Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera semua,
Hari ini layan kenduri kahwin anak sulong rakan sefakulti, biasalah ramai pensyarah dah masuk Group IL. Tahniah kepada Dr. Noor Hasni Juhdi, suami dan keluarga kerana menerima menantu pertama. Saya pun jika panjang umur akan masuk Group IL. Sabor ye. Seperti biasa juga, cari bukan nasi dulu. Alhamdulillah, sedap mee kari dia. Walau sampai awal, kena tunggu sampai 1230 tengahari sebab orang rumah dan anak nak tengok tradisi tentera bila kenduri kahwin. Balik kenduri, kena overtime, ada dua bab dalam buku dah terlebih tarikh mati. Terima kasih penyunting kerana sedia menanti.
Saya ni sibuk, hujung minggu ja lapang utk menulis. Hari kerja banyak tugas pentadbiran. Malam-malam di hari kerja pula, bila balik rumah, badan dah letih, tak macam umur 25-40 tahun. Stres? Memang stres, cuma stres saya tak nampak di wajah. Satu lagi, Allah masih bagi saya ketenangan di hati, ketenangan ketika solat. Hati yang tenang tenteram ini mempengaruhi akal saya, tak menjadikan akal saya dok pikiaq pelik-pelik. Hati yang tenang tenteram menjadikan jiwa saya lapang. Moga ia berkekalan sehingga ke akhir hayat. Kalau ikutkan stres, kalau saya boleh bersara esok, esok saya nak bersara. Tapi hati, jiwa, dan akal yang tenang dan tenteram itu 'menghalang stres itu dari zahir di wajah dan tubuh badan'.
Antara faktor stres dalam kalangan pensyarah masa kini adalah:
1. Banyak tugasan pentadbiran tapi markah pentadbiran tidak melambangkan beban tugas dan tanggungjawab. Contoh, untuk jawatan Timbalan Dekan (TD), hanya 50% markah pentadbiran . Untuk jawatan lain pun sama. Jawatan Ketua Program pula, markah pentadbiran lebih rendah tetapi banyak juga kerjanya walau tak sesibuk TD.
2. Kurang masa untuk penyelidikan di waktu pejabat. Dalam kes saya, dulu pelajar siswazah hanya 300, tapi skrg dah 1000++. Banyak masa waktu pejabat di hari kerja digunakan untuk urusan pelajar.
3. Jadinya, kami terpaksa menggunakan waktu malam di hari kerja & hari cuti untuk kerja penyelidikan dan pengajaran. Bagi orang macam saya, sebahagian besarnya adalah di hujung minggu sebab malam-malam di hari kerja badan dah penat, pancit.
4. KPI penyelidikan membebankan pensyarah. 4 artikel jurnal setahun bukan mudah dicapai. Universiti di negara maju pun tak ada KPI macam ni. Ini belum dikira KPI lain. Sebab itu saya faham ramai pensyarah nak bersara awal, khususnya yang dah cukup umur 55 tahun.
5. Elaun jawatan tidak setimpal dengan jawatan. Elaun Timbalan Dekan di UKM sama dgn elaun Ketua Program di Universiti lain. Jadi maknanya elaun TD/KP/Penyelaras juga adalah rendah dari kadar industri. Elaun ni bukanlah penting sangat, tapi kenalah berbaloi.
6. KPI dilata ke TD/KP/Pentadbir ada kalanya tidak relevan dan ada yang “almost impossible to achieve”. Ini membebankan pensyarah yang menjadi pentadbir. Ramai pensyarah stres dengan KPI yang dilata kepada mereka.
7. Banyak lagi. Nanti saya tulis tentang beban tugas seorang pensyarah universiti. Jangan dok ingat kami tak ada kerja.
Cuma saya ni, dari kecil “Allah dah didik”, alah bisa tegal biasa. Kita dulu orang susah, kesusahan tu dah tak rasa susah. Kerja keras dah jadi amalan hidup. Dari zaman sekolah menengah dah hidup berdikari, dah bekerja keras untuk hidup. Tidak bergantung dengan orang lain menjadi pegangan hidup, tidak mengharap orang lain untuk apa yang kita berhajat. Nak dapatkan sesuatu kena usaha sendiri, tak harap sesiapa bantu. Belajar bersyukur dari kecil, sebab kita orang susah. Apa yang kita dapat, kecil atau besar, murah atau mahal, banyak atau sedikit, kita bersyukur. Nak berjaya dlm hidup, semuanya usaha dan sikap diri sendiri, cuma jangan lupa Allah SWT.
Hiduplah kami seadanya, berjimat-cermat, sederhana dalam apa saja dah jadi prinsip hidup. Kalaupun ada rezeki lebih, rasa membazir berbelanja lebih. Kalau saya makan nasi campur, biasanya satu lauk dengan satu sayur/benda lain dah cukup. Kalau ambil ayam, ambil yang kecil saja, sebab dah biasa tak makan lauk banyak, kalau ambil ayam yang besar, nanti tak habis nak makan. Kalau anak makan tak habis @ bermewah, memang siaplah kena tegur. Cuma saya tidaklah kedekut, berbelanja ikut keperluan, melancong dengan keluarga bila simpanan mencukupi, makan di luar tapi bukan tiap-tiap minggu, ringkasnya berbelanja ikut keperluan bukan ikut kehendak atau nafsu.
Apapun, saya ‘berbelanja lebih sikit’ untuk rumah sekarang sebab nak rumah yang luas/lapang. Cuma perabut biashe2 ja, tak perlu mahal sebab bukan keperluan. Mengapa rumah yang luas? Sebab ada dalam hadis.
“Empat perkara yang mendatangkan kebahagiaan: Isteri solehah, rumah luas, kejiranan baik, kenderaan selesa”. (Hadis Riwayat Ahmad).
Alhamdulillah, empat perkara dalam hadis ni, saya fikir, saya dapat merasainya apabila kami berpindah ‘ke kampung sekarang’, ditambah dengan jiran pun bagus-bagus. Namun, Kebahagian di luar ini perlu disepadukan dengan kebahagiaan di dalam, yakni hati. Hati yang tenang adalah kunci kepada akal yang tenteram & jiwa yang lapang.
Macam mana nak dapat hati yang tenang tenteram? Sebelum jawab soalan itu, kita kena tahu, Mengapa hati tak tenang dan tidak tenteram? Hati tak tenang, gundah gulana kerana ia dipenuhi dengan sifat mazmumah seperti hasad, dengki, khianat, dendam, ujub, riak, sum’ah dll. Bila kita ikut sifat mazmumah, maka akal pun tak tenteram sebab dok dengki kat orang, dok pikiaq nak penaya orang lain, dok mengata kat orang, dok cari jalan nak jatuhkan orang dll.
Hati tak tenang jika dipenuhi dengan nafsu-nafsu terhadap dunia, maka akal pun tak tenteram sebab banyak benda nak beli, nak berlawan dengan orang, nak cari benda baru, nak kena cari duit lebih, nak kena hutang, nak kena pinjam dll. Apabila tuntutan nafsu dan akal selari, maka tubuh pun ikut, kena kerja lebih, usaha lebih untuk perkara bukan keperluan. Maka, akhirnya, hidup kita di dunia untuk dunia semata-mata, bukan hidup di dunia untuk akhirat.
Macam mana hati nak tenang? Hati nak tenang tenteram jika ia hidup dgn Zikrullah. Jika hati tak hidup dengan Zikrullah, ia akan mati, bila hati mati, "jin, syaitan dan iblis akan masuk", bila "jin, syaitan dan iblis masuk", hati akhirnya akan menjadi gelap dan menjadi ‘istana syaitan’. Bila hati sudah menjadi ‘istana syaitan’, maka nafsu ammarah dan sifat mazmumah yang akan bermaharajalela. Jika nafsu kita hanya di peringkat ammarah, tidak berubah, memang tidak akan ada ketenangan.
Hati akan tenang tenteram, akal dan jiwa akan lapang apabila nafsu kita berubah ke peringkat nafsu mutmainnah.
“Wahai jiwa yang tenang (muthmainnah), kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha (kepada Allah) dan diredhai (oleh Allah), maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.” [Al Fajr : 27-30]
Tapi bukan mudah nafsu nak berpindah ke nafsu mutmainnah. Kena ada jihadnya, kena ada ilmu, kena ada amalannya, maksudnya kena beramal ilmunya. Sebab itu jihad paling besar adalah memerangi hawa nafsu. Bukan mudah ya. Mereka yang tidak pernah berjihad menentang hawa nafsu tidak pernah tahu, tidak pernah rasa jihad ini paling susah, paling besar, paling berat.
“…Jihad yang paling utama adalah jihad melawan hawa nafsu kerana Allah”
(HR Ahmad, Tarmizi dan Ibn Hibban).
Hadis diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda :
رَجَعْنَا مِنَ الجهادِ الأصغرِ إلى الجهادِ الأكبرِ . قالوا : وما الجِهادُ الأكبرُ ؟ قال : جِهادُ القَلبِ
Maksudnya :
“Kami telah pulang daripada jihad yang lebih kecil kepada jihad yang lebih besar. Mereka bertanya : Apakah yang dimaksudkan dengan jihad yang lebih besar itu ? Nabi SAW bersabda : Kesungguhan seseorang hamba melawan hawa nafsunya”.
Hadis ini diriwayatkan dengan makna yang sama oleh al-Baihaqi (373), kitab al-Zuhd, Sunan al-Kabir.
Berbalik kepada hati tadi, apa dalilnya hati akan tenang tenteram dengan Zikrullah? Baca Kalam Allah yang berikut:
Firman Allah yang bermaksud:
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”
(surah al-Ra`d, ayat 28)
Ayat Al-Quran ini adalah jaminan Allah SWT bahawa hanya dengan hati mengingati Allah (zikrullah) hati kita akan menjadi tenang tenteram. Bukan saya yang memberi jaminan.
Dalam hadis sahih yang lain, riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Musa al-Ash’ari RA, Nabi bersabda:
“Perumpamaan orang yang berzikir dan orang yang tidak berzikir ialah seperti orang yang hidup dan orang yang mati.”
Fikir-fikirkanlah. Hidupkanlah hati dengan zikrullah. Kata mereka yang arif, hati yang hidup dengan zikrullah itu membezakan Mukmin dengan bukan Mukmin. Wallahu’alam. Segala 1001 masalah di dunia ini ada solusinya, iaitu kembali kepada Allah, yakni kembali kepada Al-Quran dan Sunnah Baginda Nabi SAW.
Dalam hidup ini, kita belajar macam-macam kaedah untuk menjadi tenang, orang muda sekarang kata 'healing', dari tamadun Barat ke Timur, dari perubatan moden sampai perubatan tradisional, dari Yoga ke meditasi ke petigeni, ke bertapa dan lain-lain. Solusinya ada pada hati, pada amalan hati. Carilah amalan-amalan untuk membersihkan hati dan menghidupkan hati.
No comments:
Post a Comment