Sunday, 19 March 2017

RUMITNYA KRISIS DAN PERANG DI SYRIA-IRAQ

Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera,

  1. Krisis di Syria telah memasuki tahun keenam dan krisis di Iraq telah berlanjutan semenjak tahun 2003 (sudah lebih 13 tahun berlalu). Di sebalik pelbagai kisah dan tragedi di Syria-Iraq, untuk memahami keadaan dan situasi sebenar memerlukan kita memperluaskan bacaan dan kajian dari tulisan ahli akademik, wartawan, ahli sejarah, penganalisis, dan media. Jika kita hanya membaca dan merujuk kepada media Barat, maka ada unsur bias dan Barat punya agenda tersendiri untuk ‘mengawal pemikiran’ dan tindakan kita. ‘Mind Control’ nampaknya berjaya dilakukan ke atas rakyat Malaysia dalam memahami krisis Syria-Iraq ini jika kita tidak merujuk pelbagai media yang pro dan kontra,  media bebas dan membuat pelbagai rujukan silang dan tapisan serta melakukan sintesis.
  1. Masih ramai di Malaysia yang kurang memahami betapa rumitsnya krisis Syria-Iraq dan beranggapan ia semata-mata Peperangan Sunnah lawan Syiah. Krisis di Iraq bermula dengan penaklukan Amerika Syarikat pada tahun 2003, diikuti oleh pemberontakan oleh puak Sunnah dan Syiah melawan tentera Amerika Syarikat, serangan oleh militan Fedayeen, penentangan bekas ahli Parti Baath dan kemunculan militan Islam yang mulanya berpusat di Utara Iraq (Ansar al Islam). Krisis di Iraq semakin parah apabila Amerika membubarkan pasukan keselamatan Iraq (Polis dan Tentera) apabila menawan Iraq, membubarkan kerajaan yang ditadbir oleh pegawai-pegawai yang berkhidmat di zaman Saddam Hussein dan kemudiannya mengadakan pilihanraya yang menyaksikan Nouri al-Maliki menjadi Perdana Menteri Iraq. Nouri al-Maliki semasa pemerintahannya bertindak mengukuhkan cengkamannya ke atas pemerintahan Iraq, mendiskriminasi dan melakukan penindasan ke atas puak Sunnah di Iraq, membiarkan militan Syiah berleluasa, kemasukan dan pengembangan Al-Qaeda di Iraq (mulanya bertapak sebagai Jamaah al-Tauhid wal Jihad), serta eksploitasi serangan awam oleh militan Islam yang akhirnya menyaksikan krisis pemberontakan turut menjadi Perang Mazhab antara Sunnah lawan Syiah, militan ISIS lawan Kerajaan Iraq dan pelbagai bentuk tentangan lagi.
  1. Krisis di Syria bermula antara ‘orang awam lawan Kerajaan Bashar’ secara aman melalui demonstrasi meminta keadilan, hak asasi, pembanterasan korupsi dan isu-isu seumpamanya. Demonstrasi ini dirangsang oleh Arab Spring tetapi tuntutan-tuntutan ini telah dilakukan beberapa tahun sebelum Arab Spring. Krisis bertukar arah apabila pelajar-pelajar menconteng di dinding ‘rakyat hendak jatuhkan kerajaan’, refleksi kepada Arab Spring, dan ramai berpandangan bukanlah rakyat hendak menjatuhkan kerajaan Bashar. Kemudin pihak berkuasa menangkap pelajar-pelajar ini dan diseksa sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.
  1. Kemudian timbul siri demonstrasi di pelbagai lokasi di Syria dan teknologi media sosial membolehkan demonstrasi ini dianjurkan dengan lebih terancang. Majoriti rakyat Syria yang mengadakan demonstrasi aman tidak langsung berminat untuk mengadakan pemberontakan bersenjata atau berperang antara satu sama lain. Krisis melalui demontrasi aman ini bertukar menjadi perang apabila berlaku beberapa perkara. Antaranya:
  • Pertamanya adalah dari awal lagi, AS melalui kenyataan Setiausaha Negaranya atau Dutanya di Syria yang menyokong pembangkang Syria untuk menumbangkan Bashar. Ia memerlukan kita merenungi New Middle East Policy oleh AS dan pakatannya (khususnya UK dan Peranchis) iaitu mengetahui agenda Barat di Timur Tengah semenjak Saddam dan Ghadafi berjaya dijatuhkan, maka Bashar adalah sasaran seterusnya.
  • Terdapat bukti kemasukan ‘sniper’ yang membunuh polis/tentera yang berhadapan demonstrasi awam untuk menjadikan polis/tentera marah dan melepaskan geram mereka kepada para pendemo dan bertindak ganas. Dari mana ‘sniper-sniper’ ini? Pelbagai laporan akhbar dan media bebas menunjukkan polis/tentera Syria ditembak oleh ‘sniper’ sewaktu demonstrasi. Persoalannya juga adalah Pemberontak Syria pada peringkat awal tidak mempunyai ‘Sniper’, tidak memiliki banyak senjata tapi kemudiannya dibekalkan diberikan begitu banyak senjata, dari mana senjata-senjata ini?
  • Apabila pemberontakan bersenjata mula terjadi, sebahagian tentera Syria juga keluar dari Tentera dan menyertai pembangkang, membentuk briged-briged kecil, sehinggalah bernaung di bawah Free Syrian Army (FSA). Harus diketahui agenda dan matlamat FSA ‘bukanlah Negara Islam versi ISIS, JFA dan lain-lain kumpulan militan Islam’. Orang Syria berabad lamanya boleh hidup aman damai antara pelbagai agama, malah mereka pernah bersatu untuk melawan Penjajah Peranchis pada awal abad ke-20.
  • Kedapatan bukti Arab Saudi, Qatar dan Kuwait memberi bantuan wang dan senjata kepada pemberontak Syria. Persepakatan ‘Arab Saudi dan rakan-rakan’ membantu pemberontak Syria ‘direstui AS/Barat’.
  • AS pada awalnya juga dikesan memberi bantuan senjata kepada FSA. Dasar ini berubah apabila senjata-senjata yang dibekalkan AS jatuh ke tangan pengganas kerana pemberontak kalah berperang dengan ISIS/JFA dan terdapat juga pemberontak Syria yang bertindak menyertai ISIS, JFA dan lain-lain. Dasar AS kemudian berubah apabila mereka hanya menyerang kumpulan-kumpulan militan ISIS, JFA dan lain-lain atas nama ‘Peperangan Menentang Keganasan’.
  • Turki diketahui memberi keizinan pakatan pemberontak Syria bertapak di negara mereka. Turki turut mengizinkan hospital mereka untuk merawat pemberontak Syria dan militan ISIS/pemberontak boleh masuk keluar sempadan dengan mudah pada peringkat awalnya. Sepertimana Arab Saudi dan Barat, Turki pada awalnya bermatlamat menjatuhkan Bashar.
  • Jordan mengizinkan Barat menggunakan kawasan mereka di Jordan untuk melatih pemberontak Syria selain terlibat dalam serangan ke atas militan ISIS/JFA di Syria. Namun peranan Jordan adalah terhad.
  • Pengkaji dan penganalisis  perlu membaca dan memahami “The Architecture of Insurgency” @ “The Art of Insurgency” sepertimana krisis yang berlaku di Thailand, Venezuela, Libya untuk memahami Krisis Syria-Iraq. Maka kita sedikit-sebanyak boleh memahami bagaimana krisis biasa ‘boleh bertukar atau ditukarkan menjadi’ pemberontakan bersenjata jika pemerintah leka dan alpa.
  1. Apabila perang bermula dan merebak, apa ‘peperangan yg berlaku dalam masa 5 tahun lepas’ di Syria-Iraq, kedua-duanya ada kaitan dan kesan berbalik. Peperangan di Syria adalah ‘Peperangan FSA lawan Kerajaan Bashar’, untuk menumbangkan Bashar. Ini diketahui dan difahami oleh ramai.   Isunya FSA juga didokong Barat. Mengapa Barat sokong FSA? Apakah motif mereka? Berjihadkah jika didokong Barat di belakang dan untuk bantu mencapai agenda Barat juga?
  1. Ia juga ‘Peperangan antara puak nasionalis/sekular lawan puak fundamentalis’ dalam pakatan pemberontak untuk melebarkan pengaruh dan kuasa. Berjihadkah jika merebut kuasa? Berapa briged dan kumpulan dalam pakatan pemberontak, dan apakah ideologi mereka sama? Pasti tidak. Ia satu isu yang kompleks yang menuntut kita membaca sejarah Ikhwanul Muslimin di Syria, perkembangan Salafi di Syria dan kemasukan pelbagai dana dan fahaman Islam ke Syria pasca 2000 apabila Bashar ‘membuka Syria’.
  1. Dalam masa yang sama, ia adalah ‘Peperangan antara Jabhat Fateh Al-Sham (dulunya Jabhat Al Nusra @ JN) lawan ISIS’ untuk melebarkan pengaruh, mendapat wilayah baru dan kuasa. Ideologi JFA dengan ISIS adalah sama iaitu Salafi Jihadi, cuma berbeza pendekatan dalam menawan hati rakyat Syria. JN asalnya adalah cabang Al-Qaeda di Iraq, bernama ‘Islamic State of Iraq’ (ISI) ketika itu. JN diasaskan oleh Abu Muhammad al-Joulani yang dihantar dari Iraq ke Syria oleh Abu Bakar al-Baghdadi untuk melebarkan pengaruh ISI. Bermula sebagai Jabhat al-Nusra (JN), JN berkembang baik tetapi konflik dengan ISIS tercetus apabila Abu Bakar al-Baghdadi menukar ISI kepada ISIS pada 9 April 2013, ‘memaksa JN berada di bawah ISIS’ dan ini tidak dipersetujui oleh JN. JFA dikenalpasti telah mengebom Makam Imam Nawawi sehingga musnah dan rata, sama seperti Salafi Wahhabi di Madinah tahun 1920-an yang meratakan pelbagai makam keluarga Nabi Muhammad SAW di Perkuburan Baqi’. ISIS juga diketahui memusnahkan pelbagai makam para wali Allah dan  kubah masjid (boleh rujuk Dabiq) sebagaimana tindakan Wahhabi pada kurun ke 19 dan 20 di Tanah Arab. Adakah ini jihad yang benar disisi Islam? Benarkah jihad jika menyokong mereka-mereka ini?
  1. Selain itu, Peperangan di Syria-Iraq adalah peperangan antara Jabhat Fateh Al-Sham lawan ISIS  lawan kumpulan militan Islam lain (banyak sangat kumpulan dalam pakatan pembangkang). Masing-masing hendak melebarkan kuasa dan pengaruh. Adakah ini jihad yg benar?
  1. Ia juga peperangan militan Islam lawan Tentera Bashar (Sunnah dan Syiah). Walaupun ada sebahagian tentera Sunnah dalam Syria yang menyertai pasukan pemberontak, masih ramai yang sedang berkhidmat dan bersama rakan Syiah Allawi mereka berkhidmat dengan Kerajaan Syria masa kini melawan pemberontak. Kita perlu faham bahawa bilangan Syiah Allawi di Syria tidak ramai dan sebelum konflik tercetus, majoriti tentera Syria adalah puak Sunnah. Adakah ia semata-mata Sunnah lawan Syiah? Tidak sama sekali.
  1. Di sebahagian kawasan di Iraq, ia merupakan ‘Peperangan antara puak Sunnah yang bergabung dengan Syiah untuk lawan ISIS’. Jadi ia bukan semata-mata ‘Sunni lawan Syiah’. Kita perlu membaca dan memahami krisis di Iraq sejak 2003 sekurang-kurangnya, kebangkitan Anbar dan pelbagai isu yang melingkungi.
  1. Dalam masa yang sama, krisis dan peperangan di Syria-Iraq melibatkan Puak Sunnah, nasionalis dan sosialis Kurdish. Puak Kurdish bukanlah orang Arab, satu-satunya etnik terbesar di dunia yang tidak memiliki negara dan hidup merata-rata di Iran, Iraq, Syria dan Turki. Puak Kurdish diketahui mempunyai ‘masalah’ dengan Turki, ‘bermasalah’ dengan Kerajaan Syiah Iraq, ‘kurang mesra’ dengan Kerajaan Iran tetapi ‘kurang bermasalah’ dengan Kerajaan Basyar/Syria. Puak Kurdish yang memiliki cita-cita menubuhkan negara sendiri, ada ketikanya membantu Kerajaan Syiah Iraq memerangi militan ISIS, bekerjasama dengan AS, ada ketikanya dilihat berperang dengan Syiah dan militan Sunnah lain dan mereka kurang dipercayai Arab, Turki dan Syiah. Prospek perdamaian di Syria-Iraq dilihat sukar jika meminggirkan Puak Kurdish. Dalam masa Kurdish (Peshmerga) memerangi ISIS, mereka juga ‘bekerjasama’ dengan ISIS untuk mendapatkan minyak murah dari ISIS.
  1. Di kawasan lain pula di Syria dan Iraq, ia adalah ‘Peperangan Syiah lawan Sunnah’. Militan Syiah dikenalpasti menzalimi puak Sunnah di Syria dan Iraq. Syiah juga satu fahaman ekstrim dan merbahaya dan terdapat beratus ribu militan Syiah di Iraq dan Syria. Militan ISIS dan JFA bijak menggunakan doktrin takfiri mereka membunuh dan melakukan kekejaman ke atas Puak Syiah yang dianggap kafir serta membunuh juga Puak Sunnah di Syria-Iraq yang tidak sefahaman dengan mereka. Kekejaman ISIS dan JFA dibalas oleh kekejaman juga oleh militan Syiah dan kesannya pengikut ASWJ dan orang awam (Sunnah dan Syiah) yang tidak berdosa menjadi mangsa. Kerajaan Syiah Iran dipercayai membayar sekitar USD100-USD200 kepada militan pertahanan kebangsaan Syria, iaitu puak Syiah di Syria. Mereka juga dipercayai membayar kepada penduduk Syiah di Syria untuk menetap di kawasan yang dikuasai Syiah seperti di sekitar Bandar Nubl dan Al-Zahraa.
  1. Dalam konteks ideologi, Peperangan di Syria-Iraq adalah ‘Peperangan antara Wahhabi (Saudi & Qatar)  lawan Syiah (Iran, Iraq & Hezbollah)’ untuk hegemoni politik di Asia Barat. Kita perlu mengkaji perkembangan Asia Barat semenjak 1979 (Revolusi Islam Iran), bagaimana Arab Saudi mengeksport Wahhabi ke seluruh dunia, untuk mengekang pengaruh Revolusi Syiah dan pelbagai sebab lain. Persamaan dan kaitan antara ideologi Salafi Wahhabi dengan Salafi Jihadi telah dikaji oleh ramai ulamak dan sarjana dan Salafi Wahhabi telah dikenalpasti sebagai punca utama keganasan dunia pada tahun 2013 oleh Kesatuan Eropah. Dalam masa yang sama, bahaya fahaman Syiah juga telah terbukti. Dalam masa Arab Saudi dan Qatar memberikan pelbagai bantuan dana, senjata dan ‘mengizinkan militan masuk ke Syria-Iraq’ pada peringkat awal, Iran telah menghantar Briged Quds mereka, pasukan tentera biasa, militan Zainabiyun, militan Fatimiyun dan pelbagai kumpulan militan lain ke Syria-Iraq untuk berperang. Kajian menunjukkan Iran membiayai sebahagian import senjata ke Syria, dan membayar pampasan kepada keluarga militan yang terbunuh di Syria, sama ada mereka berasal dari Syria atau luar Syria. Hakikatnya pertembungan dua ideologi ekstrim ‘tidak boleh bertikam bayang’ ini sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam sepertimana berlaku dalam tempoh 200 tahun yang lalu di Asia Barat.
  1. Puak Syiah Iran bermatlamat mewujudkan ‘Bulan Sabit Syiah’, dari Yaman di selatan, ke Iran, Iraq, Syria di Utara sehingga Lebanon di Barat. Dalam kajian geopolitik dan geostrategik, agenda Wahhabi bagi Arab Saudi dan agenda Syiah bagi Iran sukar dipisahkan. Dalam pada itu, kita harus memahami terdapat projek laluan gas dari Qatar ke Eropah dan perlu melalui Syria. Eropah memerlukan sumber gas selain Rusia kerana ‘dibuli’ Rusia dalam isu harga dan pembekalan gas. Qatar telah menawarkan alternatif tapi Projek Gas ini perlu melalui Syria. Rusia diketahui telah melobi Syria agar tidak mengizinkan projek gas dari Qatar melalui Syria kerana ia akan menjejaskan eksport gas dari Rusia ke Eropah. Rusia juga diketahui perlu mempertahankan pelabuhan Tartus, satu-satunya pangkalan laut tentera Rusia di luar wilayahnya.
  1. Dalam konteks serantau juga, Peperangan di Syria-Iraq adalah ‘Peperangan antara Israel lawan Iran’. Beberapa laporan akhbar menunjukkan Israel membunuh jeneral Iran di kawasan tertentu di Lebanon yang dikuasai Hezbollah. Israel juga dikenalpasti menyokong militan ISIS dengan membekalkan senjata dan peluru, memberi kemudahan rawatan di hospital mereka dan beberapa aspek lain untuk kepentingan geostrategik mereka. Iran sendiri menghantar ramai jeneral dan komanter tentera mereka ke Syria dan menubuhkan 18 ‘Command Center’ di Syria untuk membantu Syria/Bashar. Bagaimana pula berjihad jika bersekongkol dengan kumpulan yang disokong Israel?
  1. Di peringkat dunia, ‘ia adalah Peperangan’ antara blok AS (UK, Eropah, Saudi, Qatar, Kuwait, Israel dan lan-lain) lawan Blok Rusia (Iran, Iraq, Syria, Hezbollah dan lain-lain). Kemenangan Presiden Trump sebagai Presiden AS menyaksikan dasar AS berubah di mana Rusia ‘dilihat bekerjasama’ dengan Trump untuk membanteras kumpulan militan Islam di Syria. Di mana jihad yang sebenar jika Muslim terlibat dalam peperangan ini, berperang sesama mereka dengan kuasa besar di belakang kedua-dua pihak? Hakikatnya, apa yang rosak, musnah, dan hancur adalah orang Islam dan negara Islam.
  1. Dari segi kekejaman dan keganasan, tentera Bashar memang kejam dan militan Shabiha Kerajaan Bashar amat dikenali dengan kekejaman dan keganasan mereka. Tapi pemberontak seperti ISIS dan JFA juga terkenal dengan kekejaman dan keganasan mereka. ISIS contohnya dikenalpasti melancarkan lebih 50 serangan senjata kimia di Syria-Iraq. ‘Buku lawan Ruas’ tetapi rakyat, orang awam dan mereka yang tidak bersalah yang menjadi mangsa. Jika kita membaca pelbagai sumber berita, kita akan tahu kekejaman kedua-dua musuh utama ini. Ini antara sebab lebih 10 juta rakyat Syria meninggalkan rumah dan daerah mereka serta menjadi pelarian. Kalau tentera Syria dan pasukan pemberontak tidak kejam, rakyat Syria tidak perlu keluar dari wilayah dikuasai pasukan pemberontak/tentera Syria. Analisis wartawan, media bebas, dan laporan PBB yang lebih neutral berbanding media Barat membenarkan perkara ini.
  1. Konflik ini tidak semudah A, B dan C untuk difahami atau tidak semudah mengkaji peperangan antara dua pihak. Kita perlu membaca dan cuba memahami sejarah Asia Barat dalam 200-300 tahun lalu, serta perkembangan politik, geopolitik Asia Barat dalam 30-40 tahun lepas untuk memahami krisis ini dengan lebih baik. Hakikatnya krisis ini adalah krisis kemanusiaan yang begitu teruk selepas kekejaman rejim Pol Pot di Kemboja. Dianggarkan lebih 400,000 orang telah terkorban dan lebih 10 juta rakyat Syria menjadi pelarian.
  1. Adakah jalan penyelesaian terhadap krisis ini? Hakikatnya berperang tidak menyelesaikan masalah. Peperangan tidak boleh menghentikan peperangan. Perang Bosnia berlangsung selama 4 tahun, Perang Chechnya berlaku sekitar 10 tahun dan Perang Lebanon berlangsung selama 15 tahun. Islam bukanlah agama peperangan dan tidak menyokong peperangan tanpa sebab yang jelas, apatah lagi sesama Muslim dan ‘didokong oleh bukan Islam di belakang’. Kita perlu terbuka, berlapang dada, memahami bahawa kunci penyelesaian krisis di Syria – Iraq adalah melalui jalan perdamaian walaupun kita tidak menyukai dan membenci Syiah, Salafi Wahhabi atau mana-mana pihak di sana. Timbanglah betul-betul isu ini, jangan kita tersilap langkah. Selagi kita tidak mencari jalan untuk berdamai, maka umat Islam akan berperang dan merugikan semua. Berapa lama lagi negara-negara Islam yang terlibat di Syria-Iraq hendak berperang dan ‘bersubahat’ dalam peperangan ini untuk mencapai matlamat masing-masing?
  1. Semoga umat Islam di Malaysia semakin faham akan kerumitan krisis dan perang di Syria-Iraq. Orang Islam di Malaysia harus mematuhi keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang melarang umat Islam menyertai ‘jihad di Syria-Iraq’. Krisis ini memperihatkan peri pentingnya Malaysia terus berpegang dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), dan rakyat beragama Islam tidak dipengaruhi oleh fahaman ekstrim seperti Salafi Wahhabi dan Syiah. Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan dan beberapa Pihak Berkuasa Agama Negeri telah berulang kali mengeluarkan kenyataan dan fatwa akan bahaya dan ketidaksesuaian kedua-dua fahaman ekstrim ini. Pihak kerajaan dan institusi agama disarankan meningkatkan usaha pembanterasan kedua fahaman ekstrim ini selain memantau punca-punca kemasukan kedua-dua fahaman ekstrem ini ke dalam negara serta mengambil tindakan sewajarnya. Individu boleh ditangkap, dihukum dan dipulihkan, organisasi boleh dibanteras dan diharamkan tetapi ideologi yang dibiarkan, tidak dipantau dan tidak dibanteras akan terus berkembang dan membenihkan faham-faham ekstrim dalam kalangan pengikutnya. Kesannya tidak dapat dilihat dalam tempoh 5-10 tahun tetapi akan ditanggung oleh generasi mendatang.
  1. Krisis ini turut membuktikan negara Malaysia yang kita cintai ini tidak boleh melibatkan diri dengan bantuan dana, senjata dan ‘militan’ dalam konflik di negara lain, khususnya konflik sesama Muslim kerana ianya bukan menyelesaikan masalah tetapi akan memanjangkan masalah. Ia juga membuktikan kita tidak boleh menjemput dan melibatkan pihak luar untuk menyelesaikan krisis di dalam negara kita kerana ia akan memburukkan lagi keadaan. Malaysia perlu berhati-hati dalam tindakan di peringkat antarabangsa agar tidak terjerat dan terperangkap dengan mana-mana negara dalam ‘permainan geopolitik dan geostrategik’ di peringkat dunia sama ada dalam krisis Syria-Iraq atau krisis di tempat lain. Janganlah kerana isu-isu perdagangan, pelaburan dan bantuan negara-negara lain akan menyebabkan Malaysia ‘dijerat dan diperangkap untuk menyokong mana-mana negara/pihak untuk kepentingan mereka’.   (Sensitif dan tidak boleh dibahaskan dengan lebih lanjut). Kita perlu terus menjadi negara Islam yang sederhana, menyokong keamanan dan perdamaian, neutral dan bebas membuat keputusan berdasarkan matlamat dan kepentingan kita. Kita perlu terus menjadi ‘negara Islam contoh’ kepada dunia yang rakyatnya pelbagai kaum dan agama dapat hidup aman dan tenteram serta penuh toleransi.
  1. Malaysia perlu terus memberi bantuan dan usaha-usaha kemanusiaan, dengan menggunakan platform PBB, OIC dan NAM untuk menghentikan krisis dan peperangan di Syria-Iraq ini. Usaha pihak kerajaan, gabungan parti pemerintah dan parti pembangkang untuk merungkai dan menyelesaikan Krisis Rohingya sedikit-sebanyak mula menampakkan kesan. Kita perlu terus berusaha untuk krisis Syria-Iraq sebagaimana kita mula bertindak dalam krisis Rohingya. Pihak kerajaan jangan berputus asa untuk berusaha. Perkara yang baik tidak perlu difikirkan ganjarannya atau natijah positifnya, yakin sahaja Allah Taala akan membalasnya.  Biarpun usaha kita mengambil masa, asalkan kita memulakannya. “Semangat dan usaha burung kecil hendak memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim AS perlu diambil sebagai pengajaran”.  Itulah sumbangan Malaysia untuk dunia, mewujudkan dunia yang lebih aman, harmoni dan sejahtera.

Prof. Madya Dr. Mohd Hizam Hanafiah
-Sarjana Pelawat, The Wharton School, University of Pennsylvania.
-Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM
-Penulis buku “Bahaya ISIS (Daesh)”
*Segala penulisan adalah pandangan dan analisis peribadi penulis.
6 Februari 2017 (Philadelphia)



Diterbitkan di : http://merdeka-online.com/home/eksklusif-rumitnya-krisis-dan-perang-di-syria-iraq/

No comments:

Post a Comment