Tuesday, 9 February 2016

Secebis Kisah Kehidupan di Philadelphia

Assalamu'alaikum dan selamat bertenaga,

Biasalah, kadang-kadang ada hari kita kurang produktif dalam seminggu atau dua minggu. Saya kurang produktif hari ini (2 Feb 2016). Paginya, saya selesaikan urusan cek kawan di PNC Bank, singgah ke Pejabat Pos UPenn, singgah di Klinik Pergigian UPenn di 40th Street dan akhirnya saya sampai di Wharton.  Saya tidak lama di Wharton hari ini, dalam jam 230 petang, saya sudah kembali ke rumah. Biasalah, dalam kesibukan kita, kadang-kadang badan pun sedikit keletihan. Bila mata dah letih, otak pun kurang berjalan, maka eloklah balik dari cuba bekerja (kalau waktu kerja fleksibel). Sekarang jam 7 lebih malam di AS, dah habis Solat Isyak dan makan malam. Ada 2-3 jam sebelum tidur (saya tidur awal di AS sebab musim sejuk ni nak buat apa lama-lama waktu malam...he3), maka saya perlu lakukan sesuatu, maka saya buka komputer riba dan mula menulis.....

P.O.Box di Pejabat Pos di UPenn

Waktu sampai di Pejabat Pos UPenn, ini kali pertama saya masuk Pejabat Pos di AS, saya lihat kecil sahaja pejabatnya. Pejabat Pos UKM jauh lebih besar, ...he3... Yang menariknya adalah banyak P.O.Box di pejabat pos tersebut, tidak seperti di Malaysia. U.S. Postal Service juga mengalami tekanan persaingan yang hebat apabila syarikat swasta seperti Fedex, DHL dan UPS berkembang pesat.  Saya lihat pejabat UPS jauh lebih hebat dan canggih di UPenn. Peti surat UPS  juga merata ada dalam kampus UPenn. Itulah realiti kehidupan dan persaingan dunia masa kini. Jika kita tidak berubah, jika kita kekal selesa, maka kita akan ditinggalkan. Saya akan tulis satu tajuk nanti tentang keperluan untuk berubah, dengan izin Allah.

Kotak surat DHL di UPenn dengan gambar Menara Berkembar Petronas. Dari segi pemasaran, Tun Dr. Mahathir saya kira berjaya mengangkat imej Malaysia dengan Menara Berkembar Petronas. Menara ini kekal bangunan kembar tertinggi di dunia sehingga kini. Petronas merupakan nadi penggerak utama pembangunan negara mulai 1974. Walaupun saya tidak bekerja dengan Petronas, saya berbangga dengan Petronas. Ia membuktikan kemampuan anak watan menguasai ilmu dan kemahiran tinggi dalam industri minyak dan gas. Pelajar AS yang saya jumpa dan bersembang dan mereka pernah ke Malaysia, Menara Kembar Petronas merupakan 'lokasi wajib' bagi mereka.

Baliknya dari Wharton, saya singgah di Supreme, Pasaraya rasmi kami sekeluarga untuk susu, roti, sayuran dan buahan.  Satu yang saya suka di AS dan UK dulu, bekalan susu segar di pasaraya memang banyak dan harganya tidaklah mahal. Anak-anak saya memang suka susu segar dan saya perlu pastikan bekalan susu sentiasa ada di rumah. Satu lagi roti perlu sentiasa ada. Kalau tak mahu makan nasi atau lain-lain makanan, roti adalah makanan ruji kami sekeluarga. Alhamdulillah, ada banyak pilihan roti di Supreme dan harga roti saya sekeluarga tidaklah mahal. Jika diukur dari segi taraf hidup rakyat AS, saya boleh katakan harga makanan di AS memang masih murah. Tidak hairanlah, AS antara negara paling tinggi kadar obesiti di dunia selain England dan Scotland...

Di Malaysia, kita kekurangan bekalan susu segar sedangkan ia penting untuk perkembangan kanak-kanak dan remaja. Di sekolah ada projek susu sekolah, namun ianya bukanlah susu segar. Dasar pertanian negara dan dasar makanan kita harus ditambahbaik. Kita mengalami masalah kenaikan harga barangan yang agak teruk di Malaysia dalam era globalisasi ini. Sebelum saya ke UK tahun 2006, harga beras 10kg (5%) adalah sekitar RM15/16. Bila saya balik dari UK pada tahun 2010, ia telah meningkat ke RM26/28. Saya tidak tahu harga sekarang. Saya memang mampu beli beras 5%, malah saya sekeluarga makan beras Basmati Faiza apabila balik dari UK. Walaupun sedikit mahal, untuk kesihatan anak-anak jangka panjang, saya korbankan sedikit wang untuk itu. Apa yang bermain di minda saya adalah orang-orang susah di kampung-kampung, termasuk di bandar. Saya biasa makan beras 15% apabila balik ke rumah Abang Ipar saya di Gemas, saya tahu rasanya makan beras 15%.

Apabila kerajaan menarik balik subsidi beras 15% dalam Bajet 2016 tahun lepas, saya kira ia satu kesilapan yang besar. Penjawat awam harus memberikan input yang betul kepada Menteri/Timbalan Menteri. Setakat subsidi RM200 juta setahun, tidak memberikan kesan besar kepada kewangan kerajaan.  Bagi orang susah, beras 15% itulah sudah cukup sedap bagi mereka. Justeru itu, saya menyokong polisi baru dalam pengubahsuaian Bajet 2016 iaitu beras 20 kg untuk keluarga susah sebulan. Bagi saya, ia membuktikan kerajaan 'tersilap sedikit' dalam Bajet 2016 lalu, tetapi 'berjaya membetulkan' semula kesilapan itu. Cumanya, saya berharap  dasar ini ditambahbaik dengan mengambilkira bilangan isi rumah, bukannya semua keluarga dapat 20kg beras sebulan. Kalau anak ramai, mungkin mereka memerlukan 30-40 kg sebulan. Apatah lagi kalau ramai anak-anak   lelaki yang sedang membesar. Saya faham bab ini sebab salah seorang abang ipar saya mempunyai anak 6 orang, dengan tiga lelaki  yang sedang membesar. Dasar yang baik adalah dasar yang dapat 'customize' mengikut keperluan klien, bukannya 'one size fit all'. 

Dalam suasana krisis kenaikan haga barang masa kini, maka peluang perniagaan yang besar adalah membuka perniagaan yang menawarkan makanan dan keperluan asas kehidupan dengan harga yang murah. Modelnya peru difikirkan dan dikaji. Pihak kerajaan ada menawarkan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) sebagai salah satu mekanisme menawarkan kedai harga barang murah kepada rakyat. Dalam saya menyanjung usaha seperti KR1M ini, saya kira KR1M telah menjadi seperti 'kurang bermaya' ketika ini. Seperti saya katakan, suatu dasar harus dikaji dan diperbaiki serta ditambahbaik.  Sabtu lepas, 30 Jan 201, saya menghadiri Malaysian Night @ Philadelphia di Drexel University. Pelajar-pelajar Malaysia dari pelbagai kaum telah berusaha menjadikan ia satu program yang berjaya. Saya akan membuat satu posting khusus mengenai aktiviti ini kemudiannya. Gambar-gambar telah dimuat naik ke dalam blog, cuma mood menulis belum ada. 



Semasa saya menulis tajuk ini, isteri saya membawa masuk kotak pos yang diambil di luar pintu rumah, Ia merupakan kad perniagaan (depan dan belakang) yang saya tempah dari Vistaprint (http://www.vistaprint.com). Satu yang menarik adalah pengguna boleh mereka bentuk kad perniagaan mereka sendiri melalui internet. Ada banyaj lagi perkhidmatan percetakan ditawarkan Vistaprint. Jadinya, saya mereka bentuk kad perniagaan saya sendiri dalam laman sesawang Vistaprint, dan membayar melalui talian langsung. Selepas pengesahan pesanan, saya dijangkakan menerima kad ini melalui pos pada 27 Jan 2016 yang lalu. Pada 29 Jan 2016, saya masih belum menerima kad ini dan saya menghantar emel kepada syarikat  tersebut dan menyatakan kekecewaan kerana kad ini masih belum tiba sepertimana dijanjikan. Alhamdulillah, syarikat tersebut memahami kekecewaan saya dan akan membayar semula semua bayaran yang dikenakan disebabkan pesanan diterima lewat (lewat 6 hari dari tarikh yang dijanjikan). 


No comments:

Post a Comment