Tuesday, 22 December 2015

Holiday Party Organized By WhartonEntrep - December 14, 2015

Assalamu'alaikum,

Ini merupakan posting terakhir tentang aktiviti di Wharton dalam menutup birai tahun 2015. Kalau ada masa, saya mungkin akan menulis beberapa posting lagi dalam cuti panjang 2 tahun ini (Disember 2015-Jan 2016). Pada 14 Disember 2015, jam 1200 tengahari - 200 petang, saya menghadiri Jamuan Akhir Tahun dianjurkan oleh WhartonEntrep. Jamuan ini tidaklah seramai Jamuan Jabatan Pengurusan, dalam 70/80 orang begitu. Ia bagi meraikan semua tenaga penggerak WhartonEntrep, dalam 20 lebih tenaga kerja, saya dengar begitu. Maksudnya, tidaklah perlu nombor yang besar dalam menjadikan bidang anda antara terbaik di dunia, tetapi kualilti tenaga kerja dan komitmen yang penting. 

Nak masuk 2 bulan saya di AS, ada perbezaan antara AS dengan UK, khususnya pemerhatian saya tentang Wharton. UK merupakan negara yang mengamalkan sistem ekonomi negara kebajikan (welfare state country), US merupakan negara ekonomi kapitalis. Warga di UK sebenarnya lebih relaks dalam bekerja sebab banyak faedah dalam kehidupan. Kalau tak ada rumah, City Council akan carikan rumah. Rumah pula ikut saiz keluarga, ada standardnya. Kalau anak ramai, boleh dapat rumah besar. Pernah jadi isu besar di London apabila imigran Afghanistan dapat tinggal di rumah yang besar dan mahal kerana saiz keluarga mereka memang besar (anak ramai). Kalau tak ada kerja, ada elaun mengangur. Lebih baik menganggur, makan-minum berak kerajaan tanggung...he3...Anak dilahirkan ada elaunnya. macam-macam elaun ada. Ibu-bapa dah tua, mereka hantar ke pusat jagaan orang tua. Bagi yang berada, kena bayar, bagi yang kurang berada, kerajaan akan menanggung. Bercambah Pusat Jagaan Orang Tua kerana ia menjadi satu 'perniagaan' yang menguntungkan. Saya pernah bekerja di Pusat Jagaan Orang Tua ini secara separuh masa di tahun pertama di UK. Akan saya ceritakan pengalaman ini kemudiannya, jika berkesempatan  

Bagaimana kerajaan menjadi penjaga kebajikan rakyat? Dengan mengenakan cukai yang tinggi. Anda rajin bekerja, dapat gaji yang tinggi, dekat separuh kerajaan ambil. Anda usahakan perniagaan dan berjaya membuat untung banyak, sebahagian besarnya kerajaan ambil. Ambil untuk apa? Menanggung mereka yang kurang berada, mereka yang kurang upaya, dan juga malangnya terpaksa menanggung mereka yang pemalas. Wang cukai juga digunakan untuk membiayai pembinaan jalan raya/lebuh raya, mewujudkan sistem pengangkutan awam yang cekap dengan caj yang rendah, ini saya setuju. Orang bekerja untuk menangung mereka yang sengaja memilih untuk tidak bekerja, anda setuju?

Ramai orang Malaysia suka ambil contoh kejayaan negara luar tanpa memahami sistem ekonominya. Memang seronok naik lebuhraya tanpa tol, pengangkutan awam murah, tetapi gaji dekat separuh bagi kepada kerajaan anda sanggup? Saya tidak kata Malaysia terbaik, kitapun bermasalah, terlalu banyak lebuhraya bertol, habis tu cukai jalan, GST, macam-macam cukai kerajaan guna untuk apa? Sebahagian negara yang mempunyai banyak kemudahan percuma/kos rendah untuk rakyatnya adalah dengan mengenakan cukai yang tinggi. Semasa saya di Belanda, saya terbaca kerajaannya bercadang mengenakan 'cukai hijau', yakni cukai berasaskan berapa jauh anda memandu dalam setahun (berasaskan odometer kenderaan). Lagi banyak anda memandu, lagi banyak cukai dikenakan apabila nak memperbaharui cukai jalan.

Di AS, sebuah negara kapitalis, anda kerja kuat, banyak peluang perniagaan, anda usahakan betul-betul, anda boleh berjaya. Di Wharton, saya lihat orang AS (dan bukan AS) yang bekerja gigih dan komited. Sebagai antara Sekolah Perniagaan terbaik di dunia, antara Universiti terbaik di dunia, mereka tekun berusaha untuk mengekalkan kedudukan semasa. Tiada curi tulang, main-main semasa bekerja, sibuk berFB sampai kerja tidak dibuat, beri banyak alasan bagi kerja yang tidak siap dan lain-lain alasan. Resepi mudahnya, anda perlu bekerja bersungguh-sungguh untuk berjaya di AS, tidak serelaks seperti di UK. Ini sisi positifnya. Antara sisi negatifnya di AS, jika anda golongan marhaen, anda memang tidak dipedulikan. Jika anda berjalan-jalan di bandar, adalah lumrah anda disapa oleh gelandangan meminta sedikit duit. Anda tiada insurans kesihatan, anda tidak boleh ke klinik/hospital. Sakit sampai matilah...he3... Obamacare merupakan antara inisiatif Presiden Obama untuk mengatasi masalah ini. OK, selamat bercuti. Wassalam.






 Seperti saya kata dalam posting sebelumnya, muzik adalah sebahagian daripada kehidupan warga AS.

 Bersama rakan Visiting Scholar dari Brazil dan Belgium dengan Pentadbir Pusat kami (Miss Roz Cohen)


Seperti biasa, saya makan salad/sayuran, buah-buahan dan minum air. Cookies juga disediakan. Yang menariknya, dipaparkan bahan-bahan kandungan (seperti ada kacang atau tidak dll) untuk cookies di meja cookies. Ini membantu anda membuat keputusan nak makan cookies atau tidak.

No comments:

Post a Comment