Sunday, 4 December 2016

Forum : Can European Democracy Withstand Growing Refugee Flow?

Forum:  Can European Democracy Withstand Growing Refugee Flow?

When : September 19, 2016 (1100am-1220pm)
Where: Perry World House, UPenn
Who:  
Kathleen Newland - Senior Fellow and Co-Founder, Migration Policy Institute, USA
Eric Schwartz - Dean, Humprey School of Public Affairs, University of Minnesota, USA
Catherine Wihtol de Wenden - Director of Research, National Centre for Scientific Research, French Ministryof Education and Research.
Nidal Betare - Palestian refugee in Syria and now in USA as a senior program manager at People Demand Change (PDC)
Moderator:  John Jackson, Jr. - Dean of the School of Social Policy and Practice, UPenn.

Assalamu'alaikum,



Selepas forum keselamatan negara dan minum pagi, forum lain pula berlangsung mengenai krisis pelarian perang di Eropah. Ia satu perkara menarik untuk diketahui memandangkan saya telah menulis sebuah buku mengenai Bahaya ISIS@Daesh (edisi pertama) di Malaysia yang dilancarkan pada 13 Ogos 2016 yang lalu.  Pelarian perang amat berkait dengan krisis Iraq-Syria yang telah memasuki tahun ke 14 (bermula semenjak USA menyerang Iraq dalam Perang Teluk Kedua pada tahun 2003). Krisis di Syria bermula secara umumnya pada tahun 2011 dan amat teruk pada tahun 2015-2016.  Krisis ini amat-amat teruk dan setakat ini belum nampak jalan penyelesaiannnya. 

Apa yang menarik dalam forum ini adalah panel yang terdiri daripada pelbagai latar belakang iaitu daripada USA, Eropah dan 'Pelarian'/refugee itu sendiri. Dari segi dasarnya USA merupakan sebuah negara yang menerima Asylum Seeker dan refugee semenjak kewujudannya pada zaman moden ini. Sejarahnya menunjukkan Benua Amerika telah didiami apabila Christoper Columbus menemui Kepulauan Bahamas pada tahun 1492. Namun sejarah menunjukkan orang-orang Viking telah sampai ke Benua Amerika Utara pada abad ke-11 lagi. Bukti-bukti juga menunjukkan Pedagang-Pedagang Islam dari Tamadun Islam Andalusia dan dari Benua Afrika telah sampai ke Amerika Utara jauh lebih awal dari Columbus.  Malah terdapat banyak bukti menunjukkan sebahagian suku orang Red Indian telah menerima Islam sebelum kedatangan Columbus. Di USA, terdapat Hari Kelepasan Am, Columbus Day, tetapi sebahagian negeri di USA tidak merayakan Columbus Day kerana mereka tahu Columbus bukannya pembuka Amerika Syarikat yang telah didiami. Sebaliknya ada yang merayakan Native Day.

Saya tidak mahu membicarakan sejarah lalu, namun USA adalah sebuah negara yang mesra pendatang/pelarian kerana itulah asas pembentukan USA pada tahun 1786 di mana pendatang-pendatang dari Eropah ini berjaya dalam peperangan 'menuntut kemerdekaan' dari Empayar British. Dari beberapabuah koloni kecil, USA berkembang menjadi 50 buah negeri dengan setiap negeri mempunyai pelbagai undang yang berbeza-beza. Terdapat Refugee Act yang dibentuk pada tahun 1980 di USA. USA juga memiliki "Public - Private Partnership  in USA creating a reservoir of refugee" dan program penempatan semula pelarian yang sememangnya berkos. Tidak hairanlah apabila saya dan keluarga sampai ke Bandar Portland di Negeri Maine pada Ogos 2016 yang lalu, terdapat komuniti Islam di sana yang datangnya dari Negara Arab dan Afrika. Biasanya mereka bekerja dalam sektor kerja kolar biru, pekerjaan-pekerjaan yang tidak diminati oleh warga tempatan USA.

Banyak isu yang dibincangkan dalam forum ini dan saya mendapat 'beberapa statistik terbaru' tentang krisis Iraq-Syria. Antaranya adalah panel berpendapat bahawa dunia patut buat lebih banyak lagi untuk menyelesaikan cabaran dan permasalahan di Syria. Mahu tidak mahu memang Eropah harus bertindak kerana Syria memang tidak jauh mana dari Benua Eropah. Terdapat panel yang berpendapat bahawa negara maju patut meningkatkan pendidikan dan latihan untuk para pelarian ini dan membentuk satu model yang lebih baik kepad pelarian perang ini. Jika kita membaca krisis pelarian di Eropah, kita akan menemui pelbagai isu seperti kawalan sempadan, perkampungan haram pelarian sekitar Calais, Peranchis, ada yang sanggup menukar agama untuk mendapat status Asylum Seeker, program keluarga angkat untuk menerima pelarian, program integrasi pelarian ke dalam komuniti setempat, perekrutan militan ISIS@Daesh di kem pelarian di Turki, bantuan pelbagai NGO Eropah kepada pelarian perang ini,  'kegiatan seks di perkampungan pelarian antara pelarian dan pekerja sukarela', dan macam-macam.  Dalam kajian saya ke atas ISIS@Daesh, antara lokasi perekrutan militan adalah kem-kem pelarian di sempadan Turki-Syria. Tanpa kawalan langsung pihak berkuasa keselamatan Turki, militan ISIS@Daesh menyusup masuk ke dalam kem dan mencari pemuda-pemuda yang diberi pilihan untuk kekal hidup di kem pelarian atau 'berjuang dan mati syahid'. 

Pada tahun 1990-an, terdapat sekitar 0.5 juta pemohon suaka di Jerman dan Austia. Kini terdapat sekitar 2 juta pemohon suaka di Itali dan Greece sahaja. Di Jerman sahaja terdapat 1 juta pelarian dan pemohon suaka. Di Peranchis, terdapat 60,000 pemohon suaka pada tahun 2014 dan jumlah ini meningkat ke 80,000 pada tahun 2015. Ini tidak dielakkan kerana Eropah hampir dengan kawasan konflik dan ini juga meningkatkan tekanan ke atas Kerajaan-kerajaan di Eropah untuk mencari jalan ke atas krisis di Syria khususnya.  Turki sahaja menerima 3 juta pelarian di sempadannya dan memegang kunci kepada krisis pelarian di Eropah. Setakat ini, Kesatuan Eropah menyumbang dana untuk membantu Turki menanggung pelarian ini. 

Di EU sendiri, sepanjang 2015-2016 sememangnya wujud situasi panik akibat kebanjiran pelarian yang tidak terkawal dari Syria. Kebanyakan pemohon suaka di EU yang tidak berjaya perlu kembali ke Turki semula (saya faham macam ni). Berbanding USA yang 'mesra pendatang/pelarian' (sebelum era Trump), EU sebenarnya mengalami masalah dalam menerima pelarian dan menjadi 'Benua Imigran'. EU mempunyai dasar perlindungan terhadap pekerja-pekerja dari Eropah dan perlu 'mematuhi' Konvensyen Antarabangsa mengenai Pelarian. Dahulunya, Libya mempunyai perjanjian dua hala dengan Peranchis dan Itali berkaitan isu pelarian, tetapi kini adalah tidak pasti kerana situasi yang bergolak di Libya. Memandangkan berjuta-juta rakyat Syria menjadi pelarian pada tahun 2015-2016, panel berpendapat EU akan menempuhi krisis baru kelak. Untuk itu, panel mencadangkan EU 'membangunkan keupayaan institusi' untuk berhadapan dengan isu pelarian ini.

Antara panel yang hadir adalah Nidal Betare, seorang Muslim, anak pelarian Palestin yang dilahirkan dan dibesarkan di Kem Yarmouk di Syria pada tahun 1979. Beliau mendapat ijazah Sarjana dalam bidang sosiologi politik dari Universiti Damsyik.  Menurut beliau, Syria mempunya 23 juta penduduk dan sekitar separuh daripadanya telah meninggalkan Syria. Sekitar 500,000 penduduk di Syria kehilangan rumah mereka dan tidak mempunyai tempat langsung untuk meneruskan kehidupan di Syria. Lebanon, jiran Syria yang mempunyai 5 juta penduduk telah menerima 2 juta pelarian dari Syria dan 500,000 pelarian dari Palestin, walaupun secara teknikalnya 'masih berperang.' (Satu pertiga penduduk Lebanon adalah pelarian!!!). Beliau bertanya, "Apa yang EU lakukan?"  


Forum ini mengingatkan saya tentang Masalah Pelarian Rohingya di Malaysia. Malaysia boleh dikatakan 'sebuah negara yang baik' dalam menerima pelarian. Dahulunya, kita tempatkan Pelarian Vietnam di Pulau Bedong di Terengganu. Di Sabah, kita menerima pelarian dari Selatan Filipina. Malaysia juga menerima Pelarian dari Kemboja. Di Kulim, 'kampung saya', ada Pasar Kemboja. Isteri dan anak perempuan saya biasa membeli telekung dan kain di Pasar Kemboja. Penjualnya adalah Orang Melayu Kemboja, tidak jauh berbeza dengan orang Melayu Semenanjung. Malah, Kerajaan Melayu Champa merupakan antara kerajaan Melayu tua di Kemboja pada zaman dahulu. Kini kita menerima Pelarian Rohingya, anggarannya dalam 56,000, mungkin boleh menjangkaui 60,000. Saya tertarik dengan pandangan ahli panel mengenai program pendidikan dan latihan untuk pelarian. Mungkinkah kita boleh lakukan sesuatu untuk Pelarian Rohingya di Malaysia? Cuma kita perlukan keseimbangan, jangan dikatakan orang, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan pula. Peribahasa ini wujud dalam sektor pekerjaan masa kini apabila ramai melihat 'kerajaan melayan' tuntutan majikan mendapatkan buruh asing, sedangkan masih amat ramai rakyat tempatan menganggur, dinafikan peluang kerja oleh para majikan. Contoh paling mudah adalah sektor kawalan keselamatan, Malaysia mendapatkan tenaga kerja dari Nepal, sedangkan Malaysia memiliki berpuluh ribu bekas tentera dan polis!

Sejarah dan bukti menunjukkan Malaysia negara 'pemurah' dalam menerima pelarian atas dasar kemanusiaan dan atas dasar persaudaraan Islam. Ini belum termasuk pendatang berizin dan tanpa izin yang berjumlah melebihi 2 juta. Dalam konteks ASEAN, bantahan Malaysia kepada Myanmar atas isu kekejaman dan pembunuhan besar-besaran ataupun bahasa sekarang disebut  pembersihan kaum (ethnic cleansing) oleh tentera dan kerajaan Myanmar terhadap orang Rohingya adalah amat berasas. Sememangnya pada ketika ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, antara tonggak utamanya adalah dasar tidak campur tangan antara negara-negara ASEAN. ASEAN telah berusia 49 tahun dan bakal memasuki usia 50 tahun. Untuk ASEAN maju ke depan, ASEAN perlu berubah. Lihatlah negara Eropah yang bangkit selepas Perang Dunia Kedua, bersatu sedikit demi sedikit, dari enam negara pengasas, Eropah menerima negara Eropah Timur dan negara bekas Kesatuan Soviet dan kini terdapat 27/28 negara bernaung di bawah Kesatuan Eropah. Atas kemusnahan Perang Dunia Kedua, EU diasaskan dan bangkit berasaskan 'supranational foundation' untuk 'menjadikan perang bukan sesuatu yang boleh difikirkan dan mustahil pada zahirnya", selain mengukuhkan demokrasi antara negaranya. 

ASEAN perlu transformasi apabila menjangkaui usia pasca 50 tahun. Perang di Selatan Filipina memberikan impak terhadap Malaysia. Perang di Vietnam dan Kemboja juga memberi impak ke atas Thailand dan Malaysia. Kini krisis di Rohingya memberikan impak terhadap Thailand, Indonesia dan Malaysia (selain Bangladesh). Bukan setakat perang, krisis ekonomi, krisis agama dan ketidakstabilan politik dalam negara ASEAN akan memberikan impak terhadap negara ASEAN lain. Kita hidup dalam dunia yang saling bergantung antara satu sama lain. Justeru itu, ASEAN perlu mencari muafakat baru untuk bergerak, bersatu dan maju ke depan. Jiran yang makmur akan memakmurkan jiran sekelilingnya. Jiran yang bermasalah akan memberikan tempias masalahnya kepada jiran-jirannya. Dalam menangani krisis Rohingya, Malaysia tidak boleh bertindak bersendirian, Malaysia perlu mengajak Indonesia, dan Thailand untuk bersepakat dan seterusnya merangka pemuafakatan baru dalam ASEAN. Malaysia juga perlu membawa Indonesia, Brunei dan Bangladesh menerusi OIC untuk bertindak, selain menggunakan platform UNHCR dan pelbagai mekanisme lain di peringkat antarabangsa. Inilah dunia baru, dunia globalisasi, di mana krisis, tragedi dan peristiwa di negara lain menjadi satu kepedulian baru bagi kita.  Ada 1001 langkah dan tindakan yang boleh diambil oleh negara. Sepertimana individu yang berbuat baik akan dibalas baik oleh Allah Taala, saya amat yakin, apa saja tindakan negara yang baik juga akan dibalas baik oleh Allah Taala jua.

Wassalam.


Barisan panel


Philadelphia tidak menerima cahaya matahari seperti Malaysia tetapi berusaha mengoptimakan sumber tenaga semulajadi ini.


Dinding pun dari kaca...

No comments:

Post a Comment