Maaf, saya tidak peduli apa kata @ komen pelajar. Sebelum ke Wharton, kursus Sarjana di bawah saya 'tidak mudah', balik dari Wharton ini, memang ia menjadi lebih sukar dan mencabar. Bagi saya, pelajar perlu nampak dan merasai perbezaan pengajaran & pembelajaran antara peringkat Sarjana dgn Sarjanamuda agar mereka tahu dan jelas bahawa kuliah dan kursus di peringkat Sarjana (dan bawah saya) adalah berbeza. Alhamdulillah, ada pelajar yang menghargai usaha saya walau itu bukan objektif saya mengajar. Saya hanya mahukan pelajar mencapai @ melepasi standard yang saya tetapkan utk mereka.
KPT memiliki sasaran untuk menjadikan beberapa Business School di Malaysia antara terbaik di dunia, bolehkah? Pandangan peribadi saya, ia suatu yang sukar berdasarkan standard, governans dan strategi semasa. Perkara pertama perlu dibahaskan dan diperincikan adalah adakah dan mengapakah Malaysia memerlukan Top Business School? Pembuat dasar dan ahli akademik (bukan orang politik ya 😉😉😉) perlu membahaskan perkara ini. Persoalan yang paling sukar dijawab adalah Mengapa??? Kerana umumnya ada dua laluan untuk melahirkan Top Business School iaitu laluan organik dan laluan pantas. Laluan pantas yang dijadikan dasar beberapa tahun lalu untuk melahirkan Top Business School saya fikir hasilnya kini kurang berjaya. (Jangan marah ye). Laluan organik pula memakan masa tetapi hasilnya boleh dicapai dan berkekalan.
Mengapa sukar? Jika sekadar perlu mendapat akreditasi AACSB atau EQUIS atau EMBA, banyak Business School di seluruh dunia yang berjaya mendapat akreditasi ini, termasuk dari Malaysia. Saya berpengalaman melihat dan menilai pencapaian pelajar, kurikulum dan pensyarah dari Business School di Malaysia yang mendapat akreditasi AACSB sbg contoh, tak susah pun, 'biashe-biashe ja'. Apatah lagi akreditasi hanya satu standard, banyak kelompangan dalam amalan semasa yang tidak dicakupi oleh satu sistem akreditasi. Saya akui akreditasi antarabangsa seperti AACSB, EQUIS, dan EMBA memang penting untuk menarik pelajar berpotensi dan 'seperti memiliki standard antarabangsa', tapi banyak lagi yang lebih penting dari akreditasi ini. Mengapa? Dengan memiliki akreditasi ini, Business School di Malaysia belum berjaya pun menarik calon Sarjana @ PhD dari negara maju atau calon terbaik dari negara membangun. Pentingnya akreditasi antarabangsa ini adalah sebagai prasyarat untuk bersaing dalam 'Business School League'.
Mengapa sukar? Sebahagian pensyarah kita memang memiliki pengalaman antarabangsa, sama ada di peringkat sarjana muda, sarjana mahupun kedoktoran. Pelaburan negara berpuluh tahun menghantar anak Malaysia ke universiti di luar negara ini akhirnya telah membolehkan negara menubuhkan universiti sendiri dan akhirnya anak-anak Malaysia ini telah berjaya mengangkat standard, nama baik dan jenama universiti Malaysia di peringkat antarabangsa. Antara hasilnya adalah berpuluh ribu pelajar antarabangsa datang belajar di Malaysia, majoritinya di peringkat sarjana muda dan sebahagiannya di peringkat pasca siswazah. Namun, menjadikan Business School di Malaysia antara terbaik di dunia bukan sahaja memerlukan pengalaman antarabangsa tetapi memerlukan pengalaman dari Top University/Top Business School terbaik dunia supaya mereka tahu, nampak sendiri, dan merasai sendiri di manakah standard Top University/Top Business School terbaik dunia, apakah yang menjadikan Top University/Top Business School terbaik dunia berbeza dengan University/Business School lain, bagaimanakah Top University/Top Business School terbaik dunia berubah dan menjadi antara terbaik dunia. Pengalaman ini tidak boleh dicari dengan melakukan kajian di atas kertas atau berbincang di bilik mesyuarat ataupun berbengkel di hotel, ia memerlukan pengalaman bertahun di Top University/Top Business School !
Pada saya, perkara terpenting dan paling sukar dalam menjadikan Business School di Malaysia antara terbaik di dunia adalah ahli akademiknya. Kita memerlukan rancangan jangka panjang menghantar anak Malaysia mendapatkan ijazah di peringkat sarjana muda, sarjana dan kedoktoran di Top Business School, khususnya di peringkat kedoktoran. Kualiti ahli akademik di Top Business School, itu perkara paling utama. Kerana kualiti ahli akademik yang akan mengangkat standard kursus, standard program pengajian, kualiti penyelidikan, kualiti penerbitan (buku dan jurnal), dan juga graduan yang dihasilkan. Setakat ini, kerajaan tidak konsisten menghantar anak Malaysia ke Top University/Top Business School terbaik dunia. Zaman Tok Pa (YB Dato Seri Mustapha Mohamed) jadi Menteri KPT, pensyarah memiliki bajet tersendiri untuk sambung pengajian, tidak perlu bersaing dengan JPA, Bahagian Biasiwa ditubuhkan di bawah KPT, ramai anak Malaysia (pensyarah universiti) yang mendapat PhD dari universiti luar negara (2006-2015), kembali berkhidmat di universiti di Malaysia dan mereka inilah yang menyumbang ke arah peningkatan kualiti (juga 'ranking' - saya tak suka 'ranking' sebenarnya) universiti di Malaysia mutakhir ini.
Jika kerajaan jelas dan pasti Malaysia memerlukan Top Business School, adakah pihak kerajaan bersedia menyediakan bajet khusus dalam tempoh 10-15 tahun untuk anak Malaysia menyambung pengajian peringkat sarjana dan kedoktoran di Top Business School, walaupun ekonomi naik-turun, perubahan kerajaan yang memerintah dll faktor??? Kerajaan juga disarankan menyediakan lebih banyak vot untuk Skim Pasca Doktoral dengan pensyarah berPhD diberikan peluang menambah ilmu dan pengalaman di Top Business School. Mengapa? Kerana vot sekarang adalah amat-amat kecil!!! Melihat komposisi Top Business School di seluruh dunia, saya fikir 70%-80% ahli akademik di Top Business School di Malaysia perlu mendapat PhD dari Top Business School. Adakah kerajaan boleh menunggu? Baki 20%-30% ahli akademik tidak perlu PhD dari Top University/Top Business School. Mengapa? Kerana sebahagian Prof yang hebat di Malaysia bukan dari Top University atau Top Business School pun tetapi mereka sememangnya diakui hebat dalam bidang kepakaran masing-masing. Adakah kerajaan boleh bersabar untuk mewujudkan Top Business School di Malaysia yang mempunyai 70%-80% ahli akademik yang memiliki kelulusan dari Top University atau Top Business School dari seluruh dunia?
Ada jalan pintas dengan menggajikan profesor tersohor di dunia ke dalam Business School di Malaysia tapi saya yakin jalan pintas ini tidak akan berjaya dan saya tidak berhasrat menulis tentang perkara itu di sini. Kalau anda faham tentang Resource-Based Theory dan Dynamic Capabilities, anda akan faham maksud saya.
Mengapa perlu menyambung pengajian PhD atau pasca doktoral di Top Business School? Kerana ahli akademiknya, standard, kualiti pengajaran dan pembelajaran, kualiti penyelidikan dan pembangunan (R&D), kualiti tesis PhD, tahap infrastruktur, serta kemudahan ekosistemnya ADALAH BERBEZA DAN BERTARAF DUNIA. Panjang kalau saya nak huraikan satu persatu. Pertama, ahli akademiknya berbeza, pengalaman mereka menjadikan mereka berbeza kerana mereka memiliki pengalaman akademik dan industri yang menjadikan kuliah mereka berbeza. Mereka diterima dalam dunia akademik dan industri. Mereka pakar dalam bidang akademik, artikel mereka diterbitkan dalam jurnal tersohor dengan kualiti diutamakan, bukan kuantiti seperti Malaysia (yang akhirnya menekan ahli akademik), buku mereka laris di pasaran, buku teks mereka dijual di seluruh dunia, sitasi mereka tinggi, hasil penyelidikan mereka digunapakai dalam dunia akademik dan industri (bukan dunia akademik semata-mata). Hasil R&D mereka bukan sekadar paten atau harta intelektual tetapi syarikat modal teroka yang mengkomersilkan R&D ini yang mampu menyelesaikan masalah dunia, menjana pulangan ekonomi bernilai berjuta-juta dan membuka beribu-ribu peluang pekerjaan. Mereka juga pakar runding projek industri, penasihat projek kerajaan, ahli lembaga pengarah syarikat, panel pelaburan industri, pengasas atau CEO syarikat modal teroka, penceramah popular, pakar rujuk pelbagai institusi dan media, dan bermacam lagi.
Adakah ahli akademik Malaysia ke arah itu? Amat sukar. Saya dah 3 tahun balik dari Wharton/UPenn, maaf dikatakan ahli akademik kita masih dengan dunia akademik, sebahagian besar masih terasing dari dunia industri, mengejar penerbitan untuk KPI sendiri/universiti (nak salahkan pensyarah pun tak boleh sebab universiti letakkan KPI penerbitan yang tinggi untuk 'mengejar 'ranking'), mencari paten/harta intelektual untuk naik pangkat, dengan aktiviti/KPI dengan industri diberikan pemberat yang cukup sedikit dalam kenaikan pangkat. Sebahagian besar ahli akademik Malaysia 'tidak mahu bercampur' dengan industri, penyeliaan sebahagian besar PhD di Malaysia (kalau dalam bidang sains sosial) sekadar menyelesaikan masalah jurang teori, tidak mampu menyelesaikan masalah di industri!!! Ini belum dibincang standard PhD di universiti bukan penyelidikan dan universiti swasta!!!
Saya tidak mahu membincangkan standard, kualiti pengajaran dan pembelajaran, R&D dan kualiti tesis PhD kerana banyak nak kena tulis tetapi ia amat berkait rapat dengan kualiti ahli akademik. Cuma, kalau dari segi kualiti tesis PhD, tesis PhD di Malaysia masih sibuk dengan mengurangkan jurang teori (menambah pemboleh ubah pengantara atau penyederhana), bukannya sesuatu yang benar-benar asli (originality), atau novelty (kebaharuan). Keaslian dan kebaharuan lebih mudah dihasilkan dengan penyelidikan kualitatif tetapi kita kurang memberikan sokongan dan penghargaan kepada penyelidikan kualititatif di Malaysia. Apa yang lebih teruk adalah sebahagian Prof dalam kajian kuantitatif agak jumud dan sukar menerima kajian kualitatif! Tahap kesarjanaan sepatutnya menjadikan seseorang ahli akademik lebih terbuka, luas pandangan dan bijaksana, bukannya jumud dan tegar!!!
Penyelidikan kuantitatif juga sememangnya berpotensi besar menghasilkan sesuatu yang asli dan kebaharuan tetapi penguasaan ilmu matematik dan kaedah kuantitatif perlu betul-betul hebat. Penyelidikan peringkat PhD di Wharton (dan umumnya di USA) boleh dikatakan memang kuantitatif, tetapi bagaimana mereka menghasilkan sesuatu yang asli dan memiliki kebaharuan? Mereka tidak bersandar kepada SPSS, Smart PLS, AMOS, dan lain-lain perisian untuk penyelidikan peringkat PhD. Kaedahnya adalah idea asal, model penyelidikan PhD, formula yang diguna dalam model penyelidikan adalah asli, penyelidikan dari awal merupakan satu idea yang benar-benar baru atau satu gabungan idea yang baru, bukannya berdasarkan syor artikel lain (recommendation for future research), bukannya disandarkan kepada penambahan satu atau lebih pembolehubah baru kepada model asal/terkini, ataupun bukannya penambahan pemboleh ubah pengantara atau penyederhana. Kita juga masih kurang memberikan perhatian dan penghargaan kepada kertas konsep atau pemikiran baru, lihatlah jurnal-jurnal kita, semuanya perlu empirikal. Jurnal kita memerlukan penilai/reviewer yang mampu menilai konsep baru dan pemikiran baru sepertimana di HBR. Dan yang lebih penting, selain asli dan memiliki kebaharuan, ia relevan dengan dunia akademik dan industri!!!
Sejauhmana saya dapat mengaplikasi pengalaman di Wharton ke Malaysia? Amat sukar, atas beberapa sebab yang saya huraikan sebelumnya. Selain itu, kecemerlangan institusi bukan kerja berseorangan tetapi juga kerja berpasukan yang memerlukan perkongsian visi dan misi yang sama, ini perkara pokok. Apatah lagi, pengalaman di Wharton adalah 15-20 tahun terkedepan berbanding situasi di Malaysia, Prof Jusa A pun sukar untuk memahaminya kerana faktor tertentu dan perbezaan zaman. Selain itu, dasar KPT, kepemimpinan universiti, dasar penilaian prestasi pensyarah, dan ekosistem di Malaysia masih tidak banyak membantu. Dalam konteks tesis PhD, pemeriksa dalam atau luar tesis PhD di Malaysia juga memiliki persepsi mereka sendiri tentang tesis PhD. Jika kita menghasilkan sesuatu yang unik dan berbeza dengan pemahaman umum, risikonya amat besar!!!
Dari segi infrastruktur, kita masih banyak ketinggalan. Kita tak boleh lompat katak atau lompat kijang. Dasar lama KPT berkaitan APEX University, nampaknya kurang menjadi. Seperti saya katakan sebelumnya, dasar laluan pantas umumnya tidak berjaya dalam dunia akademik. Tidak ada jalan pintas untuk sesebuah universiti berjaya dan terkenal satu dunia. Harvard University tidak memiliki dana endowmen berbilion dolar kerana strategi dan dasar 10 tahun!!! Jiran terdekat kita, National University of Singapore (NUS) tidak menjadi hebat kerana dasar laluan pantas. Berbalik kepada infrastruktur, sebahagian infra kita, khususnya di Universiti Penyelidikan (UP) sudah ketinggalan. UP tidak boleh bergerak pantas kerana diikat dengan pelbagai dasar dan pekeliling kerajaan. Jika dilihat model perniagaan universiti swasta (US) di Malaysia, sumber pendapatan utama adalah yuran pelajar, yuran pelajar, yuran pelajar!!! Bukannya R&D&C, perundingan dan lain-lain jenis pendapatan. Di UP dan Universiti Awam (UA) pula, yuran pelajar pula disubsidikan sehingga 90%, perlu minta izin kerajaan untuk naikkan yuran (amat sukar dinaikkan kerana faktor politik tetapi kerajaan seharusnya memberi ruang kepada UA menyediakan 4-5 model yuran pengajian untuk para pelajar), maka adalah hampir mustahil untuk UP/UA membina model perniagaan sendiri dan berdaya saing tanpa yuran pengajian yang tinggi seperti US?
Adakah pihak kerajaan sanggup membelanjakan berjuta-juta RM lagi atau memberikan insentif fiskal dan bukan fiskal untuk menambahbaik infrastruktur Top Business School di Malaysia? Ini penting kerana sukar bagi mana-mana Top Business School berdikari dan berdaya saing serta hidup terasing tanpa terikat dengan universiti sebagai ibu atau induknya sepertimana kes di negara maju. Beberapa model perniagaan Business School di Malaysia kelihatan membenarkan perkara ini, iaitu menunjukkan kegagalan dalam berdikari dan berdaya saing. Duit pun tak cukup, bagaimana hendak menambahbaik infra? Saya tidak mahu membincangkan infra dengan terperinci kerana ia mudah dihadam. Dengan melawat, tinggal 1-2 minggu di universiti terbabit, mendengar taklimat dan menyelusuri laman sesawang sesebuah universiti yang hebat, kita tahu kriteria dan standard bagi infra untuk Top Business School.
Dalam aspek ekosistem, banyak lagi perlu dibuat. Top Business School tidak hanya hebat kerana ia sebagai entiti tersendiri. Jaringan aktiviti, dana endowmen, syarahan jemputan, ceramah, jemputan sebagai hakim, pertandingan perniagaan (Business Pitching), penyertaan sebagai Lembaga Pengajian, wakil industri dan lain-lain yang dibina dan diperkasa dengan kerajaan luar, industri, pihak berkuasa tempatan, dewan perniagaan, institusi kewangan, pemodal teroka (Venture Capitalist), pelabur budiman (Business Angels), persatuan industri, jabatan dan agensi kerajaan dan lain-lain pihak. Semua ini tidak dibina dalm 5-10 tahun. Ia juga memerlukan dasar kerajaan yang betul, selain ekosistem di peringkat negara yang lebih kondusif. Top Business School tidak sekadar melahirkan graduan pasca siswazah, tetapi melahirkan sarjana hebat, pemimpin industri, Ketua Setiausaha Kementerian, CEO syarikat, jutawan baru, usahawan sosial yang terkenal, selain ahli politik 'disegani'. Ekosistem berkaitan seperti seed funding, dana modal teroka, pusat keusahawanan, pusat inkubator, program keusahawanan, dan kluster perniagaan, kluster wilayah, agensi wilayah adalah antara aspek penting yang perlu dibangun dan dikembangkan.
Ringkasnya, saya hanya membincangkan tiga komponen utama untuk Top Business School iaitu ahli akademik, infrastruktur dan ekosistem. Banyak lagi boleh ditulis terutamanya aspek intangibles seperti falsafah, tradisi dan budaya yang membezakan Top University/Top Business School dengan universiti biasa ataupun Business School 'biashe-biashe'. Begitu juga dengan aspek kepemimpinan, struktur, governans, strategi, jaringan, penilaian prestasi, dasar pekerjaan dan pelbagai aspek lagi yang membezakan Top Business School dengan Business School 'biashe-biashe'. Top Business School tidak boleh dibina dalam 5-10 tahun, ataupun dengan meletakkan ciri-ciri dan KPI tertentu, ataupun membina kerangka kerja biashe-biashe. Hasil luar biasa memerlukan rancangan, standard, bajet dan pelaksanaan yang luar biasa juga!!!
Saya telah menjadi pensyarah di UKM selama 21 tahun (semenjak 1999). Adakah Malaysia mampu menghasilkan Top Business School suatu hari kelak? Ya, kita boleh dan berkemampuan jika kita bercita-cita ke arah itu, memiliki iltizam merentasi sempadan politik, mempunyai visi dan misi yang jelas dan betul serta membangunkan rancangan strategik yang bagus dengan pelaksanaan yang cekap dan berkesan.
Standard dan kualiti R&D di UKM sebagai contoh, telah jauh berubah berbanding 20 tahun dahulu, juga amat berbeza berbanding 10 tahun dahulu. Tambahan pula, bilangan dan kualiti ahli akademik kita telah meningkat dalam tempoh sedekad ini, kualiti penyelidikan dan penerbitan ahli akademik telah bertambah hebat, bilangan graduan PhD dan kualiti PhD kita juga telah meningkat, ini sebagai contoh. Cumanya, infra dan ekosistem kita masih jauh ketinggalan, skim pekerjaan ahli akademik masih kekal dan tidak ditambahbaik, dan banyak lagi aspek yang perlu kita berlari (bukannya berjalan), untuk menjadi antara terbaik di dunia.
Kita boleh menghasilkan lima buah Top Business School, jika itu yang kita idam-idamkan, tetapi fokus utama adalah aspek manusianya dengan pelaburan yang banyak dalam masa yang panjang. Jika kita menternak ayam, dalam masa 40-50 hari, kita sudah dapat merasai hasilnya. Jika kita menanam pokok, selepas 3-5 tahun, kita akan dapat menikmati buahnya. Akan tetapi jika kita melabur untuk manusia, walaupun banyak, lambat dan lama, beratus tahun kita akan dapat menikmati hasilnya.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment