja, kemudian Proton Perdana yang disediakan sudahpun sampai, saya ke LTSAS. Memandangkan masa yang singkat, sempat juga saya membeli limau barli dua biji sebagai buah tangan untuk anak-isteri di rumah. Wassalam.
.
15 Oktober 2018 - 825 pagi

No comments:

Post a Comment