Thursday, 15 December 2016

Agama Islam dan Pemuafakatan Masyarakat

Forum: The Role of Religion in Global Politics: An Interfaith Discussion

When : September 19, 2016 (130-300pm)

Where: Perry World House, UPenn
Who: 
Moderator: Prof. John Dilulio (Prof. of Politics, Religion & Civil Society, UPenn)
Panelist:
Reverend Luis Cortes (Founder, President & CEO Esperanza)
Rabbi Sharon Kleinbaum (Senior Rabbi, Congregation Beit Simchat Torah)
Maajid Nawaz (Founding Chairman, Quilliam Foundation)
Monsignor Marcelo Sanchez Sorondo (Chancellor, Pontificial Academy of Social Sciences)

Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera,

Pada 19 September 2016 yang lalu, saya menghadiri Forum bertajuk The Role of Religion in Global Politics: An Interfaith Discussion di Perry World House, University of Pennsylvania, USA. Terdapat lima wakil yang hadir yang terdiri daripada wakil agama Kristian, wakil agama Yahudi, dan wakil agama Islam. Diskusi antara agama adalah satu wacana ilmu yang lumrah di negara Barat, dalam usaha mereka memahami perspektif agama lain dalam sesuatu isu. Ia boleh berlangsung dalam keadaan harmoni kerana keadaan masyarakat Barat yang bersifat terbuka dan mengamalkan toleransi agama yang tinggi. Di Malaysia, ia mungkin belum cukup sesuai kerana masyarakat Malaysia tidak terbuka sepertimana Barat, dan toleransi agama di Malaysia tidak setinggi sebagaimana di Barat. 

Bagi seseorang Muslim, agama Islam bukanlah sekadar 'agama' atau ritual ibadat. Islam adalah satu cara kehidupan yang menyeluruh, meliputi perkara ibadat dan muamalat, politik atau tatacara kenegaraan (siasah syar'iyyah), ekonomi dan perdagangan (ikhtisad dan tijari), sosial dan kemasyarakatan (ijtima'iy). Islam meliputi ibadat khusus (seperti solat, puasa, zakat, Haji), ibadat umum (muamalat), tatacara berkeluarga iaitu aspek munakahat dan kaedah jenayah (jinayat) tersendiri (hudud, qisas, takzir). Islam memberikan garis panduan berniaga, tatacara berjiran dan bermasyarakat, hubungan kenegaraan, kepentingan memelihara alam sekitar dan menjauhi kerosakan di atas muka bumi,  berurusan sesama manusia (bermualamat) seperti mengharamkan riba, mengharamkan industri tertentu seperti khinzir dan arak dalam kalangan pengikutnya. Islam adalah agama dinamik, dalam pada aspek ibadat khusus ditekankan, Islam tidak menolak penggubalan hukum baru yang terletak di bawah hukum takzir.

Umat Islam merujuk kepada dalil qat'ie dan dalil zanni dalam berkehidupan di atas muka bumi ini. Dalil Qat'ie adalah dalil yang disepakati iaitu bermula dari Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak (bersandar kepada Al-Quran dan As-Sunnah) dan Qiyas (bersandar kepada Al-Quran dan As-Sunnah). Dalil Zanni merupakan dalil-dalil tidak disepakati para ulamak Islam seperi Masalih-mursalah, istihsan, dan uruf. Umat Islam yang mukallaf 'wajib' mempelajari perkara berkaitan Fardhu Ain iaitu meliputi bidang fiqh, tauhid/usuludidn dan tasawuf yang bersumberkan Dalil Qat'ie di atas.  Mazhab Fiqh (School of thought) terbahagi kepada empat mazhab yang utama iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Mazhab Aqidah atau ilmu tauhid yang utama dalam kalangan umat Islam adalah berteraskan kepada ilmu Aqidah aliran Asya'ari dan Maturidi dan ajaran akhlak yang berteraskan ilmu tasawuf yang dibawa oleh Imam Ghazali, Imam Nawawi, dan sealiran dengannya.

Memang terdapat dialog antara agama di Malaysia, tetapi bukan Muslim harus faham bahawa Orang Islam tidak suka, tidak mahu orang bukan Islam mencampuri urusan agama mereka (sepertimana isu RUU355) sebagaimana orang Islam sendiri tidak mahu dan tidak mencampuri urusan agama bukan Muslim. Bagi seorang Muslim, Al-Quran menyatakan "Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku." (Surah Al-Kafirun: Ayat 6).  Islam agama yang adil, keperluan bukan Islam dipenuhi tetapi tidak boleh merosakkan umat Islam kembali (seperti keizinan kedai menjual arak).  Saya yakin Malaysia memerlukan dialog antara agama, tetapi dalam konteks memahami perspektif setiap agama dalam berhadapan dengan sesuatu isu, tetapi bukan untuk memaksa pihak lain menerima pandangan mereka atas sesuatu isu. Bagi orang Islam di Malaysia, orang bukan Islam melalui perkumpulan dan NGO tertentu kelihatannya masuk campur hal orang Islam, dan ini mencabar mereka dan sudah pasti dialog dan perbincangan tidak dapat diadakan apabila wujud persepsi negatif dan prasangka antara satu sama lain. Dahulunya kita rakyat Malaysia boleh hidup saling hormat-menghormati antara pelbagai kaum, agama dan budaya, tetapi krisis politik, era pemodenan dan globalisasi yang memperbaharui dan mengubah nilai-nilai kehidupan tampaknya telah menjadikan masyarakat semakin berpecah, semangat perkauman semakin tinggi dan toleransi antara agama yang semakin terhakis.  

Dalam konteks Malaysia, warganegara bukan Muslim seharusnya menghormati Islam sebagai agama bagi Persekutuan Malaysia, kedudukan Raja-Raja, hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan Bahasa Melayu, memahami sejarah tamadun dan kenegaraan di Malaysia sejak ribuan tahun dahulu dan kontrak sosial yang dicapai apabila Malaya mencapai kemerdekaan dari naungan British pada 31 Ogos 1957 dan bertukar menjadi Persekutuan Tanah Melayu sebelum kemudiannya bergabung dengan Sarawak dan Sabah dan bertukar menjadi Malaysia pada 16 September 1963. Orang Islam (Melayu khususnya) amat toleransi terhadap kaum, bangsa, dan agama lain. Saya fikir tidak ada bangsa yang lebih toleran kepada bangsa dan agama lain di dunia selain orang Islam (Melayu) di Malaysia. Tidak susah untuk memahami toleransi umat Islam di Malaysia, sempadannya adalah jangan dikacau dan diganggu agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan orang-orang Melayu dan Bahasa Melayu, itu saja. Orang Melayu di Semenanjung Malaysia memahami hak dan keistimewaan Kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak dan memanjangkan hak keistimewaan ini kepada kaum-kaum Bumiputera  di kedua-dua negeri tersebut apabila kedua negeri tersebut bergabung dalam Malaysia.

Dalam pada saya mempertahankan Hak Keistimewaan Orang Melayu, saya lebih peduli dan prihatin Hak ini digunakan untuk orang Melayu yang masih tertinggal, terkebelakang, dan miskin, bukannya memperkayakan atau memajukan orang Melayu yang sudah berjaya. Dalam pada 'tiang seri' ini penting, saya juga menyeru orang Islam (Melayu) yang berjaya agar tidak bersandar kepada Hak Keistimewaan ini terus berjaya. Berdikarilah, bersainglah, berkorbanlah, tunjukkan bukti dan suri teladan bahawa orang Islam (Melayu) di Malaysia mampu berjaya atas titik-peluh, usaha mereka sendiri, atas merit mereka sendiri. Yakinlah kita orang Islam diberikan lebih banyak rahmat dan nikmat dari Ilahi yang memungkinkan kita berjaya di dunia dan akhirat.

Bagi umat Islam di Malaysia, "orang bukan Islam dan pelbagai kaum nak berniaga, nak mencari hasil kekayaan, nak berpersatuan, nak berpolitik, nak bermasyarakat, nak buat kebajikan silakanlah, tetapi jangan mencampuri urusan agama dan hak-hak kami", amat mudah. Buatlah apa sahaja dalam kerangka perundangan negara dan bagi orang Islam di Malaysia, kedudukan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong (SPB YDA) sebagai Ketua Negara perlu dihormati. Sumpah SPD YDA "Wallahi, Wabillahi, Watallahi" (Di Bawah Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan) untuk memelihara Agama Islam sepanjang masa dan 'kedudukan SPB YDA sebagai Payung kepada Eksekutif, Legislatif, Kehakiman, dan Ketenteraan' menunjukkan Malaysia bukanlah sebuah negara sekular. Tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia menunjukkan Malaysia negara sekular, tetapi ‘peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Malaysia menceminkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mana  Islam adalah agama bagi negara ini’. 

Orang bukan Islam tidak harus bimbang dengan umat Islam di Malaysia kerana Islam adalah agama keamanan, menjunjung tinggi prinsip-prinsip dan nilai-nilai universal seperti kebenaran, keadilan, integriti, kejujuran, dan kesopanan. Islam tidak memaksa penganut agama lain menganut agama Islam. Bagi umat Islam, Islam membawa rahmat kepada seluruh alam. 

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ


Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.(Al Anbiya : ayat 107).

Ini bermakna orang bukan Islam akan dapat berteduh dan bersama-sama menikmati rahmat dan kemakmuran dalam sesebuah pemerintahan berasaskan Islam. Islam bukan agama akhirat atau berteraskan kerohanian semata-mata, tetapi seimbang dunia dan akhirat. Wahyu yang pertama turun kepada Junjungan Nabi Muhammad SAW adalah perintah 'Baca', iaitu satu tuntutan menuntut ilmu untuk dunia dan akhirat. Umat Islam dituntut mempelajari ilmu dunia, tetapi jangan dilupa ilmu untuk kehidupan di akhirat (hereafter). Sejarah menunjukkan universiti tertua di dunia adalah Universiti Ez Zitouna, di Tunisia yang mula beroperasi pada tahun 737 Masihi, diikuti Universiti Al Qarawiyyin di Maghribi pada 859 Masihi dan kemudiannya  Universiti Al Azhar, Mesir yang ditubuhkan pada tahun 970 Masihi berbanding universiti tertua di Eropah, Universiti Bologna, Itali yang ditubuhkan pada tahun 1088 Masihi sementara Universiti Oxford, England pula dibuka pada tahun 1096 Masihi. 

Sejarah menunjukkan bagaimana kegemilangan tamadun silam seperti Abbasiah berpusat di Baghdad, Andalusia di Sepanyol dan Uthmaniyyah di Turki yang memamerkan toleransi agama yang tinggi sesama pengikut berlainan agama. Ketika kemuncak tamadun di Baghdad dan Andalusia, ulamak-ulamak Islam menerima orang bukan Islam untuk datang belajar tanpa sebarang diskriminasi. Ketika itu, Kerajaan Islam Umayyah, Abbasiah dan Uthmaniyyah mengizinkan  golongan minoriti bukan Islam seperti Yazidi dan Druze yang telah lama tinggal dan menetap di Iraq mengamalkan kepercayaan masing-masing, tanpa dipaksa menganut agama Islam. Ketika saya dan keluarga mengembara ke Sepanyol dalam  bulan Februari tahun 2009, kami dapat lihat sendiri bagaimana Masjid, Gereja dan Synagogue (Rumah Ibadat Yahudi) dibina berhampiran satu sama lain di Cordova semasa era Kegemilangan Andalusia. Semasa era kegemilangan Kerajaan Melayu Islam Melaka pada abad ke 15, Melaka adalah pusat perdagangan dunia, dan sekitar 83 Bahasa dipertuturkan di Melaka ketika itu. Negara Islam yang makmur amat toleran dengan kepelbagaian bahasa, agama dan budaya lain. 

Semasa Perang Dunia Kedua, Imam Besar Grand Mosque di Paris, Peranchis menyelamatkan ramai dari kaum Yahudi di Eropah dari dibunuh oleh Tentera Nazi Jerman. Malah, sebahagian Yahudi ini diberi 'Kad Pengenalan sebagai Muslim' dan diberikan 'kubur ibu-bapa palsu' untuk menyelamatkan mereka dari diburu dan dibunuh oleh tentera Nazi Jerman, begitulah prihatinnya Islam dalam memelihara nyawa umat manusia lain. Ini penting kerana dalam Islam, perkara yang utama (maqasid syariah) adalah memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Dalam mengatasi isu perhambaan dalam kalangan manusia, Khalifah Uthmaniah terlebih dahulu menghapuskan penghambaan di Afrika pada tahun 1847 dan menghapuskan semua jenis penghambaan di seluruh empayar Uthmaniah pada tahun 1882, jauh lebih awal berbanding Konvensyen Penghambaan 1926.

Islam adalah agama yang sempurna, tetapi umat Islam sememangnya tidak sempurna. Maka apabila berlaku sesuatu perkara besar seperti isu keganasan masa kini, jangan dikaitkan dengan Islam kerana Islam itu sendiri bermaksud selamat, amat menitikberatkan keamanan, kesejahteraan dan keadilan untuk semua pihak, tidak terhad kepada umat Islam semata-mata. Kita seharusnya insaf bahawa membina negara maju dan dicontohi memakan masa berpuluh-puluh atau ratusan tahun, tetapi memusnahkannya mengambil masa yang singkat dan tiada sesiapapun yang untung atas kemusnahan atau kerosakan sesebuah negara. Isu-isu seperti radikalisme, ekstremisme dan keganasan ada dalam mana-mana pengikut pelbagai agama, kaum dan fahaman. Ekstremis dan radikalisme dalam parti politik, NGO, kaum dan agama adalah virus bahaya yang perlu dicegah di peringkat awal sebelum ia bertukar menjadi barah yang akhirnya sukar dibendung dan dirawati. Jika saya ingin mencari perbalahan, maka saya boleh saja membentangkan bukti-bukti radikalisme, ekstremisme dan keganasan dalam kalangan pengikut pelbagai agama, kaum dan fahaman, tetapi apa gunanya. Kita tidak boleh mencapai pemuafakatan dalam masyarakat jika kita asyik mencari titik perbezaan, melebarkan jurang perbezaan sesama kita. Penawar kepada pemuafakatan masyarakat adalah prinsip kesederhanaan, mencari titik persamaan antara agama dan kaum, memahami sentimen dan sempadan antara agama dan kaum, serta menyantuni kepelbagaian pendapat antara agama dan kaum.  

Kita seharusnya meraikan perbezaan pendapat dan kecenderungan politik masing-masing, tetapi setiap sesuatu ada limitasinya. Jangan kecenderungan politik memusnahkan perpaduan komuniti, jangan sentimen politik memecahbelahkan agama, dan jangan ketaksuban politik menghalalkan kita berbuat apa sahaja. Cukup-cukuplah, berpada-padalah ahli-ahli politik dalam berpolitik untuk keuntungan politik masing-masing kerana perpaduan dan pemuafakatan masyarakat yang menjadi imbal balasnya aalah terlalu bernilai unutk dikorbankan demi manfaat politik. Akhir kalam, umat Islam sebagai golongan majoriti adalah teras kepada pembentukan masyarakat yang harmoni, toleransi dan berdaya saing di Malaysia. Perpaduan umat Islam adalah teras kepada perpaduan rakyat dan masyarakat di Malaysia. Saya telah menghuraikan sebelumnya sentimen dan sensitiviti umat Islam di Malaysia, maka sewajarnya agama dan kaum lain di Malaysia memahami perkara ini dan sama-sama merancang dan menjalankan gerak kerja untuk kita maju ke depan. Jalan ke hadapan, kita yang membinanya, destinasi dan masa depan Malaysia, kita yang mencoraknya, Malaysia yang maju, aman, harmoni dan toleransi adalah untuk kita semua.

Berbalik kepada forum ini, ahli panel Muslim menyatakan bahawa Islam memainkan peranan yang penting dalam memupuk toleransi sesama agama. Semasa tamadun Abbasiah, Islam sebagai agama dan cara hidup memainkan peranan penitng dalam kemajuan sains. Dalam kontinum pengaruh agama di dalam kehidupan, di hujung sebelah kanan adalah pemimpin agama membuat undang-undang untuk setiap ahli masyarakat dan dihujung sebelah kiri adalah agama tidak mempengaruhi budaya dan cara kehidupan, maka di mana Islam? Islam adalah agama sederhana, memupuk kesederhanaan (wasatiyyah) dalam pengikutnya. Kesederhanaan (wasatiyyah/moderates) dalam Islam bukan sekadar baik dan berkesan dalam menangani isu antara agama, tetapi mampu menangani isu politik, ekonomi dan sosial. 





Sebahagian besar tulisan di atas telah diterbitkan di dalam Merdeka Online

No comments:

Post a Comment