When : 5 December 2016 (1200-120pm)
Who : Frank Gong, Chairman, First Seafront Financial
Where: JMHH 345
Assalamu'alaikum,
Alhamdulillah, pada 5 Dis 2016 yang lalu, saya berkesempatan 'keluar dari bidang keusahawanan', mendengar dari bidang lain pula. Memang banyak progam dan aktiviti di Wharton, kena pilih-pilih. Kali ini penceramah undangannya datang dari China, Frank Gong, alumni (bekas pelajar PhD) di Wharton, pernah bekerja dengan Goldman Sachs di China dan kini mengasaskan firmanya sendiri, First Seafront Financial. Kiranya usahawan juga tu, walaupun bidang asal bukan keusahawanan tetapi ekonomi dan kewangan.
Kita hidup dalam dunia globalisasi, berita, peristiwa, urusan bergerak dalam saat, bukan hari atau jam lagi. Apa yang berlaku di seberang laut, kita akan ketahui dalam masa yang pantas asalkan akses internet ada. Kalau anda sebagai pegawai kerajaan, maksudnya Prosedur Operasi Standard (SOP) 'wajib berubah', jangan nak ikut yang lama, perlu ditambahbaik, perlu dikemaskini. Media kerajaan seperti RTM, TV1, TV2, Bernama, pelbagai radio dan media perlu bergerak sepantas media sosial. Media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, WhatsApp, Telegram, Viber, WeChat dan lain-lain amat pantas. Dalam masa lima minit, satu infografik atau klip video (mungkin betul atau salah) atau bergerak dan dibaca oleh puluhan ribu, ratusan ribu dan mungkin berjuta. Jika berita ini salah, ia boleh mencipta firnah dan menyebarkan persepsi salah dalam masa yang singkat.
Semasa saya di Malaysia, ada banjir besar di Kelantan dan Pahang pada Disember 2014 dan media sosial lebih terkehadapan dalam menyiarkan berita banjir ini. Di TV, media kerajaan hanya menyiarkan kenyataan yang sama dalam masa beberapa jam! Sedangkan media sosial menyiarkan berita dalam bentuk video dan gambar yang dikemaskini untuk setiap beberapa minit! Jadinya, jangan salahkan rakyat jika kurang percaya pada berita rasmi kerana berita dari pihak kerajaan agak lembap. Namun, saya juga mengingatkan diri saya dan rakyat Malaysia bahawa kita perlu menyebarkan berita yang benar dan sahih sahaja. Cuma, kebimbangan saya adalah berita media sosial yang tidak diketahui benar akan lebih dipercayai berbanding berita rasmi kerana ia lebih proaktif dan pantas berbanding sumber rasmi yang lembap dan reaktif.
Saya melihat media kerajaan seperti RTM dan sumber rasmi Kementerian dan Agensi kerajaan agak jauh terkebelakang' berbanding media sosial. Macam-macam cerita kita dengar dan lihat, tidak tahu betul atau salah. Dalam pada media kerajaan 'masih bergerak perlahan', sebenarnya 'kerajaan juga amat sukar' menyekat media sosial yang menyebar pelbagai sumber berita ini kerana jaringan, jangkauan dan liputannya amat luas, maka pilihan yang ada sebenarnya adalah agensi dan jabatan kerajaan 'mewujudkan akaun rasmi mereka' di pelbagai media sosial. Teknologi membolehkan syarikat kecil merentas sempadan membuka perniagaan yang dahulunya dikuaai syarikat besar dan bermodal besar sahaja. Dahulunya halangan membuka sebuah syarikat penyiaran, media penerbitan kerana ianya memerlukan modal besar dan teknologi canggih. Kini syarikat kecil boleh membuka empayar media mereka sendiri, menyediakan saluran TV sendiri, menerbitkan majalah atau penerbitan sendiri tanpa perlu dicetak, Malah, individu boleh membuka sebuah empayar media. Anda boleh membuka saluran TV sendiri, saluran media sendiri dengan berbekalkan platform media sosial dengan bermodalkan kreativiti dan bakat anda, dengan modal yang amat sedikit. Anak kedua saya sendiri teruja 'mencari duit' melalui Youtube, tai saya katakan, belum masanya dan bukan untuk itu beliau diciptakan Allah.
Inilah dunia teknologi hari ini. Dahulunya kita belajar dalam ekonomi akan pentingnya modal, buruh, tanah dan usahawan dalam kegiatan ekonomi (Saya harap kursus ekonomi di peringkat SPM dan universiti tidak lagi memberikan fokus kepada empat faktor pengeluaran ini). Dalam ekonomi global dan berteknologi ini, tanah, buruh, dan modal tidak begitu penting. Faktor yang penting adalah modal intelektual dan individu itu sendiri. (Saya tidak menafikan faktor lain juga penting). Dengan berbekalkan kreativiti, kemahiran menulis, kemahiran berkarya, ramai orang menjana pendapatan melalui blog semata-mata. Mereka yang kreatif, ataupun berada dalam industri kreatif, ada saja jalan boleh buat duit melalui karya kreatif. Contohnya klip video Pen Pineapple Apple Pen mencipta rekod apabila merupakan klip video ringkas yang ditonton lebih 67 juta dalam masa beberapa minggu sahaja. (Saya mendapat tahu klip video ini menerusi anak saya yang berusia 10 tahun...he3). Anda tidak perlu menjadi artis untuk popular seluruh dunia, dengan persembahan kreatif, anda boleh dikenali satu dunia. Dengan sebuah buku menarik di Amaazon, satu dunia boleh mengenali anda. Lihatlah Uber (dan GrabCar) yang merupakan syarikat teksi terbesar, tidak memiliki tanah, buruh, dan modal besar (modal disumbangkan oleh orang lain) dan tidak memiliki teksi. Lihat AirBnB yang memiliki puluhan ribu bilik penginapan tetapi tidak memiliki tanah, buruh dan modal yang besar. Semuanya dibolehkan dan dimudahkan dengan adanya teknologi.
Inilah ekonomi baru, ekonomi global berasaskan pengetahuan (intelektual) yang berubah daripada ekonomi berasaskan pengeluaran/industri pada dekad sebelumnya. Di Wharton, saya biasa membaca majalah yang dikeluarkan dan diletakkan di rak-rak di bangunan-bangunan utama. Kini, dengan Aplikasi iTunes atau Google Play, saya boleh mengikuti aktiviti di Wharton walaupun sudah jauh 15000++ kilometer di Malaysia. Semuanya di hujung jari anda. Dengan Applikasi sebegini, pelbagai urusan dan perhubungan, termasuk dengan alumni boleh diadakan dengan hanya sebuah telefon pintar.
Applikasi Wharton di iTunes @ Google Play.
Berbalik kepada ceramah hari ini, Frank Gong merupakan alumni Wharton, bekas orang kanan Goldman Sachs di China dan kini menjadi usahawan dengan membuka firmanya sendiri. Ia merupakan satu peluang yang baik untuk mendengar daripada kapitalis dari China sendiri tentang ekonomi mereka yang sudah tidak menjadi komunis. Universiti di USA telah berpuluh-puluh tahun memiliki program dengan alumni yang menyeluruh, dengan governans, struktur dan sistem yang lengkap, maka mudah saja mereka menjemput alumni-alumni mereka untuk memberikan tanggungjawab sosial di universiti masing-masing. Pembangunan alumni di Malaysia masih agak perlahan dengan sebahagian universiti hanya memiliki Unit Perhubungan Alumni dengan seorang Pengarah, seorang eksekutif dan 3-4 orang staf sokongan dan masih berpusat di bawah Timbalan Naib Canselor. Walaupun di Fakulti/Pusat Pengajian ada Timbalan Dekan bertanggungjawab terhadap alumni, pembangunan masih perlahan. Dalam Kerangka Kerja Kelayakan MQA, ada sedikit peranan dan sumbangan alumni yang perlu diketengahkan, itupun masih amat kecil. Di USA, alumni merupakan salah satu tonggak utama universiti dan merupakan sebahagian daripada ekosistem penting dalam sesebuah universiti. Kita perlu bergerak pantas.
Dr. Frank Gong
Dengan penduduk melebihi 1.4 bilion, Ekonomi China sekarang bernilai USD11 trilion dan China merupakan negara perdagangan terbesar di dunia, kuasa kedua ekonomi selepas USA yang bernilai USD$19 trilion. Dari segi jualan automotif, selepas tahun 2009, jualan automotif China melebihi USA dan kini merupakan pasaran automotif terbesar di dunia. Pasaran bijih besi di China adalah 45% dari pasaran dunia, pasaran tembaga China merupakan pasaran terbesar di dunia. Begitu juga dengan pasaran minyak China yang lebih besar dari pasaran USA.
Dari segi kegiatan M&A Global (Merger and Acquisition), China memguasai 15-20% pasaran M&A dunia pada tahun 2015. Dalam separuh tahun 2016, China menguasai 40% daripada pasaran M&A Global. Syarikat China, HNA Group telah membeli 25% ekuiti (bernilai USD$6.5 bilion) dari Blackstone Group dari USA dalam Rangkaian Hotel Hilton. Sebelum itu, China Chemical Group telah membeli syarikat kimia yang besar di Eropah. Lagi? Ekonomi China memperolehi lebihan dagangan sebanyak 15%-20% sebulan (bukan setahun bro!) dengan kini China merupakan pemegang terbesar US Treasury yang bernilai USD$1.3 trilion....Wow!!! China memiliki Simpanan Luar (Foreign reserve) sebanyak USD4 trilion iaitu 20% daripada simpanan dunia!!! Ayoyo...
Dr. Frank Gong mengakui China kini membeli aset di luar negara dan ekonomi China sendiri mengalami transisi. Katanya, 20 tahun dahulu, ekonomi China berasaskan buruh murah, tanah murah, hampir tiada cukai, pro pasaran dan China menjadi Pengeluar Global, hampir 90% barang di Wal-Mart diimport dari China. Mengikut pandangan Dr. Frank Gong, China sebenarnya membantu ekonomi USA apabila menjadi pengeluar global. Dengan USA mengimport barangan dari China, ia membantu kadar inflasi di USA kekal rendah. Dengan China membeli US Treasury (bon la tu), ia membantu USA mengekalkan kadar faedah yang rendah.
Setelah memberikan sedikit asas mengenai ekonomi China, beliau menjawab persoalan Mengapa ekonomi China perlu mengalami perubahan. Katanya iPhone dibuat di China. Dengan kos USD$500 bagi sebuah iPhone, Apple yang membuat rekabentuk, penyelidikan dan pembangunan, pemasaran dan penjenamaan memperolehi USD$350. Bakinya sebanyak USD$100++ dikuasai oleh negara dari Jerman, Jepun, Korea dan Taiwan yang menguasai teknologi dan membekalkan komponen elektronik. Jadinya USA berjaya (dalam hal ini Apple) kerana menguasai teknologi, rekabentuk, perkhidmatan, R&D dan sebagainya. Berapa yang China dapat? Margin pengeluaran hanya sekitar 5-10 % sahaja!!! Apple mempunyai margin sehingga 40%, dan Intel mempunyai margin sehingga 35/36%.
Untuk itu, China perlu berubah katanya dan tidak bergantung sepenuhnya kepada 'cara lama'. Walaupun ekonomi China kedua besar di dunia, China hanya sebuah negara 'low-mid income countries' (atau mid-low income countries?) . (Malaysia negara 'high-mid income countries' kalau tak silap saya). Banyak negara dahulunya terperangkap dalam mid-income trap seperti Jepun, Korea, Taiwan, Hong Kong dan Singapura berjaya keluar dari perangkap ekonomi pertengahan ini. China, sepertimana negara ASEAN juga masih terperangkap dengan mid-income trap ini (Setuju, sama seperti Malaysia). Masalah di China, sama seperti negara ASEAN katanya adalah harga hartanah yang melambung tinggi dan kesan rantaiannya menyebabkan kos pengeluaran juga meningkat. Apabila kos pengeluaran meningkat, negara perlu meningkatkan kadar produktiviti, kadar Pulangan Atas Modal dan kadar margin, tidak hanya boleh bergantung kepada margin pengeluaran 5-10% yang dinikmati 20 tahun dahulu.
Untuk itu, China faham bahawa dengan teknologi dan jenama sahaja 'anda boleh buat duit'. Bagaimana China hendak melakukannya? Dengan melabur dalam teknologi dan melabur dalam jenama, agar China boleh melonjak dari low-end kepada mid-end dan seterusnya high-end. China melihat USA sebagai pemimpin global dalam inovasi, perkhidmatan, jenama, perkara-perkara yang berkaitan dengan high-end economics. Untuk membangunkan R&D (@ teknologi), ia memerlukan masa yang panjang dan kos yang tinggi. Dari itu, strategi China adalah menguasai syarikat berasaskan teknologi di peringkat global dan syarikat yang memiliki jenama global yang baik kerana China memiliki modal yang besar. Dengan menguasai teknologi dan jenama, China akan memiliki R&D, saluran pemasaran, jenama, teknologi dan komponen penting untuk berdaya saing di pentas antarabangsa.
China perlu berkembang untuk kekal berdaya saing. Indeks S&P500 berkembang kerana kegiatan M&A dalam syarikat berasaskan teknlogi, menguasai pelbagai saluran dan jenama. China berkembang dengan dua strategi utama iaitu integrasi menegak untuk mengurangkan kos dan meningkatkan sinergi dan integrasi mendatar untuk meningkatkan syer pasaran. Adakah China mampu berkembang? China mampu berkembang kerana kadar simpanan China adalah 50%, kadar simpanan isirumah di China adalah 30%. Walaupun begitu, China juga sebenarnya banyak berhutang dengan nisbah jumlah hutangnya dengan KDNK adalah 250%, wow!!!. (saya baru tahu bab ini). Walaupun begitu, hanya sekitar 20% dari jumlah hutang China dipegang oleh Kerajaan Pusat, baki 60-70% jumlah hutang dipegang oleh kerajaan wilayah/tempatan dan 'State-owned-enterprise' (SOE ini warisan sistem ekonomi komunis). Malaysia juga memang banyak berhutang, walau sebenarnya tidak setinggi negara maju, China ataupun Singapura dengan pendedahan hutang Malaysia banyak kepada dana tempatan, bukannya pinjaman luar negara, sepertimana China jua.
Untuk China berkembang, pasaran modal kewangan di China harus berkembang seiring. Ini yang China perlu belajar dari USA, kata Dr. Frank Gong. Di USA, pinjaman bank hanya sekitar 15% daripada jumlah hutang dengan 80% pembiayaan adalah pembiayaan langsung (pembiayaan ekuiti). Di China, 80% kewangan adalah melalui pinjaman bank, pasaran pembiayaan ekuiti (pemodal budiman, pemodal teroka) hanya sebesar 15%. Maka, katanya China memerlukan pasaran modal ekuiti untuk terus berkembang. Saya fikir tidak jauh berbeza dengan Malaysia di mana usahawan, peniaga, pekebun, petani dan nelayan masih berharap pinjaman bank untuk memulakan perniagaan, berniaga dan mengembangkan perniagaan. Pasaran pembiayaan ekuiti kita, dalam kalangan pelabur budiman (business anges), pemodal teroka (venture capitalist) masih amat kecil. Sebab itulah, kata Dr. Frank Gong, ketika Jack Ma mahu memulakan Alibaba, beliau tidak mendapat pinjaman bank di China kerana pinjaman bank memerlukan cagaran (collateral), dan Jack Ma tidak berharta untuk mencagarkan asetnya kepada bank/institusi kewangan. Alibaba yang mempunyai modal di pasaran sebanyak USD$300 bilion sebenarnya bukan syarikat milik orang Cina di China, kata beliau. Jack Ma dan pasukannya hanya memiliki saham sekitar 10%, Yahoo memiliki saham melebihi 30% dan SoftBank juga memiliki saham yang besar dalam Alibaba, jadinya Alibaba dimiliki oleh pelabur global sebenarnya. Berbalik kepada perbincangan saya di peringkat awal, Jack Ma tidak memiliki modal, tanah dan buruh, tetapi berbekalkan dirinya sebagai usahawan dan modal intelektualnya, beliau berjaya!
Pembiayaan berasaskan modal (saya panggil pembiayaan ekuiti) yang diperlukan oleh China, kata Dr. Frank Gong, dengan China amat ketinggalan syarikat ekuiti persendirian, pemodal teroka dan pemodal budiman. Pasarannya berkembang, tetapi masih kecil. Saya fikir Malaysia pun sama, bila nak berniaga, usahawan dan peniaga memikirkan pembiayaan hutang (Pinjaman Bank dll), mereka tidak memikirkan pembiayaan ekuiti. Ada baik dan buruk pembiayaan ekuiti, tetapi Malaysia perlu memperluaskan pasaran pembiayaan ekuiti kerana ia naik dan jatuh bersama sesebuah perniagaan. Sebab itulah saya rajin mengikuti sesi Coffee & Capital di Science Center kerana hendak belajar dari Pemodal Teroka dan Pelabur Budiman mengenai modus operandi pembiayaan ekuiti.
Mengenai ekonomi masa depan, Dr. Frank Gong berpandangan apa yang berkaitan 'consumption' dan perkhidmatan, sepeti penjagaan kesihatan akan berkembang. Industrialization 4.0 is related with 'smart manufacturing', tailor-made product', rather than mass-production. China need capital market related products and financial service related products. Kemudian beliau berbalik kepada isu syarikat HNA membeli 25% saham dalam Kumpulan Hilton, Dr. Frank Gong menyatakan, ia berkaitan 'tailor-made' to family needs, how to personalize the services. Dalam dekad 1990an, Jepun membeli hartanah di luar negara, China tak akan mengikut kaedah Jepun.
Ada beberapa persoalan dari khalayak tentang apa lagi diperlukan China untuk mengembangkan pasaran modal. Pertamanya, China memerlukan Rule of Law dan Kerangka Kerja Perundangan. Menurut beliau Common Law lebih baik berbanding Continental Law, ini terbukti apabila Hong Kong lebih penting berbanding Jepun dalam industri kewangan kerana Hong Kong mewarisi Common Law daripada British. Selain itu, industri sekuriti di China masih terlalu kecil dengan sekitar 100 firma, dengan 20% syarikat terbesar menguasai 30% pasaran. China memerlukan konsolidasi pada masa depan. Undang-undang di China juga menggariskan penubuhan firma baru perlu dikuasai 51% oleh orang tempatan dan 49% oleh orang asing (firma sekuriti).
Kerajaan China masih antara 'kerajaan terkaya' di dunia kerana ia memiliki semua tanah di China (saya baru tahu, ingat dah berubah apabila China berubah kepada sistem kapitalis). Kalau beli rumah, ia hanya 'leasehold' selama 70 tahun sahaja. Mengenai pertanyaan tentang USA, antara kelemahan USA adalah kadar simpanan di USA masih rendah, sekitar 3-5% sahaja, namun USA mempunyai kelebihan bersaing kerana ia memiliki pasaran modal yang cekap, pendidikan tertiari di USA masih dianggap terbaik di dunia, USA masih menerajui dalam bidang pendidikan inovasi dan Dollar merupakan 'global reserve', ia satu keunikan yang tidak dipunyai oleh negara lain.
Di sebalik penerangan panjang lebar beliau, maka atas dasar itulah beliau mengasaskan First Seafront Financial iaitu untuk memudahcarakan modal-modal dari syarikat di China ke atas pasaran/lokasi yang betul. Rupa-rupanya beliau menceritakan tentang 'industry gap', satu permasalahan yang ditemui dalam industri dan mengambil peluang itu dengan menubuhkan syarikatnya sendiri. Maka, saya pun fahamlah mengapa dahulunya Lenovo membeli IBM Personal Computer, mengapa wujud jenama global dari China seperti Huawei dan Oppo, mengapa Syarikat China melabur berpuluh dan beratus bilion di Pulau Buatan di Johor, projek di Melaka, jalinan sistem keretapi baru ke Pantai Timur dan sebagainya. Syarikat Malaysia berstatus global hanyalah Petronas, syarikat lain masih tidak cukup besar untuk dipanggil syarikat global.
Satu ilmu yang selalu saya tekankan semasa di Persatuan Francais Malaysia dan sama dalam ceramah ini adalah kepentingan jenama. Antara kekuatan sistem francais adalah jenama yang kukuh. Persoalan utama adalah jenama tidak dibina dalam masa yang singkat. Dengan jenama yang kuat, anda mempunyai aset bukan kewangan yang cukup bernilai. China sedar mereka tidak punya banyak masa untuk membina jenama dalam pelbagai industri, maka mereka fokus kepada dua strategi utama iaitu membeli jenama global yang kukuh dan membina jenama sendiri (seperti Lenovo dll). Antara pengajaran dari ceramah ini adalah Malaysia perlu fokus kepada wilayah, menjadi juara wilayah. Malaysia tidak mampu membeli jenama global dengan banyak. Malaysia pernah membeli jenama global apabila PNB memiliki syarikat Sime Darby dan Guthrie. Setakat ini beberapa syarikat dalam industri perbankan (Maybank, CIMB), penerbangan (AirAsia) dan telekomunikasi (Axiata) Malaysia telah menjadi jenama wilayah. Malaysia perlukan syarikat berasaskan makanan untuk menjadi pemain peringkat wilayah. Indomie dari Indonesia telah menjadi jenama global, malah membuka kilang di Eropah. Redbull dari Thailand telah menjadi jenama global. Dalam industri francais Malaysia, sekitar 60 jenama tempatan telah menembusi lebih 50 negara di pasaran antarabangsa, 24 tahun setelah kerajaan mengambil peranan membangunkan industri francais tempatan secara rasmi.
Tidak dinafikan kita seharusnya mengambil beberapa peluang yang muncul di Asia Barat, UK dan Eropah sebagai contoh. Malaysia negara perdagangan, kita berdagang dengan pelbagai negara. Asia Barat mempunyai peluang besar kerana kuasa beli yang tinggi dan pasaran produk halal yang besar. Eropah sedikit susah kerana lebih jauh dan keperluan perundangan yang lebih ketat, tetapi pasarannya memang cukup besar. Fokus kita seharusnya adalah ASEAN dan Asia. Kita tidak cukup besar, tidak cukup kuat dan gagah untuk menjadi syarikat global, maka cukuplah kita menjadi juara wilayah, tidak sekadar juara kampung, buat masa sekarang. Lebih 3 bilion penduduk ada di Asia sahaja. Moga-moga lebih banyak jenama Malaysia menjadi jenama ASEAN dan jenama Asia. Maka dasar ekonomi, dasar perdagangan, dasar pendidikan tinggi, malah dasar berkaitan sosial perlu lebih fokus kepada ASEAN dan Asia. Wallahu'alam. Wassalam.
Satu ilmu yang selalu saya tekankan semasa di Persatuan Francais Malaysia dan sama dalam ceramah ini adalah kepentingan jenama. Antara kekuatan sistem francais adalah jenama yang kukuh. Persoalan utama adalah jenama tidak dibina dalam masa yang singkat. Dengan jenama yang kuat, anda mempunyai aset bukan kewangan yang cukup bernilai. China sedar mereka tidak punya banyak masa untuk membina jenama dalam pelbagai industri, maka mereka fokus kepada dua strategi utama iaitu membeli jenama global yang kukuh dan membina jenama sendiri (seperti Lenovo dll). Antara pengajaran dari ceramah ini adalah Malaysia perlu fokus kepada wilayah, menjadi juara wilayah. Malaysia tidak mampu membeli jenama global dengan banyak. Malaysia pernah membeli jenama global apabila PNB memiliki syarikat Sime Darby dan Guthrie. Setakat ini beberapa syarikat dalam industri perbankan (Maybank, CIMB), penerbangan (AirAsia) dan telekomunikasi (Axiata) Malaysia telah menjadi jenama wilayah. Malaysia perlukan syarikat berasaskan makanan untuk menjadi pemain peringkat wilayah. Indomie dari Indonesia telah menjadi jenama global, malah membuka kilang di Eropah. Redbull dari Thailand telah menjadi jenama global. Dalam industri francais Malaysia, sekitar 60 jenama tempatan telah menembusi lebih 50 negara di pasaran antarabangsa, 24 tahun setelah kerajaan mengambil peranan membangunkan industri francais tempatan secara rasmi.
Tidak dinafikan kita seharusnya mengambil beberapa peluang yang muncul di Asia Barat, UK dan Eropah sebagai contoh. Malaysia negara perdagangan, kita berdagang dengan pelbagai negara. Asia Barat mempunyai peluang besar kerana kuasa beli yang tinggi dan pasaran produk halal yang besar. Eropah sedikit susah kerana lebih jauh dan keperluan perundangan yang lebih ketat, tetapi pasarannya memang cukup besar. Fokus kita seharusnya adalah ASEAN dan Asia. Kita tidak cukup besar, tidak cukup kuat dan gagah untuk menjadi syarikat global, maka cukuplah kita menjadi juara wilayah, tidak sekadar juara kampung, buat masa sekarang. Lebih 3 bilion penduduk ada di Asia sahaja. Moga-moga lebih banyak jenama Malaysia menjadi jenama ASEAN dan jenama Asia. Maka dasar ekonomi, dasar perdagangan, dasar pendidikan tinggi, malah dasar berkaitan sosial perlu lebih fokus kepada ASEAN dan Asia. Wallahu'alam. Wassalam.
No comments:
Post a Comment