Thursday, 26 November 2015

Philadelphia - Syracuse (410km) - Rochester (145km)

Assalamu'alaikum dan selamat ceria,

Hari Jumaat, 20 November 2015, keluarga saya dan keluarga Sdr Azhari bertolak Rochester, New York. Sebelum bertolak jauh, kena buat sedikit rancangan, di mana hendak berhenti dan di mana hendak bersolat , di mana hendak makan dan sebagainya.  Saya dah dapat sebuah masjid yang sesuai untuk solat Zohor dan Asar jika kami bertolak dari Philly jam 800 pagi. Sedikit masalah 'orang bujang' yang bersama dalam perjalanan kami, perjalanan bermula sekitar jam 900 pagi. Disiplin dan pengurusan masa memang penting kalau hendak berkelana jauh. Disiplin dan pengurusan masa penting jika hendak menjadi usahawan yang berjaya, jika hendak menjadi manusia yang berjaya. Dalam Al-Quran, Allah Taala bersumpah dengan masa, antaranya Waktu Asar, Waktu Fajar dan Waktu Dhuha. Kita rugi dan untung dalam masa yang berlalu pergi. Sejam masa membolehkan kita memperolehi keuntungan RM1,000 atau kerugian RM10,000. Sejam membolehkan kita beribadat seolah bertahun-tahun, sejam juga boleh membawa kita ke neraka.  

Perjalanan Philly ke Syracuse, NY sekitar 410 km dan kami sampai di Masjid Isa Ibn Maryam dalam jam 2 lebih. Konvoi dua buah kereta tidaklah sesukar mana. Saya pernah konvoi empat buah kenderaan dari England ke Eropah tahun 2009 (semasa belajar di UK). Kalau konvoi elok bawa walkie-talkie, senang nak berhubung, ataupun koordinat tempat dan lokasi kena jelas. Perlu ada seorang di sebelah pemandu yang berkomunikasi dengan kenderaan lain jika ada perubahan perjalanan.  Makanan perlu 'sedia' dalam kereta, biasanya makanan ringan, sedikit minuman. Kalau bawa budak-budak kecil, perlu persediaan pampers dan seumpamanya. Waktu di UK, saya beli 'bekas untuk minyak petrol', dan simpan dalam kereta. Pernah di UK, kami hampir kehabisan petrol dan stesen minyak sudah banyak ditutup, terutamanya di musim-musim perayaan.  Di Malaysia, stesen minyak di bandar boleh dikatakan beroperasi 24 jam, tetapi tidak sama di UK. Di AS, saya belum tahu. Kalau di Malaysia, memang tak perlu risau naik lebuhraya memandangkan R&R ada hampir di setiap 60 km perjalanan manakala Hentian Kecil berselang seli antara R&R.

Kami berhenti solat jamak di Masjid Isa Ibn Maryam dan juga 'makan tengahari' di sini. Tentang Masjid ini, saya akan tulis posting berasingan selepas ini. Ada rancangan nak ke tempat menarik di Syracuse, memandangkan kami dah agak lambat, kami meneruskan perjalanan ke Rochester, sekitar 145 km lagi. Kami sampai di Rochester dah agak malam dan Malaysian Entrepreneur Association (MyEA), selaku penganjur The Economic Forum menyediakan 'penginapan' kami di dua buah rumah pelajar Malaysia di sini yang terletak bersebelahan. Kaum ibu dan anak-anak perempuan bermalam di rumah pelajar perempuan, manakala kaum bapa dan anak lelaki di rumah pelajar lelaki.  Dalam 9 jam perjalanan kami hari ini dengan perjalanan 555/560 km, dan selepas apa yang wajib, saya  melelapkan mata secepat mungkin. Sebagai pemandu dalam satu konvoi, ada beberapa perkara utama. Yang pertamanya, saya perlu mendapatkan rehat yang cukup, tidur yang cukup. Yang kedua, perlu makan-minum yang cukup.  Yang ketiga, minda kena 'relaks', hati kena tenang, jangan tergesa-gesa. Pengalaman saya dalam berkelana, memandu dengan relaks boleh pergi lebih jauh berbanding memandu dalam tekanan. Maksudnya jika anda memandu selaju 100km sejam, anda mungkin boleh memandu sehingga 6-8 jam terus menerus, tetapi jika anda memaksa memandu selaju 120-130 sejam, 4-5 jam anda sudah keletihan. Sudah tentu anda perlu berhenti jika keletihan atau mengantuk. Nyawa penumpang anda dan anda tidak dapat dibeli dengan dunia ini!!!



Sdr Mior, pemandu kenderaan Sdr Azhari dan keluarga

Orang Melayu kalau berjalan jauh, nasi juga yang dibawanya... Terima kasih kepada Sdr Azhari dan 
Dr. Puteri atas nasi kuning yang lazat dan menyelerakan

No comments:

Post a Comment