Monday, 17 September 2018

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN USAHAWAN (KPUn 2.0)

Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera,


No automatic alt text available.


Tulisan ini hampir saya siapkan pada 27 Julai 2018 yang lalu. Kemudian saya simpan dalam bentuk draf, ingat nak habiskan ia secepat mungkin, tetapi sibuk ke lain pula. Dalam dua bulan ini, saya mendapat maklumbalas pegawai di KPUn 2.0 tentang 'operasi dan kepeningan mereka'. Kemudian, selepas itu kita mendapat berita MARA kekal di KPLB setelah pelbagai tarik-tali. Hari ini, 18 September 2018, saya ada perbincangan dengan sebuah agensi kerajaan berkaitan pembangunan keusahawanan. Setelah melihat pelbagai ketidakjelasan dan ketidaktentuan tentang KPUn 2.0 (yang saya tahu), saya ingin memberikan sedikit pandangan mengenai KPUn 2.0. Pandangan asal saya adalah tidak perlu tiga kementerian iaitu KPDNHEP, MITI dan KPUn 2.0 jika penggabungan agensi dan pengurangan saiz merupakan agenda utama kerajaan baru, cukuplah KPUn 2.0 dan sebuah kementerian baru (atau asalnya dah ada), iaitu Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MiTI) diwujudkan semula. Ini bermaksud sebahagian besar agensi dan perjawatan dalam KPDNHEP dan MITI diletakkan dalam MiTI, manakala fungsi dan tanggungjawab berkaitan pembangunan keusahawanan dari KPDNKK dan MITI diletakkan di bawah KPUn 2.0. Memandangkan tiga kementerian telah ditubuhkan, tulisan ini fokus kepada KPUn 2.0 sahaja.

Saya merupakan penjawat awam, bertanggungjawab berkhidmat untuk rakyat dan 'serve the government of the day'. Bagi sesiapa yang mengenali saya secara rapat, saya seorang yang 'agak kritikal', tetapi dalam masa yang sama, saya punya ruang toleransi yang luas. Proses pembelajaran dan pengalaman sebagai ahli akademik seharusnya menjadikan seseorang itu analitikal dan kritikal, berhujah dengan fakta, angka, dan statistik, memiliki keupayaan mensintesis sesuatu perkara, tidak memperkatakan sesuatu di luar bidang kepakarannya, juga bijaksana agar tidak terperangkap untuk berhujah dengan mereka yang jahil. Pengalaman menyambung PhD dalam bidang keusahawanan di  University of Essex dengan kehidupan hampir 4 tahun di United Kingdom, meneruskan kembara ilmu selama 2 tahun di Amerika Syarikat sebagai Sarjana Pelawat di University of Pennsylvania, dan berkelana ke lebih 20 negara pula menjadikan saya punya ruang toleransi yang luas, meraikan kepelbagaian, tetapi sama sekali tidak berkompromi tentang agama saya. 

Ada dua pendekatan pembangunan keusahawanan dan usahawan sepanjang lebih 20 tahun ini. Pada tahun 1995, Kementerian Pembangunan Usahawan pernah ditubuhkan  oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad. Seingat saya, antara Bahagian di di bawah KPUn adalah Bahagian Francais dan Vendor dan antara agensi di bawah Kementerian yang sama adalah MARA. Namun perubahan tampuk kepemimpinan negara dari YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada YAB Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi kepada YAB Dato Seri Mohd Najib Abdul Razak menyaksikan KPUn dibubarkan. Ini pendekatan pertama iaitu agensi dan bahagian utama diletakkan di bawah satu kementerian. YAB Dato Seri Mohd Najib Abdul Razak mengambil pendekatan kedua iaitu meletakkan tanggungjawab pembangunan keusahawanan dan usahawan dalam pelbagai Kementerian, selain mewujudkan beberapa entiti baru seperti  MAGIC (Malaysia Global Innovation and Creativity Centre di bawah Kementerian Kewangan; https://mymagic.my/) dan TERAJU (unit strategik di Jabatan Perdana Menteri bertujuan menerajui, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara selaras dengan Pelan Transformasi Negarahttp://www.teraju.gov.my/). 

Memandangkan pesekitaran ekonomi dan bukan ekonomi pasaran domestik dan antarabangsa telah berkembang pesat dan berubah dalam 20 tahun kebelakangan ini, kewujudan semula KPUn 2.0 tidak boleh mengambil sepenuhnya kerangka kerja, falsafah dan strategi lama (KPUn 1.0). Antara perubahan dan arah aliran utama di peringkat antarabangsa adalah kemunculan Revolusi Industri 4.0, kemunculan China sebagai ekonomi kedua terbesar dunia, pasaran ASEAN yang memiliki lebih 600 juta penduduk dengan KDNK ASEAN dijangka menghampiri USD$3 trilion pada tahun 2018, jaringan penerbangan yang semakin lengkap dalam ASEAN dan Asia melalui syarikat penerbangan murah, dan kemajuan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Di pasaran domestik, populasi Malaysia semakin menghampiri angka 33 juta penduduk, bilangan dan nisbah institusi pengajian tinggi yang mencapai standard negara maju, KDNK Malaysia mencapai RM1.353 trilion (2017), taraf hidup rakyat yang semakin tinggi di sebalik beban kos sara hidup yang menggelisahkan orang ramai. Dunia yang menjadi semakin kecil memperlihatkan syarikat berasaskan ICT dan teknologi berkembang pesat seperti amazon.com, eBay, facebook, dan tesla. Di pasaran domestik, lazada merupakan antara syarikat yang mendapat sambutan pelanggan dan pengguna. 
   
Sudah tentu, tulisan ini tidak sempurna dan  boleh diperbahaskan lagi. Jadinya,  kewujudan semula KPUn 2.0 harus melihat dan menilai beberapa perkara:

1)Kerangka Kerja KPUn 2.0
Kerangka Kerja baru perlu mengkaji bagaimana proses keusahawanan bermula dan di manakah ia 'perlu berakhir', strategi, dasar,  dan insentif berkaitan setiap proses keusahawanan dalam skop kerja dan tanggungjawab KPUn 2.0. Ini bermaksud ia perlu mengambilkira:

a) Proses keusahawanan yang bermula  dengan cetusan idea perniagaan, pembangunan konsep perniagaan, bank idea, dan penyediaan Rancangan Perniagaan dalam usaha  membuka sesebuah perniagaan baru. KPUn 2.0 perlu memiliki strategi, dasar dan aktiviti dalam pembangunan keusahawanan yang jelas dan menyeluruh, meliputi perniagaan konvensional dan 'dalam talian' (online). 

b) Proses pembangunan perniagaan yang meliputi  inkubator perniagaan, R&D&C, pelancaran perniagaan baru, permasalahan dihadapi, perkembangan dan pertumbuhan perniagaan dari peringkat mikro, kecil dan sederhana. (Dicadangkan skop KPUn 2.0 berhenti setakat 'Medium Enterprises' sahaja dan skop 'Large Enterprise' diserahkan kepada MITI dan kementerian lain).

c) Jenis dan skop pembiayaan perniagaan (geran kerajaan dan bukan kerajaan, pembiayaan ekuiti dan hutang) dari modal awal, 'seed funding', modal mengembangkan perniagaan sehinggalah membolehkan syarikat Malaysia memasuki pasaran antarabangsa. Ini juga meliputi penggubalan dasar khusus melibatkan Pemodal Teroka (Venture Capitalist), pelabur budiman (Business Angels), 'crowdfunding' dan lain-lain.

d) Bantuan bukan kewangan (dasar, geran, insentif) yang meliputi aspek pemasaran, rekabentuk dan pembangunan produk baru, pengurusan kontemporari, pembangunan teknologi, pengurusan kewangan, dan sebagainya.

e)Bagaimana menangani pertindanan peranan, tanggungjawab dan skop pembangunan keusahawanan dengan agensi dan bahagian lain di Kementerian lain seperti MARDI, MTDC dan  FAMA, selain memperkasakan tugas dan tanggungjawab pembangunan keusahawanan (Unit Pembangunan Usahawan) yang terdapat dalam pelbagai agensi lain di bawah kementerian lain seperti RISDA, FELDA dan Perbadanan Kraftangan Malaysia sebagai contoh.

f) Terdapat beberapa kaedah dan alat pengurusan yang boleh digunakan dalam mewujudkan semula KPUn 2.0 yang lebih menyeluruh, cekap dan berkesan. Dalam strategi pengurusan apabila menghadapi kelembapan ekonomi dan masalah dalaman, biasanya organisasi menjalankan i)Penstrukturan semula (Re-structuring) ii)Pembetulan saiz (Rightsizing)   iii)Pengecilan saiz (Downsizing) iv)Pelupusan (Divestiture)  v)Tumpuan kepada perniagaan teras ('core business' @ Focus)  vi)Penggabungan (Merging). Selain itu, salah satu alat pengurusan, teknik SCAMPER sebenarnya boleh diadaptasi untuk mengkaji semula fungsi, tugas dan tanggungjawab agensi/jabatan/bahagian terlibat. Ini melibatkan  (S) substitute, (C) combine, (A) adapt, (M) modify, (P) put to another use, (E) eliminate and (R) reverse. Ringkasan teknik ini saya beri nama "R2D2DFM-SCAMPER". 

2)Kekuatan dan Kelemahan KPUn 1.0:

a)Apa kekuatan dalam KPUn 1.0 yang perlu dikekalkan dan ditambahbaik.
Contohnya, Bahagian Francais dan Vendor di dalam KPUn 1.0 telah melalui transformasi dan menjadi Bahagian Pembangunan Francais di bawah KPDNKK (sebelum PRU-14). Dari sebuah negara yang tidak memiliki sistem francais tempatan, Malaysia mempunyai Akta Francais 1998 (Pindaan 2012), lebih 800 sistem francais berdaftar, lebih 50 sistem Malaysia telah berjaya memasuki 60 buah negara. Kejayaan pembangunan francais Malaysia wajar diteruskan dan diperkasakan dan dicadangkan Bahagian Pembangunan Francais diletakkan kembali di bawah seliaan KPUn 2.0 bersama agensi berkaitan iaitu PNS. 

b)Apa kelemahan dalam KPUn 1.0 yang perlu diperkuatkan semula atau dibubarkan.
Contohnya, adakah Bahagian Vendor perlu diperkuatkan semula atau dibubarkan terus? KPUn 2.0 memerlukan kajian mengenai perkara ini. Adalah lebih baik bersabar dan menantikan hasil kajian yang tuntas dari membuat keputusan drastik yang merugikan jangka panjang.

c)Apakah kelemahan dalam KPUn 1.0 yang perlu melalui proses "R2D2DFM-SCAMPER"?
Saya tiada jawapan mengenai perkara ini kerana kekurangan info.

3)Agensi dan Bahagian Dalam KPDNKK yang boleh diserapkan ke dalam KPUn 2.0

a) Industri Francais Malaysia 
Meliputi Bahagian Pembangunan Francais dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS).

b) Gerakan Koperasi 
Meliputi Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Maktab Kerjasama Malaysia, Bank Rakyat. Koperasi wajar diperkasakan dengan 'semangat keusahawanan' yang baru. Dunia baru adalah dunia 'entrepreneurial cooperative' yang menjaga kebajikan dan kepentingan ahli-ahlinya, dan dalam masa yang sama membuat keuntungan yang bersesuaian.

c) Bahagian Pembangunan Perniagaan 
Meliputi pelbagai aktiviti seperti Latihan Keusahawanan PKS dll.

4)Pemerkasaan agenda pembangunan keusahawanan di Malaysia boleh dilakukan dengan beberapa agensi berkaitan Pembangunan Keusahawanan di dalam mana-mana Kementerian atau Jabatan lain  boleh ditempatkan semula di bawah KPUn 2.0.

a) Institut Keusahawanan Negara (INSKEN)
INSKEN dilihat mengalami pengecilan saiz atau tidak diberi keutamaan sebelum ini dan diletakkan di bawah TERAJU. INSKEN berperanan melaksanakan pembangunan kapasiti melalui program-program yang didorong-industri (industry driven) dan dipacu usahawan (entrepreneur-led) secara kolaborasi swasta-awam dan dengan pelbagai agensi. INSKEN wajar diberi nafas baru, diperkasakan semula, ditambah peruntukan, mengambilalih beberapa fungsi dan tanggungjawab agensi/jabatan/bahagian lain. Antara jurang dikenalpasti dalam pentadbiran pembangunan keusahawanan di Malaysia adalah dalam bidang penyelidikan keusahawanan. Kita kekurangan dasar berasaskan penyelidikan. (policy-based research). Dasar tidak boleh dibuat berasaskan 'naluri, ikut rasa, ad-hod, sentimen politik' tetapi berasaskan kajian yang mendalam dan menyeluruh.  

b) Malaysia Global Innovation and Creativity Centre (MAGIC)
MAGIC sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Kewangan (MOF), sebuah kementerian yang 'perniagaan terasnya' tidak berkaitan dengan keusahawanan. Sinergi dan keselarian MAGIC dengan agensi dan jabatan di dalam MOF adalah kurang. Maka, dicadangkan MAGIC diletakkan di bawah KPUn 2.0.

c) TERAJU
Fungsi dan peranan asal TERAJU adalah:
  • Menerajui Agenda Bumiputera seperti yang digariskan dalam “Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera” selaras dengan Pelan Transformasi Negara lainnya, termasuklah Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Strategic Reform Initiatives (SRI) merentasi kementerian dan sektor.
  • Memacu pelaksanaan Agenda Bumiputera melalui penerokaan inisiatif-inisiatif baru dan memperkenalkan pembaharuan kepada instrumen sedia ada. 
  • Menyelaras pelaksanaan inisiatif-inisiatif pembangunan ekonomi Bumiputera melalui kerjasama strategik dengan agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
TERAJU memiliki beberapa pertindanan dengan MARA, PUNB, dan beberapa dana institusi perbankan. "R2D2DFM-SCAMPER" wajar dijalankan terhadap TERAJU. 

d) SME Bank
Dengan fokus utama SME Bank adalah perkembangan dan pengukuhan PKS (SME), maka amatlah tepat SME Bank diletakkan di bawah KPUn 2.0 (diambil dari MITI). Skim semasa yang bersesuaian dengan KPUn 2.0 harus diteruskan, skim yang tidak sesuai dipindahkan ke Bank/Institusi lain, dan skim baru diperkenalkan seiring dengan peranan, tanggungjawab dan skop KPUn 2.0.

e) MARA (tulisan pada 27 Julai 2018)
MARA diletakkan di bawah KPUn 1.0 sebelum ini sebelum akhirnya diletakkan di bawah KKLW. MARA memiliki dua teras utama iaitu keusahawanan dan pendidikan (serta pelaburan) untuk golongan Bumiputera. Berbanding diletakkan di bawah KKLW/KPLB, MARA dicadangkan diletakkan semula di bawah KPUn 2.0. Penjajaran semula fungsi dan peranan sektor keusahawanan dalam MARA  boleh dilakukan dengan agensi/bahagian di bawah KPUn 2.0. Dalam masa yang sama, sektor pendidikan boleh diperkasakan dengan tujuan melahirkan pelajar (dan guru) mempunyai ciri, sifat dan nilai keusahawanan walaupun mereka tidak menjadi usahawan. Sektor pelaburan juga harus dijajarkan semula dengan fungsi dan tanggungjawab KPUn 2.0.
*MARA kini diletakkan di bawah KPLB.

f) SME Corp.
SME Corp merupakan agensi di bawah MITI dan merupakan sekretariat kepada pembangunan PKS di Malaysia. Berbanding agensi lain yang masih baru/muda/kecil seperti MAGIC, TERAJU, dan INSKEN, SME Corp memiliki strategi, dasar dan program yang lebih tersusun untuk PKS. Memandangkan saya mencadangkan skop KPUn 2.0 adalah pembangunan perniagaan dari mikro, kecil sehingga ke tahap sederhana, mengintegrasikan SME Corp ke dalam KPUn 2.0 bakal memperkasakan kementerian baru ini.

g) PUNB
Sewajarnya agensi ini diletakkan di bawah KPUn 2.0 kerana sejarah dan penubuhannya sememangnya berkaitan dengan pembangunan usahawan Bumiputera. Memandangkan MARA diletakkan di bawah KPLB, adalah MARA perlu fokus usahawan luar bandar, PUNB fokus usahawan bandar? Ataupun had pembiayaan menjadi perbezaan dua agensi ini? Perlu perbezaan yang jelas antara dua agensi ini untuk mengelakkan pertindanan, meningkatkan kecekapan dan mencapai KPI masing-masing (Begitu juga dengan agensi lain agar mereka tidak merebut pasaran dan KPI yang sama sebaliknya mencapai KPI dalam skop pasaran yang jelas).

h) Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN dan MATRADE

Jika AIM dan TEKUN diletakkan di bawah KPUn 2.0,ia akan melengkapkan 'rantaian nilai keusahawanan' dari mikro ke kecil dan sederhana. Ini bermakna peniaga dan usahawan boleh dibimbing dan dibantu dari mikro sehingga ke peringkat sederhana dalam sebuah kementerian. Walaupun naluri saya lebih menyetujui kedua-dua agensi di bawah KPUn 2.0, keputusan akhir memerlukan perbahasan dan kajian tuntas. MATRADE mungkin lebih sesuai di MITI tetapi banyak juga peranan MATRADE sebenarnya diperlukan dan sedang digunakan oleh PKS, berbanding syarikat besar. Ini memerlukan perbahasan baru tentang fungsi dan tanggungjawab MATRADE dalam era IR4.0.

5) Apakah Bahagian baru dan Pemerkasaan Baru boleh diperkenalkan dalam KPUn 2.0? 
Ini memerlukan kajian merentasi bahagian dan agensi sedia ada, serta agensi yang akan dimasukkan. Ia juga memerlukan masa untuk melihat pertindanan sedia ada, mengelakkan pertindanan baru, penstrukturan semula, keperluan pengecilan bahagian/agensi tertentu, perpindahan staf antara agensi dan bahagian, kemungkinan penggabungan antara unit/bahagian dari pelbagai bahagian/agensi yang akan membentuk bahagian baru, pelupusan/penutupan unit/bahagian yang tidak perlu, keperluan untuk bahagian dan agensi fokus kepada perniagaan teras mereka, mengubahsuai bahagian/agensi dengan fungsi dan peranan baru yang memerlukan "reskilling, retrain, reeducation", sertaperjawatan baru yang memerlukan perluasan kerja, pengayaan kerja, penggiliran kerja, 'multitasking' dan rekacipta semula kerja.  KPUn 2.0 juga seharusnya mewajarkan kerjasama dengan bahagian/agensi lain dalam Kementerian lain seperti dengan Universiti Awam, IKBN, dan ILP.

RUMUSAN

Pihak kerajaan memerlukan kerangka komprehensif yang jelas dan betul dalam melaksanakan perkara ini. Pertamanya, diharapkan tiada mereka yang akan kehilangan kerja walaupun berstatus kontrak. Ini kerana kesukaran mendapatkan pekerjaan dalam situasi ekonomi semasa dan yang lebih penting adalah KPUn 2.0 seharusnya melahirkan perkara baru, agenda baru, strategi dan dasar baru, bukan sekadar mengelakkan pertindanan atau mengurangkan kos.  Keduanya. penjajaran dan pengubahsuaian dengan IR4.0 dan Industri 4.0, globalisasi dan regionalisasi, serta hasrat dan kepentingan rakyat (terutama rakyat bawahan) merupakan antara faktor utama. Keusahawanan adalah masa depan negara. Kita rugi jika tidak bertindak sekarang, sekurangnya dalam merebut pasaran ASEAN dan Asia, jika tidak pasaran dunia sekalipun. Akhir kata, bagi saya, kunci utama penubuhan KPUn 2.0 adalah visi dan misinya. Jika jelas dan elok visi dan misi KPUn 2.0, isu dan masalah bahagian/agensi mana di bawah kementerian mana, dan lain-lain masalah akan dapat diatasi. Apakah visi dan misi KPUn 2.0?

Wassalam.
Prof. Madya Dr. Mohd Hizam Hanafiah
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
Universiti Kebangsaan Malaysia


2 comments:

  1. Satu tulisan dan pandangan yang amat baik oleh prof yang saya lihat perlu diberi perhatian ke arah menreformasi bidang keusahawan di Malaysia khususnya buat Bumiputra.

    ReplyDelete
  2. I want to post a remark that "The substance of your post is amazing" Great work.
    training in data analytics

    ReplyDelete