Sunday, 19 March 2017

Authors@Wharton – Breakout Authors

What: Authors@Wharton – Breakout Authors
When: 27 Feb 2017
Where: 8th Floor, JMHH
Who: Adam Alter, Kelsey Crowe, Tiffany Dufu, Emily Esfahani Smith, and Scott Sonenshein.

Assalamua'alaikum dan selamat sejahtera,

Alhamdulillah, pada 27 Feb 2017, saya sempat menghadiri majlis pelancaran buku, lima pengarang buku sekaligus. Setiap pengarang diberikan masa dalam 15 minit untuk membicarakan tentang buku mereka. Sebelum masuk ke dewan, saya diberi pililhan memilih sebuah buku sahaja sebagai 'complimentary', dan saya memilih tajuk Stretch tulisan Scott Sonenshein. Adam Alter dan Scott Sonenshein merupakan Profesor di universiti di Amerika Syarikat. Satu perkara yang boleh dicontohi oleh ahli akademik di Malaysia adalah tenaga akademik di AS tidak hanya menulis 'buku teks/akademik'. Buku teks/akademik dikenali dengan bahasa yang ilmiah dan 'mungkin membosankan' untuk dibaca oleh orang ramai. Mereka meluaskan pemikiran dan kajian mereka ke masyarakat awam dengan menulis buku yang sesuai untuk khalayak awam. Pasaran buku di AS juga amat besar dan anda boleh jadi jutawan jika buku anda menjadi 'Bestseller'. 

Alhamdulillah, saya dah beli berpuluh buku Bestseller walaupun telah diterbitkan 3-4 tahun, berbelas atau berpuluh tahun. Bila nak baca? Balik Malaysia nanti, dengan izin Allah. Sepanjang saya membaca buku Bestseller, memang ianya buku yang berbeza dengan buku-buku biasa. Ia membuatkan anda mempelajari satu ilmu yang baru, satu perspektif yang berbeza, mengetahui satu perkara baru, membuatkan anda berfikir mengapa tidak terfikir sebelum ini. Kajian ilmu berdasarkan akal di Barat memang maju. Sebagai orang Islam, tiada salahnya mengambil ilmu dari perspektif Barat asalkan kita tahu di mana letaknya ilmu berasaskan wahyu dan apa kelompangan dalam ilmu Barat, khususnya tiada kaitan dengan Sang Pencipta (Tauhid). Sarjana dan ulamak silam telah menghasilkan beribu-ribu karya yang tidak lapuk dek panas, tidak lekang dek hujan. Salah seorang guru saya pernah bertanya saya mengapa kitab-kitab lama (sepeti tulisan Imam Ghazali dan Sheikh Abdul Qadir al-Jailani) yang tidak jemu dibaca berulang kali? Saya menjawab ini dan itu tetapi tidak betul. Katanya kerana 'dalam kitab tersebut ada keberkatan'. Yang ni susah, nak menulis sebuah buku yang 'memiliki keberkatan'. Tetapi itulah kehebatan ulamak silam. Katanya kitab yang ada keberkatan akan terus dibaca walaupun berusia beratus-ratus tahun. Betul tu. Saya pernah membaca buku Futuhul Ghaib, karya Sheikh Abdul Qadir al-Jailani. Walaupun dah habis baca, bila membaca di lain kali, lain pula pemahaman dan pembukaannya, Masya-Allah.

Ada buku Bestseller yang saya dah baca  dan begitu teruja seperti buku bertajuk  "Drive" oleh Daniel Pink. Ia satu buku yang baik mengenai motivasi, memang berbaloi untuk anda membacanya. Selain itu, saya membeli buku yang dicadangkan oleh 'mereka yang hebat' seperti Steve Jobs, Bill Gates, dan Mark Zuckerberg. Dalam masa yang sama, saya membeli dan membaca buku 'terbaik mengikut bidang' yang mendapat banyak bintang oleh para pembeli di Amazon. Biasanya saya membeli buku yang mendapat 4.5 bintang dan membaca ulasan pembeli yang positif (di Amazon). Sebagai negara maju, AS merupakan 'syurga buku'. Biasanya saya tidak membli buku baru, tetapi buku terpakai yang memiliki status 'like new' atau 'very good' di Amazon. Harganya memang murah, sekitar RM20 (selepas pertukaran matawang), walaupun biasanya saya mendapat harganya antara RM40-50. Inipun dikira berbaloi berbanding harga buku yang sama di Malaysia.

Semasa saya sambung PhD di UK, saya membeli beratus-ratus buku untuk dibawa balik ke Malaysia (melalui Amazon juga) sebab saya bawa balik barang dengan kontena. Kini di AS, walaupun tidak sebanyak di UK kerana tidak bawa balik kontena, saya telah membeli menghampiri 200 buah buku. Membaca menambah ilmu, memperkayakan pengetahuan, meningkatkan kemampuan otak, membolehkan anda meluaskan pandangan (bukan semakin tertutup pandangan). Mereka yang hebat rajin membaca. Pemimpin yang hebat rajin membaca, tidak berharap kepada maklumat orang di sekelilingnya. Bilangan buku yang dibaca rakyat Malaysia masih rendah, apatah lagi buku-buku berkualiti. Jika anda ke negara maju, masa dalam keretapi dihabiskan dengan membaca, bukannya mendengar lagu atau melihat Facebook. Kita perlu terus mencari jalan menggalakkan rakyat Malaysia untuk membaca kerana membaca adalah kunci ilmu. Ia perlu dipupuk dari ibu-bapa dan dari rumah. Jangan mengharapkan anak anda rajin membaca jika ibu-bapa tidak rajin membaca. Jangan rasa rugi berbelanja atas buku-buku. Jika anak anda minta dibelikan buku, itu lebih baik dari berbelanja ke atas permainan atau hiburan. 

Bagi orang Islam, untuk kita kembali maju zahir dan batin adalah dengan berbalik kepada Al-Quran di mana ayat pertama yang diturunkan kepada Junjungan Rasulullah SAW  adalah galakan untuk membaca. Jom Baca!!!

Image may contain: screen and indoor

Image may contain: 1 person, standing and screen
Adam Alter

Image may contain: 1 person, standing and indoor

Image may contain: 1 person, standing

Image may contain: 1 person
Scott Sonenshein

Image may contain: 4 people, people smiling, people standing

Image may contain: 1 person

Image may contain: text
Alhamdulillah, dapat buku ini secra percuma...


No comments:

Post a Comment