Wednesday, 10 May 2017

MELABURLAH UNTUK DIRI SENDIRI



Image may contain: 2 people, people sitting, shoes, tree, outdoor and nature 
Assalamu’alaikum dan selamat sejahtera,

Ketika sedang mendaki ke puncak kerjaya, saya mengambil keputusan untuk menyambung penyelidikan, menimba ilmu, mencari pengalaman baru sebagai Sarjana Pelawat di Snider Entrepreneurial Research Center, The Wharton School, University of Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS). Sebagai tenaga akademik di UKM, sebuah Universiti Penyelidikan, saya kehilangan pelbagai peluang mendapat geran-geran penyelidikan dalam tempoh dua tahun, kehilangan pelajar-pelajar PhD yang berpotensi untuk saya menjadi penyelia atau sebagai salah seorang ahli Jawatankuasa Disertasi, juga kehilangan peluang menulis dan menerbitkan artikel-artikel ilmiah dalam jurnal untuk tempoh tiga ke lima tahun mendatang bersama para pelajar PhD di bawah seliaan saya atau melalui penyelidikan yang bakal dijalankan dengan geran-geran yang diperolehi.

Keputusan saya ke Wharton School menyebabkan saya kehilangan peluang mendapatkan lebih banyak wang melalui pengajaran separuh masa di UKM, aktiviti perundingan, latihan dan pembangunan dan pelbagai lagi. Saya hilang peluang menyimpan lebih banyak duit, juga kehilangan peluang membeli atau melabur dalam perniagaan atau hartanah atau dalam sesuatu pelaburan yang bernilai. Tempoh saya dua tahun di AS mengurangkan peluang saya menyertai persidangan dan seminar, kurang membentangkan kertas kerja, dan boleh menyebabkan jaringan penyelidikan dan akademik saya tidak berkembang. Apatah lagi kekangan kewangan semasa  menyebabkan UKM tidak dapat membiayai saya ke satu persidangan sepanjang di AS sebagaimana dalam perjanjian asal.  Sebagai penjawat awam, saya fahami kekangan ini dan menerimanya (walaupun sedih juga).
 
Dalam masa yang sama, setelah berpenat lelah membina jaringan dan keterlibatan dengan pelbagai penggiat industri semenjak tahun 2000, saya perlu bekerja keras semula membangun dan membina hubungan yang terberhenti sekejap apabila kembali ke Malaysia kelak.  Begitu juga dengan jaringan dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta, saya perlu menggandakan usaha merapatkan kembali hubungan lama agar ianya segar kembali dan membuka peluang-peluang baru yang berpotensi.  Saya sendiri mempunyai ikatan bon perjanjian selama 4 tahun dengan nilai RM500,000. Secara ringkasnya, kedatangan saya ke Wharton School dilihat mengurangkan peluang saya menjadi Profesor Penuh dalam tempoh empat ke enam tahun lagi, juga bermakna saya tidak boleh pencen awal sebagaimana dirancang dan buat apa yang saya suka selepas berusia 55 tahun.

Apatah lagi, saya merindui pelbagai masakan dan makanan Malaysia yang enak dan lazat. Nasi lemak, teh tarik, roti canai, pelbagai nasi goreng, nasi kerabu, nasi tomato, nasi ayam, nasi putih daging merah, nasi kandar Penang (ehmmm), nasi minyak, laksa Penang, char kuew tiow, mee udang Sungai Dua, mee ketam Cheruk Tokun, mee bandung, mee kuah, lauk-pauk seperti rendang daging ataupun ayam, masak lemak cili api, daging cicah air asam (pergghhh!), pelbagai ulam seperti pucuk gajus dan ulam raja, tempoyak, Ikan Bakar Teluk Tempoyak dan pelbagai lagi. Sudah tentu saya merindui ‘Port saya dan isteri’ di Pasar Basah BBBangi, ‘restoran rasmi kami sekeluarga’ di Kompleks PKNS Bangi, dan sudah pasti merindui masakan gulai ikan ‘giling sendiri’ oleh Bonda tercinta.
Saya teringat buah-buahan Malaysia yang lazat seperti buah manggis, durian, rambutan, langsat, dokong, mata kucing, mangga raja dan sebagainya. Saya merindui Cuti-Cuti Malaysia, kami sekeluarga banyak berjalan dan berkelana. Setiap minggu pada hari Rabu atau Khamis, anak-anak akan mula bertanya "Kita nak pi mana minggu ni?". Saya merindui kehidupan saya di negara tercinta, dengan adik-beradik dan saudara-mara, sahabat dan rakan, kejiranan, rakan sekerja di UKM, merindui laungan Azan yang  berkumandang dari surau terdekat dan saling bersahutan khususnya ketika waktu Subuh, teringat cuaca Malaysia, dan tidak ketinggalan, Estima dan Wira yang ditinggalkan.  Saya kehilangan sebahagian besar simpanan saya untuk lima tahun terakhir untuk membolehkan saya sekeluarga memulakan kehidupan baru di AS. Dengan kadar pertukaran matawang yang rendah, Ringgit Malaysia rendah nilainya di AS. Dengan rumah sewa yang kosong, kami perlu membeli pelbagai peralatan dan kelengkapan. Kelihatannya, kualiti hidup saya sekeluarga seperti berkurang apabila balik ke Malaysia kelak akibat perkara-perkara ini.

Namun begitu, sebagai seorang Muslim, saya sentiasa percaya dan yakin dengan ketentuan Allah Taala sebagai ketentuan terbaik untuk saya. Al-Quran menyebut:

“Boleh jadi, kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah yang paling mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: ayat 216).


Ayat di atas paling baik menghuraikan tentang situasi saya sebelum datang ke AS. Jika ditanyakan pada saya pada awalnya, sememangnya saya tidak mahu lagi ‘berhijrah ke luar negara’ selepas menamatkan pengajian PhD di United Kingdom. Cukuplah saya mendapat pengalaman di UK, cukuplah saya dan keluarga berkelana di UK. Saya sedang mendaki ke kemuncak kerjaya, mengapa pula saya perlu ‘berhenti sekejap’ dan ‘buat benda lain’? Apatah lagi, saya sememangnya tidak mahu ke Amerika Syarikat, teringat macam-macam kisah di AS yang selalu kita tontoni di kaca TV. Namun, sebagai seorang Muslim, saya sentiasa berpandu kepada petunjuk dan hidayah Allah  kerana ia adalah garis panduan terbaik dalam membuat sesuatu keputusan. Petunjuk-Nya jelas, iaitu saya perlu usahakan untuk ke luar negara. Makanya, berbulan-bulan masa saya habiskan dalam mendapatkan tempat di universiti di luar negara, mencari 200 Terbaik Times Higher Education atau 100 Terbaik QS World University Ranking By Subject. Sekitar 40 surat rasmi (beserta CV dan Kertas Cadangan Penyelidikan) saya poskan dan beratus mel elektronik saya hantarkan untuk mendapatkan tempat di universiti terbaik di luar negara.

Saya berharap mendapat tempat di United Kingdom kerana berpengalaman hidup di sana, maka saya tidak perlu belajar banyak perkara baru. Saya memang sukakan kehidupan di UK kerana masyarakatnya ‘lebih relaks’, makanan halal mudah, makanan juga tidak mahal, komuniti Muslim mudah dicari, sistem persekolahannya disukai oleh anak-anak saya, teknologinya lebih canggih, sekali sekala boleh bercuti pakej murah di tapak caravan, Car Boot Sale yang ditunggu-tunggu, dan pemandangan di kawasan pergunungan yang cantik dan mententeramkan jiwa. Apatah lagi, saya masih punya lesen memandu UK dan jaringan dengan rakan-rakan di UK, ringkasnya saya tahu bagaimana untuk ‘survive’ di UK. Malangnya dalam 30 universiti terbaik yang saya pinta di UK, tiada respon positif. Satu permohonan dengan sebuah universiti di UK kelihatan ‘hampir berjaya’ sebelum maklumbalasnya terhenti. Saya turut memohon tempat di universiti terbaik di Eropah (yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar) tetapi tiada yang berjaya. Saya memohon sekitar 30 lebih universiti terbaik di AS, anda namakan sahaja, semuanya saya mohon. Tiada maklumbalas positif kecuali ada satu emel dari Wharton School yang memperihalkan proses permohonan sebagai Sarjana Pelawat yang agak panjang dan ‘macam-macam nak kena isi/buat/lalui’.

Pada bulan Jun 2015, saya dan isteri mengerjakan umrah dan saya ‘mendapat alamat’ bahawa kami sebenarnya telah mendapat ‘tempat yang sesuai’. Saya pun belum jelas apa maksud alamat tersebut. Saya turut memohon ke lapan universiti terbaik di Australia dan beberapa universiti terbaik di New Zealand. Dalam pada itu, saya memahami bahawa tiada respon positif itu adalah salah saya sendiri kerana permohonan saya ke AS, UK, Eropah, Australia dan New Zealand itu sebenarnya ‘sudah lambat’, banyak universiti ‘telah tutup pintu’, dengan sebahagian alasan penolakan adalah tiada kepakaran dalam bidang penyelidikan yang akan dikaji dan banyak maklumbalas meminta saya memohon untuk sesi 2016/2017. Pada suatu hari, saya mendapat khabar gembira apabila mendapat tempat di University of Ottago, NZ. Prosesnya memang mengambil masa tetapi seronoknya bukan kepalang kerana hati begitu berbunga dapat pergi ke NZ. Berjam-jam juga saya, isteri dan anak-anak google gambar-gambar di Ottago ketika empat musim yang berbeza….he3. Tak sabar rasanya nak ke NZ. Saya mengidamkan kehidupan yang tenang, mudah, tiada kesibukan bandar, menghabiskan hujung minggu dengan meneroka pergunungan di NZ, berkelah, beriadhah dan memancing dengan keluarga. Namun, agak mendukacitakan apabila saya tersilap dalam memahami peraturan berkaitan universiti terbaik dunia mengikut ranking yang digunapakai dan saya tidak boleh ke Ottago, NZ.

Oleh itu, saya seperti tiada pilihan, ‘seperti diarahkan oleh Allah Taala’, terpaksa meneruskan usaha tergendala sebelum ini (sengaja saya tidak teruskan sebelum itu) untuk datang ke Wharton School, University of Pennsylvania, AS. Walaupun tidak mahu ke AS, (walaupun saya tahu Wharton School adalah antara Sekolah Perniagaan terbaik dunia), ‘saya seperti hanya diberi pilihan ini sahaja oleh Allah Taala’.  Walaupun pada awalnya tidak berminat dan tidak mahu untuk ke AS, saya kesuntukan masa kerana mengikut perancangannya, saya perlu ke luar negara pada sesi 2015/2016.  Saya akui prosesnya agak panjang, antaranya mengapa hendak ke Wharton School/UPenn, apa sasaran saya sepanjang di Wharton School/UPenn, saya ditemubual untuk mengetahui keupayaan berbahasa Inggeris melalui Skype, banyak borang yang perlu diisi dan dihantar, ada tapisan kewangan selain proses mendapatkan visa yang lebih terperinci dan rumit. Proses ini memakan masa dalam 4-5 bulan juga tapi Alhamdulillah, akhirnya saya dan keluarga selamat menjejakkan kaki ke AS pada 25 Oktober 2015. Rupa-rupanya ‘alamat ketika di Madinah’ itu memang dah betul, tetapi seperti saya mengabaikannya kerana tidak mahu ke AS…he3.

Saya mempunyai perancangan saya sendiri berkaitan kerjaya dan kehidupan saya, tetapi saya mengikut petunjuk Allah kerana Allah Taala sebaik-baik perancang dan DIA maha mengetahui atas segala sesuatu.  Alhamdulillah, kami hampir 19 bulan di AS dan saya perlu nyatakan bahawa sememangnya Allah Taala adalah sebaik-baik perancang. Banyak pengalaman, kehidupan, pendedahan, ilmu, dan 1001 perkara yang saya pelajari di AS, berbeza dengan pengalaman di UK dan Malaysia. Kalau hendak diceritakan, boleh karang sebuah buku. Doa-doakan saya mampu menyiapkan sebuah buku bertajuk ‘Nukilan dari Wharton’ kelak sebagai khazanah saya sekeluarga sepanjang di Wharton School, UPenn dan AS. Sememangnya saya kehilangan pelbagai peluang dan merindui pelbagai perkara tentang Malaysia sepertimana yang saya nyatakan dalam lima perenggan terawal, tetapi satu perkara teramat penting yang saya pelajari dalam sinopsis kehidupan ini adalah “Kita perlu berkorban untuk lebih berjaya pada masa depan” dan “Kita perlu melabur untuk diri sendiri”. 

Kita perlu berkorban pelbagai perkara untuk lebih berjaya pada masa depan. Pertamanya berkorban masa, tenaga dan wang ringgit. Saya menghabiskan masa sekitar enam tahun untuk menggenggam ijazah doktor falsafah dalam bidang keusahawanan dari University of Essex, UK dengan 3 tahun 10 bulan di UK dan bakinya di Malaysia. Perjalanan PhD bukanlah satu perjalanan yang mudah bagi saya, rezeki masing-masing. Perjalanan PhD saya memanglah menempuhi begitu banyak masalah dan cabaran, tetapi masalah dan cabaran itu menjadikan saya lebih kuat dan tabah, menjadikan saya lebih kompeten untuk menjadi penyelia kepada bakal-bakal pelajar PhD di bawah saya kelak. Tentang duit? Usah ditanya berapa banyak wang sendiri dihabiskan untuk menggenggam ijazah PhD ini. Apapun, saya bersyukur ke hadrat Allah kerana ramai lagi yang lebih susah dan berkorban wang ringgit dalam mendapatkan ijazah PhD ini.

Kita perlu berkorban ‘urusan keluarga dan sanak-saudara’ untuk lebih berjaya. Semasa di UK, saya kehilangan bapa saudara dan ibu saudara yang rapat dengan saya dari kecil. Hanya air mata yang mengiringi ketika melihat jenazah mereka melalui Google Video ketika itu. Apapun saya bersyukur ke hadrat Allah kerana Bonda saya sempat tinggal bersama kami selama enam bulan di UK dan saya sempat membawanya ke sana-sini. Ketika di AS, isteri saya kehilangan kakak yang paling rapat dengannya, itulah suratan takdir. Sedih melihat isteri saya bersedih. Kita perlu berkorban untuk tidak dapat meraikan Hari Raya bersama, riuk-pikuk dalam menyambut Hari Lebaran, sibuk-bising dan riuh-rendah dalam mengadakan majlis kenduri, makan bersama, gelak-ketawa dan riadhah bersama sanak saudara.

Kita perlu berkorban pelbagai peluang yang tidak dapat diambil kerana mengambil peluang lain, sepertimana diulas dalam perenggan-perenggan awal. Apakah saya rugi, tidak sama sekali. Di atas kehilangan pelbagai peluang pengajaran, penyelidikan, penyeliaan, dan penerbitan, Allah Taala gantikan dengan peluang lain dalam penyelidikan yang lain, peluang penerbitan lain, rakan dan kenalan baru sama ada di AS, Malaysia atau di negara lain. Saya wajib mensyukuri rahmat dan nikmat Allah kerana diberikan peluang belajar dan menjalani kehidupan di tiga buah negara dan tiga benua dari usia muda. Ia satu peluang yang tidak ramai orang memperolehinya dan seperti satu resepi yang saling melengkapi dalam kehidupan saya. Di sebalik tidak dapat menumpukan penyelidikan dalam bidang tertentu jika berada di Malaysia, kehidupan di AS membuka peluang penyelidikan baru rentas disiplin kepada saya. AS adalah seperti sebuah syurga buku, seperti sebuah taman ilmu, terpulang kepada anda untuk memanfaatkannya sebaik mungkin atau membiarkannya berlalu begitu sahaja.

Di atas kehilangan sebahagian wang simpanan untuk memulakan kehidupan di AS dan peluang melabur dalam pelaburan tertentu, Allah Taala berikan rezeki lain juga untuk menambah pendapatan dan peluang baru menambah rezeki dalam pelbagai peluang baru yang dibukanya. Di atas terberhenti sekejap jaringan dengan rakan industri, Allah Taala membuka jaringan-jaringan baru industri dan sektor lain yang amat berguna kepada saya di Malaysia kelak. Dalam pada saya merindui pelbagai masakan, kuih-muih, dan buah-buahan Malaysia, Allah Taala menggantinya dengan mengajar saya bersyukur dengan apa yang ada, cukup dengan apa yang ada (qanaah). (Bukan mudah mendapat qanaah jika saya tinggal di Malaysia). Di sebalik kehilangan masa-masa riadhah dan percutian bersama keluarga di Malaysia, Allah Taala menggantinya dengan lebih banyak masa dihabiskan bersama keluarga dan kami mendapat pengalaman baru dengan menziarahi dan  melancong beberapa tempat yang menarik di beberapa buah negeri berhampiran di AS. Apa lagi saya perlu katakan melainkan Allah Taala adalah sebaik-baik perancang. 

Untuk lebih berjaya pada masa depan, kita perlu melabur untuk diri sendiri. Pertamanya, pengorbanan masa, wang ringgit, keluarga, makan-minum, dan kehilangan pelbagai peluang itulah sebenarnya satu pelaburan untuk diri kita jika kita memahami. Kita wajar menekuni apa yang dikorbankan dan hilang itu sebagai satu pelaburan yang sedang diganti oleh Allah Taala kerana pada hakikatnya kita tidak kehilangannya tetapi diganti dan dikurniakan dengan perkara lain yang lebih baik kepada kita, jika kita yakin dengan perancangan Allah. Ilmu, kemahiran, pendedahan, pengalaman, jaringan, rakan dan sahabat, nilai-nilai dan budaya dan 1001 perkara baru itu amat baik untuk kita kerana ia ada dalam perancangan-Nya. Mungkin kita belum nampak hasilnya sekarang, tapi saya yakin 1001 perkara baru ini baik dan bermanfaat untuk kita kelak kerana ia lahir dan zahir melalui petunjuk-Nya dan perancangan-Nya.

Untuk lebih berjaya pada masa depan, kita perlu melabur diri kita dengan ilmu. Untuk memperbaiki kualiti solat kita sebagai contoh, kita perlu belajar dan beramal dengan pelbagai syarat sah solat, rukun solat, perkara-perkara yang membatalkan solat, bagaimana khusyuk dalam solat, sehinggalah kita dapat bersolat sekhusyuk mungkin dalam menggapai kualiti solat sebagaimana Rasulullah SAW bersolat. Untuk memperbaiki kehidupan kita, kita perlu melabur diri sendiri dengan ilmu. Begitu ramai anak lepasan SPM yang bermasalah yang berjaya menjadi pensyarah, Profesor, jurutera dan profesional lain yang berjaya apabila ‘mereka melaburkan diri mereka dengan ilmu’, iaitu dengan memasuki UiTM (dan IPT lain) dari peringkat sijil/pra diploma sehinggalah ke peringkat tertinggi. Di Fakulti saya di UKM, beribu-ribu graduan telah berjaya dalam kerjaya masing-masing dengan menyambung ijazah sarjanamuda secara separuh masa. Mereka berkorban masa, tenaga, wang ringgit, keluarga, berkuliah di malam-malam hari setelah penat kerja di siang hari, mengorbankan cuti hujung minggu untuk datang ke kuliah, mengorbankan percutian dengan pelbagai tugasan dan persediaan menghadapi peperiksaan, selain meminjam dari institusi kewangan untuk membiayai yuran pengajian.

Ada sahabat saya sedang menyiapkan ijazah sarjananya di atas kesibukannya dan sifat tugasnya yang bekerja tanpa mengira masa, tidak terikat dengan waktu pejabat. Dalam pada beliau diberi cuti sakit yang panjang akibat pembedahan yang dijalaninya, beliau begitu bersemangat membaca, menimba ilmu baru, dan menulis tesis dan buku, hatta beliau bukan guru atau ahli akademik. Ada sahabat saya yang sedang menghabiskan PhD beliau secara separuh masa walaupun kehidupannya memang sibuk. Kerjaya beliau tidak menuntut beliau punya PhD sepertimana ahli akademik tapi beliau bekerja keras dalam mendapat PhDnya. Beliau bangun di tengah-tengah malam menyiapkan tesisnya dan menghabiskan beribu-ribu ringgit untuk mengutip  data sahaja. Ada seorang sahabat saya yang lain telah pun mendapat PhD tetapi terus bekerja keras dan sedang membuat PhD kedua beliau dalam bidang yang lain pula. Begitu banyak contoh manusia melabur diri mereka dengan ilmu untuk terus berjaya, apakah anda merasakan sudah cukup dengan ilmu yang ada?

Mahasiswa masa kini turut menghadapi masalah dalam memperbaiki diri sendiri kerana mereka tidak mahu membuat pelaburan tambahan dalam kehidupan di universiti dengan melabur diri sendiri dengan ilmu. Agak susah mencari pelajar mengikuti ceramah sama ada oleh CEO atau usahawan atau profesional dalam bidang masing-masing di universiti melainkan kedatangan ‘diwajibkan’. Apatah lagi aktiviti berbentuk forum, diskusi ilmiah dan majlis ilmu, lagilah  susah mendapat sambutan pelajar berbanding aktiviti bercorak sukan dan hiburan. Ini sedikit berbeza dengan pengalaman saya di Wharton School dan UPenn di mana pelajarnya proaktif dalam mencari ilmu baru, pendedahan baru, dan pengalaman baru. Mereka aktif bersukan, bersuka-ria seperti orang muda pada masanya dengan aktiviti yang dianjurkan (sepertimana budaya Barat), tetapi mereka serius dan komited dalam pembelajaran.

Begitu juga dengan kehidupan berkerjaya sama ada di sektor awam, swasta ataupun kemasyarakatan.  Ada pekerja yang mengelak untuk mengikuti kursus baru, ramai juga pekerja yang mengeluh jika dihantar berkursus. Ramai juga yang kehairanan mengapa mereka tidak dinaikkan pangkat setelah lama bekerja. Berapa ramai antara kita yang melabur diri sendiri dengan ilmu baru, kemahiran baru, pendedahan baru, pengalaman baru, jaringan baru, nilai-nilai baru, sikap baru, budaya baru, dan teknologi baru? Apakah kita boleh berjaya dengan cara lama, ilmu lama, kemahiran lama, sikap lama, nilai lama, budaya lama dan teknologi lama sedangkan dunia berubah, terus berubah yang menyebabkan persekitaran sentiasa berubah. Bagaimana mungkin kita boleh terus berjaya pada masa depan, bagaimana mungkin kita bisa mengatasi negara maju, bagaimana mungkin kita berupaya menjadi negara Islam contoh jika kita tidak melabur diri kita dan negara kita dengan perkara-perkara yang baru ini?

Ahli akademik sebagai contoh perlu terus menambah ilmu baru melalui pengajaran, penyelidikan, penyeliaan, pemeriksa dalam dan luar, penerbitan, persidangan dan sebagainya. Ilmu pengetahuan berkembang pantas, mana mungkin kita boleh selesa dengan ilmu yang dipelajari dahulu dan mengajar pelajar kita dengan ilmu lama, kaedah lama yang semakin tidak sesuai dengan zaman. Ahli akademik perlu terus belajar teknik dan kaedah penyelidikan yang terbaru, ilmu statistik baru, alat makmal baru, mesin dan teknologi baru dan itulah sebenarnya pelaburan untuk diri sendiri. Seorang usahawan atau CEO tidak mungkin berjaya tanpa ilmu baru dan inovasi baru dalam perniagaannya. Lihat sahaja bagaimana ilmu baru, inovasi dan teknologi baru seperti ICT, applikasi telefon mudah alih dan internet yang memunculkan beribu-ribu syarikat baru. Lihat evolusi, inovasi dan pelaburan dalam industri tenaga, masa depan industri minyak dan gas kemungkinan besarnya tidak akan semakmur dulu lagi.

Hatta di dalam sektor mana kita bekerja atau berniaga, carilah masa dan ruang untuk melabur untuk diri sendiri. Kita sukar berjaya jika masih di takuk lama, ilmu dan kemahiran lama, pada ‘diri kita semuanya lama’, tiada apa yang baru dalam ruang kerjaya sedia ada. Pertamanya adalah betulkan niat, tambahkan ilmu untuk diri sendiri, sambung belajar jika bersesuaian, perbaiki dan tambah kemahiran sedia ada,  luaskan jaringan dengan rakan dan industri, betulkan dan tambah baik sikap kita, cari sebanyak mungkin pendedahan berguna untuk diri sendiri, jangan dihabiskan masa dengan kerja dan urusan yang sia-sia, jangan malu untuk belajar teknologi baru,  buang tabiat-tabiat lama yang merugikan, jangan kekal di takuk lama, ubah nilai dan budaya kita, fokus kepada perkara positif untuk diri sendiri, jangan dilalaikan dengan hiburan dan sendaloka yang mengkhayal dan merugikan, sentiasa muhasabah diri tentang diri sendiri, adakah semakin baik atau sama sahaja, cari jalan untuk memperbaiki diri, dan jangan lupa sentiasa berusaha untuk menambahbaik hubungan kita dengan Allah AWJ. Ingatlah pelaburan anda untuk ilmu baru, kemahiran baru, pendedahan baru, pengalaman baru, jaringan baru, nilai-nilai baru, sikap baru, budaya baru, dan teknologi baru itu tidak akan merugikan anda. Melaburlah untuk diri sendiri, kalau bukan anda siapa lagi?


Sekian, Wassalam.
 

Prof. Madya Dr. Mohd Hizam Hanafiah
Sarjana Pelawat
The Wharton School, University of Pennsylvania USA

Profesor Madya dalam bidang Pengurusan dan Keusahawanan
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
Universiti Kebangsaan Malaysia



8 Mei 2017

artikel asal disiarkan di  http://merdeka-online.com/home/kisah-menarik-di-usa-melaburlah-untuk-diri-sendiri/

No comments:

Post a Comment