Thursday, 15 December 2016

Tim Urban - Wait But Why (Super Intelligence)

Authors@Wharton Speaker Series  (2016)
WHO: Tim Urban Wait But Why “Super Intellligence

WHEN:   October 10, 2016.
WHERE: 4:45 PM – 5:45 PM; Location : Ambhani Hall.


Assalamu'alaikum dan selamat berblog,

Pada 10 Oktober 2016, saya sempat menghadiri sesi Authors@Wharton dan jemputan kali ini adalah Tim Urban, seorang blogger dan penulis yang terkenal di USA. Jadinya, kedatangan memang penuuh Dewan Ambhani di JMHH ini. Dalam sejam sesi beliau, banyak perkara yang diperkatakan, khususnya mengenai Super Intelligence. Saya fikir Tim Urban memang banyak membaca, dan beliau berkongsi apa yang dibacanya itu di dalam blognya. Kepopularan blog beliau dan penulisannya menjadikan beliau salah seorang selebriti dan penceramah terkenal di USA.

Beliau bercerita mengenai Exponential Growth, unexpected future, virtual reality, genetic engineering, nano technology, going multi-planetary, semuanya berkaitan teknologi. 

Kemudia beliau menyambung tentang Artificial Intelligence iaitu bagaimana perisian dibangunkan untuk membut keputusan-keputusan pintar atau membuat jangkaan yang tepat mengenai sebahagian masalah.  Terdapat tiga kategori Artificial yang dikemukakan iaitu Artificial Narrow Intelligence (ANI) yang akan membawa kepada Artificial General Intelligence (AGI) yang akan memandu kepada Artificial Super Intelligence (ASI).

Jadinya The Road To Super Intelligence --> ANI --> AGI --> ASI.

Apa produk hasil ANI? Ia adalah kereta, telefon, internet, permainan berkomputer, 'expert systems', 'flight ticket price', kewangan dan sistem-sistem yang dibangunkan oleh Amazon.

Untuk perkakasan menyamai otak komputer, komputer perlu melakukan 10 quidrillion per saat... Jadinya perisian perlu "plagiat cara otak berfungsi". 

Artificial Super Intelligence (ASI) mempunyai kemampuan 125,000 IQ... 

Dijangkakan Artificial  General Intelligence (AGI) menjadi kenyataan pada tahun 2040 dan Artificial Super Intelligence (ASI) menjadi kenyataan pada tahun 2060. 

Nak tahu lebih, Gooooogle apa itu Artificial  General Intelligence (AGI) dan Artificial Super Intelligence (ASI) dan baca buku-buku yang berkaitan. 

Wallahu'alam





Agama Islam dan Pemuafakatan Masyarakat

Forum: The Role of Religion in Global Politics: An Interfaith Discussion

When : September 19, 2016 (130-300pm)

Where: Perry World House, UPenn
Who: 
Moderator: Prof. John Dilulio (Prof. of Politics, Religion & Civil Society, UPenn)
Panelist:
Reverend Luis Cortes (Founder, President & CEO Esperanza)
Rabbi Sharon Kleinbaum (Senior Rabbi, Congregation Beit Simchat Torah)
Maajid Nawaz (Founding Chairman, Quilliam Foundation)
Monsignor Marcelo Sanchez Sorondo (Chancellor, Pontificial Academy of Social Sciences)

Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera,

Pada 19 September 2016 yang lalu, saya menghadiri Forum bertajuk The Role of Religion in Global Politics: An Interfaith Discussion di Perry World House, University of Pennsylvania, USA. Terdapat lima wakil yang hadir yang terdiri daripada wakil agama Kristian, wakil agama Yahudi, dan wakil agama Islam. Diskusi antara agama adalah satu wacana ilmu yang lumrah di negara Barat, dalam usaha mereka memahami perspektif agama lain dalam sesuatu isu. Ia boleh berlangsung dalam keadaan harmoni kerana keadaan masyarakat Barat yang bersifat terbuka dan mengamalkan toleransi agama yang tinggi. Di Malaysia, ia mungkin belum cukup sesuai kerana masyarakat Malaysia tidak terbuka sepertimana Barat, dan toleransi agama di Malaysia tidak setinggi sebagaimana di Barat. 

Bagi seseorang Muslim, agama Islam bukanlah sekadar 'agama' atau ritual ibadat. Islam adalah satu cara kehidupan yang menyeluruh, meliputi perkara ibadat dan muamalat, politik atau tatacara kenegaraan (siasah syar'iyyah), ekonomi dan perdagangan (ikhtisad dan tijari), sosial dan kemasyarakatan (ijtima'iy). Islam meliputi ibadat khusus (seperti solat, puasa, zakat, Haji), ibadat umum (muamalat), tatacara berkeluarga iaitu aspek munakahat dan kaedah jenayah (jinayat) tersendiri (hudud, qisas, takzir). Islam memberikan garis panduan berniaga, tatacara berjiran dan bermasyarakat, hubungan kenegaraan, kepentingan memelihara alam sekitar dan menjauhi kerosakan di atas muka bumi,  berurusan sesama manusia (bermualamat) seperti mengharamkan riba, mengharamkan industri tertentu seperti khinzir dan arak dalam kalangan pengikutnya. Islam adalah agama dinamik, dalam pada aspek ibadat khusus ditekankan, Islam tidak menolak penggubalan hukum baru yang terletak di bawah hukum takzir.

Umat Islam merujuk kepada dalil qat'ie dan dalil zanni dalam berkehidupan di atas muka bumi ini. Dalil Qat'ie adalah dalil yang disepakati iaitu bermula dari Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak (bersandar kepada Al-Quran dan As-Sunnah) dan Qiyas (bersandar kepada Al-Quran dan As-Sunnah). Dalil Zanni merupakan dalil-dalil tidak disepakati para ulamak Islam seperi Masalih-mursalah, istihsan, dan uruf. Umat Islam yang mukallaf 'wajib' mempelajari perkara berkaitan Fardhu Ain iaitu meliputi bidang fiqh, tauhid/usuludidn dan tasawuf yang bersumberkan Dalil Qat'ie di atas.  Mazhab Fiqh (School of thought) terbahagi kepada empat mazhab yang utama iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Mazhab Aqidah atau ilmu tauhid yang utama dalam kalangan umat Islam adalah berteraskan kepada ilmu Aqidah aliran Asya'ari dan Maturidi dan ajaran akhlak yang berteraskan ilmu tasawuf yang dibawa oleh Imam Ghazali, Imam Nawawi, dan sealiran dengannya.

Memang terdapat dialog antara agama di Malaysia, tetapi bukan Muslim harus faham bahawa Orang Islam tidak suka, tidak mahu orang bukan Islam mencampuri urusan agama mereka (sepertimana isu RUU355) sebagaimana orang Islam sendiri tidak mahu dan tidak mencampuri urusan agama bukan Muslim. Bagi seorang Muslim, Al-Quran menyatakan "Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku." (Surah Al-Kafirun: Ayat 6).  Islam agama yang adil, keperluan bukan Islam dipenuhi tetapi tidak boleh merosakkan umat Islam kembali (seperti keizinan kedai menjual arak).  Saya yakin Malaysia memerlukan dialog antara agama, tetapi dalam konteks memahami perspektif setiap agama dalam berhadapan dengan sesuatu isu, tetapi bukan untuk memaksa pihak lain menerima pandangan mereka atas sesuatu isu. Bagi orang Islam di Malaysia, orang bukan Islam melalui perkumpulan dan NGO tertentu kelihatannya masuk campur hal orang Islam, dan ini mencabar mereka dan sudah pasti dialog dan perbincangan tidak dapat diadakan apabila wujud persepsi negatif dan prasangka antara satu sama lain. Dahulunya kita rakyat Malaysia boleh hidup saling hormat-menghormati antara pelbagai kaum, agama dan budaya, tetapi krisis politik, era pemodenan dan globalisasi yang memperbaharui dan mengubah nilai-nilai kehidupan tampaknya telah menjadikan masyarakat semakin berpecah, semangat perkauman semakin tinggi dan toleransi antara agama yang semakin terhakis.  

Dalam konteks Malaysia, warganegara bukan Muslim seharusnya menghormati Islam sebagai agama bagi Persekutuan Malaysia, kedudukan Raja-Raja, hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan Bahasa Melayu, memahami sejarah tamadun dan kenegaraan di Malaysia sejak ribuan tahun dahulu dan kontrak sosial yang dicapai apabila Malaya mencapai kemerdekaan dari naungan British pada 31 Ogos 1957 dan bertukar menjadi Persekutuan Tanah Melayu sebelum kemudiannya bergabung dengan Sarawak dan Sabah dan bertukar menjadi Malaysia pada 16 September 1963. Orang Islam (Melayu khususnya) amat toleransi terhadap kaum, bangsa, dan agama lain. Saya fikir tidak ada bangsa yang lebih toleran kepada bangsa dan agama lain di dunia selain orang Islam (Melayu) di Malaysia. Tidak susah untuk memahami toleransi umat Islam di Malaysia, sempadannya adalah jangan dikacau dan diganggu agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan orang-orang Melayu dan Bahasa Melayu, itu saja. Orang Melayu di Semenanjung Malaysia memahami hak dan keistimewaan Kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak dan memanjangkan hak keistimewaan ini kepada kaum-kaum Bumiputera  di kedua-dua negeri tersebut apabila kedua negeri tersebut bergabung dalam Malaysia.

Dalam pada saya mempertahankan Hak Keistimewaan Orang Melayu, saya lebih peduli dan prihatin Hak ini digunakan untuk orang Melayu yang masih tertinggal, terkebelakang, dan miskin, bukannya memperkayakan atau memajukan orang Melayu yang sudah berjaya. Dalam pada 'tiang seri' ini penting, saya juga menyeru orang Islam (Melayu) yang berjaya agar tidak bersandar kepada Hak Keistimewaan ini terus berjaya. Berdikarilah, bersainglah, berkorbanlah, tunjukkan bukti dan suri teladan bahawa orang Islam (Melayu) di Malaysia mampu berjaya atas titik-peluh, usaha mereka sendiri, atas merit mereka sendiri. Yakinlah kita orang Islam diberikan lebih banyak rahmat dan nikmat dari Ilahi yang memungkinkan kita berjaya di dunia dan akhirat.

Bagi umat Islam di Malaysia, "orang bukan Islam dan pelbagai kaum nak berniaga, nak mencari hasil kekayaan, nak berpersatuan, nak berpolitik, nak bermasyarakat, nak buat kebajikan silakanlah, tetapi jangan mencampuri urusan agama dan hak-hak kami", amat mudah. Buatlah apa sahaja dalam kerangka perundangan negara dan bagi orang Islam di Malaysia, kedudukan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong (SPB YDA) sebagai Ketua Negara perlu dihormati. Sumpah SPD YDA "Wallahi, Wabillahi, Watallahi" (Di Bawah Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan) untuk memelihara Agama Islam sepanjang masa dan 'kedudukan SPB YDA sebagai Payung kepada Eksekutif, Legislatif, Kehakiman, dan Ketenteraan' menunjukkan Malaysia bukanlah sebuah negara sekular. Tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia menunjukkan Malaysia negara sekular, tetapi ‘peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Malaysia menceminkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mana  Islam adalah agama bagi negara ini’. 

Orang bukan Islam tidak harus bimbang dengan umat Islam di Malaysia kerana Islam adalah agama keamanan, menjunjung tinggi prinsip-prinsip dan nilai-nilai universal seperti kebenaran, keadilan, integriti, kejujuran, dan kesopanan. Islam tidak memaksa penganut agama lain menganut agama Islam. Bagi umat Islam, Islam membawa rahmat kepada seluruh alam. 

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ


Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.(Al Anbiya : ayat 107).

Ini bermakna orang bukan Islam akan dapat berteduh dan bersama-sama menikmati rahmat dan kemakmuran dalam sesebuah pemerintahan berasaskan Islam. Islam bukan agama akhirat atau berteraskan kerohanian semata-mata, tetapi seimbang dunia dan akhirat. Wahyu yang pertama turun kepada Junjungan Nabi Muhammad SAW adalah perintah 'Baca', iaitu satu tuntutan menuntut ilmu untuk dunia dan akhirat. Umat Islam dituntut mempelajari ilmu dunia, tetapi jangan dilupa ilmu untuk kehidupan di akhirat (hereafter). Sejarah menunjukkan universiti tertua di dunia adalah Universiti Ez Zitouna, di Tunisia yang mula beroperasi pada tahun 737 Masihi, diikuti Universiti Al Qarawiyyin di Maghribi pada 859 Masihi dan kemudiannya  Universiti Al Azhar, Mesir yang ditubuhkan pada tahun 970 Masihi berbanding universiti tertua di Eropah, Universiti Bologna, Itali yang ditubuhkan pada tahun 1088 Masihi sementara Universiti Oxford, England pula dibuka pada tahun 1096 Masihi. 

Sejarah menunjukkan bagaimana kegemilangan tamadun silam seperti Abbasiah berpusat di Baghdad, Andalusia di Sepanyol dan Uthmaniyyah di Turki yang memamerkan toleransi agama yang tinggi sesama pengikut berlainan agama. Ketika kemuncak tamadun di Baghdad dan Andalusia, ulamak-ulamak Islam menerima orang bukan Islam untuk datang belajar tanpa sebarang diskriminasi. Ketika itu, Kerajaan Islam Umayyah, Abbasiah dan Uthmaniyyah mengizinkan  golongan minoriti bukan Islam seperti Yazidi dan Druze yang telah lama tinggal dan menetap di Iraq mengamalkan kepercayaan masing-masing, tanpa dipaksa menganut agama Islam. Ketika saya dan keluarga mengembara ke Sepanyol dalam  bulan Februari tahun 2009, kami dapat lihat sendiri bagaimana Masjid, Gereja dan Synagogue (Rumah Ibadat Yahudi) dibina berhampiran satu sama lain di Cordova semasa era Kegemilangan Andalusia. Semasa era kegemilangan Kerajaan Melayu Islam Melaka pada abad ke 15, Melaka adalah pusat perdagangan dunia, dan sekitar 83 Bahasa dipertuturkan di Melaka ketika itu. Negara Islam yang makmur amat toleran dengan kepelbagaian bahasa, agama dan budaya lain. 

Semasa Perang Dunia Kedua, Imam Besar Grand Mosque di Paris, Peranchis menyelamatkan ramai dari kaum Yahudi di Eropah dari dibunuh oleh Tentera Nazi Jerman. Malah, sebahagian Yahudi ini diberi 'Kad Pengenalan sebagai Muslim' dan diberikan 'kubur ibu-bapa palsu' untuk menyelamatkan mereka dari diburu dan dibunuh oleh tentera Nazi Jerman, begitulah prihatinnya Islam dalam memelihara nyawa umat manusia lain. Ini penting kerana dalam Islam, perkara yang utama (maqasid syariah) adalah memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Dalam mengatasi isu perhambaan dalam kalangan manusia, Khalifah Uthmaniah terlebih dahulu menghapuskan penghambaan di Afrika pada tahun 1847 dan menghapuskan semua jenis penghambaan di seluruh empayar Uthmaniah pada tahun 1882, jauh lebih awal berbanding Konvensyen Penghambaan 1926.

Islam adalah agama yang sempurna, tetapi umat Islam sememangnya tidak sempurna. Maka apabila berlaku sesuatu perkara besar seperti isu keganasan masa kini, jangan dikaitkan dengan Islam kerana Islam itu sendiri bermaksud selamat, amat menitikberatkan keamanan, kesejahteraan dan keadilan untuk semua pihak, tidak terhad kepada umat Islam semata-mata. Kita seharusnya insaf bahawa membina negara maju dan dicontohi memakan masa berpuluh-puluh atau ratusan tahun, tetapi memusnahkannya mengambil masa yang singkat dan tiada sesiapapun yang untung atas kemusnahan atau kerosakan sesebuah negara. Isu-isu seperti radikalisme, ekstremisme dan keganasan ada dalam mana-mana pengikut pelbagai agama, kaum dan fahaman. Ekstremis dan radikalisme dalam parti politik, NGO, kaum dan agama adalah virus bahaya yang perlu dicegah di peringkat awal sebelum ia bertukar menjadi barah yang akhirnya sukar dibendung dan dirawati. Jika saya ingin mencari perbalahan, maka saya boleh saja membentangkan bukti-bukti radikalisme, ekstremisme dan keganasan dalam kalangan pengikut pelbagai agama, kaum dan fahaman, tetapi apa gunanya. Kita tidak boleh mencapai pemuafakatan dalam masyarakat jika kita asyik mencari titik perbezaan, melebarkan jurang perbezaan sesama kita. Penawar kepada pemuafakatan masyarakat adalah prinsip kesederhanaan, mencari titik persamaan antara agama dan kaum, memahami sentimen dan sempadan antara agama dan kaum, serta menyantuni kepelbagaian pendapat antara agama dan kaum.  

Kita seharusnya meraikan perbezaan pendapat dan kecenderungan politik masing-masing, tetapi setiap sesuatu ada limitasinya. Jangan kecenderungan politik memusnahkan perpaduan komuniti, jangan sentimen politik memecahbelahkan agama, dan jangan ketaksuban politik menghalalkan kita berbuat apa sahaja. Cukup-cukuplah, berpada-padalah ahli-ahli politik dalam berpolitik untuk keuntungan politik masing-masing kerana perpaduan dan pemuafakatan masyarakat yang menjadi imbal balasnya aalah terlalu bernilai unutk dikorbankan demi manfaat politik. Akhir kalam, umat Islam sebagai golongan majoriti adalah teras kepada pembentukan masyarakat yang harmoni, toleransi dan berdaya saing di Malaysia. Perpaduan umat Islam adalah teras kepada perpaduan rakyat dan masyarakat di Malaysia. Saya telah menghuraikan sebelumnya sentimen dan sensitiviti umat Islam di Malaysia, maka sewajarnya agama dan kaum lain di Malaysia memahami perkara ini dan sama-sama merancang dan menjalankan gerak kerja untuk kita maju ke depan. Jalan ke hadapan, kita yang membinanya, destinasi dan masa depan Malaysia, kita yang mencoraknya, Malaysia yang maju, aman, harmoni dan toleransi adalah untuk kita semua.

Berbalik kepada forum ini, ahli panel Muslim menyatakan bahawa Islam memainkan peranan yang penting dalam memupuk toleransi sesama agama. Semasa tamadun Abbasiah, Islam sebagai agama dan cara hidup memainkan peranan penitng dalam kemajuan sains. Dalam kontinum pengaruh agama di dalam kehidupan, di hujung sebelah kanan adalah pemimpin agama membuat undang-undang untuk setiap ahli masyarakat dan dihujung sebelah kiri adalah agama tidak mempengaruhi budaya dan cara kehidupan, maka di mana Islam? Islam adalah agama sederhana, memupuk kesederhanaan (wasatiyyah) dalam pengikutnya. Kesederhanaan (wasatiyyah/moderates) dalam Islam bukan sekadar baik dan berkesan dalam menangani isu antara agama, tetapi mampu menangani isu politik, ekonomi dan sosial. 





Sebahagian besar tulisan di atas telah diterbitkan di dalam Merdeka Online

Thursday, 8 December 2016

Dunia Teknologi dan Chinese Capital and Global M&A Activities

What: Chinese Capital and Global M&A Activities
When : 5 December 2016 (1200-120pm)
Who : Frank Gong, Chairman, First Seafront Financial
Where: JMHH 345

Assalamu'alaikum,

Alhamdulillah, pada 5 Dis 2016 yang lalu, saya berkesempatan 'keluar dari bidang keusahawanan', mendengar dari bidang lain pula. Memang banyak progam dan aktiviti di Wharton, kena pilih-pilih. Kali ini penceramah undangannya datang dari China, Frank Gong, alumni (bekas pelajar PhD) di Wharton, pernah bekerja dengan Goldman Sachs di China dan kini mengasaskan firmanya sendiri, First Seafront Financial. Kiranya usahawan juga tu, walaupun bidang asal bukan keusahawanan tetapi ekonomi dan kewangan. 

Kita hidup dalam dunia globalisasi, berita, peristiwa, urusan bergerak dalam saat, bukan hari atau jam lagi. Apa yang berlaku di seberang laut, kita akan ketahui dalam masa yang pantas asalkan akses internet ada. Kalau anda sebagai pegawai kerajaan, maksudnya Prosedur Operasi Standard (SOP) 'wajib berubah', jangan nak ikut yang lama, perlu ditambahbaik, perlu dikemaskini. Media kerajaan seperti RTM, TV1, TV2, Bernama, pelbagai radio dan media perlu bergerak sepantas media sosial. Media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, WhatsApp, Telegram, Viber, WeChat dan lain-lain amat pantas. Dalam masa lima minit, satu infografik atau klip video (mungkin betul atau salah) atau bergerak dan dibaca oleh puluhan ribu, ratusan ribu dan mungkin berjuta. Jika berita ini salah, ia boleh mencipta firnah dan menyebarkan persepsi salah dalam masa yang singkat. 

Semasa saya di Malaysia, ada banjir besar di Kelantan dan Pahang pada Disember 2014 dan media sosial lebih terkehadapan dalam menyiarkan berita banjir ini. Di TV, media kerajaan hanya menyiarkan kenyataan yang sama dalam masa beberapa jam! Sedangkan media sosial menyiarkan berita dalam bentuk video dan gambar yang dikemaskini untuk setiap beberapa minit! Jadinya, jangan salahkan rakyat jika kurang percaya pada berita rasmi kerana berita dari pihak kerajaan agak lembap. Namun, saya juga mengingatkan diri saya dan rakyat Malaysia bahawa kita perlu menyebarkan berita yang benar dan sahih sahaja. Cuma, kebimbangan saya adalah berita media sosial yang tidak diketahui benar akan lebih dipercayai berbanding berita rasmi kerana ia lebih proaktif dan pantas berbanding sumber rasmi yang lembap dan reaktif.

Saya melihat media kerajaan seperti RTM dan sumber rasmi Kementerian dan Agensi kerajaan agak jauh terkebelakang' berbanding media sosial. Macam-macam cerita kita dengar dan lihat, tidak tahu betul atau salah. Dalam pada media kerajaan 'masih bergerak perlahan', sebenarnya 'kerajaan juga amat sukar' menyekat media sosial yang menyebar pelbagai sumber berita ini kerana jaringan, jangkauan dan liputannya amat luas, maka pilihan yang ada sebenarnya adalah agensi dan jabatan kerajaan 'mewujudkan akaun rasmi mereka' di pelbagai media sosial. Teknologi membolehkan syarikat kecil merentas sempadan membuka perniagaan yang dahulunya dikuaai syarikat besar dan bermodal besar sahaja. Dahulunya halangan membuka sebuah syarikat penyiaran, media penerbitan kerana ianya memerlukan modal besar dan teknologi canggih. Kini syarikat kecil boleh membuka empayar media mereka sendiri, menyediakan saluran TV sendiri, menerbitkan majalah atau penerbitan sendiri tanpa perlu dicetak, Malah, individu boleh membuka sebuah empayar media. Anda boleh membuka saluran TV sendiri, saluran media sendiri dengan berbekalkan platform media sosial dengan bermodalkan kreativiti dan bakat anda, dengan modal yang amat sedikit. Anak kedua saya sendiri teruja 'mencari duit' melalui Youtube, tai saya katakan, belum masanya dan bukan untuk itu beliau diciptakan Allah.

Inilah dunia teknologi hari ini. Dahulunya kita belajar dalam ekonomi akan pentingnya modal, buruh, tanah dan usahawan dalam kegiatan ekonomi (Saya harap kursus ekonomi di peringkat SPM dan universiti tidak lagi memberikan fokus kepada empat faktor pengeluaran ini). Dalam ekonomi global dan berteknologi ini, tanah, buruh, dan modal tidak begitu penting.  Faktor yang penting adalah modal intelektual dan individu itu sendiri. (Saya tidak menafikan faktor lain juga penting). Dengan berbekalkan kreativiti, kemahiran menulis, kemahiran berkarya, ramai orang menjana pendapatan melalui blog semata-mata. Mereka yang kreatif, ataupun berada dalam industri kreatif, ada saja jalan boleh buat duit melalui karya kreatif. Contohnya klip video Pen Pineapple Apple Pen mencipta rekod apabila merupakan klip video ringkas yang ditonton lebih 67 juta dalam masa beberapa minggu sahaja. (Saya mendapat tahu klip video ini menerusi anak saya yang berusia 10 tahun...he3). Anda tidak perlu menjadi artis untuk popular seluruh dunia, dengan persembahan kreatif, anda boleh dikenali satu dunia. Dengan sebuah buku menarik di Amaazon, satu dunia boleh mengenali anda. Lihatlah Uber (dan GrabCar) yang merupakan syarikat teksi terbesar, tidak memiliki tanah, buruh, dan modal besar (modal disumbangkan oleh orang lain)  dan tidak memiliki teksi. Lihat AirBnB yang memiliki puluhan ribu bilik penginapan tetapi tidak memiliki tanah, buruh dan modal yang besar. Semuanya dibolehkan dan dimudahkan dengan adanya teknologi.

Inilah ekonomi baru, ekonomi global berasaskan pengetahuan (intelektual) yang berubah daripada ekonomi berasaskan pengeluaran/industri pada dekad sebelumnya. Di Wharton, saya biasa membaca majalah yang dikeluarkan dan diletakkan di rak-rak di bangunan-bangunan utama. Kini, dengan Aplikasi iTunes atau Google Play, saya boleh mengikuti aktiviti di Wharton walaupun sudah jauh 15000++ kilometer di Malaysia. Semuanya di hujung jari anda. Dengan Applikasi sebegini, pelbagai urusan dan perhubungan, termasuk dengan alumni boleh diadakan dengan hanya sebuah telefon pintar.

Applikasi Wharton di iTunes @ Google Play.



Berbalik kepada ceramah hari ini, Frank Gong merupakan alumni Wharton, bekas orang kanan Goldman Sachs di China dan kini menjadi usahawan dengan membuka firmanya sendiri. Ia merupakan satu peluang yang baik untuk mendengar daripada kapitalis dari China sendiri tentang ekonomi mereka yang sudah tidak menjadi komunis. Universiti di USA telah berpuluh-puluh tahun memiliki program dengan alumni yang menyeluruh, dengan governans, struktur dan sistem yang lengkap, maka mudah saja mereka menjemput alumni-alumni mereka untuk memberikan tanggungjawab sosial di universiti masing-masing. Pembangunan alumni di Malaysia masih agak perlahan dengan sebahagian universiti hanya memiliki Unit Perhubungan Alumni dengan seorang Pengarah, seorang eksekutif dan 3-4 orang staf sokongan dan masih berpusat di bawah Timbalan Naib Canselor. Walaupun di Fakulti/Pusat Pengajian ada Timbalan Dekan bertanggungjawab terhadap alumni, pembangunan masih perlahan.  Dalam Kerangka Kerja Kelayakan MQA, ada sedikit peranan dan sumbangan alumni yang perlu diketengahkan, itupun masih amat kecil. Di USA, alumni merupakan salah satu tonggak utama universiti dan merupakan sebahagian daripada ekosistem penting dalam sesebuah universiti. Kita perlu bergerak pantas.


Dr. Frank Gong

Dengan penduduk melebihi 1.4 bilion, Ekonomi China sekarang bernilai USD11 trilion dan China merupakan negara perdagangan terbesar di dunia, kuasa kedua ekonomi selepas USA yang bernilai USD$19 trilion. Dari segi jualan automotif, selepas tahun 2009, jualan automotif China melebihi USA dan kini merupakan pasaran automotif terbesar di dunia. Pasaran bijih besi di China adalah 45% dari pasaran dunia, pasaran tembaga China merupakan pasaran terbesar di dunia. Begitu juga dengan pasaran minyak China yang lebih besar dari pasaran USA.

Dari segi kegiatan M&A Global (Merger and Acquisition), China memguasai 15-20% pasaran M&A dunia pada tahun 2015. Dalam separuh tahun 2016, China menguasai 40% daripada pasaran M&A Global. Syarikat China, HNA Group telah membeli 25% ekuiti (bernilai USD$6.5 bilion) dari Blackstone Group dari USA dalam Rangkaian Hotel Hilton. Sebelum itu, China Chemical Group telah membeli syarikat kimia yang besar di Eropah. Lagi? Ekonomi China memperolehi lebihan dagangan sebanyak 15%-20% sebulan (bukan setahun bro!) dengan kini China merupakan pemegang terbesar US Treasury yang bernilai USD$1.3 trilion....Wow!!! China memiliki Simpanan Luar (Foreign reserve) sebanyak USD4 trilion iaitu 20% daripada simpanan dunia!!! Ayoyo...

Dr. Frank Gong mengakui China kini membeli aset di luar negara dan ekonomi China sendiri mengalami transisi. Katanya, 20 tahun dahulu, ekonomi China berasaskan buruh murah, tanah murah, hampir tiada cukai, pro pasaran dan China menjadi Pengeluar Global, hampir 90% barang di Wal-Mart diimport dari China. Mengikut pandangan Dr. Frank Gong, China sebenarnya membantu ekonomi USA apabila menjadi pengeluar global. Dengan USA mengimport barangan dari China, ia membantu kadar inflasi di USA kekal rendah. Dengan China membeli US Treasury (bon la tu), ia membantu USA mengekalkan kadar faedah yang rendah.

Setelah memberikan sedikit asas mengenai ekonomi China, beliau menjawab persoalan Mengapa ekonomi China perlu mengalami perubahan. Katanya iPhone dibuat di China. Dengan kos USD$500 bagi sebuah iPhone, Apple yang membuat rekabentuk, penyelidikan dan pembangunan, pemasaran dan penjenamaan memperolehi USD$350. Bakinya sebanyak USD$100++ dikuasai oleh negara dari Jerman, Jepun, Korea dan Taiwan yang menguasai teknologi dan membekalkan komponen elektronik. Jadinya USA berjaya (dalam hal ini Apple) kerana menguasai teknologi, rekabentuk, perkhidmatan, R&D dan sebagainya. Berapa yang China dapat? Margin pengeluaran hanya sekitar 5-10 % sahaja!!! Apple mempunyai margin sehingga 40%, dan Intel mempunyai margin sehingga 35/36%. 

Untuk itu, China perlu berubah katanya dan tidak bergantung sepenuhnya kepada 'cara lama'. Walaupun ekonomi China kedua besar di dunia, China hanya sebuah negara 'low-mid income countries' (atau mid-low income countries?) . (Malaysia negara 'high-mid income countries' kalau tak silap saya). Banyak negara dahulunya terperangkap dalam mid-income trap seperti Jepun, Korea, Taiwan, Hong Kong dan Singapura berjaya keluar dari perangkap ekonomi pertengahan ini. China, sepertimana negara ASEAN juga masih terperangkap dengan mid-income trap ini (Setuju, sama seperti Malaysia). Masalah di China, sama seperti negara ASEAN katanya adalah harga hartanah yang melambung tinggi dan kesan rantaiannya menyebabkan kos pengeluaran juga meningkat. Apabila kos pengeluaran meningkat, negara perlu meningkatkan kadar produktiviti, kadar Pulangan Atas Modal dan kadar margin, tidak hanya boleh bergantung kepada margin pengeluaran 5-10% yang dinikmati 20 tahun dahulu.

Untuk itu, China faham bahawa dengan teknologi dan jenama  sahaja 'anda boleh buat duit'. Bagaimana China hendak melakukannya? Dengan melabur dalam teknologi dan melabur dalam jenama, agar China boleh melonjak dari low-end kepada mid-end dan seterusnya high-end. China melihat USA sebagai pemimpin global dalam inovasi, perkhidmatan, jenama, perkara-perkara yang berkaitan dengan high-end economics. Untuk membangunkan R&D (@ teknologi), ia memerlukan masa yang panjang dan kos yang tinggi. Dari itu, strategi China adalah menguasai syarikat berasaskan teknologi di peringkat global dan syarikat yang memiliki jenama global yang baik kerana China memiliki modal yang besar. Dengan menguasai teknologi dan jenama, China akan memiliki R&D, saluran pemasaran, jenama, teknologi dan komponen penting untuk berdaya saing di pentas antarabangsa.

China perlu berkembang untuk kekal berdaya saing. Indeks S&P500 berkembang kerana kegiatan M&A dalam syarikat berasaskan teknlogi, menguasai pelbagai saluran dan jenama. China berkembang dengan dua strategi utama iaitu integrasi menegak untuk mengurangkan kos dan meningkatkan sinergi dan integrasi mendatar untuk meningkatkan syer pasaran. Adakah China mampu berkembang? China mampu berkembang kerana kadar simpanan China adalah 50%, kadar simpanan isirumah di China adalah 30%. Walaupun begitu, China juga sebenarnya banyak berhutang dengan nisbah jumlah hutangnya  dengan KDNK adalah 250%, wow!!!. (saya baru tahu bab ini). Walaupun begitu, hanya sekitar 20% dari jumlah hutang China dipegang oleh Kerajaan Pusat, baki 60-70% jumlah hutang dipegang oleh kerajaan wilayah/tempatan dan 'State-owned-enterprise' (SOE ini warisan sistem ekonomi komunis). Malaysia juga memang banyak berhutang, walau sebenarnya tidak setinggi negara maju, China ataupun Singapura dengan pendedahan hutang Malaysia banyak kepada dana tempatan, bukannya pinjaman luar negara, sepertimana China jua.

Untuk China berkembang, pasaran modal kewangan di China harus berkembang seiring. Ini yang China perlu belajar dari USA, kata Dr. Frank Gong. Di USA, pinjaman bank hanya sekitar 15% daripada jumlah hutang dengan 80% pembiayaan adalah pembiayaan langsung (pembiayaan ekuiti). Di China, 80% kewangan adalah melalui pinjaman bank, pasaran pembiayaan ekuiti (pemodal budiman, pemodal teroka) hanya sebesar 15%. Maka, katanya China memerlukan pasaran modal ekuiti untuk terus berkembang. Saya fikir tidak jauh berbeza dengan Malaysia di mana usahawan, peniaga, pekebun, petani dan nelayan masih berharap pinjaman bank untuk memulakan perniagaan, berniaga dan mengembangkan perniagaan. Pasaran pembiayaan ekuiti kita, dalam kalangan pelabur budiman (business anges), pemodal teroka (venture capitalist) masih amat kecil. Sebab itulah, kata Dr. Frank Gong, ketika Jack Ma mahu memulakan Alibaba, beliau tidak mendapat pinjaman bank di China kerana pinjaman bank memerlukan cagaran (collateral), dan Jack Ma tidak berharta untuk mencagarkan asetnya kepada bank/institusi kewangan. Alibaba yang mempunyai modal di pasaran sebanyak USD$300 bilion sebenarnya bukan syarikat milik orang Cina di China, kata beliau. Jack Ma dan pasukannya hanya memiliki saham sekitar 10%, Yahoo memiliki saham melebihi 30% dan SoftBank juga memiliki saham yang besar dalam Alibaba, jadinya Alibaba dimiliki oleh pelabur global sebenarnya. Berbalik kepada perbincangan saya di peringkat awal, Jack Ma tidak memiliki modal, tanah dan buruh, tetapi berbekalkan dirinya sebagai usahawan dan modal intelektualnya, beliau berjaya!

Pembiayaan berasaskan modal (saya panggil pembiayaan ekuiti) yang diperlukan oleh China, kata Dr. Frank Gong, dengan China amat ketinggalan syarikat ekuiti persendirian, pemodal teroka dan pemodal budiman. Pasarannya berkembang, tetapi masih kecil. Saya fikir Malaysia pun sama, bila nak berniaga, usahawan dan peniaga memikirkan pembiayaan hutang (Pinjaman Bank dll), mereka tidak memikirkan pembiayaan ekuiti. Ada baik dan buruk pembiayaan ekuiti, tetapi Malaysia perlu memperluaskan pasaran pembiayaan ekuiti kerana ia naik dan jatuh bersama sesebuah perniagaan. Sebab itulah saya rajin mengikuti sesi Coffee & Capital di Science Center kerana hendak belajar dari Pemodal Teroka dan Pelabur Budiman mengenai modus operandi pembiayaan ekuiti. 

Mengenai ekonomi masa depan, Dr. Frank Gong berpandangan apa yang berkaitan 'consumption' dan perkhidmatan, sepeti penjagaan kesihatan akan berkembang. Industrialization 4.0 is related with 'smart manufacturing', tailor-made product', rather than mass-production. China need capital market related products and financial service related products. Kemudian beliau berbalik kepada isu syarikat HNA membeli 25% saham dalam Kumpulan Hilton, Dr. Frank Gong menyatakan, ia berkaitan 'tailor-made' to family needs, how to personalize the services. Dalam dekad 1990an, Jepun membeli hartanah di luar negara, China tak akan mengikut kaedah Jepun.

Ada beberapa persoalan dari khalayak tentang apa lagi diperlukan China untuk mengembangkan pasaran modal.  Pertamanya, China memerlukan Rule of Law dan Kerangka Kerja Perundangan. Menurut beliau Common Law lebih baik berbanding Continental Law, ini terbukti apabila Hong Kong lebih penting berbanding Jepun dalam industri kewangan kerana Hong Kong mewarisi Common Law daripada British. Selain itu, industri sekuriti di China masih terlalu kecil dengan sekitar 100 firma, dengan 20% syarikat terbesar menguasai 30% pasaran. China memerlukan konsolidasi pada masa depan. Undang-undang di China juga menggariskan penubuhan firma baru perlu dikuasai 51% oleh orang tempatan dan 49% oleh orang asing (firma sekuriti).

Kerajaan China masih antara 'kerajaan terkaya' di dunia kerana ia memiliki semua tanah di China (saya baru tahu, ingat dah berubah apabila China berubah kepada sistem kapitalis). Kalau beli rumah, ia hanya 'leasehold' selama 70 tahun sahaja. Mengenai pertanyaan tentang USA, antara kelemahan USA adalah kadar simpanan di USA masih rendah, sekitar 3-5% sahaja, namun USA mempunyai kelebihan bersaing kerana ia memiliki pasaran modal yang cekap, pendidikan tertiari di USA masih dianggap terbaik di dunia, USA masih menerajui dalam bidang pendidikan inovasi dan  Dollar merupakan 'global reserve', ia satu keunikan yang tidak dipunyai oleh negara lain.

Di sebalik penerangan panjang lebar beliau, maka atas dasar itulah beliau mengasaskan First Seafront Financial iaitu untuk memudahcarakan modal-modal dari syarikat di China ke atas pasaran/lokasi yang betul.  Rupa-rupanya beliau menceritakan tentang 'industry gap', satu permasalahan yang ditemui dalam industri dan mengambil peluang itu dengan menubuhkan syarikatnya sendiri. Maka, saya pun fahamlah mengapa dahulunya Lenovo membeli IBM Personal Computer, mengapa wujud jenama global dari China seperti Huawei dan Oppo, mengapa Syarikat China melabur berpuluh dan beratus bilion di Pulau Buatan di Johor, projek di Melaka, jalinan sistem keretapi baru ke Pantai Timur dan sebagainya. Syarikat Malaysia berstatus global hanyalah Petronas, syarikat lain masih tidak cukup besar untuk dipanggil syarikat global.

Satu ilmu yang selalu saya tekankan semasa di Persatuan Francais Malaysia dan sama dalam ceramah ini adalah kepentingan jenama. Antara kekuatan sistem francais adalah jenama yang kukuh. Persoalan utama adalah jenama tidak dibina dalam masa yang singkat. Dengan jenama yang kuat, anda mempunyai aset bukan kewangan yang cukup bernilai. China sedar mereka tidak punya banyak masa untuk membina jenama dalam pelbagai industri, maka mereka fokus kepada dua strategi utama iaitu membeli jenama global yang kukuh dan membina jenama sendiri (seperti Lenovo dll). Antara pengajaran dari ceramah ini adalah Malaysia perlu fokus kepada wilayah, menjadi juara wilayah. Malaysia tidak mampu membeli jenama global dengan banyak. Malaysia pernah membeli jenama global apabila PNB memiliki syarikat Sime Darby dan Guthrie.  Setakat ini beberapa syarikat dalam industri perbankan (Maybank, CIMB), penerbangan (AirAsia) dan telekomunikasi (Axiata) Malaysia telah menjadi jenama wilayah. Malaysia perlukan syarikat berasaskan makanan untuk menjadi pemain peringkat wilayah. Indomie dari Indonesia telah menjadi jenama global, malah membuka kilang di Eropah. Redbull dari Thailand telah menjadi jenama global. Dalam industri francais Malaysia, sekitar 60 jenama tempatan telah menembusi lebih 50 negara di pasaran antarabangsa, 24 tahun setelah kerajaan mengambil peranan membangunkan industri francais tempatan secara rasmi.

Tidak dinafikan kita seharusnya mengambil beberapa peluang yang muncul  di Asia Barat, UK dan Eropah sebagai contoh. Malaysia negara perdagangan, kita berdagang dengan pelbagai negara. Asia Barat mempunyai peluang besar kerana kuasa beli yang tinggi dan pasaran produk halal yang besar. Eropah sedikit susah kerana lebih jauh dan keperluan perundangan yang lebih ketat, tetapi pasarannya memang cukup besar. Fokus kita seharusnya adalah ASEAN dan Asia.  Kita tidak cukup besar, tidak cukup kuat dan gagah untuk menjadi syarikat global, maka cukuplah kita menjadi juara wilayah, tidak sekadar juara kampung, buat masa sekarang. Lebih 3 bilion penduduk ada di Asia sahaja. Moga-moga lebih banyak jenama Malaysia menjadi jenama ASEAN dan jenama Asia.  Maka dasar ekonomi, dasar perdagangan, dasar pendidikan tinggi, malah dasar berkaitan sosial perlu lebih fokus kepada ASEAN dan Asia. Wallahu'alam. Wassalam.

Sunday, 4 December 2016

Forum : Can European Democracy Withstand Growing Refugee Flow?

Forum:  Can European Democracy Withstand Growing Refugee Flow?

When : September 19, 2016 (1100am-1220pm)
Where: Perry World House, UPenn
Who:  
Kathleen Newland - Senior Fellow and Co-Founder, Migration Policy Institute, USA
Eric Schwartz - Dean, Humprey School of Public Affairs, University of Minnesota, USA
Catherine Wihtol de Wenden - Director of Research, National Centre for Scientific Research, French Ministryof Education and Research.
Nidal Betare - Palestian refugee in Syria and now in USA as a senior program manager at People Demand Change (PDC)
Moderator:  John Jackson, Jr. - Dean of the School of Social Policy and Practice, UPenn.

Assalamu'alaikum,



Selepas forum keselamatan negara dan minum pagi, forum lain pula berlangsung mengenai krisis pelarian perang di Eropah. Ia satu perkara menarik untuk diketahui memandangkan saya telah menulis sebuah buku mengenai Bahaya ISIS@Daesh (edisi pertama) di Malaysia yang dilancarkan pada 13 Ogos 2016 yang lalu.  Pelarian perang amat berkait dengan krisis Iraq-Syria yang telah memasuki tahun ke 14 (bermula semenjak USA menyerang Iraq dalam Perang Teluk Kedua pada tahun 2003). Krisis di Syria bermula secara umumnya pada tahun 2011 dan amat teruk pada tahun 2015-2016.  Krisis ini amat-amat teruk dan setakat ini belum nampak jalan penyelesaiannnya. 

Apa yang menarik dalam forum ini adalah panel yang terdiri daripada pelbagai latar belakang iaitu daripada USA, Eropah dan 'Pelarian'/refugee itu sendiri. Dari segi dasarnya USA merupakan sebuah negara yang menerima Asylum Seeker dan refugee semenjak kewujudannya pada zaman moden ini. Sejarahnya menunjukkan Benua Amerika telah didiami apabila Christoper Columbus menemui Kepulauan Bahamas pada tahun 1492. Namun sejarah menunjukkan orang-orang Viking telah sampai ke Benua Amerika Utara pada abad ke-11 lagi. Bukti-bukti juga menunjukkan Pedagang-Pedagang Islam dari Tamadun Islam Andalusia dan dari Benua Afrika telah sampai ke Amerika Utara jauh lebih awal dari Columbus.  Malah terdapat banyak bukti menunjukkan sebahagian suku orang Red Indian telah menerima Islam sebelum kedatangan Columbus. Di USA, terdapat Hari Kelepasan Am, Columbus Day, tetapi sebahagian negeri di USA tidak merayakan Columbus Day kerana mereka tahu Columbus bukannya pembuka Amerika Syarikat yang telah didiami. Sebaliknya ada yang merayakan Native Day.

Saya tidak mahu membicarakan sejarah lalu, namun USA adalah sebuah negara yang mesra pendatang/pelarian kerana itulah asas pembentukan USA pada tahun 1786 di mana pendatang-pendatang dari Eropah ini berjaya dalam peperangan 'menuntut kemerdekaan' dari Empayar British. Dari beberapabuah koloni kecil, USA berkembang menjadi 50 buah negeri dengan setiap negeri mempunyai pelbagai undang yang berbeza-beza. Terdapat Refugee Act yang dibentuk pada tahun 1980 di USA. USA juga memiliki "Public - Private Partnership  in USA creating a reservoir of refugee" dan program penempatan semula pelarian yang sememangnya berkos. Tidak hairanlah apabila saya dan keluarga sampai ke Bandar Portland di Negeri Maine pada Ogos 2016 yang lalu, terdapat komuniti Islam di sana yang datangnya dari Negara Arab dan Afrika. Biasanya mereka bekerja dalam sektor kerja kolar biru, pekerjaan-pekerjaan yang tidak diminati oleh warga tempatan USA.

Banyak isu yang dibincangkan dalam forum ini dan saya mendapat 'beberapa statistik terbaru' tentang krisis Iraq-Syria. Antaranya adalah panel berpendapat bahawa dunia patut buat lebih banyak lagi untuk menyelesaikan cabaran dan permasalahan di Syria. Mahu tidak mahu memang Eropah harus bertindak kerana Syria memang tidak jauh mana dari Benua Eropah. Terdapat panel yang berpendapat bahawa negara maju patut meningkatkan pendidikan dan latihan untuk para pelarian ini dan membentuk satu model yang lebih baik kepad pelarian perang ini. Jika kita membaca krisis pelarian di Eropah, kita akan menemui pelbagai isu seperti kawalan sempadan, perkampungan haram pelarian sekitar Calais, Peranchis, ada yang sanggup menukar agama untuk mendapat status Asylum Seeker, program keluarga angkat untuk menerima pelarian, program integrasi pelarian ke dalam komuniti setempat, perekrutan militan ISIS@Daesh di kem pelarian di Turki, bantuan pelbagai NGO Eropah kepada pelarian perang ini,  'kegiatan seks di perkampungan pelarian antara pelarian dan pekerja sukarela', dan macam-macam.  Dalam kajian saya ke atas ISIS@Daesh, antara lokasi perekrutan militan adalah kem-kem pelarian di sempadan Turki-Syria. Tanpa kawalan langsung pihak berkuasa keselamatan Turki, militan ISIS@Daesh menyusup masuk ke dalam kem dan mencari pemuda-pemuda yang diberi pilihan untuk kekal hidup di kem pelarian atau 'berjuang dan mati syahid'. 

Pada tahun 1990-an, terdapat sekitar 0.5 juta pemohon suaka di Jerman dan Austia. Kini terdapat sekitar 2 juta pemohon suaka di Itali dan Greece sahaja. Di Jerman sahaja terdapat 1 juta pelarian dan pemohon suaka. Di Peranchis, terdapat 60,000 pemohon suaka pada tahun 2014 dan jumlah ini meningkat ke 80,000 pada tahun 2015. Ini tidak dielakkan kerana Eropah hampir dengan kawasan konflik dan ini juga meningkatkan tekanan ke atas Kerajaan-kerajaan di Eropah untuk mencari jalan ke atas krisis di Syria khususnya.  Turki sahaja menerima 3 juta pelarian di sempadannya dan memegang kunci kepada krisis pelarian di Eropah. Setakat ini, Kesatuan Eropah menyumbang dana untuk membantu Turki menanggung pelarian ini. 

Di EU sendiri, sepanjang 2015-2016 sememangnya wujud situasi panik akibat kebanjiran pelarian yang tidak terkawal dari Syria. Kebanyakan pemohon suaka di EU yang tidak berjaya perlu kembali ke Turki semula (saya faham macam ni). Berbanding USA yang 'mesra pendatang/pelarian' (sebelum era Trump), EU sebenarnya mengalami masalah dalam menerima pelarian dan menjadi 'Benua Imigran'. EU mempunyai dasar perlindungan terhadap pekerja-pekerja dari Eropah dan perlu 'mematuhi' Konvensyen Antarabangsa mengenai Pelarian. Dahulunya, Libya mempunyai perjanjian dua hala dengan Peranchis dan Itali berkaitan isu pelarian, tetapi kini adalah tidak pasti kerana situasi yang bergolak di Libya. Memandangkan berjuta-juta rakyat Syria menjadi pelarian pada tahun 2015-2016, panel berpendapat EU akan menempuhi krisis baru kelak. Untuk itu, panel mencadangkan EU 'membangunkan keupayaan institusi' untuk berhadapan dengan isu pelarian ini.

Antara panel yang hadir adalah Nidal Betare, seorang Muslim, anak pelarian Palestin yang dilahirkan dan dibesarkan di Kem Yarmouk di Syria pada tahun 1979. Beliau mendapat ijazah Sarjana dalam bidang sosiologi politik dari Universiti Damsyik.  Menurut beliau, Syria mempunya 23 juta penduduk dan sekitar separuh daripadanya telah meninggalkan Syria. Sekitar 500,000 penduduk di Syria kehilangan rumah mereka dan tidak mempunyai tempat langsung untuk meneruskan kehidupan di Syria. Lebanon, jiran Syria yang mempunyai 5 juta penduduk telah menerima 2 juta pelarian dari Syria dan 500,000 pelarian dari Palestin, walaupun secara teknikalnya 'masih berperang.' (Satu pertiga penduduk Lebanon adalah pelarian!!!). Beliau bertanya, "Apa yang EU lakukan?"  


Forum ini mengingatkan saya tentang Masalah Pelarian Rohingya di Malaysia. Malaysia boleh dikatakan 'sebuah negara yang baik' dalam menerima pelarian. Dahulunya, kita tempatkan Pelarian Vietnam di Pulau Bedong di Terengganu. Di Sabah, kita menerima pelarian dari Selatan Filipina. Malaysia juga menerima Pelarian dari Kemboja. Di Kulim, 'kampung saya', ada Pasar Kemboja. Isteri dan anak perempuan saya biasa membeli telekung dan kain di Pasar Kemboja. Penjualnya adalah Orang Melayu Kemboja, tidak jauh berbeza dengan orang Melayu Semenanjung. Malah, Kerajaan Melayu Champa merupakan antara kerajaan Melayu tua di Kemboja pada zaman dahulu. Kini kita menerima Pelarian Rohingya, anggarannya dalam 56,000, mungkin boleh menjangkaui 60,000. Saya tertarik dengan pandangan ahli panel mengenai program pendidikan dan latihan untuk pelarian. Mungkinkah kita boleh lakukan sesuatu untuk Pelarian Rohingya di Malaysia? Cuma kita perlukan keseimbangan, jangan dikatakan orang, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan pula. Peribahasa ini wujud dalam sektor pekerjaan masa kini apabila ramai melihat 'kerajaan melayan' tuntutan majikan mendapatkan buruh asing, sedangkan masih amat ramai rakyat tempatan menganggur, dinafikan peluang kerja oleh para majikan. Contoh paling mudah adalah sektor kawalan keselamatan, Malaysia mendapatkan tenaga kerja dari Nepal, sedangkan Malaysia memiliki berpuluh ribu bekas tentera dan polis!

Sejarah dan bukti menunjukkan Malaysia negara 'pemurah' dalam menerima pelarian atas dasar kemanusiaan dan atas dasar persaudaraan Islam. Ini belum termasuk pendatang berizin dan tanpa izin yang berjumlah melebihi 2 juta. Dalam konteks ASEAN, bantahan Malaysia kepada Myanmar atas isu kekejaman dan pembunuhan besar-besaran ataupun bahasa sekarang disebut  pembersihan kaum (ethnic cleansing) oleh tentera dan kerajaan Myanmar terhadap orang Rohingya adalah amat berasas. Sememangnya pada ketika ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, antara tonggak utamanya adalah dasar tidak campur tangan antara negara-negara ASEAN. ASEAN telah berusia 49 tahun dan bakal memasuki usia 50 tahun. Untuk ASEAN maju ke depan, ASEAN perlu berubah. Lihatlah negara Eropah yang bangkit selepas Perang Dunia Kedua, bersatu sedikit demi sedikit, dari enam negara pengasas, Eropah menerima negara Eropah Timur dan negara bekas Kesatuan Soviet dan kini terdapat 27/28 negara bernaung di bawah Kesatuan Eropah. Atas kemusnahan Perang Dunia Kedua, EU diasaskan dan bangkit berasaskan 'supranational foundation' untuk 'menjadikan perang bukan sesuatu yang boleh difikirkan dan mustahil pada zahirnya", selain mengukuhkan demokrasi antara negaranya. 

ASEAN perlu transformasi apabila menjangkaui usia pasca 50 tahun. Perang di Selatan Filipina memberikan impak terhadap Malaysia. Perang di Vietnam dan Kemboja juga memberi impak ke atas Thailand dan Malaysia. Kini krisis di Rohingya memberikan impak terhadap Thailand, Indonesia dan Malaysia (selain Bangladesh). Bukan setakat perang, krisis ekonomi, krisis agama dan ketidakstabilan politik dalam negara ASEAN akan memberikan impak terhadap negara ASEAN lain. Kita hidup dalam dunia yang saling bergantung antara satu sama lain. Justeru itu, ASEAN perlu mencari muafakat baru untuk bergerak, bersatu dan maju ke depan. Jiran yang makmur akan memakmurkan jiran sekelilingnya. Jiran yang bermasalah akan memberikan tempias masalahnya kepada jiran-jirannya. Dalam menangani krisis Rohingya, Malaysia tidak boleh bertindak bersendirian, Malaysia perlu mengajak Indonesia, dan Thailand untuk bersepakat dan seterusnya merangka pemuafakatan baru dalam ASEAN. Malaysia juga perlu membawa Indonesia, Brunei dan Bangladesh menerusi OIC untuk bertindak, selain menggunakan platform UNHCR dan pelbagai mekanisme lain di peringkat antarabangsa. Inilah dunia baru, dunia globalisasi, di mana krisis, tragedi dan peristiwa di negara lain menjadi satu kepedulian baru bagi kita.  Ada 1001 langkah dan tindakan yang boleh diambil oleh negara. Sepertimana individu yang berbuat baik akan dibalas baik oleh Allah Taala, saya amat yakin, apa saja tindakan negara yang baik juga akan dibalas baik oleh Allah Taala jua.

Wassalam.


Barisan panel


Philadelphia tidak menerima cahaya matahari seperti Malaysia tetapi berusaha mengoptimakan sumber tenaga semulajadi ini.


Dinding pun dari kaca...

Wednesday, 30 November 2016

Forum: Technological Innovation and the Future of National Security

Forum: Technological Innovation and the Future of National Security
When : September 19, 2016 (915-1035am)
Where: Perry World House, UPenn
Who: Daniel F. Heyman, Michael Boyle, Vijay Kumar, 

Assalamu'alaikum,

Saya berkesempatan menghadiri forum berkaitan inovasi teknologi dan masa depan keselamatan negara di UPenn pada 19 September 2016 yang lalu. Ia dianjurkan sempena pembukaan rasmi Perry World House, sebuah bangunan yang mendapat tajaan keluarga Perry.   Dana endowmen merupakan salah satu sebab Universiti di AS pesat berkembang. Ada saja jutawan (dan alumni) yang menyediakan dana untuk membina bangunan, menjalankan penyelidikan, menganjurkan forum, seminar dan pelbagai aktiviti. Saya sedikit teruja dengan bangunan ini kerana ia sebuah 'bangunan hijau'. Saya bernasib baik mendapat tahu mengenai program ini, bukan apa, kalau asyik aktiviti keusahawanan dan perniagaan pun 'beku juga otak'. Minda perlu disegarkan dengan aktiviti-aktiviti baru di luar minda semasa.

Banyak soalan yang dikemukakan dan dibincangkan antara panel yang terlibat. Prof. Vijay Kumar merupakan Profesor Kejuruteraan dan pernah terlibat dengan pentadbiran Obama sebagai Timbalan Pengarah Robotik dan Sistem Fizikal Siber dalam Polisi Sains dan Teknologi di Rumah Putih (2012-2013). Antara yang dibincangkan adalah teknologi drone dijangkakan menjadi kaedah serangan pengganas pada masa depan. Beliau membincangkan bagaimana USA perlu buat lebih banyak dengan teknologi, menambahbaik ekosistem keusahawanan dan inovasi dalam keusahawanan, serta bersifat terbuka dalam polisi imigran untuk 'menarik dan mengekalkan mereka yang memiliki bakat dunia datang dan kekal di USA'.

Ketika ditanya tentang opsyen lain untuk teknologi robotik, Prof Vijay menyatakan teknologi alternatif datangnya dari China yang lebih murah. Kekuatan China adalah 'kuasa negara'. Ahli panel lain turut bimbang apabila bakat-bakat berkaitan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) meninggalkan USA dan berhijrah ke negara lain. Ahli panel turut menekankan pentingnya mengekalkan 'manusia terbaik' dalam sektor awam. Mengenai ancaman pengganas juga, antara pandangan ahli panel adalah sebelum kerajaan memainkan peranan, komuniti harus memainkan peranan terlebih dahulu.

Ahli panel menekankan bagaimana komuniti boleh berfungsi jika seseorang meninggalkan komuniti dan 'terlibat dalam perkara lain'. "Somebody should know that one people left the network". Mengenai keselamatan negara USA, ahli panel menekankan ia bukan berkaitan bajet, mereka tidak risaukan tentang bajet, tetapi negara memerlukan komuniti perisikan yang hebat.

Mengenai inovasi teknologi, ia akan mengubah cara kita melakukan kerja. Banyak kerja akan terhapus dalam tempoh lima tahun mendatang.  "Time scale of technology change right now is much-much smaller". Apabila perisian komputer mula menjalankan kerja-kerja analitik, maka pekerja yang melakukan kerja-kerja analitik akan terjejas. Kos tenaga boleh diperbaharui (renewal energy) menjadi semakin rendah sekarang, kos bateri juga menjadi semakin rendah. "Sharing economy takes off". People will share everyting (i.e. Uber for example).

60 peratus hartanah di Los Angeles adalah lot parkir dan lebuhraya. Kemudahan penginapan, perniagaan akan berubah pada masa depan.

Tech will do great thing for us in next 5 years. More lower cost of production, precision machine, precision manufacturing  etc. 

Tech will change the way we behave. 

USA -  USD$3.6 trillion deficit of infrastructure. 

Kids learn from gadgets, not from teacher. 

More and more world affairs become national concern

What policy is to be developed to enable us have better technology? Empowering community to do more.

Identify those potential to become terrorist --> provide solution such as jobs etc.

Students from China and India are working together in Universities in USA. USA should grab this opportunities.

Selain itu, antara perkara penting yang saya pelajari dari forum ini adalah "ISIS/Al-Qaeda has no need to recruit anyone. Its about ideology. The ideology has been disseminating through website, PDF file,  WhatsApp, Twitter etc. Anybody can become terrorist"  Dunia telah berubah dan akan terus berubah, kita perlu berubah kerana dengan perubahan kita akan terus kekal maju.

Wassalam.

Panel Forum 

Bangunan ini memang mengujakan saya kerana reka bentuknya

Ramai peserta... 

Sunday, 27 November 2016

Coffee and Capital with Jayson Tischler (Rittenhouse Ventures)

Coffee and Capital with Jayson Tischler (Rittenhouse Ventures)
WHEN: Sept 27, 2016.  

WHERE: Quorum, University City Science Center, 3711 Market Street, Suite 800

Assalamu'alaikum,

Pada 27 September 2016, saya berkesempatan menghadiri sesi Coffee and Capital dengan   Jayson Tischler  dari Rittenhouse Ventures. Beliau merupakan alumni Wharton (MBA Wharton) dan Rittenhouse Ventures merupakan Syarikat Pemodal Teroka (Venture Capitals).  Syarikat ini melabut dalam syarikat berasaskan teknologi, dengan pelaburan USD$1 juta -USD$ 3 juta.  Berikut merupakan isi-isi penting daripada beliau:

Rittenhouse Ventures invest in prototype development and increasing their investment from time to time in the company invested.
  
VC is looking for the right people in the Founding Team.

Pilot customer is very important.

Use convertible notes (*Need to read of this academically).
1 million dollar invest = 4 million in share, founder get 1 million share.

If we raise USD1 million, this is what we can do.

Read Sensitivity Analysis.

Ben Franklin invest from 50K to 500K (early stage investor).

Need Financial Plan, Operational Plan

Be careful with Strategic Venture Capitalist or Corporate Venture Capitalist.

Large company of VC  is looking for technology that they can utilize.

Corporate VC --> What they want?  Be smart about them.

Find the right investor and partner.

Be careful with 'life sciences' as the capital is so high. You want USD10 million, they want to invest USD30 million.

We need to understand the big picture (company with multiple products).

Explain 'why', do not confuse investor.

Green tech products &  Clean energy --> You need technical knowledge and skills.

Education sector  is a tough sector. Think about the customer, district, school,  parent, principal, teacher. Individual customer is very tough.

How to show your value proposition.

When we should start talking to people about money?
-VC is eager to learn about new business environment.
-VC can recommend other people to your company, to invest some money.
-Philly ecosystem is very good.
-Aware about market readiness.

Does VC invest in non-profit companies? Mostly No.

Larger VC has 'marketing budget' to sponsor program.

In selecting a company, experience is much better than age.
More on quality of individuals on how to grow of companies and goals of individuals.

It is like a football team with a different position, sharing goals and outcomes.

Wassalam.


Jayson Tischler

Saya telah bersarapan pagi di rumah. Sampai di University City Science Center, saya 'bersarapan lagi'...he3, tapi menu ringan sahaja iaitu buah dan air jus...



Saturday, 26 November 2016

Entrepreneurial University - Universiti Berkeusahawanan

Assalamu'alaikum dan selamat bersua kembali,

Agak lama saya tidak mengemaskini blog ini. Memang saya begitu sibuk semenjak bulan September kerana fokus kepada penyelidikan saya berkaitan Entrepreneurial UniversityEntrepreneurial University merupakan revolusi kedua dalam sejarah moden universiti. Revolusi pertama adalah apabila universiti menambah misi kedua iaitu berkaitan penyelidikan. Misi pertama universiti sudah tentu berkaitan pengajaran dan pendidikan. Revolusi kedua menyebabkan universiti menambah misi mereka dari misi asal berkaitan i)pengajaran/pendidikan dan ii)penyelidikan dengan misi ketiga iaitu iii)keusahawanan dan sosio-ekonomi. Universiti tidak hanya dipertanggungjawabkan untuk mendidik dan menjalankan penyelidikan (menerokai dunia ilmu) tetapi menyebarkan penemuan ilmu baru, mengkomersialkan penemuan ilmu baru dan menjadi penggerak utama dalam ekonomi berasaskan pengetahuan.  Universiti diharapkan menjadi penggerak dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat dan wilayah, juga negara selain mencari penyelesaian berkaitan masalah dunia. Di Amerika Syarikat, universiti terkemuka sibuk dengan agenda hijau dan pembangunan lestari. Pelbagai inovasi dan teknologi baru dicari, ditemui, dikembangkan dan dikomersilkan untuk menfaat manusiawi, bukan untuk tujuan keuntungan komersil semata-mata. 

Di Malaysia, kita masih baru dalam revolusi kedua ini. Kita baru 10 tahun lebih kurang dalam era Universiti Penyelidikan. Bermula dengan UM, USM, UKM dan UPM, kini UTM juga diiktiraf sebagai Universiti Penyelidikan. Pelbagai skim geran dan insentif disediakan KPT untuk menjalankan penyelidikan, mengkomersilkan penemuan R&D Universiti  dan menghasilkan produk yang boleh menyelesaikan permasalahan manusia. Dalam kita benar-benar baru dalam era Universiti Penyelidikan, Universiti di Barat sudah berada dalam fasa Universiti Berkeusahawanan (Entrepreneurial University). Tulisan pertama membicarakan Entrepreneurial University diterbitkan dalam tahun 1983 oleh dua penyelidik iaitu Etzkowitz dan Burton R. Clark di dalam dua penerbitan berbeza. Universiti di AS semakin rancak dalam peralihan dan fasa Entrepreneurial University apabila Bayh-Dole Act diperkenalkan pada tahun 1980. Selepas Akta tersebut diperkenalkan, kegiatan R&D semakin rancak di universiti-universiti di AS dan impaknya boleh dilihat hanya selepas 10-15 tahun selepas itu.

Entrepreneurial University bukan semata-mata berkaitan pengkomersilan hasil R&D, atau konsep triple helix (universiti-industri-kerajaan) . Entrepreneurial University adalah satu konsep universiti untuk terus berdaya saing dalam masa kini dan masa akan datang. Entrepreneurial University adalah untuk menyokong perkembangan entrepreneurial economics, entrepreneurial society dan entrepreneurial government. Di Malaysia, kita masih belum mendengar banyak perbahasan mengenai konsep entrepreneurial economics, entrepreneurial society dan entrepreneurial government kerana ia merupakan konsep baru yang belum banyak dikaji dan dibahaskan oleh ahli akademik. 



Dalam konteks Entrepreneurial University, universiti diharapkan mempelbagaikan sumber pendapatan dengan menambah sumber kewangan ketiga. Sumber kewangan pertama adalah peruntukan  dari kerajaan dan sumber kedua adalah pelbagai yuran dikenakan untuk pelajar. Untuk itu, universiti diharapkan menjana pendapatan sendiri. Kajian kes di universiti di Eropah dan AS menunjukkan universiti yang berjaya mampu menjana pelbagai sumber pendapatan sehingga sumbangan kerajaan (atau sumber pertama dan kedua) hanya berjumlah 30% daripada sumber kewangan keseluruhan. Konsep endowmen yang diadaptasi dari konsep waqaf Islam amat berjaya di universiti di Barat. Harvard University mempunyai lebih USD$30 bilion endowmen. University of Pennsylvania sendiri mempunyai lebih USD$10 bilion endowmen dan termasuk dalam 10 universiti di AS yang mempunyai endowmen terbanyak. Warwick University di UK membuka pelbagai perniagaan dari kedai, hotel, perkhidmatan persidangan, kedai buku, perkhidmatan runcit dan pelbagai jenis perniagaan untuk menjana pendapatan sendiri. Hasil keuntungan perniagaan ini dipulangkan kembali kepada universiti dengan menambahbaik dan menyediakan kemudahan dan infrastruktur kelas dunia. 

Pendidikan keusahawanan di universiti harus dirancakkan. Bidang pengajian  lain tidak seharusnya cemburu kerana EU dan semua negara OECD sedar akan kepentingan pendidikan keusahawanan di peringkat tertiari. Program, kursus dan latihan keusahawanan merentasi bidang, di pelbagai fakulti, dalam pelbagai mod dan bentuk diperkenalkan di universiti terkemuka. Contoh inovasi kursus adalah keusahawanan kejuruteraan dan keusahawanan biosains. Kewujudan dwi-major adalah biasa di universiti di Barat dengan tren dwi ijazah semakin menjadi pilihan sama ada di peringkat sarjanamuda mahupun sarjana. Pelajar sanggup menambah tempoh pengajian dan membayar lebih yuran pengajian agar mereka boleh melengkapkan dwi ijazah di peringkat sarjanamuda mahupun sarjana. Malah sebahagain universiti telah mereka bentuk program pengajian sehingga ke peringkat sarjana, tidak terhad kepada peringkat sarjanamuda semata-mata. Kita di Malaysia masih sibuk dengan isu merekabentuk program pengajian dalam tempoh tiga tahun, graduan yang lari daripada membayar pinjaman PTPTN dan kadar pengangguran graduan yang masih tinggi.

Aspek utama Entrepreneurial University adalah pembinaan ekosistem keusahawanan. Infrastruktur asas seperti pusat keusahawanan, bank idea, pusat inovasi, pusat komersilisasi, innovation lab, incubator center, science and technology park merupakan ekosistsm asas di Entrepreneurial University ataupun juga dipanggil hard initiatives. Geran seperti Seed Funding dan geran komersilisasi ditawarkan di dalam universiti atau ditawarkan melalui pelbagai agensi dan syarikat swasta.  Pelajar mempunyai peluang untuk memulakan perniagaan semasa di dalam kampus di bawah penyeliaan dan bimbingan pensyarah, usahawan dan pakar industri. Pelbagai dana dan bantuan kewangan wujud dalam ekosistem keusahawanan ini sama ada dana disediakan oleh universiti, pelabur budiman (business angels), pemodal teroka (venture capialist), syarikat swasta, dana awam dan sebagainya.

Pendidikan dalam universiti seharusnya berorientasikan praktikal/tindakan, bukar sekadar teori. Di sebahagian besar universiti ternama di AS, pengajarannya adalah 30% sahaja teori dan 70-80% praktikal/tindakan. Dalam model pendidikan tinggi berasaskan Humboldtian, Napoleonik, Anglo-Saxon dan Anglo-Amerika, kajian menunjukkan universiti terkemuka dunia kini mengikuti Model Anglo-Amerika untuk terus berdaya saing dan berkeusahawanan. Hatta, universiti ternama di Eropah yang diwakili tiga model awal juga membuat pengubahsuaian untuk mengikuti model Anglo-Amerika. Saya tidak mencadangkan Malaysia mengikuti Model Anglo-Amerika sepenuhnya kerana Malaysia punya sistem pentadbiran, ekonomi, dan masyarakat yang berbeza. Sistem pendidikan dan sistem pendidikan tinggi (tertiari) di Malaysia sendiri adalah berasaskan model Anglo-Saxon yang bercampur dengan model Humboldtian, Napoleonik dan Anglo-Amerika. Kita perlukan model kita sendiri mengikut acuan kita sendiri, mengadaptasi amalan-amalan terbaik di Barat, tetapi disegarkan dengan roh dan semangat Islam. Jika kita mengabaikan aspek agama, maka ita juga akan jadi seperti Barat apabila mereka dasar sekularisasi dalam sistem politik dan ekonomi menyebabkan gereja/hal agama 'ditinggalkan'. Dasar dan sistem politik, ekonomi dan sosial mereka semakin hancur kerana bertindak mengikut hawa nafsu dan tuntutan akal semata-mata. 

Di Malaysia, kita masih berorientasikan teori (maksudnya kuliah oleh pensyarah) dengan kurangnya unsur praktikal dan pengukuran masih berorientasikan peperiksaan! Bermasalah sungguh Malaysia apabila rakyat kita masih sukakan peperiksaan. Apabila PMR dibuang, masih ramai nak peperiksaan, maka diganti dengan PT3! Apabila keputusan UPSR 2016 diumumkan, ramai ibu-bapa mengeluh kerana keputusan peperiksaan anak mereka kurang cemerlang. Memang peperiksaan penting tetapi jangan dianggap ia begitu penting kerana masih banyak lagi yang amat penting dalam kehidupan kita yang sementara ini. Sekali gagal bukan bererti gagal selama-lamanya. Tidak cemerlang akademik bukan bermakna kita tidak berjaya dalam kehidupan mahupun kerjaya. Saya teringat rakan saya di Birmingham dahulu, Dr. Midhat Nabil, pensyarah di UniMAP. Beliau tidak cemerlang dalam UPSR, PMR dan SPM tetapi mendapat ijazah sarjanamuda kelas pertama, lulus sarjana dan doktor falsafah dari University of Birmingham, UK dan kini bergelar pensyarah kanan di UniMAP. Baca kisah beliau di sini.  Masyarakat Malaysia seharusnya keluar dari kepompong sistem peperiksaan dan dasar kerajaan  perlu berubah jika kita ingin maju ke depan. Dunia sudah berubah, hatta negara Vietnam yang dahulunya jauh di belakang Malaysia pun sudah berubah. Bila lagi penggubal dasar dan rakyat di Malaysia hendak berubah? 

Penemuan R&D di universiti dan institusi penyelidikan perlu diberi ruang untuk menjadi prototaip sebelum dikomersilkan. Walaupun pelbagai dana telahd isediakan KPT, dana-dana dari universiti, kerajaan, dan industri perlu diperkembangkan dengan kerajaan memberikan lebih banyak insentif fiskal kepada usaha-usaha R&D, sama ada oleh agensi awam, swasta mahpun NGO. Lihatlah perbelanjaan R&D negara berbanding KDNK, kita masih terlalu jauh. Pemimpin kerajaan harus faham bahawa pelaburan ke atas R&D, sepertimana pelaburan ke atas inisiatif keusahawanan tidak mendatangkan hasil dalam masa yang singkat. Bayh-Dole Act di negara kapitalis iaitu AS sendiri mengambil masa sehingga 15 tahun untuk melihat hasilnya, apatah lagi usaha R&D di Malaysia, sebuah ekonomi campuran. Masakan kita dapat menyeberangi lautan luas dengan sebuah perahu kecil. Tetapi jika kita memberikan pendidikan, latihan, kepakaran dan timba pengalaman kepada rakyat kita, perahu kecil akan berubah menjadi bot kecil sebelum menjadi kapal kecil, kapal besar dan kapal kargo. Dengan kapal kargo, kita bisa membelah lautan. Kita telah berjaya dengan Petronas, sebuah syarikat milik Malaysia, digerakkan oleh rakyat kita sendiri, beroperasi dalam industri huluan sehingga hiliran dalam industri minyak dan gas. Kita mampu berubah dan kita mampu berjaya!!!

Semasa pelajar belajar, mereka perlu  diberi ruang dan sokongan untuk membuka perniagaan, mula berniaga dan mengembangkan perniagaan. Sama ada secara sambilan, atau kecil-kecilan, di dalam pusat inkubator, dalam makmal perniagaan, di kawasan taman sains, di dalam kompleks membeli-belah yang sebenar, pelajar perlu dibimbing dan dilatih sehingga usahaniaga mereka berjaya. Inisiatif berasaskan pelajar atau disebut soft initiatives ini penting dalam melahirkan graduan berkeusahawanan. Tidak semua graduan akan membuka perniagaan semasa belajar atau sesudah tamat belajar, ada yang mengambil masa 5-15 tahun selepas itu. Tetapi ilmu, pengalaman dan kompetensi keusahawanan yang diserap semasa di universiti itu akan berguna kelak. Hatta pekerja dan pengurus berkeusahawanan adalah lebih berdaya saing berbanding pekerja dan pengurus biasa. Dalam masa yang sama, dasar KPT tidak seharusnya memfokuskan kepada hard initiatives semata-mata kerana dalam jangka panjang, kajian menunjukkan soft initiatives lebih memberikan impak kepada ekonomi dan daya saing negara sepertimana dibuktikan oleh MIT dan Stanford University.

Pensyarah dalam konteks Entrepreneurial University adalah berbeza. Tugas dan tanggungjawab mereka bukan sekadar mengajar dan menyelidik. Mereka seharusnya menjadi pakar runding, pakar rujuk industri, terlibat dalam pembentukan dasar kerajaan, menjalankan kajian dan aktiviti bersama industri, menjadi panel industri, masuk TV membicarakan dan berkongsi kepakaran mereka dengan masyarakat, menggerak aktiviti kemasyarakatan, terlibat dalam membuka perniagaan, menjadi ahli lembaga pengarah syarikat/agensi kerajaan, bahkan menjadi CEO syarikat, sama ada bidang mereka perniagaan, kejuruteraan, sains, teknologi maklumat mahupun sains sosial. Dalam konteks pengajian Islam, pensyarah bukan sekadar pendakwah yang keluar di corong radio atau kaca TV, mereka adalah ilmuan yang membicarakan hukum-hukum baru, menulis di dada-dada akhbar, dilantik sebagai panel syariah pelbagai syarikat dan agensi, dan mensepadukan ilmu bukan wahyu kepada ilmu wahyu. Hatta, negara memerlukan ilmuan Islam yang menguasai ilmu sains dan teknologi sepertimana wujud dalam Tamadun Islam di Baghdad dan Andalusia. Sains dan teknologi, applikasi baru, perisian baru teknologi baru perlu direkabentuk untuk membolehkan manusia mengenal Sang Pencipta, semakin dekat dengan Allah AWJ, bukan semakin jauh dihimpit arus kemajuan dunia. Sememangnya kita mengejar dunia tetapi dunia yang kita kejar itu kita reka dan cipta semula agar ia mengikut fitrah dan Sunnah Allah dan Rasul-Nya.

Antara faktor kejayaan Entrepreneurial University  di Barat adalah peranan dan sumbangan alumni. Alumni bertanggungjawab memberikan dana yang cukup besar dalam bentuk endowmen kepada universiti mereka. Sumbangan individu alumni ini dari juta-juta USD sehingga beratus-ratus juta USD seorang. Alumni akan datang dan turun semula ke universiti untuk memberikan ceramah, berkongsi pengalaman mereka secara percuma. Alumni menaja pembangunan bilih kuliah, makmal sains dan teknologi, buku-buku dan bahan-bahan kuliah, kelengkapan makmal, ruang belajar, ruang santai, laluan pejalan kaki, dan juga membina bangunan. Alumni menaja kerusi Profesor dalam bidang yang khusus, menyediakan dana penyelidikan, menaja hadiah Pertandingan Rancangan Perniagaan, menjadi hakim dalam pelbagai aktiviti di universiti, sebagai entrepreneur-in-residence dan expert-in-residence secara percuma. Masyarakat Barat tahu bahawa setiap sumbangan mereka secara percuma akan membawa banyak kebaikan kepada mereka semula kemudiannya. Malangnya kita di Malaysia, usahawan yang sudah jutawan dan kaya-raya masih mengenakan bayaran yang tinggi untuk turun ke universiti. Tanpa imbuhan empat angka sekali datang mereka tidak berminat berkongsi rahsia kejayaan mereka dengan para pelajar, apatah lagi jika diminta memberikan khidmat percuma!!! CEO@University merupakan langkah baik KPT dalam membawa para usahawan kembali menabur bakti ke universiti. Moga-moga usaha memperkasakan peranan dan sumbangan alumni di universiti di Malaysia boleh dilipatgandakan.

Entrepreneurial University memerlukan senibina keusahawanan (entrepreneurial architecture) yang berbeza untuk setiap universiti kerana setiap universiti mempunyai sumber, keupayaan, kekuatan, kelemahan yang berbeza-beza, terletak di lokasi yang memiliki tahap ekonomi, geopolitik dan geostrategik yang berbeza-beza, di bawah tadbir urus kerajaan negeri dan tempatan yang berbeza-beza. Justeru itu, jika KPT mengharapkan universiti berubah dan berdaya saing, KPT seharusnya berubah, dasar KPT seharusnya berubah dan Universiti juga perlu berubah. Perubahan adalah kata kuncinya. Perubahan pertama di peringkat universiti adalah dengan menambah komponen misi berkaitan keusahawanan dan sosio-ekonomi dalam misi Universiti Awam di Malaysia. Penambahan komponen ketiga ini akan mengubah strategi, struktur, sistem, staf, gaya kepemimpinan dan budaya semasa di universiti. Jika universiti mengubah perkara ini, mereka tidak akan berjaya jika KPT dan dasar KPT dan dasar kerajaan tidak berubah.....Panjang lagi, kalau saya nak ulas bab ini. Saya belum bicara dengan menyeluruh tentang dasar kerajaan dan pembangunan wilayah, Triple Helix atau Quadraple Helix, kepemimpinan dan governans, pembangunan manusia, dan keusahawanan akademik serta pendidikan keusahawanan yang merupakan komponen utama dalam konsep Universiti Berkeusahawanan.  Saya berhenti di sini dahulu sebagai pembuka bicara. 


Kenangan bersama isteri di musim luruh terakhir di Philly sebelum kembali ke Malaysia 
pada tahun 2017, Insya-Allah. 

Saya bersyukur ke hadrat Allah Taala dan berterima kasih kepada KPT atas peluang diberikan untuk menimba sedikit ilmu dan menambah pengalaman di Wharton School, University of Pennsylvania dan menjalani kehidupan di Amerika Syarikat. Misi saya di AS adalah melihat, mendengar, berinteraksi, peka dengan sekeliling, belajar dan bawa balik apa yang baik dari Wharton School, University of Pennsylvania dan Amerika Syarikat, yang tidak baik saya tinggalkan di AS. Apabila saya lulus ijazah Sarjanamuda Pentadbiran Perniagaan dari UUM pada tahun 1996, dan kemudiannya mendalami ilmu agama, tasawwur (worldview) saya berubah. Apabila saya melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah dalam bidang keusahawanan di University of Essex, UK pada tahun 2006 (10 tahun selepas tamat ijazah pertama), tasawwur (worldview) saya berubah lagi. Apabila saya datang ke Wharton School, UPenn pada tahun lepas (2015), dan setelah setahun sebulan di AS, tasawwur saya berubah lagi. Pokoknya, kita harus bersikap terbuka, sentiasa ingin tahu/belajar, self-motivated dan mempungai kerangka pemikiran yang mampu menapis unsur-unsur yang tidak baik dari Barat, mahupun Timur. Di sebalik 1001 permasalahan dunia Barat, mereka punya kemajuan aqliah yang hebat yang mana ada yang boleh kita pelajari dan amalkan, sama sepertimana ketika Eropah datang belajar semasa era kegemilangan Tamadun Islam di Baghdad dan Andalusia. Wassalam.