Sunday, 21 February 2016

Pelajar Perintis Program Sarjanamuda Keusahawanan dan Inovasi UKM - Catatan Dari Mantan Pensyarahmu

Assalamu'alaikum dan semoga sihat walafiat,

Ini merupakan jamuan Pelajar Perintis Sarjanamuda Keusahawanan dan Inovasi UKM untuk saya sebelum saya berangkat ke AS. Saya tidak minta jamuan ini yang diadakan di Teres Eko-Niaga sebelah FEP UKM. Tetapi apabila pelajar menjemput, maka saya mesti berusaha untuk 'wajib' memenuhinya. Kumpulan pelajar seramai 28 pelajar ini merupakan kumpulan perintis Program Sarjanamuda Keusahawanan dan Inovasi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM dan mula mendaftar diri sebagai pelajar pada sesi 2013/2014. Mereka akan bergraduat selepas Jun 2016, Insya-Allah. Di Malayia, tiga universiti yang saya ketahui mempunyai program sarjanamuda keusahawanan adalah UKM, UUM dan UMK. 

Ramai orang tidak faham tentang pendidikan keusahawanan, termasuklah tenaga akademik di Universiti. Pendidikan keusahawanan bukanlah semata-mata untuk melahirkan usahawan. Memang kurikulum direkabentuk supaya pelajar mampu membuka perniagaan sendiri. Untuk membuka perniagaan sendiri, pelajar seharusnya didedahkan dan menguasai ilmu asas keusahawanan dan ilmu asas perniagaan. Ilmu asas keusahawanan meliputi bagaimana menjana idea perniagaan, pengenalpastian peluang perniagaan, bagaimana membentuk pasukan yang berkesan, memahami aspek perundangan, mengetahui dasar-dasar kerajaan, skim-skim yang ditawarkan, di mana perniagaan sesuai untuk ditubuhkan, mengapa di situ, mengenalpasti aspek teknikal dan operasi dalam menghasilkan produk, menyediakan rancangan perniagaan yang berdaya maju sehinggalah perniagaan ditubuhkan, didaftarkan dan dilancarkan. Itu korpus ilmu keusahawanan. Menyediakan rancangan perniagaan yang berdaya maju merupakan komponen utama korpus ilmu keusahawanan di mana kefahaman dan pengetahuan pelajar sama ada meluas dan mendalam diuji dalam menyediakan rancangan ini. Rancangan Perniagaan membolehkan pensyarah menilai sejauhmana pelajar secara kognitifnya memahami asas ilmu keusahawanan dan asas ilmu perniagaan.  Ilmu asas perniagaan mula adalah bagaimana mengurus perniagaan yang ditubuhkan. Jadi, usahawan memerlukan ilmu asas kewangan, asas perakaunan, asas pemasaran,  dan asas pengurusan. Ilmu dan kemahiran yang melengkapi ilmu keusahawanan dan ilmu perniagaan adalah kemahiran komunikasi, pembentangan, perundingan, penulisan serta ICT. Gabungan ketiga jenis ilmu dan kemahiran ini membolehkan seorang itu menjadi seorang yang berkeusahawanan.

Pada dasarnya pendidikan keusahawanan bertujuan melahirkan graduan yang memiliki ciri-ciri, sifat atau atribut dan nilai keusahawanan. Jadi, sepanjang 3-4 tahun belajar, konteks pengajaran dan pembelajaran, pendedahan di luar kuliah, pengalaman membuka gerai kecil, pengalaman menghadiri aktiviti keusahawanan, pengelaman latihan industri, pengalaman bekerja sambilan, pemupukan budaya keusahawanan di dalam diri pelajar, pengalaman menjual di kompleks beli-belah, rugi untung meniaga jualan langsung, pembelajaran melalui pengalaman ini seharusnya membolehkan pelajar menyiapkan Rancangan Perniagaan yang berdaya maju serta membuka perniagaan sendiri. Memang tidak semua pelajar yang memasuki program ini nak jadi usahawan. Dengan memiliki ciri-ciri, sifat atau atribut dan nilai keusahawanan atau menjadi entrepreneurial graduates, graduan akan menjadi cukup kompeten di pasaran sektor kerja awam, swasta dan kemasyarakatan. Entrepreneurial graduates tidak semestinya dalam kalangan pelajar keusahawanan, mana-mana pelajar boleh menjadi entrepreneurial graduates.

Isunya siapakah entrepreneurial graduates? Pada hemat saya, entrepreneurial graduates adalah mereka yang berdaya saing, berkemahiran tinggi, inovatif, berkeyakinan tinggi, sanggup menghadapi cabaran, berani untuk gagal, sanggup menanggung risiko, tidak putus asa, berusaha mencuba dan terus mencuba untuk menyelesaikan masalah industri/masyarakat/negara.  Graduan kejuruteraan yang berkeusahawanan lebih nampak bagaimana menyelesaikan masalah industri yang berkaitan dengan bidang kejuruteraan melalui inovasi produk baru atau penambahbaikan proses kejuruteraan.  Graduan bidang pendidikan lebih tahu inovasi yang sesuai untuk digunakan di dalam bidang pendidikan sama ada berupa modul, buku, penerbitan, kaedah belajar atau mengajar dan juga sistem pembelajaran. Seorang doktor pakar lebih arif tentang alat baru yang sesuai digunakan untuk pesakitnya. Seorang arkitek lebih faham bagaimana menyediakan rumah yang besar dengan kos yang rendah. Seorang saintis lebih memahami bagaimana sains mampu menyumbang kepada peradaban dunia. Itulah individu berkeusahawanan, mengurangkan atau menyelesaikan masalah melalui rekacipta baru, proses baru, inovasi baru, ubahsuaian baru, gabungan baru atau perkhidmatan baru.

Berbalik kepada jamuan ini. Saya rasanya tidak sempat menghadiri Konvokesyen kumpulan pelajar perintis ini kerana masih di Amerika Syarikat, barangkali. Catatan saya ini adalah nasihat/kenangan saya dengan para pelajar saya/anda semua.

Jangan lupa, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung

Rakan saya di FEP UKM turut hadir - En. Radzuan Rahid

If you fail to plan, you plan to fail...

Pelajar lelaki tidak ramai, 5 jejaka idaman

Sabri, Azizi, Saya, Din, Hadi dan Ariff

Dunia ini penuh dengan perkara positif. Walaupun kita melihat sesuatu sebagai negatif, sebenarnya ia positif kepada kita, ubah cara kita melihat/menanggapinya. Jika kita tidak boleh, bersabar. Dalam masa berlalu pergi, kita akan melihat perkara negatif itu positif sebenarnya, dengan izin Allah.

Tiada kejayaan tanpa usaha. 

Tiada kejayaan tanpa DUIT (Doa, Usaha, Ikhtiar, Tawakal)

Din (kiri sekali) merupakan Punching Bag saya dalam kelas dulu. Alhamdulillah pemilihan Punching Bag yang betul sebab Din seorang yang cool. Saya bagitau Din, nak cari isteri, cari yang suka bercakap sikit (macam mulut murai), baru meriah rumah tangga....he3 Dalam satu semester, saya telah melihat perubahan diri Din, seorang yang semakin matang dan bertanggungjawab.

Hadi (tengah-tengah) sanggup menyahut cabaran menjadi pembentang dalam Franchise Business Challenge 2015. Syabas!!! Hidup kita tidak boleh 'pergi jauh' jika kita tidak mahu mencabar diri kita membuat perkara yang sukar.

Arif (kanan sekali) boleh menjadi pensyarah atau pengurus yang berjaya. Saya sukakan sikap Ariff yang berusaha membuat pembentangan dalam Bahasa Inggeris di dalam kelas. Sikap ini yang saya mahukan. Mencuba dan terus mencuba sehingga berjaya. Ariff seorang pemikir dan pengkritik masyarakat, macam saya muda-muda dulu.

Learning is a process, do not focus solely on output.

Sate Kajang!!! Memang superb!!!

Memang kita inginkan kemenangan, tetapi jangan takut kepada kekalahan. 
Memang kita inginkan kekuatan, tapi jangan bimbang dengan kelemahan


Azizi seorang yang sentimental, juga boleh menjadi usahawan berjaya. 
Jadikan ibu  sebagai pendorong.

Sabri seorang yang gigih, sesuai dengan nama syarikat beliau, MS Gigih Enterprise. Orang seperti Sabri boleh pergi jauh dalam perniagaan. Balik Malaysia nanti, saya nak Sabri lebih berjaya. Ada 'beberapa rancangan' untuk beliau.

Jangan memijak orang lain untuk mendaki tangga kejayaan. Jangan menganiaya orang lain untuk berjaya. Jangan menipu, berbohong untuk berjaya. 

Jangan lupakan ibu-bapa apabila sudah berkeluarga dan berjaya.

Cabaran apabila habis belajar adalah 3K, Kerjaya, Kenderaan dan Keluarga, yang mana dahulu. Saya tiada petua yang jelas tentang 'K' mana yang dahulu. Saya dulu-dulu  'K' nya bermula dengan Kerjaya, Keluarga dan Kenderaan. Rezeki saya melimpah banyak apabila beristeri dan berkeluarga.

Jangan lupakan adik-beradik, saudara-mara yang susah apabila sudah berjaya. 

 Setinggi manapun anda dari segi pangkat, jawatan, kedudukan dan harta, jangan memandang rendah manusia kerana pakaian, harta, darjat, keturunan mahupun kedudukan. Kita tidak tahu siapa mereka pada pandangan Allah.

Kaya yang sebenar bukan pada kaya harta, tapi kaya hati.
Jangan minta kaya, minta dimurahkan dan diberkati rezeki dari Allah

Bahagia yang sebenar adalah pada hati. Hati yang bahagia sentiasa tenang dalam pelbagai keadaan. 

Anak-anak kita adalah amanah Allah untuk kita. Tanggungjawab kita mencorak anak-anak kita sebaik mungkin, berhasil atau tidak itu bukan urusan kita. 

Kesempurnaan itu adalah buat sehabis baik pada tahap dan keupayaan kita. Dah habis baik, serah pada Allah. 

Cari keseimbangan dalam hidup, antara jasmani, emosi, rohani dan intelek. Jasmaninya bermaksud tubuh-badan nak sihat. Nak sihat tubuh-badan, perlu dijaga apa yang hendak dimakan yakni jangan banyak memakan makanan berproses (processed foods), perlu makan makanan segar seperti buah-buahan dan sayuran, kurangkan makanan dan minuman segera. Perlu tahu bila masa yang sesuai hendak makan, bila masa kurang sesuai untuk makan, berapa banyak nak makan, di mana hendak dimakan (pilihlah tempat yang diyakini halal) juga penting dan bagaimana makan mengikut Sunnah Rasul. 

Emosinya yakni hati dan perasaan perlu sentiasa stabil. Belajar mengawal marah dan perasaan, khususnya di khalayak awam.  Rohani jangan ditinggalkan, cari amalan-amalan hati untuk mengukuhkan rohani. Rohani yang kuat membolehkan kita menghadapi 1001 masalah. Banyakkan berzikir kepada Allah, banyak berselawat kepada Rasulullah. Banyakkan amalan-amalan sunat dalam kehidupan, jangan lupa taubat dan banyak beristighfar. Cari dan belajar secara bertalaqqi dengan guru agama.

Jaga intelek? Jangan berhenti belajar, sama ada secara formal, tidak formal mahupun bukan formal. Banyakkan membaca, bacalah bahan yang membawa kebaikan dan manfaat,  banyak mendengar dan menonton rancangan bermanfaat, bukan hiburan semata-mata.  

Saya tidak kedekut markah di UKM. Tetapi saya beritahu pelajar, saya nak lihat usaha kerana usaha mencerminkan sikap yang betul. 

Dapnya....

Belajar mana ada penamatnya....Belajar dan terus belajar

Belajar empati dengan manusia, neschaya tindakan kita banyak yang tepat.

Jangan sombong dan angkuh dengan kejayaan kita. Allah lebih tahu asbab kepada kejayaan kita, bukannya kerana usaha kita semata-mata.

Antara prinsip hidup saya adalah Better try than never! Better fail than never try!

Kita tidak gagal apabila kita jatuh, tetapi kita gagal apabila kita tidak bangun semula

Antara amalan saya untuk berjaya dalam hidup -  Banyakkan bersyukur ke hadrat Allah. Dari tiada kepada ada memerlukan kita bersyukur ke hadrat Allah. Sebesar-besar perkara buruk yang melanda kita, kita masih perlu bersyukur ke hadrat Allah. Nikmat hidup, menghirup udara, melihat, mendengar, berfikir, membau, menyentuh,  merasa, berkata-kata, berkehendak, bernafsu,  menjiwai, berkasih-sayang, bercinta,...masakan bisa kita menghitung nikmat Allah yang tiada dapat dikata.

Kita akan menyedari nikmat "jatuh dalam berusaha, perit dan pahit dalam perjuangan, sukar dalam melaksana, sedih dalam kehidupan" apabila kita berjaya melepasi satu fasa dalam kehidupan

Bagi seorang guru, cukuplah kejayaan anak-anak murid sebagai tanda kejayaannya. Saya selalu berpesan kepada pelajar bila habis belajar nanti, sumbang sesuatu kepada masyarakat.

Kejayaan adalah ukuran masing-masing, itu faham saya. Masakan bisa kita menggunakan satu kayu ukur yang sama untuk mengukur kejayaan seorang guru dengan seorang usahawan dengan seorang pentadbir dengan seorang profesional. Pada saya kejayaan adalah pertamanya, sejauh mana kita semakin tawadhuk kepada Maha Pencipta. Anda mungkin belum memahami maksud saya ini, tidak mengapa. Untuk semakin tawadhuk kepada-NYA, kita perlu mengenal Allah, dan untuk mengenal Allah, kita perlu mengenal dalam ertikata Zat, Sifat, Asma' dan Af'al-NYA. Dalam kehidupan ini, yang paling penting bagi kita sebagai hamba-NYA adalah Allah dan Rasulullah. Alangah ruginya kita, hidup bermacam-macam bagai di dunia ini, Sang Pencipta kita pun kita tidak mengenal-NYA.

Keduanya kayu ukur kejayaan mestilah berlandaskan dunia dan akhirat, bukan dunia semata-mata. Apa guna mengusahakan perniagaan bernilai ribuan juta ringgit jika tiada manfaat untuk dibawa ke akhirat? Apa gunanya berumah besar, tetapi kosong tanpa anak-anak, sepi tanpa gurau senda, tawaan dan usikan sesama ahli keluarga? Apa gunanya berkereta mewah jika ianya dimiliki melalui berhutang dengan bank?

Cari keredhaan Allah dalam apa jua tindakan, perkataan, kelakuan, perbuatan dan juga niat kita. Tiada yang lebih bermakna selain keredhaan Allah dalam kehidupan kita yang kecil ini.

Apa gunanya makan bermacam lauk-pauk jika untuk dibazirkan? 
Apa gunanya ilmu jika bukan untuk diamalkan? 

Apa gunanya harta jika tidak dibelanjakan di jalan Allah?
Apa gunanya kesihatan jika tidak dinikmati ke jalan Allah?

Apa gunanya masa jika tidak dimanfaatkan?

Seorang pendidik  perlu menjiwai jiwa dan pemikiran pelajar. Dahulunya saya bekas aktivis mahasiswa, bekas pemimpin pelajar, saya memahami jiwa pelajar, jiwa orang muda.  

   Terima kasih atas cenderahati yang berupa sehelai baju untuk musim sejuk. Memang saya selalu pakai baju ni, saiz pun sesuai. 


Saya telah bekerja selama 19 tahun di UKM. Saya merasakan sumbangan saya kepada pelajar dan UKM masih terlalu sedikit... Akhirnya, bekalan yang kita bawa ke kehidupan yang kekal abadi adalah amalan-amalan/perkara-perkara baik yang kita lakukan di dunia yang singkat ini.Wassalam.

2 comments:

  1. Moga Allah permudahkan urusan dan perancangan baik buat Dr. Hizam, Ameen.

    ReplyDelete
  2. En Radzuan tu sahabat baik masa di sekolah dulu... :D

    ReplyDelete