Bengkel Jawatankuasa Teknikal Anugerah Francais Malaysia 2024 telah diadakan di The Everly, Putrajaya pada 19-21 Jan 2024. Seramai tujuh AJK terlibat dalam bengkel ini yang dijalankan untuk menambahbaik Anugerah Francais Malaysia. Jawatankuasa Teknikal berperanan untuk melihat, menilai dan menambahbaik setiap anugerah, mencadang anugerah baru, tidak meneruskan anugerah yang 'bermasalah', menilai dan menambahbaik syarat penyertaan bagi setiap anugerah (borang pencalonan), menambahbaik kriteria penilaian (borang penilaian), mencadang agensi dan universiti yang bakal menyediakan panel penilai, selain membaiki dan menambahbaik setiap proses kerja dalam Anugerah Francais Malaysia.
Selain saya selaku Pengarah Anugerah Francais Malaysia 2024, saya menjemput dua orang ahli akademik lagi iaitu Dr. Hamizah Abd. Hamid dari FEP UKM dan Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz dari FPI UMPSA. Dr. Hamizah Abd Hamid merupakan AJK Penyeliaan bersama saya untuk dua PhD yang saya merupakan Pengerusi JK Penyeliaan di mana kedua calon PhD ini telahpun bergraduat iaitu Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz dan Dr. Mohd Faizal Abdul Ghani dan kedua-dua mereka menjalankan kajian PhD mereka dalam Perniagaan Francais. Sepanjang lebih 20 tahun terlibat dengan industri francais, saya berusaha menambah penyelidik dan pensyarah di Malaysia yang terlibat dalam perniagaan francais, tapi bukanlah mudah. Mohd-moga Dr. Hamizah Abd. Hamid dan Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz menjadi 'antara pewaris' saya kelak. Jika umur panjang, dalam lapan tahun lebih saya akan bersara. Saya berharap industri ini akan kekal maju dan berdaya saing dan mendapat sokongan dan dokongan pensyarah universiti. Selain itu, wakil MPC (En. Asmawadi Mohamed) dan wakil MyCC (En. Norsaidi) juga dijemput selain En. Abdullah Abu dan En. Adam selaku wakil dari Persatuan Francais Malaysia (MFA).
Saya pernah dilantik sebagai Pengerusi (kini dipanggil Pengarah), Anugerah Francais Malaysia (AFM) dari 2011-2015. Pada tahun 2012, saya telah melakukan rombakan besar-besaran terhadap semua anugerah, kategori anugerah, dan kriteria penilaian. Kerangka utama penilaian anugerah bagi kategori Sistem Francais dan Francaisi telah menggunakan Kerangka Teori Sistem yang diadun bersama amalan terbaik Malcolm Baldridge Award. Bukanlah mudah mencari satu kerangka penilaian untuk industri francais yang di dalamnya terdapat berpuluh-puluh perniagaan berbeza. Adunan amalan terbaik dari Malcolm Baldridge Award dapat dilakukan kerana pada tahun 2005-2006, saya berpengalaman sebagai AJK dalam membantu UKM dalam memenangi Anugerah Kualiti Perdana Menteri dan selepas PhD terlibat dalam siri latihan mengenai Anugerah Kecemerlangan Industri di bawah Malaysia Productivity Corporation. Saya juga terlibat dengan proses persijilan ISO9001 Sistem Pengurusan Kualiti di UKM bermula tahun 2000, kohort perintis di UKM Kampus Bangi. Saya berpengalaman memahami standard ISO9001 sehinggalah menjadi juru audit di peringkat UKM. Saya juga berpengalaman sebagai panel penilai kanan Malaysian Qualifications Agency (MQA) semenjak tahun 2004. Saya berpengalaman memahami dan menggunakan standard MQA dari lima standard ke sembilan standard dan kini menjadi tujuh standard. Pengalaman ini semua penting dalam menambahbaik Anugerah Francais Malaysia.
Pada tahun 2012, anugerah baru diperkenalkan iaitu Anugerah Inovasi Francais Terbaik, Anugerah Majikan Francais Terbaik dan Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat Terbaik dan diletakkan di bawah Kategori Terbuka. Perubahan ini penting kerana inovasi adalah sumber kepada kelebihan bersaing syarikat, Tanggungjawab Sosial Korporat pula merupakan elemen yang semakin penting dalam dunia perniagaan manakala majikan terbaik diketengahkan untuk menghargai sistem francais yang berusaha menjaga, mengekal dan menambahbaik modal manusia masing-masing. Kategori Terbuka bermakna mana-mana syarikat sama ada francaisor, francaisi induk, francaisi kepada francaisor antarabangsa, francaisi dan lain-lain syarikat boleh bertanding.
Apabila dilantik semula sebagai Pengarah Anugerah Francais Malaysia 2023, kami memperkenalkan kategori baru iaitu Kategori ESG yang memperkenalkan anugerah baru iaitu Anugerah Francais Lestari Terbaik, Anugerah Governans Francais Terbaik selain Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat Francais Terbaik (sebelum ini dipertandingkan di bawah kategori terbuka dan kini dimasukkan ke dalam Kategori ESG). Ini selaras dengan perkembangan dunia perniagaan di mana ESG adalah perkara penting dalam perniagaan masa kini. Bagi Anugerah Governans Francais Terbaik, kriteria penilaian ditetapkan mengikuti standard dunia. Ini bermakna syarikat perlu memenuhi beberapa standard penting untuk mereka layak bertanding. Bagi Anugerah Francais Lestari Terbaik, penambahbaikan dilakukan agar elemen kelestarian menjadi teras operasi syarikat. Begitu juga dengan Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat Francais Terbaik, penambahbaikan dilakukan memandangkan aspek CSR mengalamani beberapa perubahan dalam tempoh 10 tahun ini.
Bagi Kategori Terbuka, ia kekal dengan Anugerah Inovasi Francais Terbaik, Anugerah Majikan Francais Terbaik dan satu anugerah baru diperkenalkan iaitu Rakan Francais Terbaik. Rakan Francais Terbaik diperkenalkan untuk menghargai peranan dan sumbangan syarikat guaman, perunding, penyedia sistem, dan lain-lain syarikat (selain francaisor, francaisi induk dan francaisi) yang membantu perkembangan industri francais di Malaysia.
Selain itu, tahun 2023 juga menyaksikan satu kategori baru diperkenalkan iaitu Kategori Media. Sebelum ini, ia tidak berbentuk anugerah tetapi Penghargaan Khas kepada institusi media dan individu. Dalam Kategori Media, tiga anugerah baru dipertandingkan iaitu Wartawan Francais Terbaik, Media Sosial Francais Terbaik dan Artikel Francais Terbaik. Untuk Anugerah Media Sosial Francais Terbaik dan Artikel Francais Terbaik, ia terbuka kepada semua orang, asalkan tinggal (penduduk) di Malaysia. Kategori Media diperkenalkan untuk menghargai peranan dan sumbangan pelbagai media sama ada institusi atau individu yang menyumbang kepada industri dan MFA yang telah berusia 30 tahun. Malam Anugerah Francais Malaysia 2023 juga menyaksikan Penghargaan Khas diberikan kepada ahli-ahli yang setia bersama MFA melebihi tempoh 20 tahun.
No comments:
Post a Comment