Assalamu'alaikum dan Selamat sejahtera semua,
Alhamdulillah, di bawah sekali, artikel saya diterbitkan di akhbar Berita Harian pada 28 Oktober 2020 yang lalu. Cuma kali ini, banyak betul potongan dan suntingan dilakukan, jadi saya sertakan artikel asal saya yang diemel. 😉😉😉
Prof.
Madya Dr. Mohd Hizam Hanafiah
Penyelesaian dalam menangani krisis dicetuskan Covid-19
tidak sama dengan penyelesaian krisis ekonomi 1986, 1997-1998 dan 2007-2008. Setelah
beberapa pakej rangsangan ekonomi diperkenalkan kerajaan, sebahagian
penyelesaiannya berupa insentif jangka pendek dan jangka panjang, masih banyak
boleh dilakukan. Banyak analisis menunjukkan negara perlu bertahan
sekurang-kurangnyanya tiga tahun sebelum ekonomi dunia pulih sepenuhnya. Dalam
konteks keusahawanan, semakin besar masalah yang ada, semakin banyak peluang
yang wujud dan masalah luar biasa memerlukan penyelesaian luar biasa.
Berdasarkan masalah import makanan yang melebihi RM50
bilion setahun dan harga ikan/ makanan laut yang semakin mahal, Malaysia masih
mempunyai banyak sumber yang belum dieksploitasi sepenuhnya. Terdapat lebih 100,000
hektar tanah terbiar dan kerajaan boleh menggabungkan konsep Felda dan Felcra
serta kaedah baru untuk memajukan tanah terbiar ini, seperti diusahakan perbadanan
baru atau orang ramai bagi projek ternakan ikan dan pertanian sebagai contoh.
Malaysia punya kawasan pesisir pantai yang luas yang tidak dioptiomakan untuk
projek ikan/udang dalam sangkar dan dengan keluasan perairan negara, projek
nelayan laut dalam masih tidak dioptimakan. Selagi Malaysia tidak memiliki
dasar menjadi pengeksport makanan, selagi itu kita akan bergantung kepada
makanan import. Dalam konteks keusahawanan hijau, banyak peluang wujud dengan
anggaran hanya sekitar 20 peratus ke 30 peratus bahan buangan dari barang
elektrik/elektronik yang dijual dan diproses menjadi bahan bernilai tinggi
dengan bakinya dibuang begitu sahaja. Begitu juga bahan buangan lain seperti hampas
kelapa sawit yang terbukti boleh ditukarkan menjadi produk bernilai tinggi,
mendapat permintaan tempatan dan pasaran eksport tetapi belum dioptimakan sepenuhnya.
Kuncinya adalah Malaysia perlu menerokai sumber baharu ekonomi yang belum dimajukan
sepenuhnya.
Antara penyelesaian kepada masalah berjuta bakal hilang
pekerjaan atau berkurang pendapatan adalah merekacipta semula dasar berkaitan kerja.
Antara yang dilakukan dan boleh dijalankan adalah mencari jalan mengurangkan
pemberhentian pekerja, membolehkan pekerja awam atau swasta bekerja di luar
masa pejabat, bekerja 3-4 hari seminggu dengan 4-3 hari lain digunakan untuk
mencari pendapatan tambahan, mewujudkan insentif merekrut pekerja tempatan, pekerja
separuh masa atau pelajar kolej/universiti, mewujudkan masa kerja anjal, merangka
dasar cuti tanpa gaji yang lentur memberikan insentif berterusan kepada majikan
yang melaksanakan perkara ini selain mengenakan caj tertentu untuk industri
yang bergantung kepada buruh asing. Tidak mustahil jika ekonomi pasca Covid-19
menyaksikan orang ramai melakukan 2-3 kerja dalam suatu masa sementara menunggu
ekonomi pulih seperti biasa. Pihak kerajaan juga disarankan tidak memperbaharui
visa bagi pekerjaan bergaji RM3000-RM6,000 yang diberikan kepada warga asing agar
berpuluh ribu peluang ini dapat ditawarkan kepada rakyat tempatan.
Antara mereka yang terkebelakang dalam era Industri 4.0
adalah kawasan luar bandar dan golongan B40. Jika pihak kerajaan dapat mewujudkan
infrastruktur internet berkelajuan tinggi di luar bandar dan dalam kalangan
B40, dengan pantas mereka ini boleh diarusperdanakan dalam Industri 4.0.
Menambah nilai ‘top-up’ sebanyak RM30 sebulan bagi golongan miskin adalah
bermasalah kerana tahap pendapatan semasa. Tetapi jika kerajaan mengoptimakan
rangkaian talian tetap telefon di luar bandar dan memberi kotak wifi secara percuma atau kos
rendah atau mewujudkan zon wifi percuma dengan lebih meluas di luar bandar dan
golongan sasar (sebelum ini dekoder TV percuma diberikan kerajaan), berjuta
orang kampung dan golongan B40 boleh turut serta berjual-beli dalam e-dagang,
menawarkan bilik dalam AirBnB, menawarkan produk pelancongan desa, menjadi ‘rider’,
dan aktif dalam pelbagai aplikasi mudah alih. Pertambahan usahawan dan
perniagaan ini akan seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Dalam
masa yang sama, kerajaan disarankan memudahkan undang-undang dan peraturan
berkaitan pendaftaran perniagaan, mengecualikan atau menurunkan bayaran pelbagai
lesen, menganjurkan latihan percuma dan menambah insentif (bukan menambah
peraturan) untuk orang ramai berjual-beli di platform e-dagang.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) disarankan memudahcara warga
tempatan berniaga serta membuka kawasan berniaga/penjaja/gerai yang baharu. PBT
harus bertindak proaktif mengeluarkan lesen berkaitan dengan mendekati dan
mendaftarkan penjaja, bukannya hanya tahu mengenakan denda atau merampas barangan
penjaja. DBKL di bawah seliaan YB Tan Sri Annuar Musa telah memulakan usaha
ini, sudah sampai masanya pihak lain mengikuti contoh ini. PBT dengan kerjasama
persatuan penduduk, masjid dan badan bukan kerajaan dicadangkan membuka dan
menambah pasar malam, pasar tani, pasar sehari, ‘Car Boot Sale’ dan pasar
percuma dengan SOP khusus untuk memudahkan golongan terjejas menjana pendapatan
selain barang keperluan dapat dibeli dengan harga lebih rendah. Dalam pada itu,
hukuman perlu dikuatkuasakan kepada kepada mereka yang mengalibabakan lesen
perniagaan dan mengambil pekerja asing tanpa izin sebagai contoh.
Dalam masa yang sama, bilangan dan nilai pakej pembiayaan
mikro yang ditawarkan oleh pelbagai agensi kerajaan dan institusi kewangan
harus ditambahbaik. Insentif baharu agar institusi mikro kredit seperti sistem
pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) berkembang lebih cepat amat diperlukan, khususnya
di kawasan yang kekurangan akses ini. Perkara teras adalah rakyat mempunyai
kerja atau peluang berniaga serta memiliki pendapatan untuk terus hidup. Pihak
kerajaan disarankan tidak takut untuk memperkenalkan dasar dan tindakan drastik
yang mengutamakan rakyat jelata dan kepentingan negara. Jagalah rakyat, rakyat
akan jaga negara.
No comments:
Post a Comment