Authors@Wharton Speaker Series
Roberto Canessa, “I Had to Survive: How a Plane Crash in the Andes Inspired My Calling to Save Lives”
4:45 PM – 5:45 PM; Location : Ambhani Hall
Registration required: https://wharton.qualtrics.com/ jfe/form/SV_0oWmPsz52IZSM05
Assalamu'alaikum dan selamat berehat,
Pada 2 Mac 2016, dari jam 445-545 petang, kali pertama dalam sejarah kehidupan, saya menghadiri majlis pelancaran buku, tetapi di luar negara iaitu di Ambhani Hall, Wharton School. Ini adalah salah satu budaya di negara maju, belum menjadi amalan di Malaysia (kalau belum jadi amalan maka jauh lagi nak jadi budaya). Seperti maklumat di atas, saya perlu mendaftar terlebih dahulu. Alhamdulillah, saya datang awal, jadi dapat buku percuma. Kalau nak beli pun USD$26, boleh tahan harganya kalau tukar ke matawang Malaysia. Malaysia masih ketinggalan bab budaya membaca, khususnya membaca bahan ilmiah, karya-karya hebat, terbitan berkualiti. Kalau kita menaiki komuter/LRT/Star, budaya membaca masih kurang, ramai menghabiskan masa dengan melayari telefon pintar masing-masing, mendengar muzik dll. Ini berbeza kalau anda menaiki pengangkutan awam di negara maju, malah di Rusia sekalipun, budaya membaca itu dipraktiskan di merata tempat. Di Amerika Syarikat, dengan penduduknya melebihi 315 juta, penulis bog boleh cari makan, tak perlu kerja di luar, hanya menulis depan komputer, mengapa boleh hidup? Antaranya kerana rakyat AS banyak membaca... Tulis blog tak boleh mendapat sambutan kalau tidak ramai orang membaca...
Sedangkan masyarakat berilmu adalah syarat utama membina negara bertamadun (bukan sekadar maju seperti tafsiran Barat). Dan prasyarat membentuk masyarakat berilmu adalah masyarakat membaca. Berapa jumlah penerbitan buku ilmiah setahun (per kapita), bilangan kedai buku, bahan bacaan berguna, majalah profesional, berpaa buku terjual setahun, dan sebagainya, kita, Malaysia masih jauh di belakang. Dalam seminggu, berapa banyak masa anda untuk membca, berapa banyak masa anda habiskan untuk hiburan? Yang mana lebih tinggi? Mengapa? Satu insentif fiskal adalah tolakan cukai untuk buku-buku yang dibeli dalam pengiraan cukai pendapatan peribadi selain Bantuan Baucer Buku 1Malaysia. Saya orang 'positif', mana yang baik saya sokong. Saya kira dua insentif ini adalah baik, cuma belum mencukupi. Kita memerlukan usaha berterusan untuk memperbanyak khazanah buku tempatan, memudahkan akses orang rami dengan bahan bacaan bermutu, merendahkan kos terbitan buku-buku tempatan, mendidik generasi muda, dari zaman kanak-kanak agar suka membaca, menjadikan budaya membaca di rumah seterusnya memperkukukan budaya membaca.
Berapa ramai rakyat Malaysia yang memiliki Perpustakaan Mini di rumah? Tentunya sedikit bilangannya. Kita kecilkan sedikit, berapa ramai yang memiliki Sudut Bacaan di rumah masing-masing? Masih rendah peratusannya... Berapa ramai rakyat Malaysia membaca surat khabar, majalah bukan hibuan, bacaan-bacaan ilmiah dan berkualiti, bukan sekadar bacaan gossip? Apakah buku terakhir yang anda baca? Bila? Berapa ramai yang memiliki langganan Astro? Tentu ramai kalau mengikut bilangan pelanggan Astro. Berapa ramai yang menonton Rancangan Hiburan seperti Maharaja Lawak, dll rancangan? Pasti ramai, dan majoritinya adalah masyarakat Melayu Muslim. Berapa ramai yang sanggup bangun berpagi untuk menonton EPL? Ramai. Masyarakat kita bukan tidak berduit untuk membeli bahan bacaan berkualiti kerana ramai yang sanggup melayani Astro, tetapi memberi penekanan dan didikan yang salah kepada anak-anak di mana keutamaan diberikan kepada hiburan manakala 'pendidikan' di 'swastakan' kepada pihak sekolah.
Jangan mengharap untuk membina peradaban tinggi kalau masyarakat dibudayai dengan budaya hiburan. Bagaimana kita boleh memperkasakan budaya membaca dalam masyarakat? Pertamanya, bagi saya, pemimpin perlu menunjukkan contoh teladan. Pemimpin politik khususnya, walau sesibuk mana, perlu mencari masa untuk mentelaah, membaca buku-buku yang penting. Dengan membaca, ia membuka minda, menjana dan mendapat idea baru, melihat penyelesaian baru, melihat dunia baru, menanggapi isu lama menurut perspektif baru. Saya faham pemimpin politik sibuk, tetapi sesibuk mana mesti dicari masa untuk mentelaah karya-karya agung, karya-karya baru, karya-karya hebat. Pemimpin tidak boleh mengharapkan pegawai-pegawai untuk membaca, mereka perlu menunjukkan contoh dan 'mengarahkan' pegawai mereka untuk menjadikan membaca sebagai satu budaya. Ibu dan bapa sebagai 'pemimpin di rumah' perlu menunjukkan contoh. Cari masa untuk membaca, tunjukkan contoh budaya membaca kepada anak-anak, beli bahan bacaan berkualiti kepada anak-anak, berbicara bab buku anak-anak dengan mereka semasa minum petang dan sebagainya, dan juga sediakan peruntukan khusus kepada anak-anak setiap kali melawat Pameran Buku/kedai buku. Di peringkat awal, biarkan anak-anak memilih dalam membeli bahan bacaan mereka sendiri, walaupun mungkin pilihan mereka itu tidak seperti yang anda harapkan. Saya sendiri bagi syarat kepada anak-anak, nak beli buku baru, buku lama mesti dah habis baca. Jangan rasa rugi apabila membeli bahan bacaan, buku, majalah berkualiti.
Keduanya, pihak sekolah perlu memperbanyak bahan bacaan di Perpustakaan dan juga di dalam bilik darjah. Mudahkan pelajar membaca, meminjam bahah bacaan. Budaya amanah perlu dipupuk dari kecil, seperti memulangkan akhbar yang dibaca ke tempatnya. Saya kira mungkin agak drastik, apa salahnya menyediakan akhbar di kantin, di ruang santai sekolah, di dalam surau di sekolah. PIBG boleh mengusahakan ibu-bapa memberi buku-buku yang sudah tidak dibaca di rumah kepada pihak sekolah. Perpustakaan juga sudah berevolusi pada masa kini. Dahulunya perpustakaan adalah 'tempat sunyi untuk mentelaah', kini perpusakaan dibiarkan 'bising sedikit untuk berbincang', sementara mereka yang nak tempat sunyi disediakan bilik khusus. Susun atur, dekorasi, ergonomik dalam Perpustakaan sudah berubah dan pihak Sekolah diharap bergerak dalam arah aliran yang sama.
Ketiganya, Perpustakaan Daerah dan Perpustakaan bergerak juga perlu ditambahbaik. Lokasi Perpustakaan Daerah/Awam perlu strategik, bukan terasing. Kenapa tiada Perpustakaan di Kompleks beli-belah? Bunyinya agak pelik, tetapi mengapa tidak? Kita memerlukan anjakan perubahan pemikiran yang baru. Mengapa tidak Kompleks Membeli Belah, Mydin, Tesco, Giant dll, berdasarkan lokasi mereka memperuntukkan Perpustakaan untuk masyarakat, kalau tidakpun sebuah Perpustakaan Mini di dalamnya? Itu juga tanggungjawab sosial korporat yang baik selain menjana keuntungan. Saya faham, Perpustakaan Awam tidak punya banyak duit untuk menyewa/membeli lot di kompleks beli-belah, tetapi ini boleh dilakukan jika Kompleks Membeli Belah memberi sewa yang rendah atau percuma sebagai salah satu tanggungjawab sosial mereka. Kerajaan Negeri yang menguasai sebahagian Kompleks Beli-Belah boleh memulakan usaha ini kerana Kompleks Membeli Belah merupakan antara tumpuan masyarakat masa kini.
Masjid baru yang hendak dibina harus diperuntukkan ruang khusus untuk Perpustakaan Kariah. Masjid lama boleh dicari untuk dibina Sudut Bacaan di dalamnya/sekitarnya. Saya kira ini lebih baik berbanding mencari satu tapak baru untuk dibina perpustakaan baru yang memakan masa yang panjang dan kos yang tinggi. Tadbir urus Perpustakaan di bawah Perbadanan Perpustakaan Awam negara harus berubah, tidak boleh mengikut model lama. Membina sebuah bangunan baru, di lokasi baru, mewujudkan pelbagai jawatan dalam mengurus perpustakaan baru ini saya kira semakin kurang sesuai dengan keadaan masa kini. Berbalik pada cadangan saya tadi, membuka Perpustakaan Awam dalam sebuah Kompleks Membeli Belah. Perpustakaan ini diberikan dikenakan sewa yang murah (Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat terbabit), atau lotnya dibeli dengan harga yang rendah, waktu operasinya sama/tidak banyak berbeza dengan waktu operasi Kompleks Membeli-Belah, dekorasi, ergonomik, susun atur dalamnya berbeza dengan perpustakaan konvesional, di mana Perpustakaan Baru ini lebih 'santai', diuruskan oleh staf tetap dengan bilangan yang minimum di mana sebahgian besar operasi dikendalikan oleh sukarelawan. Konsep perpustakaan baru ini perlu disepadukan dengan perkhidmatan lain seperti ruang membaca akhbar secara percuma, kemudahan wifi percuma, meminjam buku elektronik secara percuma, dan ??? boleh difikirkan lagi. Ini lebih baik dan sesuai dengan gaya hidup masa kini dan kos operasi Perpustakaan ini lebih rendah berbanding konsep kerajaan. Pokok kepada idea saya adalah tidak semestinya Kompleks Membeli Belah, tetapi tempat/lokasi tumpuan masyarakat.
Saya selalu mengikuti perkembangan Kota Buku melalui coretan Sdr Hasri Hasan (rakan lama yang dikenali semasa beliau di Prentice Hall Malaysia) di Facebook beliau. Dalam catatan-catatan beliau, pelbagai kaedah wujud dalam konsep Perpustakaan Bergerak di plbagai negara. Selain inisiatif kerajaan, pihak swasta dan NGO harus membantu dalam usaha menggerakkan Perpustakaan Bergerak ini, khususnya ke kampung dan desa di mana kemudahan bahan bacaan, akses kepada bahan bacaan masih rendah. Pihak korporat boleh menyumbang dana dan NGO boleh menyediakan sukarelawan sebagai contoh.
Berbalik kepada peranan dan tanggungjawab kerajaan. Sekurangya ada dua dari segi dasar iaitu baucer buku dan tolakan cukai individu. Apa lagi yang boleh dibuat? Saya melihat insentif fiskal perlu diteruskan kepada industri buku nasional. Apa lagi insentif dari segi dana yang boleh ditawarkan kerajaan untuk merancakkan industri ini? Bagaimana pengelakan cukai, pengecualian cukai baru boleh diperkenalkan untuk merangsang industri buku nasional? Apa rangsangan baru untuk menerbitkan buku dalam Bahasa Melayu sama ada buku teks atau buku ilmiah? Saya kira tiada ransangan yang berkesan untuk penulis buku Bahasa Melayu. Saya menulis sudah berbelas buku, kami menulis bukan kerana royalti yang memang sedikit tetapi untuk menyebarkan ilmu dalam Bahasa Melayu. Kalau diikutkan masa yang dihabiskan untuk menghasilkan sebuah buku memang tidak sepadan dengan royalti yang diterima. Pasaran Malaysia kecil, tidak seperti pasaran buku di AS yang memang besar. Di AS, sebuah buku anda yang jadi bestseller, anda sudah bergelar jutawan. Kalau saya memikirkan bab duit, sudah lama saya berhenti menghasilkan buku teks untuk kegunaan pelajar, memang tidak berbaloi. Syarikat Penerbit buku lebih banyak dapat duit berbanding kami. Mungkin perlunya dana insentif untuk setiap buku yang dihasilkan oleh Penerbit terpilih. Dana ini datangnya terus daripada kerajaan seperti untuk satu buku ilmiah baru oleh Penerbit terpilih, maka penulis buku menerima RM5,000. Dana ini boleh disalurkan kepada Majlis Penerbit Buku-Buku Ilmiah Malaysa pada peringkat awal sebelum disalurkan kepada Penerbit Ilmiah terbabit dan disalurkan kepada penulis terbabit. Saya bukan mata duitan, tetapi dari kerajaan berbelanja untuk perkara hiburan, lebih baik berbelanja kepada perkara ilmu. Jumlah RM5,000 untuk sebuah buku ilmiah, kalau didarab dengan semua penerbitan buku ilmiah setahun, 'tidak berkudis' pun bajet kerajaan.
Kita memerlukan insentif dana terjemahan yang lebih banyak. Tidak semua orang mampu membeli buku asal dalam bahasa Inggeris sebagai contoh. Tidak semua orang menguasai bahasa asing dengan baik. Saya lihat di Jepun dan China, banyak betul buku yang diterjemahkan keada bahasa kebangsaan mereka. Jika ada dana yang banyak dengan jumlah yang berbaloi, maka saya kira ramai pakar bahasa kita yang akan menterjemah karya asing, khususnya khususnya karya-karya hebat ke Bahasa Melayu. Dalam era globalisasi, tidak rugi membaca karya asing yang juga baik dan bermanfaat. Saya sendiri, tidak arif dalam Bahasa Arab, masih belajar Bahasa Arab, saya menantikan ribuan karya khazanah Islam dalam Bahasa Arab untuk diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Rasa tidak sabar untuk membaca khazanah ulamak silam yang hebat dari Tamadun silam di Timur Tengah dan Andalusia. Sewaktu kemuncak tamadun berada di Baghdad dan Andalusia, ribuan khazanak ualamak Islam dipelajari dan diterjemahkan ke bahasa lainnnya. Kini, kita pul perlu bergantung kepada Barat yang menjuarai tamadun masa kini. Sememangnya, industri kita kecil, jika diskalakan kepada bilangan pembaca dan pembeli, memang 'kurang ekonomik' untuk menterjemahkan karya-kaya hebat ke dalam Bahasa Melayu. Di sinilah pentingnya dana dan insentif dari kerajaan. Walaupun negara kita kecil, yang akan menjadikan negara kita maju bukan infrastruktur, teknologi atau hasil alamnya tetapi manusiawinya. Pelaburan ke atas industri buku adalah pelaburan ke atas modal insan, aset terpenting mana-mana negara untuk kekal berdaya saing dan membina peradaban tinggi.
Selain itu, industri buku terpakai di Malaysia masih kecil dan berkembang perlahan. Di beberapa bandaraya besar, memang ada kedai buku terpakai, tetapi di bandar-bandar biasa, masih susah dicari kedai buku terpakai. Di Amerika Syarikat, industri buku terpakai memang besar melalui Amazon.com sebagai contoh. Dalam masa yang sama syarikat lain yang fokus kepada industri ini seperti http://www.abebooks.com/ (diberitahu oleh rakan saya Sdr Yusri Jamaluddin). Buku terpakai juga dijual di Car Boot Sale dan diberi percuma di Free Market di Malaysia, jarang jumpa buku terpakai di pasar malam, pasar tani, pasar sehari ataupun Uptown market. Semasa saya sambung PhD di U.K., beratus-ratus buku saya beli melalui Car Boot Sale di sana. Harganya memang murah dan kualiti bahannya masih baik. Jualan buku terpakai di universiti di Malaysia pun masih tidak teratur. Pelajar universiti pula kurang berminat membeli buku teks/ilmiah. Nasib baik ada baucer buku, terjual juga buku-buku ilmiah kepada pelajar. Nak salahkan pelajar pun tidak boleh. Semasa zaman saya belajar ijazah sarjanamuda (1992-1996), buku teks keluaran Penerbit Antarabangsa (seperti McGraw Hill, Prentice Hall) berharga antara RM30-RM40 sebuah. Kini sebuah buku teks keluaran Penerbit Antarabangsa berharga melebihi RM70/80. Kalau lima kursus pelajar kena ambil, untuk buku saja sudah RM350-RM400 untuk satu semester, sama/lebih dari belanja makan pelajar sebulan. Kalau pergi ke Kinokuniya, MPH mahupun Popular, bukan senang nak mendapatkan sebuah buku baru luar negera di bawah RM40.
Maka, dari sudut dasar juga, kerajaan harus memikirkan menghapuskan apa saja cukai berkaitan buku. Cukai-cukai berkaitan percetakan, pemprosesan, pengedaran buku dalam negara (rantaian bekalan/nilai industri buku), cukai berkaitan pengimportan buku luar negara, harus ditiadakan, tidakpun dikurangkan. Setahu saya buku tidak dikenakan GST, maka sewajarnya juga penerbit buku dan kedai buku tidak dikenakan GST walau apa saja jumlah pendapatan tahunannya kerana kerajaan masih boleh mengenakan cukai melalui cukai korporat/syarikat. Lebih balik lagi kalau kerajaan mengenakan cukai korporat/syarikat yang lebih rendah kepada kedai buku/penerbit buku kerana industri ini memberi natijah yang begitu penting kepada negara dalam jangka panjang. Kita harus 'keluar' dari kepompong apa-apa nak dicukaikan, apa-apa nak lihat KPI nyata, sedangkan tidak semua perkara boleh diukur dengan kaedah kuantitatif. Perkara lain adalah bagaimana menarik, memberi galakan kepada penerbit antabangsa untuk membuka ibu pejabat serantau di Malaysia, berbanding Singapura ataupun Thailand (banyak penerbit buku memiliki ibu pejabat serantau di Singapura). Bagaimana membolehkan buku antarabangsa dicetak di Malaysia agar harganya lebih rendah di pasaran tempatan. Bagaimana mengurangkan kos percetakan, kos kertas, kos terbitan buku agar masyarakat boleh mendapat akses kepada buku dengan harga yang rendah?
Satu perkembangan terkini dalam industri buku adalah perkembangan buku elektronik. Di UKM, mahasiswa masih mahukan buku konvensional berbanding buku elektronik. Kos Perpustakaan mendapatkan buku elektronik dan meminjamkan buku elektronik kepada pelajar lebih murah berbanding buku konvensional. Pertamanya, kita perlu menyediakan infrastruktur IT yang sesuai untuk memacu pertumbuhan buku elektronik. Keduanya, pelajar perlu mendapat akses kepada tablet/komputer yang lebih murah untuk meminjam buku elektronik. Saya sendiri kurang berminat membaca buku elektronik tetapi 'ikut zaman' jugalah beli Kindle dari Amazon(USD$50 sahaja). Anda boleh memuatkan beribu buah buku dalam Kindle yang dijual Amazon. Akhirnya buku konvensional juga yang saya beli dan baca....he3. Melihat kepada tren orang muda sekarang, Generasi Y dan Z, saya kira, buku elektronik adalah pilihan yang sesuai kepada mereka kerana akses dan 'minat' mereka dengan gajet elektronik. Daripada mereka 'melalut', membaca entah apa-apa di media sosial, gajet, elok kita sediakan alernatif kepada mereka.
Dalam persekitaran semasa, DBP, Perustakaan Negara, ITNM, Kota Buku, Perbadanan Perpustakaan Awam, Universiti, Penerbit Buku, dan lain-lain pihak telah banyak memainkan peranan dan memberi sumbangan terhadap industri buku dan membangun budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Saya tahu dan yakin banyak yang telah dilakukan tetapi kita seharusnya melipatgandakan 'kerja baik ini'. Banyak lagi boleh dilakukan untuk memperkasa industri ini. Jika kerajaan boleh memberi macam-macam galakan untuk menarik pelabur asing melabur di Malaysia, menyediakan bajet yang besar untuk Program Pelaburan Langsung Asing (FDI) melalui Matrade, MIDA dan lain-lain agensi, maka tiada ruginya menyediakan bajet yang lebih besar berbanding tahun sebelumnya untuk industri buku ini. Jika kerajaan berbelanja besar untuk menarik pelancong asing ke Malaysia, berbelanjalah lebih daripada biasa untuk industri yang penting ini. Industri ini tidak boleh diukur melalui 'KPI Industri lain' (seperti jumlah pendapatan tahunan, sumbangan terhadap KDNK, bilangan pekerjaan diwujudkan, dll), tetapi manfaatnya kepada kelangsungan dan keberjayaan negara pada masa hadapan amatlah besar.
Dalam sibuk kita membaca, sebagai Muslim, jangan lupa membaca, memahami, menghayati, mengamalkan buku yang wajib kita baca setiap hari iaitu Al-Quran. Inilah 'kitab teragung' yang tiada tandingannya dengan berjuta-juta buku di pasaran. Inilah mukjizat terbesar Nabi yang kita kasihi, Nabi Muhammad SAW, yang tidak akan lapuk, yang mana khazanah ilmu di dalamnya tidak akan habis digali sehingga hari kiamat. Wassalam.

Full of great ideas. Syabas Doc! :D
ReplyDelete