Friday, 22 April 2022

"NILAI" - SESUATU YANG TETAP DAN SESUATU YANG PERLU BERUBAH

Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera,

Ini tulisan pertama tahun 2021, dah di penghujung tahun (masuk 23 April 2022 baru terbitkan). Saya memang begitu sibuk kebelakangan ini apabila dilantik sebagai Timbalan Dekan (Siswazah) di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM mulai 1 Januari 2021. Kadang-kadang, sampai tak ada masa untuk diri sendiri. Tapi amanah-jawatan ini saya terima bukan sebab saya melobi, sudah ditolak beberapa kali, tetapi akhirnya amanah-jawatan ini 'masih' mahukan saya, saya terima sahaja 'lillahi taala'. Moga ada pertolongan dan bantuan dari Allah SWT. Apabila kita tidak berkehendak dan melobi atau mempromosi diri sendiri untuk sesuatu amanah-jawatan, tetapi Boss kita/orang atas kita/majikan kita nak juga kita untuk jawatan itu, kita terima saja 'lillahi taala'. Saya pun tak risau apa-apa dan tak pening-pening apa bab jawatan ini. Kalau Boss kita/orang atas kita/majikan kita dah tak mahukan kita, dah tak suka kita, dah rasa kita tak berprestasi bagus, dah tak setuju macam-macam dengan cara/keputusan kita, saya bila-bila masa boleh letak jawatan. Apabila diberi amanah-jawatan, kita buat yang terbaik, tetapi kalau orang dah tak mahu kita walau apa sebabnya, bagi saya, kita jangan kecil hati, sedih, dendam, dan lain-lain sifat negatif, terima saja, prasangka baik dengan Allah SWT. Setiap sesuatu ada hikmah dan kebaikan untuk kita.

Saya nak menulis tentang "Nilai" pada hari ini. “Nilai”, kita perlu Nilai yang tetap tetapi kita juga perlu Nilai yang berubah. Sebelum membincangkan apa itu nilai, pandangan umum saya, "Nilai" adalah apa yang kita pandang "bernilai" dalam diri kita dan bagaimana, cara, kaedah, kita melihat, memandang, menilai sesuatu isu/perkara. Saya terbaca dalam FB hari ini, kisah seorang lelaki yang menyimpan banyak wang untuk membolehkan isterinya bersalin di hospital swasta, walaupun suaminya tidaklah berkeupayaan sangat, sanggup Overtime untuk cukupkan simpanan RM10,000 untuk membolehkan isterinya bersalin di Hospital Swasta di wad kelas pertama. habis membaca, saya istighfar sendirian. Memang pengorbanan wanita dalam mengandung dan bersalin tiada nilainya tetapi 'memaksa' suami cari duit agar dapat bersalin di wad kelas pertama di hospital swasta adalah sesuatu yang tak kena pada 'nilainya' apabila si suami bukanlah golongan yang berkemampuan.

Itulah nilai yang berubah dalam kalangan generasi muda hari ini khususnya. Biar papa asalkan bergaya. Tak mahu pakai kereta “second hand”. Sibuk memikir apa orang kata, mempersepsi kat kita. Tukar telefon setahun sekali. Nak minum di Starbucks, nak makan di McD. Orang melancong, kita pun nak melancong, orang melancong guna gaji sendiri, simpanan sendiri, kita melancong guna kad kredit. Orang beli kereta sebab keperluan, kita pun nak beli kereta tapi kita tak mahu beli kereta 'second hand', beli kereta baru, biar bayar rendah, pinjam sampai 9 tahun, sampai masa nak tukar kereta, pinjaman belum habis bayar, tolak kereta lama, ambil kereta baru, kena tambah lagi duit sebab harga kereta kita lebih rendah dari baki pinjaman di bank. Kahwin nak nampak hebat, nak tunjuk kat FB, nak tayang kat kawan-kawan, nak "grand-grand", habis berpuluh ribu, tapi sebahagian besarnya duit pinjaman peribadi, duit kad kredit, ataupun 'pinjam kat mak-ayah'. Allah...tapi itulah antara sebahagian “nilai” generasi muda masa kini.

Memang, hak masing-masing tetapi apabila sampai masanya, apabila kita sudah di alam barzakh, apabila kita di hari Pembalasan, kita akan sedar tentang “Apa itu nilai yang sebenar disisi Allah”.Saya? “Nilai” saya tak banyak berubah dari hidup sebagai anak yatim, datang dari keluarga miskin, masuk universiti pun masih miskin, boleh 'survive' sehingga habis ijazah pertama di universiti sebab 'Anak MARA', dapat kerja dengan usaha sendiri, naik gaji, naik pangkat dalam pekerjaan hasil kerja keras sendiri dan merit, (selain doa ibu dan lain-lain faktor kita tak tahu/nampak). Sekarang, hidup sederhana, tak rasa pun kaya, perabut di rumah pun jarang ditukar. Ada keperluan, beli. tak mahu, kalau boleh diberi percuma, disedekah, bagi. Ada kasut berjenama? Ada juga, nak juga rasa tapi beli ketika diskaun 70-80%. Blazer? Kenalah ada dan tempah sebab tuntutan kerjaya tapi bukanlah penuh dalam almari. Itupun cari tukang jahit di pekan kecil sebab kosnya jauh lebih murang berbanding di tempat saya tinggal.

Sarapan pagi? Sekarang ramai bersarapan pagi pun di McD, tapi bagi saya, di Pasar Basah BBBangi juga 'port' kegemaran. Masuk Starbucks? Sekali ja setakat ini, bila selesai hantar tesis PhD di UK, kawan Pakistan belanja pada tahun 2011. McD? Tak sampai 7 kali seumur hidup. KFC, ada juga, layan juga tapi beberapa bulan sekali sebab saya suka ayam gorengnya dan kentang putarnya tapi kira OKlah, orang zaman sekarang, bukan tiap2 minggu atau tiap2 bulan pun.

Makan di luar? Layan juga dgn anak-anak sebelum Covis-19, saya bukanlah kedekut, tapi di restoran biashe2 ja, asalkan makanannya sedap. Setahun sekali, cari juga Steak tapi tidaklah macam di "Me-nate', harga mampu tengok. Komputer meja di rumah? Beli dua buah, dua-dua ‘second hand’, sebuah Politeknik lelong PC di makmal komputer mereka, jadi saya beli dua buah melalui sepupu saya. Laptop sendiri? Pakai 4-5 tahun juga sehingga kerosakan amat berkos untuk dibaiki.

Kenderaan? Kereta? Proton Wira 22 tahun masih ada dan boleh diguna dan masih diguna. Bonet dia bocor, dok cari alat ganti untuk tukar, baru ja tukar . Toyota Estima saya bawa balik tahun 2010 dari UK masih dipakai sehingga kini, itulah kenderaan keluarga. Sahabat dan rakan dah tukar kereta, saya masih dengan Estima. Takkan tak beli langsung kereta dalam 10 tahun ini? Belilah kereta baru sebuah dalam 10 tahun ni, itupun Axia ja, sebab Wira dan Estima dah tua, banyak juga penyakitnya tapi kos rawatan penyakitnya masih OK secara keseluruhan. Dok teringat nak beli kereta baru sebuah lagi atas tuntutan kerjaya dan keluarga, nantilah dulu, belum Solat Sunat Istikharah lagi.

Mahal mana pun kita makan, yang wajibnya adalah halal, dan sebahagian yang kita makan jadi najis. Hebat mana pun pakaian kita, yang dituntut adalah menutup aurat. Canggih mana pun kereta kita, kalau jem, lambat juga, he3. Banyak mana pun rumah kita, mahal mana katil dan tilam kita, bila mengantuk, sama ja. Jadilah kita manusia yang pandai “menilai” dan “bernilai” di sisi Tuhan.


Di sebalik nilai yang tetap, ada nilai yang perlu berubah. Nilai yang perlu berubah adalah berkaitan cara kita menilai ilmu, kemahiran, kompetensi, kelakuan, prinsip, tabiat serta alam dan kehidupan. Bab ilmu, jangan menilai ilmu kita sentiasa cukup atau dah cukup baik. Tiada nokhtah dalam menuntut ilmu dalam Islam. Tiada sempadan bagi kita dalam mempelajari sesuatu ilmu. Hatta, saya selalu berpesan, ilmu yang dipelajari oleh mahasiswa dan pelajar siswazah akan lapuk suatu hari nanti. Anda tidak boleh bergantung kepada ijazah sarjana muda diperolehi untuk "survive" dalam dunia pekerjaan 30-35 tahun lagi. Anda perlu menambah ilmu sama ada secara formal atau tidak formal. Begitu juga dengan kemahiran. Semasa saya di sekolah menengah sehingga Universiti, kami dah belajar dan menguasai Wordstar, Dbase, dan Amipro sebagai contoh. Tetapi kini, kemahiran saya mengenai perisian tersebut sudah lapuk. Kita perlu terus menguasai kemahiran baru yang bersesuaian, seperti saya di UKM sekarang. Ada sahaja bengkel dan kursus baru mengenai Teknologi Maklumat yang perlu dikuasai. Seperti dalam bidang pemasaran, anda tidak boleh selesa dengan pemasaran konvensional dalam Industri 4.0 ketika pasaran e-dagang dan seumpamanya menjadi semakin dominan. Begitu juga dengan kemahiran kepimpinan, komunikasi, berbahasa dan lain-lain. Kita tidak boleh selesa dengan kemahiran sedia ada. Dalam zaman warga dunia menguasai 3-4 bahasa, adakah kita masih hanya menguasai 1-2 bahasa?

Seterusnya adalah kompetensi. Tingkatkan kompetensi kita dari semasa ke semasa. Semasa saya buat PhD, saya hanya menggunakan SPSS. Bagaimana saya meningkatkan kompetensi saya sebagai penyelidik? Pasca PhD, saya belajar mengenai AMOS, Smart PLS, Multi-Level Modelling, dan Model Rasch. Dengan mengetahui lebih banyak perisian dan teknik dalam penyelidikan, kita mengetahui kekuatan dan kelemahan setiap perisian, bukannya hanya taksub dengan satu perisian. Sebab itu orang mengata pembelajaran menjadikan kita lebih bijaksana, bukan lebih pintar sebenarnya. Hatta, berasal dari kajian kuantitatif, saya meneroka dan belajar mengenai kajian kualitatif semenjak 2015. Alhamdulillah, saya sudah melahirkan PhD dalam kajian kualitatif, sudah menerbitkan banyak artikel kualitatif dan melakukan banyak kajian kualitatif semenjak 2015. Dari Grounded Theory, saya belajar belajar mengenai Case Study. Saya bercadang mendalami kaedah Etnografi dan Experimental jika berkelapangan. Penguasaan saya dalam kedua-dua bidang, kuantitatif dan kualitatif menjadikan saya lebih kompeten sebagai penyelidik. Hatta, pandangan saya berbeza dengan mereka yang hanya menguasai satu bidang yang kadang-kadang taksub dengan bidang mereka. Ingatlah, ketaksuban adalah musuh kebijaksanaan.

Nilai kita mengenai kelakuan juga perlu berubah. Dalam latihan dan pendidikan, Knowledge, Skills dan Attitude (KSA) penting. Tetapi, kita tidak mahu sekadar belajar dan menguasai kemahiran tetapi mengubah sikap kita apabila mempelajari sesuatu ilmu dan kemahiran baru. Dan perubahan sikap antaranya dilihat melalui perubahan kelakuan. Perubahan kelakuan penting dan kelakuan kita yang negatif dan bermasalah perlu berubah ke arah yang lebih positif. Dalam jangka panjang, perubahan kelakuan yang konsisten akan menjadi tabiat kita (habit). Itu adalah titik pangkalnya. Kita mahu berkelakuan secara baik dan ianya kekal menjadi tabiat kita dan amalan hidup kita. Dalam Islam, kelakuan dan tabiat kita telah disusun dalam agama. Mereka yang bangun awal mendirikan Solat Subuh sebagai contoh akan kekal dengan bangun awal pagi yang akhirnya menjadi tabiat yang baik, mod auto, dan menjadi amalan hidup. Banyak amal ibadat dalam Islam hendak menjadikan kita memiliki kelakuan dan tabiat yang baik (sebahagian dari akhlak sebenarnya). Puasa sebagai contoh untuk mendidik nafsu. Moga-moga dengan 29/30 hari berpuasa itu menjadikan kita istiqamah dalam mendidik nafsu sebagai contoh.

Perkara terakhir adalah mengenai alam dan kehidupan (tasawwur). Pandangan kita mengenai alam dan kehidupan perlu kekal, dari segi yang berkaitan dengan aspek agama. Islam memiliki pandangan alam tentang alam dan kehidupan yang jelas. Tetapi sebahagian pandangan alam dan kehidupan kita perlu berubah untuk bergerak seiring dengan zaman dan mendahului zaman. Sebagai contoh, sebelum sambung PhD ke UK pada tahun 2006, saya mempunyai pandangan tersendiri mengenai Orang Putih. Tetapi pandangan ini berubah apabila saya bermastautin tiga tahun lebih di sana. Sebelum saya ke University of Pennsylvania antara 2015-2017, saya memiliki penilaian saya tersendiri mengenai Amerika Syarikat dan penduduknya. Biasalah, banyak pandangan kita dicorakkan oleh media massa, media sosial, bacaan kita dan setakat mana pengalaman kita dengan Orang Putih. Tetapi pandangan saya ini berubah apabila menetap selama dua tahun di AS. Ia tidak menjadikan saya macam Orang Putih tetapi banyak nilai, prinsip, etika kerja, tabiat dan pandangan alam Orang Putih yang tidak bertentangan dengan Islam, dan ini yang saya ambil dan amalkan untuk diri sendiri. Hatta, sebahagian besar amalan Orang Putih, khususnya untuk menjadikan mereka lebih maju dan kompetitif ini tidak bertentangan dengan Islam. Kunci kepada perubahan pandangan alam ini adalah pengalaman. Sebab itu pengalaman tidak dapat dijual-beli. Anda tidak boleh mengikuti kursus untuk belajar mengenai pengalaman. Anda boleh belajar mengenai perkongsian pengalaman orang lain tetapi yang terbaik adalah melalui sendiri pengalaman tersebut. Jadi, jangan rasa membazir untuk memperolehi sesuatu pengalaman baru dalam hidup. Melanconglah, berkelanalah, ambil peluang ke luar negara melalui seminar, persidangan atau kursus, berhijrahlah, dalam mendapat pengalaman-pengalaman baru. Nikmat dalam kehidupan ini dirasai apabila pelbagai pengalaman ditempuhi, dari segi baik dan buruk, senang dan susah, miskin dan kaya, suka dan duka, sedih dan gembira, mewah dan sekadar ada, bukan hanya dari satu bentuk pengalaman sahaja. Antara ikan goreng dan ikan 3-4 rasa, saya yakin sebahagian besar akan memilih ikan 3-4 rasa.

Wassalam.



















No comments:

Post a Comment