Thursday, 26 November 2015

The Economic Forum 2015 @ Rochester Institute of Technology

Assalamu'alaikum dan salam bicara,

Tujuan kedatangan  saya ke Rochester adalah untuk menghadiri The Economic Forum anjuran pelajar Malaysia di Rochester Institute of Technology, New York.  Gambar di bawah merupakan tentatif program yang diemel oleh Umar Hakim, Presiden, MyEA di AS.


Program ini dianjurkan dengan kerjasama Matrade dan Education Malaysia, Washington DC serta mendapat sokongan JPA, MARA, Petronas, MITI dan Malaysia-US Chamber of Commerce.



Sudah tentu sebahagian besar pelajar yang hadir merupakan pelajar RIT, tetapi ada juga beberapa orang pelajar dari  Rensselaer Polytechnic Institute    New York. 

Pada saya, kehadiran pelajar adalah amat memuaskan memandangkan peratusan pelajar yang hadir
amat tinggi


Sesi pertama dimulakan dengan senario ekonomi Malaysia oleh Sdr Muhd Shahrulmiza Zakaria, dari MATRADE, New York. Saya kira beliau telah memberikan gambaran yang baik tentang ekonomi Malaysia. Saya sempat berkenalan dengan beliau, bertukar kad dan kemudiannya 'berkawan di Facebook'.  Dalam Islam amat digalakkan bagi kita umat Islam menyambung silaturrahim.  Perangai saya, bila dapat kad, masukkan semua maklumat penting dalam telefon. Mungkin sekarang tiada urusan, tetapi suatu hari nanti  'banyak urusan'.  Dalam membina jaringan, yang pertama jangan lupa bawa kad perniagaan (Business Card). Kedua, jangan malu berjumpa orang baru. Ketiga, cuba membina perbualan dari topik formal (urusan kerja) ke topik tidak formal (hobi, minat dan lain-lain).




Sebagai ahli akademik, saya berhujah dan berkata berdasarkan fakta, angka, figura, logik, bersandar Al-Quran dan As-Sunnah, berdasarkan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Jika ditanya pada saya tentang senario ekonomi Malaysia masa kini, tren positif adalah pada pertumbuhan ekonomi mengikut sukuan, kadar pengangguran yang rendah, pelaburan lansgsung asing yang memberangsangkan, rezab BNM yang memuaskan, lebihan dagangan yang memuaskan, kadar simpanan yang tinggi,  inflasi yang masih terkawal... itu antaranya. Walaupun siapa anda, pemerintah atau pembangkang atau tidak berparti, kita harus mengakui Malaysia miliki beberapa kelebihan bersaing dari segi daya saing ekonomi, negara perdagangan, memudahkan urusan perniagaan, akses kewangan mikro, keamanan dan kestabilan dan beberapa indikator lain.


Dari sudut negatifnya, antara permasalahan utama di Malaysia adalah kos sara hidup yang meningkat dan semakin membebankan, belanjawan kerajaan masih berdefisit, hutang isi rumah yang tinggi, harga rumah yang terlalu tinggi, harga komoditi utama yang menurun mengurangkan pendapatan negara dan rakyat, persepsi rasuah berleluasa dalam kalangan masyarakat, 1001 masalah lantaran kemasukan pendatang asing berizin dan tanpa izin,  dan masalah-masalah lain. 



ASEAN melalui AFTA menawarkan pasaran lebih 600 juta penduduk

Ini saranan En. Shahrulmiza untuk 'Perniagaan Masa Depan'. Saya setuju dengan saranan beliau, cuma berpendapat dasar fiskal semasa masih belum mencukupi dalam menggalakkan pertumbuhan perniagaan sebegini. Masih banyak insentif boleh diperkenalkan kerajaan, masih banyak jenis cukai alam sekitar boleh dikenakan kerajaan,  yang penting adalah keseimbangan antara insentif dan cukai. Masih ramai orang politik dari kedua-dua pihak yang belum peka dengan alam sekitar, pembalakan kita belum 'betul2 hijau', yakni tidak mencemarkan atau merosakkan alam sekitar. Walaupun kita mempunyai Kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA), banyak pihak mencari kelompangan EIA dan 'melanggarnya'.




Pembentang kedua adalah En. Hairil Yahri Yaacob, Kaunselor Ekonomi (pegawai MITI) di Kedutaan Malaysia di WDC. Beliau merupakan MACOBA Batch 1984-1988, tua setahun dari saya. Beliau membicarakan tentang TPPA dan amat berpengetahuan tentang TPPA. Beliau terlibat dalam pelbagai rundingan TPPA di Brunei dan lain-lain rundingan berkaitan, boleh bercakap mengenai setiap Chapter dalam TPPA.  Everything is in his mind. Saya berpandangan MITI wajar menghantar pegawai seperti beliau di Parlimen/Sesi Bicara Awam  untuk sesi soal-jawab berkaitan TPPA.


Ada sesi soal-jawab dengan kedua-dua pembentang...

Satu kata mudah En. Hairil, nak faham TPPA, baca dokumen TPPA setebal 5,000 halaman itu...he3... Pandangan saya tentang TPPA? Belum boleh beri pandangan sebab belum banyak membaca tentang TPPA lagi. Ahli akademik aka ilmuan perlu berbicara dengan ilmu, bukan dengan emosi. Walaupun secara peribadi saya ada prejudis dengan TPPA sebab ia dikemukakan oleh Amerika Syarikat, 'sebuah negara kapitalis', tapi saya tidak boleh berkata-kata sesuatu yang saya tiada ilmu mengenainya. Ini merupakan adab seorang ilmuan. Hayati kisah Imam Maliki yang tidak menjawab semua persoalan fiqh yang dilontarkan kepadanya. Kalau ilmuan pun berkata-kata dengan emosi, apa akan jadi pada orang awam.

Yang ni saya lupa namanya, jurutera di Petronas, sedang menyambung pengajian Sarjana dalam Pengurusan Projek di Boston dan akan tamat belajar Disember 2015 ini (Kad tak ada). Beliau berkongsi pengalamannya sebagai jurutera profesional. Saya kira beliau cekal dan tabah, sanggup meninggalkan anak isteri di Malaysia, berseorangan di Boston demi menyambung pengajiannya yang dibiayai Petronas. Saya ingat Petronas 'bagi banyak biasiswa bulanan', rupanya tak banyak mana pun. Walau bagaimanapun, Petronas merupakan sebuah korporat Malaysia yang amat disegani di seluruh dunia. Kejayaan Petronas bermula dari kosong, sehingga menguasai industri huluan dan hiliran amat membanggakan. Tahniah Petronas kerana mempunyai jurutera yang berdedikasi seperti beliau.


Makan tengahari memang menyelerakan dengan nasi ayam yang dimasak oleh pera pelajar RIT...Tahniah pelajar RIT atas hidangan yang 'superb'. Pelajar bergotong-royong dalam menyiapkan hidangan tengahari ini.  Saya bagi lima bintang....




Kami bersolat di dewan yang disediakan...

Sesi ada sedikit perubahan. Selepas sesi dengan Jurutera Petronas, kami berhenti untuk makan tengahari, rehat dan solat. Kemudian bersambung dengan Forum.

Sesi forum dipengerusikan oleh Sdr Hazraf, Naib Presiden MyEA. Turut bersama saya adalah En Alex Lok, Pengarah Hubungan Korporat, Malaysia-U.S. Chamber of Commerce. Beliau juga seorang usahawan yang berasal dari Ipoh, Perak dan kini menetap di U.S.  Apa saya kata? Panjang nak tulis. Saya ringkaskan dengan menyatakan Entrepreneurship is the future of our country.  Dulu-dulu, dalam tahun 2002/2003 ketika saya amat jelas bahawa Entrepreneurship is the future of our country dan berusaha memperkenalkan kursus keusahawanan di Fakulti Pengurusan Perniagaan UKM, ramai profesor menyatakan "Kita melahirkan eksekutif dan pengurus, bukannya usahawan".  Masalah dunia akademik adalah anda 'kurang bernilai' tanpa Doktor, Prof. Madya ataupun Profesor. Sedangkan dalam Islam, Doktor, Prof. Madya ataupun Profesor bukan ukuran kebenaran ilmu.

Akhirnya saya berjaya juga mendapatkan kelulusan Senat dan memperkenalkan kursus CCCH3413 Keusahawanan sebagai kursus elektif di Fakulti Pengurusan Perniagaan UKM. Kemudiannya kursus keusahawanan dijadikan kursus wajib Fakulti dan akhirnya dijadikan kursus Wajib Universiti (setelah diturun taraf dan disesuaikan dengan semua golongan pelajar). Kini, keusahawanan merupakan salah satu tonggak utama di Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.  Antara masalah ahli akademik adalah 'mempertahankan disiplin ilmunya' penting dalam apa saja cara. Kita sewajarnya meraikan kepelbagaian disiplin ilmu, tetapi tidak semua disiplin ilmu penting. Ada disiplin ilmu yang tidak dinamik, akan ketinggalan dan suatu masa akan menjadi tidak relevan dengan suasana dan persekitaran masyarakat. Sebahagian ahli akademik tidak mahu menerima hakikat bidang mereka sudah ketinggalan jika mereka tidak berubah. Ini saya bicara dalam konteks "ilmu bukan wahyu".


Terima kasih saya ucapkan kepada Sdr Umar Hakim dan pasukannya atas jemputan kepada saya dan berusaha memastikan The Economic Forum berjalan lancar. Aktiviti ini perlu diteruskan setiap tahun agar pelajar Malaysia di AS sentiasa sedar dan tahu perkembangan ekonomi Malaysia. Pengisiannya boleh diubahsuai mengikut keadaan, masa dan 'bajet'. Terima kasih kepada Ustaz Muhammad Hijaz Mohd Ramli, Atase Pendidikan  di Education Malaysia WDC yang memastikan program ini berjalan lancar. Saya selalu berpesan kepada pelajar, jangan belajar saja. Dapatkan pendedahan, pengalaman, dengan menganjurkan pelbagai aktiviti, melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti,  tajamkan kemahiran berkomunikasi, bersosial dengan terlibat dalam pelbagai aktiviti.  Zaman belajar adalah 'masa diizinkan untuk buat silap dan salah'. Apabila anda bekerja, satu kesilapan bakal membawa padah!!!

No comments:

Post a Comment