Heboh di Malaysia sekarang tentang isu kemasukan pekerja Bangladesh seramai 1.5 juta orang. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kejatuhan harga minyak yang menyumbang kepada kejatuhan pendapatan kerajaan, tetapi tidak pula menyumbang kepada kejatuhan harga barang, dengan wujudnya lebih 130 universiti/kolej universiti (tidak termasuk lebih 300/400 kolej biasa) yang melahirkan berpuluh ribu graduan setahun sekarang, dengan graduan menganggur yang ramai, dengan keadaan harga barang yang naik dan terus naik, kedatangan pekerja Bangladesh seramai 1.5 juta orang tidaklah dilihat oleh orang ramai memberikan impak positif kepada negara. Dari segi negatifnya, ia akan menyebabkan pengaliran wang keluar ke Bangladesh (RM300 sebulan X 1.5 juta = RM450 juta X 12 bulan--> RM5.4 bilion). RM5.4 bilion setahun!!! Itu congak mudah dengan andaian seorang pekerja mengirim RM300 sebulan kepada keluarga mereka di Bangladesh. Bayangkan berapa ramai pekerja asing (sah dan tanpa izin) di dalam negara sekarang. Jika diandaikan ekonomi Malaysia digerakkan oleh 3 juta pekerja asing, maka RM10.8 bilion wang ke luar negara... Pertambahan RM100 sebulan (kirim RM400 sebulan) akan menyebabkan RM14.4 bilion wang kita mengalir ke luar negara. Saya tidak mahu sibuk dengan statistik ini, saya yakin Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan ataupun JPM mempunyai angka yang sebenar.
Isunya adakah menguntungkan negara menggaji pekerja asing? Kita membuat pelbagai promosi menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Malaysia, berbilion wang masuk ke Malaysia, tetapi kita menggaji pula pekerja asing untuk bekerja di Malaysia yang akhirnya wang yang masuk keluar pula. Apa yang negara dapat dari segi kewangan? Levi pekerja asing? Lagi? Keuntungan cukai korporat? Belanja elektrik dan bil-bil lain serta cukai-cukai lain oleh syarikat asing di Malaysia. lagi? Perkhidmatan sokongan seperti kafetaria di kilang, kontrak pembersihan, kontrak bekalan barang dan kontrak perkhidmatan kepada PKS. Ada lagi? Pendapatan boleh guna yang dibelanjakan pekerja asing di Malaysia sepanjang bekerja dan hidup di Malaysia, ini termasuk sewa rumah, bil-bil, makan-minum, melancong, belanja runcit, belanja suka-ria, perkhidmatan telekomunikasi, perabut... macam2 jua. Maksud saya ada manfaat kepada negara juga dari segi kewangan apabila majikan menggaji pekerja asing.
Di sebalik kos dan manfaat (cost-benefit analysis), banyak isu boleh dibahaskan. Dari segi sosial, impak pekerja dan pendatang asing antaranya adalah pertambahan kes jenayah (berat dan ringan), pertambahan masalah sosial, gangguan kepada ketenteraman penduduk tempatan dengan nilai dan budaya berbeza, pencemaran taman/perumahan kerana tahap kebersihan yang rendah, kemasukan pelbagai ideologi yang sukar ditapis sebagai contoh. Nak salahkan pekerja asing pun tidak boleh. Rumah saya di Bangi dulu, pendatang Bangladesh/Pakistan boleh hidup dengan upah potong rumput di rumah-rumah di taman. Isunya ada transaksi perniagaan, yakni adanya permintaan dan penawaran, formula asas ekonomi. Orang kita sendri yang malas atau tidak mahu atau sibuk atau suka mengupah orang lain potong rumput di rumah sendiri, juga orang kita sendiri tidak mahu buat kerja tambahan sebagai pemotong rumput di hujung minggu. Habis macam mana tu?
Kita boleh bahaskan isu ini seperti adakah negara memerlukan 1.5 juta pekerja Bangladesh, jika ya, kerajaan perlu mengeluarkan data dan statistik di mana keperluan 1.5 juta orang itu, di negeri mana, di industri mana, apa sektor pekerjaannya? Adakah perlu seramai 1.5 juta pekerja dalam tempoh lima tahun? Mengapa perlunya seramai 1.5 juta? Mengapa hanya Bangladesh? Mengapa tidak 'Pelarian Syria' seperti beberapa cadangan? Tidak cukupkah guna tenaga tempatan dalam menggalas sektor pekerjaan yang akan diisi oleh pekerja Bangladesh tersebut? Tiadakah dasar fiskal yang jelas dan tuntas dalam mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing? Tidak adakah alternatif lain selain 1.5 juta pekerja asing? Saya kira Malaysia memerlukan perubahan dasar yang lebih tuntas dan berintegrasi dalam menyelesaikan masalah pergantungan kepada buruh/pekerja asing, bukan semata-mata sektor perkilangan dan pembinaan ataupun perladangan tetapi termasuk sektor pembantu rumah. Tidak cukup, apabila majikan memohon kepada KDN untuk mengaji pekerja asing, maka pihak kerajaan melayani permintaan majikan ini.
Saya sebenarnya walaupun mengajar kursus perniagaan dan keusahawanan, saya tidak gemar melihat para peniaga dan usahawan di Malaysia yang tamak mengejar keuntungan tertinggi semata-mata. Dalam satu Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia beberapa tahun lepas, seorang jutawan wanita dari Indonesia menyatakan bahawa beliau boleh menggunakan mesin, yakni menggantikan manusia dengan mesin dalam perusahaannya yang besar iitu. Tetapi katanya, beliau melihat kepada keperluan pekerjaan oleh rakyat Indonesia, ramai masih kais pagi makan pagi, maka beliau meneruskan perusahaannya menggunakan buruh/tenaga kerja, dari mengejar kekayaan pantas apabila menggunakan mesin. Dalam senario di Malaysia, apa yang berlaku sama ada kenaikan harga minyak, pengenalan cukai baru (seperti GST), kenaikan kos/harga barang, yang biasanya sentiasa untung adalah para peniaga, yang akan dipersalahkan adalah kerajaan, dan yang menanggung masalahnya adalah rakyat, khususnya rakyat bawahan. Kadang-kadang saya sendiri hairan melihat sikap orang Malaysia. Kalau dah harga segelas air suam pun sampai RM1.00, segelas air bandung pun sampai RM4.00, tak payahlah makan di situ! Tanya/Lihat harga barang dahulu sebelum membeli, adakan senarai barang yang nak dibeli, adakan bajet khusus untuk barang khusus, jangan berbelanja ikut nafsu, jangan berbelanja menggunakan kad kredit (guna kad debit)...Kita perlu jadi pengguna yang bijak!!!
Sebagai ahli akademik (bukan ahli politik ya!), tidak cukup saya membincangkan isu ini sepertimana di atas. Saya bukanlah menolak langsung keperluan pekerja asing di Malaysia. Banyak juga negara maju yang saya dah sampai dan ziarah serta memerhati, memang susah jika sesebuah negara tidak mahu bergantung kepada pekerja asing. Cuma, saya fikir, pihak kerajaan perlu tegas dan jelas melaksanan beberapa dasar dan tindakan untuk mengurangkan keperluan pergantungan kepada pekerja asing. Kita tidak mahu jadi macam Dubai (UAE), negara didominasi orang luar. Apa cadangan yang kerajaan boleh laksanakan? Ini baru saya terfikir dalam beberapa minit (baru habis kuliah Keusahawanan Sosial), jika kerajaan ada mekanisme mendapat input dari rakyat dan masyarakat, saya yakin lebih banyak cadangan akan dapat dikemukakan. Berikut merupakan antara cadangan saya, terpulanglah sama ada pihak kerajaan hendak laksanakan atau tidak....
Stesen minyak - Dahulunya negara telah melaksanakan dasar pam sendiri di stesen minyak dan akhirnya dasar ini berjaya mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing di stesen minyak. Hairan pula akhirnya dasar ini dilonggarkan di mana banyak pula stesen minyak menyupah pekerja asing untuk tolong pam minyak, tolong bersihkan cermin kereta dan sebagainya. Saya lihat di UK dan AS khususnya, amat jarang berjumpa pekerja sebegini di stesen minyak. Jadi apa cadangan saya? Berhentikan secara beransur-ansur penggajian pekerja asing di stesen minyak sehingga sifar. Pekerja yang dah habis visa, boleh dihantar balik ke negara mereka. Ada juga pekerja asing jadi juruwang di stesen minyak, maka saya kira ini juga boleh dihapuskan. Dah berbelas dan berpuluh ribu ringgit Stesen Minyak untung sebulan, maka pengusaha stesen minyak perlu menaikkan gaji dan insentif kewangan dan bukan kewangan kepada anak tempatan untuk bekerja di stesen minyak, bukan ambil jalan mudah dengan menggajikan pekerja asing dengan gaji miminum. Kalau gaji RM1,200 sebulan di stesen minyak memang susah dapat pekerja kalau di Bangi, tetapi kalau gaji dan elaun sampai RM2,500/3,000 sebulan, mungkin ramai yang berminat di tengah-tengah malam.
Perladangan kelapa sawit/getah - Ini antara sektor yang memerlukan pekerja asing kerana kerja berat yang saya sendiri akui, tak ramai anak tempatan berminat. Cadangan saya untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing adalah dengan menggunakan mesin/teknologi. Banyak rekaan saintis uiversiti tempatan untuk kegunaan perladangan kelapa sawit/getah/dll tidak dimanfaatkan oleh Syarikat Perladangan Besar dalam negara kerana menggunakan kos buruh dilihat mengoptimumkan kos dan tiada insentif dari kerajaan. Dalam perladangan getah sebagai contoh, kita mesti terus menghasilkan mesin torehan getah yang cekap dan berkesan, serta bagaimana susu getah yang mengalir dapat dikumpul dan dijual dengan kos efektif. Bab kelapa sawit, kita masih banyak menggunakan manusia untuk menanam sampailah kepada mengait. Gunakan mesin/kenderaan/teknologi dari awal proses sehingga akhir proses. Kerajaan perlu mewujudkan inisiatif berupa dasar fiskal (potongan cukai, geran R&D, pengelakan cukai sebagai contoh) untuk menggalakkan syarikat perladangan ini menggunakan mesin dari bergantung kepada pekerja sing.
Pembinaan - Teknologi Binaan Industri (IBS) telah wujud semenjak kurun ke 19 lagi. Dalam 10 tahun kebelakangan ini, semakin banyak teknologi IBS wujud di pasaran tetapi penggunaanya tidaklah memberikan impak yang berkesan dengan industri pembinaan masih berasaskan intensif buruh. Cadangan saya mudah saja, berikan lebih banyak insentif IBS kepada SPNM, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dalam melaksanakan IBS. IBS boleh menjimatkan masa pembinaan, kos pembinaan dan mengurangkan keperluan tenaga buruh. Di peringkat tempatan, PBT boleh meletakkan syarat seperti 30% rumah dibina menggunakan IBS ataupun 30% komponen rumah berasaskan IBS. Di peringkat negeri, kerajaan negeri boleh mensyaratkan setiap tanah negeri yang dimajukan dengan taman perubahan diwajibkan menggunakan 50% IBS sebagai contoh. Di peringkat pusat, dasar fiskal seperti pelepasan cukai, potongan cukai, insentif berupa bantuan kewangan dan geran boleh diwujudkan untuk merancakkan lagi IBS ini. Isu asasnya mudah, nak buat atau tak nak buat!!! Jika IBS dilaksanakan, secara automatik pergantungan kepada burh asing akan menurun.
Restoran - Banyak betul Restoran menggunakan pekerja asing dan ini tidak dapat dinafikan. Dari basuh pinggan, masak, ambil pesanan dan di sesetengah restoran, juruwang pun pekerja asing. Dalam saya memahami konteks pengusaha, saya melihat isu asasnya adalah untung-rugi. Mereka sanggup ambil pekerja asing sebab upah-gajinya murah, lebih rajin bekerja (sebab nak kumpul banyak duit sepanjang di Malaysia sepertimana di kilang antaranya), dan mungkin tidak banyak songel/masalah. Saya pernah dengar di Australia, pekerja asing seperti tukang masak diberikan visa untuk tempoh dalam 5 tahun pertama sahaja sebagai contoh, selepas itu visa tidak akan disambung. Dalam tempoh 5 tahun itu, pengusaha wajib melatih anak tempatan untuk menjadi tukang masak di restoran itu dan ini boleh dipraktiskan di Malaysia dalam pekerjaan tertentu. Keduanya, hadkan bilangan pekerja asing di restoran ini, ini boleh dilakukan dengan formula tertentu (ahli ekonomi boleh bantu). Ketiganya, insentif untuk menarik pekerja tempatan perlu ditambahbaik seperti gaji/upah yang lebih menarik, tambahkan elaun-elaun dan insentif bukan wang seperti klinik panel dan sebagainya. Boleh juga difikirkan insentif untuk pekerja tempatan separuh masa/ikut jam di restoran.
Keselamatan - Saya sebenarnya agak bimbang apabila kawalan keselamatan sebahagian premis swasta dikawal oleh pekerja asing, khususnya dari Nepal. Semasa saya di Malaysia dan kebetulan melawat satu kolej universiti untuk urusan audit MQA, saya bertanya tentang kawasan parkir di dalam Bahasa Melayu dan kemudiannya Bahasa Inggeris, Pengawal Keselamatan ini tidak faham!!! Saya difahamkan Syarikat Penyedia Keselamatan ini 'mengambil pekerja terlatih' dari Nepal. Persoalan saya adakah anak tempatan tidak dapat dilatih menjadi pengawal keselamatan yang hebat. Malaysia telah menghasilkan polis dan tentera yang terlatih dengan begitu ramai, tidak mampukah kita melatih anak tempatan? Keduanya adalah dengan menggunakan teknologi seperti CCTV dan sebagainya, maka keperluan kepada Pengawal Keselamatan akan berkurangan, Kerajaan perlu serius mengenakan caj/levi yang tinggi untuk pekerja asing, tetapi juga menawarkan alternatif yakni syarikat boleh mendapatkan teknologi keselamatan dengan harga yang berbaloi.
Perkilangan - Ini antara sektor yang menggunakan ramai tenaga kerja asing. Saya pernah tinggal di Nilai dan bekerja di Kilang tahun 1990-an dahulu semasa tenaga kerja asing masih kurang digunakan di kilang-kilang. Saya fikir dasar tentang perkara ini sudah ada seperti menggalakkan kemasukan syarikat asing yang berasaskan teknologi, bukannya berasaskan buruh. Cuma pelaksanaanya mungkin menjadi satu persoalan. Negara pasti tidak boleh bergantung kepada perkilangan teknlogi tinggi semata-mata tetapi perkilangan berasaskan buruh boleh dikurangkan dengan penggunaan teknologi/mesin. Ada isu pekerja tempatan suka berhenti kerja, maka cadangan saya tambahkan insentif pekerjaan seperti asrama, elaun-elaun, program kebajikan, dan aktiviti sosial. Tidak semua orang bekerja dan setia kerana gaji yang tinggi semata-mata.
Itu antara cadangan saya yang sebenarnya tidak baru tetapi saya tulis juga sebab kerajaan kata mereka berminat nak dengar cadangan rakyat tentang isu kebergantungan terhadap pekerja asing ini. Kalau diberikan geran penyelidikan berjuta RM, lagi banyak dasar dan cadangan boleh dikemukakan. Cadangan lain adalah berupa keperluan majikan pekerja asing menyediakan kemudahan penginapan yang selesa, insurans kesihatan (tidak sekadar pemeriksaan kesihatan sebelum masuk/bila masuk), caruman pekerja asing kepada KWSP, mengenakan 'cukai menggajikan pekerja asing', selain dinaikkan bayaran levi...he3... Dalam masa yang sama pihak kerajaan boleh memikirkan insentif untuk rakyat tempatan seperti menambahbaik dasar kerja separuh masa, dasar kerja mengikut jam, dan peluang pekerjaan kepada pelajar universiti (seperti di hujung minggu/cuti semester). Saya fikir dasar berkaitan perkara ini 'belum cukup menarik', maka majikan mungkin tidak terliur untuk menerimanya dan mengambil jalan mudah dengan mengambil pekerja asing.
Saya boleh menulis lagi tentang cadangan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing kepada kerajaan mengikut sektor/industri lain, tetapi cukuplah dahulu setakat ini. Pokok pangkalnya adalah apabila dasar/amalan/insentif untuk menggajikan pekerja tempatan tidak menarik, maka majikan/peniaga akan menggajikan pekerja asing. Saya yakin jika pihak kerajaan benar-benar mendapatkan maklumbalas rakyat, pihak kerajaan akan menerima beribu-ribu lagi cadangan lain yang boleh dilaksanakan. Masih banyak tanah terbiar di Malaysia, masih ramai rakyat tidak bekerja kerana tiada kerja, masih ramai rakyat tidak terbela, masih banyak sumber alam belum digunakan dengan baik, masih banyak akal dan bijaksana cerdik-pandai belum didengar bicara, masih banyak lagi yang boleh dilaksanakan, ... mengapa pekerja asing menjadi jalan penyelesaiannya? Wassalam.
Saya boleh menulis lagi tentang cadangan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing kepada kerajaan mengikut sektor/industri lain, tetapi cukuplah dahulu setakat ini. Pokok pangkalnya adalah apabila dasar/amalan/insentif untuk menggajikan pekerja tempatan tidak menarik, maka majikan/peniaga akan menggajikan pekerja asing. Saya yakin jika pihak kerajaan benar-benar mendapatkan maklumbalas rakyat, pihak kerajaan akan menerima beribu-ribu lagi cadangan lain yang boleh dilaksanakan. Masih banyak tanah terbiar di Malaysia, masih ramai rakyat tidak bekerja kerana tiada kerja, masih ramai rakyat tidak terbela, masih banyak sumber alam belum digunakan dengan baik, masih banyak akal dan bijaksana cerdik-pandai belum didengar bicara, masih banyak lagi yang boleh dilaksanakan, ... mengapa pekerja asing menjadi jalan penyelesaiannya? Wassalam.
Setuju
ReplyDelete