Kali ini saya hendak bercerita sedikit mengenai Rochester Institute of Technology, New York (http://www.rit.edu/). Sepertimana saya tulis dalam posting sebelumnya, RIT memiliki 40-50+ pelajar tajaan MARA di sini, hampir kesemuanya pelajar prasiswazah, kecuali seorang pelajar Sarjana. Saya tidaklah mempunyai banyak masa meneliti dan mengkaji tentang RIT, tetapi beberapa komen penting dari pelajar MARA di sini adalah:
- Pensyarah mempunyai pengalaman dengan industri. Pensyarah mengajar bukan berdasar teori semata-mata.
- Bagi pelajar bioteknologi, mereka mudah mendapatkan akses kepada bahan-bahan kimia/dalam makmal yang 'difahami' agak sukar di universiti di Malaysia (melalui interaksi dengan rakan mereka di Malaysia).
Untuk perkara pertama, mengajar dan mempunyai pengalaman dengan industri, saya amat setuju dan dari dahulu menyokong, menggalakkan pensyarah universiti di Malaysia mendapatkan pengalaman industri. Sebahagian pensyarah di IPTA tidak pernah mendapatkan pengalaman bekerja dengan industri, tidak terlibat dengan industri, ini merugikan pelajar. Khususnya bagi pensyarah fast track, dari ijazah sarjanamuda sehingga PhD tidak pernah bekerja di luar universirti. Umur 27/28 tahun sudah memiliki PhD dan mempunyai gred 51/52 (bagi pegawai kerajaan). Ada yang memiliki PhD dalam bidang saham contohnya, tetapi tidak pernah melabur saham di Bursa Malaysia. Ada yang berpengalaman dalam penyelidikan dan penerbitan berkaitan, tetapi itu sahaja tidak mencukupi. Universiti akan ketinggalan dan bakal menjadi tidak relevan jika akademia hanya fokus kepada pengajaran dan penyelidikan semata-mata kerana jurang antara teori, penyelidikan dan industri akan menjadi jauh.
Bagi saya, seorang akademia yang kompeten adalah mereka yang memiliki ijazah tertinggi dalam bidang kepakarannya, mempunyai penyelidikan berkualiti dengan hasil penerbitan berupa artikel jurnal dalam jurnal berwasit, buku-buku yang ditulis dari garapan penyelidikan, wacana-wacana ilmiah dan awam yang disertai dalam berkongsi keilmuannya dengan masyarakat akademia dan orang awam sama ada berbentuk seminar ilmiah, wacana di kaca TV, penulisan popular di media-media, penglibatannya dengan industri/sektor berkaitan kepakarannya, sama ada sebagai pakarunding, master trainer, coach, akautan bertauliah kalau dalam bidang perakaunan, jurutera profesional kalau dalam profesion kejuruteraan sebagai contoh, pakar rujuk pihak kerajaan dalam bidangnya, dan dihormati dalam industri atas keilmuan dan integritinya.
Akademia yang kompeten bukan sahaja mengajar bersandar kepada teks ilmiah, tetapi berkongsi dengan pelajar akan perkembangan industri, pengalamannya dalam industri, memotivasi dan merangsang pelajar dengan perkembangan dan cabaran dalam industri, dan ini menjadikan seseorang akademia berbeza dengan rakan sepakaran yang lain. Zaman akademia gah dengan pengajaran dan penyelidikan sahaja sudah lama berlalu. Universiti perlu berubah jika masih mahu kekal relevan. Sepengalaman saya mengaudit kolej swasta bersama MQA, antara amalan terbaik IPTS adalah merekrut pensyarah mereka yang memiliki sekurang-kurangnya 5 tahun pengalaman bekerja dalam industri. Pengalaman industri membentuk tasawwur / worldview yang berbeza bagi seseorang akademia.
Dari segi dasar, UKM sendiri sebagai contoh mempunyai dasar menggalakkan pensyarah membuat sangkutan dengan industri (industrial attachment), cuma bilangan tenaga akademik yang menyertai program ini masih kecil. Cadangan saya adalah menjadikan sangkutan industri sebagai salah satu syarat kenaikan pangkat bagi tenaga akademik muda yang mengikuti sistem fast track, atau menjadikan ia sebagai salah satu merit untuk kenaikan pangkat. Cuma, janganlah menjalankan dasar one size fit all, maksudnya disyaratkan kepada semua tenaga akademik. Perubahan budaya di universiti mengambil masa yang panjang. Antara kaedah mengubah budaya adalah menerapkan nilai baru kepada kakitangan baru. Justeru itu, staf akademik baru boleh diberikan syarat sangkutan industri manakala staf akademik lama, kaedah lain perlu diketengahkan seperti merit untuk kenaikan pangkat. Dalam masa yang sama, tidak semestinya pensyarah menjalani sangkutan industri, dasar menggalakkan pensyarah aktif dan terlibat dengan industri perlu ditambahbaik. Keterlibatan dengan industri perlu diberikan penilaian dan ganjaran sewajarnya. Jika merit besar diberikan kepada aktiviti penyelidikan dan penerbitan semata-mata, tidak ramai pensyarah yang akan sanggup aktif dengan industri.
Keterlibatan dengan industri perlu agar ilmu, kemahiran dan pengalaman yang disampaikan oleh seorang akademia seimbang antara teori dan amali. Ini banyak membantu pelajar memahami ilmu dan kerelevenannya dengan lebih baik. Dalam Islam sendiri, ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah. Pokok tanpa buah tidak banyak mendatangkan manfaat kepada manusia dan makhluk lain. Untuk menjadikan akademia pokok yang berbuah, maka ilmu yang dimiliki harus diseimbangkan dengan apa sebenarnya yang berlaku dalam industri, dalam disiplin ilmu masing-masing. Contoh mudah adalah pensyarah sains politik yang terlibat dengan pengajaran, aktiviti penyelidikan dan penulisan sains politik. Apa yang menjadikan pensyaran ini lebih berkualiti adalah pengalamannya memerhati pilihanraya, turun padang ketika kempen pilihanraya, ulasan-ulasannya yang berasas kepada fakta dan ilmiah megenai perjalanan pilihanraya, wacana politik di media yang disertainya, campur-gaulnya dengan orang politik ketika pilihanraya dan pasca pilihanraya dan sebagainya.
Seorang akademia yang kompeten juga bertanggungjawab melahirkan akademia yang kompeten seperti dirinya ataupun lebih baik dari dirinya. Ini dilakukan dengan penyeliaan pelajar sarjana dan doktor falsafah/kedoktoran. Sebenarnya, saya sendiri kurang gemar dengan istilah "Penyeliaan", seperti Penyelia Kilang bunyinya. Seorang akademia merupakan seorang guru, Murabbi yang mendidik anak muridnya (pelajar pasca siswazah) untuk menjadi insan, seorang manusia, seorang bakal Murabbi seperti dirinya atau lebih baik dari dirinya. Kita sering mendengar pelajar PhD 'didera', 'dibuli', oleh Penyelianya. Ini bukan konsep pendidikan yang betul dalam konteks Islam. Bagi saya tiada istilah deraan, bulian oleh seorang Profesor/Ilmuan kepada anak muridnya, pelajar siswazahnya. Seharusnya seorang Murabbi itu mempunyai niat yang ikhlas dalam mendidik anak muridnya, mendidik pelajar mereka dengan tekun dan teliti, menyampaikan segala ilmunya kepada muridnya, berhasrat menjadikan anak muridnya seorang sarjana hebat yang boleh mendidik generasi akan datang, membangun masyarakat berintegriti, membina peradaban agung yang mendapat rahmat dan keampunan Allah. Kekadang, agak sedih mendengar cerita-cerita pelajar PhD yang tidak diselia dengan betul, penyelia tak baca tesis, penyelia tak ada masa nak berjumpa, penyelia tidak bersedia untuk menyelia dan 1001 masalah lain. Pada saya mudah, jika bersetuju untuk menyelia, laksanakan amanah itu dengan sebaik-baiknya. Di mana integiriti anda, seorang Profesor, gah dengan bilangan pelajar PhD yang anda hasilkan tetapi anda tidak melaksanakan amanah anda dengan baik sebagai seorang Guru.
Kerjaya paling dinamik dalam sektor awam adalah kerjaya pensyarah universiti. Seorang pensyarah universiti bukan menjalankan tugas rutin sebagaimana kerja pentadbir. Dalam konteks ilmu bukan wahyu, mereka tidak sepatutnya mengajar perkara yang sama bertahun-tahun. Ilmu itu bersifat dinamik, maka mereka juga perlu dinamik dalam pengajaran mereka. Dinamiknya Pensyarah Universiti kini kerana mereka merupakan pengajar, penyelidik, saintis, pakar dalam bidang masing-masing, perunding disegani, penggubal dasar, penceramah, pemotivasi, master trainer, pakar rujuk kerajaan dan industri, tokoh agama dalam masyarakat, peguam, kaunselor, coach, ... mereka sepatutnya menjadi tokoh pujaan dan rujukan masyarakat, membantu dan menyelesai permasalahan masyarakat, mencari penyelesaian kepada permasalahan industri, mencetus pembaharuan, mencipta inovasi baru, membina generasi berilmu dan berintegriti...
Setakat itu sahaja tentang perkara pertama, tentang perkara kedua bullet di atas, akan saya ulas kemudiannya, dalam penulisan-penulisan lain. Anda boleh layan gambar-gambar yang saya ambil di RIT dan gambar-gambar dari Google Image. Satu perkara penting berkaitan kecemerlangan universiti adalah bukan pada bangunannya sahaja, bukan pada rupa bentuk fizikalnya sahaja.....Wassalam.
Gambar berikutnya dari Google Image
No comments:
Post a Comment