Assalamu'alaikum dan bertemu kembali,
Selepas SPM 1989, pelajar 'bercuti beberapa bulan' menunggu keputusan SPM dan peluang masuk universiti/kolej. Saya memang tak buat apa-apa, dok di rumah sahaja. Waktu itu saya dah berfikir, selepas masuk matrikulasi dan universiti seterusnya kerja, waktu saya berehat hanyalah selepas pencen/tua (itupun kalau tidak meninggal dunia di usia muda). Jadi enam bulan selepas SPM itu memang saya makan angin sahaja di kampung. Nak jalan-jalan tak boleh sebab tidak mampu. Alhamdulillah, keputusan SPM saya boleh dikatakan baik pada waktu iu (Agregat 9 pada tahun 1989; sekarang Agregat 9 dianggap tidak cemerlang lagi). Sebagai anak MARA, saya boleh menyambung pengajian ke US (melalui Program AAD di Kuantan), UK (melalui PPP di Shah Alam) atau dalam Negara (melalui Pusat Matrikulasi MARA di Kulim). Saya agak keberatan ke luar Negara kerana merasakan Bahasa Inggeris saya teruk (keputusan Bahasa Inggeris SPM saya memang tidak memuaskan, sekadar Kepujian sahaja). Memandangkan saya mengambil mata pelajaran Perakaunan dalam SPM, saya mungkin menjadi akauntan, saya ambil keputusan ke Matrikulasi UUM dan ditempatkan di Pusat Matrikulasi MARA Kulim. Alhamdulillah, saya berjaya mendaftar di Matrikulasi UUM dalam Pusat Matrikulasi MARA. Ada empat program matrikulasi ketika itu di Kulim iaitu UUM, USM, UKM dan UPM. Kami pelajar matrikulasi ditempatkan di asrama mengikut program matrikulasi masing-masing. Ketika itu (1990-1992), program matrikulasi berlangsung selama dua tahun.
Zaman matrikulasi ketika itu merupakan zaman yang indah-indah belaka...he3. Mengapa? Persaingan tidak sengit ketika itu. Syarat masuk universiti adalah lulus program matrikulasi (minimum PNGK 2.00). Dengan lulus 2.00, anda boleh masuk sebahagian besar program, kecuali teknologi maklumat dan perakaunan di UUM yang memerlukan PNGK yang baik. Kami anak MARA di MUUM diminta memasuki program pentadbiran perniagaan, perakaunan ataupun teknologi maklumat (tidak dibenarkan program ekonomi ataupun pentadbiran awam ketika itu). Zaman matrikulasi juga merupakan zaman peralihan dari sistem sekolah ke sistem universiti. Anda tidak perlu memakai baju sekolah lagi, asalkan seluar slack, berkasut kulit dan baju kemeja berkolar untuk ke kelas. Kami, pelajar Matrikulasi UUM diminta memakai tali leher. Ia merupakan pengalaman berguna, belajar memakai tali leher, mula mengumpul tali leher, dan bergaya dengan tali leher. Untuk matrikulasi UUM, bilangan pelajar maksimum sekitar 150 orang, ada 5 kelas, setiap kelas dalam 30 pelajar dan kami dikelompokkan mengikut sistem mentor-mentee. Kami juga diberikan elaun bulanan sebanyak RM50. Sistem di asrama masih tidak banyak berubah. Cumanya jarang ada kes buli kerana jarak umur hanya setahun. Kalau ada 'kes-kes penting,' otai-otai selesaikan sendiri-sendiri tanpa pengetahuan Warden.
Belakang dari kiri : Che Din, Jibat, Saya, Wan Haris,
Shamex, Pak Melan, Tikus dan Subki
Sepertimana saya kisahkan dalam
tulisan saya sebelumnya, saya banyak cari duit sendiri ketika di MUUM
Kulim. Bermula dengan jual makanan ringan selepas prep pada malam-malam persekolahan, saya
berniaga nasi lemak ketika hari Jumaat pagi (Kedah cuti Jumaat), jalan asrama
ke asrama dengan bekalan nasi lemak dari Makcik Kantin (pelajar lelaki
malas sarapan di dewan makan ketika hari cuti-pengenalpastian peluang
perniagaan*), berniaga malam minggu dengan kawan saya, Arifin, Mayo dan Wahab
melalui Cabaran Remaja Kreatif (CRK), (dengan CRK juga kami buka mesin vending jual air berkarbonat atas kerjasama
dengan Koperasi dan syarikat Lion Malaya Sdn. Bhd. dan juga jual air depan
asrama), saya jual burger dengan junior di malam minggu, saya jual pin bulat
dengan logo Pusat Matrikulasi MARA Kulim, saya jual baju T (tengok dan belajar
dari Faset), juga saya buka 'kedai sendiri' di bilik saya jual macam-macam
makanan ringan (ice pong dan lain-lain kecuali rokok...he3). Rezeki saya di
tahun kedua Matrikulasi diberikan bilik perseorangan dengan pintu berkunci dan
bilik air sendiri. Ketua Warden ketika itu Cikgu Ros (Guru Silat Cimande), saya
kira amat memahami kami para pelajar yang berniaga dan tidak mengambil tindakan
walaupun tahu.
Untung jual baju (saya buat kerjasama dengan Anis Khairi Md Taib untuk pasaran pelajar perempuan), saya pusing separuh Semenanjung Malaysia seorang diri (Ke Perak, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor), mencari kekuatan diri, menguji keberanian diri, memerhati tempat orang dan menimba pelbagai pengalaman sebelum masuk ke UUM pada tahun 1992. Saya menaiki keretapi, bas ekspress, bas henti-henti, dan van dalam kembara solo ini. Saya pernah tidur di masjid, di perhentian bas, di dalam bas, di surau bandar dan juga di asrama backpackers dalam kembara ini. (Ramai pelajar MRSM BP dan MUUM Kulim dahulunya biasa tidur di Padang Kota…he3). Saya juga sempat menumpang rumah Tok Saudara di Felda Bukit Goh, Kuantan dan rumah Sdr Zamirhisham di Kuantan. Untuk ke rumah Tok Saudara di Felda Bukit Goh, saya tiada maklumat lengkap. Dengan berpandukan kepada namanya dan asalnya serta Felda Bukit Goh, saya sampai juga di rumahnya, Alhamdulillah.
Dalam kembara solo ini pada tahun 1992, ketika di Johor Bahru,
esoknya Raya Haji, semua bas sudah penuh, keretapi juga sudah penuh. Saya
akhirnya mengambil keputusan naik van hantu, bersempit-sempit ke Melaka. Dalam
van tersebut, saya sempat berkenalan dengan seorang Pakcik, seorang bekas
Komando, yang baru pulang dari Singapura, dan bersembang-gebang dengan beliau. Mungkin
kerana latar belakang beliau sebagai bekas komando, beliau tahu saya belum
jelas arah tujuan dan tempat tinggal, beliau mengajak saya bermalam di rumahnya.
Kami berhenti di sebuah kawasan tol sebelum rakannya datang mengambil kami dan akhirnya
saya singgah bermalam di rumah beliau di sebuah kampung di Melaka pada Malam
Raya Haji. Saya hanya sehari semalam di rumah beliau dan saya menyambung
perjalanan ke Bandar Melaka sebelum ke Seremban dan mengakhiri perjalanan di
Kuala Lumpur sebelum kembali ke kampung. Pakcik ini, Puasa Bin Akob kemudiannya
menjadi 'Bapa Angkat' saya. Saya loss
contact dengan beliau selepas
masuk UUM. Dengan izin Allah, saya dapat mencari kembali beliau apabila sudah
berumahtangga, ketika pusing-pusing menaiki kereta sekitar Jasin dan
bertanyakan beberapa orang kampung tentang nama beliau (Saya ingat namanya yang
unik itu).
Antara
perkara menarik ketika di MUUM Kulim adalah saya bertanding dalam Pilihanraya
Majlis Perwakilan Pelajar MUUM Sesi 1990-1991. Sesi kempen tidaklah susah
sangat memandangkan pelajar MUUM otai-otai belaka sementara saya pula ‘Boss’
Asrama Mat Kilau. Asrama lain adalah Tun Seri Lanang. Pelajar perempuan tidak
tahu bahawa pada Malam sebelum Pilihanraya, kami, pelajar lelaki akan berkumpul
dan otai-otai akan meminta para pelajar lelaki ‘wajib’ mengundi pelajar lelaki,
kerusi yang lebih-lebih tu selepas undi calon pelajar lelaki, terpulanglah nak
undi siapa pelajar perempuan….he3. Kasihan juga tengok calon pelajar perempuan
yang berbakat kalah pilihanraya. Tetapi demi semangat keotaian pelajar lelaki,
dari dipimpin oleh pelajar perempuan, semangat itu menjadi pada Pilihanraya MPP
Sesi 1991/1992. Saya tidak tahu sama ada ‘Janji Undi Pelajar Lelaki’ ini kekal
selepas itu. Alhamdulillah, saya dipilih sebagai salah
seorang ahli MPP, dilantik sebagai Pengerusi Biro Komunikasi dan Interaksi.
Antara
‘tradisi unik’ bagi pemenang kerusi Pilihanraya MPP adalah anda akan ditangkap
oleh otai-otai dan dimandikan beramai-ramai dengan air basuh baju yang ada di
bilik air…he3… Merasa jugalah saya mandi air basuhan baju… Bila saya masuk tahun
kedua matrikulasi, rakan-rakan yang menang kerusi Pilihanraya MPP sesi
1991-1992 pula menjadi mangsanya. Saya pun tidak melepaskan peluang ini
memandikan rakan-rakan dengan air yang dah dibancuh dengan macam-macam sabun
dan rendaman pakaian…he3. Rakan sementee saya, Wan Haris ‘terkejut’ tengok saya
turut serta ‘mengerjakan ahli MPP baru’…. Takpalah ‘nakal sekali-sekala’ Wan
Haris.
Itu
antara tradisi-tradisi asrama zaman-zaman dahulu. (Peringatan: Tradisi unik ini tidak baik untuk anda teruskan masa kini).
Antara rakan baru yang saya kenali dalam MPP adalah Sdr Norol Azali Sulaiman
(mantan MRSM Kuantan), yang kemudiannya menjadi sahabat baik saya di UUM dan
sehingga sekarang (kini YB Dato’ Norol Azali Sulaiman, EXCO Pahang). Presiden
MPP MUUM merupakan pelajar tahun dua, Sdr Rizal dan antara rakan seperjuangan
saya ketika itu adalah Sharif Tuah, otai dari MRSM Taiping. Ketika itu, MPP setiap unit diberikan sebuah
Bilik Operasi di tingkat dua. Kadang-kadang saya dan Sharif Tuah curi-curi masuk Bilik Komputer Kecil untuk
main Taipan, permainan komputer yang popular ketika itu.
Tradisi
lain adalah ‘mencampak’ rakan yang menyambut hari lahir ke dalam anak
sungai/sungai kecil bersebelahan asrama. Ramai-ramai pakat pegang dan campak. Saya tak pernah kena…he3… Dalam MUUM, juga
diwujudkan beberapa Kelab untuk pelajar seperti Kelab Ragbi, Kelab Kompang,
Kelab Akademik (diketuai oleh Shazani). Yang paling terkenal adalah Kelab Ragbi
sebab ‘otai-otai’ belaka yang menyertainya. Waktu tersebut, kemudahan telefon
selular belum ada. Adalah sebuah telefon awam bersebelahan Dewan Makan. Telefon
ini menjadi tempat rakan-rakan menghubungi keluarga, ‘menghubungi pelajar
perempuan di asrama sebelah’ dan juga pelajar yang kreatif ‘curi talian telefon/telefon
secara percuma’.
Suasana malam minggu di depan Dewan Makan biasanya penuh gerai menjual pelbagai makanan. Dah bergelar pensyarah ni baru saya tahu bahawa apabila belajar/mengulangkaji, cepat lapar. Menu popular adalah burger oleh Kelab Ragbi (juga saya dan junior), Halim Sarawak dan kumpulannya juga aktif berniaga, selain CRK (Saya, Arifin, Mayo dan Wahab). Mael Kerbau dengan bakatnya dan pengalamannya menjual roti canai di pagi cuti, memang laku habis beb!!! Selain itu, Pelajar juga diberikan peluang menjadi Pustakawan di Perpustakaan.
Ketika
itu, Ketua Unit MUUM adalah Cikgu Zubir dan Guru Kanan adalah Cikgu Salleh
Osman (Pak Leh). Seingat saya, kami di MUUM Kulim memang penuh dan sarat dengan
aktiviti. Setiap pelajar diwajibkan menyertai ko-k. Ko-K pertama saya adalah
bela ayam. Boss kami adalah Sharin Shaari, kemudiannya dipanggil ‘Ayam’, kini
Tokey Nasi Ayam Ipoh di Pusat Transformasi Luar Bandar Ipoh, bersebelahan
Lebuhraya PLUS. Sharin juga membuka chalet sendiri (http://dhobbitchalet.blogspot.com/),
seorang usahawan yang berjaya. Sempatlah saya menimba ilmu membela ayam daging,
menjaganya dan menjualnya. Saya pun baru belajar bagaimana ayam daging tidak
boleh terkejut. Kalau kilat atau petir sedikit, ada yang mati terkejut. Kalau
ada kawan yang terlalu besar masuk dalam reban pun ayam2 ni mati terkejut…he3. Saya
sebenarnya memang bantu bonda di kampung bela ayam dan mempunyai ayam jantan yang
agak jinak ketika di kampung. Antara nama ayam jantan saya dan keluarga adalah
Hamdan, Awang Mahyan dan …dah lupa. Antara
lokasi jualan ayam kami adalah sekitar Kampung Air Merah dan Kem Pasukan Polis
Hutan Kulim (kini Pasukan Gerakan Am). Selain ayam, banyak aktiviti lain disertai
pelajar seperti bela lebah, ikan keli, puyuh dan lain-lain.
Apabila
memasuki tahun kedua MUUM, saya tidak bertanding dalam Pilihanraya MPP MUUM
walaupun saya difahamkan beberapa guru mengharapkan saya bertanding. Sebenarnya
ketika di tahun satu MUUM, saya dengan sokongan Pengetua Pusat Matrikulasi MARA
Kulim ketika itu, En Faruk Senan Abdullah, berjaya menubuhkan Pasukan Pengakap
Kelana B Kulim. Alhamdulillah, kami mendapat Sijil Pendaftaran dari Persekutuan
Pengakap Malaysia. Sijilnya saya berikan kepada En. Faruk Senan Abdullah untuk
disimpan. Saya tak buat kerja ini seorang diri. Dengan dibantu oleh Bentayan,
Mayo (Kamarul Haslan) dan Pluto (Zukri Aksah - kini aktivis PKR di Kuantan), kami menggerakkan Pasukan
Pengakap Kelana B ‘Waja’ Kulim. Saya, Bentayan dan Pluto pernah membantu
Perkhemahan Pengakap di sebuah sekolah rendah di Kulim dan di sebuah tapak
perkhemahan di sebuah kawasan rekreasi di Kulim.
Pada
tahun 1990, Kekanda saya, Hazlim telah selamat mendaki Gunung Tahan. Ia
memberikan saya satu semangat baru untuk mendaki Gunung Tahan. Dengan Pasukan
Pengakap Kelana Waja, kami menyusun rancangan menawan Puncak Tahan. Sememangnya
kami tidak berpengalaman mendaki Gunung yang tinggi tetapi kami bersemangat
waja untuk menawan Puncak Tahan. Dengan 7 orang gadis (pelajar perempuan) dan
14 orang jejaka hebat, kami membuat latihan awal. Selain berjoging dan lari
naik-turun tangga, Pasukan Pengakap Kelana Waja sempat mendaki Bukit Mertajam
(saya tidak turut serta kerana terlibat satu urusan lain yang mendesak). Kami
sempat berkhemah di sebuah Ampangan di Kepala Batas, Seberang Perai, tidak jauh
dari rumah Norhashimah @ Norhikamah Mahmud (Setiausaha Pasukan Pengakap Kelana
Waja). Di perkhemahan ini, kami membentuk kumpulan untuk mendaki Puncak Tahan,
berlatih memasak (bagi yang tidak biasa) menggunakan peralatan berkhemah/mendaki
dan lain-lain aktiviti. Salah sebuah kumpulan diketuai oleh sahabat saya, Tuan
Haji Mohd Sukor Mohd Yusoff, menjadi
sahabat baik saya sehingga sekarang. Beliau merupakan mantan Timbalan Presiden
Majlis Belia Malaysia (MBM), mantan Presiden Belia 4B Malaysia, Pengerusi JKKKP
Permatang Ramai, merupakan pensyarah di UiTM Pulau Pinang dan amat aktif dalam kegiatan kemasyarakatan masa
kini. Antara ahli pasukan beliau adalah
Zaleha yang akhirnya menjadi isteri beliau…. Saya tidak ingat banyak perkhemahan
ini tetapi yang saya ingat adalah saya ‘dipaksa’ menyanyi oleh ahli-ahli pasukan.
Saya menyanyikan lagu rock sebuah kumpulan rock tempatan (dah lupa lagu dan
kumpulannya). Memandangkan rumah Norhashimah @ Norhikamah Mahmud tidak jauh
dari tapak perkhemahan, ahli-ahli pasukan sempat bertandang ke rumah beliau
untuk makan-makan, kecuali saya sebagai Boss yang perlu menjaga barang di tapak perkhemahan.
Semasa
cuti semester, rakan lain sibuk dengan pelbagai aktiviti MUUM dianjurkan oleh
Cikgu Zubir dan Cikgu Salleh, saya dan rakan sepasukan menaiki coaster dari Kulim ke Kuala Tembeling,
Pahang. Kami turut disertai adik Cikgu Zubir (anggota PALAPES USM) dan adinda
saya, Hazlisham (saya minta izin Cikgu Zubir untuk bawa adinda saya yang
bercuti pasca SPM). Kos keseluruhan program tidaklah besar memandangkan kos
pengangkutan (coaster) disubsidi, barang makanan seperti beras, gula, sos dan
lain-lain kami ambil dari Dewan Makan, dan beg dibekalkan oleh Pusat
Matrikulasi MARA. Kami hanya perlu menanggung kos menaiki bot dari Kuala
Tembeling ke Kuala Tahan selama 3 jam, kos bermalam di Taman Negara dan kos
mengubah juruiring seramai dua orang beserta sedikit kos makanan/peralatan/perkhemahan.
Allahyarham Cikgu Zamanhuri (guru di Matrikulasi USM) bertindak sebagai guru pengiring,
tetapi beliau hanya sempat separuh jalan pada hari pertama memandangkan beliau
sebenarnya ‘tidak sihat’ tetapi memaksa diri untuk cuba bersama kami.
Allahyarham meninggal dunia ketika kami masih di MUUM Kulim (tahun kedua) dan
saya (pelajar yang rapat dengan beliau) bersama Faset (Mohd Fadzil Ali; wakil
MPP MUUM Kulim 1991-1992) diminta oleh Cikgu Zubir untuk menziarahi beliau di Hospital Kuala Lumpur
ketika beliau sedang sakit. Satu perkara yang saya selalu kenang tentang arwah
cikgu adalah beliau sentiasa menyokong apa sahaja aktiviti Pasukan Pengakap
kami dan memberikan sepenuh kepercayaan kepada saya dan rakan sepasukan kami
walaupun beliau tidak turut serta (Al-Fatihah untuk Allahyarham Cikgu Zamanhuri).
Alhamdulillah
perjalanan kami selamat tiba di Kuala Tembeling pada masanya. Kami sempat
menaiki bot selama 3 jam (kini anda boleh ke Taman Negara melalui jalan darat,
menaiki kenderaan melalui kampung dan Felda dan sampai ke Kampung bersebelahan
Taman Negara; terdapat berpuluh chalet/motel/resort dibina di kampung bersebelahan/bertentangan
Taman Negara). Saya sebagai Ketua Pasukan sempat mendaftarkan semua ahli
pasukan di Pejabat Perhilitan, berkhemah di kawasan perkhemahan semalam sebelum
mula mendaki Gunung Tahan keesokannya. Malamnya hujan lebat, habis barang kami
basah. Pelajar perempuan sempat ‘menghantar pakaian mereka’ ke rumah seorang
makcik di Taman Negara. Esoknya, 28 Mei 1991, kami memulakan perjalanan hari
pertama yang rasanya amat teruk, tetapi sebenarnya paling mudah. Kami sempat
berehat di sebuah anak sungai, memasak untuk makan tengahari sebelum meneruskan
perjalanan ke Kem Melantai. Perjalanan hari kedua adalah naik-turun berpuluh
bukit, termasuk sebuah bukit bernama Bukit Malang, berehat sebentar di Kuala
Putih, meneruskan perjalanan ke Kuala Teku, dan kami bermalam di sebuah tapak
kecil perkhemahan, sebelum Kuala Teku (tidak sempat sampai Kuala Teku) Juruiring kami adalah Abang Zul dan
Abang Amran (bayaran ketika itu adalah RM400/450 untuk seorang juruiring bagi
tempoh 7 hari). Diizinkan Allah, saya bertemu kembali dengan Abang Zul (bertugas dengan
PERHILITAN di Taman Negara) dan Abang Amran (kerja sendiri mengambil upah menyewa
bot/bawa penumpang di Taman Negara) apabila saya sekeluarga (dengan isteri dan
anak-anak) kembali ke Taman Negara untuk pelbagai aktiviti pada Cuti Tahun Baru
Cina.
Hari
ketiga adalah paling mencabar apabila kami singgah sekejap di Kuala Teku,
mendaki tak turun-turun. Kami berehat sekejap di Kem Wray, turun bawah ambil
air sebab perjalanan seterusnya tidak berjumpa mata air. Saya difahamkan
kemudiannya bahawa Kem Wray ini ‘bermasalah’, sebab itu Juruiring tidak mahu
kami lama di situ. Malamnya kami bermalam di Permatang Gunung, ditemani tikus
gunung sebesar kucing yang menggigit sarung stokin dan mencari sisa-sisa makanan.
Dengan peralatan berkhemah yang tidak cukup, dan kekurangan 1001 pengalaman,
kami berasak-asak tidur mana yang boleh di dalam khemah atau di luar khemah
(guna ponco tentera). Hari keempat paling menarik apabila berjalan di atas
permatang gunung, dengan pemandangan yang indah, kehijauan yang memukau, deruan
angin yang menyapa, dan ahli pasukan ‘semakin biasa’ dengan kelasakan
perjalanan. Alhamdulillah hari keempat kami sempat sampai ke Kem Padang, pasang
khemah, masak dan makan apa yang sempat, dan kami berbekalkan sedikit minuman
dan makanan, bergerak untuk menawan Puncak Tahan. Kami sepasukan berjaya menawan
Puncak Tahan, 7174 kaki/2186 m, puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia pada
31 Mei 1991 (saya ingat tarikh ini kerana bersamaan dengan Hari Lahir Kekanda
saya Hazlim).
Hari
kelima, 1 Jun 1991, kami menuruni Banjaran Tahan, turun dan terus turun, turun tak
naik-naik dan kami bermalam di Kuala Teku. Air sungai di Kuala Teku memang
jernih, turut berkhemah adalah Pasangan Orang Putih yang ditemani juruiring
mereka. Sesudah turun dari Kem Padang, ramai anggota pasukan mula bermasalah.
Rupanya, bila menuruni gunung, lutut dan tumit akan bermasalah. Hari keenam,
dari Kuala Teku, kami meneruskan perjalanan ke Kem Melantai. Ramai yang pancit,
makanan pun dah nak habis. Kami mengadakan catuan makanan di Kem Melantai. Kem
Melantai juga penuh dengan pendaki dari Singapura. Hari keenam paling teruk,
walau bagaimanapun, bersyukur ke hadrat Allah, semua selamat sampai di Kem
Melantai. Hari Ketujuh, kami semua sampai semula ke Taman Negara Kuala Tahan. Malamnya,
kami sempat ‘makan besar’ di Restoran Terapung dengan dibelanja oleh Allahyarham
Cikgu Zamanhuri. Terima kasih banyak-banyak kepada Abang Zul dan Abang Amran yang menjadi juruiring kami dan begitu banyak membantu ekspedisi kami. Dalam kunjungan terakhir saya sekeluarga ke Taman Negara, terdapat
banyak Restoran Terapung di Taman Negara, tetapi saya tidak tahu bilangannya
kini apabila banjir besar melanda Malaysia/Taman Negara pada tahun 2014. Hari
kesembilan dari sampai, dengan baki bajet yang kami ada, kami sewa bot ke Kuala Trenggan dan
berkelah di tepi sungai. Semua yang ‘pancit’ semakin baik. Hari kesembilan, kami
balik dengan menaiki bot selama 3 jam lagi ke Kuala Tembeling, menaiki Coaster
ke Kulim dan selamat tiba di Kulim yang sedang kosong/cuti semester.
Hakikatnya,
kami tidak berkemahiran dan kurang pengalaman untuk menawan Puncak Tahan. Akan
tetapi keazaman yang tinggi membolehkan misi sukar menjadi kenyataan. Itulah
fitrah manusia yang membolehkan manusia terus mendiami bumi ini beribu tahun
lamanya. Kecekalan, ketabahan, keazaman, tiada putus asa, terus mencuba, dan berani
mencuba merupakan antara azimat penting untuk kita berjaya dalam kehidupan yang
singkat ini. Kalau diajukan kepada saya,
saya tidak akan mendaki Gunung Tahan sekali lagi dengan persediaan yang kami
lakukan pada tahun 1991. Alhamdulillah, banyak pengalaman berguna misi menawan Puncak
Tahan yang saya dan pasukan pelajari. Misi seterusnya, kami berjaya menawan
Puncak Gunung Inas, Perak dengan kerjasama Perhilitan Perak (Abang Mokhtar dan
rakannya) bersama Pasukan Pengakap Kelanasiswa dari Matrikulasi UUM Sintok
(diketuai oleh Sdr Kasuma Satria).
Selain
berpengakap, antara pengalaman terbaik di Kulim adalah Sukan Antara Unit. Ada
enam unit yang bertanding iaitu MUUM, MUPM, MUSM, MUKM, Gugusan Staf dan AAD
Kuantan. Satu kenangan manis MUUM Kulim adalah saya bersama Pasukan Ping Pong
(dketuai oleh Jeboque) menjadi Johan Pasukan Ping Pong pada tahun 1991 dan
1992. Bertambah manis adalah keotaian MUUM sukar digugat apabila menjadi Johan
Keseluruhan pada tahun 1991 dan 1992.
Walaupun
hanya dua tahun pengalaman berMatrikulasi, saya anggap hubungan antara rakan
sekohort adalah baik dan rapat. Ini dimudahkan kerana tinggal seasrama, kelas
yang tidak banyak, bilangan kami yang tidak ramai (60-70 orang sahaja bagi
pelajar lelaki), kurang tekanan dan semangat keMatrikulasian yang tinggi. Saya juga sempat
membawa beberapa rakan seMUUM berbuka puasa di rumah saya di Tasik Junjong.
Antara pendekatan baik semasa bermatrikulasi adalah gabungan pembelajaran
akademik dengan penglibatan pelajar dalam pelbagai aktiviti ko-kurikulum yang
menjadikan tempoh dua tahun itu penuh dan sarat dengan pelbagai aktiviti dan pengalaman.
Pelbagai peluang diberikan seperti peluang dan kemudahan berniaga di malam
minggu, mudah keluar di hujung minggu, mudah keluar petang ke kedai
berhampiran, kurang rondaan warden, pengurusan koperasi oleh para pelajar,
peluang mengajar tuisyen pelajar sekolah rendah di Junjong, aktiviti ko-k wajib
yang menyeluruh, penyertaan dalam pelbagai kelab/persatuan pelajar, sokongan
dan galakan guru sebagai mentor, dan pelbagai aktiviti lain yang menjadikan
tempoh bermatrikulasi itu sebagai satu persediaan bermakna sebelum memasuki menara
gading. Dengan
pendedahan dua tahun berMatrikulasi, saya yang asalnya bercadang memasuki
program perakaunan di UUM telah beralih angin memasuki program pentadbiran
perniagaan yang saya anggap lebih menepati jiwa dan citarasa saya.
Memang
ada sedikit kisah-kisah negatif MUUM Kulim dalam kalangan rakan, tetapi biarlah
kita paparkan kisah-kisah positif sahaja, cerita yang baik-baik sahaja. Yang negatif
dan kurang baik itu, kita tinggalkan, kita maafkan, kita jadikan sempadan pada
diri masing-masing. Saya antara pelajar terakhir meninggalkan Pusat Matrikulasi
MARA Kulim apabila semester berakhir pada tahun 1992 (sebelum memasuki UUM) memandangkan
saya tinggal berdekatan. MUUM Kulim memberikan saya pengalaman dan peluang
mengasah bakat kepemimpinan, belajar menganjurkan dan mengoganisasi pelbagai
aktiviti yang menjadi asas yang kukuh untuk saya terus berjaya sebagai
mahasiswa di UUM kelak. Terima kasih MARA.
…bersambung
Saya Anak MARA : Pengalaman di UUM…
No comments:
Post a Comment