Semalam, 16 Januari 2016, Sabtu, kami menghantar Sdr Azhari, isterinya Dr. Puteri dan anak-anak mereka balik ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy, New York. Ini kali pertama saya ke LTAB JFK di New York. Perjalanan sekitar 180 km mengambil masa dalam 2 jam 15 minit dari Philly. Ketika kami sampai di Philadelpia pada 25 Oktober 2015, kami menumpang bermalam di rumah Sdr Azhari selama 3 malam. Orang Putih kata, "What goes around comes around". Sebelum balik ke Malaysia, Sdr Azhari Sekeluarga pula menumpang bermalam tiga malam di rumah kami. Itulah putaran kehidupan. Budi Yang Baik Dikenang Jua. Dalam dekat 3 bulan kami di Philly, keluarga Sdr Azhari merupakan jiran terdekat kami di Philly, beliau di 44th Street, kami di 46th Street, sempatlah kami bersama-sama ke pelbagai Pasar, Wal-Mart, ChinaTown, Rochester, Air Terjun Niagara, Buffalo dan yang terakhir ke Ohio. Terasa sedih dalam gembira. Sedih kerana kehilangan sahabat dan keluarga yang rapat, dimudahkan Allah berkongsi nilai dan prinsip hidup yang sama. Gembira kerana masih dikelilingi rakan-rakan keluarga Malaysia, Sdr Bob dan Afia, Sdr Fadhli dan Aimy, Abang Suhaimi sekeluarga, Sdr Ajib sekeluarga, adik-adik di Drexel University dan Temple University selain komuniti Muslim setempat.
Saya sekeluarga pernah menjalani kehidupan tanpa komuniti Malaysia selama kira-kira setahun setengah di UK. Sewaktu itu, kami di Southend-On-Sea, sebuah bandar dalam County Essex, timur laut London. Kami sampai di London pada hari Jumaat di penghujung Bulan September 2006, dalam bulan Ramadhan. University of Essex telah mengaturkan sebuah van untuk mengambil kami di LTAB Heathrow. Agak lama urusan imigresen ketika itu, saya dan isteri perlu menjalani pemeriksaan kesihatan semula, nasib baiklah van yang dijanjikan masih setia menunggu. Terima kasih kepada kakitangan MAS di LTAB Heathrow yang tolong mengambil beg dan menyusun di satu tempat. Pihak Universiti menempah satu bilik yang besar di sebuah hotel kecil selama dua malam, sementara menunggu kami mendapat rumah sewa. Kehidupan setahun pertama di Southend-On-Sea memang susah. Gaji pegawai dan kakitangan kerajaan di Malaysia tidak banyak mana ketika itu (Sebelum YABhg Tun Abdullah Ahmad Badawi menaikkan kadar biasiswa pada penghujung 2007 dan menaikkan gaji kakitangan kerajaan pada tahun-tahun seterusnya; terima kasih banyak-banyak YABhg Tun Abdullah Ahmad Badawi). Dengan gaji yang tidak banyak mana (ditolak bayaran untuk pinjaman rumah), dengan kadar pertukaran ketika itu GBP 1 = RM6.8-7.00, berapalah banyak mana sangat duit yang boleh dibawa ke UK. Masalah lebih besar adalah kadar biasiswa yang tidak mencukupi. Jumlah biasiswa untuk suami-isteri dan 3 anak ketika itu adalah GBP848 sebulan. Sewa rumah sahaja sudah GBP500-600 sebulan di Southend-On-Sea.
Sampai di Southend-On-Sea, selepas agak pagi dan cerah, pada pagi Jumaat yang penuh berkat itu, saya keluar ke Bandar dengan berjalan kaki, tidak jauh, dalam 400/500 meter. Pertamanya, saya membeli Kad Sim prabayar untuk telefon. Seterusnya, saya telah mencari melalui internet sebelum ke UK dan mendapat alamat sebuah masjid di Southend-On-Sea. Dengan bertanya dan menaiki teksi, saya sampai di Masjid tersebut (Masjid Pakistan) sekitar jam 1000 pagi. Saya mengetuk pintu rumah imam di Masjid tersebut dan menceritakan keadaan kami yang baru sampai dari Malaysia dan mencari rumah sewa. Imam menyuruh saya menunggu masuk waktu Jumaat kerana beliau akan meminta seseorang membantu saya ketika itu. Alhamdulillah, selepas Solat Jumaat, Sdr Tariq (orang yang dimaksudkan Tuan Imam) berjumpa saya. Setelah berbincang dan saya sendiri tiada pengalaman di UK, kami bersetuju untuk menyewa dua bilik tingkat atas sebuah restoran ayam (Tasty Chicken)
Kami menyewa dua bilik tingkat atas Tasty Chicken, Southend-On-Sea.
(Gambar ihsan Google Image)
Alhamdulillah, hari pertama kami telah mendapat 'rumah sewa', walaupun terpaksa berkongsi dapur dan lain-lain dengan penyewa seorang lagi. Pada hari kedua kami di UK, saya bertanya kepada Receptionist hotel kami tentang syarikat yang menjual kereta terpakai. Saya mendapat satu alamat. Kemudian saya telah ke Bandar lagi dan mengambil teksi untuk ke Used Car. Setelah melihat beberapa kereta terpakai yang ada, saya mengambil keputusan membeli Nissan Primera dengan harga GBP600. Dalam setahun lebih juga kami menggunakan Nissan Primera ini sebelumnya ianya mula menimbulkan masalah. Setelah dua malam bermalam di hotel kecil itu, kami berpindah ke rumah sewa kami ini. Ini dimudahkan dengan saya dah ada kereta. Dengan Nissan Primera itulah, kami ke Tesco membeli bantal, sarung bantal, toto/lembek - istilah orang Utara, periuk nasi, pemanas air, 'Moulinex' dan lain-lain barang keperluan asas. Setelah 1-2 bulan berkereta, baru saya membeli insurans kereta sebab saya sendiri tidak arif tentang sistem insurans di UK, nasib baik tak pernah kena saman sebab tiada insurans,,,he3. Terasa 'penat juga' bayar insurans kereta kerana sama dengan harga kereta, yakni GBP600 setahun. Saya tiada rakan nak bertanya tentang teknik dan taktik beli insurans kereta ketika itu. Semua urusan di UK saya belajar sendiri, semua buat sendiri, cuba-cuba sendiri, kalau betul, betullah, kalau menjadi, menjadilah, kalau teruk, terima sajalah.
Hari Raya Aidil Fitri yang pertama di UK (24 Oktober 2006), kami beraya sekeluarga sahaja. Paginya Solat Raya di Masjid Pakistan, kemudiannya saya 'lari ke kuliah sekejap' kemudian petangnya kami ke Taman Bunga di Southend-On-Sea untuk ambil gambar. Pelik Orang Putih melihat kami sekeluarga dengan pakaian yang jarang mereka lihat. Waktu ini, belum beli kamera digital, nasib baik ada Orang Putih yang sanggup ambilkan gambar kami. Ia satu kenangan yang indah dengan paginya kami menyambut Aidil Fitri dengan makan nasi goreng tanpa sebarang kuih raya, lemang mahupun ketupat. Isteri saya mengadu, tak ada kawan bersembang. Jadinya, Hari Raya Aidil Adha pada Disember 2006, kami ke London. Dua malam kami menginap di rumah rakan saya dari UKM, kini Prof. Madya Dr. Hjh Faridah Abdul Jabbar di Timur London. Pagi Raya Aidil Adha, kami menaiki keretapi/Tube ke Malaysian Hall di Kota London. Kami bersolat Raya Haji dengan komuniti kecil warga Malaysia (dan sebahagian kecil warga asing) di Malaysian Hall.
Anak ketiga, Muhammad Kamil Nurullah baru berusia 3 bulan ketika ini
Biarpun kesedihan tanpa sanak saudara, saya bahagia kerana dapat bersama isteri dan anak-anak. Merekalah penyumbang kekuatan kepada saya sepanjang di luar negara walaupun anak-anak menimbulkan banyak ragam juga...he3...
Kehidupan dua bulan pertama di Tingkat Atas Tasty Chicken tidaklah mudah. Rumah ini masih rumah lama, single glazing, di celah-celah tingkap, sepoi-sepoi angin menyusup masuk ke bilik sewa kami. Diburukkan lagi keadaan, tiada pemanas di rumah ini. Kami berpuasa dalam kesejukan, tidur dalam kesejukan. Pernah ketika suhu semakin sejuk (walaupun masih musim luruh, bukan musim sejuk), kami tidur empat lapis baju, dari Long John, baju biasa, baju panas, dan baju sejuk tebal musim sejuk dan berselimutkan duvet (lembek/toto) Memang terasa susahnya, apatah lagi nak bangun masak untuk sahur, kejutkan anak bersahur dengan apa saja yang ada. Satu kisah yang saya selalu ceritakan sebagai pengajaran adalah sebiji telur goreng dimakan dua kali sehari. Sebiji telur ini digoreng biar besar, nipis sedikit, dah siap potong lapan. Empat bahagian dimakan saya anak-beranak waktu siang, dan bakinya pada waktu malam (Anak bongsu, anak ketiga ketika itu hanya menyusu susu ibu). Malam minggunya juga memekakkan telinga dan mengganggu tidur kami. Malam Sabtu dan Ahad, Orang muda (Orang Putih), berkumpul di depan Tasty Chicken, berborak, menyanyi, mabuk, bergelak-ketawa, sehingga ke pukul 3-4 pagi. Kami buat apa? Terima sajalah...
Dua bulan ini, saya belum menyekolahkan anak-anak kerana saya ingin berpindah ke rumah lebih baik, belum tahu sistem persekolahan di UK, dan saya sedikit sibuk dengan urusan pendaftaran dan pengajian PhD. Pengajian PhD tidaklah mudah seperti saya tulis dalam artikel sebelumnya. Dengan kampus baru dibuka, dengan menyewa bangunan sementara, dengan kemudahan yang setakat ada, dengan macam-macam tak ada itulah saya menempuhi pengajian PhD di tahun-tahun awal di University of Essex, Southend-on-Sea, Kini, dalam tahun 2009, kampus Southend-on-Sea telahpun siap dengan bangunan canggih di High Street dengan kemudahan asrama yang juga canggih (siap 2010). Beruntung pelajar sekarang. Begitulah juga dengan Malaysia, beruntung rakyat sekarang, berbanding generasi 1950-1970-an.
Kampus ini bersebelahan High Street, pusat tumpuan utama membeli belah di Southend-On-Sea (Gambar ihsan Google Image)
Pintu utama Bangunan Kampus Southend-On-Sea (Gambar ihsan Google Image)
Bangunan asrama dari jauh, dalam 300-400 meter dari Kampus (Gambar ihsan Google Image)
(Gambar ihsan Google Image)
Saya pernah 'menyewa' asrama ini ketika datang untuk viva dan konvokesyen
(Gambar ihsan Google Image)
Kehidupan di tahun pertama di UK memang memeritkan. Dengan kesejukan kali pertama ditempuhi, biasiswa yang tidak mencukupi, kehidupan kami 'sama seperti orang miskin' di UK. Kami memang makan sekadar kenyang, cukup dengan satu lauk dan satu sayur. Kalau buat kari tu, kuahnya ceroi sahaja. Ayam potong kecil-kecil, masing-masing ambil satu bahagian saja. Hampir setahun kami tidak makan ikan kerana ikan jauh lebih mahal berbanding ayam (ketika biasiswa belum dinaikkan). Nasib baik roti berbuku ada (Roti Mengali kata orang Utara), roti 28 pence di Sainsbury's. Roti sebuku 28 pence dengan gandingan jem strawberry sebotol berharga 20-30 pence itulah menjadi roti dan makanan kegemaran kami walaupun agak keras dan kurang sedap. Nasib baik ada barang-barang murah di pelbagai pasaraya. Jem, pampers, tepung, gula, beras, apa saja makanan, kami beli semua yang murah-murah saja/paling murah, Nasib baik juga ada kedai Poundland dan PoundWorld yang menjual semua barang dengan harga GBP1. Inilah kedai kegemaran kami untuk berbelanja dan nak rasa biskut juga, asyik makan roti saja. Dapatlah kami makan biskut tiga bungkus satu GBP di Pound World dengan tiga jenis perasa sampai jemu juga dibuatnya. Saya kemudiannya mendapat tahu tentang Pasar Tani berdekatan Stadium Southend-On-Sea yang menjual sayuran dan buahan murah. Tipnya adalah pergi selepas jam 100 tengahari kerana para petani/peniaga akan melelong sayuran/buahan mereka. Di sinilah kami membeli sayuran dan buahan murah. Pernah saya membeli 100 biji pisang dengan harga GBP1, 20-50 epal/limau/mangga dengan harga GBP1, ikut rezekilah.
Dua bulan menyewa di Tingkat Atas Tasty Chicken, baru kami mendapat rumah sewa yang jauh sedikit dari pusat bandar. Kami boleh mendapat rumah sewa lain dengan agensi pencari rumah, ada banyak agensi cari/sewa rumah di Southend-On-Sea, masalahnya adalah dengan standard di UK. Dengan memiliki tiga orang anak, seorang perempuan (10 tahun), dua lelaki (5 tahun; bayi beberapa bulan), kami disyaratkan menyewa rumah tiga bilik. Sewa rumah tiga bilik ketika itu adalah antara GBP700-GBP900 sebulan, jadi kalau kami sewa, kami ni nak makan apa? Nak puasa setiap hari? Dengan jaringan komuniti Muslim Pakistan dan Bangladesh, Alhamdulillah, kami kemudiannya menyewa rumah kedua (rumah dua bilik) di Ramuz Drive, Southend-On-Sea dari seorang Bangladeshi. Dengan komuniti Muslim Pakistan dan Bangladesh, kami tidak perlu 'ikut peraturan di UK'. Di Ramuz Drive, kami tidak membuka pemanas 24 jam sehari kerana tidak cukup duit untuk bayar gas. Kami hanya memasang pemanas 2-4 jam sehari, itupun di bilik tertentu sahaja. Ada banyak lagi kisah-kisah rumah sewa kami, biarlah ia menjadi rahsia dan kenangan kami sekeluarga. Sepanjang di UK, kami berpindah-randah beberapa kali, menetap di lima buah rumah sewa yang berbeza, yakni empat buah rumah sewa di Southend-On-Sea dan yang terakhirnya di Birmingham (dari Oktober 2008-Jun 2010). Begitulah 'keindahan dan kenikmatan' yang sepatutnya dipaparkan kepada YB Menteri dan Penggubal dasar di Malaysia tentang 'seronoknya' sebahagian pegawai kerajaan bercuti belajar di luar negara. Saya tidak menyalahkan YB Menteri atas masalah sebegini sebab Penjawat Awam yang bertanggungjawab memberi input/info yang betul kepada YB Menteri, cuma menasihat diri sendiri (sebagai penjawat awam) dan penjawat awam lain bahawa kita tidak boleh kekal statik dengan keadaan/dasar sedia ada. Dunia berubah, zaman berubah, ada dasar perlu ditambahbaik setiap tahun (seperti BRIM), ada dasar perlu ada kajian/penambahbaikan dalam 1-3 tahun dan ada perlu penambahbaikan dalam tempoh 5-10 tahun. Dalam contoh Elaun semasa Cuti Belajar ini, dengan maklumat di hujung jari masa kini , seharusnya penambahbaikan sistem boleh dilakukan dengan lebih mudah dan cepat berbanding zaman 1970-1990-an.
Saya mencari kerja untuk menampung jumlah pendapatan (biasiswa dan gaji) yang tidak mencukupi. Banyak tempat juga saya masukkan nama untuk 'Senarai Menunggu'. Dapat temuduga dengan Curry's, sebuah pasaraya elektronik di UK. Selepas temuduga, saya berjaya jadi jurujual separuh masa, agaknya saya memang ada bakat menjual, he3, namun saya 'tidak jadi' ke Curry's kerana mendapat kerja lain. Semasa menyewa di Ramuz Drive dan mencari kerja separuh masa ini (pelajar sepenuh masa diizinkan bekerja 20 jam seminggu rasanya ketika musim pengajian dan 40 jam ketika musim cuti), kami terjumpa sebuah Rumah Orang Tua di Southend-On-Sea (House for The Elderly People). Pemilik dan pengusaha Rumah ini merupakan seorang wanita warga Malaysia berbangsa India yang sudah menetap di UK melebihi 30 tahun. Saya berjaya mendapat kerja di sini. Saya bekerja tiga hari seminggu, dalam 12 jam seminggu. Memandangkan UK mengamalkan polisi gaji minimum, jumlah pendapatan 12 jam seminggu pun bolehlah menampung sedikit belanja kami. Satu saja nasihat saya berikan kepada anak sulong dan kedua ketika itu, "Jangan minta apa-apa" dan anak-anak saya akur, tidak minta apa-apa walau ke mana kami pergi. Baju uniform sekolah, pakaian musim sejuk, dan sebahagian besar barang kami beli dari kedai kebajikan (Charity Shop) yang banyak di Southend-On-Sea dan beberapa Car Boot Sale. Dapatlah beli pakaian dan lain-lain dalam lingkungan harga GBP1- GBP5. Memang kena beli pakaian sebab kita tidak akan bawa pakaian yang banyak dari Malaysia apabila sambung belajar ke luar negara.
Banyak pengalaman menarik bekerja di Home for The Elderly People selama beberapa bulan sebelum saya memutuskan untuk berhenti kerja kerana hendak fokus kepada pengajian PhD dan kadar biasiswa telah dinaikkan. Ada sekitar 17/18 orang tua ketika itu. Selepas menghantar anak ke sekolah, saya sampai di Home for The Elderly People sebelum jam 800 pagi dan bekerja sehingga jam 1200 tengahari. Saya akan menyuapkan sarapan pagi ke sebahagian orang tua di situ, bersama seorang lagi Wanita Orang Putih. Biasanya sarapan pagi mereka adalah makanan bijiran. Selepas bijiran, bagi mereka minum pula, Ada yang boleh minum/makan sendiri dan ada yang tidak boleh. Madam, pengusaha Rumah ini memberikan satu tip saja kepada saya, "Anggaplah mereka seperti Atuk/Nenek kamu". Jadi nak banyak bersabar apabila melayan kerenah orang tua ini. Ada yang kuat makan, ada yang tidak mahu makan tetapi 'perlu diberi makan', ada yang tidak kuat makan. Selepas habis sesi sarapan pagi, saya membawa piring, cawan, mangkuk ini ke dapur untuk dibasuh, dilap dan dikemaskan.
Sebelum itu, saya perlu membayar GBP40 untuk 'Pemeriksaan Polis' sebelum diterima bekerja sebagai Care Assistant. Panjang juga borangnya perlu diisi, dan apabila Polis 'mengesahkan' saya bukan penjenayah, baru saya boleh diambil bekerja di Home for The Elderly People. Selepas makan-minum, saya akan mengemas tempat makan dan 'memasang muzik lama' untuk orang tua ini mendengar dan 'menidurkan mereka'. Ada yang nak ke tandas, jadi saya dan Wanita Orang Putih seorang lagi (dah lupa namanya) akan mengangkat mereka perlahan-lahan sama ada ke atas kerusi roda atau memimpin ke tandas. Kalau kerusi roda, kami akan sorongkan ke dalam bilik air, dan mengangkat mereka ke atas mangkuk tandas dan....tak boleh cerita ye... Kalau pimpin, kami berdua pimpin perlahan-lahan ke bilik air, dan bagi duduk di atas mangkuk tandas. Kalau yang dah tua sangat tu, apabila mereka 'siap' di atas mangkuk tandas (tandas duduk), nak kena bunyikan 'macam orang buang air kecil' supaya mereka buang air kecil.... Banyak kisah menarik bab bilik air/tandas ni dan kisah di Rumah Orang Tua ini, biarlah ia menjadi kenangan saya seorang sahaja....he3... Ada teknik yang khusus mendirikan, memimpin, menurunkan ke atas mangkuk tandas, mendudukkan di atas kerusi roda dan mendudukkan di atas kerusi/sofa yang disediakan untuk orang tua ini yang saya pelajari daripada Wanita Orang Putih. Sebelum keluar jam 1200 tengahari untuk ke Universiti, biasanya saya akan menyuap (dengan sudu dan garpu) makanan tengahari kepada nenek-nenek ini, jika berkesempatan.
Selain mendapat sedikit upah, belajar bersabar, memahami ragam nenek-nenek (seorang saja lelaki tua di rumah itu), banyak pengajaran kepada saya bekerja di Rumah Orang Tua ini. Saya simpulkan dalam bahasa mudah, mak/ibu/bonda kita, pak/ayah/ayahanda kita, kalau boleh, biarlah kita yang menjaganya ketika mereka di usia tua. Memang susah menjaga orang tua, tetapi lebih susah ibu mengandungkan kita, melahirkan kita dan ibu-bapa kita membesarkan kita ketika kita masih kecil. Pihak kerajaan diharapkan tidak meniru dasar kerajaan British dalam konteks 'Industri rumah orang tua ini'. Panjang nak tulis bab 'Industri rumah orang tua ini'. Cukuplah saya rumuskan, ia disalahgunakan oleh rakyat 'untuk tidak menjaga ibu-bapa mereka', 'disalahgunakan oleh pengusaha untuk mengaut untung berlebihan'.
Sudah ada dasar fiskal berkaitan orang tua kita iaitu potongan belanja perubatan, peralatan kesihatan dan lain-lain untuk Cukai Pendapatan Individu, tetapi bagi saya, ia perlu ditambah. Apakah kita perlu khidmat rumah ke rumah untuk 'memantau orang tua di rumah'? Apakah polisi fiskal bersesuaian dengannya? Apakah kita perlu Transit House untuk ibu-bapa kita yang uzur, tidak berupaya tinggal di rumah semasa suami-isteri pergi bekerja? Apakah polisi fiskal bersesuaian dengannya? Ini sudah ada dalam komuniti Muslim di Singapura dan beberapa lokasi di Malaysia dan kelihatan 'lebih baik' jika tidak terlalu mementingkan keuntungan dan memberi banyak manfaat kepada warga emas. Mantan pelajar saya di FEP UKM pernah mencadangkan konsep perniagaan ini dalam Franchise Business Challenge 2014 dan berjaya menjadi Naib Johan.
Dari segi dasarnya, sudah ada Rumah Kebajikan Orang Tua di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk warga tua yang tidak memiliki waris. Perlu ditambah insentif untuk Rumah Warga Tua kelolaan Badan-Badan Bukan Kerajaan, insentif untuk syarikat korporat terlibat dengan kerja sosial ini, perlu difikirkan bagaimana kelangsungan Rumah-Rumah ini dengan bantuan minimum pihak kerajaan. Dalam konteks Islam, ia berada di bawah sektor ijtimaiy. Pihak berkuasa berkaitan Zakat dan Baitulmal dan lain-lain pihak boleh memikirkan model baru kelangsungan Rumah Kebajikan sebegini. Saya bagi dua lontaran/cabaran, bagaimanakah mengintegrasikan Badan Bukan Kerajaan/Rumah Kebajikan dengan konsep Keusahawanan Sosial? Apakah kita tidak boleh mengintegrasikan Rumah Anak Yatim, Rumah Gelendangan dengan Rumah Orang Tua/Kebajikan dan menjadikan ia satu model baru?
Walaupun susah hidup di tahun-tahun awal di UK, Alhamdulillah saya boleh terus hidup, bersemangat, dan tidak menyerah kalah. Ada yang tidak sanggup berjuang dan pulang ke Malaysia setelah sekerat jalan. Ada yang berjuang 4-5 tahun dan pulang tanpa PhD. Ada yang 10 tahun baru habis PhD. Saya melihat isu PhD ini isu unik, setiap calon PhD ada masalah yang unik dan tersendiri. Penggubal dasar haruslah memahami situasi dan konteks setiap calon PhD. Kalau tidak pernah membuat PhD dan menghadapi 1001 kesukaran, adakah anda akan memahami kesusahan dan kesukaran menyiapkan PhD? Ingatlah setiap manusia diberikan ujian yang berbeza. Jangan generalisasikan ujian anda dengan ujian orang lain. Tanyalah calon-calon PhD, adakah mereka ingin pulang tanpa PhD? Saya yakin 100% jawab tidak. Tidak ada calon PhD yang ingin pulang tanpa PhD. Tidak ada calon pelajar di luar negara hatta apa peringkat pengajian yang ingin pulang tanpa segulung ijazah. Tetapi itulah kehidupan. Jatuh gagal kita adalah ujian untuk kita, kita mesti terus menghadapi kehidupan dengan sabar dan positif dengan Allah walau apa hasil usaha kita.
Satu sumber kekuatan saya menghadapi kehidupan sukar di UK adalah latar belakang keluarga yang susah. Semasa arwah Pak masih hidup (Sebahagian Orang Utara gunakan 'Pak' untuk panggilan kepada Ayah), kami memanglah tidak susah. Kehidupan sebagai anak yatim (masih perlu bersyukur ke hadrat Allah sebab bukan Yatim Piatu), setelah peninggalan arwah ayahanda, dengan empat adik-beradik lelaki, 9,7,6 dan 5 tahun bukanlah mudah. Saya masih teringat bonda mengambil upah membasuh kain di rumah Orang Cina dengan sedikit bayaran. Saya masih mengingati Bonda bercerita, selepas pemergian Ayahanda di awal Ramadhan, pada tahun 1978, menjelang raya, tiada siapa mengambil tahu kehidupan kami sekeluarga di pinggir bandar, cukup makan ke tidak, ada baju raya ke tidak. Dek kasih-sayang seorang Bonda kepada anak-anaknya, Bonda berjalan kaki berkilometer ke Pekan Kulim untuk mencari sepasang baju raya buat kami empat beradik. (sedang tahan sedih ni waktu menulis ni)
Kalau ke sekolah, kami membawa bekalan dalam bekas plastik Tupperware. Antara menunya adalah mee sanggul (popular di Utara). Ada empat bekas plastik, dan diletakkan dalam satu beg plastik, bergilir-gilir kami membawanya ke sekolah. Bekalan air minuman sudah pasti. Bonda membuat kuih siput dan kuih sagon untuk kami adik-beradik menjualnya di sekolah. 'Setelah ditangkap pihak sekolah', kami berhenti menjual makanan di sekolah. Saya masih ingat, bonda menyediakan bekas Bycream putih merah untuk menyimpan wang hasil jualan kami di sekolah. Kasut sekolah dan Pakaian sekolah akan diwarisi dari abang ke adik, dan ini juga menjadi amalan saya walaupun bergelar pensyarah di UKM. Tidak ada apa yang hendak dimalukan kerana ia satu amalan mulia. Membuang pakaian yang masih elok itulah tidak baik kerana membazir sedangkan anda masih boleh menggunakannya, atau menyedekahkannya kepada orang susah.
Saya masih bersyukur walaupun tiada berayah ketika berusia 6 tahun kerana adik saya tidak berayah ketika berumur 5 tahun, lagi kecil dari saya. Ramai lagi orang yang jauh lebih susah dari kami. Dalam usia 9 tahun, kami berpindah dari pinggir bandar ke kampung. Walaupun 'mewarisi kehidupan susah', kehidupan kami empat beradik di kampung memang menyeronokkan. Dengan izin Allah, saya akan ceritakan itu kemudian. Kami adik-beradik kekal keluarga susah. Setiap tahun bonda akan menerima wang zakat di masjid semasa bulan Ramadhan sehinggalah kami adik-beradik 'lepas bekerja'. Di kampung, rumah kami kekal rumah kayu bertiang tanpa rumah bawah/rumah batu dan antara rumah terakhir di kampung 'bertukar' menjadi rumah batu. Setiap tahun juga, adik saya sebagai anak bongsu menerima sumbangan PIBG sekolah, biasanya berupa pakaian. (PIBG tidak bagi kepada semua adik-beradik keluarga susah). Pada waktu itu juga, ada skim makanan di sekolah dan kami 'boleh bersarapan percuma di sekolah' walaupun jarang bersarapan di sekolah sebab sudah bersarapan di rumah.
Kenderaan kami empat beradik di kampung dari tahun 1981 (tahun balik ke kampung) sehingga 1991 adalah sebuah basikal Raleigh milik arwah ayahanda bapa saudara, Yusoff Bin Khalid. Al-Fatihah untuk Allahyarham Ayahanda Yusoff Bin Khalid, yang walaupun tidak sihat dalam kehidupannya, banyak mengajarku dalam subjek Bahasa Inggeris untuk Penilaian Darjah Lima dan SRP (waktu cuti sekolah), walaupun keputusanku sewaktu itu tidaklah memberangsangkan. Basikal Raleigh sebuah itulah menjadi perkongsian kami empat beradik ke sini-sana, bergaduh berebut sebuah basikal, kadang-kadang jalan kaki ke sekolah, kadang-kadang naik basikal sebab bertukar-tukar sesama adik-beradik. Dengan basikal Raleigh itulah, kami anak kampung mengembara ke sini-sana, masuk belukar dan hutan, rimba dan paya, cari ikan semilai di hujung benua (ikan laga), curi-curi mandi sungai selepas Sekolah Agama waktu petang (Bonda tidak mengetahuinya sehingga kami besar...he3), sampai ke Air Terjun Junjong dari kampung kami, dan jatuh menuruni bukit dari Air Terjun Junjong sehinga saya terpaksa menerima beberapa jahitan di kepala, Saya masih ingat, pada awal 1990-an, kami mengambil gambar bonda bersama kipas dan beberapa peralatan elektrik dan menghantar untuk tatapan kekanda di luar negara, nak bagi tahu kami di Malaysia 'dah senang sikit'. Kenderaan pertama kami sekeluarga adalah sebuah motorsikal Yamaha yang dibeli oleh adinda saya untuk bekerja, itupun menggunakan wang yang dipinjam dari Ibu saudara sebagai bayaran mukanya (tahun 1991-1992 rasanya). Terima kasih banyak kepada Ibu Saudara, Almarhumah Hjh Rahimah Khalid, yang banyak membantu kami sekeluarga dari tiada berayah sehingga kami dewasa. Walaupun beliau dan suaminya, Allahyarham Tuan Hj Mohd Othman Bin Ahmad Sheikh tidak bergaji besar, hanya kakitangan kerajaan biasa, jasa baik dan pertolongan mereka sekeluarga akan saya kenang sampai bila-bila. Bagi kami empat beradik, merekalah keluarga kedua kami selepas Bonda. Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Hjh Rahimah Khalid dan Allahyarham Tuan Hj Mohd Othman Bin Ahmad Sheikh. Berikut merupakan catatan saya di UK (di Facebook lama) bpada 16 Mac 2010 apabila Bonda Hjh Rahimah Khalid meninggalkan alam yang fana ini.
Aku masih mengingati dirimu Almarhumah
Al-Fatihah untuk ibu saudaraku, Bonda Hjh Rahimah Khalid yang pergi meninggalkan alam yang fana ini pada jam 12.45 tengahari waktu Malaysia, 12 March 2010, kira-kira 18 hari selepas pemergian bapa saudaraku Ayahanda Yusuf Khalid. Al-Fatihah....Jasa, pengorbanan dan kasih-sayang almarhumah tidak dapat kunilai. Ketika kami berstatus anak yatim pada tahun 1978, beliaulah yang membantu menyara kami empat beradik sehingga kami boleh berdikari. Bayangkanlah dengan duit yang diberinya itulah bondaku membesarkan kami empat beradik...sedangkan almarhumah hanya seorang kerani dan almarhum suaminya hanya seorang juruteknik luar.
Seingat diriku, almarhumah tidak pernah barang sekali memarahi diriku. Sikapnya yang mesra, peramah amat menyenangkan malah almarhumah amat dikasihi oleh isteriku sendiri, selain oleh anak-anakku... Ketika aku memulakan kehidupan baru selepas tamat belajar di UUM, duit pinjaman beliaulah yang digunakan utk membeli motor kapcai bagi kegunaan kehidupan seharian di Nilai, NSDK.Tidak pernah lokek dengan wang ringgit dan rajin membantu masyarakat sekitar sepertimana arwah suaminya, aku mendoakan agar almarhumah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh...Mengimbau kunjungan-kunjungan kami sekeluarga ke rumahnya, beliau akan bertanya dahulu nak makan apa sebelum kami sampai (melalui telefon)...
Dengan almarhumah juga aku berkongsi rahsia-rahsia tertentu yang tidak dapat aku kongsi dengan orang lain atas sebab-sebab tertentu...Walaupun diriku, isteriku dan anak-anakku sering mendoakan kesihatannya dan umurnya, Allah Taala lebih menyayangi dirinya. Aku redha atas pemergian dirimu wahai Bonda keduaku...Moga-moga dengan rahmat Allah Taala, kita akan bertemu semula di alam yang kekal abadi....Al-Fatihah....
Tiada lagi senyum tawamu, dakapan mesramu, layanan penuh kasih tatkala kami berkunjung ke Sungai Dua kelak ...sedangkan tinggal beberapa bulan saja lagi sebelum kami menjejakkan kaki di bumi bertuah, bumi auliya', tanah leluhur, tanah Jawi, tanah yg dijanjikan...itulah harga yang dibayar oleh penjawat-penjawat awam dan swasta yg melanjutkan pengajian di luar negara, yang akan pulang menabur bakti ke tanahair tercinta...
Al-Fatihah untuk semua yang telah pergi mengadap Ilahi dalam kalangan semua ibu dan bapa, sanak saudara dan keluarga para penjawat awam dan swasta yang menyambung pengajian di luar negara, meneruskan tradisi kecemerlangan bangsa, mengusahakan keagungan agama...
Kehidupan di kampung mengajar kami berdikari, menilai erti wang ringgit, dan mengajar serta mendidik akan sifat cukup dengan apa yang ada. Saya masih ingat, seekor ikan kembong goreng akan dimakan sebelahnya pada waktu tengahari, seorang dapatlah barang secubit, sebelahnya disimpan untuk makan malam. Dengan secubit atau dua cubit ikan goreng, kicap sikit dan kuah gulai (kari), dah cukup puas hati dan kenyang. Latihan dan didikan makan ikan goreng ini menjadi dan melekat kepada saya sehingga sekarang. Semasa saya di MRSM, saya tidak banyak makan ayam goreng, nak habiskan seketul ayam goreng pun susah. Saya tidak makan banyak/lahap lauk/ikan/ayam, cukuplah dengan apa yang ada. Walaupun berkemampuan kini, saya sekeluarga kekal hidup dengan sederhana, makan pun tidak banyak lauk-pauk. Nak makan banyak jenis lauk pun 'tidak reti'. Tidaklah saya kedekut, kami masih pergi makan di luar, minum di luar, jalan ke sini-sana, tetapi makan luar dan bermewah atas makanan tidak menjadi amalan, budaya saya sekeluarga. Kalau di rumah, cukuplah 2-3 lauk-pauk (termasuk sayur), kalau ada tetamu, kami lebihkan lauk-pauknya atas dasar meraikan tetamu.
Anda pernah mencungkil/colek buah pinang yang dikeringkan dan menjualnya kepada perais/kedai Cina? Senang ke nak dapat sekati buah pinang? (Zaman tu masih pakai kati). Ketika musim buah, kami menjual buah durian keliling rumah kepada perais buahan. Kami adik-beradik menjadi berani dan tidak gayat apabila belajar dan berlatih panjat pokok manggis untuk mengait manggis. Ketika itu, buah dijual mengikut bilangan. Kalau 10 biji saiz sederhana ke atas, dapatlah 40-50 sen (sekarang ikut kilo). Waktu tu, panjat manggis, tak perlu kait dan masukkan dalam raga yang dibawa naik ke atas pokok manggis sepeti sekarang. Kait dan jatuhkan buah ke bawah. Paling best bila sampai ke puncak manggis. Mula-mula, petik dengan tangan dan makan buah yang masak dahulu. Kemudian hinggut dahan kuat-kuat, berduyun-duyun buah manggis jatuh ke bawah. Dalam sehari boleh dapat panjat 3-5 pokok manggis, ikut saiz pokok. Kalau ikut sekarang, dalam sehari boleh dapat 1-3 pokok saja sebab masa mengait lebih lama, di mana buah perlu dikait dan dimasukkan ke dalam uncang di bawah galah, galah ditarik ke kita, ambil buah dan masukkan ke dalam raga yang dibawa naik (dan diikat) di batang pokok manggis. Buahnya lebih tahan lama, lebih elok sebab tidak jatuh ke bawah, masa mengaitnya lebih lama, maka sesuailah harganya lebi tinggi berbanding zaman dahulu. Semasa menjual buah manggis ini, Tok (panggilan kepad Nenek) bagilah sedikit saguhati kepada kami, upah naik manggis. (Sekarang saya masih boleh panjat pokok manggis yang sederhana tingginya sahaja).
Allah Taala memudahkan bonda saya dengan kami empat-beradik memasuki MRSM dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) iaitu dua memasuki MRSM (kedua dan ketiga) dan SBP (sulong dan keempat). Seingat saya, kami tidaklah rajin tuisyen, baca buku, buat macam-macam latihan macam budak-budak sekarang, cuma mungkin 'cerdik sikit'. Satu yang penting pada saya adalah doa seorang ibu. Bonda tidak pernah putus mendoakan kami dari kecil sehingga besar sehingga berkeluarga. Jadi, janganlah kita berbangga sangat dengan kejayaan kita atas usaha kita, kita leka dan lupa, doa bonda sebagai azimat, kunci tangga usaha dan kejayaan kita di dunia ini, juga di akhirat kelak.
Sepanjang bersekolah di MRSM Balik Pulau, kehidupan saya tidaklah banyak berbeza. Dalam sebahagian pelajar ibu-bapa mereka berkereta, dari keluarga berada, pakaian cukup, makan-minum cukup, bukan dari keluarga susah, saya bersyukur ke hadrat Allah kerana MARA memberikan pocket money sebanyak RM15 sebulan (ketika itu pada tahun 1985 sebelum dinaikkan kemudiannya selepas itu). RM15 sebulan itulah saya hidup di MRSM, membeli keperluan asas sekolah seperti buku dan alat tulis, kekadang nak rasa, makan ais kacang di Balik Pulau atau mee goreng di pekan Genting. Jarang-jarang saya ke Georgetown sebab tidak berduit untuk ke sana dan tidak berduit untuk beli apa-apa. Pakaian rasmi dan pakaian lain sekadar cukup saja. Pernah saya ikat kasut sekolah secara melintang disebabkan bahagian atas tapaknya bocor dan belum berduit beli yang lain.
Seingat saya, saya tidak meminta, tidak pernah kisah tentang baju raya - Baju Melayu setiap tahun sepanjang belajar di MRSM Balik Pulau. Cukuplah sepasang Baju Melayu yang dipakai setiap hari Jumaat di MRSM sebagai Baju Raya kami sewaktu menyambut Raya di kampung. Seingat saya, Baju Raya baru yang saya minta adalah sepasang Baju Melayu warna putih sewaktu di Kolej Mara Kulim, tahun 1992 sebelum memasuki Universiti Utara Malaysia. Itulah baju Melayu rasmi saya sepanjang majlis/aktiviti di UUM (1992-1996). Kalau baju t-shirt, saya tidak pernah kisah baju baru menjelang Raya. Seingat saya, setelah lama/bertahun-tahun tidak berhari raya dengan baju baru (kasual/t-shirt), Kekanda Hazlim yang baru bekerja membelikan saya sehelai baju baru t-shirt berwarna ungu ketika menuntut di UUM. Saya tidak berduit untuk mengambil lesen memandu, Alhamdulillah, adinda saya, Hazlisham yang memberikan duitnya kerana beliau sudah bekerja.
Alhamdulillah, saya agak kreatif mencari duit tambahan ketika di MRSM Balik Pulau. Ketika di Tingkatan Dua, saya memulakan usahaniaga baru dengan menjual mee segera (Tokey Maggi). Untung sepuluh sen sebungkus sudah cukup baik. Saya juga ke Pekan Balik Pulau, membeli kad raya secara pukal dan menjualnya di asrama. Sewaktu di Tingkatan Empat, Kelab Basikal yang saya menjadi Setiausaha & Bendaharinya, kami ke Pekan Balik Pulau dengan basikal ketika petang (selepas prep - waktu sukan/lapang), membeli 'Burger Malaysia', roti bun dan lain-lain makanan untuk dijual di MRSM. Dengan keuntungan yang diperolehi, dapatlah kami menggunakannya untuk kerja-kerja penyelenggaraan basikal. Ketika di Tingkatan Lima, Kelab Sofbol yang saya sertai (juga pemain sofbol MRSM), kami menjual burger di dalam MRSM. Hampir setiap minggu kami menjual burger. Ini memberikan pengalaman niaga yang berguna kepada saya. Ketika di Tingkatan Lima, saja juga menjual nasi lemak selepas prep malam (preparation class). Dengan harga 30-35 sen sebungkus, dapat jual 30-50 bungkus semalam pun dah cukup baik.
Saya paling aktif berniaga sewaktu belajar Matrikulasi UUM di Pusat Matrikulasi MARA, Kulim (kini Kolej MARA Kulim). Kawan saya berniaga ice pong, keropok, snek, saya pun ikut berniaga. Alhamdulillah saya diberikan bilik seorang dan berkunci (sebab Pemimpin Pelajar), siap ada bilik air sendiri lagi, maka bilik saya itu dijadikan Kedai Mini dalam asrama. Ketua Warden ketika itu mengetahui aktiviti 'haram' saya ini, tetapi membiarkannya kerana barang jualan tidak haram (bukan rokok ye) dan barangan yang saya jual adalah 'keperluan tambahan' pelajar. Selepas habis prep, 1000 malam ke atas, saya mengelilingi asrama menjual snek, ice pong dan lain-lain. Ketika cuti hujung minggu (Jumaat dan Sabtu), pagi-pagi saya menjual nasi lemak ke asrama, pakat dengan pengusaha kantin di dalam maktab. Biasanya nasi lemak memang habis dijual sebab pelajar lelaki 'malas ke dewan makan' ketika cuti hujung minggu. Satu yang menarik di Kulim adalah pemupukan budaya niaga. Jumaat malam Sabtu biasanya ada pasar malam dalam Maktab. Saya tengok Kelab Ragbi jual burger, saya pun jual burger. Mereka bergotong-royong 15-20 orang jual burger, saya berpakat dengan seorang pelajar lelaki membantu saya jual burger dan mengupah/memberi komisen kepada seorang pelajar wanita mencari pesanannya. Mereka menggunakan dapur gas dua mata yang biasa digunakan di rumah, saya menempah tempat masak burger di kedai besi dan menggunakan dapur gas yang digunakan di gerai burger. Siapa lebih cepat masak, siapa lebih banyak untung? He..he...he...
Memandangkan minuman ketika makan malam di maktab tidaklah begitu sedap sangat, kadang-kadang agak tawar, saya berbincang dengan Pengetua Kolej MARA Kulim, En. Faruk Senan Abdullah untuk membawa masuk Vending Machine ke dalam maktab. Alhamdulillah, beliau mengizinkan dengan syarat berkongsi dengan Koperasi 50-50. Saya pergi ke syarikat Lion Malaya Sdn. Bhd di Butterworth untuk membawa masuk Vending Machine, pegawainya bernama En. Ng Tai Lai. Kami (saya dan tiga sahabat lagi - Ipin, Mayo dan Wahab) berjaya membuka bisnes ini walaupun mesin ini selalu rosak, dapatlah juga untung yang memuaskan. Saya juga menjual Pin bulat di kolar baju. Untung tak banyak dalam 30-40 sen sebutang. Malah, saya pernah dengan kawan-kawan jual air limau berais di depan asrama 'secara haram'. Bukan susah, kami sekadar perlu 'kalahkan' minuman di Dewan Makan, formula mudahnya bagi manis sedikit dan lebihkan rasanya. Perniagaan terakhir saya di Kolej MARA Kulim adalah jual baju. Kawan saya Mohd Fadzil Ali (Faset, kini usahawan berjaya di Pulau Pinang)) membuat perniagaan jual baju, saya pun ikut sama jual baju. Dapatlah untung sehelai dalam RM4.00-RM5.00, dalam RM400-RM450 keseluruhan. Dengan duit untung sebanyak 4-5 ratus tu, saya pusing separuh Semenanjung Malaysia selepas tamat Matrikulasi UUM, Pada semester pertama saya di UUM, dalam menunggu wang pinjaman boleh ubah MARA, masuk ke dalam akaun, berbekalkan sedikit wang dari bonda, menu utama saya adalah telur goreng @ telur mata kerbau dengan sedikit kuah. Alhamdulillah, saya dapat meneruskan kehidupan dengan berjimat. Pernah Abang senior di kampus menawarkan tambah lauk lain, agaknya dia perasan menu saya hanyalah lauk berasaskan telur dan kuah pada semester pertama, ditambah dengan badan yang memang 'kurus semulajadi waktu itu'.
Begitulah sepintas lalu kehidupan lampau, bagaimana kesusahan dan kemiskinan itu mendidik dan membentuk jiwa yang kental, peribadi yang matang, kesungguhan mencari sedikit duit untuk hidup, individu yang bersyukur ke hadrat Allah. Apabila saya menyambung pengajian dalam bidang keusahawanan di peringkat PhD, saya jelas bahawa saya memiliki nilai, sifat dan atribut berkaitan keusahawanan. Selepas tamat ijazah pertama, saya boleh bekerja, kumpul duit, menceburi bidang pernigaaan, jadi usahawan dan bergelar jutawan seawal usia, tetapi saya lebih berminat mendidik anak bangsa, orang muda, kalangan pelbagai bangsa menjadi usahawan/pengurus yang berjaya. Setiap seorang memainkan peranan masing-masing, jangan menidakkan peranan orang lain walaupun kecil. Jika Makcik Cleaner. di UKM mogok seminggu, 'rosak juga UKM dibuatnya'. Jangan dipandang hina mereka bergaji kecil, pekerja peringkat bawahan, yang penting mereka bekerja sebaik mungkin, mencari rezeki yang halal untuk keluarga masing-masing. Jangan dipandang remeh orang berbaju lusuh, kita tidak tahu mereka mungkin jutawan senyap dalam kalangan masyarakat. Jangan dipandang manusia pada zahirnya, pandanglah pada hatinya kerana Allah Taala menilai pada hati manusia.
Pada saya, 'kesusahan dan kemiskinan lalu itu satu rahmat dan nikmat Ilahi' yang membolehkan saya bersyukur ke hadrat Allah. Saya tidak pernah cemburu dengan mereka, rakan anak orang kaya, sesiapa pun orang berada. Saya juga tidak pernah 'memijak' dan menganiayai sesiapa untuk mendaki tangga kejayaan. Pada saya, 'kesusahan dan kemiskinan lalu' itu juga satu sumber kekuatan kepada diri saya. Ia menjadikan kita lebih kuat, lebih tabah, lebih kental, lebih berdaya saing, tidak mudah mengaku kalah, tidak takut mencuba, tidak takut menerima kegagalan kerana kegagalan itu tangga kejayaan. Memang, kami adik-beradik mungkin ada kurangnya, yakni kasih-sayang seorang ayah. Ketika zaman menengah dan universiti, saya selalu melihat orang lain bersama ibu dan bapa mereka. Alhamdulillah, Allah berikan kesempatan saya 'merasa' kasih-sayang seorang ayah dari bapa mertua saya selama enam tahun (sebelu beliau dipanggil Ilahi). Saya memang rapat dengan bapa mertua saya. Dapatlah juga merasa memanggil seseorang sebagai 'Abah', merujuk apabila perlu, meminta nasihat, serta menerima layanan dan didikan dari seorang Ayah.
Apa kaitan Kesusahan dan Kemiskinan Itu Suatu Sumber Kekuatan dengan Sdr Azhari dan Dr. Puteri? Kaitannya adalah apabila mereka sekeluarga hendak bermalam di rumah kami sebelum balik ke Malaysia, dan saya bertanya tentang apa yang mereka biasa makan ketika sarapan dan sebagainya, jawab Sdr Azhari mudah "Kami biasa susah, so tak kisah bab makanan". Jawapan yang saya suka kerana walaupun mereka sudah senang di Malaysia, ia tidak mengubah prinsip hidup, nilai dan tatacara berkehidupan mereka, sepertimana saya, "ngam" dengan saya dan isteri. Kalau para pembaca datang dari keluarga susah dan miskin, jangan malu tentang kemiskinan dan kesusahan lalu, ia satu sumber kekuatan. Jangan malu berpakaian biasa, tidak berjenama kerana 'kita adalah kita'. Jangan biarkan nilai dan cara hidup orang lain merosakkan cara hidup kita. Di Malaysia, saya tidak pernah membeli baju atau seluar melebihi RM100 sehelai. Biasanya seluar saya beli dalam lingkungan harga RM30-45 sehelai. Kalau nampak saya memakai pakaian berjenama, itu maksudnya saya beli ketika diskaun 50%-80%. Ketika hendak menyambut Raya, saya membeli pakaian Raya untuk anak-anak di Gemas atau di Kulim kerana ianya lebih murah berbanding di BBBangi, walaupun saya mampu membeli di Bangi.
Muhasabah 20 tahun saya bekerja menunjukkan banyak lagi yang perlu dilakukan. Banyak amal ibadat sunat perlu ditambah, tidak cukup dengan apa yang diamalkan. 'Masa dengan Allah perlu ditambah'. Terasa betul amal jariah saya masih sedikit. Di sebalik beberapa usahateroka niaga sedang dirangka, banyak lagi nak buat amal jariah dalam 1001 bentuk dan sumbangan kepada masyarakat dan negara. Moga-moga Allah berikan kesihatan, semangat, bantuan dan pertolongan dalam saya membantu orang lain untuk berjaya. Suka saya melihat NGO Warga Kilang dan rakan-rakan menjayakan kerja sosial mereka. Golongan kelas menengah perlu lebih proaktif dalam membantu masyarakat.
Moga-moga tulisan saya ini memberikan sedikit ilmu kepada para pembaca, memberikan sedikit gambaran tentang kehidupan lampau kami adik-beradik kepada anak-anak saya dan anak-anak saudara, juga memberikan sedikit manfaat kepada sesiapa sahaja. Saya tidak memohon untuk jadi kaya, cukuplah dengan 'kaya hati'. Hidup kita di dunia ini bukanlah lama mana, kalau dibandingkan dengan akhirat, ibarat sebutir pasir di gurun yang luas. Gunakanlah masa yang ada untuk menggapai matlamat akhirat, matlamat dunia untuk akhirat, matlamat akhirat untuk akhirat. Wassalam.
Angkat barang masuk ke dalam dua MPV
Selain saya, Jessica (Amish Amerika) dan suaminya (orang Yaman) turut menghantar Sdr Azhari sekeluarga ke LTAB JFK di New York
Kami bertolak dari Philly dalam jam 140 petang.
Parkir di Terminal 1&2.
Ada banyak terminal di JFK Airport. Syarikat penerbangan berbeza menggunakan terminal berbeza.
Masa untuk berpisah sudah tiba (selepas masuk barang)
Pasti ada hikmahnya Allah menemukan saya sekeluarga dengan Sdr Azhari sekeluarga. Saya pun belum tahu/nampak hikmahnya.
Dr. Puteri merupakan Pakar Pediatrik Kardiologi - pakar kanak-kanak, mengkhusus dalam bidang jantung kanak-kanak. Saya faham macam tu lah.
Tahniah kepada Dr. Puteri yang lulus sub-kepakaran beliau di Children Hospital of Philadelphia (CHoP). Segala usaha dan penat jerih mendapat hasilnya. Selamat kembali ke Malaysia, berjumpa keluarga tercinta, kembali bertugas di Malaysia dan menabur bakti kepada masyarakat Malaysia.
Tahniah kepada Sdr. Azhari yang setia menanti dan memberikan 1001 sokongan, dorongan dan galakan kepada Dr. Puteri.
Saya dan Sdr Azhari 'ngam' sebab berkongsi prinsip hidup, nilai, buah pemikiran yang tidak jauh berbeza. Di sebalik kepelbagaian pendapat, kami terbuka.
Orang perempuan, kalau berpisah, biasalah sedih-sedih sikit, nangis-nangis sikit.
Bersama anak bongsu masing-masing, Syifa dan Hafiz
Beratur untuk pemeriksaan barang
Sdr Azhari sekeluarga akan mengerjakan umrah terlebih dahulu. Penerbangan mereka adalah New York - Jeddah - Madinah sebelum kembali ke Malaysia pada 29 Januari 2016.
Semoga selamat dalam perjalanan, dimudahkan dalam perjalanan dan urusan umrah, dan selamat sampai di Malaysia. Panjang umur, kita berjumpa lagi. Kami selamat sampai di Philly dalam jam 900 malam.
Saya membaca entry ini sehingga ayat terakhir, Tahniah Dr & terima kasih kerana membantu Abg saya sekeluarga, semoga Allah swt memberi kebaikan kepada Tuan, di dunia & di akhirat.
ReplyDeleteTerima kasih dan sama2 Moh Zakir.
DeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteLeisure reading... mengusik kenangan especially masa kt Kolej Mara Kulim. Terima kasih kerana mengajarku makna keusahawanan..
ReplyDeleteTerbaik... mengusik kenangan especially kt Kolej Mara Kulim... terima kasih kerana mengajarku erti keusahawanan..
ReplyDeleteTerbaik... mengusik kenangan especially kt Kolej Mara Kulim... terima kasih kerana mengajarku erti keusahawanan..
ReplyDeleteSama2 Tuan Mayo. Terima kasih kerana mengajarku erti persahabatan dan kesetiakawanan.
ReplyDelete