Assalamu'alaikum dan Selamat Hari Guru 2016, 2017,
Nukilan ini ditulis sempena 16 Mei 2016,
Hari Guru di Malaysia, daku ucapkan
selamat hari guru kepada para guru di Malaysia. Jutaan terima kasih kepada
Bonda tercinta Hjh Rokiah Khalid, guru pertama diriku, juga 'ayahanda'
semenjak tahun 1978. Bonda sebagai guru pertama, susah mengandungkan diriku,
payah sakit bersalin diriku, penat lelah menjagaku dari kecil sehingga besar.
Bondaku, guruku, guruku yang utama, mengajar makan-minumku, mengajarku dari
tidur-baring, meniarap, merangkak, tak-teh, jatuh-bangun, berjalan dan berlari,
mengajarku untuk hidup, mengajarku cara hidup, mengajarku erti kehidupan,
mengajarku cabaran kehidupan, mengajarku usaha tangga kejayaan, mengajarku
bahawa doa Si Ibu adalah amat kuat dan keramat, mengajarku 1001 ilmu dan
pengalaman. Terima kasih Bonda kerana bersabar dengan anakmu yang seorang ini,
yang agak pelik perangainya, yang unik sedikit kelakuannya, yang banyak kali
juga ketika kecil menyusahkanmu. Hanya kemaafan dan redha dari Bonda yang
kupohon senantiasa. Bonda Rokiah, dalam susah-payahnya semasa muda, menjaga dan
mendidik anakanda-anakandanya, semuanya lelaki, dan Alhamdulillah, kami
anak-anaknya, kini boleh hidup dalam sederhana, tidak mendatangkan masalah
besar kepadanya, 'mampu menjadi manusia', kalaupun tidak menjadi manusia banyak
berjasa kepada agama, bangsa dan negara, masih insan berguna kepada isteri dan
anak-anak tercinta, sebagai suami tercinta, sebagai ayah yang penyayang,
sebagai ketua keluarga, bekerja keras mencari nafkah untuk keluarga.
Keduanya, Kupanjatkan kesyukuran kepada
Allah, kerana meminjamkan Allahyarham Ayahanda Hj Hanafiah Shafie selama
beberapa tahun kepada kami adik beradik (5-9 tahun), guru kedua kami selepas
bonda dikasihi. Walaupun kami tidak sempat bermanja, berkasih-sayang seperti anak-anak
kecil yang lain dengan Allahyarham Ayahanda, kesempatan dan detik beberapa
tahun bersama Ayahanda merupakan ketika yang penuh bermakna. Masih kuingat kami
pernah ke mana-mana dengan kereta ayahanda, tinggal di rumah kedai di Jalan
Panchor, Kulim dan kemudiannya berpindah ke Simpang Tiga Keladi, Kulim sehingga
ayahanda menghembuskan nafas yang terakhir. Masih kuingat detik sementara
kereta ayahanda rosak ketika dalam perjalanan ke Kampung di Junjong, masih
ku ingat Ramadhan terakhir kami anak-anak bersama Ayahanda, kala ayahanda
melayan anak-anak kecilnya memasang kayu pelita, berdarah di kepala ayahanda
kayu berpaku terkenanya, 'kebas' tangan ayahanda mercun papan meletup
dijarinya. Masih ku ingat jasa Ayahanda menghantar dan mengambil anakanda ke
tadika di Surau, membelikan baju sejuk serupa Mohd Khadim punya, dan tidak ku
teruskan persekolahan di tadika selepas Ayahanda dipanggil pulang kepada-Nya
pada bulan Ramadhan yang mulia.
Surau / Madrasah Ihsaniyah, Simpang Tiga Keladi
Terima kasih kepada guru tadikaku, yang
sudah ku lupa namanya kerana mengajarku tulis, baca dan mengira. Terima kasih
kepda ustazahku di kelas agama di surau juga Ustaz di sekolah, yang mengajarku
Alif Ba Ta sehingga pandai membaca Kalam-Nya. Terima kasih Allahyarham Cikgu Nordin,
guru ketika diriku di Darjah Satu, Sekolah Kebangsaan Kulim (Lelaki). Walaupun
kenangan tiga tahun di Sekolah Kebangsaan Kulim (Lelaki) banyak sudah kulupa,
namamu Cikgu Nordin masih ku ingat jua. Antara kenangan menaik di Sekolah
Kebangsaan Kulim (Lelaki) adalah belajar menggunakan wang saku sebanyak 10 sen
diberi bonda, membeli sengkuang jeruk di luar sekolah (ketika waktu sekolah
berakhir), kami murid-murid mengutip dan membersihkan daun-daun di sekitar
sekolah, dan banyak mengutip gula ketika hari sukaneka sekolah. Ketika kawan
yang lain mengutip dengan tangan dan memasukkan ke dalam poket seluar, daku
berjaya mengutip dengan banyaknya apabila memasukkan terus gula ke dalam baju
melalui kolar. Terima kasih juga kepada Cikgu Nordin yang
kami menumpang keretanya dari rumah ke sekolah pada setiap hari
persekolahan.
Terima kasih kepada Cikgu Mustapha, guru
di Sekolah Kebangsaan Junjong, Kulim yang melihat potensi dan bakat dalam
diriku ini, melantik diriku sebagai Ketua Darjah ketika daku baru saja
berpindah ke Sekolah Kebangsaan Junjong, Kulim (dari SK Kulim Lelaki) semasa di
darjah tiga. Terima kasih kepada Cikgu Mustapha, yang 'memaksa' diriku menjadi
Ustaz dan 'berceramah mengenai Rukun Islam' di dalam Majlis Penyampaian Hadiah
hujung tahun sekolah. Terima kasih kepada Ustaz Mustapha, Ustaz yang tidak
lokek dengan senyuman, mengajar kami asas agama di sekolah rendah. Terima kasih
kepada Cikgu Zaleha, guruku ketika Darjah Empat, yang memaksaku mendeklamasi
Syair dalam Pertandingan Puisi, walaupun tidak menang, ia satu usaha mencungkil
potensi anak muridmu ini. Terima kasih kepada Cikgu Zaleha juga suaminya (kini Allahyarham Cikgu
Abdullah), yang membuat kelas tuisyen
tambahan di rumahnya, ramai-ramai kami naik Bas Junjong No. 46 ke Pekan Kulim,
kemudian naik bas ke Baling, berhenti di Kilang Lama, berjalan kaki ke rumah
Cikgu untuk kelas tuisyen tambahan dan bermalam di rumah Cikgu. Antara yang
kuingat, adalah rombongan kami dikejar anjing ketika masuk ke taman Cikgu.
Antara yang manis adalah selain tuisyen, doa-doa yang diajarkan Cikgu/Ayahanda
Abdullah. Bermalam di rumah Cikgu Zaleha dan Cikgu Abdullah selama 3 hari 2
malam di hujung-hujung minggu, segalanya disediakan, makan-minum ditanggung,
jadual solat dijaga sentiasa kuingat sebagai pengorbanan besar guru-guru dahulu
kala dalam memastikan anak bangsa, juga anak desa cemerlang dalam pelajaran, bahagia
dalam kehidupan. Daku yakin masih ada guru-guru di luar sana bertindak dan
berfikir sepertimu Cikgu.
Terima kasih kepada Cikgu Idris, guru yang
membawa kami memasuki Pertandingan Ping Pong Peringkat Sekolah Rendah di Kulim.
Walaupun kalah di pusingan awal, Cikgu memberikan makna kerana sekolah kami
satu-satunya ‘Sekolah Kebangsaan’ ketika itu yang memasuki Pertandingan Ping
Pong Peringkat Sekolah Rendah di Daerah Kulim/Bandar Baharu. Terima kasih juga
kepada Cikgu Idris, yang tidak jemu dan penat, membawa kami memasuki
Pertandingan Catur Peringkat Sekolah Rendah Daerah Kulim. Allah Taala saja yang
tahu betapa sukanya kami kerana penyertaan pertama kami pada tahun 1984 sebagai
satu-satunya ‘Sekolah Kebangsaan’ di Daerah Kulim mendapat kejayaan apabila menjadi
Johan di peringkat Daerah dan seterusnya memasuki Pertandingan Akhir di
peringkat Negeri di Teloi Kanan. Walaupun tidak berjaya menjadi Johan/Naib
Johan, tempat ketiga/keempat itu sudah memberikan kami pengalaman dan
pendedahan mengujakan sebagai anak desa dari sekolah luar bandar, sekolah
kampung yang serba kekurangan. Terima kasih kepada rakan sepermainan, Azian
Faridzi, Fauzi dan Rahman.
Terima kasih kepada Cikgu Ibrahim Abdullah,
guruku di darjah lima dan enam. Dua tahun bersamamu, menjadi Ketua Darjah dalam
dua kelasmu, diberikan amanah mencatat kehadiran anak-anak muridmu, peluang
berdamping denganmu mengajarku erti dan tanggungjawab seorang guru. Terima kasih
kepada jasamu, mengadakan kelas tuisyen selama dua minggu secara percuma
sewaktu cuti sekolah untuk menghadapi Peperiksaan Penilaian Darjah Lima,
mengajar kami pelbagai mata pelajaran, mengajar kami erti persaingan, mengajar
kami untuk menuju kecemerlangan. Berkat kesabaran dan keikhlasanmu, Sekolah
Kebangsaan Junjong mencatat keputusan terbaik dalam Peperiksaan Penilaian
Darjah Lima sepanjang sejarah sekolah ditubuhkan ketika itu. Terima kasih
kerana sudi menerima anak muridmu ini dalam Aidil Fitri terakhir sebelum kami
berhijrah sementara ke bumi Amerika. Moga-moga masih ramai guru di luar sana
seperti dirimu Cikgu.
Sekalung penghargaan dan jutaan terima
kasih kepada Allahyarham Cikgu Khalid, yang melantik diriku sebagai Ketua
Pengawas/Ketua Murid ketika di darjah enam. Walaupun anakmu Wan Samudra lebih
hebat dan berketrampilan, engkau memberikan peluang itu kepada diriku untuk
belajar sesuatu, membuktikan sesuatu, dan menghargai sesuatu. Semestinya ia
memberikan pengalaman berguna dalam asas kepemimpinan, memberikan arahan ketika
Perhimpunan Pagi, mengurus pasukan Pengawas Sekolah, menjaga sekolah ketika
guru-guru bermesyuarat, mengatur jadual tugas para pengawas, dan membantu
mengawal disiplin murid-murid. Sudah pasti tidak kulupa, Sekolah Kebangsaan
Junjong menjadi Sekolah Terbaik Peringkat Luar Bandar Negeri Kedah berdasarkan
keputusan Penilaian Darjah Lima (1983). Terima kasih sahabat-sahabat yang
membantu mencipta kejayaan, Azian Faridzi, Sobri, Rashid, Rosnah, Zauyah,
Ronita, dan lain-lainnya. Jutaan terima kasih kepada semua guruku di Sekolah
Rendah yang sudah tidak kuingat namanya, maklumlah dah semakin tua.
Bersama Cikgu Mohd Amin Rohani
Terima kasih kepada Cikgu Masrifatun,
Penasihat Keluarga pertamaku ketika enam bulan pertama di Tingkatan Satu di
MRSM Kulim. Walaupun tidak lama, kenangan keluarga pelajar ke Pulau Pinang
sentiasa terpahat di ingatan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Cikgu
Mohd Amin Rohani, penasihat Keluarga Pelajar Obor 85, yang mendidik diriku selama
4 tahun enam bulan di MRSM Balik Pulau. Di bawah bimbingan dan didikan Cikgu
Mohd Amin, ‘diriku terpelihara’ dari menjadi pelajar bermasalah di sekolah.
Ilmu, teknik, kaedah dan pengalaman dua tahun belajar menulis dan mengarang
dalam Bahasa Malaysia dengan Cikgu, daku gunakan sehingga sekarang. Kalau ada
salah sikit-sikit tu, maafkanlah anak muridmu ini…J. Terima kasih Cikgu Mohd Amin dan Cikgu Hasran
kerana menerima kunjungan diriku sekeluarga pada Disember 2014. Saya mendoakan
Cikgu berdua diberikan kesihatan yang berpanjangan, kekuatan dan keupayaan
dalam menabur budi dan bakti kepada anak bangsa, kepada anak Malaysia. Untuk
Cikgu Hasran, saya amat meminati karangan pendek cikgu di Facebook, moga-moga boleh diterbitkan di Malaysia kelak,
Insya-Allah.
Allahyarham Cikgu Zulkifli Kassim
Diriku amat berterima kasih kepada
Allahyarham Ustaz Badruttamam, guru agama kami dari Tingkatan Satu sehingga
Tingkatan Lima. Alhamdulillah, daku tidak pernah bertukar guru agama sepanjang hampir lima tahun di MRSM Balik Pulau. Walaupun dikenali sebagai seorang Ustaz
yang ‘sedikit garang’ dan tegas, daku sememangnya menyukai dan terhibur dengan
cara Ustaz menyampaikan ilmu dalam kelas. Diriku masih ingat, Ustaz sering
membawa kitab agama yang dibawa balik dari Mesir ke dalam kelas, membukanya,
membacanya dalam Bahasa Arab, menterjemahkannya dalam Bahasa Melayu, dan
memberikan huraian panjang lebar. Terima
kasih Allahyarham Cikgu Zulkifli Kassim, guru di MRSM Balik Pulau yang terkenal
dengan Program Bina Insannya, walaupun ramai juga rakan setingkatan yang ‘kurang
menggemari program ini’, daku anak orang susah, amat menghargainya. Terima
kasih jua Allahyarham Cikgu Zulkifli Kassim yang kemudiannya terkenal dengan
Program Smart Learning, yang banyak
memotivasi diriku ketika di Matrikulasi UUM. Daku bersyukur ke hardat Ilahi
kerana berkesempatan mengunjungi jenazah Cikgu di Bandar Baru Bangi bersama
rakan-rakan yang lain (sebelum dikebumikan). Terima kasih kepada Prof. Madya
Datin Dr. Sharida Fakurazi yang mengatur kutipan derma dan sedeqah untuk
keluarga Allahyarham Cikgu.
Cikgu Ibrahim Sulaiman
Terima kasih kepada Cikgu Ibrahim Sulaiman,
guruku yang mengajar Lateral Thinking
di MRSM Balik Pulau. Daku pun tidak mengetahui mengapa diriku menjadi ‘pelajar
pilihan Cikgu’ semasa di Tingkatan 1H sehingga 3H. Apapun Ilmu dari Dr. Edward
De Bono ini sebahagiannya masih kuingat dan kuamalkan. Dan diri menjadi sedikit
‘teruja’ apabila kami mempelajari semula Lateral
Thinking Dr. Edward De Bono ketika memasuki
Tahun Pertama di Universiti Utara Malaysia, dalam kursus Pemikiran Saintifik.
Terima kasih kepada Cikgu Zahari yang ‘sporting’, mengajar diriku Matematik.
Cikgu Zahari juga merupakan antara Guru Penasihat Pasukan Pengakap MRSMBP.
Terima kasih kepada Cikgu Azlan (Pak Lan), juga sebagai Penasihat Pasukan
Pengakap MRSM BP. Walaupun tidak lama pengalamanku denganmu Cikgu Azlan,
kemesraan dan ke’sporting’an dirimu amat kuingati. Daku yakin, Cikgu akan
menjadi Guru yang disenangi dan diingati anak-anak muridmu. Terima kasih kepada
Cikgu Zakiah, Penasihat Sidang Redaksi Majalah Nostalgia 1989. Peluang dan
amanah yang diberikan sebagai editor, juga jurukamera kepada diri ini amat
kuhargai. Terima kasih kepada Mendiang Cikgu Loh Mei Lin, guru Bahasa Inggeris
ketika di MRSMBP. Antara yang kuingat adalah kami beramai-ramai pergi ke majlis
makan-makan di rumah Cikgu Loh Mei Lin dan Cikgu Rudina. Cikgu Loh Mei Lin akan
diingati sebagai seorang guru yang melangkaui sempadan agama dan bangsa, satu
contoh Guru Berbangsa Cina yang berjiwa Malaysia.
Pak Lan bersama isteri, Cikgu Rudina
Terima kasih kepada Cikgu Ahmad Ismail,
guru sejarahku yang bukan sahaja mengajar apa itu sejarah, juga mengapa sejarah
penting untuk dipelajari, seorang pakar dalam sejarah Malaysia, bijak mengajar
sejarah dengan kaedah yang tersendiri, juga berjaya mengajar diriku meminati
sejarah sehinggalah masa kini. Terima kasih kepada cikgu-cikgu yang menjadi
guruku secara langsung atau tidak langsung sepanjang di MRSMBP. Antara yang
kuingat adalah Cikgu Hussein Ibrahim (Pengetua MRSM BP suatu ketika dahulu),
Cikgu Hamid (kini Pengarah Bahagian Pelajaran Menengah MARA), Cikgu Nik Aziz
(mengajar sejarah), Cikgu Shaari Hussin (sudah pencen dan menetap di Baling),
Ustaz Shabani, Cikgu Lokman Hakim, Cikgu Tuan Syed (mengajar Kimia) dan isterinya
(mengajar Perakaunan). Jutaan terima
kasih kepada guru-guruku lain di MRSMBP, sudah meningkat usia, sudah semakin
kulupa nama-namanya, yang mendidik dan mengajar, juga membentuk diriku menjadi
insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Terima kasih kepada Allahyarham Cikgu
Azid, mentor kepada mentee-mentee semasa di MUUM Kulim. Terima kasih kepada
Cikgu Zubir, Ketua Unit MUUM ketika itu atas kepercayaan dalam menjalankan
kerjasama Koop-CRK untuk projek Vending
Machine. Juga atas nasihat dan bimbingan semasa menjadi ‘Wakil Rakyat’, MPP
MUUM Sesi 1990/1991. Jutaan terima kasih
kepada Cikgu Faruk Senan Abdullah, sekitar empat tahun pengalaman dengan
beliau. Dua tahun di MRSMBP, Cikgu Faruk dikenali dengan ketegasannya. Dua
tahun di Pusat Matrikulasi MARA Kulim, diriku banyak pengalaman denganmu dan
mengenali hati-budimu. Terima kasih atas sokongan untuk penubuhan Pasukan
Pengakap Kelana ‘B’ Waja Kulim, terima kasih atas kepercayaan dan sokongan
untuk kami menjayakan Ekspedisi Gunung Tahan Mei-Jun 1991, sokongan untuk
Ekspedisi Gunung Inas, dan pelbagai aktiviti Pengakap Kelana. Dua kenangan ku tinggalkan
di Pusat Matrikulasi MARA Kulim adalah Sijil Pendaftaran Pasukan Pengakap
Kelana ‘B’ Waja Kulim dari Persekutuan Pengakap Malaysia dan sebuah album
kenangan dari kami, Pasukan Pengakap Kelana ‘B’ Waja Kulim. Terima kasih kepada
Allahyarham Cikgu Zamanhuri, Penasihat Pasukan Pengakap Kelana ‘B’ Waja Kulim,
walaupun Cikgu dari Matrikulasi USM, itu tidak menghalang Cikgu dari membantu
kami. Cikgu banyak menyokong aktiviti Pasukan Pengakap kami, walaupun kami
ketika itu tidak tahu Cikgu sedang sakit dan berjuang ‘menentang maut’.
Cikgu Salleh Osman
Jutaan terima kasih kepada Cikgu Salleh
Osman (Pak Leh) kerana menjadi cikgu paling disenangi juga popular di MUUM
Kulim. Keaktifan dan kreativiti cikgu merangka dan menjalankan aktiviti
ko-kurikulum, khidmat masyarakat, kegiatan sosial dan sukan, serta pembudayaan
keusahawanan memang kukenangi sehingga kini. Aktiviti di luar akademik ini
memberikan kami, para pelajar MUUM yang sebahagian besarnya (lelaki), ‘agak
nakal sebenarnya’, ‘otai-otai belaka’, pelbagai ilmu, kemahiran dan pengalaman
berguna. Terima kasih Pak Leh kerana memberikan peluang kepada diriku belajar
dan mempraktis tentang kepemimpinan di usia muda. Terima kasih kepada guru-guru
lain semasa di MUUM Kulim, Cikgu Salmiah Hassan, Cikgu Salina, Cikgu Johari,
Cikgu Ros dan lain-lain yang diriku ini sudah terlupa nama mereka, maafkan
diriku.
En. Muhamad Pauzi Ramli (gambar jumpa dalam internet)
Terima kasih kepada pegawai Hal Ehwal
Pelajar UUM ketika itu (1992-1993), En. Muhamad Pauzi Ramli. Jika ditanya siapa yang banyak
membentuk diriku di zaman mahasiswa, mentor ketika sebelum bergelar pemimpin
dan aktivis mahasiswa, En. Muhamad Pauzi Ramli adalah orangnya. Akan kuingat
kenangan ‘mengunjungi ke bilikmu di Jabatan HEP, berjam-jam berbual,
bersembang, pencerahan dan pendedahan yang kau berikan, bimbingan dan nasihat
kepada diriku, untuk menjadi pemimpin mahasiswa. Akan kuingat sepanjang hayat,
pengalaman ke Kuching dan Pontianak dalam mengurus Program Jalinan Muhibah
Sintok – Pontianak pada tahun 1991. Walaupun terputus hubungan selepas dikau,
‘mentor dan guruku’ berhenti kerja dari Universiti Utara Malaysia, daku ‘anak
muridmu’ mendoakan agar moga-moga dapat bersilaturrahim kembali.
Terima kasih kepada Dr. Mohamad Salmi Mohd
Sohod, ketika itu sebagai Pengarah Institut Pembangunan Keusahawanan (IPK) UUM
(kini salah seorang pengasas Cyberjaya
University College of Medical Sciences). Peluang menjalani latihan industri
di IPK, serta lain-lain pengalaman sebagai ‘Perunding Muda’ di bawah IPK
memberikan kami pelbagai pengalaman yang tidak boleh diperolehi di dewan
kuliah. Antara pengalaman menarik di IPK adalah ‘membantu membangunkan Mobile Resource Center’, membantu
Persatuan Francais Malaysia (MFA) menganjurkan Persidangan dan Pameran Francais
Antarabangsa kedua di Shangri-La Hotel, Kuala Lumpur pada bulan September 1995.
Bekerja sepanjang hari, bermalam di Pejabat MFA di bawah Dataran Merdeka
(ketika itu), menjalani latihan ‘Menandatangani Dokumen MOU’ dan lain-lain
aktiviti memberikan daku pendedahan langsung dengan industri francais Malaysia.
Ia membuahkan satu ‘cinta’ kepada industri, bergiat aktif dengan industri
francais Malaysia dari tahun 2000 sehingga kini.
Yang Berusaha Prof. Dato' Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak, Naib Canselor UUM
Terima kasih kepada salah seorang guruku,
juga mentorku semasa di Universiti Utara Malaysia (UUM), ketika itu, Encik
Mohamed Mustafa Ishak, kini Yang Berusaha Prof. Dato' Seri Dr. Mohamed Mustafa
Ishak, Naib Canselor UUM. Walaupun daku ‘tidak bersedia’ memikul amanah sebagai
Yang DiPertua Persatuan Sains Politik ketika dipillih di penghujung pengajian
tahun satu, bimbingan dan panduan darimu amat bermakna. Terima kasih tidak
terhingga kerana memberiku ‘tempat berteduh’ dan ‘sokongan moral’ semasa diriku
berhadapan ‘kes dan ujian terbesar’ semasa di UUM. Terima kasih kepada guru-guruku secara
langsung dan tidak langsung sepanjang di UUM, 20 tahun sudah berlalu, ramai
sudah kulupa. Yang kuingat adalah Prof. Datuk Wira Dr. Mohd Salleh Hj Din (kini di
UniMAP), Prof. Dr. Rushami Zein Yusof,
En Jumaat Mahajar (kini Prof. Dr. Jumaat Mahajar di UPSI), Prof. Madya Dr. Engku Mohamad Nazri…
Prof. Dato. Dr. Muhamad Muda
Terima kasih kepada Prof. Dato’ Dr.
Muhamad Muda, suatu ketika sebagai Dekan Fakulti Pengurusan Perniagaan UKM, salah
seorang panel yang menemuduga diriku untuk jawatan tutor. Terima kasih atas
kepercayaan dan keyakinan beliau pada diriku untuk menjadi tenaga akademik di
UKM, menjadi guru, mewarisi tugas dan kerjaya arwah ayahandaku. Antara yang ku
ingat soalan ketika temuduga adalah “Mengapa nak masuk UKM, gaji awak di swasta
lebih tinggi?”. Jawapanku mudah, “…di kilang (tempat diriku bekerja ketika
itu), memang gaji lebih tinggi, tetapi sumbangan saya sebagai Eksekutif hanya
terhad kepada sekitar 200 pekerja di kilang kami. Apa saja kebaikan yang saya
buat untuk 200 orang sahaja. Di Universiti, saya dapat menabur bakti kepada
pelajar yang bertukar-tukar setiap semester, mendidik bakal pemimpin negara
yang bersilih ganti”. (Lebih kurang macam tulah jawapan diriku). Daku kira
beliau punya karisma tersendiri dalam memimpin, dan ini terbukti apabila beliau
menyandang jawatan Naib Canselor USIM suatu ketika.
Prof. Dato’ Dr. Nik Rahimah Nik Yacob
(Ketua Eksekutif dan Naib Canselor di Asia Metropolitan University)
Terima kasih kepada guru-guruku ketika
menyambung pengajian dalam program, Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di
UKM. Terima kasih kepada Prof. Aziz A. Hamid (sudah bersara), Prof. Dr. Rozhan
Othman, Prof. Dr. Zakaria Ismail (sudah bersara, kini di OUM), Prof. Dr.
Hidayat (pencen awal dari UKM, sudah bersara rasanya), Prof. Dato’ Dr. Nik
Rahimah Nik Yacob (kini sebagai Ketua Eksekutif dan Naib Canselor di Asia Metropolitan
University), Prof. Osman Zein (sudah bersara), En. Abdul Aziz Yusof, Prof. Dr.
Nik Hashim Nik Mustapa (sudah bersara), Prof. Madya Dr. Nordin Mohamad (sudah
bersara), dan Dr. Saiful Bahri (sudah bersara awal)…. Antara yang diingati
punya ‘keistimewaan tersendiri’ dalam mengajar adalah Prof. Dato’ Dr. Nik Rahimah Nik Yacob ketika
mengajar kursus Kaedah Penyelidikan dan Statistik Gunaan. Ia membolehkan diriku
‘yang tidak suka dengan formula dan ‘cacing kerawet’ memahami statistik dengan
mudahnya.
Prof. Jay Mitra
Terima kasih kepada guru-guruku semasa membuat ijazah doktor falsafah di University of Essex, United Kingdom. Terima kasih Prof. Jay Mitra, yang pandangan luasnya dalam membimbing diriku, memberikan kepercayaan kepadaku semasa Persidangan di Monaco, dan membantuku dengan ‘memberikan beberapa projek kecil’ dan mana yang boleh semasa dihimpit masalah biasiswa tak cukup di tahun pertama pengajian di UK. Terima kasih atas hubungan yang berkekalan pasca PhD, juga atas amanah dan kepercayaan sebagai salah seorang Editorial Board dalam Journal of Entrepreneurship and Innovation in Emerging Economies, terbitan Sage Publication.
Dr. Jun Li
Jubah PhD dibeli, walaupun tidak murah, tetapi tidaklah mahal sangat, sebagai satu lambang dan pengorbanan besar diri sendiri, isteri dan anak-anak serta bonda yang sentiasa mendoakan
Terima kasih Dr. Jun Li,
penyelia utamaku sewaktu menyambung PhD
di UK. Terima kasih atas kepercayaan di International Entrepreneurship Forum di
Shanghai pada tahun 2007, terima kasih atas bimbingan dalam melepasi setiap
fasa dalam proses PhD, sehinggalah lulus viva dan bergraduasi. Seperti biasa,
ada ‘pasang-surut’ dalam hubungan Penyelia-Calon sewaktu di UK, hubungan pasca
PhD lebih ‘mesra’. Terima kasih kepada Dr. Svetlana Warhurst, penyelia kedua,
walaupun tidak rapat, komen-komen di penghujung pengajian membolehkan lulus
viva dengan jayanya.
Terima kasih kepada para sahabat dan
rakan-rakan dari Sekolah Rendah sehinggalah bekerja yang menjadi ‘guru secara
tidak langsung’. Sdr Wan Samudra dengan keunikannya, ramai
sahabat dan rakan di MRSM BP, yang kekal menjadi sahabat dan rakan sehingga
kini (panjang sangat kalau nak tulis), kekal berhubung di WhatsApp dan Facebook, ada
Rakan SeBangi, saling menziarahi, masih berhubung walaupun banyak berbeza
pendapat, Terima kasih kepada sahabat dan rakan dari MUUM Kulim, juga masih
kekal sahabat dan rakan sehingga kini (panjang sangat kalau nak tulis), kekal
berhubung di WhatsApp dan Facebook, sesi teh tarik, makan-makan, ziarah-menziarahi,
ramai juga Jiran SeBangi. Suka daku melihat otai-otai bila dah melebih 40 tahun
ni dah berubah, betul-betul berubah. Petunjuk dan hidayah milik Allah. Ramai
menyatakan manusia perlu diberikan peluang kedua, daku menyatakan manusia perlu
diberikan peluang selagi hayat dikandung badan.
Jutaan terima kasih kepada sahabat dan
rakan di Pusat Pengajian Pengurusan (SOM), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM,
juga guru-guru yang penuh dedikasi dan komited mendidik, membangun, melatih, bersama
menyuntik semangat, anak-anak Malayia. Nak masuk 20 tahun di UKM (diriku mula
kerja di UKM pada 3 Mac 1997), daku perlu menyatakan nama mereka setiap seorang
yang merupakan sahabat, rakan, ‘guru secara tidak langsung’, ‘guru dalam
kehidupan’ yang menjadikan hidupku tidak bosan di UKM, hidupku penuh ceria dan
semangat, serta sentiasa bersemangat untuk ke UKM setiap hari. Terima kasih
buat sahabat dan rakan yang lebih senior di SOM
FEP, PM Datin Dr. Shamsubaridah Ramlee, PM Dr. Hawati Janor, PM Dr.
Norazlan Alias, PM Dr. Rohayu Abd Ghani, PM Dr. Rosmah Mat Isa, PM Dr. Rashidah
Arshad, PM Dr. Ros Zam Zam, En. Abdullah Sanusi, dan PM Dr. Hendon Redzuan.
Terima kasih buat sahabat dan rakan yang ‘sebaya’ di SOM FEP, Dr. Norazila Mat,
PM Dr. Rubayah Yaakob (masuk kerja 1 Mac 1997), PM Dr. Zafir Khan Mohd Makhbul,
PM Dr. Nor Liza Abdullah, En. Suhaimi Ahmad, PM Dr. Noor Azuan Hashim, PM Dr.
Aisyah Abdul Rahman, PM Dr. Azhar Ahmad, PM Dr. Zizah Che Senik, PM Dr.
Maisarah Ahmad, PM Dr. Daud Ismail, PM Dr. Che Aniza Che Wel, En. Ishak Othman,
Dr. Nur Atiqah, dan En. Radzuan Rahid.
Terima kasih kepada sahabat dan rakan yang
lebih ‘junior’ di SOM FEP, PM Dr.
Azman (walaupun lebih senior dari
segi umur), PM Dr. Ruzita A. Rahim, PM Dr. Hasimi, Dr. Zaleha Yazid, Dr. Hasni,
Dr. Roshayati, Dr. Lokhman, Dr. Azryani, Dr. Shifa, Dr. Ratana, Dr. Abu
Hanifah, Dr. Helmi, Dr. Farhana, Dr. Hafizuddin, Dr. Hafiz, Dr. Imna, Dr. Shazlinda,
Puan Fadhilah Ahmad, Puan Fiza Omar, Puan Norhafizah (di Kent, UK), Dr. Hamizah
A. Hamid, Dr. Kew, Dr. Jeric Tee, Dr. Rabuan Shah, Dr. Hamizah Abdul Hamid, Dr. Norhafizah Abu Hassan dan …Adapun perbezaan kita di SOM, persamaan
jika ada, kepelikan dan keunikan perangai, sifat dan kelakuan masing-masing itu
saling melengkapi institusi kita, menjadikan kita lebih lengkap sebagai seorang
guru, satu kerjaya yang mulia di institusi ini. Adapun ikan tiga rasa lebih
sedap dari ikan goreng, manakala ikan tujuh rasa lebih sedap, nikmat dan lazat dari
ikan tiga rasa. Sambal belacan memang sedap, tetapi budu, cencaluk, dan
tempoyak juga sedap dimakan. Tidak indah hidup kita jika perjalanan hidup kita
sama saja bentuknya. Tidak kita memahami erti kesusahan dan keperitan, jika
senang-senang saja kehidupan kita. Tidak kita fahami makna kegagalan, jika kita
tidak pernah menempuhi kegagalan. Atas sebab itu, jika kita memahami perjalanan
hidup kita, mereka-mereka yang kita kawani dan sahabati, hatta musuh-musuh kita
dan mereka yang memusuhi kita, pengalaman-pengalaman yang kita jalani dan
tmepuhi, semuanya baik belaka untuk diri kita.
Akan diriku ini memang banyak cacat
celanya. Daku arif ramai yang sukar menerima sifat terus terangku, kadang-kadang
daku dilihat serius, tetapi bagi yang rapat denganku, mereka tahu ‘cara
berurusan’ denganku. Atas segala salah silap dariku, ku mohon jutaan kemaafan
atas hari yang baik ini. Atas segala silap tutur kata dan perbuatan, umpatan dan fitnah kepada diriku ini, jika ada, dari sesiapa sahaja, sahabat dan
rakan di UKM mahupun di luar UKM, telah lama ku lupakan dan daku maafkan. Akan
diriku, yang penuh dengan keunikan dan kepelikan tersendiri, sentiasa ku doakan
para sahabat dan rakan di SOM FEP, terus komited dan bersungguh-sungguh dalam
melaksanakan amanah, dan menjalankan tanggungjawab yang kita pikul. Daku tidak
tahu masa depanku di mana, ajalku bila kunjung tiba tetapi daku yakin kalian
semua insan yang hebat, mampu mengorak langkah, memacu SOM, memaju Fakulti,
menjadikan varsiti kita institusi yang unggul, mendidik dan melahir generasi
berwibawa yang akan mencorak masa depan negara serta mengubah haluan dunia.
Terima kasih para guru, dari taska
ke tadika, sekolah rendah ke sekolah menengah, di matrikulasi, di kolej mahupun
universiti, di Kolej Vokasional mahupun Kolej Komuniti, di Pusat Giat Mara, di pelbagai
Institut Kemahiran dalam negara, di Institut Perguruan, di pelbagai institusi
dalam negara, yang terus setia memikul amanah dan tanggungjawab sebagai guru,
satu kerjaya yang mulia dan dihormati. Akan akauntan, ada gurunya yang mengajar
campur kira, akan peguam, ada gurunya yang mendidik petah bicara, akan doktor
ada gurunya yang tidak kenal penat dimamah usia, akan ahli sukan, ada gurunya
membimbing dan merencana, akan ustaz ada murabbi di belakangnya, akan ahli
politik ada guru menasihati di sebaliknya, akan kita ada guru di sepanjang
usia, akan manusia, Rasul dan Allah sebagai panduan berguna.
Terima kasih kepada kekanda Haslan dan
Hazlim, adinda Hazlisham, juga adinda Shafirol dan Khairol, juga isteri masing-masing
serta anak-anak masing-masing atas silaturrahim yang berpanjangan, dalam berkeluarga,
bergurau senda, berkasih-sayang, pasti ada yang kupelajari sebagai ‘ilmu dari
kalian’ dalam ‘kehidupan sebagai
perguruan’. Dalam usia daku yang semakin tua, daku pohonkan jutaan kemaafan
atas segala salah dan silap, tutur kata dan perbuatan, kelakuan dan apa juga yang
menyinggung kalian. Dalam keunikan diriku ini, ambillah apa yang baik,
tinggalkan apa yang tidak baik. Daku sentiasa mendoakan kalian berjalan menuju
keredhaan Tuhan kerana kehidupan di dunia adalah nikmat yang melekakan sedang
kehidupan di akhirat adalah kehidupan yang berkekalan. Untuk anak-anak saudara,
sebelah diriku mahupun sebelah adinda isteri, Pak Lang aka Pakcik ini ‘sebagai
Guru Besar’ kalian memang nampak ‘sedikit garang’, tetapi dalam hati ada taman
dan penuh dengan bunga-bungaan…he3.
\
Terima kasih kepada anakanda-anakanda yang
mana daku sebagai guru kedua mereka, yang daku pelajari ilmu dan pengalaman
untuk menjadi seorang abah dan guru bagi mereka, seorang anak dara seorang sudah remaja, dua orang masih perlu
belaian dan manja. Akan dirimu
anakandaku, daku pelajari sesuatu yang berharga, permata dalam kalangan
permata, mutiara bukan mutiara biasa, walaupun kadang-kadang kelakuan kalian ‘benar-benar
menguji kesabaranku’, kuterima ia sebagai ujian dari-Mu. Ketika kecil, banyak
belaian, kasih-sayang dan manja, ketika membesar, kutitip disiplin dan amalan
hidup bersyariat di dunia, moga-moga apabila besar menjadi insan berguna.
Akan
diriku juga belajar dan terus belajar, menjadi ayah dan abah yang mampu membahagia anak-anaknya,
tidaklah diriku ini sempurna, sentiasa belajar untuk menempuhi hidup tua,
ketika anak-anak membawa sendiri kehidupan mereka. Kupanjatkan doa ke hadrat
Yang Maha Esa, moga kalian dalam rahmat-Nya dan kasih-sayang-Nya, moga kalian sentiasa
dibimbing-Nya, moga kalian mendapat keredhaan-Nya. Ingatlah kehidupan di dunia
adalah pentas ujian untuk kehidupan kekal abadi, jangan lupa untuk sering berselawat
kepada Nabi yang diutuskan-Nya, jangan lupa sentiasa ingat kepada-Nya, jadilah Ulul
Albab sepertimana dalam Kalam-Nya yang mulia.
Terima kasih kepada adindaku, Hjh Rosmina Mohd Izam, atas perkongsian hidup 20 tahun. Dikau sahabat, rakan, teman bicara, permaisuri hidupku juga ‘guru sepanjang masa dalam berumahtangga’. Susah dan payah di awal perkahwinan, berdua bermotor kapcai dan kebasahan dalam hujan, dan berkereta Datsun yang agak kepanasan. Akan kuingat dikau punya kesabaran, membasuh pakaian dengan tangan di awal perkahwinan, lantaran kehidupan yang masih banyak kekurangan. Akan kukenang dikau menanggung sakit ketika berbadan dua, menanggung perit ketika melahirkan amanah dari Tuhan. Terima kasih atas empat amanah dari Sang Pencipta Rasa, naluri keibuan terserlah dalam dirimu, walaupun semakin dimamah usia, sayang dan kasih dirimu kepada bayi dan anak-anak tiada terhenti. Banyak kupelajari dari dirimu, akan amal-ibadat serta ketaatanmu kepada Yang Satu, akan sujudmu dan doamu mengharap kepada Yang Satu, akan kesungguhanmu dalam menyiapkan sesuatu, akan istiqamahmu dalam mengerjakan sesuatu, akan belas, kasih dan sayangmu kepada saudara-saudaramu. Akan diriku yang banyak kelemahan ini, moga-moga dikau sentiasa memaafkanku. Akan dirimu, ingatlah kalam yang selalu ku bisikkan di telingamu, “Diriku meredhai dirimu sebagai isteriku, dunia dan akhirat, zahir dan batin, masuklah ke mana-mana pintu syurga yang dikau kehendaki” sebagaimana kata Nabi Muhammad SAW yang kita ikuti.
Terima kasih Junjungan kami, Rasulullah
SAW, guru kepada sekalian guru, guru sepanjang zaman, mursyid segala mursyid, jua
pembawa rahmat sekalian alam. Tidak mahu
kunukilkan tentang dirimu yang mulia di sini, cukuplah daku mencintaimu Ya
Rasulullah…. Ku panjatkan syukur ke hadrat Allah Taala, Tuhan Yang Maha Agung, ‘guru
empunya guru’, yang masih memberi rahmat dan kasih-sayang kepadaku yang banyak
noda dan dosa ini, masih memberikanku peluang untuk berubah dan mendekatkan
diriku ini kepada-Mu. Diriku ini hanya mendambakan keredhaan-Mu, sentiasa kekal
dalam tawadhuk kepada-Mu, Ya Allah. Tiada daya upaya diriku ini melainkan
dengan pertolongan dan bantuan-Mu, Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agong. Wassalamualaikum
wahhamatulahi wabarakatuh.
*Diubahsuai semula 16 Mei 2017.