Tuesday, 30 May 2017

PERLUKAH MALAYSIA TENAGA NUKLEAR?

 

Assalamu'alaikum, selamat berpuasa dan selamat sejahtera, 

Perlukah Malaysia tenaga nuklear?  Bagi saya tidak perlu. Saya bukan pakar nuklear, juga bukan saintis atau ahli fizik ataupun pakar dalam bidang tenaga, cuma seorang rakyat Malaysia yang prihatin dan sayang akan negaranya. Mengapa tidak perlu? Pertamanya, kita masih punya banyak sumber minyak dan gas untuk menampung keperluan tenaga masa kini dan masa depan. Walaupun Malaysia bukan ahli OPEC, lapangan dan rezab minyak dan gas kita memang banyak dan saya yakin mencukupi untuk tempoh 20-30 tahun lagi (tidak termasuk penemuan rezab baru dalam tempoh mendatang).  Keduanya kita masih  banyak sumber tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy @ RE) yang belum dioptimumkan sepenuhnya. Ini saya bahaskan kemudian dalam artikel ini. 

Ketiganya, teknologi nuklear adalah mahal dan memerlukan kepakaran dan standard yang tinggi dalam mengawal dan menyelenggaranya. Kos membina satu reaktor nuklear amat mahal, dengan kos yang sama, kita boleh melabur dalam RE dan mendapat tenaga dan hasil yang lebih serta risiko yang lebih rendah. Keempat, di sebalik Malaysia memiliki tenaga pakar nuklear di UKM dan universiti lain (contoh: ijazah Sarjanamuda  Sains dengan Kepujian (Sains Nuklear) yang dikeluarkan UKM), agensi nuklear seperti Agensi Nuklear Malaysia (dahulunya MINT dan terletak bersebelahan UKM) dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom, kita memiliki beberapa kes pengawalan dan penyelenggaraan bahan berbahaya yang bermasalah seperti kes di Bukit Merah, Perak, perlombongan bauksit di Pahang dan beberapa kes lain.  

Kelimanya, tenaga nuklear memiliki risiko yang amat tinggi. Dengan Malaysia yang tidak sebesar mana, bencana yang boleh diakibatkan oleh reaktor dan tenaga nuklear adalah terlalu besar. Sebuah reaktor nuklear yang bermasalah (katakan di Perak), sebahagian besar pantai Barat boleh menerima kesannya. Maka kesannya ke atas nyawa manusia, kesihatan manusia, kegiatan perdagangan dan ekonomi, keselamatan negara dan kelangsungan negara amatlah besar. Bacalah kisah di Chernobyl, Ukraine  pada tahun 1986 (dahulunya bawah USSR) dan tragedi tsunami Fukushima, Jepun (11 Mac 2011) dan pelbagai risiko dan masalah reaktor dan tenaga nuklear di AS semenjak 1960-an. Saya difahamkan Tragedi Chernobyl menyebabkan kita tidak mengimport susu tepung dari negara Eropah untuk beberapa tahun kerana bimbangkan kesan radioaktif  dari tragedi ini.   

Keenam, secara peribadi, bukannya tidak yakin, tetapi saya sendiri agak risau dan bimbang dengan standard, sikap dan kelakuan orang Malaysia apabila berhadapan dengan industri berisiko tinggi seperti tenaga nuklear. Dengan memerlukan modal yang amat besar, risiko terlalu besar, tetapi dalam masa yang sama Malaysia mempunyai alternatif lain yang berisiko lebih rendah, dengan menggunakan modal yang sama, dengan kepakaran sedikit berbeza, saya pasti tidak memilih tenaga nuklear. Malah, beberapa negara maju juga dalam proses menutup reaktor nuklear mereka dan menggantikannya dengan RE. Jerman dalam proses menutup semua reaktor nuklear dan menggunakan tenaga boleh diperbaharui (RE) sepenuhnya. Negara-negara Scandinavia menetapkan sasaran bergantung sepenuhnya kepada RE antara 2020-2030. Hatta Jerman membina Pulau Buatan untuk menjana tenaga angin dan tenaga solar yang akan disalurkan ke Jerman dan negara berhampiran. Dengan arah aliran masa kini, perkembangan teknologi, 1001 sebab tenaga nuklear semakin tidak diperlukan, dan pelbagai alternatif terbaik wujud masa kini, mengapa pula kita perlu membina reaktor nuklear untuk menjana tenaga?

China yang terkenal dengan pencemaran udaranya kini antara pengeluar RE terbesar di dunia dan kini berjaya mendapatkan sasaran 15% 'non-fossil fuels in primary energy consumption'. Ladang tenaga solar di China begitu luas, bukan sahaja di darat tetapi terapung di atas laut. Di India, kos penghasilan RE telah jatuh dan rendah daripada menggunakan tenaga berasaskan arang batu dan banyak rancangan loji tenaga berasaskan arang batu telah dibatalkan. Malah AS sebagai negara pengimport terbesar minyak dan gas sendiri bercita-cta menjadi pengeksport tenaga menjelang 2040. Kalau anda belajar ekonomi, kos menhhasilkan RE akan jatuh dan terus jatuh pada masa depan dan menjadikan ia alternatif terbaik kepada tenaga berasaskan nuklear, minyak, gas dan arang batu. Perlukah kita tenaga nuklear di saat teknologi baru kini lebih berisiko rendah, bersih, lebih murah, berdaya maju serta berdaya tahan?

Malaysia masih banyak bergantung kepada tenaga berasaskan gas, minyak dan arang batu.  Kita ada cahaya matahari yang kuat dan terik, dalam tempoh yang konsisten sepanjang hari, serta berterusan sepanjang tahun tetapi tidak mengoptimumkannya. Kita masih belum mengoptimakan tenaga angin dan lain-lain sumber tenaga. Kita perlukan 'miniature scale device' yang boleh menjana tenaga dari kelajuan angin yang boleh dipasang di bumbung-bumbung rumah dan bangunan sepertimana panel solar. Malah konsep panel solar sendiri telah mengalami perubahan di mana syarikat Elon Musk kini mengeluarkan atap rumah yang mempunyai panel solar. Walaupun kosnya masih tinggi masa kini, ia akan menurun dari semasa ke semasa. Malaysia perlu belajar konsep utama perniagaan AirB&B dan Uber, iaitu 'bagaimana memanfaatkan massa dalam menawarkan sesuatu produk/perkhidmatan'. Pengeluaran tenaga perlu 'disumberluarkan' kepada massa di mana rumah-rumah dan bangunan boleh menjana tenaga elektrik sendiri (melalui tenaga solar dan tenaga angin) dan menjualnya kepada TNB. Jika kita boleh menghasilkan 'sebuah tiang dengan kipas yang cukup tinggi' yang mampu menjana tenaga angin yang berkualiti, dengan harga yang murah, dan mudah dipasang, kita mungkin boleh 'memassakan' industri RE kepada pengguna individu.  Jika kita berupaya membina model perniagaan yang mapan, surau, masjid, persatuan penduduk/komuniti dan NGO boleh berperanan dalam menjana dan menjual tenaga kepada negara dan membuka satu industri baru.

Ataupun perlukah kerajaan Malaysia yang telah membeli kereta elektrik dari Elon Musk menjemput beliau membuka kilang pengeluaran atap panel solar ini di Malaysia bagi pasaran Asia dengan menawarkan pelbagai insentif menarik agar atap panel solar ini murah dan mampu milik? Saya difahamkan kerajaan mempunyai rancangan membina Ladang Tenaga Solar, cuma bagi saya kita tidak boleh hanya boleh berharap Ladang Tenaga Solar dengan banyaknya kerana negara kita kecil. Adalah kurang sesuai menebang hutan atau menggunakan kawasan yang luas untuk Ladang Tenaga Solar di saat kita semakin kekurangan tanah dan harga tanah semakin mahal. Begitu juga membina empangan hidroelektrik baru semakin tidak sesuai kerana kehilangan tanah, flora, fauna dan segala hidupan dan spesis di kawasan bakal dibangunkan ini tidak dapat diganti semula. Sepertimana China, Malaysia berupaya membina Ladang Tenaga Solar di kawasan laut atau di atas tasik di empangan-empangan hidroelektrik dan tasik lain yang luas.  Selain tenaga solar, kita boleh membina Ladang Tenaga Angin di kawasan perairan kita (selain di kawasan bukit dan pergunungan yang sesuai). Dengan kawasan perairan yang luas melalui konsep Zon Ekonomi Eksklusif, penurunan kos tenaga berasaskan angin, dan penambahbaikan teknologi berasaskan tenaga angin, ia bakal menjadi satu alternatif terbaik kelak.  

Dengan sebahagian besar tenaga bakal dijana oleh RE, dijana oleh massa, TNB mungkin hanya perlu berperanan untuk keperluan sektor kerajaan dan industri, bukannya pengguna individu. Kajian sedang dilakukan untuk menghasilkan  'miniature scale device' yang boleh mengoptimumkan aliran air dalam saluran paip bekalan air yang boleh menghasilkan tenaga. Kita belum mengoptimumkan sumber tenaga dari ombak laut. Begitu juga kita memerlukan 'miniature scale device' untuk menjana tenaga dari aliran air sungai dan lain-lain untuk kemudahan di kampung dan PKS di luar bandar. Sainstis lebih arif bagaimana menukarkan dan mengoptimumkan tenaga kinetik kepada tenaga elektrik. Dengan geran R&D yang konsisten, dengan keupayaan dan kepakaran saintis Malaysia, dengan beberapa insentif baru komersialisasi, dengan sokongan kerajaan yang berterusan, saya yakin kita mampu menghasilkan 'miniature scale device' yang mampu menjaga tenaga dari angin atau aliran air untuk kegunaan individu/isirumah.

Industri tenaga adalah industri strategik, juga satu industri asas sepertimana industri pertanian, makanan dan perumahan. Kita perlu berubah dan bergerak dengan pantas. Kita tidak boleh leka dengan sumber minyak dan gas yang banyak, sumber tenaga lain yang belum dioptimum (termasuk 'komoditi sampah') serta sumber cahaya matahari yang percuma dan tidak berbuat apa-apa. Pemimpin kerajaan dan ahli politik perlu lebih serius untuk membangun dasar fiskal dan dasar pembangunan yang bersifat 'RE inclusive'. Kita perlu  menjadikan Malaysia 100 peratus menggunakan RE secepat mungkin. Dengan Malaysia 100% RE, negara  akan kurang tergugat dan terpengaruhi dengan turun-naik harga minyak, arang batu dan gas di pasaran dunia, menyumbang kepada kestabilan harga barang, mengurangkan pencemaran udara dan menyumbang ke arah kualiti hidup yang lebih baik.

Petronas dan TNB perlu melakukan transformasi besar-besaran. Hatta Arab Saudi sebagai pengeluar minyak dan gas terbesar dunia mula membangunkan industri RE di negara mereka. Industri minyak dan gas dijangkakan tidak semeriah dahulu lagi, kecuali pihak kerajaan 'berusaha mempertahankannya'. Cukai yang disumbangkan oleh Petronas kepada kerajaan sukar mencari klimaksnya seperti dahulu tetapi kerajaan berupaya mengutip cukai baru dan mencipta peluang pekerjaan baru melalui industri RE 'yang dimassakan'.  Kerajaan tidak perlu bimbang dengan mereka yang bekerja dalam industri minyak dan gas serta nasib Pengeluar Tenaga Bebas (IPP). Pelbagai produk hiliran boleh dihasilkan dari industri minyak dan gas untuk manfaat manusia dan mencipta pelbagai peluang pekerjaan baru. IPP boleh ditawarkan kontrak Ladang Tenaga Angin/Solar asalkan melalui bidaan yang kompetitif, bukannya rundingan terus. 

Industri 4.0 menghasilkan pelbagai peluang baru yang terbuka luas dengan inovasi teknologi, pembangunan produk baru, globalisasi dan integrasi ekonomi dan sosial yang akan menyediakan peluang-peluang baru pekerjaan, khususnya dalam industri berasaskan RE di samping mengurangkan secara berperingkat peluang pekerjaan dalam industri lama dan menghapuskan terus industri tertentu. Ringkasnya kemajuan industri RE telah menjadikan industri tenaga nuklear semakin kurang relevan.  Malaysia tidak sekadar perlu mencapai penggunaan tenaga 100 peratus berasaskan RE tetapi perlu bercita-cita mengeksport RE ke negara lain dan mengembangkan produk dan perniagaan baru berasaskan RE. Kerajaan harus bertindak tepat dan cepat pada masanya akan peluang yang sedang muncul ini. Malaysia memerlukan penjajaran baru (new alignment) dalam industri tenaga dan sistem ekonomi negara.
  

Prof. Madya Dr. Mohd Hizam Hanafiah
Sarjana Pelawat, The Wharton School, Universiti of Pennsylvania, USA
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

29 Mei 2017


*Artikel asal disiarkan di Merdeka Online (http://merdeka-online.com/home/perlukah-malaysia-tenaga-nuklear/)

No comments:

Post a Comment