Tuesday, 26 January 2016

Y-Prize Grand Finale - Bio-Medical Engineering Technology Competition 2015-2016 @UPenn

Y-Prize Grand Finale
WHEN
: Monday, January 25, 6:30 – 9:00 pm
WHERE: Smilow Center for Translational Research, 3400 Civic Center Blvd, Philadelphia, PA 19104
Four finalist teams will pitch their business plan for commercializing Y-Prize biomedical engineering technology in front of an audience and a panel of judges. The judges will convene after the presentations, and will announce the winner during the closing reception.
RSVP: https://yprize.upenn.edu/about/upcoming-events


Assalamu'alaikum dan selamat berbudi,

25 Januari 2016, Isnin merupakan hari yang sibuk. Anak-anak tidak ke sekolah kerana sekolah di Philadelphia ditutup pada 25-26 Januari 2015 lantaran bahana Ribut Salji Jonas yang melanda Timur Laut AS baru-baru ini.  Paginya, selepas bersarapan, saya ke Wharton seperti biasa.  Saya perlu menukar kasut yang biasa dipakai kerana jalan penuh dengan salji. Biasanya saya menggunakan sneakers ringan yang dibeli semasa Black Friday tahun lepas. Kasut ini kalis air, jadi berat sedikit. Kalau perempuan, mereka biasa menggunakan boot tinggi yang biasa kita lihat. Salah satu sebab kitaran semula berjaya di negara 4 musim adalah mereka perlu menukar pakaian apabila musim berubah. Pakaian musim sejuk tidak sesuai dipakai di musim lain dan begitulah sebaliknya. Bila tidak sesuai dipakai, dengan rumah yang tidak besar, mereka tidak boleh menyimpan lama pakaian ini di rumah, jadi mereka akan menjualnya di Car Boot Sale ataupun memberinya secara percuma ke kedai kebajikan. Selain itu, relatif harga pakaian baru di UK dan AS boleh dikatakan murah dengan kuasa beli yang mereka miliki, jadinya menukar pakaian lama dengan pakaian baru tidak menjadi masalah buat mereka.   Kita di Malaysia hanya musim panas sepanjang tahun dengan hujan agak lebat di penghujung tahun. Rumah kita di Malaysia tidak sekecil rumah di negara 4 musim pada asasnya. 

Di Malaysia telah ada Car Boot Sale dan Kedai Kebajikan. Di BBBangi, kedai kebajikan, Charity Shoppe dibuka di Medan Pusat Bandar.  Car Boot Sale (CBS) yang terkenal dan mungkin terbesar di Malaysia adalah di Bandar Seri Putra, Bangi. Saya pernah dua kali 'berniaga' di CBS di Bandar Seri Putra. CBS merupakan salah satu komponen penting sisem ekonomi  selain pasar malam, pasar tani, pasar sehari dan Uptown market.  Ia menawarkan pelbagai pilihan barangan  kepada masyarakat dan setiap satunya berada dalam peta pemposisian (Positioning Map) yang berbeza. CBS khusus untuk barang terpakai/second hand. Di UK, saya yakin semua pelajar Malaysia biasa dengan CBS dan 'hidup' dengan CBS selain eBay dan Kedai Kebajikan.  Saya berniaga dua kali di CBS Bandar Seri Putra bukanlah nak cari duit lebih. Sebab ada barang-barang yang sudah tidak digunakan, tak mahu lagi, nak kosongkan rumah, maka kita jual barang ini di CBS. Selain itu, nak 'mendidik' anak-anak dengan semangat keusahawanan, jangan malu berdepan orang ramai, dan belajar membuat jualan. Anak-anak saya memang suka dengan CBS, walaupun dapatlah duit sikit-sikit. Kalau di UK dahulu, ada keluarga yang jual di CBS untuk kosongkan rumah sahaja, bukan untuk untung. Kalau tak mahu jual barang di CBS, jangan buang barang tersebut, berikan secara percuma kepada Kedai Kebajikan. Kitaran barangan inilah yang membantu ahli masyarakat yang susah mendapatkan barang keperluan mereka dengan harga yang murah. Selain CBS, ada free market, pasar percuma. Saya mendapat tahu di Perlis dan UPM pernah berlangsung Pasar Percuma/Free Maket.  Ini satu usaha yang baik, asalkan mereka yang mengambil barang ini tidak tamak, mengambilnya sekadar perlu, dan bukan untuk menjualnya semula. Dalam keadaan rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup yang membebankan, kerajaan Persekutuan, Negeri dan Tempatan harus memberikan galakan atas usaha-usaha sebegini. Khususnya, Kerajaan Tempatan kerana mereka boleh menyediakan tapak secara percuma untuk Free Market ini selain berkuasa untuk mengawal lalulintas, kebersihan dan parkir, Jangan asyik nak fikir duit, duit, duit semata-mata. Kita hidup bukan untuk duit!!! Gambar seterusnya merupakan pemandangan UPenn dilanda salji ketika saya berjalan kaki ke Wharton pada waktu pagi.


Melintasi 'Jambatan terkenal' ini





Anggaran ketebalan 12-18 inci


Basikal pun tenggelam


Saya belum ubah kereta yang diparkir di tempat lain. Tunggu salji mencair di depan rumah...



Universiti tidak ditutup sepertimana sekolah






Saya mengikuti Kursus Keusahawanan Sosial, kuliah program MBA di Wharton setiap Isnin dan Rabu sehingga awal Mei 2016. Saya bakal terlepas peluang Wednesday Workshop di Wharton pada jam 1200-120 tgh setiap minggu kerana bertembung dengan jadual kuliah Rabu. Walau bagaimanapun, saya optimis, banyak lagi aktiviti yang saya boleh sertai kerana setiap minggu di Wharton memang penuh dan padat dengan pelbagai aktiviti. Itu keistimewaan Sarjana Pelawat di Wharton, selain membuat penyelidikan, saya berpeluang mengikuti sebahagian besar aktiviti di Wharton dan UPenn termasuk kursus peringkat Sarjana mahupun PhD. Kita jangan malu untuk terus belajar. Walau sehebat manapun kita, sudah bergelar Profesor penuh pun, masih lagi kita perlu terus belajar selain menyelidik. Saya teringat Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali, Naib Canselor UKM sekarang, sudah bergelar Profesor penuh pun, masih sanggup mengikuti pengajian Sarjana Pentadbiran Awam di Harvard University.  

Emel memaklumkan aktiviti keusahawanan mingguan di Wharton/UPenn keluar setiap Isnin pagi, biasanya antara 1000-1100 pagi. Selepas kuliah 1200-120 tengahari, saya kembali semula ke bilik saya di Snider Entrepreneurial Research Center, The Wharton School. Buka emel dan lihat ada aktiviti menarik malam ini, dari jam 630 malam - 900 malam iaitu Y-Prize Grand Finale. Ia merupakan pertandingan Rancangan Perniagaan khusus untuk bidang biomedical engineering technology, menawarkan hadiah sebanyak USD$10,000 kepada Johan. Ini merupakan kali keempat ia dijalankan, di mana pelajar mencadangkan aplikasi komersial yan inovatif berdasarkan teknologi direkacipta oleh penyelidik di UPenn. Pasukan yang menang akan menerima lesen tidak eksklusif kepada teknologi UPenn yang diperlukan untuk usaha-usaha pengkomersilan. Ia terbuka kepada warga pelajar UPenn, dengan bimbingan tenaga akademik dan mentor luar. Nak pergi atau tidak? Ehmmmm, akhirnya saya buat keputusan untuk pergi memandangkan bukan mudah nak dapat peluang sebegini. Ini merupakan kali kelima saya menghadiri taklimat/aktiviti/pertandingan Business Plan Competition di UPenn.  

Memandangkan saya buat keputusan untuk hadir, saya hanya perlu mendaftar dalam talian dan mendapat pengesahan tempat melalui emel. Nak tunggu sampai jam 600 petang di Wharton dan pergi atau balik rumah dahulu. Perut pun dah berbunyi, walaupun telah menghabiskan bekalan makan tengahari sebelum kuliah tadi. Jadinya, saya balik dahulu, singgah mengeluarkan wang di bank,  jalan kaki ke agensi rumah sewa untuk bayar sewa rumah, singgah di Supreme untuk beli roti. Dah 3 hari roti di Supreme habis bahana Ribut Jonas. Saya sampai di rumah jam 415 petang. Selepas 'makan malam awal' di rumah, bersolat Maghrib bersama isteri dan anak-anak, saya keluar dari rumah jam 545 malam, dengan suhu serenah 0 celcius dan menuju ke Smilow Translational Research Center. Jarak dari rumah ke Smilow Translational Research Center lebih kurang 1.5 batu. Jarak dari rumah ke Snider adalah 1 batu. Sampai di Smilow dan bertanya tempat pertandingan, saya sudah berjalan kaki sejauh 3.5 batu (1+1+1.5).

Saya terus menuju ke Smilow Center Auditorium, tempat pertandingan berlangsung. Sekitar 50-60 orang hadir untuk program ini.  Majlis dimulakan dengan ucapan ringkas penganjur dan setiap pasukan yang memasuki pertandingan akhir diminta membuat pembentangan sekitar 15-20 minit dengan sesi soal-jawab 10-15 minit. Saya suka cara majlis dianjurkan, ringkas, mudah tetapi berkesan.  Kita di Malaysia banyak sangat protokolnya, apatah lagi kalau yang datang VVIP bertaraf Menteri. Yang penting adalah kecekapan dan keberkesanan program, itu nilai tambah yang tinggi. Apabila kita menjemput VVIP, banyak masa dan wang dihabiskan untuk protokol, persediaan, makan-minum, cenderamata dan lain-lain. Saya tidak kata jangan jemput VVIP atau Menteri. Tetapi kita perlu halusi keperluan menjemput VVIP dalam program kita, penting atau tidak, membazir atau tidak, adakah ia memberikan nilai tambah yang tinggi dan lain-lain sebab. Banyak program kita di Malaysia 'suka kepada gimik', pecahkan ais, pancaran laser dan 1001 gimik. Bagi saya gimik tidak perlu untuk aktiviti ilmiah, sebahagian besar aktiviti anjuran kerajaan. Soalan saya mudah, Apa untungnya menghabiskan berpuluh ribu ringgit untuk gimik 1-3 minit? Jadinya, kita perlu mengubah budaya penganjuran aktiviti kita agar ia ringkas, mudah, tidak membazir, efisien dan memberikan impak yang tinggi. Tidak semua aktiviti memerlukan Jemputan VVIP  dan ada yang memang perlu kepada VVIP datang. Contoh adalah Taklimat TPPA, saya kira kesudian YB Dato' Mustapha Mohamed turun padang adalah perlu dicontohi kerana signifikan TPPA kepada negara, ia adalah satu isu besar kepada kesejahteraan rakyat, masyarakat dan kelangsungan kedaulatan negara. 



Satu yang menarik adalah ia merupakan kolaborasi Penn Engineering, Wharton, Wharton Entrepreenurship dan Penn Center for Innovation. 


Ucapan ringkas penganjur, termasuklah mengucapkan terima kasih kepada mereka yang khusus terllibat dalam menjayakan program ini.

Kumpulan Pertama yang membuat pembentangan adalah Fermento. Industri yang bakal diceburi Fermento 'adalah haram' kepada umat Islam kerana ia adalah industri arak (US$20 bilion setahun di AS). Di sebalik industri yang 'haram ini', apa yang saya belajar adalah 'time for fermentation' sekarang mengambil masa selama 3 minggu dan Fermento dengan menggunakan teknologi baru ini dapat memendekkannya kepada 7 hari sahaja. Apa yang ditawarkan Fermento adalah process advantages, bukan satu produk baru tetapi proses baru dengan teknologi baru dalam menghasilkan produk yang sama.

Fermento applies Penn's proprietary droplet-maker technology to speed up the production process used by the US$520 billion global beer industry to make beer.....Through microfluidic-based production, Fermento can speed up fermentation by up to 9 times that of existing batch reactors while maintaining alcohol quality and composition at an industrial scale..... salin dari Buku Program


Kandungan pembentangan meliputi Pain Points, Solutions, Proof of Concept, The Timeline (Year 1 - Crafting;  Year 2-5 Establish; Year 5 ++ Global B2B Brand),  Pilot Client, Revenue Forecast, Pilot Test post R&D. Produk ini merupakan produk B2B (untuk pelanggan perniagaan) dan pelajar dibimbing oleh sekumpulan Board of Advisor.  Untuk diri saya sendiri, saya 'masih baru' dengan Rancangan Perniagaan bagi bidang bioteknologi, Apps dan berkaitan. Antara yang saya belajar dalam pembentangan ini adalah pentingnya Proof of Concept dan Pilot Clients.


Ini merupakan kumpulan kedua, VivaVaccines. Pembentangan meliputi The Problems (based on data and statistics), The Solution (berdasarkan microfluidic technology), dan The Market, Competitor Analysis (VivaVaccines advantages are faster, better & cheaper), Kemudiannya diikuti dengan Business Model yang merangkumi 1)Proof of Concept  2)Pre-market testing  3)Market entry 4)Expansion.  selain siapa pembekal,  saluran pengedaran yang dicadangkan iaitu tradisional dan online serta Financial Analysis

VivaVaccines ia a needle-free skin-patch vaccine delivery system that uses microfluidic manufacturing to improve the quality and cost of vaccines.......Without this reliance on needles, sharps disposals, or provider availability, VivaVaccines can dramatically alter the efficiency, effectiveness, and accessibility of vaccines.    (salin dari Buku Program)

Saya bukanlah arif nak cerita tentang produk kumpulan ini, ringkasnya adalah Patches replace needles, plaster ganti jarum. Satu yang menarik adalah ketakutan manusia mengambil ubat apabila perlu dicucuk dengan jarum, maka VivaVaccines mencadangkan Patches yang boleh 'mengalirkan' ubat ke dalam tubuh badan walaupun ditampal di atas kulit sahaja. Menarik!!! Ujikaji dan kajian awal menunjukkan produk ini lebih cepat dihasilkan, lebih murah untuk dihasilkan dan lebih berkesan. Teknologi sebegini mungkin belum ada/dimajukan sepenuhnya di Malaysia. Mereka juga menawarkan Tawaran Awal kepada Pemodal Teroka (Venture Capitals), dan anda perlu belajar tentang konsep pre-money valuation.

Kumpulan ketiga adalah Amsterdam Fluidics.

Amsterdam Fluidics offers a novel technology to encapsulate drug.  Our trechnology allows quick and easy onsite drug encapsulation and delivery in a patient's room, bypassing high-cost manufacturing and the need for refrigerated transportation......also allow for vital encapsulated drugs to be easily transported  and delivered to patients all across the world. (salin dari Buku Program)

Kumpulan ini mencadangkan penambahbaikan kecekapan pengeluaran ubat, penggunaan 17 mesin digantikan dengan 1 chip, kos US$25 menjadi 50 sen dan tempoh pengeluaran 5 hari menjadi 12 jam. Wow!

Antara pembentangannya meliputi Financial Timeline, Product Timeline, dan Financial Analysis. Mereka dibantu mentor  dari Venture Capitalist, R&D Company, Entrepreneur dan seorang Associate Director di FDA. 

Kumpulan ini palng menonjol dari segi gaya pembentangan, tetapi adakah mereka akan muncul sebagai pemenangnya? Salah satu soalan dari juri adalah What are the unmet needs? Ini satu soalan penting jika anda ingin menghasilkan produk untuk masa depan. Jika anda tidak dapat menjawab soalan ini, produk anda belum benar-benar baik 'untuk masa depan'.

Sebahagian hadirin yang hadir dari pelbagai latar belakang 

Memandangkan ia pertandingan akhir, saya berpakaian agak formal. Misai saya yang dipotong sebelum datang ke AS sudah panjang semula dan membentuk 'misai sifu', trademark saya.

Ada 6 orang hakim yang terlibat. Setiap seorang diberi peluang bertanya soalan 'sehingga puas' sebelum mikrofon diberikan kepada hakim lain.

Dalam jam 800 malam, pembentangan sudah berakhir. 

Saya sempat ambil gambar ini. Sumbangan alumni amat penting untuk kelansungan dan 
kelebihan bersaing universiti

Seperti biasa program di Upenn/Wharton, ada sedikit makan-minum.

Ini menu saya...telan ja...

Majlis pengumuman pemenang diadakan di luar auditorium, bersebelahan tempat makan-minum

Ketua Hakim memberikan ulasan ringkas dan mengumumkan pemenangnya

Johan jatuh kepada  Fermento

Kita boleh membaca di internet bagaimana sebuah Business Plan Competition dijalankan, tetapi ianya tidak sama apabila melalui sendiri pertandingan sebegini, apatah lagi berkaitan teknologi. Di Malaysia, saya sendiri melalui Persatuan Francais Malaysia (MFA) telah menggerakkan  Franchise Business Challenge bermula pada tahun 2014, sebuah Pertandingan Rancangan Perniagaan untuk Perniagaan Francais sebagai 'baby saya'. Di dalam UKM, saya telah menilai lebih 150 Rancangan Perniagaan oleh para pelajar prasiswazah dan siswazah. Namun, ini tidak menghalang saya untuk terus belajar dan terus belajar. Semakin kita berilmu, maka semakin kita tidak berilmu, Carilah maksudnya....

Saya sampai di rumah dalam jam 915 malam, saya agak keletihan, berehat sekejap sebelum mendirikan Solat Isyak. Saya telah berjalan sejauh 8 km hari ini (5 batu), pergi-balik ke Wharton (2 batu) dan pergi-balik ke Smilow (3 batu). Anak-anak dah tidur kecuali Nazim. Melihat saya keletihan, saya memberi nasihat kepada Nazim, "Bukan mudah untuk berjaya,  bukan mudah menuntut ilmu". Moga-moga Nazim faham suatu hari nanti. Rakan saya di Facebook, Sdr Halimy Soffyu bertanya apa perbezaan pelajar di UPenn dengan pelajar di Malaysia? Saya tidak boleh membandingkan epal dengan epal. Dalam pada saya 'menerima ranking' universiti mengikut Barat, saya bukanlah totok kepada ranking, ia sekadar satu penilaian agar  universiti di Malaysia terus bergerak maju. Sebagai Muslim, saya juga melihat pencapaian Universiti dalam konteks dan kacamata Islam, sebagai sebuah institusi ilmu yang  menjana, menyelidik dan menyebar ilmu kepada manusia, agar manusia semakin tunduk dan patuh kepada Penciptanya, bukannya menjadikan dunia sebagai matlamatnya. Saya seorang yang sederhana, maka saya menerima sebahagian konsep Universiti mengikut Barat  tetapi saya timbang dan seimbangkan ia menurut Islam, berada dalam konteks Islam.

Pelajar di UPenn umumnya lebih bermotivasi, lebih berkeyakinan, membuat persediaan dengan lebih baik, analisisnya lebih terperinci dan tuntas, dan penyelesaiannya mungkin tidak difikir oleh pelajar di Malaysia. Kuliah di Wharton yang saya hadiri bukannya berbentuk 'kuliah', bukannya satu syarahan yang panjang tetapi satu perkongsian pengalaman sebenar tenaga akademik tentang dunia luar yang mereka hadapi, satu diskusi dan interaksi yang menarik dan berkesan. Ia mencabar minda agar terus berhujah dan berhujah, bukan untuk mencari kemenangan tetapi melatih otak untuk terus berfikir dan mensintesis idea baru. Pensyarah tidak mengajar apa ada di dalam buku/teks yang dicadangkan, anda perlu membaca sendiri apa ada di dalam buku/teks. Anda perlu membaca juga berbelas dan berpuluh artikel lain dan bersedia membahasnya di dalam kuliah. Hasil yang diingini adalah suatu yang praktikal dan nyata, bukan suatu yang kompleks dan tidak mungkin dapat dijalankan.

Saya pernah dan berpengalaman mengajar pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di UKM-GSB dan Sarjana Keusahawanan dan Inovasi di FEP UKM. Kalau saya lakukan apa yang tenaga akademik di Wharton lakukan di UKM dan di universiti lain di Malaysia, maka saya mungkin akan dinilai sebagai 'tidak mengajar' dan mendapat skor pengajaran yang rendah. Saya tidak mahu mengulas panjang, nanti 'marah' mantan pelajar saya yang membaca tulisan saya ini. Apatah lagi, saya tidak bermaksud membuka banyak kelemahan orang  Malaysia di dalam blog ini, Sebaliknya saya berniat menabur kisah dan cerita positif untuk sama-sama kita belajar. Satu ringkasan dari saya, "Kita di Malaysia perlu terus mengubah sikap, bekerja bersungguh-sungguh untuk berjaya, tiada jalan mudah untuk berjaya, lebih susah kita belajar, lebih banyak kita belajar". Moga itu menjawab soalan Sdr Halimy Soffyu. 

Apa yang saya belajar dari Pertandingan Akhir ini? Banyak yang saya belajar, antaranya yang boleh dikongsi adalah Pain Points (dalam Rancangan Perniagaan konvensional, kami menggunakan konsep Masalah/Problem)  Proof of Concept (perlu mencukupi dan menyakinkan), pentingnya Pilot Client, perlunya melibatkan Pemodal teroka, Syarikat R&D, usahawan teknologi dan Pegawai kerajaan di industri berkaitan dalam menjadi mentor kepada sebuah Rancangan Perniagaan berasaskan teknologi. Dalam Rancangan Perniagaan melibatkan Apps yang saya hadiri pada 19 November 2015 yang lalu, Syarikat berasaskan IT dan Apps dijemput untuk memberikan sumbangan/imput. Jumpa lagi, wassalam.

No comments:

Post a Comment