Tuesday, 8 December 2015

Sememangnya Bukan Mudah Untuk Bersabar Menghadapi Ujian

Assalamu'alaikum dan selamat bersabar,


Sememangnya hidup ini bukanlah semuanya indah-indah belaka. Bertuahlah kita jika kita hidup kita indah-indah belaka. Kekadang kita lihat anak orang kaya dan berada, kita merasakan  hidup mereka indah-indah belaka. Tetapi kita tidak tahu apa di sebalik kehidupan yang nampaknya indah-indah belaka itu. Antara pesanan Junjungan Nabi Muhammad SAW adalah banyak beringat ketika sihat sebelum sakit. Lumrah pada kita untuk tidak bersyukur ketika sihat, tidak ingatkan Allah ketika kita sihat. Apabila sakit menjenguk kita dan hinggap barang seketika, ramai orang mencari ubatnya, maka berkunjunglah ke klinik dan berjumpa doktor mencari ubatnya. Memang tidak salah pun berbuat begitu. Dan pabila kita sakit, maka kita sebagai Muslim akan lebih mengingat Tuhan, maka kita akan banyak beristighfar, memohon ampun kepada Allah. Di sebalik positif dengan kehidupan di Philly, aktiviti di Wharton, saya menghadapi pula ujian negatif, kurang sihat beberapa hari yang lalu dan 'dua ujian teruk' dalam dua minggu ini.


(Gambar ihsan dari Google Image)

Kalau saya ingatkan sewaktu zaman remaja dan muda dahulu, sewaktu masih bujang, dari zaman sekolah menengah sehingga ke universiti, Alhamdulillah, badan saya memang sihat, otak pun sihat, emosi masih sihat, cuma rohani waktu itu 'kita rasa sihat', tetapi sebenarnya 'kurang sihat'. Alhamdulillah, saya memang sukakan kegiatan rekreasi seperti berkhemah, berkayak, mendaki gunung dan sebagainya. Saya memang Mat Pengakap waktu sekolah rendah ke menengah sampai ke zaman matrikulasi. Berpuluh malam juga saya sempat berkhemah di sana-sini. Pengakap sebagai kegiatan ko-kurikulum memang baik untuk pembangunan fizikal dan emosi, menjadikan diri kita lebih tabah dan kental menghadapi ujian dan kesusahan serta memupuk kebolehan berdikari dan daya juang dalam diri. Rakan baik saya semasa zaman Pengakap adalah Sdr. Rizal Khamis (kini pegawai di Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia cawangan Pulau Pinang), Sdr. Aziran Majid (Jurutera kapal terbang) dan Sdr Halim Rais (mantan kapten kapal, sekarang dok kat darat ja). Selain itu, Sdr Taufik Yusof (Guru di Kuala Lipis) dan Sdr Azmi Ismail (Guru di Seberang Perai). Antara kenangan indah zaman Pengakap (tingkatan 4 khususnya) adalah kami memenangi tempat ketiga JOTA 1988 di RECSAM/Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang. Dalam sekitar 50 puluh sekolah menengah yang bertanding (rasanya), kami mendapat tempat ketiga, OK lah tu. 

Semasa zaman matrikulasi, saya bersama Sdr. Azli Abu Bakar, mantan pelajar MRSM Beseri (aka Bentayan), Sdr Kamarul Haslan, mantan pelajar MRSM Taiping (aka Mayo-kini sebagai Timbalan Pengarah dengan LHDN)) dan Sdr Zuki Aksah, lupa mantan mana  (aka Pluto) menubuhkan Pasukan Pengakap Kelana di Kolej Mara Kulim (Pusat Matrikulasi MARA Kulim zaman 1990-an). Alhamdulillah, sebagai "The Big Boss" Pengakap Kelana, saya dan pasukan berjaya menawan puncak Gunung Tahan pada 31 Mei 1991.  Perjalanan pergi balik selama 7 hari 6 malam bukanlah mudah. Seingat saya, latihan kami sebelum mendaki Gunung Tahan amatlah mudah. Kami hanya mendaki Bukit Mertajam, itupun melalui jalan raya sampai ke puncak dan  kami berkhemah dua malam di sebuah kawasan perkhemahan di Ampang Jajar, Kepala Batas, berhampiran dengan rumah Sdri Norhashimah @ Norhikamah Bt Mahmud, mantan pelajar MRSM Balik Pulai, Setiausaha saya sewaktu itu. Tiada seorang pun dari kami berpengalaman mendaki gunung yang tinggi, yang ada pun pengalaman berkhemah dan sedikit ilmu dan kemahiran ikhtiar hidup. 

Dengan berbekalkan 'beg askar' yang disediakan oleh Pusat Matrikulasi MARA Kulim, khemah baru yang dibeli sebanyak tiga buah, dan beberapa ponco (baju hujan askar), beberapa peralatan memasak yang disediakan dan dibeli, beras, tin sardin, gula, kopi, mee segera (sebagai makanan rasmi orang muda...he3), dan beberapa makanan lain, kami seramai 21 orang pelajar menaiki bas Coaster dari Kulim dan sampai di Kuala Tembeling mengikut tempoh yang ditetapkan. Kami menaiki bot ke Kuala Tahan selama 3 jam, dan bermalam semalam di tapak perkhemahan Kuala Tahan (Taman Negara).  Malamnya hujan lebat, habis beg pakaian yang dibawa basah lencun. Alhamdulillah, ahli pasukan  dalam kalangan perempuan berjaya 'menyidai' pakaian mereka di salah sebuah rumah kuarters di situ dan makcik di situ 'menjaganya sampai kami turun dari Gunung'.  Syarat mendaki Gunung Tahan adalah wajib mendapatkan khidmat juruiring yang diiktiraf. Kami mendapatkan bantuan Abd Zul dan Abg Amran yang bertindak sebagai juruiring kami .Ketika itu, bayarannya masih murah, sekitar RM400 seorang untuk tempoh seminggu. (Diizinkan Allah, saya sempat bertemu semula Abg Zul dan Abg Amran semula apabila membawa anak-anak dan isteri ke Taman Negara pada tahun 2004 rasanya).

XPDC mendaki Gunung Tahan bukanlah mudah, dengan kami yang kurang berpengalaman tetapi bersemangat tinggi, dengan makanan yang tidak cukup, 'dikebas orang' apabila ditanam (food dump), pendakian yang memenatkan kerana naik turun berpuluh bukit pada dua hari pertama, pendakian yang benar-benar menguji stamina, ketahanan mental dan emosi, khususnya dari Kuala Teku ke Kem Wrays dan bermalam di bawah permatang banjaran, di mana kami mendaki tak turun-turun,  disimbahi hujan lebat ketika bermalam di Permatang Banjaran, ditemani tikus gunung sebesar kucing yang mencari dan mencuri makanan yang kami bawa, kesejukan di Kem Padang, dan  makanan yang dicatu pada malam terakhir sebelum sampai ke Kuala Tahan (Taman Negara). Saya tidak mahu berceloteh panjang tentang XPDC ini, kalau berkelapangan akan saya coretkan di lain penulisan,  tetapi dengan serba kekurangan dan kurang terlatih, kami berjaya menawan Puncak Tahan dan Alhamdulillah, semua selamat sampai kembali ke Kuala Tahan, walaupun ada beberapa orang yang bertongkat dan berpapah juga. Pokoknya kami bersemangat tinggi, berusaha mencari kekuatan ketika bersama, dan kesukaran itu akan menjadi alah bisa tegal biasa jika kita melaziminya.


Berbalik pada tajuk posting ini, saya sebenarnya baru pulih dari 'kurang sihat' 4-5 hari lepas dan baru menghadapi dua ujian 'teruk' di AS ini dalam 2 minggu ini. Memanglah saya sendiri sebagai manusia biasa 'rasa teruk betul' dengan 2 ujian besar tu, ambil masa 3-6 jam juga untuk 'pulih' bagi setiap ujian. 'Terduduk' jugalah menghadapi ujian Allah di bumi asing ini. Tetapi, kita harus berbalik merujuk kepada Kitabullah. Dalam Al-Quran jelas, kita tidak dikatakan beriman jika tidak diuji (lihat ayat di bawah). 

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuinya tentang orang-orang yang berdusta.” (Al-'Ankabuut 2,3)


Setiap manusia mengambil laluan berbeza untuk menjadikan ujian negatif kepada hasil positif pada diri masing-masing. Jika kita mengambil ujian negatif dan membawanya sebagai negatif kepada diri kita, bahaya menanti di penghujungnya. Kalau orang bukan Islam, ada yang membunuh diri, melarikan diri dari rumah, duduk berseorangan, mula mengambil dadah dan sebagainya di mana natijah akhirnya adalah negatif juga. Sebagai Muslim lagi Mukmin, Kitabullah dan Sunnah Rasul merupakan pedoman, panduan dan contoh terbaik.  Dalam ayat di bawah (Al-Anbiya:35), jelas kita akan diuji dengan keburukan dan kebaikan, dan begitulah juga dengan kehidupan saya sekeluarga di AS ini, bukanlah semuanya indah belaka. Dan Allah menyatakan dengan kalam-NYA bahawa ujian keburukan itu datang dahulu sebelum ujian kebaikan. Maka sewajarnya kita bersedia menghadapi ujian keburukan/negatif itu. Bila indah, kita suka, orang pun suka, bila diuji dengan keburukan, adakah kita masih bersyukur ke atas rahmat dan nikmat Allah yang dilimpahkan-NYA kepada kita?


“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” (Al-Anbiyaa: 35)


Apakah contoh-contoh 'ujian negatif' dalam kehidupan kita? Dalam ayat di bawah (Al-Baqarah: 155), diberikan contoh 'ujian negatif' yang kita pernah hadapi, biasa hadapi, selalu hadapi ataupun kita melihat orang lain hadapi. Apakah laluan yang patut kita tempuhi dalam menjalani ujian negatif ini?



“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang dilimpahi dengan pujian dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (Al-Baqarah 155-157) 


Pertamanya, adalah dengan bersabar. Memang bukan mudah untuk bersabar. Saya sendiri masih dan sentiasa memohon Allah Taala memberikan kesabaran dalam menghadapi 1001 ujian dari-NYA. Dalil bersabar ini memang banyak sekali, selain ayat di atas. Contohnya adalah:

“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk"  (Al-Baqarah : 45)
 
Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan shalat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 153)


Kita dituntut bersabar dalam sentiasa mentaati perintah-NYA, bersabar dalam menjauhi larangan-NYA dan bersabar dalam menghadapi takdir yang ditetapkan DIA kepada kita.  Selain sabar, kita dituntut bersolat memandangkan sabar dan solat itu 'datang bersama' dalam Kalam-NYA. Bukannya kita diminta bersabar tanpa berbuat apa-apa. Ini merupakan antara "Problem Solving" menurut Islam. Saya biasa mengajar kaedah penyelesaian masalah menurut kacamata Barat iaitu menakrifkan, menghuraikan dan mendiagnosis masalah, menjana penyelesaian-penyelesaian alternatif, menilai setiap penyelesaian alternatif, memilih penyelesaian terbaik, melaksana penyelesaian tersebut dan menilai semula tindakan yang diambil. Tidak salah mengambil pendekatan Barat dalam menyelesaikan masalah, menghadapi ujian Allah, cuma mengapa tidak kita mencari pendekatan oleh Sang Pencipta kita? Kalau bicara bab sabar, saya sendiri, bukan sentiasa sabar, cuma saya boleh bersabar apabila Allah Taala 'memberikan saya kesabaran'. Banyak juga ketika dan waktu, saya kurang sabar, tetapi biasanya selepas itu, saya banyak beristighfar kepada Allah. Istighfar dengan mendalam, sedalam-dalamnya, hadapkan hati dan tumpuan kita kepada Allah semata-mata, memohon keampunan zahir dan batin, mulut dan hati, bukannya lafaz di mulut sahaja. Beristighfar sampai terasa di kalbu, di dalam hati sanubari, kalau boleh sehingga mengalirkan air mata. 

Seperti tuntutan Al-Baqarah (155-157), beristighfar, dan 'menyerah/kembalikan semuanya kepada Allah Taala', yakni di sebalik maksud “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Memang berat ujian yang kita hadapi,  tapi apa yang kita kehilangan itu, apa yang kita terlepas itu, apa yang kita tidak dapat itu semuanya milik Allah. Pandang positif apa yang kita lalui. Pada hakikatnya, semua itu milik Allah, malah diri kita juga kita tidak memiliki kerana ianya milik Allah jua. Kita di muka bumi ini hanya pemegang sementara amanah Allah. Begitu juga dengan perkara seterusnya bersama sabar yakni solat. Dalam Hadis Nabi SAW, "Doa itu adalah senjata orang mukmin". Solat itu juga satu doa sebenarnya. Maka dengan bersabar dan bersolat, maka kita mampu menghadapi 1001 ujian dari-NYA. Dinyatakan dalam  Al-Baqarah, ayat 45, menjadikan sabar dan solat itu berat kecuali bagi orang yang khusyuk. Mendapatkan "khusyuk' itu bukanlah satu perkara yang mudah. Saya akan mengulasnya kemudian jika diizinkan Allah.

Berbalik kepada perkara solat, maka selain bersabar, kita juga boleh mendirikan solat hajat dalam menghadapi ujian-ujian negatif/keburukan dari Allah. Sepertimana tulisan saya sebelumnya, kita mesti berusaha menjadikan 'ujian negatif itu sebagai positif pada natijahnya pada diri kita'. Mohonlah pada-NYA dalam solat hajat kita, dalam sujud kita kepada-NYA akan masalah yang kita hadapi. Lihatlah contoh teladan pada Peribadi Agong RSAW :

Dari Hudzaifah radhiallahu anhu., ia berkata, “Apabila Rasulullah shallallahu alaihi wassalam menemui suatu kesulitan, maka beliau segera mengerjakan solat.” (Ahmad, Abu Dawud – Durrul Mantsur).

Inilah senjata  orang Islam dalam menghadapi masalah/kesulitan/kesukaran iaitu dengan bersolat. Maka setiap yang mukallaf itu wajib belajar dan menyermpurnakan solatnya. Kita harus belajar mendirikan solat dan berusaha menyempurakan solat kita. Memohonlah, merintislah, merayulah dan menangislah dalam doa kita selepas solat agar kita dimudahkan Allah menghadapi dan mengatasi kesulitan/kesukaran itu. Yakinlah bahawa doa kita jika diangkat ke hadrat Allah (baca bab mengapa doa tidak diangkat Allah), akan diperkenankan oleh-NYA. Cuma sebagai hamba-NYA kita wajib yakin bahawa terpulang kepada Allah bagaimana DIA memperkenankan doa kita itu.  Janji Allah adalah untuk memperkenankan doa kita jika memohon kepada-NYA ("Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu.... ” ; Al-Mu’min : 60). 

Selain sabar dan solat, saya banyak menyebut/mengingat, menyedari hakikat... 


Kita tidak mampu, tidak berkuasa, matikan ego dan sombong kita, benarkan Kemahaagungan Allah pada kita dengan mengakui tiada daya upaya kita melainkan dengan pertolongan dan bantuan Allah yang maha tinggi lagi maha agung. Dengan izin Allah, 'rasa teruk' itu, 'rasa terbeban itu', dukacita dan kesedihan itu akan berkurangan sedikit demi sedikit sehingga kita positif sepenuhnya.

Saya dah mengulas sedikit bab sabar dan solat, apa kaitan pula dengan kisah Gunung Tahan itu? Selain sabar dan solat, kita boleh merenung kembali ujian-ujian lalu yang kita tempuhi, ujian-ujian yang kita kurang bersedia menghadapinya, ujian yang kita rasa teruk menjalaninya tetapi akhirnya kita 'lulus' ujian-ujian negatif/teruk ini. Pasti ada kekuatan tertentu pada diri kita yang membolehkan kita menghadapi ujian ini. Begitu juga dengan saya. Dalam 1001 keserabutan, selain sabar dan solat, saya memotivasi diri saya dengan mencari sumber-sumber kekuatan di dalam diri saya. Pasti setiap kita punya kekuatan masing-masing. Dalam 1001 kelemahan, kita menghadapi ujian yang berat. kita berjaya melepasinya, maka sudah pasti kita harus mencari di mana kekuatan kita, bagaimana kita boleh mencungkil, menggilap kembali kekuatan kita itu. Semasa saya kurang sihat, semasa saya bermasalah, itulah yang saya usahakan. Saya berusaha kekal positif, berusaha mencari mood positif,  banyak istighfar dan ingat Allah, banyak 'bercakap pada diri sendiri' khususnya memotivasi diri sendiri supaya jangan mengalah, jangan mengalah, jangan mengalah, terus berjuang, terus berjuang dan terus berjuang..... Wassalam. 


1 comment:

  1. Semoga abg hizam sekeluarga dilindungi Allah di sana.
    Penulisan yg memberi kesan dan ingatan betapa sabar dan solat itu amat penting. Terima kasih atas ingatan

    ReplyDelete