Assalamu’alaikum dan selamat sejahtera,
Semenjak negara Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, pelbagai rancangan dan dasar telah dikemukakan dan dilaksanakan pihak kerajaan untuk membangun dan memajukan negara. Tragedi 13 Mei 1969 menjadi peristiwa penting yang mengubah lanskap pembangunan negara apabila perbezaan ekonomi dan taraf hidup antara kaum begitu ketara ketika itu dan seterusnya menyebabkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan dari tahun 1970-1990. DEB mempunyai serampang dua mata, iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Di sebalik pelbagai kritikan terhadap DEB, ia dikira satu dasar yang berjaya mengurangkan kemiskinan dalam kalangan kaum Bumiputera dan seterusnya menyusun semula masyarakat. Walaupun kaum Bumiputera tidak mencapai sasaran 30 peratus penguasaan ekonomi yang disasarkan, sasaran yang dicapai antara 19-20 peratus itu dikira satu pencapaian yang baik dalam tempoh 20 tahun.
Antara program di bawah DEB ialah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). SBP dan MRSM adalah komponen penting untuk melahirkan profesional dan teknokrat Melayu dan Bumiputera. Ini kerana anak Bumiputera yang cemerlang di peringkat sekolah rendah ditapis dan dipilih ke sebuah ‘sekolah elit’, penuh bantuan, berasrama sepenuhnya, diberikan bantuan wang saku, diberikan kemudahan asrama yang baik, makanan yang berkualiti, sekolah dilengkapi dengan kemudahan kelas, makmal, sukan, rekreasi, dan sistem pembelajaran yang tersusun dan baik. Mereka yang terpilih ke SBP/MRSM bertuah kerana yurannya tidak mahal, kemudahannya terbaik berbanding sekolah biasa, gurunya terbaik, dan jadual pembelajarannya tersusun.
Kebarangkalian untuk anak Bumiputera yang dapat masuk ke SBP/MRSM ini untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan adalah tinggi, kebarangkalian untuk memasuki universiti tempatan dan luar negara juga adalah tinggi (banyak peluang dan kemudahan biasiswa untuk golongan Bumiputera melanjutkan pengajian di luar negara dari 1970-an sehingga pertengahan 1990-an), kebarangkalian untuk graduat dan berjaya juga tinggi maka kebarangkalian untuk menjadi golongan profesional dan teknokrat yang berjaya juga adalah tinggi. Kejayaan anak-anak ‘elit’ lulusan SBP/MRSM ini terbukti apabila mereka memasuki dan menjadi eksekutif dan pengurusan pelbagai syarikat di bawah PNB, Khazanah Nasional, pelbagai Government Link Companies (GLC) lain dan pelbagai Multi National Corporation (MNC) selain memasuki dan mengurus pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.
Ketika persaingan memasuki universiti tempatan di Malaysia menjadi semakin sengit, tahap persaingan ini telah dikurangkan apabila kerajaan memperkenalkan dasar liberalisasi pendidikan pada tahun 1990-an yang menyaksikan pertumbuhan kolej dan universiti swasta. Ketika penulis memasuki UUM pada tahun 1992, hanya terdapat tujuh universiti awam di Malaysia (UM, USM, UKM, UPM, UTM, UIA dan UUM). Kini terdapat sekurang-kurangnya 130 buah kolej universiti dan universiti awam dan swasta selain beratus kolej lain. Tahap kemasukan rakyat Malaysia ke peringkat tertiari telah melebihi 40 peratus dan mencapai standard negara maju. Indikator ini menunjukkan peluang kemasukan ke pendidikan tinggi (tertiari) terbuka luas dalam alaf baru ini.
Dalam masa yang sama, tinjauan penulis mendapati terdapat sekurang-kurangnya 69 buah SBP dan 52 buah MRSM di Malaysia ketika ini. Namun, sedikit mencukacitakan apabila bilangan SBP dan MRSM di Sabah dan Sarawak masih kecil sedangkan golongan sasar masih banyak di kedua-dua buah negeri ini. Ketika peluang memasuki universiti dilihat lebih cerah bagi anak Malaysia, peluang memasuki SBP/MRSM tidak secerah itu untuk anak Bumiputera luar bandar dan golongan miskin. Adakah sekolah rendah luar bandar mempunyai prestasi sebaik sekolah rendah dalam bandar? Penulis yakin jawapannya adalah tidak. Kita boleh merujuk kepada data dan statistik serta kajian-kajian yang dilakukan. Sekolah luar bandar masih terdedah dengan pelbagai kelemahan dan kekurangan infrastruktur, bekalan dan sebagainya. Penulis selalu mengikuti perkembangan Prof. Madya Dr. Madeline Berma, rakan pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM yang sering memasuki pelbagai kawasan luar bandar di Sarawak khususnya. Masih banyak yang perlu kita lakukan untuk memajukan luar bandar. Infrastruktur seperti perhubungan jalan raya, bekalan elektrik, air, kemudahan awam, perpustakaan dan internet masih banyak yang perlu ditambahbaik di luar bandar (termasuk sekolahnya) selain membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada para penduduknya.
Kita hanya beratus hari sahaja lagi dalam menemui tahun 2020 dan berharap mencapai status negara maju. Dalam masa yang sama, pihak kerajaan sedang merangka dasar baru iaitu Transformasi Nasional 2050, iaitu mendapatkan input rakyat bagi membina acuan baru negara Malaysia pada tahun 2050. Dalam kesibukan kita memikirkan di mana dan bagaimana Malaysia di tahun 2050, rupa bentuk dan nasib kawasan luar bandar dan penduduknya masa kini jangan dilupakan. Penulis sering memasuki kawasan kampung dan Felda, kelihatannya masih banyak kawasan luar bandar di Malaysia amat ketinggalan. Kita berbangga dengan kemajuan pesat Kuala Lumpur, pemodenan ibu-ibu negeri, sistem perbandaran di Putrajaya, sistem lebuhraya dan jalanraya yang canggih, jalinan LRT, ERL, Komuter dan MRT, pelabuhan yang hebat, lapangan terbang bertaraf antarabangsa, namun siapa yang memikirkan akan kampung-kampung, desa-desa, anak-anak luar bandar, anak petani dan nelayan juga golongan miskin bandar yang masih serba-serbi ketinggalan?
DEB dan dasar selepasnya berjaya mengangkat taraf hidup anak-anak Bumiputera yang ketinggalan dan melahirkan generasi baru profesional dan teknokrat Melayu dan Bumiputera. Namun sejauhmana profesional dan teknokrat Melayu dan Bumiputera ini masih teringat akan nasib-nasib anak di luar bandar dalam memburu peluang untuk anak-anak mereka? Sejauhmana mana mereka berkorban satu peluang ke SBP/MRSM untuk anak mereka yang cemerlang dan ‘memberi peluang itu’ kepada anak-anak golongan susah yang lebih memerlukan? Sejauhmana mereka memikirkan satu peluang kepada seorang anak miskin dari keluarga susah yang berjaya dalam SPM dan pengajian di universiti mampu mengubah nasib satu keluarga miskin? Sejauhmana mereka berkorban satu peluang dan tidak memikirkan kepentingan anak mereka yang lahir dalam keluarga senang berbanding kepentingan anak orang lain yang lahir dalam keluarga susah?
Berbalik kepada kemasukan anak-anak ke SBP dan MRSM. Sejauhmana kuota kemasukan ke sekolah elit ini diberikan kepada anak-anak dari golongan yang lebih memerlukan? Sudah sampai masanya sekurang-kurangnya 85-90 peratus kuota kemasukan ke SBP dan MRSM diberikan kepada mereka dalam kalangan kelas bawahan, dari keluarga susah, anak-anak di luar bandar, anak-anak nelayan dan golongan miskin bandar. Hatta anak-anak golongan kelas menengah pun tidak wajar diberikan peluang ke SBP/MRSM kerana umumnya sekolah di bandar lebih baik infrastruktur dan kemudahannya. Baki 10-15 peratus kuota boleh diberikan kepada anak-anak polis dan tentera. Jasa dan pengorbanan pasukan polis dan tentera dalam menjaga dan memelihara keamanan dan kedaulatan negara tiada taranya. Setelah lebih 40 tahun dasar SBP/MRSM ini dijalankan, sudah sampai masanya ia ditambahbaik selaras dengan perkembangan zaman. Sewajarnya juga dasar ini kembali ke falsafah dan semangat yang asal iaitu membantu golongan sasar yang memerlukan. Profesional dan teknokrat Melayu dan Bumiputera yang berjaya perlu berkorban untuk kaum mereka yang masih ketinggalan dan tidak memikirkan peluang sosial dan ekonomi untuk mereka sahaja atas ‘hak-hak keistimewaan Melayu/Bumiputera’. Begitu juga dengan anak-anak VVIP/VIP yang mampu menghantar anak mereka ke sekolah swasta dan antarabangsa, tidak perlu berebut-rebut peluang ke SBP/MRSM atas status mereka sebagai VVIP/VIP.
Sudah sampai masanya subsidi pendidikan di SBP/MRSM dibelanjakan kepada golongan sasar yang betul. Ini kerana dengan ilmu dan pendidikan kita mampu merubah nasib golongan yang ketinggalan. Ini selari dengan dasar kerajaan sekarang yang membelanjakan subsidi kepada golongan sasar yang betul. Apatah lagi, jika anak-anak golongan kelas menengah dan atasan yang bersekolah di sekolah menengah biasa di perumahan/sekitaran mereka akan dapat membantu sekolah tersebut memperbaiki kemudahan dan prestasinya dengan kekuatan ekonomi serta kualiti jaringan yang dimiliki oleh ibu-bapa mereka. Penulis sama sekali tidak menyatakan “Hak Keistimewaan Orang Melayu/Bumiputera” perlu dibuang, tetapi hak tersebut, dalam kes ini peluang pendidikan di SBP/MRSM sepatutnya digunakan ke atas golongan sasar Melayu/Bumiputera yang memerlukan, bukan ke atas kaum Bumiputera yang telah berjaya. Orang Melayu dan kaum Bumiputera yang semakin senang dan berjaya perlu berani bersaing dan membuang ‘tongkat sakti’ yang membantu mereka berjaya sebelum ini ‘secara berperingkat’. Telah banyak bukti orang Melayu dan kaum Bumiputera mampu berjaya dan bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Biarlah tongkat sakti itu digunakan untuk kaum Bumiputera yang masih banyak ketinggalan, maka semakin cepat golongan ketinggalan dalam kalangan kaum Bumiputera ini akan dapat dimajukan. Satu peluang yang diberikan kepada anak dalam kalangan golongan menengah dan atasan dan anak ini berjaya tidak sama dengan satu peluang yang diberikan kepada anak dalam kalangan golongan miskin dan ketinggalan dan anak ini berjaya.
Sebagal alternatif kepada SBP/MRSM bersubsidi ini, SBP/MRSM tidak/kurang bersubsidi boleh dibangunkan kerajaan dan peluang ditawarkan kepada anak-anak yang cemerlang dalam kalangan golongan menengah dan atasan. Yuran berdasarkan indikator seperti pendapatan keluarga, bilangan anak, dan taraf sosioekonomi contohnya boleh dijalankan. Sudah sampai masanya kaum Bumiputera ‘mengeluarkan belanja’ untuk persekolahan anak-anak mereka tanpa mengharapkan subsidi kerajaan semata-mata. Penulis menyokong cadangan SBP/MRSM ‘swasta’ (dengan pelbagai model yang boleh dibincangkan) jika ibu-bapa golongan Bumiputera dalam kalangan menengah dan atasan mahukan sekolah terbaik untuk anak-anak mereka dan memikirkan model SBP/MRSM ini sebagai model yang berjaya. Dalam masa yang sama, SBP atau MRSM ‘elit’ yang ingin kekal elit untuk golongan tertentu tidak sewajarnya mendapat subsidi kerajaan yang banyak.
Kita perlu mencontohi kaum Cina yang sanggup berkorban wang ringgit untuk kemajuan anak-anak mereka. Biarlah kita bersusah sedikit untuk kejayaan anak kita di ketika kita sudah senang kerana ia baik untuk kita dalam dunia penuh pancaroba ini. Sedikit kesusahan kita berbelanja untuk anak-anak ini, katakan nilainya beratus-ratus ringgit sebulan untuk seorang anak tidak sama nilainya dengan sedikit kesusahan golongan miskin mengeluarkan belanja hatta sebanyak lima puluh ringgit sebulan untuk seorang anak mereka. Apatah lagi berbelanja untuk ilmu dan pendidikan anak-anak adalah satu pelaburan yang begitu bernilai. Pemikiran dan budaya mementingkan diri sendiri perlu dibuang dan digantikan dengan pemikiran dan budaya memikirkan kepentingan golongan lain yang lebih memerlukan. Sampai bila golongan Bumiputera berjaya hendak merebut peluang yang seharusnya diberikan kepada golongan lebih memerlukan? Terlalu pentingkah anak-anak kita berbanding anak-anak orang lain yang lebih memerlukan? Kalaupun kita tidak dapat berkorban wang ringgit dan tenaga untuk kejayaan orang lain, sekurang-kurangnya kita boleh berkorban untuk tidak mengambil peluang yang sewajarnya diambil oleh golongan sasar yang lebih memerlukan. Wassalam.
(Prof. Madya Dr. Mohd Hizam Hanafiah, Sarjana Pelawat, The Wharton School, University of Pennsylvania, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Mantan pelajar MRSM Balik Pulau (1985-1989)
Diterbitkan di Merdeka Online: http://merdeka-online.com/home/mrsmsbp-swasta-berilah-peluang-itu-kepada-mereka-yang-lebih-memerlukan/
No comments:
Post a Comment