Wednesday, 30 December 2015

Puteriku Melangkah Jauh, Menimba Ilmu Dan Memperkasa Diri

Assalamu'alaikum dan selamat berbahagia,

Tanggal 12 Ogos 2015 yang lalu, anak sulong saya, satu-satunya Puteri kami, Nur Aisyah Fatihah melangkah jauh, meninggalkan tanah air tercinta, menuju bumi Anbiya', Mesir dalam usaha dan cita-cita menimba dan mendalami ilmu, meningkatkan ketahanan diri, dan memperkasa diri. Sememangnya, saya seorang yang 'family man', 'family first',  keluarga sentiasa menjadi keutamaan. Memandangkan beliau lahir di hujung tahun, maka beliau masih muda ketika melangkah ke Mesir. Apabila nak buat Kad HSBC Bank (seperti disarankan untuk ke Mesir) pun tak lepas sebab tak cukup umur. Kad Debit Maybank pula hanya tahan setahun jika diaktifkan ke luar negara. Maka alternatif terbaik merupakan Kad Debit BSN yang boleh diaktifkan sepanjang masa. Banyak blog memperihalkan persediaan-persediaan yang perlu jika ingin melanjutkan pengajian ke luar negara/Mesir dan Kad Debit BSN merupakan alternatif terbaik setakat ini.

Saya mencari idea, apa nak ditulis untuk tajuk ini, yang mana ditulis khas sempena hari lahir anak saya yang ke-18. Sempena hari lahir isteri saya beberapa bulan lalu, puteri kami ini telah membuatkan video ringkas, memaparkan gambar-gambarnya dari kecil sehingga dewasa dengan lagu tema 'Ibu'. Video ini dihantar melalui WhatsApp dari Mesir, menangis-nangis isteri saya menontonnya. Itulah hati seorang ibu, yang tidak pernah berpisah jauh dari anak-anaknya. Jauh di  sudut perasaannya, isteri saya tidak mahu 'melepaskan' puteri kami ini ke Mesir, saya amat arif bab ini. Cuma nasihat saya kepada isteri saya, lepaskanlah untuk kebaikan anak itu juga. Maka lepaslah beliau dalam keberatan. Dari segi pendidikan anak-anak, saya tidaklah 'menekan' orangnya. Anak-anak rasanya faham bab ini. Saya bukannya jenis menghantar anak-anak ke kelas tuisyen dari Tahun Satu, menghantar tuisyen malam-malam, hujung minggu pun dihantar ke tuisyen, cuti sekolah dihantar lagi ke tuisyen, masa anak-anak membesar dihabiskan dengan tuisyen seumpama tuisyen dan kecemerlangan akademik itu menentukan sepenuhnya masa depan anak-anak.  Pernah pelajar sarjana separuh masa saya memberitahu PIBG sebuah sekolah di Putrajaya mendesak sekolah, 'kami mahu anak-anak kami masuk universiti', seolah-olah tanggungjawab pendidikan itu sepenuhnya tanggungjawab sekolah, jadi mana peranan dan tanggungjawab ibu-bapa?

Sebagai ahli akademik, saya tidak pernah menidakkan kecemerlangan akademik, tetapi hidup ini bukannya kecemerlangan akademik semata-mata.  Semasa kami balik dari UK tahun 2010, anak sulong saya yang tidak mengambil peperiksaan UPSR, PSRA, UPKK (kerana tinggal di UK) memohon untuk masuk ke Tingkatan Satu di Sekolah Agama Menengah Sungai Merab Luar (SAMSMEL) (Beliau bersekolah agama integrasi sebelum ke UK tahun 2006). Alhamdulillah, Pengetuanya menerima anak kami selepas beberapa kali rayuan atas budi bicaranya walaupun sebelum itu ditolak beberapa kali oleh Penolong Pengetuanya. Alhamdulillah, tidak rugi Sang Pengetua menerima rayuan kami kerana akhirnya anak kami ini ke Mesir mendalami bidang agama juga, walaupun sebahagian besar lulusan sekolahnya tidak memilih jurusan agama selepas SPM. Saya fikir budi bicara juga penting selain dasar dan peraturan sedia ada. Dalam konteks ilmu pengurusan, dasar dan peraturan itu untuk umum, masalah khusus dan tersendiri masih memerlukan budi bicara manusia. Dasar dan peraturan tidak boleh direka untuk semua keadaan. Saya pula tidaklah membiarkan anak sulong saya terkontang-kanting setelah tiga tahun lebih meninggalkan pendidikan integrasi di Malaysia, jadinya saya mengupah seorang Ustaz mengajar semula anak saya Bahasa Arab sekitar setahun di rumah (seminggu dua kali selepas balik dari sekolah).

Walaupun tidak 'menekan' anak-anak dalam pendidikan, saya 'marah juga' anak-anak kalau mendapat keputusan peperiksaan yang teruk. Bukan suka-suka marah, marah tanda ambil berat. Anak-anak pun kalau tidak marah langsung akan naik tocang. Mereka mungkin berfikir 'tidak apa' mendapat keputusan yang teruk dalam peperiksaan. Cuma saya menekankan kecemerlangan dalam pendidikan yang berterusan, mengikut kemampuan anak kerana setiap anak dikurniakan kemampuan yang berbeza-beza. Ada yang cepat, ada yang lambat. Bagi saya, yang penting adalah anak masih berminat untuk belajar dan masuk menara gading. Ibu-bapa juga harus tahu 'bakat' yang dianugerahkan Allah kepada setiap anak-anak yang berbeza-beza antara satu sama lain. Pengenalpastian bakat ini penting jika kita mahukan anak-anak kita cemerlang selaras dengan bakat mereka. Contohnya, anak-anak yang pandai melukis, mewarna, kerja kreatif mungkin lebih sesuai dilorongkan ke bidang senibina, rekabentuk produk, dan seni. Tanggungjawab ibu-bapa adalah mendorong minat dan bakat anak-anak dalam bidang tersebut, yakni membelikan bahan/keperluan/alat (seperti buku dan sebagainya), menghantar ke bengkel/kursus berkaitan, masuk pertandingan, menceburi kegiatan di komuniti yang berkaitan dengan bakatnya, yakni untuk memupuk dan mengembangkan minat anak dalam bidang yang mereka punya bakat.  

Kekadang saya agak risau dengan sebahagian ibu-bapa yang menekan anak-anak agar mengambil bidang kedoktoran, peguam, jurutera dan kerjaya profesional tanpa memikirkan minat, hobi, dan cita-cita anak-anak. Di Malaysia, kita menghadapi krisis 'doktor' apabila ramai doktor tidak lulus/habis atau lambat habis 'housemanship'. Malah ada yang memilih untuk 'jual insurans kesihatan' selepas tidak tahan dengan kerjaya sebenar, tugas dan tanggungjawab seorang doktor. Sewaktu saya tamat ijazah pertama tahun 1996, dalam ceramah MLM yang saya hadiri, seorang doktor yang 15/20 tahun dalam dunia perubatan berhenti jadi doktor sebab menceburi MLM. Sebelum saya ke AS ini, saya mendengar sendiri kisah anak saudara sebelah isteri yang 'struggle' untuk menghabiskan housemanship. Malah seorang Dato yang saya kenal memberitahu saya anaknya yang baru habis belajar kedoktoran tidak mahu menghantar laporan ke JPA dan masuk housemanship. Doktor klinik panel saya yang memeriksa kesihatan kami sekeluarga sebelum ke AS juga memberitahu kisah yang tidak jauh berbeza, malah ada yang membunuh diri (dalam kalangan bukan Muslim)

Saya tidak mengkaji perkara ini dengan ilmiah. Cuma saya merasakan   "Mungkin mereka dihidangkan dengan kisah kerjaya bergaji berpuluh ribu sebulan bagi seorang doktor pakar" selain dorongan atau juga 'paksaan halus' ibu-bapa ke atas anaknya.  Mungkin antara puncanya adalah jangkaan kerjaya yang tidak sama apatah lagi bagi generasi Y ini yang sebahagiannya adalah 'generasi yang dimanjakan'. Apakah sanggup bagi seorang doktor pelatih yang hidupnya senang dari kecil, tidak pernah susah sehingga besar menghadapi pelbagai kesukaran menyempurnakan housemanship? Sewaktu saya ditemuduga (secara berkumpulan) untuk ke Wharton di UKM, salah seorang pensyarah perubatan yang ingin menyambung PhDnya dalam topik berkaitan 'pemilihan calon pelajar perubatan yang bersesuaian'. Ini saya kira amat tepat. PNGK 4.00 tidak menjamin seorang calon doktor perubatan tamat belajar, habis housemanship dan menjadi seorang doktor yang berdedikasi. Zaman saya dahulu, tak perlu PNGK 4.00, tetapi ramai rakan saya menjadi Profesor perubatan, doktor pakar dan buka klinik sendiri. Ini yang saya maksudkan kecemerlangan akademik bukanlah segala-galanya!

Perkara ini penting memandangkan tempat yang disediakan untuk calon pelajar perubatan di Malaysia adalah terhad dengan permintaan yang terlalu tinggi. Beberapa universiti tempatan telah memulakan kaedah temuduga, previu kerja dan sebagainya dalam menapis calon yang sesuai. Ini perlu mengikut konsep kos melepas. Seorang calon pelajar perubatan yang tidak menjadi doktor perubatan yang boleh praktis telah menggunakan peluang orang lain, membazirkan subsidi kerajaan yang besar dalam yuran pengajian dan melambatkan hasrat negara dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

Berbalik kepada Puteri saya, pencapaian beliau dalam akademik adalah sederhana. Tetapi itu tidak menggusarkan saya kerana diimbangi dengan sikap beliau yang positif dalam pembelajaran. Seingat saya, dari sekolah rendah, beliau memang suka ke sekolah. Kalau demam sikit pun nak ke sekolah, bukan mencari jalan/alasan untuk tidak ke sekolah. Beliau juga tekun dalam belajar, cuma mungkin otaknya tidak setangkas ayahnya...he3.. Dan saya fikir, saya jarang menidakkan permintaan anak-anak untuk mengikuti kursus/bengkel/lawatan/aktiviti dianjurkan sekolah. Saya juga mahukan mereka masuk kegiatan ko-kurikulum. Cuma sayangnya di sekolah mereka tiada Pengakap, kalau tidak saya dah minta masuk Pengakap. Apa yang saya mahukan untuk mereka adalah keseimbangan dalam pendidikan sepertimana dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara, seimbang Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual. Ramai pelajar sekarang hanya cemerlang dari sudut intelektual, yakni kognitifnya sahaja. Dari sudut afektif dan psikomotor pun ramai pelajar sekarang bermasalah!!!  Apatah lagi jika kita bicarakan dari sudut emosi dan rohani. Teras kepada keseimbangan kepada keempat-empat perkara ini adalah rohani. Sebab itu pelajar pondok menguasai ilmu agama dengan lebih baik berbanding pelajar bukan pondok. Sebab itu pelajar Ulul Albab di MRSM Gemencheh boleh cemerlang dalam pelajaran dan kehidupan kerana penekanan aspek rohani/agama.

Pokoknya, puteri saya ini dari dulu berhajat sambung belajar di Universiti Al-Azhar dan bagi saya itu dah cukup. Alhamdulillah, dengan izin Allah, beliau dapat ke Mesir juga walaupun menghadapi beberapa masalah.  Anak saya yang kedua pun dah sebut, lepas kakak, beliau pula akan ke Mesir. Kata-katanya itu dah 'cukup' bagi saya. Biar ia datang dari hati naluri mereka sendiri, bukan suruhan atau 'paksaan' ibu-bapa. Saya tidak meletak harapan yang terlalu tinggi kepada puteri saya ini. Saya tidak menyuruh beliau lulus dengan cemerlang, hafaz 30 juzuk Al-Quran, menjadi pelajar terbaik dalam bidangnya. Saya cuma kata, yang pertamanya sudah pasti lulus dalam ijazah yang diambil. Saya mengetahui kemampuan puteri saya ini. Saya bagi tempoh tambahan lagi selama tiga tahun. Kalau beliau habis awal, boleh sambung sarjana. Kalau tak habis awal, gunakanlah tempok maksimum yang saya berikan itu sebaik-baiknya. Selepas tempoh maksimum itu, saya pun tidak mampu. Saya sendiri sebagai 'keluarga berpendapatan tunggal' tidak mampu menyara sendiri ramai anak dalam satu masa di universiti.

Keduanya, pesan saya pada puteri saya, bila habis nanti, jangan balik Malaysia dengan ijazah Al-Azhar tetapi tidak boleh berkata-kata, bercakap, mengajar dalam Bahasa Arab. Ini penting kerana Al-Quran dan Al-Hadis dalam bahasa Arab. Jika boleh menguasai Bahasa Arab dengan baik, maka akan lebih faham dan menguasai Al-Quran dan Al-Hadis dengan lebih baik. Seorang rakan pensyarah saya di Fakulti Pengajian Islam UKM yang belajar selama 8 tahun di Mesir, Jordan dan Madinah dan petah berbahasa Arab pernah memberitahu bahawa beliau masih melanggan dengan Facebook yang mengajar Bahasa Arab  dan beliau membicarakan tentang kehebatan Allah dalam istilah-istilah/perumpamaan di dalam Al-Quran. Senario ini sama dengan kisah pelajar Malaysia di AS dan UK tahun 1980/1990 di mana belajar dalam Bahasa Inggeris tetapi bila balik ke Malaysia, kurang keupayaan berbicara dan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Saya sendiri sebagai mantan pelajar MRSM pernah belajar Bahasa Arab di MRSM, tetapi tidak cukup. Saya masih belajar Bahasa Arab sampai sekarang, sedikit demi sedikit.

Ketiganya, pesan saya pada anak saya ini, jangan belajar saja di dalam bilik kuliah/kelas dan balik ke Malaysia dengan tamat dalam ijazah sarjanamuda. Banyak peluang menambah ilmu-ilmu lain di luar bilik kuliah di Mesir. Cari dan ambil peluang mendengar kuliah/syarahan ulamak-ulamak Mesir di masjid-masjid di sekitar Al-Azhar, kuliah-kuliah selepas Subuh/Solat Fardhu (jika ada), belajar bertalaqqi dengan ulamak-ulamak Mesir dalam apa saja ilmu-ilmu Islam yang ada, jika berkesempatan (pelajar Muslimah kurang sedikit peluang belajar bertalaqqi sefaham saya tidak seperti pelajar lelaki). Alhamdulillah, anak saya dan rakan beliau bertalaqqi dalam mengaji Al-Quran dengan seorang ulamak. Belajar ilmu-ilmu hadis dan apa saja ilmu-ilmu Islam secara bersanad jika berpeluang. Belajar apa saja ilmu-ilmu Islam yang tidak diajar dalam bilik kuliah yang mana boleh. Memandangkan beliau seorang pelajar perempuan, saya tidak minta beliau bertalaqqi dengan ilmu-ilmu khusus yang ada di dada ulamak khususiah di Mesir.  Anak kedua saya akan saya beri pesan khusus mengenai 'ilmu khususiah' apabila ke Mesir kelak, dengan izin Allah.

Fokus beliau bagi saya jelas. Tempoh lima tahun memantapkan diri dan memperkasakan diri dengan ilmu-ilmu Islam. Suasana di Mesir berbeza dengan suasana di Malaysia. Ada banyak majlis ilmu sekitar Al-Azhar, usrah dengan kakak-kakak, majlis ilmu dengan rakan-rakan, dan suasana kehidupan di Mesir (walaupun sedikit susah berbanding Malaysia) positifnya adalah memantapkan diri, membina jatidiri yang kental, melahirkan individu yang cekal. Lengkapkan dan mantapkan diri dengan fiqh, usuluddin dan tasawuf. Ketiga-tiga cabang ilmu ini adalah satu dan bersepadu, bukannya berpisah. Tidak lengkap satunya tanpa yang lainnya. Tidak sempurna solat dengan fiqh sahaja tanpa usuluddin dan tasawuf. Tidak 'wujud solat' jika bertasawuf semata-mata. Tidak tahu ke mana solat diniatkan dan didirikan tanpa usuluddin. Jangan mengharapkan dan bergantung kepada kuliah semata-mata. Beli dan mentelaah sebanyak mungkin kitab-kitab agama. Saya memang sediakan 'peruntukan lain' untuk kitab-kitab agama selain belanja sara hidup untuk puteri saya ini.

Kelimanya, boleh riadhah, berjalan ke sini-sana tetapi ada hadnya. Dah dekat 4  bulan di Mesir, puteriku ini dan rakan-rakannya dah masuk kampung dan bermalam di kampung di Mesir, ke kenduri kahwin pelajar Malaysia, riadhah ke lokasi-lokasi menarik dan pelbagai aktiviti lain semuanya setakat ini 'Abah luluskan'. Kehidupan ini perlu seimbang dan aktiviti sebegini perlu untuk menambah pengalaman serta penting untuk kestabilan dan  kematangan emosi. Ia bakal menjadi pengajaran dan pengalaman penting untuk dibawa balik ke Malaysia. Jangan sekadar pergi dan lihat, cuba menyelami, empati, menjiwai, dan merasai apa sahaja persekitaran yang ditempuhi. Ini akan mematangkan diri dengan cepat. Ini pengalaman penting yang tidak dapat diperolehi jika belajar di Malaysia.  Jika Allah Taala memurahkan rezeki, peruntukan ke Turki/Jordan dan negara Arab lain mungkin ada, tetapi bukan sekarang, apabila di tahun keempat/kelima. Abah perlu 'bukti dan rekod kejayaan' sebelum 'meluluskan peruntukan seterusnya'. 

Selain belajar ilmu-ilmu Islam, tidak cukup beribadat dengan sekadar yang wajib. Apa gunanya ilmu seluas tujuh lautan jika tidak diamalkan? Ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah, tidak banyak boleh memberi manfaat kepada yang lainnya. Allah Taala memberikan perumpamaan yang cukup hebat tentang pokok/pohon ini. Perhatikan surah Ibrahim, ayat 24-25 yang berikut.

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit. (Ibrahim 14: 24)
Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. (Ibrahim 14: 25)

Itulah matlamat zahiri dan hakiki untuk puteriku ini. Jadilah pohon yuang baik, akarnya teguh menyelinap ke tujuh pasak bumi, cabangnya dan pucuknya menjulang ke tujuh lapis langit, memberikan hasil dan manfaat kepada manusia dan makhluk Allah di sekelilingnya. Cari jalan dan beramal dengan fiqh, usuluddin dan tasawuf agar akarnya begitu tegah dan mantap, kukuh menyelinap tujuh pasak bumi, tidak rosak, binasa atau celaka walau ribut dan taufan serta tsunami datang melanda. Manakala pucuk dan rantingnya menjulang ke tujuh lapis langit, ibadat dan amalnya, wajib mahupun sunnat, 'dibawa naik oleh para malaikat, 'mengetuk dinding Muntaha dan moga-moga diterima Allah', mengeluarkan buahnya yakni memberikan manfaat dan 'menjadi naungan' kepada diri sendiri, keluarga, komuniti, masyarakat, negara dan makhluk-makhluk Allah ibarat Junjungan Nabi SAW tercinta yang membawa rahmat ke sekalian alam. Kiasan ini mungkin difikirkan 'tinggi' buat masa ini, tetapi saya percaya puteriku ini bisa memahaminya kelak. Dan saya pun tidak boleh mengulas kiasan ini dengan lebih mendalam, kerana 'setiap sesuatu ada batasnya'. 

Seperti yang selalu diperingatkan, jangan cukup beribadat dengan yang wajib sahaja. Jika dibuat yang wajib sahaja, kita diibaratkan 'Pulang Modal sahaja'. Jika setiap hari Pulang Modal, mana untungnya  hendak dituai di akhirat kelak? Jika tidak pulang modal, mungkin kita kerugian dalam setiap hari. Mengapa begitu? Adakah sempurna ibadat kita seharian? Adakah cukup dengan sekadar solat 5 waktu? Adakah solat 5 waktu yang didirikan itu sempurna rukun qauli, fi'li dan  qalbinya? Adakah kita bersolat sempurna khusyuk dan tawadhuknya? ataupun sekadar buat sahaja? Adakah tidak berbuat salah/dosa sepanjang hari? Terjagakah mulut, mata, tangan, telinga dan tubuh serta anggota setiap masa dan ketika? Jadi jika setiap hari kerugian, mana hendak ditampung rugi itu? Maka ibadat sunatlah yang menampung kerugian itu. Jika setiap hari kerugian, bolehkah pulang modal di akhirat kelak? Jadi, pesannya yang ketujuh adalah tambahkan amal-ibadat yang sunat. Tak perlu tambah banyak-banyak, tambah satu, amalkan 40-44 hari secara berterusan, maka tambahlah lagi satu. Lama-lama tambah sedikit demi sedikit, akan bertambah banyak amalan sunat yang diamalkan. Lama-lama diamalkan, alah bisa tegal biasa. Apa amalan Sunnah RSAW yang hendak ditambah? Pertamanya, ingat selalu pesan Ummi dan Abah, tambah Sunat Qabliyah dan Ba'diyah. Mantapkan diri dengan Solat Sunat mengiringi Solat Fardhu ini. Mula-mula buat memang rasa susah, lama-lama dah jadi amalan, maka senang saja. Lazimkan berselawat ke atas Jujungan Besar Nabi Muhammad SAW, rasakan malu kita pada Allah, kerana DIA yang Maha Agong pun berselawat ke atas Nabi kita, kita yang banyak dosa ini malas untuk berselawat ke atas Jujungan Besar Nabi Muhammad SAW. Begitu banyak jenis Selawat, pilihlah dan amalkanlah yang mana rasi di hati. Jangan tinggal juga, banyakkan bersyukur ke hadrat Allah atas segala rahmat dan nikmat dari-NYA. Jika di mulut boleh dilafaz, jika pada diri, punya ruang dan masa, lazimkan Solat Sunat Syukur. Banyakkan beristighfar kerana kita ini tidak lekang dari berbuat dosa dan maksiat, sentiasa lalai dan leka dalam mentaati perintah Allah. Jika di mulut, boleh beristghfar dari lafaz Istighfar biasa ke Penghulu Istighfar, maka pada diri boleh diidirikan Solat Sunat Taubat.

Pesanku yang kelapan, ingatlah Puteriku bahawa mudah dan senang belajar itu datangnya dari Hati yang terang dan bercahaya serta akal fikiran yang juga terang/bercahaya. Kebanyakan manusia memfokuskan akal fikiran yang terang, maka hebatlah pencapaian akademiknya, tetapi jika tidak disandarkan pada hati yang terang, maka rosaklah manusia itu nantinya kerana nafsu-nafsi yang keji akan bermaharajalela pada lubuk hatinya. Maka banyakkan amal-ibadat dan zikrullah, khususnya zikir khususiah kerana ia akan menerangi hati/qalbu dan kelak menerangi akal fikiran. Ingatlah kita memerlukan ilmu wahyu dan ilmu bukan wahyu untuk hidup dan cemerlang di dunia ini. Cuma panduannya, ilmu wahyu menyuluhi ilmu bukan wahyu, bukan sebaliknya. Sepertimana matlamat akhirat memimpin matlamat dunia, bukan sebaliknya.  Qalbu yang  terang akan menyinari akal fikiran menjadi terang. Qalbu dan Akal yang terang akan membolehkan seluruh diri menjadi terang, bercahaya. Diri yang terang dan bercahaya akan menjadi penerang, penyuluh kepada orang lain yang gelap, mereka yang berada di dalam kegelapan. Semakin banyak ilmu yang diamalkan, maka semakin terang dan bercahaya diri kita, maka semakin banyak memberi manfaat kepada orang lain.

Pesanku yang kesembilan dan terakhir dalam nukilan ini, bergantunglah sepenuhnya dan ingatlah sentiasa kepada Allah Taala dalam apa saja yang ujian, urusan, cabaran, godaan, dan pancaroba yang dihadapi. Allah Taala sahajalah tempat bergantung di mana saja kita berada, dalam apa jua situasi. Mintalah kepada Allah dalam apa saja urusan di Mesir, sama ada dalam urusan pengajian mahupun kehidupan. Mintalah kepada-NYA dengan bersungguh-sungguh, dengan penuh pengharapan, dengan hati yang tulus, dengan penuh kekhusyukan, dengan penuh tawadhuk. Berbaik sangka dengan Allah, jangan berputus asa dengan Allah, bagaimana DIA mahu memperkenankan doa dan permintaan kita itu kerana DIA maha mengetahui lagi maha bijaksana. Ingatlah Allah banyak-banyak ketika susah dan senang, ketika tidur dan jaga, ketika belajar dan bekerja. Bak kata seorang guru Abah, mintalah kepada DIA ibarat seorang peminta sedekah yang tidak makan berhari-hari meminta sedikit makanan daripada orang ramai. Memohon dan merayulah kepada-NYA dengan linangan air mata. Jangan malu untuk menangis ketika meminta kepada Allah sedangkan ramai manusia boleh menangis ketika menonton wayang dan cerekarama. Ingatlah, perbendaraan-NYA dan keagongan-NYA tidak terusik sedikitpun dengan apa yang kita minta. Itulah kunci menjadi seorang hamba Allah di muka bumi ini, menjadi seorang mukmin, yakni sentiasa bergantung dan ingat kepada Allah. Walau lautan api yang harus direnangi, walau taufan salji datang membadai, walau guruh dan gegak gempita datang menjengah, Puteriku, Dikau akan tetap teguh, cekal dan tenang menghadapi pelbagai ujian jika bergantung sepenuhnya dan ingat senantiasa kepada Allah. Bergantunglah sepenuhnya kepada Allah, ingatlah senantiasa kepada Allah dalam doa dan usahamu, dalam perkataan, perbuatan dan kelakuanmu, dalam rukuk dan sujudmu, dalam ibadat dan muamalatmu, dalam gerak dan diammu Puteriku.
 
Larangan saya kepada puteri saya tidak susah dan juga amat jelas. Tidak perlu dijelaskan bahawa segala Larangan Agama  itulah jua larangan ke atas dirimu. Yang mana dilarang agama, maka ia juga menjadi larangan bagimu. Mengenai larangan Abah, yang pertamanya jangan libatkan diri dengan kumpulan/persatuan berbentuk/berbaur politik di Mesir sama ada berkaitan politik Malaysia ataupun politik Mesir/Dunia Arab.  Abah tidak mahu mengulas panjang bab ini tetapi cukuplah puteriku tahu, faham dan percaya bahawa 'Abah tahu lebih dari yang engkau tahu tentang akibatnya dan impaknya'. Larangan kedua adalah belum masa untuk puteriku berkahwin. Siapkan dirimu untuk perjuangan dan kehidupan pada masamu. Jika nak berkahwin juga, maka mintalah belanja sara hidup dan sebagainya kepada suami kamu, bukan dari Abahmu. 

Sememangnya saya arif kehidupan Puteri seorang ini di Mesir tidak sesenang di Malaysia. Adapun kehidupan Abah, Ummi dan adik-adik di AS jua begitu, tidak sesenang di Malaysia. Tetapi inilah jalan yang kita pilih, maka kita harus melaluinya dengan penuh kesabaran. Sentiasa yakin dengan petunjuk Allah, sentiasa bergantung kepada Allah, sentiasa positif dengan ujian-ujian Allah yang negatif dan positif. Kami telah berusaha 'menyediakan' Puteri kami selengkapnya dengan pelbagai ilmu, kemahiran dan pengalaman secukupnya untuk kembara ilmu di Mesir, yang mana terkurang itu, pandai-pandailah Puteri kami melengkapkan dan mencukupkannya. Lagu Puteriku Sayang dendangan kumpulan Hijaz sentiasa menjadi lagu rasmi Abah dan Ummi untukmu, Puteriku. Semoga nukilan ini menjadi 'azimat' penting untuk Puteriku ini sempena hari lahirmu ke-18 dan dibaca selalu sepanjang hayatmu. Wassalamu'alaikum warrahmatullahi wabarakatuh.


Puteriku bersama Umminya, adik-adiknya, mak saudara, sepupu dan Toknya

Di KLIA

Taklimat dari Agensi yang menghantar

Mencatat isi-isi penting


Biasalah adik-beradik, bila bersama asyik nak 'bergaduh', bila nak berpisah, terasa sedihnya. Benarlah perumpamaan Melayu, Air dicincang takkan putus

Seorang ayah tidak menzahirkan kasih-sayangnya seperti seorang ibu, tetapi satu-satunya puteriku ini  sentiasa di hati ayahnya. Ketegasan seorang ayah terhadap anak perempuannya bukan kerana bencinya tetapi kerana kasih-sayangnya dan ambil beratnya.

Doa Abah sentiasa ada untuk Aisyah.

Penerbangan jam 100 pagi lebih....puas menunggu. Yang nombor tiga memang rapat dan manja dengan kakaknya

Yang kecil dah tertidur


Seorang ayah walau tersenyum di wajahnya, dihatinya, Allah saja yang tahu

Sehari selepas Puteriku berlepas pergi, anak-anakku 'tidak boleh memandang' bilik kakaknya. Tengok ja, menangis mereka...



Kasih sayang kepada ibu perlu melebihi kasih-sayang kepada seorang ayah

Pesanku kepada Puteriku sebelum berlepas pergi - telefon ummi sekurang-kurangnya seminggu sekali 
(melalui WA/FB Messenger dan sebagainya)

Dengan Tok yang dipanggil Tok-Tok semenjak kecil

Bondaku datang dari jauh untuk menghantar cucu keduanya ini

Melangkah pergi

Menaiki penerbangan Qatar Airways, transit di Doha sebelum sampai di Kaherah

Puteriku Melangkah Jauh, Menimba Ilmu, Memperkasa Diri

Selamat Hari Lahir Anakanda kami, Nur Aisyah Fatihah yang kelapan belas, dari ummi, abah dan adik-adik. Kami mendoakan kesejahteraan hidup di bumi Mesir, zahir dan batin, dan dimudahkan menghadapi pelbagai ujian di sana. Bergantunglah dan ingatlah kepada Allah senantiasa.

No comments:

Post a Comment