Alhamdulillah, pada 10 Mac 2016 yang lalu, saya berkesempatan melawat Krishna P. Singh Center For Nanotechnology, UPenn sempena Hari Terbuka Pusat tersebut. Lama saya tidak menulis di blog kerana diserang Viral selama 10 hari. Seperti biasa, saya perlu mendaftar dalam talian, dan majlis bermula dari jam 630 petang - 930 malam. Jadinya, saya lewat sedikit bertolak dari rumah, ke bilik di Snider@Wharton, bersolat Maghrib terlebih dahulu sebelum berjalan kaki menuju ke Singh Center for Nanotechnology yang beralamat di 3205 Walnut St, Philadelphia, PA 19104. Seperti biasa majlis di AS, ada sedikit jamuan ringan sebelum majlis bermula. Hadirin saya anggarkan sekitar 80-90 orang yng kebanyakannya terdiri daripada usahawan dan pihak berkepentingan industri/teknologi di Philadelphia.
Saya mengambil barisan agak depan dan dibekalkan dengan fail program. Majlis bermula dengan ucapan ringkas Pengarah Sains, Singh Center For Nanotechnology, UPenn. Tujuan Hari Terbuka ini adalah untuk mendedahkan kemudahan dan teknologi yang ada di Singh Center For Nanotechnology, UPenn dan menawarkan kepada masyarakat industri dan usahawan dengan beberapa pakej bayaran. Paten yang direka bentuk di sini juga boleh didaftarkan dengan IPO Amerika Syarikat dengan syarat-syarat yang luwes. Ringkasnya, kemudahan yang ditawarkan adalah canggih jadinya masyarakat usahawan/PKS boleh mengoptimakan kemudahan di sini untuk menghasilkan produk berasaskan teknologi nano. Jangan tanya saya tentang teknologi nano, pengetahuan saya adalah terbatas. Kali terakhir saya mempelajari fizik adalah pada tahun 1989, dalam Peperiksaan SPM...he3...
Saya teruja untuk datang bukannya nak mempelajari tentang teknlogi nano, tetapi mempelajari bagaimana UPenn dan masyarakat industri menggunakan teknologi dalam menghasilkan produk komersil yang berpotensi tinggi. Banyak produk sekarang dihasilkan berasaskan teknologi nano. Di Malaysia, memanglah kemudahan di Universiti kita tidak secanggih di AS, dan potensi komersialisasi bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) masih rendah. Namun, saya kira Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam 10 tahun lepas melalui pelbagai Geran Penyelidikan telah bekerja keras dalam perkara ini. Data dan statistik menunjukkan jumlah penerbitan jurnal penyelidik Malaysia di jurnal-jurnal berwasit Malaysia meningkat dengan begitu ketara dalam 5 tahun yang lepas, berbanding negara lain. Beberapa Profesor di Malaysia, khususnya di Universiti Penyelidikan (UM, USM, UKM, UPM dan UTM) diiktiraf antara sarjana terbaik dalam bidang masing di seluruh dunia. Ini pengiktirafan dunia, bukan "masuk bakul angkat sendiri". Satu sikap orang Malaysia yang 'agak teruk' adalah memperlecehkan pencapaian anak Malaysia di persada antarabangsa. Kalau ada pencapaian baik, bukan dipuji dan dikongsi, tetapi dicari kelemahannya. Kita perlu mengubah sikap ini. Sepanjang lima bulan saya di Wharton, bukan semua graduan MBA Wharton membuka perniagaan sendiri dan berjaya menjadi usahawan berjaya. Tetapi Wharton amat menghargai graduan yang berjaya, di mana mereka yang berjaya itulah namanya dijaja disana-sini dan dikongsi dalam pelbagai aktiviti pemasaran/risalah/laman sesawang. Itu sikap orang negara maju, berbangga dengan pencapaian anak didik mereka walaupun kecil.
Kita Malaysia masih baru dalam bidang R&D. Dari segi agensi, kita ada antaranya MARDI, FRIM, Institut Penyelidikan Perubatan, Institut Penyelidikan Veterinar, dan Institut Penyelidikan Getah. Di bawah Universiti Awam, terdapat berpuluh (mungkin beratus) Institut Penyelidikan yang digerakkan oleh para sarjana. Dari segi dasar, dulunya ada Skim IRPA (Intensification Research On Priority Area) di bawah MOSTE, rasanya bermula tahun 1988. Kini, KPT, MOSTI dan beberapa Kementerian lain mempunyai beberapa geran penyelidikan, geran R&D dan komersialisasi. Peratusan geran penyelidikan yang mencapai status komersilisasi memang belum tinggi, tapi saya yakin kita berada di landasan yang betul. Ramai orang kurang faham bahawa usaha membina masyarakat saintifik sebagaimana digariskan dalam Wawasan 2020 bukanlah mengambil masa yang pendek. Di negara Barat, kegiatan R&D bermula khususnya selepas zaman Pencahayaan (Renaissance), dah berapa ratus tahun itu? Jepun memulakan pembaharuan dan mengembangkan R&D dari zaman Maharaja Meiji. Kita masih negara yang muda dalam zaman moden ini, walaupun kita punya tamadun silam yang lebih tua dari negara Barat.
Sepanjang 19 tahun di UKM, saya melihat perubahan dan pembaharuan dari semasa ke semasa. Sekitar 15-19 tahun dahulu, dengan bilangan jurnal berwasit 6-8 artikel beserta kriteria lain sudah boleh memohon Profesor Madya, era kini mendambakan kuantiti dan kualiti artikel yang lebih baik. Kalau kuantiti dan kualiti penerbitan saya masa kini diukur dengan era 15-19 tahun dahulu, saya sudah boleh bergelar 'Profesor Penuh' tapi apabila diukur dengan standard masa kini, masih belum layak...he3...Ringkasnya standard di UKM sentiasa dipertingkatkan, UKM tidak statik dalam menetapkan standard semasa. Dahulu, tiada budaya penyelidikan di Pusat Pengajian saya. Kini, kami para tenaga akademik 'tidak boleh hidup' jika tiada geran penyelidikan. Penulisan artikel jurnal, penerbitan bahan ilmiah, sumbangan kepada masyarakat mengikut bidang kepakaran, menjadi "Relevant, Referred and Respected" adalah satu tuntutan kepada ahli akademik masa kini. Tenaga akademik masa kini tidak hanya boleh hebat di dalam universiti, atau dalam komuniti akademik tetapi mesti hebat juga di mata industri dan masyarakat.
Berbalik kepada Singh Center For Nanotechnology, selain membuka kemudahan kepada masyarakat industri untuk menggunakannya, Pusat ini juga menganjurkan Pertandingan Inovasi/Idea kepada masyarakat. Ini saya akan letakkan dalam artikel seterusnya. Ini juga sebenarnya salah satu kaedah mengkomersilkan hasil R&D di Amerika Syarikat. Hadiah Geran boleh digunakan dalam menambahbaik projek R&D dan sebagai salah satu milestone dalam mencari pembiaya dalam kalangan Pemodal Teroka (Venture Capitalist) dan Pelabur Budiman (Business Angels). Hadirin jemputan dipecahkan kepada tiga kumpulan dan dibawa melawat kemudahan yang disediakan oleh pegawai Pusat terbabit. Majlis berakhir dengan jamuan. Dalam jam 1000 malam baru saya sampai ke rumah. Moga-moga ada kebaikan dan manfaat artikel ini untuk Malaysia.
Ucapan Pengarah
Kemudahan teknologi berasaskan cahaya ?
Nak masuk makmal kena pakai baju ni dulu
Kemudahan mesin yang disediakan
Jangan tanya saya mesin apa...he3...
Ini salah satu model kejayaan universiti di Barat. Para jutawan, usahawan, dan mereka yang berjaya akan memulangkan semula hasil kejayaan mereka kepada universiti melalui tajaan seperti makmal ini.
Pegawai yang mengiringi kami dan memberikan taklimat tentang kemudahan di sini
Saya yakin UKM sedang bergerak ke arah mencari dana seperti ini. Kita belum mempunyai budaya philantropist seperti di AS.
Antara kekuatan universiti di AS dan pembudayaan keusahawanan di universiti di AS adalah pembangunan ekosistem keusahawanan. Saya masih memerhati, membaca dan belajar mengenai pembangunan ekosistem keusahawanan di UPenn dan AS.
Selepas sesi lawatan, kami sekali lagi dihidangkan dengan pelbagai juadah. Ini merupakan budaya di UPenn dan waktu makan-minum ini sebenarnya merupakan waktu bersosial, membina jaringan dan bertukar-tukar idea. Ehmmm, ada juga Satay Malaysia di UPenn (walaupun saya tak makan kerana tidak diketahui halal atau tidak). Seperti biasa, saya hanya minum sahaja sebab tiada salad dan buah disediakan.
Jika saya hendak senaraikan kekuatan dan keupayaan rakyat Malaysia, kita telah membina pelbagai kejayaan sama ada kecil ataupun besar. Orang politik harus merubah cara mereka berpolitik, jangan sampai merosakkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan memusnahkan keharmonian negara. Berpolitik ada batasan dan sempadannya.
Dalam sebuah Pusat Penyelidikan seperti ini, ramai penderma/penaja terlbat memberikan bantuan dana dari sekecil-kecil bahagian kepada jutaan ringgit.
Penyumbang Dana untuk Singh Center For Nanotechnology
Penyumbang Dana untuk Singh Center For Nanotechnology
Alhamdulillah, banyak saya pelajari dari sesi dan lawatan ringkas ke Singh Center For Nanotechnology, UPenn. Apa yang saya pelajari bukan untuk diri saya, tetapi untuk negara tercinta. Saya memerlukan paradigma baru dalam memahami sains dan teknologi. Memang boleh membaca untuk meningkatkan pengetahuan saya mengenai R&D&C, tetapi tidak sama dengan melihat dengan mata sendiri. Wassalam.
No comments:
Post a Comment