Tuesday, 12 June 2018

HARGAILAH AYAH KETIKA HIDUPNYA

Assalamu'alaikum,


Saya terkedu sebentar apabila melihat sebuah klip video di Facebook yang memaparkan seorang ayah yang meninggal dunia ketika sedang sujud terakhir sebelum tahiyyat akhir, ketika solat berjemaah bersama anak-anak dan isterinya. Ia satu klip video yang menyentuh hati apabila seorang anak kecil melulu, menangis dan mendakap ayahnya yang bujur dan kaku di atas sejadah, sementara si abang mengambil tanggungjawab mengetuai solat tersebut (tahiyyat akhir) sehingga salam dan kemudiannya semua anak dan si isteri datang menangis dan memeluk jasad si ayah yang telah dipanggil menghadap Ilahi. Walaupun ringkas, ia peringatan yang baik untuk mereka yang masih punya seorang ayah, bapa, abah, baba, walid atau pak. 


Saya dan tiga adik-beradik lain telah merasai kehilangan seorang ayah ketika saya berumur 6 tahun, adik lelaki saya ketika itu berumur 5 tahun, sementara kedua abang saya berusia 7 dan 9 tahun. Pemergian ayahanda pada Ramadhan pertama tahun 1978 adalah satu detik penting yang mencorakkan kehidupan saya dan kami adik-beradik kemudiannya, juga mencorakkan peribadi dan pemikiran saya dalam meniti arus kehidupan di dunia yang fana ini. Sebelum pemergian ayahanda, kami empat adik-beradik dibawa pulang ke kampung bonda untuk tinggal bersama nenda kerana bonda perlu menjaga ayahanda di hospital. Dari Hospital Kulim, ayahanda dipindahkan ke Hospital Bukit Mertajam. Tidak lama di kampung, kami kemudiannya dibawa semula ke rumah ayahanda di mana kelihatan jasad ayahanda terbujur kaku di atas katil, kami duduk sebaris berhadapan katil ayahanda, dengan ramai tetamu datang berziarah. Kemudian ayahanda dimandikan, kemudiannya dikafankan di mana kami adik-beradik diberi 'sesuatu' untuk ditaburkan di dalam kain kafan. Seterusnya ayahanda dibawa ke  Masjid Kulim, disolat jenazah dan dikebumukan di Tanah Perkuburan. 

Pemergian ayahanda memanglah sukar bagi kami empat beradik lelaki, tapi sebenarnya lebih sukar bagi bonda. Kata bonda, ketika ayahanda disahkan meninggal dunia, dunia terasa kelam dan gelap gelita, bagaimana mahu dia membesarkan empat orang anaknya yang masih kecil dan perlukan belaian dan kasih-sayang seorang ayah. Kehidupan kami sekeluarga berubah 180 darjah. Tiada saudara-mara terdekat mengambil tahu mengenai Hari Raya Pertama kami sesudah pemergian ayahanda (sekitar 28/29 hari sesudah ayahanda dikebumikan). Akan kasih bonda pada anak-anaknya, dengan sedikit wang yang ada, beliau berjalan kaki beberapa kilometer ke Pekan Kulim (belum bandar ketika itu) untuk membeli baju baru untuk kami adik-beradik menyambut Raya Puasa. Akan saya pula, ketika itu di kelas tadika mengambil keputusan berhenti tadika kerana sebelumnya Pak saya yang menghantar dan mengambil saya dari kelas tadika (kami panggil Pak - panggilan orang Utara). Bonda saya tidak membantah pula kerana tempoh tadika pun tinggal dalam tiga bulan sahaja lagi.

Kehidupan kami seterusnya merupakan episod-episod baru yang penuh bermakna, berhikmah dan bernilai. Bonda mengambil upah membasuh pakaian di rumah seorang Cina dan membuat kuih siput dan sagon untuk kami jual di sekolah. Adalah sedikit jualan, saya pun tidak tahu dapat membantu bonda atau tidak. Saya terlalu kecil untuk memahami keperitan bonda dalam mencari nafkah. Kami sering membawa bekal ke sekolah dalam bekas tupperware dan air teh O, dengan tiga dan kemudian empat tupperware dalam satu plastik. Antara bekalan yang sering dibawa adalah mee sanggul. Mee sanggul menjadi 'makanan saya sekeluarga' sehingga kini. Alhamdulillah, bonda mempunyai seorang adik perempuan yang turut memberikan bantuan bulanan untuk kami meneruskan kehidupan. Zaman tu, belum ada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti sekarang. 

Kehidupan kami tanpa seorang ayah memang banyak banyak kurangnya. Ketika saudara-mara berbincang tentang nasib kami empat beradik, saya pernah memberitahu bonda saya bersetuju untuk tinggal di rumah anak yatim. Namun beberapa perkara yang berlaku seterusnya akhirnya menyaksikan kami empat beradik bersama bonda pulang ke kampung dan hidup bersama nenda. Kehidupan tanpa seorang ayah adalah kehidupan tanpa tempat bermesra dan bermanja, tiada seseorang untuk dirujuk, tiada seseorang untuk dipanggil ayah, tiada seseorang untuk berkongsi kisah kelana, suka dan duka ketika remaja. Kehidupan tanpa seorang ayah adalah seperti tiada seseorang untuk dijadikan teman berkata, tiada kawan untuk dijadikan rakan berhujah ketika meniti dewasa. Ketika meniti zaman sekolah menengah di MRSM Balik Pulau, saya selalu memerhati rakan-rakan yang berduit sering menelefon keluarga mereka dengan telefon di luar pagar sekolah selain dikunjungi mesra ibu-bapa mereka. Ia bukan satu kecemburuan, tetapi satu rasa keinsafan yang mendalam bahawa mempunyai ayah itu banyak rahmat dan nikmat dari-Nya. Ia satu renungan jiwa dan santapan rohani yang cukup bermakna apabila menghayati kisah Baginda Nabi Muhammad SAW sendiri hidup tanpa berbapa sejak dilahirkan kerana ayahanda baginda meninggal dunia ketika baginda di dalam kandungan dan bagaimana kehidupan baginda seterusnya ditinggalkan bonda ketika berusia 6 tahun.

Sudah pasti, kehidupan tanpa seorang ayah menjadikan kami hidup dalam penuh kesusahan dan kemiskinan kerana hilangnya mata pencarian keluarga, dan pada ibulah juga seorang ayah. Kesusahan dan kemiskinan itu punya harganya yang mahal di sisi manusia, ia tidak boleh dibeli di gedung membeli-belah walaupun anda jutawan ataupun belajar di universiti walau sebijak manapun anda. Saya menyedari dan menginsafi rata-rata orang kampung ketika itu susah, ada jiran yang juga kematian ayahnya ketika masih kecil dan ada anak jiran yang dibela Toknya sedari kecil. Ada jiran yang lebih ramai adik-beradik dari kami tetapi kematian ibunya dan ada dua pupu kami yang kematian ibu dan bapanya semenjak kecil, dibela tok dan nenek mereka. Bagi kami sekeluarga, basikal Raleigh tinggalan bapa saudara itulah kenderaan kami ke sana-sini, berebut-rebut adik-beradik untuk memboncengnya sehinggalah kenderaan pertama kami sekeluarga adalah sebuah motorsikal Yamaha pada tahun 1991 yang dibeli adik saya dengan berbekalkan pinjaman dari ibu saudara.

Kesusahan dan kemiskinan itu sebenarnya satu 'rahmat' dari Ilahi untuk disyukuri apabila melihat orang lain yang jauh lebih susah dan miskin. Ia punya nilainya yang tersendiri apabila mengimbau kenangan kami berjalan-jalan sekitar kawasan Jirat Cina di Keladi Kulim, mencari-cari apa yang boleh dibuat permainan, melihat bonda menerima zakat pada setiap bulan Ramadhan di masjid, melihat adik menerima pakaian sekolah dan bantuan dari PIBG, dan beramai-ramai mencubik sebelah bahagian seekor ikan kembung ketika makan tengahari di rumah. Kesusahan dan kemiskinan itu cepat mematang dan mendewasakan diri. Ketika kanak-kanak lain mungkin bersuka-ria, kami sibuk naik pokok manggis demi mencari sedikit upah, membantu Tok mengutip durian, serta menculik buah pinang untuk dijual di kedai Cina di Pekan Junjong. Ketika rakan-rakan diberikan wang poket oleh MARA dan wang tambahan oleh ibu-bapa, saya menggunakan wang poket MARA untuk berniaga kad raya, maggi, nasi lemak, burger, ice pong, keropok, snek, menjual air minuman, mengoperasi mesin minuman automatik, dan lain-lain ketika dari sekolah menengah sehingga ke matrikulasi.

Di atas kehilangan seorang ayah, Allah Taala memberikan dan menjadikan kami adik-beradik insan yang cekal lagi tabah, sentiasa ingat pada bonda, tidak lalai dalam kehidupan, dan menjadi insan berguna. Bersyukurlah bagi anda yang masih punya seorang ayah walau ayah anda punya 1001 kelemahan dan kekurangan. 

Di sebalik kegarangan dan ketegasan seorang ayah, sebenarnya ayah mahukan anak-anaknya berdisiplin, tidak melalui keperitan hidup sepertinya, tidak gagal sepertinya, tidak mensia-siakan kehidupan yang fana ini. Ayah tidaklah sempurna, tetapi ayah mahukan kehidupan anak-anaknya lebih sempurna berbanding kehidupan dirinya.

Di atas kesibukan ayah, beliau mencari rezeki untuk anak-anak dan isteri yang dikasihinya. Jika ayah bekerja seperti biasa, ada saja permintaan anak-anak yang tidak dapat dipenuhinya, maka ayah bekerja lebih masa dan sibuk daripada biasa. Jika ayah bekerja seperti biasa, anak-anak semakin membesar, makan dengan lebih banyak, pakaian lebih besar, selera lebih tinggi, gaya hidup semakin berubah, mampukah ayah menyediakan keperluan-kehendak tambahan ini? Tida, ayah perlu bekerja lebih keras dan lebih kuat, sudah pasti lebih sibuk.

Di dalam masa tertentu ayah kelihatan bersama dengan kawan-kawannya, berborak santai di kedai, memancing di sungai mahupun laut, janganlah berduka. Ayah juga manusia biasa, ayah penat bekerja, ayah perlukan rehat dan masa dengan kawan-kawannya. Kadang-kadang ayah perlukan masa untuk dirinya sendiri. Ayah mahu membuat apa yang disukainya sekali sekala kerana berkala-kala ayah kesibukan untuk keluarganya. Fahamilah diri ayah...

Di atas kejayaan anak lulus belajar dari pengajian di menara gading, ibu ternyata gembira, ayah pun turut gembira. Tetapi hati ayah tidak tenteram sepenuhnya. Dapatkah anaknya pekerjaan yang sesuai, di organisasi yang sesuai, di lokasi yang sesuai, dengan gaji yang sesuai? Jika anaknya mula bekerja sendiri, ayah akan terfikir gagal atau berjayakah anaknya kelak, tidak susahkah anaknya dengan kerja sendiri itu nanti, mampukah anaknya menjadi lebih baik berbanding dirinya.

Di atas kejayaan anak mendapat kerja, minda ayah berfikir bolehkah anaknya mengharungi dunia baru yang ternyata berbeza dengan dunia belajar. Fahamkah anaknya tentang suka-duka, sepak terajang, mainan politik dalam dunia pekerjaan? Retikah anaknya tentang manusia yang suka bermuka-muka, bersama ketika bahagia, berjauhan ketika dilanda gempita?

Di atas kegembiraan seorang ayah melepaskan anak daranya untuk berkahwin, tersemat di dalam hatinya kepiluan dan kesedihan atas amanah Allah yang dipegangnya sekian lama akhirnya terpaksa dilepaskan keada seorang lelaki lain. Terselit 1001 persoalan, mampukah suami anaknya itu menjaga anaknya sepertimana dia menjaganya dari kecil. Fahamkah suami anaknya itu dengan perangai, kerenah, gelak-tawa dan manja anak gadisnya itu. 

Hargailah ayah ketika hidupnya. Ayah tidak mahukan wang-ringgit kerana ayah punya wang sendiri dan persediaan di hari tua, ayah tidak perlu kereta baru atau kereta mewah, cukuplah kereta ayah sedia ada, bukan ayah nak ke mana-manapun, ayah tidak mahukan pakej pelancongan ke luar negara, cukuplah beristirehat dan beribadat di dalam rumah sendiri dan penuh selesa, ayah tidak perlukan dunia, kerana ayah hanya melihat hari akhirat, manakala bagi ayah, cukuplah dunia bagi ayah dalam membesarkan anak-anaknya. Ayah cuma mahu melihat anak-anaknya (dan cucu-cucunya) berjaya dalam kehidupan, dunia dan akhirat, 




Anda tidak tahu bagaimana rasanya hidup tanpa kasih-sayang dan perhatian seorang ayah, maka bersyukurlah. Saya sendiri tidak tahu bagaimana rasa hidupnya tanpa kasih-sayang dan perhatian seorang ayah dan seorang ibu sepertimana dialami anak-anak yatim piatu, maka saya syukuri rahmat dan nikmat Allah meminjamkan seorang ayah selama 6 tahun (bapa mertua), dan ibu kandung yang masih hidup sehingga kini. Kita masing-masing mempunyai pengalaman putih, kelabu dan hitam dalam kehidupan masing-masing, tetapi itu bukan penghalang kita dari mensyukuri rahmat dan nikmat Ilahi kerana setiap sesuatu pasti ada hikmahnya dan natijah kebaikan untuk kita. Setinggi mana ilmu kita, sebanyak mana harta kita, sehebat mana darjat kita, hargailah ayah ketika beliau masih hidup. Namun, jangan dilupa, anak-anak yatim, orang susah, para ibu tunggal yang sentiasa perlu dibantu, "mereka juga sentiasa di hati saya kerana itulah saya". Wassalam.



No comments:

Post a Comment