Tuesday, 30 May 2017

PERLUKAH MALAYSIA TENAGA NUKLEAR?

 

Assalamu'alaikum, selamat berpuasa dan selamat sejahtera, 

Perlukah Malaysia tenaga nuklear?  Bagi saya tidak perlu. Saya bukan pakar nuklear, juga bukan saintis atau ahli fizik ataupun pakar dalam bidang tenaga, cuma seorang rakyat Malaysia yang prihatin dan sayang akan negaranya. Mengapa tidak perlu? Pertamanya, kita masih punya banyak sumber minyak dan gas untuk menampung keperluan tenaga masa kini dan masa depan. Walaupun Malaysia bukan ahli OPEC, lapangan dan rezab minyak dan gas kita memang banyak dan saya yakin mencukupi untuk tempoh 20-30 tahun lagi (tidak termasuk penemuan rezab baru dalam tempoh mendatang).  Keduanya kita masih  banyak sumber tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy @ RE) yang belum dioptimumkan sepenuhnya. Ini saya bahaskan kemudian dalam artikel ini. 

Ketiganya, teknologi nuklear adalah mahal dan memerlukan kepakaran dan standard yang tinggi dalam mengawal dan menyelenggaranya. Kos membina satu reaktor nuklear amat mahal, dengan kos yang sama, kita boleh melabur dalam RE dan mendapat tenaga dan hasil yang lebih serta risiko yang lebih rendah. Keempat, di sebalik Malaysia memiliki tenaga pakar nuklear di UKM dan universiti lain (contoh: ijazah Sarjanamuda  Sains dengan Kepujian (Sains Nuklear) yang dikeluarkan UKM), agensi nuklear seperti Agensi Nuklear Malaysia (dahulunya MINT dan terletak bersebelahan UKM) dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom, kita memiliki beberapa kes pengawalan dan penyelenggaraan bahan berbahaya yang bermasalah seperti kes di Bukit Merah, Perak, perlombongan bauksit di Pahang dan beberapa kes lain.  

Kelimanya, tenaga nuklear memiliki risiko yang amat tinggi. Dengan Malaysia yang tidak sebesar mana, bencana yang boleh diakibatkan oleh reaktor dan tenaga nuklear adalah terlalu besar. Sebuah reaktor nuklear yang bermasalah (katakan di Perak), sebahagian besar pantai Barat boleh menerima kesannya. Maka kesannya ke atas nyawa manusia, kesihatan manusia, kegiatan perdagangan dan ekonomi, keselamatan negara dan kelangsungan negara amatlah besar. Bacalah kisah di Chernobyl, Ukraine  pada tahun 1986 (dahulunya bawah USSR) dan tragedi tsunami Fukushima, Jepun (11 Mac 2011) dan pelbagai risiko dan masalah reaktor dan tenaga nuklear di AS semenjak 1960-an. Saya difahamkan Tragedi Chernobyl menyebabkan kita tidak mengimport susu tepung dari negara Eropah untuk beberapa tahun kerana bimbangkan kesan radioaktif  dari tragedi ini.   

Keenam, secara peribadi, bukannya tidak yakin, tetapi saya sendiri agak risau dan bimbang dengan standard, sikap dan kelakuan orang Malaysia apabila berhadapan dengan industri berisiko tinggi seperti tenaga nuklear. Dengan memerlukan modal yang amat besar, risiko terlalu besar, tetapi dalam masa yang sama Malaysia mempunyai alternatif lain yang berisiko lebih rendah, dengan menggunakan modal yang sama, dengan kepakaran sedikit berbeza, saya pasti tidak memilih tenaga nuklear. Malah, beberapa negara maju juga dalam proses menutup reaktor nuklear mereka dan menggantikannya dengan RE. Jerman dalam proses menutup semua reaktor nuklear dan menggunakan tenaga boleh diperbaharui (RE) sepenuhnya. Negara-negara Scandinavia menetapkan sasaran bergantung sepenuhnya kepada RE antara 2020-2030. Hatta Jerman membina Pulau Buatan untuk menjana tenaga angin dan tenaga solar yang akan disalurkan ke Jerman dan negara berhampiran. Dengan arah aliran masa kini, perkembangan teknologi, 1001 sebab tenaga nuklear semakin tidak diperlukan, dan pelbagai alternatif terbaik wujud masa kini, mengapa pula kita perlu membina reaktor nuklear untuk menjana tenaga?

China yang terkenal dengan pencemaran udaranya kini antara pengeluar RE terbesar di dunia dan kini berjaya mendapatkan sasaran 15% 'non-fossil fuels in primary energy consumption'. Ladang tenaga solar di China begitu luas, bukan sahaja di darat tetapi terapung di atas laut. Di India, kos penghasilan RE telah jatuh dan rendah daripada menggunakan tenaga berasaskan arang batu dan banyak rancangan loji tenaga berasaskan arang batu telah dibatalkan. Malah AS sebagai negara pengimport terbesar minyak dan gas sendiri bercita-cta menjadi pengeksport tenaga menjelang 2040. Kalau anda belajar ekonomi, kos menhhasilkan RE akan jatuh dan terus jatuh pada masa depan dan menjadikan ia alternatif terbaik kepada tenaga berasaskan nuklear, minyak, gas dan arang batu. Perlukah kita tenaga nuklear di saat teknologi baru kini lebih berisiko rendah, bersih, lebih murah, berdaya maju serta berdaya tahan?

Malaysia masih banyak bergantung kepada tenaga berasaskan gas, minyak dan arang batu.  Kita ada cahaya matahari yang kuat dan terik, dalam tempoh yang konsisten sepanjang hari, serta berterusan sepanjang tahun tetapi tidak mengoptimumkannya. Kita masih belum mengoptimakan tenaga angin dan lain-lain sumber tenaga. Kita perlukan 'miniature scale device' yang boleh menjana tenaga dari kelajuan angin yang boleh dipasang di bumbung-bumbung rumah dan bangunan sepertimana panel solar. Malah konsep panel solar sendiri telah mengalami perubahan di mana syarikat Elon Musk kini mengeluarkan atap rumah yang mempunyai panel solar. Walaupun kosnya masih tinggi masa kini, ia akan menurun dari semasa ke semasa. Malaysia perlu belajar konsep utama perniagaan AirB&B dan Uber, iaitu 'bagaimana memanfaatkan massa dalam menawarkan sesuatu produk/perkhidmatan'. Pengeluaran tenaga perlu 'disumberluarkan' kepada massa di mana rumah-rumah dan bangunan boleh menjana tenaga elektrik sendiri (melalui tenaga solar dan tenaga angin) dan menjualnya kepada TNB. Jika kita boleh menghasilkan 'sebuah tiang dengan kipas yang cukup tinggi' yang mampu menjana tenaga angin yang berkualiti, dengan harga yang murah, dan mudah dipasang, kita mungkin boleh 'memassakan' industri RE kepada pengguna individu.  Jika kita berupaya membina model perniagaan yang mapan, surau, masjid, persatuan penduduk/komuniti dan NGO boleh berperanan dalam menjana dan menjual tenaga kepada negara dan membuka satu industri baru.

Ataupun perlukah kerajaan Malaysia yang telah membeli kereta elektrik dari Elon Musk menjemput beliau membuka kilang pengeluaran atap panel solar ini di Malaysia bagi pasaran Asia dengan menawarkan pelbagai insentif menarik agar atap panel solar ini murah dan mampu milik? Saya difahamkan kerajaan mempunyai rancangan membina Ladang Tenaga Solar, cuma bagi saya kita tidak boleh hanya boleh berharap Ladang Tenaga Solar dengan banyaknya kerana negara kita kecil. Adalah kurang sesuai menebang hutan atau menggunakan kawasan yang luas untuk Ladang Tenaga Solar di saat kita semakin kekurangan tanah dan harga tanah semakin mahal. Begitu juga membina empangan hidroelektrik baru semakin tidak sesuai kerana kehilangan tanah, flora, fauna dan segala hidupan dan spesis di kawasan bakal dibangunkan ini tidak dapat diganti semula. Sepertimana China, Malaysia berupaya membina Ladang Tenaga Solar di kawasan laut atau di atas tasik di empangan-empangan hidroelektrik dan tasik lain yang luas.  Selain tenaga solar, kita boleh membina Ladang Tenaga Angin di kawasan perairan kita (selain di kawasan bukit dan pergunungan yang sesuai). Dengan kawasan perairan yang luas melalui konsep Zon Ekonomi Eksklusif, penurunan kos tenaga berasaskan angin, dan penambahbaikan teknologi berasaskan tenaga angin, ia bakal menjadi satu alternatif terbaik kelak.  

Dengan sebahagian besar tenaga bakal dijana oleh RE, dijana oleh massa, TNB mungkin hanya perlu berperanan untuk keperluan sektor kerajaan dan industri, bukannya pengguna individu. Kajian sedang dilakukan untuk menghasilkan  'miniature scale device' yang boleh mengoptimumkan aliran air dalam saluran paip bekalan air yang boleh menghasilkan tenaga. Kita belum mengoptimumkan sumber tenaga dari ombak laut. Begitu juga kita memerlukan 'miniature scale device' untuk menjana tenaga dari aliran air sungai dan lain-lain untuk kemudahan di kampung dan PKS di luar bandar. Sainstis lebih arif bagaimana menukarkan dan mengoptimumkan tenaga kinetik kepada tenaga elektrik. Dengan geran R&D yang konsisten, dengan keupayaan dan kepakaran saintis Malaysia, dengan beberapa insentif baru komersialisasi, dengan sokongan kerajaan yang berterusan, saya yakin kita mampu menghasilkan 'miniature scale device' yang mampu menjaga tenaga dari angin atau aliran air untuk kegunaan individu/isirumah.

Industri tenaga adalah industri strategik, juga satu industri asas sepertimana industri pertanian, makanan dan perumahan. Kita perlu berubah dan bergerak dengan pantas. Kita tidak boleh leka dengan sumber minyak dan gas yang banyak, sumber tenaga lain yang belum dioptimum (termasuk 'komoditi sampah') serta sumber cahaya matahari yang percuma dan tidak berbuat apa-apa. Pemimpin kerajaan dan ahli politik perlu lebih serius untuk membangun dasar fiskal dan dasar pembangunan yang bersifat 'RE inclusive'. Kita perlu  menjadikan Malaysia 100 peratus menggunakan RE secepat mungkin. Dengan Malaysia 100% RE, negara  akan kurang tergugat dan terpengaruhi dengan turun-naik harga minyak, arang batu dan gas di pasaran dunia, menyumbang kepada kestabilan harga barang, mengurangkan pencemaran udara dan menyumbang ke arah kualiti hidup yang lebih baik.

Petronas dan TNB perlu melakukan transformasi besar-besaran. Hatta Arab Saudi sebagai pengeluar minyak dan gas terbesar dunia mula membangunkan industri RE di negara mereka. Industri minyak dan gas dijangkakan tidak semeriah dahulu lagi, kecuali pihak kerajaan 'berusaha mempertahankannya'. Cukai yang disumbangkan oleh Petronas kepada kerajaan sukar mencari klimaksnya seperti dahulu tetapi kerajaan berupaya mengutip cukai baru dan mencipta peluang pekerjaan baru melalui industri RE 'yang dimassakan'.  Kerajaan tidak perlu bimbang dengan mereka yang bekerja dalam industri minyak dan gas serta nasib Pengeluar Tenaga Bebas (IPP). Pelbagai produk hiliran boleh dihasilkan dari industri minyak dan gas untuk manfaat manusia dan mencipta pelbagai peluang pekerjaan baru. IPP boleh ditawarkan kontrak Ladang Tenaga Angin/Solar asalkan melalui bidaan yang kompetitif, bukannya rundingan terus. 

Industri 4.0 menghasilkan pelbagai peluang baru yang terbuka luas dengan inovasi teknologi, pembangunan produk baru, globalisasi dan integrasi ekonomi dan sosial yang akan menyediakan peluang-peluang baru pekerjaan, khususnya dalam industri berasaskan RE di samping mengurangkan secara berperingkat peluang pekerjaan dalam industri lama dan menghapuskan terus industri tertentu. Ringkasnya kemajuan industri RE telah menjadikan industri tenaga nuklear semakin kurang relevan.  Malaysia tidak sekadar perlu mencapai penggunaan tenaga 100 peratus berasaskan RE tetapi perlu bercita-cita mengeksport RE ke negara lain dan mengembangkan produk dan perniagaan baru berasaskan RE. Kerajaan harus bertindak tepat dan cepat pada masanya akan peluang yang sedang muncul ini. Malaysia memerlukan penjajaran baru (new alignment) dalam industri tenaga dan sistem ekonomi negara.
  

Prof. Madya Dr. Mohd Hizam Hanafiah
Sarjana Pelawat, The Wharton School, Universiti of Pennsylvania, USA
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

29 Mei 2017


*Artikel asal disiarkan di Merdeka Online (http://merdeka-online.com/home/perlukah-malaysia-tenaga-nuklear/)

Saturday, 27 May 2017

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK 1438H

Assalamu'alaikum,

No automatic alt text available.
Gambar bilik saya di UKM (dah rindu Malaysia)

Selamat menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak 1438H. Ini kali kedua kami berpuasa di AS, dalam tempoh  purata sekitar 16 jam 30 minit berbanding puasa di Malaysia sekitar 13 jam 30 minit.  Pada hari pertama puasa, terbit fajar adalah  jam 4.02 pagi (imsak 10 minit sebelumnya) dan Maghrib jam 8.20 malam. Jangkaan pada 30 Ramadhan, terbit fajar adalah jam 3.55 pagi, Maghrib jam 8.35 pagi. Sebelum ini saya sekeluarga pernah menyambut Ramadhan empat kali di UK iaitu antara tahun 2006-2009. Ketika itu tempoh puasa Ramadhannya masih tidak terlalu panjang sepertimana sekarang. Pada tahun 2006, kami sampai di UK ketika bulan Ramadhan baru berlangsung 3-4 hari. Dengan tempat baru, serba-serbi baru, ia satu pengalaman penting mengajar bagaimana berdikari dan berpuasa di tempat orang. 

Sudah tentu pengalaman pertama Ramadhan di UK akan saya ingat selama mungkin. Kami bersahur dan berbuka dengan amat-amat sederhana, cukuplah nasi dan 2 lauk-pauk ringkas untuk menahan lapar dan mengenyangkan perut. Tahun pertama di UK amat mencabar kerana biasiswa kerajaan amatlah kecil. Dengan berbekalkan GBP848 sebulan, sewa rumah GBP500 sebulan, bayar bil air, elektrik, dan internet, insurans kereta, kami hanya boleh dua kali ke Tesco/Wal-Mart untuk membeli barang bagi tempoh sebulan untuk menjimatkan minyak kereta (kerana Tesco/Wal-Mart jual barang termurah), belanja makan-minum kami lima beranak hanya tinggal sebanyak GBP100 sebulan. Gaji di Malaysia pula ketika itu tidak banyak mana (Pak Lah belum naikkan gaji 5-35%), dengan kadar pertukaran GBP1 = RM7, maka, selepas gaji di Malaysia ditolak hutang apa yang patut (tanpa elaun kerana penjawat awam bercuti belajar tidak diberikan elaun di Malaysia), maka bakinya apabila dibawa ke UK memanglah kecil. Malang sekali kerana elaun penginapan dan lain-lain elaun yang diberikan di UK bagi penjawat awam tidak setimpal sama sekali dengan kos sara hidup di UK. Sampai sekarang saya masih berfikir apa pembuat polisi di Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pendidikan Tinggi lakukan dalam mengkaji elaun-elaun calon cuti belajar, khususnya bagi calon berkeluarga. Ketika di UK, saya terfikir apa yang dilakukan oleh Education Malaysia UK dalam memahami keperitan anak Malaysia melanjutkan pengajian pasca siswazah, khususnya bagi calon berkeluarga.

Memang kedapatan kes penjawat awam yang 'tidak tahan kerana hidup serba kekurangan' tidak menamatkan pengajian di Malaysia dan kembali ke Malaysia. Kalau hendak hidup di UK sepertimana di Malaysia, memang tidak boleh sama sekali.  Anda perlu hidup seringkas mungkin untuk 'survive'. Malah dalam tahun pertama di UK, kami hanya beberapa kali makan ikan kerana harga ikan lebih mahal berbanding ayam. (Tahun kedua Pak Lah naikkan biasiswa dan kehidupan menjadi sedikit mudah). Untuk anak-anak, saya katakan, jangan minta apa-apa jika ke pasaraya ataupun kedai. Makan saja  apa yang ada dan tersedia di rumah. Begitu ramai penjawat awam yang menghabiskan simpanan peribadi, malah ada yang membuat pinjaman peribadi untuk menghabiskan pengajian mereka. Justeru apabila mereka ini 'kurang/tidak menyokong dasar kerajaan' setelah memperolehi ijazah PhD dan kembali berkhidmat di Malaysia, saya boleh memahami pemikiran dan perasaan mereka.

Kerajaan harus berubah, dasar kerajaan harus sentiasa ditambahbaik. Pemikiran pemimpin-pemimpin kerajaan tidak boleh di takuk lama. Apabila semakin ramai anak Malaysia berpendidikan tinggi, mendapat pengalaman hidup di negara maju, lebih celik kemajuan berbanding ahli politik, lebih hebat dari segi ilmu, pemikiran dan pendedahan berbanding Menteri dan ahli politik yang semakin berusia, dengan info dan ilmu berada di hujung jari, maka anak Malaysia ini tidak akan menyokong pemimpin berpemikiran/cara lama. Dunia sudah begitu banyak berubah tetapi malangnya sebahagian pemimpin negara, dalam kalangan pemerintah dan pembangkang masih berpolitik cara lama. Dengan sebahagian pemimpin masa kini masih mengikut gaya dan budaya lama, maka tidak hairanlah sokongan ke atas mereka semakin berkurangan.  Zaman orang politik sebagai VVIP sudah lama berlalu. Sekarang era integriti, ketelusan, keterbukaan dan kesederhanaan. 

Begitu juga dengan pegawai kerajaan. Jika Menteri tidak proaktif, susah nak lihat KSU dan pegawai Kementerian/Agensi akan proaktif. Dasar dan pendekatan Kementerian/Agensi tidak boleh di tahap lama. Menteri, KSU, TKSU dan pegawai kerajaan perlukan idea-idea baru yang lebih inovatif dan lebih segar. Semasa saya di Malaysia, saya agak kecewa melihat cara pegawai kanan Kementerian tertentu membuat bajet, berbelanja dan memberikan keutamaan dalam projek kerajaan. Kami di UKM yang tak mempunyai banyak duit amat berhati-hati dalam membuat program/aktviti, tetapi apabila melihat Kementerian/Agensi berbelanja secara boros dan mewah, saya geleng kepala. Sedih kerana kami di UKM yang berjimat-cermat dan bertungkus lumus untuk menjayakan hasrat negara tidak banyak duit tetapi Kementerian/Agensi yang banyak duit berbelanja mewah untuk aktiviti bernilai tambah rendah. Cadangan saya mudah. Perlantikan KSU, Ketua Pengarah, TKSU dan pegawai kanan Kementerian/Agensi perlulah dari mereka yang benar-benar layak dan berpengalaman, biarpun dari kementerian lain, biarkan bukan dari kalangan PTD, dan bukannya sebab kekananan. Contohnya perlantikan Dato Seri Dr. Zaini Ujang sebagai KSU KeTTHA adalah contoh terbaik berdasarkan kepakaran dan kehebatan Dato Seri Dr. Zaini Ujang. 

Kita perlu menukar nilai, budaya dan cara penganjuran program kerajaan. Contoh termudah, belanja gimik majlis perasmian selama 30/45 saat ke 1-2 minit yang memakan belanja dari berbelas ribu ke berpuluh ribu. Apa manfaatnya gimik ini? Apa kesannya kepada khalayak ataupun dasar kerajaan? Keseronokan sebentar yang menelan belanja besar dan impaknya kepada golongan sasaran adalah sifar. Bagi saya, cukuplah mengetuk 'Gong' atau membaca 'lafaz Bismillah' untuk merasmikan sesuatu. Kalau potong riben pun, akhirnya riben ini akan dibuang juga dan ia satu pembaziran.

Lihat penganjuran aktiviti kerajaan di luar yang memerlukan pokok bunga, karpet merah, kerusi khas, pentas yang baru dibina, khemah-khemah yang didirikan, baju t khas, kemeja khas, kalungan bunga, topi khas dan lain-lain. Ia sudah jadi sebagai sebahagian budaya kita apabila melancarkan/merasmikan sesuatu program. Persoalannya adalah apa manfaat kepada golongan sasaran perbelanjaan-perbelanjaan ini yang menelan belanja ratusan ribu ke jutaan ringgit? Kita berseronok sekejap dengan 'gahnya' majlis pelancaran/perasmian, tetapi hasilnya tidak ke mana. Bagi saya yang penting adalah mesej yang ingin disampaikan, 'isinya', perkara 'substance', bukannya perkara kulit.

Contoh lain adalah Kementerian menganjurkan konsert dan menjemput artis luar yang dibayar mahal, apa kesan dan impaknya kepada golongan belia? Apa manfaatnya dan kesan berpanjangan menghabiskan konsert menelan ratusan ribu atau jutaan ringgit kepada golongan belia?  Jawapannya tetap sama iaitu 'keseronokan sementara', manfaat bersifat kulit dan bukan isi.  Dengan belanja yang sama, kita berupaya melancarkan program lain yang mampu memberikan impak lebih besar kepada golongan sasaran.

Maaf, saya membebel keluar dari topik Ramadhan. Ada tiga jam lagi nak berbuka puasa. Begitu ramai Muslim yang berpuasa tetapi hanya dapat lapar dan dahaga. Kita perlu berpuasa untuk manfaat zahir dan batin. Zahirnya kita dapat merehatkan anggota-anggota badan yang penat bekerja dalam setahun, membuang toksid dan lain-lain manfaat. Batinnya tidak ramai yang mencapainya. Dalam saya tidak mengenepikan pentingnya Bazar Ramadhan memandangkan suami-isteri bekerja, sebahagian besar umat Islam kini lebih banyak berbelanja ketika Ramadhan berbanding bukan Ramadhan. Lapar 13.5 jam 'dibalas' dengan berbelanja mewah dengan makan di hotel, mengadakan jamuan makan di hotel, membeli kuih-muih dan lauk-pauk yang banyak untuk berbuka, itukah Sunnah RSAW? 

Seharusnya Ramadhan menginsafi kita akan golongan fakir miskin, anak yatim yang susah dalam kehidupan, cukup sekadar dapat makan (walaupun tidak kenyang), tidak memilih makanan, tidak mengharap pakaian baru di Aidil Fitri. Seharusnya Ramadhan akan mengingatkan kita akan saudara seMuslim di Syria-Iraq yang kelaparan dan kesusahan, penderitaan mereka di zon-zon konflik di Libya, Kashmir, Selatan Filipina, Somalia dan lain-lain negara, dan mengingati akan jutaan warga Afrika yang kelaparan. Tercapaikah kita?

Seharusnya Ramadhan mengajar kita lebih berjimat-cermat, tidak membazir, tidak mengikut nafsu makan,  memanfaatkan masa sebaik-baiknya, banyak bersabar, banyak bersedekah, banyak beramal amal soleh, menambah amalan-amalan baru, melipatgandakan kebaikan dan kebajikan, menundukkan nafsu, menjaga pancaindera, dan menjadi insan lebih baik pasca Ramadhan. Di manakah kita? 

Seharusnya pasca Ramadhan melahirkan penjawat awam yang lebih baik, lebih prihatin, lebih empati dan lebih bermanfaat kepada negara. Seharusnya pasca Ramadhan 'melahirkan' kerajaan pusat dan negeri, jabatan dan agensi yang lebih bertanggungjawab, telus, tidak boros, lebih prihatin dengan rakyat miskin, lebih mendengar suara hati rakyat, lebih merasai denyut nadi dan jantung rakyat. Di manakah kita?

Ia sebenarnya boleh dicapai, tidak mustahil untuk dicapai kerana Ramadhan adalah bulan penuh rahmat dan kemuliaan berbanding bulan-bulan lain, bulan yang yang memberikan latihan fizikal dan kerohanian yang berterusan, bulan yang rahmatnya, pengampunannya dan nikmatnya 'dapat dihayati dan dirasai' sehingga ke urat  nadi dan menusuk ke dalam hati. Bagi saya sendiri, rahmat, nikmat, peluang dan pengalaman berpuasa Ramadhan kali kedua di AS ini amatlah dihargai dan disyukuri. Di sebalik 1001 ujian di AS, 'Perancangan' yang diaturkan oleh Allah Taala ke atas saya dan keluarga adalah baik belaka. Sama ada Ramadhan dimanfaatkan oleh kita dapat dinilai sendiri tentang diri sendiri pasca Ramadhan. Adakah kita semakin bertaqwa. semakin berubah, semakin baik orangnya? Moga Ramadhan ini menatijahkan sesuatu yang lebih baik kepada diri saya dan keluarga, zahir dan batin.

Wallahu'alam. Wassalam.

Tuesday, 16 May 2017

International Entrepreneurs Summit of Philadelphia

International Entrepreneurs Summit of Philadelphia
WHEN: February 28, 2017
WHERE: International House, 3701 Chestnut Street
WHO: Hosted by Greenberg Traurig LLP and International House Philadelphia


Assalamu'alaikum,


Ni kisah lama, nota catatan pun belum terjumpa, mana letak... he3...Alhamdulillah, bulan Februari lepas, saya sempat menghadiri satu seminar di Philly. Kemasukan adalah percuma, jadi jangan lepaskan peluang. Seperti biasa, aktiviti sebegini banyak penaja, dan penceramahnya juga hebat-hebat. Dua perkara yang penting bagi AS adalah imigran dan keusahawanan. Negara ini 'diasaskan semula' oleh imigran dari luar, jadi  banyak dasar di peringkat persekutuan dan negeri yang mesra imigran di AS. Sebab itu apabila Trump bercadang melaksanakan 'dasar anti-imigran', banyak tentangan dari usahawan, korporat besar, pihak berkuasa bandaraya,  pejuang hal sivil, dll. Antara topik dalam seminar ini adalah bagaimana imigran (termasuk pelajar) boleh memulakan perniagaan di Philadelphia, mengatasi isu visa dan sebagainya. Saya boleh katakan Philly memang mesra imigran. Anda imigran, ada idea, ada modal, ada bakat, ada kemahiran, minat memulakan perniagaan, maka anda akan dibantu sehingga mendapat visa dan mula berniaga. 

Keduanya, adalah keusahawanan. AS dianggap antara negara yang mesra keusahawanan (termasuk inovasi). Negara ini kompetitif kerana membuka peluang seluas mungkin kepada mereka yang minat berniaga, hendak melabur dan seumpamanya. Gabungan dasar mesra imigran dan mesra keusahawanan telah melonjak ekonomi AS semenjak kurun ke 19 sehingga kini. Walaupun ekonomi AS kini tidak sehebat zaman Bill Clinton atau Ronald Reagan, dengan seramai lebih 315 juta penduduk, tanah yang luas, dasar yang kompetitif, AS masih merupakan 'land of opportunities' bagi generasi muda yang bercita-cita membuka perniagaan, berjaya dan menjadi jutawan dalam usia muda. Memang banyak masalah di negara ini, tetapi sudut positifnya juga banyak dan membolehkan mereka yang rajin dan berbakat berpeluang tinggi untuk berjaya.

Nasihat saya, Keep learning, sentiasa belajar, itu petua mereka yang berjaya dalam mana-mana bidang. Kita tidak perlu bercita-cita menjadi orang hebat, cukuplah kita berusaha memaksimumkan potensi yang Allah Taala kurniakan pada diri kita untuk memberi sumbangan kepada agama, masyarakat dan negara. Anda bacalah kisah Bill Gates, Warren Buffet, Mark Zulkerberg, bilionwan-bilionwan, pemimpin-pemimpin negara yang hebat,  mereka sentiasa membaca, berterusan membaca, mereka sentiasa belajar, tidak pernah berhenti belajar sesuatu yang baru. Saya tertarik dengan kisah Bill Gates yang berpandangan kalau boleh, beliau mahu membaca dengan lebih pantas supaya beliau dapat sentiasa belajar dengan lebih pantas. 

Satu rahmat dan nikmat yang Allah Taala berikan apabila bersama Wharton School di AS adalah diberikan peluang membeli dan membaca banyak buku. Terasa bertambah ilmu, semakin banyak idea, semakin luas  pemikiran, semakin terbuka pandangan, semakin kaya pengalaman, dan terasa masa berlalu dengan begitu baik apabila masa diisi dengan membaca pelbagai jenis buku. Alhamdulilah, saya berpeluang membeli lebih 200 buku semenjak tinggal di AS, meliputi pelbagai topik dari keusahawanan, motivasi, pengurusan, perundingan, kepemimpinan, pemodal teroka, pelabur budiman,  dan sudah pastinya "The bestseller", dan  baru berpeluang membaca lebih 40 buku dalam 19 bulan ini. Banyak ke 40 buah buku tu? Sebenarnya ia masih begitu sedikit jika dibandingkan dengan mereka-mereka yang hebat di dunia sekarang. Sasaran saya jika balik ke Malaysia adalah membaca sebuah buku seminggu, moga-moga menjadi kenyataan.

Alhamdulillah, walaupun tak sabar nak balik bulan Oktober 2017 nanti ke Malaysia (setelah cukup 2 tahun di AS), terasa bakal kehilangan syurga buku, yakni AS. Saya dengar-dengar Amazon akan masuk Malaysia (atau dah masuk?), kalau betul berita ini, memang baik sebab saya boleh membeli buku dari Malaysia. Berapa buah buku anda baca dalam setahun?



No automatic alt text available.

No automatic alt text available.

Image may contain: 3 people, indoor

Image may contain: indoor

Image may contain: indoor

Image may contain: indoor

Image may contain: outdoor

Image may contain: indoor

Image may contain: indoor

Image may contain: indoor

Image may contain: indoor


Coffee & Capital with Kevin Leonard @ Quorum

What: Coffee & Capital with Kevin Leonard
When : May 16, 2017 (800-930am)
Where: Quorum, University City Science Center
Who: Kevin Leonard from MissionOG

Kevin is a former corporate banker with experience managing relationships with $1 billion+ revenue clients across the consumer and retail, technology, media and telecom and industrials industries. At MissionOG, Kevin is responsible for tracking overall fund and individual portfolio company performance, spearheading the due diligence process on potential investments, building awareness and delivering insights internally on target markets, and discovering new prospective companies for potential investment.




Have corporate banking experience before

VC was established in 2012 with USD$50 million

3 partners on the firm

Invest in B2B technology company- software

Chairman is well known in banking and finance sector

Partner is well experience in banking and finance sector.

The first investment come through our partner network.

We do have submissions from firms

What is the add value you can offer.

We have 500 firms application, 150 go through second screening, 10-15 get in-depth analysis and 4-5 get the investment.

Is it the right industry? Is it the right business?

We are looking for a longer relationship

What is the problem you are solving for?

Your business --> Nice to have or need to have?

Is it a great solution? (your business)

Who is your competitors in the market?

How about your teamwork? Team is very important.

Not just your great ideas, how to maximize return (from investor perspective).

Get a return within 5-6 years.

CEO needs to acknowledge the area that he/she is not familiar too.

Philadelphia has a good ecosystem, there is a lot of great talents in Philadelphia, great for a start-up company, between DC and NY & Boston, its moving in right direction.

We have companies invested in Philadelphia (4 companies), Atlanta, Ohio, London...

We're just looking for the best deal.

We want to see you being successful in making revenues, getting customer, one full cycle...

...is helping your portfolio companies grow, what we can do to assist you to grow.

What can be great about them, how they different...

Ben Franklin is a great resource for the region...

Having a real value proposition that you are creating is very-very important.

Team, market, the problem are the important things.

We can give you feedback on your business, do you need to raise to VC, what else you can do...

Three important things to start a VC --> Great value, money and customer.



Wednesday, 10 May 2017

MELABURLAH UNTUK DIRI SENDIRI



Image may contain: 2 people, people sitting, shoes, tree, outdoor and nature 
Assalamu’alaikum dan selamat sejahtera,

Ketika sedang mendaki ke puncak kerjaya, saya mengambil keputusan untuk menyambung penyelidikan, menimba ilmu, mencari pengalaman baru sebagai Sarjana Pelawat di Snider Entrepreneurial Research Center, The Wharton School, University of Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS). Sebagai tenaga akademik di UKM, sebuah Universiti Penyelidikan, saya kehilangan pelbagai peluang mendapat geran-geran penyelidikan dalam tempoh dua tahun, kehilangan pelajar-pelajar PhD yang berpotensi untuk saya menjadi penyelia atau sebagai salah seorang ahli Jawatankuasa Disertasi, juga kehilangan peluang menulis dan menerbitkan artikel-artikel ilmiah dalam jurnal untuk tempoh tiga ke lima tahun mendatang bersama para pelajar PhD di bawah seliaan saya atau melalui penyelidikan yang bakal dijalankan dengan geran-geran yang diperolehi.

Keputusan saya ke Wharton School menyebabkan saya kehilangan peluang mendapatkan lebih banyak wang melalui pengajaran separuh masa di UKM, aktiviti perundingan, latihan dan pembangunan dan pelbagai lagi. Saya hilang peluang menyimpan lebih banyak duit, juga kehilangan peluang membeli atau melabur dalam perniagaan atau hartanah atau dalam sesuatu pelaburan yang bernilai. Tempoh saya dua tahun di AS mengurangkan peluang saya menyertai persidangan dan seminar, kurang membentangkan kertas kerja, dan boleh menyebabkan jaringan penyelidikan dan akademik saya tidak berkembang. Apatah lagi kekangan kewangan semasa  menyebabkan UKM tidak dapat membiayai saya ke satu persidangan sepanjang di AS sebagaimana dalam perjanjian asal.  Sebagai penjawat awam, saya fahami kekangan ini dan menerimanya (walaupun sedih juga).
 
Dalam masa yang sama, setelah berpenat lelah membina jaringan dan keterlibatan dengan pelbagai penggiat industri semenjak tahun 2000, saya perlu bekerja keras semula membangun dan membina hubungan yang terberhenti sekejap apabila kembali ke Malaysia kelak.  Begitu juga dengan jaringan dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta, saya perlu menggandakan usaha merapatkan kembali hubungan lama agar ianya segar kembali dan membuka peluang-peluang baru yang berpotensi.  Saya sendiri mempunyai ikatan bon perjanjian selama 4 tahun dengan nilai RM500,000. Secara ringkasnya, kedatangan saya ke Wharton School dilihat mengurangkan peluang saya menjadi Profesor Penuh dalam tempoh empat ke enam tahun lagi, juga bermakna saya tidak boleh pencen awal sebagaimana dirancang dan buat apa yang saya suka selepas berusia 55 tahun.

Apatah lagi, saya merindui pelbagai masakan dan makanan Malaysia yang enak dan lazat. Nasi lemak, teh tarik, roti canai, pelbagai nasi goreng, nasi kerabu, nasi tomato, nasi ayam, nasi putih daging merah, nasi kandar Penang (ehmmm), nasi minyak, laksa Penang, char kuew tiow, mee udang Sungai Dua, mee ketam Cheruk Tokun, mee bandung, mee kuah, lauk-pauk seperti rendang daging ataupun ayam, masak lemak cili api, daging cicah air asam (pergghhh!), pelbagai ulam seperti pucuk gajus dan ulam raja, tempoyak, Ikan Bakar Teluk Tempoyak dan pelbagai lagi. Sudah tentu saya merindui ‘Port saya dan isteri’ di Pasar Basah BBBangi, ‘restoran rasmi kami sekeluarga’ di Kompleks PKNS Bangi, dan sudah pasti merindui masakan gulai ikan ‘giling sendiri’ oleh Bonda tercinta.
Saya teringat buah-buahan Malaysia yang lazat seperti buah manggis, durian, rambutan, langsat, dokong, mata kucing, mangga raja dan sebagainya. Saya merindui Cuti-Cuti Malaysia, kami sekeluarga banyak berjalan dan berkelana. Setiap minggu pada hari Rabu atau Khamis, anak-anak akan mula bertanya "Kita nak pi mana minggu ni?". Saya merindui kehidupan saya di negara tercinta, dengan adik-beradik dan saudara-mara, sahabat dan rakan, kejiranan, rakan sekerja di UKM, merindui laungan Azan yang  berkumandang dari surau terdekat dan saling bersahutan khususnya ketika waktu Subuh, teringat cuaca Malaysia, dan tidak ketinggalan, Estima dan Wira yang ditinggalkan.  Saya kehilangan sebahagian besar simpanan saya untuk lima tahun terakhir untuk membolehkan saya sekeluarga memulakan kehidupan baru di AS. Dengan kadar pertukaran matawang yang rendah, Ringgit Malaysia rendah nilainya di AS. Dengan rumah sewa yang kosong, kami perlu membeli pelbagai peralatan dan kelengkapan. Kelihatannya, kualiti hidup saya sekeluarga seperti berkurang apabila balik ke Malaysia kelak akibat perkara-perkara ini.

Namun begitu, sebagai seorang Muslim, saya sentiasa percaya dan yakin dengan ketentuan Allah Taala sebagai ketentuan terbaik untuk saya. Al-Quran menyebut:

“Boleh jadi, kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah yang paling mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: ayat 216).


Ayat di atas paling baik menghuraikan tentang situasi saya sebelum datang ke AS. Jika ditanyakan pada saya pada awalnya, sememangnya saya tidak mahu lagi ‘berhijrah ke luar negara’ selepas menamatkan pengajian PhD di United Kingdom. Cukuplah saya mendapat pengalaman di UK, cukuplah saya dan keluarga berkelana di UK. Saya sedang mendaki ke kemuncak kerjaya, mengapa pula saya perlu ‘berhenti sekejap’ dan ‘buat benda lain’? Apatah lagi, saya sememangnya tidak mahu ke Amerika Syarikat, teringat macam-macam kisah di AS yang selalu kita tontoni di kaca TV. Namun, sebagai seorang Muslim, saya sentiasa berpandu kepada petunjuk dan hidayah Allah  kerana ia adalah garis panduan terbaik dalam membuat sesuatu keputusan. Petunjuk-Nya jelas, iaitu saya perlu usahakan untuk ke luar negara. Makanya, berbulan-bulan masa saya habiskan dalam mendapatkan tempat di universiti di luar negara, mencari 200 Terbaik Times Higher Education atau 100 Terbaik QS World University Ranking By Subject. Sekitar 40 surat rasmi (beserta CV dan Kertas Cadangan Penyelidikan) saya poskan dan beratus mel elektronik saya hantarkan untuk mendapatkan tempat di universiti terbaik di luar negara.

Saya berharap mendapat tempat di United Kingdom kerana berpengalaman hidup di sana, maka saya tidak perlu belajar banyak perkara baru. Saya memang sukakan kehidupan di UK kerana masyarakatnya ‘lebih relaks’, makanan halal mudah, makanan juga tidak mahal, komuniti Muslim mudah dicari, sistem persekolahannya disukai oleh anak-anak saya, teknologinya lebih canggih, sekali sekala boleh bercuti pakej murah di tapak caravan, Car Boot Sale yang ditunggu-tunggu, dan pemandangan di kawasan pergunungan yang cantik dan mententeramkan jiwa. Apatah lagi, saya masih punya lesen memandu UK dan jaringan dengan rakan-rakan di UK, ringkasnya saya tahu bagaimana untuk ‘survive’ di UK. Malangnya dalam 30 universiti terbaik yang saya pinta di UK, tiada respon positif. Satu permohonan dengan sebuah universiti di UK kelihatan ‘hampir berjaya’ sebelum maklumbalasnya terhenti. Saya turut memohon tempat di universiti terbaik di Eropah (yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar) tetapi tiada yang berjaya. Saya memohon sekitar 30 lebih universiti terbaik di AS, anda namakan sahaja, semuanya saya mohon. Tiada maklumbalas positif kecuali ada satu emel dari Wharton School yang memperihalkan proses permohonan sebagai Sarjana Pelawat yang agak panjang dan ‘macam-macam nak kena isi/buat/lalui’.

Pada bulan Jun 2015, saya dan isteri mengerjakan umrah dan saya ‘mendapat alamat’ bahawa kami sebenarnya telah mendapat ‘tempat yang sesuai’. Saya pun belum jelas apa maksud alamat tersebut. Saya turut memohon ke lapan universiti terbaik di Australia dan beberapa universiti terbaik di New Zealand. Dalam pada itu, saya memahami bahawa tiada respon positif itu adalah salah saya sendiri kerana permohonan saya ke AS, UK, Eropah, Australia dan New Zealand itu sebenarnya ‘sudah lambat’, banyak universiti ‘telah tutup pintu’, dengan sebahagian alasan penolakan adalah tiada kepakaran dalam bidang penyelidikan yang akan dikaji dan banyak maklumbalas meminta saya memohon untuk sesi 2016/2017. Pada suatu hari, saya mendapat khabar gembira apabila mendapat tempat di University of Ottago, NZ. Prosesnya memang mengambil masa tetapi seronoknya bukan kepalang kerana hati begitu berbunga dapat pergi ke NZ. Berjam-jam juga saya, isteri dan anak-anak google gambar-gambar di Ottago ketika empat musim yang berbeza….he3. Tak sabar rasanya nak ke NZ. Saya mengidamkan kehidupan yang tenang, mudah, tiada kesibukan bandar, menghabiskan hujung minggu dengan meneroka pergunungan di NZ, berkelah, beriadhah dan memancing dengan keluarga. Namun, agak mendukacitakan apabila saya tersilap dalam memahami peraturan berkaitan universiti terbaik dunia mengikut ranking yang digunapakai dan saya tidak boleh ke Ottago, NZ.

Oleh itu, saya seperti tiada pilihan, ‘seperti diarahkan oleh Allah Taala’, terpaksa meneruskan usaha tergendala sebelum ini (sengaja saya tidak teruskan sebelum itu) untuk datang ke Wharton School, University of Pennsylvania, AS. Walaupun tidak mahu ke AS, (walaupun saya tahu Wharton School adalah antara Sekolah Perniagaan terbaik dunia), ‘saya seperti hanya diberi pilihan ini sahaja oleh Allah Taala’.  Walaupun pada awalnya tidak berminat dan tidak mahu untuk ke AS, saya kesuntukan masa kerana mengikut perancangannya, saya perlu ke luar negara pada sesi 2015/2016.  Saya akui prosesnya agak panjang, antaranya mengapa hendak ke Wharton School/UPenn, apa sasaran saya sepanjang di Wharton School/UPenn, saya ditemubual untuk mengetahui keupayaan berbahasa Inggeris melalui Skype, banyak borang yang perlu diisi dan dihantar, ada tapisan kewangan selain proses mendapatkan visa yang lebih terperinci dan rumit. Proses ini memakan masa dalam 4-5 bulan juga tapi Alhamdulillah, akhirnya saya dan keluarga selamat menjejakkan kaki ke AS pada 25 Oktober 2015. Rupa-rupanya ‘alamat ketika di Madinah’ itu memang dah betul, tetapi seperti saya mengabaikannya kerana tidak mahu ke AS…he3.

Saya mempunyai perancangan saya sendiri berkaitan kerjaya dan kehidupan saya, tetapi saya mengikut petunjuk Allah kerana Allah Taala sebaik-baik perancang dan DIA maha mengetahui atas segala sesuatu.  Alhamdulillah, kami hampir 19 bulan di AS dan saya perlu nyatakan bahawa sememangnya Allah Taala adalah sebaik-baik perancang. Banyak pengalaman, kehidupan, pendedahan, ilmu, dan 1001 perkara yang saya pelajari di AS, berbeza dengan pengalaman di UK dan Malaysia. Kalau hendak diceritakan, boleh karang sebuah buku. Doa-doakan saya mampu menyiapkan sebuah buku bertajuk ‘Nukilan dari Wharton’ kelak sebagai khazanah saya sekeluarga sepanjang di Wharton School, UPenn dan AS. Sememangnya saya kehilangan pelbagai peluang dan merindui pelbagai perkara tentang Malaysia sepertimana yang saya nyatakan dalam lima perenggan terawal, tetapi satu perkara teramat penting yang saya pelajari dalam sinopsis kehidupan ini adalah “Kita perlu berkorban untuk lebih berjaya pada masa depan” dan “Kita perlu melabur untuk diri sendiri”. 

Kita perlu berkorban pelbagai perkara untuk lebih berjaya pada masa depan. Pertamanya berkorban masa, tenaga dan wang ringgit. Saya menghabiskan masa sekitar enam tahun untuk menggenggam ijazah doktor falsafah dalam bidang keusahawanan dari University of Essex, UK dengan 3 tahun 10 bulan di UK dan bakinya di Malaysia. Perjalanan PhD bukanlah satu perjalanan yang mudah bagi saya, rezeki masing-masing. Perjalanan PhD saya memanglah menempuhi begitu banyak masalah dan cabaran, tetapi masalah dan cabaran itu menjadikan saya lebih kuat dan tabah, menjadikan saya lebih kompeten untuk menjadi penyelia kepada bakal-bakal pelajar PhD di bawah saya kelak. Tentang duit? Usah ditanya berapa banyak wang sendiri dihabiskan untuk menggenggam ijazah PhD ini. Apapun, saya bersyukur ke hadrat Allah kerana ramai lagi yang lebih susah dan berkorban wang ringgit dalam mendapatkan ijazah PhD ini.

Kita perlu berkorban ‘urusan keluarga dan sanak-saudara’ untuk lebih berjaya. Semasa di UK, saya kehilangan bapa saudara dan ibu saudara yang rapat dengan saya dari kecil. Hanya air mata yang mengiringi ketika melihat jenazah mereka melalui Google Video ketika itu. Apapun saya bersyukur ke hadrat Allah kerana Bonda saya sempat tinggal bersama kami selama enam bulan di UK dan saya sempat membawanya ke sana-sini. Ketika di AS, isteri saya kehilangan kakak yang paling rapat dengannya, itulah suratan takdir. Sedih melihat isteri saya bersedih. Kita perlu berkorban untuk tidak dapat meraikan Hari Raya bersama, riuk-pikuk dalam menyambut Hari Lebaran, sibuk-bising dan riuh-rendah dalam mengadakan majlis kenduri, makan bersama, gelak-ketawa dan riadhah bersama sanak saudara.

Kita perlu berkorban pelbagai peluang yang tidak dapat diambil kerana mengambil peluang lain, sepertimana diulas dalam perenggan-perenggan awal. Apakah saya rugi, tidak sama sekali. Di atas kehilangan pelbagai peluang pengajaran, penyelidikan, penyeliaan, dan penerbitan, Allah Taala gantikan dengan peluang lain dalam penyelidikan yang lain, peluang penerbitan lain, rakan dan kenalan baru sama ada di AS, Malaysia atau di negara lain. Saya wajib mensyukuri rahmat dan nikmat Allah kerana diberikan peluang belajar dan menjalani kehidupan di tiga buah negara dan tiga benua dari usia muda. Ia satu peluang yang tidak ramai orang memperolehinya dan seperti satu resepi yang saling melengkapi dalam kehidupan saya. Di sebalik tidak dapat menumpukan penyelidikan dalam bidang tertentu jika berada di Malaysia, kehidupan di AS membuka peluang penyelidikan baru rentas disiplin kepada saya. AS adalah seperti sebuah syurga buku, seperti sebuah taman ilmu, terpulang kepada anda untuk memanfaatkannya sebaik mungkin atau membiarkannya berlalu begitu sahaja.

Di atas kehilangan sebahagian wang simpanan untuk memulakan kehidupan di AS dan peluang melabur dalam pelaburan tertentu, Allah Taala berikan rezeki lain juga untuk menambah pendapatan dan peluang baru menambah rezeki dalam pelbagai peluang baru yang dibukanya. Di atas terberhenti sekejap jaringan dengan rakan industri, Allah Taala membuka jaringan-jaringan baru industri dan sektor lain yang amat berguna kepada saya di Malaysia kelak. Dalam pada saya merindui pelbagai masakan, kuih-muih, dan buah-buahan Malaysia, Allah Taala menggantinya dengan mengajar saya bersyukur dengan apa yang ada, cukup dengan apa yang ada (qanaah). (Bukan mudah mendapat qanaah jika saya tinggal di Malaysia). Di sebalik kehilangan masa-masa riadhah dan percutian bersama keluarga di Malaysia, Allah Taala menggantinya dengan lebih banyak masa dihabiskan bersama keluarga dan kami mendapat pengalaman baru dengan menziarahi dan  melancong beberapa tempat yang menarik di beberapa buah negeri berhampiran di AS. Apa lagi saya perlu katakan melainkan Allah Taala adalah sebaik-baik perancang. 

Untuk lebih berjaya pada masa depan, kita perlu melabur untuk diri sendiri. Pertamanya, pengorbanan masa, wang ringgit, keluarga, makan-minum, dan kehilangan pelbagai peluang itulah sebenarnya satu pelaburan untuk diri kita jika kita memahami. Kita wajar menekuni apa yang dikorbankan dan hilang itu sebagai satu pelaburan yang sedang diganti oleh Allah Taala kerana pada hakikatnya kita tidak kehilangannya tetapi diganti dan dikurniakan dengan perkara lain yang lebih baik kepada kita, jika kita yakin dengan perancangan Allah. Ilmu, kemahiran, pendedahan, pengalaman, jaringan, rakan dan sahabat, nilai-nilai dan budaya dan 1001 perkara baru itu amat baik untuk kita kerana ia ada dalam perancangan-Nya. Mungkin kita belum nampak hasilnya sekarang, tapi saya yakin 1001 perkara baru ini baik dan bermanfaat untuk kita kelak kerana ia lahir dan zahir melalui petunjuk-Nya dan perancangan-Nya.

Untuk lebih berjaya pada masa depan, kita perlu melabur diri kita dengan ilmu. Untuk memperbaiki kualiti solat kita sebagai contoh, kita perlu belajar dan beramal dengan pelbagai syarat sah solat, rukun solat, perkara-perkara yang membatalkan solat, bagaimana khusyuk dalam solat, sehinggalah kita dapat bersolat sekhusyuk mungkin dalam menggapai kualiti solat sebagaimana Rasulullah SAW bersolat. Untuk memperbaiki kehidupan kita, kita perlu melabur diri sendiri dengan ilmu. Begitu ramai anak lepasan SPM yang bermasalah yang berjaya menjadi pensyarah, Profesor, jurutera dan profesional lain yang berjaya apabila ‘mereka melaburkan diri mereka dengan ilmu’, iaitu dengan memasuki UiTM (dan IPT lain) dari peringkat sijil/pra diploma sehinggalah ke peringkat tertinggi. Di Fakulti saya di UKM, beribu-ribu graduan telah berjaya dalam kerjaya masing-masing dengan menyambung ijazah sarjanamuda secara separuh masa. Mereka berkorban masa, tenaga, wang ringgit, keluarga, berkuliah di malam-malam hari setelah penat kerja di siang hari, mengorbankan cuti hujung minggu untuk datang ke kuliah, mengorbankan percutian dengan pelbagai tugasan dan persediaan menghadapi peperiksaan, selain meminjam dari institusi kewangan untuk membiayai yuran pengajian.

Ada sahabat saya sedang menyiapkan ijazah sarjananya di atas kesibukannya dan sifat tugasnya yang bekerja tanpa mengira masa, tidak terikat dengan waktu pejabat. Dalam pada beliau diberi cuti sakit yang panjang akibat pembedahan yang dijalaninya, beliau begitu bersemangat membaca, menimba ilmu baru, dan menulis tesis dan buku, hatta beliau bukan guru atau ahli akademik. Ada sahabat saya yang sedang menghabiskan PhD beliau secara separuh masa walaupun kehidupannya memang sibuk. Kerjaya beliau tidak menuntut beliau punya PhD sepertimana ahli akademik tapi beliau bekerja keras dalam mendapat PhDnya. Beliau bangun di tengah-tengah malam menyiapkan tesisnya dan menghabiskan beribu-ribu ringgit untuk mengutip  data sahaja. Ada seorang sahabat saya yang lain telah pun mendapat PhD tetapi terus bekerja keras dan sedang membuat PhD kedua beliau dalam bidang yang lain pula. Begitu banyak contoh manusia melabur diri mereka dengan ilmu untuk terus berjaya, apakah anda merasakan sudah cukup dengan ilmu yang ada?

Mahasiswa masa kini turut menghadapi masalah dalam memperbaiki diri sendiri kerana mereka tidak mahu membuat pelaburan tambahan dalam kehidupan di universiti dengan melabur diri sendiri dengan ilmu. Agak susah mencari pelajar mengikuti ceramah sama ada oleh CEO atau usahawan atau profesional dalam bidang masing-masing di universiti melainkan kedatangan ‘diwajibkan’. Apatah lagi aktiviti berbentuk forum, diskusi ilmiah dan majlis ilmu, lagilah  susah mendapat sambutan pelajar berbanding aktiviti bercorak sukan dan hiburan. Ini sedikit berbeza dengan pengalaman saya di Wharton School dan UPenn di mana pelajarnya proaktif dalam mencari ilmu baru, pendedahan baru, dan pengalaman baru. Mereka aktif bersukan, bersuka-ria seperti orang muda pada masanya dengan aktiviti yang dianjurkan (sepertimana budaya Barat), tetapi mereka serius dan komited dalam pembelajaran.

Begitu juga dengan kehidupan berkerjaya sama ada di sektor awam, swasta ataupun kemasyarakatan.  Ada pekerja yang mengelak untuk mengikuti kursus baru, ramai juga pekerja yang mengeluh jika dihantar berkursus. Ramai juga yang kehairanan mengapa mereka tidak dinaikkan pangkat setelah lama bekerja. Berapa ramai antara kita yang melabur diri sendiri dengan ilmu baru, kemahiran baru, pendedahan baru, pengalaman baru, jaringan baru, nilai-nilai baru, sikap baru, budaya baru, dan teknologi baru? Apakah kita boleh berjaya dengan cara lama, ilmu lama, kemahiran lama, sikap lama, nilai lama, budaya lama dan teknologi lama sedangkan dunia berubah, terus berubah yang menyebabkan persekitaran sentiasa berubah. Bagaimana mungkin kita boleh terus berjaya pada masa depan, bagaimana mungkin kita bisa mengatasi negara maju, bagaimana mungkin kita berupaya menjadi negara Islam contoh jika kita tidak melabur diri kita dan negara kita dengan perkara-perkara yang baru ini?

Ahli akademik sebagai contoh perlu terus menambah ilmu baru melalui pengajaran, penyelidikan, penyeliaan, pemeriksa dalam dan luar, penerbitan, persidangan dan sebagainya. Ilmu pengetahuan berkembang pantas, mana mungkin kita boleh selesa dengan ilmu yang dipelajari dahulu dan mengajar pelajar kita dengan ilmu lama, kaedah lama yang semakin tidak sesuai dengan zaman. Ahli akademik perlu terus belajar teknik dan kaedah penyelidikan yang terbaru, ilmu statistik baru, alat makmal baru, mesin dan teknologi baru dan itulah sebenarnya pelaburan untuk diri sendiri. Seorang usahawan atau CEO tidak mungkin berjaya tanpa ilmu baru dan inovasi baru dalam perniagaannya. Lihat sahaja bagaimana ilmu baru, inovasi dan teknologi baru seperti ICT, applikasi telefon mudah alih dan internet yang memunculkan beribu-ribu syarikat baru. Lihat evolusi, inovasi dan pelaburan dalam industri tenaga, masa depan industri minyak dan gas kemungkinan besarnya tidak akan semakmur dulu lagi.

Hatta di dalam sektor mana kita bekerja atau berniaga, carilah masa dan ruang untuk melabur untuk diri sendiri. Kita sukar berjaya jika masih di takuk lama, ilmu dan kemahiran lama, pada ‘diri kita semuanya lama’, tiada apa yang baru dalam ruang kerjaya sedia ada. Pertamanya adalah betulkan niat, tambahkan ilmu untuk diri sendiri, sambung belajar jika bersesuaian, perbaiki dan tambah kemahiran sedia ada,  luaskan jaringan dengan rakan dan industri, betulkan dan tambah baik sikap kita, cari sebanyak mungkin pendedahan berguna untuk diri sendiri, jangan dihabiskan masa dengan kerja dan urusan yang sia-sia, jangan malu untuk belajar teknologi baru,  buang tabiat-tabiat lama yang merugikan, jangan kekal di takuk lama, ubah nilai dan budaya kita, fokus kepada perkara positif untuk diri sendiri, jangan dilalaikan dengan hiburan dan sendaloka yang mengkhayal dan merugikan, sentiasa muhasabah diri tentang diri sendiri, adakah semakin baik atau sama sahaja, cari jalan untuk memperbaiki diri, dan jangan lupa sentiasa berusaha untuk menambahbaik hubungan kita dengan Allah AWJ. Ingatlah pelaburan anda untuk ilmu baru, kemahiran baru, pendedahan baru, pengalaman baru, jaringan baru, nilai-nilai baru, sikap baru, budaya baru, dan teknologi baru itu tidak akan merugikan anda. Melaburlah untuk diri sendiri, kalau bukan anda siapa lagi?


Sekian, Wassalam.
 

Prof. Madya Dr. Mohd Hizam Hanafiah
Sarjana Pelawat
The Wharton School, University of Pennsylvania USA

Profesor Madya dalam bidang Pengurusan dan Keusahawanan
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
Universiti Kebangsaan Malaysia



8 Mei 2017

artikel asal disiarkan di  http://merdeka-online.com/home/kisah-menarik-di-usa-melaburlah-untuk-diri-sendiri/