Sunday, 23 September 2018

SELAMAT MENYAMBUNG PERJUANGAN DI BUMI ANBIYA'



Image may contain: 7 people, including Rosmina Mohd Izan, Nur Aisyah Fatihah and Mohd Hizam Hanafiah, people smiling, people standing, shoes and indoor

Assalamu'alaikum dan selamat berbahagia,


Masa berlalu begitu pantas. Tiga bulan puteriku di tanahair terasa begitu cepat. Aku cuba memenuhi sebahagian permintaanmu lantaran lamanya kau tidak kembali ke tanahair. Akan adat manusia dan kesibukan kerja, pasti ada yg tidak dapat ditunaikan dan tidak sempurna. Tetapi itulah lumrah kehidupan, ada kurang di sini-sana tetapi kebersamaan itulah yg lebih utama. 


Kini, kau kembali menyambung perjuanganmu di bumi Anbiya, bumi Mesir. Seperti mana ibumu amat sukar melepaskanmu kali pertama dulu, tetap sukar beliau melepaskanmu kali ini. Hilang sahabat bicara dan teman pengiring, beliau akan kembali ‘kesunyian’ selama 9 bulan. Walaupun aku sentiasa disisinya, tetap tidak dapat mengganti tugasmu sebagai sahabat bicara dan teman pengiring. 

Hidup adalah perjuangan. Perjuangan untuk Allah dan Rasul yang bermula dengan Perjuangan untuk diri sendiri. Melepaskan diri dari belenggu hawa nafsu, meletakkan diri dalam mencari keredhaan Allah sebagai matlamat utama. Tidak ada perjuangan yang mudah. Tetapi kesukaran dan kepayahan ketika diuji itu sentiasa baik untuk kita. Oleh sebab itulah, kita perlu setiap masa berprasangka baik dengan Allah. 

Selamat berangkat anakandaku. Doaku sentiasa mengiringimu, satu-satunya puteriku. Ogos 2015, kau bermusafir ke sana, Okt 2015, kami bermusafir ke bumi Amerika. Tiga tahun kau tidak kembali ke tanahair, dua kali kau ke bumi Amerika. Masih kuingat kata-katamu akan lamanya tidak kembali ke tanahair tercinta. Namun, Allah Taala mengizinkan sekitar 6 bulan kau habiskan usiamu di bumi Amerika. Walaupun tidak berpeluang mendapat pendidikan di Amerika seperti adik-adikmu, pasti banyak kau pelajari dalam tempoh 6 bulan tersebut dan peluang berkelana ke 20 buah negeri di bumi Amerika. 

Perjuanganmu masih jauh. Ada beberapa tahun lagi. Semakin jauh, semakin tinggi, pasti semakin sukar. Aku yakin perjuanganmu tidak terhenti setakat bumi Mesir. Aku berdoa ada bahagianmu di bumi lain pula. Pengalaman hidupmu di tanahair tercinta, United Kingdom, Mesir dan Amerika pasti berguna untuk dirimu suatu masa kelak. Tidak ramai mereka satu generasi denganmu yang berpeluang mendapat pengalaman ini. Bersyukurlah.

Untuk berjaya di dunia perlukan ilmu, untuk berjaya di akhirat juga perlukan ilmu. Ingatlah, kejahilan merosakkan. Fahamilah, kejahilan menjerumuskan manusia ke lembah kehinaan. Banyak bezanya orang berilmu dengan orang jahil. Jadilah orang berilmu. Tetapi berilmu saja tidak mencukupi. Perlu iman dan taqwa. Jangan merasa cukup dengan ilmu, iman dan taqwa kita. Perhentian terakhir bagi mereka yg berjalan di atas jalan yg lurus adalah Perhentian Siddiqin. Moga-moga engkau memahaminya kelak suatu masa nanti. 

Walau apa ujian datang melanda, walau apa yang bakal mendatang, ingatlah Allah Taala ada untuk kita minta dan mohon. Jadikanlah kemanjaan, rayuan, memohon sesuatu itu hanya kepada Allah Taala semata-mata. Allah Taala adalah segala-galanya bagi kita. Cukuplah Allah Taala bagi kita. Itulah didikan dariku dan ibumu sedari kecil untukmu. Moga-moga semakin bertambah usia, semakin memahami dan merasai dirimu akan kebenaran kata-kataku ini.

Wassalam

No comments:

Post a Comment