Selepas Seminar Sehari Perniagaan Francais, Kursus Intensif Perniagaan Francais, Persidangan dan Pameran Francais Malaysia, maka mahasiswa 10 universiti terpilih diminta membentangkan Kertas Cadangan Perniagaan Francais mereka dalam Cabaran Niaga Francais 2015 bertempat di Universiti Putra Malaysia pada 30 September 2015. Ia merupakan aktiviti keempat dalam Program Francais Siswa 2015 yang dianjurkan bersama oleh Bahagian Pembangunan Francais KPDNKK, Unit Keusahawanan KPT dan MFA. Pada tahun 2014, Cabaran Niaga Francais diadakan di UKM, jadi pada tahun 2015, kami bertukar lokasi pula. Objektif Cabaran Niaga Francais 2015 adalah:
- Memberi peluang kepada pelajar untuk mengenengahkan idea perniagaan francais mereka dalam cabaran perniagaan yang sihat.
- Memupuk minat, nilai dan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti.
- Mendidik kepada pelajar tentang kejayaan dan kemandirian konsep perniagaan francais
Sasaran
- Terbuka kepada semua pelajar terutamanya pelajar tahun akhir yang telah mengikuti kursus intensif perniagaan francais
- Sasaran peserta : 4 orang pelajar dan 1 pensyarah setiap universiti
Kriteria
Kelayakan
- Terbuka kepada semua universiti yang menyertai Kursus Intensif Perniagaan Francais
- Wakil Universiti perlu melalui semua program berikut iaitu Seminar Sehari Perniagaan Francais, . Kursus Intensif Perniagaan Francais dan Persidangan FIM2015
- Setiap Universiti hanya dibenarkan mempunyai 1 wakil pensyarah yang bertindak sebagai penasihat
Format
Pertandingan
Setiap
universiti perlu menyediakan Rancangan Perniagaan untuk perniagaan baru. Konsep
perniagaan ini haruslah menjurus kepada perniagaan Francais. Rancangan Perniagaan ini hendaklah yang mengandungi (tidak terhad kepada):
- Muka depan dan isi kandungan
- Ringkasan Eksekutif
- Visi dan Misi
- Latar belakang Perniagaan
- Analisis Persekitaran Organisasi
- Analisis Industri, Persaingan dan Pasaran
- Rancangan Operasi
- Rancangan Pemasaran
- Strategi Francais
- Rancangan Kewangan
- Lampiran (Carta Aliran Tunai, Penyata Untung Rugi dan Lembaran Imbangan selama 3 tahun dll.)
Setiap universiti diminta membuka mini-booth masing-masing sempena Pertandingan ini. Mahasiswa diminta menyediakan replika outlet perintis, risalah pemasaran, dokumen promosi berkaitan francais dan lain-lain bahan untuk mini-booth mereka. Ini merupakan antara kelainan dan keistimewaan Cabaran Niaga Francais berbanding Pertandingan Rancangan Perniagaan lain yang lebih berkonsepkan kepada pembentangan/pitching sahaja. Para Hakim terlibat juga memberikan markah kepada setiap booth universiti dan markah ini diambilkira dalam jumlah pemarkahan akhir bagi menentukan pemenang keseluruhan. Malah, KPDNKK, KPT dan MFA menyediakan bajet khusus kepada setiap universiti untuk menyediakan bahan untuk mini-booth mereka.
Kami tidak mahu pelajar hanya menguasai aspek teori sahaja tetapi bagaimana menzahirkan idea dan konsep perniagaan ke dalam bentuk yang praktikal iaitu sama ada produk sebenar, protoset atau prototaip produk dan outlet. Mereka juga 'dipaksa' berfikir tentang pemasaran yakni membuat risalah pemasaran, poster francais, dan lain-lain bahan untuk membuka sebuah booth yang berjaya. Sepengalaman saya dalam perniagaan francais dan PKS lain, keupayaan membuka booth merupakan asas penting untuk membina perniagaan yang lebih berdaya maju. Jika anda ke Pameran Perdagangan peringkat antarabangsa ataupun tempatan, di Malaysia atau di luar negara, membuka Booth adalah satu perkara penting. Usahawan harus tahu bagaimana membuka booth yang berkesan dalam ruang terhad, apa yang ingin diisi dalam booth mereka, apa bahan yang akan diberi kepada pengunjung, bagaimana menarik perhatian pengunjung, dan bagaiman menarik rakan dagang berpotensi. Sebahagian besar perniagaan francais Malaysia yang berjaya meneroka ke pasaran antarabangsa adalah melalui booth yang mereka buka di Pameran Perdagangan Antarabangsa di negara luar.
Para hakim datangnya dari Unit Keusahawanan KPT, MFA, PNS dan SMECorp. Setiap universiti diberikan masa selama 10 minit sahaja untuk membuat Pitching mereka. Pelajar merungut kata tak cukup masa, saya kata ini adalah 'Pitching', bukan pembentangan projek. Pada tahun 2014, hanya 5 universiti terlibat, jadi kami berikan setiap universiti 25 minit untuk pembentangan selain 5 minit untuk soal-jawab. Tahun 2015, ada 10 universiti terlibat, jadi cukuplah Pitching selama 10 minit. Kalau di Wharton, Pitching dalam 2-5 minit sahaja. Pelajar yang hadir juga disediakan minum pagi, makan tengahari dan minum petang. Kadang-kadang saya terfikir, begitu banyak subsidi/bantuan diberikan kepada pelajar, adakah mereka bersyukur kepada Allah? Zaman saya jadi mahasiswa dahulu tidak ada program sebegini.
Terima kasih kepada UPM atas kerjasama ini, khususnya kepada
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UPM
Sebelum bermula...seperti biasa ada rehearsal
Universiti Sultan Zainal Abidin dengan produk mereka
Universiti Teknikal Malaysia Melaka dengan Pirate Cafe
Mahasiswa USIM dengan Neurostar Academy, aktiviti yang sedang melalui pilot di USIM
UUM dengan Bubble Shack yang telah dijalankan oleh mahasiswa di UUM. Produk ini berpotensi pergi jauh tetapi harus meneliti persaingan semasa yang sengit dalam pasaran
UKM mencadangkan Fasyar Pop, mesin makanan automatik (Vending Machine) yang
menjual bertih jagung.
Universiti Malaysia Kelantan menampilkan Swanky Casa
FoodBox dari Universiti Malaya
Prof. Madya Dr. Norliza Abdullah merupakan penasihat UKM
UNIMAS dengan bengkel kenderaan
Tutti Fruitti mendatangkan Franchise Mobile mereka sempena Pertandingan ini
Juga Ani Sup Utara
KopieSatu dari FAMA
Saya bergambar kenangan dengan Pasukan UKM. Selaku Pengerusi Program Francais Siswa 2015, saya tidak terlibat dengan sebarang bentuk pemarkahan dan penilaian dalam memilih pemenang. Saya selalu menekankan kepada MFA tentang peri pentingnya keadilan, ketelusan dan integriti dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan
Para hakim yang dijemput
Sdr Abdullah Abu dari MFA - Penjaga masa
PNS, KPT, BPF dan SMECorp
Yang ini saya ingat, dari USM
Selesai pembentangan...wakil dari MFA, KPT, UPM dan universiti lain yang terlibat
Di tengah-tengah dan di sebelah saya adalah Pengarah Unit Keusahawanan KPT
(Datin Dr. Syahira Hamidon)
Selaku Pengerusi Program Francais Siswa 2015, "Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan kepada semua yang menjayakan pelbagai aktiviti dan program dalam PFS2015"
Bersama Sekretariat MFA dan UPM...Good Job, well done!!! Inilah tulang belakang kepada program ini. Of course, I miss MFA a lot, but I have planned "mini-succession planning" for MFA.
Pemenang Cabaran Niaga Francais 2015 diumumkan dalam Malam Anugerah Francais 2015 di Sunway Resort & Spa (saya sudah berada di Amerika Syarikat ketika majlis ini berlangsung)
Sudah semestinya kenangan sebegini bila dilihat, memalit memori dan mengusik jiwa, apatah lagi apabila jauh di perantauan. Cuma kemajuan teknologi dan kepesatan perdagangan bebas seantero dunia membolehkan kita merasa tidak jauh dari Malaysia. Di rumah kami di Philly, radio IKIM FM dan Sinar FM selalau saja dibuka dan didengar. Bahan-bahan untuk memasak masakan Malaysia boleh dicari walaupun tidak semua. Setiap hari saya membaca akhbar Malaysia melalui internet. Berpuluh kumpulan WhatsApp saya masih aktif termasuk Kumpulan Keluarga Terdekat. Hanya jarak memisahkan, tetapi hati dan jiwa tetap bersama dengan Malaysia.
Moga-moga saya tidak mensia-siakan peluang sepanjang di Wharton School, salah sebuah Sekolah Perniagaan terbaik di dunia, bukan untuk diri saya, tetapi untuk anak Malaysia dari pelbagai rupa dan warna serta jiwa, juga untuk Malaysia, tanahair tercinta. Satu perkara penting jika anda ingin bergiat aktif dengan NGO (Badan bukan kerajaan seperti MFA) adalah Jangan tanya apa manfaat/kebaikan/untung yang anda dapat daripada NGO ini, Tanya apa yang anda boleh sumbangkan kepada masyarakat dan negara melalui NGO ini. Yakinlah dengan janji Allah bahawa setiap kebaikan akan dibalas oleh-NYA (Alzalzalah: 7). Wassalam.
No comments:
Post a Comment