Assalamu'alaikum,
Gambar bilik saya di UKM (dah rindu Malaysia)
Selamat menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak 1438H. Ini kali kedua kami berpuasa di AS, dalam tempoh purata sekitar 16 jam 30 minit berbanding puasa di Malaysia sekitar 13 jam 30 minit. Pada hari pertama puasa, terbit fajar adalah jam 4.02 pagi (imsak 10 minit sebelumnya) dan Maghrib jam 8.20 malam. Jangkaan pada 30 Ramadhan, terbit fajar adalah jam 3.55 pagi, Maghrib jam 8.35 pagi. Sebelum ini saya sekeluarga pernah menyambut Ramadhan empat kali di UK iaitu antara tahun 2006-2009. Ketika itu tempoh puasa Ramadhannya masih tidak terlalu panjang sepertimana sekarang. Pada tahun 2006, kami sampai di UK ketika bulan Ramadhan baru berlangsung 3-4 hari. Dengan tempat baru, serba-serbi baru, ia satu pengalaman penting mengajar bagaimana berdikari dan berpuasa di tempat orang.
Sudah tentu pengalaman pertama Ramadhan di UK akan saya ingat selama mungkin. Kami bersahur dan berbuka dengan amat-amat sederhana, cukuplah nasi dan 2 lauk-pauk ringkas untuk menahan lapar dan mengenyangkan perut. Tahun pertama di UK amat mencabar kerana biasiswa kerajaan amatlah kecil. Dengan berbekalkan GBP848 sebulan, sewa rumah GBP500 sebulan, bayar bil air, elektrik, dan internet, insurans kereta, kami hanya boleh dua kali ke Tesco/Wal-Mart untuk membeli barang bagi tempoh sebulan untuk menjimatkan minyak kereta (kerana Tesco/Wal-Mart jual barang termurah), belanja makan-minum kami lima beranak hanya tinggal sebanyak GBP100 sebulan. Gaji di Malaysia pula ketika itu tidak banyak mana (Pak Lah belum naikkan gaji 5-35%), dengan kadar pertukaran GBP1 = RM7, maka, selepas gaji di Malaysia ditolak hutang apa yang patut (tanpa elaun kerana penjawat awam bercuti belajar tidak diberikan elaun di Malaysia), maka bakinya apabila dibawa ke UK memanglah kecil. Malang sekali kerana elaun penginapan dan lain-lain elaun yang diberikan di UK bagi penjawat awam tidak setimpal sama sekali dengan kos sara hidup di UK. Sampai sekarang saya masih berfikir apa pembuat polisi di Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pendidikan Tinggi lakukan dalam mengkaji elaun-elaun calon cuti belajar, khususnya bagi calon berkeluarga. Ketika di UK, saya terfikir apa yang dilakukan oleh Education Malaysia UK dalam memahami keperitan anak Malaysia melanjutkan pengajian pasca siswazah, khususnya bagi calon berkeluarga.
Memang kedapatan kes penjawat awam yang 'tidak tahan kerana hidup serba kekurangan' tidak menamatkan pengajian di Malaysia dan kembali ke Malaysia. Kalau hendak hidup di UK sepertimana di Malaysia, memang tidak boleh sama sekali. Anda perlu hidup seringkas mungkin untuk 'survive'. Malah dalam tahun pertama di UK, kami hanya beberapa kali makan ikan kerana harga ikan lebih mahal berbanding ayam. (Tahun kedua Pak Lah naikkan biasiswa dan kehidupan menjadi sedikit mudah). Untuk anak-anak, saya katakan, jangan minta apa-apa jika ke pasaraya ataupun kedai. Makan saja apa yang ada dan tersedia di rumah. Begitu ramai penjawat awam yang menghabiskan simpanan peribadi, malah ada yang membuat pinjaman peribadi untuk menghabiskan pengajian mereka. Justeru apabila mereka ini 'kurang/tidak menyokong dasar kerajaan' setelah memperolehi ijazah PhD dan kembali berkhidmat di Malaysia, saya boleh memahami pemikiran dan perasaan mereka.
Kerajaan harus berubah, dasar kerajaan harus sentiasa ditambahbaik. Pemikiran pemimpin-pemimpin kerajaan tidak boleh di takuk lama. Apabila semakin ramai anak Malaysia berpendidikan tinggi, mendapat pengalaman hidup di negara maju, lebih celik kemajuan berbanding ahli politik, lebih hebat dari segi ilmu, pemikiran dan pendedahan berbanding Menteri dan ahli politik yang semakin berusia, dengan info dan ilmu berada di hujung jari, maka anak Malaysia ini tidak akan menyokong pemimpin berpemikiran/cara lama. Dunia sudah begitu banyak berubah tetapi malangnya sebahagian pemimpin negara, dalam kalangan pemerintah dan pembangkang masih berpolitik cara lama. Dengan sebahagian pemimpin masa kini masih mengikut gaya dan budaya lama, maka tidak hairanlah sokongan ke atas mereka semakin berkurangan. Zaman orang politik sebagai VVIP sudah lama berlalu. Sekarang era integriti, ketelusan, keterbukaan dan kesederhanaan.
Begitu juga dengan pegawai kerajaan. Jika Menteri tidak proaktif, susah nak lihat KSU dan pegawai Kementerian/Agensi akan proaktif. Dasar dan pendekatan Kementerian/Agensi tidak boleh di tahap lama. Menteri, KSU, TKSU dan pegawai kerajaan perlukan idea-idea baru yang lebih inovatif dan lebih segar. Semasa saya di Malaysia, saya agak kecewa melihat cara pegawai kanan Kementerian tertentu membuat bajet, berbelanja dan memberikan keutamaan dalam projek kerajaan. Kami di UKM yang tak mempunyai banyak duit amat berhati-hati dalam membuat program/aktviti, tetapi apabila melihat Kementerian/Agensi berbelanja secara boros dan mewah, saya geleng kepala. Sedih kerana kami di UKM yang berjimat-cermat dan bertungkus lumus untuk menjayakan hasrat negara tidak banyak duit tetapi Kementerian/Agensi yang banyak duit berbelanja mewah untuk aktiviti bernilai tambah rendah. Cadangan saya mudah. Perlantikan KSU, Ketua Pengarah, TKSU dan pegawai kanan Kementerian/Agensi perlulah dari mereka yang benar-benar layak dan berpengalaman, biarpun dari kementerian lain, biarkan bukan dari kalangan PTD, dan bukannya sebab kekananan. Contohnya perlantikan Dato Seri Dr. Zaini Ujang sebagai KSU KeTTHA adalah contoh terbaik berdasarkan kepakaran dan kehebatan Dato Seri Dr. Zaini Ujang.
Kita perlu menukar nilai, budaya dan cara penganjuran program kerajaan. Contoh termudah, belanja gimik majlis perasmian selama 30/45 saat ke 1-2 minit yang memakan belanja dari berbelas ribu ke berpuluh ribu. Apa manfaatnya gimik ini? Apa kesannya kepada khalayak ataupun dasar kerajaan? Keseronokan sebentar yang menelan belanja besar dan impaknya kepada golongan sasaran adalah sifar. Bagi saya, cukuplah mengetuk 'Gong' atau membaca 'lafaz Bismillah' untuk merasmikan sesuatu. Kalau potong riben pun, akhirnya riben ini akan dibuang juga dan ia satu pembaziran.
Lihat penganjuran aktiviti kerajaan di luar yang memerlukan pokok bunga, karpet merah, kerusi khas, pentas yang baru dibina, khemah-khemah yang didirikan, baju t khas, kemeja khas, kalungan bunga, topi khas dan lain-lain. Ia sudah jadi sebagai sebahagian budaya kita apabila melancarkan/merasmikan sesuatu program. Persoalannya adalah apa manfaat kepada golongan sasaran perbelanjaan-perbelanjaan ini yang menelan belanja ratusan ribu ke jutaan ringgit? Kita berseronok sekejap dengan 'gahnya' majlis pelancaran/perasmian, tetapi hasilnya tidak ke mana. Bagi saya yang penting adalah mesej yang ingin disampaikan, 'isinya', perkara 'substance', bukannya perkara kulit.
Contoh lain adalah Kementerian menganjurkan konsert dan menjemput artis luar yang dibayar mahal, apa kesan dan impaknya kepada golongan belia? Apa manfaatnya dan kesan berpanjangan menghabiskan konsert menelan ratusan ribu atau jutaan ringgit kepada golongan belia? Jawapannya tetap sama iaitu 'keseronokan sementara', manfaat bersifat kulit dan bukan isi. Dengan belanja yang sama, kita berupaya melancarkan program lain yang mampu memberikan impak lebih besar kepada golongan sasaran.
Maaf, saya membebel keluar dari topik Ramadhan. Ada tiga jam lagi nak berbuka puasa. Begitu ramai Muslim yang berpuasa tetapi hanya dapat lapar dan dahaga. Kita perlu berpuasa untuk manfaat zahir dan batin. Zahirnya kita dapat merehatkan anggota-anggota badan yang penat bekerja dalam setahun, membuang toksid dan lain-lain manfaat. Batinnya tidak ramai yang mencapainya. Dalam saya tidak mengenepikan pentingnya Bazar Ramadhan memandangkan suami-isteri bekerja, sebahagian besar umat Islam kini lebih banyak berbelanja ketika Ramadhan berbanding bukan Ramadhan. Lapar 13.5 jam 'dibalas' dengan berbelanja mewah dengan makan di hotel, mengadakan jamuan makan di hotel, membeli kuih-muih dan lauk-pauk yang banyak untuk berbuka, itukah Sunnah RSAW?
Seharusnya Ramadhan menginsafi kita akan golongan fakir miskin, anak yatim yang susah dalam kehidupan, cukup sekadar dapat makan (walaupun tidak kenyang), tidak memilih makanan, tidak mengharap pakaian baru di Aidil Fitri. Seharusnya Ramadhan akan mengingatkan kita akan saudara seMuslim di Syria-Iraq yang kelaparan dan kesusahan, penderitaan mereka di zon-zon konflik di Libya, Kashmir, Selatan Filipina, Somalia dan lain-lain negara, dan mengingati akan jutaan warga Afrika yang kelaparan. Tercapaikah kita?
Seharusnya Ramadhan mengajar kita lebih berjimat-cermat, tidak membazir, tidak mengikut nafsu makan, memanfaatkan masa sebaik-baiknya, banyak bersabar, banyak bersedekah, banyak beramal amal soleh, menambah amalan-amalan baru, melipatgandakan kebaikan dan kebajikan, menundukkan nafsu, menjaga pancaindera, dan menjadi insan lebih baik pasca Ramadhan. Di manakah kita?
Seharusnya pasca Ramadhan melahirkan penjawat awam yang lebih baik, lebih prihatin, lebih empati dan lebih bermanfaat kepada negara. Seharusnya pasca Ramadhan 'melahirkan' kerajaan pusat dan negeri, jabatan dan agensi yang lebih bertanggungjawab, telus, tidak boros, lebih prihatin dengan rakyat miskin, lebih mendengar suara hati rakyat, lebih merasai denyut nadi dan jantung rakyat. Di manakah kita?
Ia sebenarnya boleh dicapai, tidak mustahil untuk dicapai kerana Ramadhan adalah bulan penuh rahmat dan kemuliaan berbanding bulan-bulan lain, bulan yang yang memberikan latihan fizikal dan kerohanian yang berterusan, bulan yang rahmatnya, pengampunannya dan nikmatnya 'dapat dihayati dan dirasai' sehingga ke urat nadi dan menusuk ke dalam hati. Bagi saya sendiri, rahmat, nikmat, peluang dan pengalaman berpuasa Ramadhan kali kedua di AS ini amatlah dihargai dan disyukuri. Di sebalik 1001 ujian di AS, 'Perancangan' yang diaturkan oleh Allah Taala ke atas saya dan keluarga adalah baik belaka. Sama ada Ramadhan dimanfaatkan oleh kita dapat dinilai sendiri tentang diri sendiri pasca Ramadhan. Adakah kita semakin bertaqwa. semakin berubah, semakin baik orangnya? Moga Ramadhan ini menatijahkan sesuatu yang lebih baik kepada diri saya dan keluarga, zahir dan batin.
Wallahu'alam. Wassalam.
No comments:
Post a Comment