Sunday, 4 February 2024

KENDURI KAHWIN, STRES DAN HATI YANG TENANG TENTERAM

Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera semua, 

Hari ini layan kenduri kahwin anak sulong rakan sefakulti, biasalah ramai pensyarah dah masuk Group IL. Tahniah kepada Dr. Noor Hasni Juhdi, suami dan keluarga kerana menerima menantu pertama. Saya pun jika panjang umur akan masuk Group IL. Sabor ye. Seperti biasa juga, cari bukan nasi dulu. Alhamdulillah, sedap mee kari dia. Walau sampai awal, kena tunggu sampai 1230 tengahari sebab orang rumah dan anak nak tengok tradisi tentera bila kenduri kahwin. Balik kenduri, kena overtime, ada dua bab dalam buku dah terlebih tarikh mati. Terima kasih penyunting kerana sedia menanti.



Saya ni sibuk, hujung minggu ja lapang utk menulis. Hari kerja banyak tugas pentadbiran. Malam-malam di hari kerja pula, bila balik rumah, badan dah letih, tak macam umur 25-40 tahun. Stres? Memang stres, cuma stres saya tak nampak di wajah. Satu lagi, Allah masih bagi saya ketenangan di hati, ketenangan ketika solat. Hati yang tenang tenteram ini mempengaruhi akal saya, tak menjadikan akal saya dok pikiaq pelik-pelik. Hati yang tenang tenteram menjadikan jiwa saya lapang. Moga ia berkekalan sehingga ke akhir hayat. Kalau ikutkan stres, kalau saya boleh bersara esok, esok saya nak bersara. Tapi hati, jiwa, dan akal yang tenang dan tenteram itu 'menghalang stres itu dari zahir di wajah dan tubuh badan'.

Antara faktor stres dalam kalangan pensyarah masa kini adalah:

1. Banyak tugasan pentadbiran tapi markah pentadbiran tidak melambangkan beban tugas dan tanggungjawab. Contoh, untuk jawatan Timbalan Dekan (TD), hanya 50% markah pentadbiran . Untuk jawatan lain pun sama. Jawatan Ketua Program pula, markah pentadbiran lebih rendah tetapi banyak juga kerjanya walau tak sesibuk TD.

2. Kurang masa untuk penyelidikan di waktu pejabat. Dalam kes saya, dulu pelajar siswazah hanya 300, tapi skrg dah 1000++. Banyak masa waktu pejabat di hari kerja digunakan untuk urusan pelajar.

3. Jadinya, kami terpaksa menggunakan waktu malam di hari kerja & hari cuti untuk kerja penyelidikan dan pengajaran. Bagi orang macam saya, sebahagian besarnya adalah di hujung minggu sebab malam-malam di hari kerja badan dah penat, pancit.

4. ⁠KPI penyelidikan membebankan pensyarah. 4 artikel jurnal setahun bukan mudah dicapai. Universiti di negara maju pun tak ada KPI macam ni. Ini belum dikira KPI lain. Sebab itu saya faham ramai pensyarah nak bersara awal, khususnya yang dah cukup umur 55 tahun.

5. ⁠Elaun jawatan tidak setimpal dengan jawatan. Elaun Timbalan Dekan di UKM sama dgn elaun Ketua Program di Universiti lain. Jadi maknanya elaun TD/KP/Penyelaras juga adalah rendah dari kadar industri. Elaun ni bukanlah penting sangat, tapi kenalah berbaloi.
6. ⁠KPI dilata ke TD/KP/Pentadbir ada kalanya tidak relevan dan ada yang “almost impossible to achieve”. Ini membebankan pensyarah yang menjadi pentadbir. Ramai pensyarah stres dengan KPI yang dilata kepada mereka.

7. Banyak lagi. Nanti saya tulis tentang beban tugas seorang pensyarah universiti. Jangan dok ingat kami tak ada kerja.



Cuma saya ni, dari kecil “Allah dah didik”, alah bisa tegal biasa. Kita dulu orang susah, kesusahan tu dah tak rasa susah. Kerja keras dah jadi amalan hidup. Dari zaman sekolah menengah dah hidup berdikari, dah bekerja keras untuk hidup. Tidak bergantung dengan orang lain menjadi pegangan hidup, tidak mengharap orang lain untuk apa yang kita berhajat. Nak dapatkan sesuatu kena usaha sendiri, tak harap sesiapa bantu. Belajar bersyukur dari kecil, sebab kita orang susah. Apa yang kita dapat, kecil atau besar, murah atau mahal, banyak atau sedikit, kita bersyukur. Nak berjaya dlm hidup, semuanya usaha dan sikap diri sendiri, cuma jangan lupa Allah SWT.

Hiduplah kami seadanya, berjimat-cermat, sederhana dalam apa saja dah jadi prinsip hidup. Kalaupun ada rezeki lebih, rasa membazir berbelanja lebih. Kalau saya makan nasi campur, biasanya satu lauk dengan satu sayur/benda lain dah cukup. Kalau ambil ayam, ambil yang kecil saja, sebab dah biasa tak makan lauk banyak, kalau ambil ayam yang besar, nanti tak habis nak makan. Kalau anak makan tak habis @ bermewah, memang siaplah kena tegur. Cuma saya tidaklah kedekut, berbelanja ikut keperluan, melancong dengan keluarga bila simpanan mencukupi, makan di luar tapi bukan tiap-tiap minggu, ringkasnya berbelanja ikut keperluan bukan ikut kehendak atau nafsu.

Apapun, saya ‘berbelanja lebih sikit’ untuk rumah sekarang sebab nak rumah yang luas/lapang. Cuma perabut biashe2 ja, tak perlu mahal sebab bukan keperluan. Mengapa rumah yang luas? Sebab ada dalam hadis.

“Empat perkara yang mendatangkan kebahagiaan: Isteri solehah, rumah luas, kejiranan baik, kenderaan selesa”. (Hadis Riwayat Ahmad).

Alhamdulillah, empat perkara dalam hadis ni, saya fikir, saya dapat merasainya apabila kami berpindah ‘ke kampung sekarang’, ditambah dengan jiran pun bagus-bagus. Namun, Kebahagian di luar ini perlu disepadukan dengan kebahagiaan di dalam, yakni hati. Hati yang tenang adalah kunci kepada akal yang tenteram & jiwa yang lapang.
Macam mana nak dapat hati yang tenang tenteram? Sebelum jawab soalan itu, kita kena tahu, Mengapa hati tak tenang dan tidak tenteram? Hati tak tenang, gundah gulana kerana ia dipenuhi dengan sifat mazmumah seperti hasad, dengki, khianat, dendam, ujub, riak, sum’ah dll. Bila kita ikut sifat mazmumah, maka akal pun tak tenteram sebab dok dengki kat orang, dok pikiaq nak penaya orang lain, dok mengata kat orang, dok cari jalan nak jatuhkan orang dll.

Hati tak tenang jika dipenuhi dengan nafsu-nafsu terhadap dunia, maka akal pun tak tenteram sebab banyak benda nak beli, nak berlawan dengan orang, nak cari benda baru, nak kena cari duit lebih, nak kena hutang, nak kena pinjam dll. Apabila tuntutan nafsu dan akal selari, maka tubuh pun ikut, kena kerja lebih, usaha lebih untuk perkara bukan keperluan. Maka, akhirnya, hidup kita di dunia untuk dunia semata-mata, bukan hidup di dunia untuk akhirat.

Macam mana hati nak tenang? Hati nak tenang tenteram jika ia hidup dgn Zikrullah. Jika hati tak hidup dengan Zikrullah, ia akan mati, bila hati mati, "jin, syaitan dan iblis akan masuk", bila "jin, syaitan dan iblis masuk", hati akhirnya akan menjadi gelap dan menjadi ‘istana syaitan’. Bila hati sudah menjadi ‘istana syaitan’, maka nafsu ammarah dan sifat mazmumah yang akan bermaharajalela. Jika nafsu kita hanya di peringkat ammarah, tidak berubah, memang tidak akan ada ketenangan.

Hati akan tenang tenteram, akal dan jiwa akan lapang apabila nafsu kita berubah ke peringkat nafsu mutmainnah.

“Wahai jiwa yang tenang (muthmainnah), kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha (kepada Allah) dan diredhai (oleh Allah), maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.” [Al Fajr : 27-30]

Tapi bukan mudah nafsu nak berpindah ke nafsu mutmainnah. Kena ada jihadnya, kena ada ilmu, kena ada amalannya, maksudnya kena beramal ilmunya. Sebab itu jihad paling besar adalah memerangi hawa nafsu. Bukan mudah ya. Mereka yang tidak pernah berjihad menentang hawa nafsu tidak pernah tahu, tidak pernah rasa jihad ini paling susah, paling besar, paling berat.

“…Jihad yang paling utama adalah jihad melawan hawa nafsu kerana Allah” 
(HR Ahmad, Tarmizi dan Ibn Hibban).

Hadis diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda :

رَجَعْنَا مِنَ الجهادِ الأصغرِ إلى الجهادِ الأكبرِ . قالوا : وما الجِهادُ الأكبرُ ؟ قال : جِهادُ القَلبِ

Maksudnya : 

“Kami telah pulang daripada jihad yang lebih kecil kepada jihad yang lebih besar. Mereka bertanya : Apakah yang dimaksudkan dengan jihad yang lebih besar itu ? Nabi SAW bersabda : Kesungguhan seseorang hamba melawan hawa nafsunya”.

Hadis ini diriwayatkan dengan makna yang sama oleh al-Baihaqi (373), kitab al-Zuhd, Sunan al-Kabir. 


Berbalik kepada hati tadi, apa dalilnya hati akan tenang tenteram dengan Zikrullah? Baca Kalam Allah yang berikut:

Firman Allah yang bermaksud:
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”
(surah al-Ra`d, ayat 28)

Ayat Al-Quran ini adalah jaminan Allah SWT bahawa hanya dengan hati mengingati Allah (zikrullah) hati kita akan menjadi tenang tenteram. Bukan saya yang memberi jaminan.

Dalam hadis sahih yang lain, riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Musa al-Ash’ari RA, Nabi bersabda:

“Perumpamaan orang yang berzikir dan orang yang tidak berzikir ialah seperti orang yang hidup dan orang yang mati.”

Fikir-fikirkanlah. Hidupkanlah hati dengan zikrullah. Kata mereka yang arif, hati yang hidup dengan zikrullah itu membezakan Mukmin dengan bukan Mukmin. Wallahu’alam. Segala 1001 masalah di dunia ini ada solusinya, iaitu kembali kepada Allah, yakni kembali kepada Al-Quran dan Sunnah Baginda Nabi SAW.

Dalam hidup ini, kita belajar macam-macam kaedah untuk menjadi tenang, orang muda sekarang kata 'healing', dari tamadun Barat ke Timur, dari perubatan moden sampai perubatan tradisional, dari Yoga ke meditasi ke petigeni, ke bertapa dan lain-lain. Solusinya ada pada hati, pada amalan hati. Carilah amalan-amalan untuk membersihkan hati dan menghidupkan hati.
Wassalam.



Wednesday, 31 January 2024

Anugerah Francais Malaysia 2024 - Genuine, Exceptional and Prestige

Bengkel Jawatankuasa Teknikal Anugerah Francais Malaysia 2024 telah diadakan di The Everly, Putrajaya pada 19-21 Jan 2024. Seramai tujuh AJK terlibat dalam bengkel ini yang dijalankan untuk menambahbaik Anugerah Francais Malaysia. Jawatankuasa Teknikal berperanan untuk melihat, menilai dan menambahbaik setiap anugerah, mencadang anugerah baru, tidak meneruskan anugerah yang 'bermasalah', menilai dan menambahbaik syarat penyertaan bagi setiap anugerah (borang pencalonan), menambahbaik kriteria penilaian (borang penilaian), mencadang agensi dan universiti yang bakal menyediakan panel penilai, selain membaiki dan menambahbaik setiap proses kerja dalam Anugerah Francais Malaysia.

Selain saya selaku Pengarah Anugerah Francais Malaysia 2024, saya menjemput dua orang ahli akademik lagi iaitu Dr. Hamizah Abd. Hamid dari FEP UKM dan Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz dari FPI UMPSA. Dr. Hamizah Abd Hamid merupakan AJK Penyeliaan bersama saya untuk dua PhD yang saya merupakan Pengerusi JK Penyeliaan di mana kedua calon PhD ini telahpun bergraduat iaitu Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz dan Dr. Mohd Faizal Abdul Ghani dan kedua-dua mereka menjalankan kajian PhD mereka dalam Perniagaan Francais. Sepanjang lebih 20 tahun terlibat dengan industri francais, saya berusaha menambah penyelidik dan pensyarah di Malaysia yang terlibat dalam perniagaan francais, tapi bukanlah mudah. Mohd-moga Dr. Hamizah Abd. Hamid dan Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz menjadi 'antara pewaris' saya kelak. Jika umur panjang, dalam lapan tahun lebih saya akan bersara. Saya berharap industri ini akan kekal maju dan berdaya saing dan mendapat sokongan dan dokongan pensyarah universiti. Selain itu, wakil MPC (En. Asmawadi Mohamed) dan wakil MyCC (En. Norsaidi) juga dijemput selain En. Abdullah Abu dan En. Adam selaku wakil dari Persatuan Francais Malaysia (MFA).



Saya pernah dilantik sebagai Pengerusi (kini dipanggil Pengarah), Anugerah Francais Malaysia (AFM) dari 2011-2015. Pada tahun 2012, saya telah melakukan rombakan besar-besaran terhadap semua anugerah, kategori anugerah, dan kriteria penilaian. Kerangka utama penilaian anugerah bagi kategori Sistem Francais dan Francaisi telah menggunakan Kerangka Teori Sistem yang diadun bersama amalan terbaik Malcolm Baldridge Award. Bukanlah mudah mencari satu kerangka penilaian untuk industri francais yang di dalamnya terdapat berpuluh-puluh perniagaan berbeza. Adunan amalan terbaik dari Malcolm Baldridge Award dapat dilakukan kerana pada tahun 2005-2006, saya berpengalaman sebagai AJK dalam membantu UKM dalam memenangi Anugerah Kualiti Perdana Menteri dan selepas PhD terlibat dalam siri latihan mengenai Anugerah Kecemerlangan Industri di bawah Malaysia Productivity Corporation. Saya juga terlibat dengan proses persijilan ISO9001 Sistem Pengurusan Kualiti di UKM bermula tahun 2000, kohort perintis di UKM Kampus Bangi. Saya berpengalaman memahami standard ISO9001 sehinggalah menjadi juru audit di peringkat UKM. Saya juga berpengalaman sebagai panel penilai kanan Malaysian Qualifications Agency (MQA) semenjak tahun 2004. Saya berpengalaman memahami dan menggunakan standard MQA dari lima standard ke sembilan standard dan kini menjadi tujuh standard. Pengalaman ini semua penting dalam menambahbaik Anugerah Francais Malaysia.

Pada tahun 2012, anugerah baru diperkenalkan iaitu Anugerah Inovasi Francais Terbaik, Anugerah Majikan Francais Terbaik dan Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat Terbaik dan diletakkan di bawah Kategori Terbuka. Perubahan ini penting kerana inovasi adalah sumber kepada kelebihan bersaing syarikat, Tanggungjawab Sosial Korporat pula merupakan elemen yang semakin penting dalam dunia perniagaan manakala majikan terbaik diketengahkan untuk menghargai sistem francais yang berusaha menjaga, mengekal dan menambahbaik modal manusia masing-masing. Kategori Terbuka bermakna mana-mana syarikat sama ada francaisor, francaisi induk, francaisi kepada francaisor antarabangsa, francaisi dan lain-lain syarikat boleh bertanding.


Apabila dilantik semula sebagai Pengarah Anugerah Francais Malaysia 2023, kami memperkenalkan kategori baru iaitu Kategori ESG yang memperkenalkan anugerah baru iaitu Anugerah Francais Lestari Terbaik, Anugerah Governans Francais Terbaik selain Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat Francais Terbaik (sebelum ini dipertandingkan di bawah kategori terbuka dan kini dimasukkan ke dalam Kategori ESG). Ini selaras dengan perkembangan dunia perniagaan di mana ESG adalah perkara penting dalam perniagaan masa kini. Bagi Anugerah Governans Francais Terbaik, kriteria penilaian ditetapkan mengikuti standard dunia. Ini bermakna syarikat perlu memenuhi beberapa standard penting untuk mereka layak bertanding. Bagi Anugerah Francais Lestari Terbaik, penambahbaikan dilakukan agar elemen kelestarian menjadi teras operasi syarikat. Begitu juga dengan Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat Francais Terbaik, penambahbaikan dilakukan memandangkan aspek CSR mengalamani beberapa perubahan dalam tempoh 10 tahun ini.


Bagi Kategori Terbuka, ia kekal dengan Anugerah Inovasi Francais Terbaik, Anugerah Majikan Francais Terbaik dan satu anugerah baru diperkenalkan iaitu Rakan Francais Terbaik. Rakan Francais Terbaik diperkenalkan untuk menghargai peranan dan sumbangan syarikat guaman, perunding, penyedia sistem, dan lain-lain syarikat (selain francaisor, francaisi induk dan francaisi) yang membantu perkembangan industri francais di Malaysia.


Selain itu, tahun 2023 juga menyaksikan satu kategori baru diperkenalkan iaitu Kategori Media. Sebelum ini, ia tidak berbentuk anugerah tetapi Penghargaan Khas kepada institusi media dan individu. Dalam Kategori Media, tiga anugerah baru dipertandingkan iaitu Wartawan Francais Terbaik, Media Sosial Francais Terbaik dan Artikel Francais Terbaik. Untuk Anugerah Media Sosial Francais Terbaik dan Artikel Francais Terbaik, ia terbuka kepada semua orang, asalkan tinggal (penduduk) di Malaysia. Kategori Media diperkenalkan untuk menghargai peranan dan sumbangan pelbagai media sama ada institusi atau individu yang menyumbang kepada industri dan MFA yang telah berusia 30 tahun. Malam Anugerah Francais Malaysia 2023 juga menyaksikan Penghargaan Khas diberikan kepada ahli-ahli yang setia bersama MFA melebihi tempoh 20 tahun.

Untuk Anugerah Francais Malaysia 2024, bagi Kategori Sistem Francais, elemen integriti dimantapkan sebagai salah satu aspek penting dalam penilaian. Wakil Suruhanjaya Anti Persaingan (MyCC) membantu Jawatankuasa Teknikal dalam mengenengahkan elemen Integriti. Selain itu, bagi Kategori Sistem Francais juga, aspek pertumbuhan jumlah pekerja dimasukkan dalam penilaian kuantitatif selain penilaian sedia ada yang meliputi pertumbuhan outlet dan pertumbuhan jualan.

Bagi Kategori Terbuka & Kategori ESG, kaedah penilaian ditambahbaik dan dimantapkan agar penilaian menjadi lebih objektif, telus dan profesional. Adalah menjadi hasrat kami untuk meningkatkan standard semua anugerah agar ia dinamik dan mencapai standard dunia, dan dinilai secara telus dan profesional.

Bagi Kategori Francaisi, kami telah memperkenalkan empat anugerah baru iaitu Best Single Unit Franchisee of The Year, Best Multi-Unit Franchisee of The Year, Best International Single Unit Franchisee of the Year dan Best International Multi Unit Franchisee of The Year. Anugerah Francaisi Harapan Terbaik dan Francaisi Harapan Antarabangsa Terbaik dikekalkan dan ini menjadikan Kategori Francaisi mempunyai enam anugerah semuanya. Aspek pertumbuhan jumlah pekerja dimasukkan dalam penilaian kuantitatif bagi Anugerah Best Multi-Unit Franchisee of The Year dan Best International Multi-Unit Franchisee of The Year.

Selain itu, AFM 2024 menyaksikan beberapa syarat penyertaan anugerah telah ditambahbaik agar AFM kekal dinamik, berdaya saing dan bertaraf dunia. Bagi pihak Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pemilih Anugerah Francais Malaysia 2024, keadilan, ketelusan dan profesionalisme sentiasa ditekankan agar Anugerah Francais Malaysia kekal "Genuine, Exceptional and Prestige". Mengapa "Genuine, Exceptional and Prestige"? Hakikatnya, tidak semua anugerah industri di Malaysia adalah "Genuine" atau tulen. Banyak syarikat memperolehi pelbagai anugerah di pasaran kerana "membeli banyak meja", "menjadi penaja bertaraf emas/platinum" dan pelbagai cara yang "tidak beretika". Jika terdapat kes di mana pemenang AFM juga menjadi penaja MFA dalam beberapa acara dan Malam Anugerah Francais Malaysia, ia hanyalah secara kebetulan. Tajaan walau apa bentuk dan di mana sahaja ia dilakukan tidak langsung diambilkira dan dinilai olel panel penilai yang dilantik dalam AFM.

AFM mempunyai sejarah yang panjang dan hebat, syarat penyertaan yang jelas, kaedah penilaian yang mencapai standard dunia, dinilai oleh panel penilai dari universiti dan agensi kerajaan yang profesional serta berdasarkan kriteria pemarkahan yang jelas selain pemenang dipilih oleh Jawatankuasa Pemilih yang mewakili pelbagai agensi kerajaan yang tidak mempunyai sebarang konflik kepentingan dengan setiap anugerah yang dipertandingkan. Setiap proses kerja dalam AFM adalah jelas, mengikuti prinsip tadbir urus yang baik dan dilakukan dengan penuh ketelusan.


Anugerah Francais Malaysia bukan untuk memberi anugerah kepada semua syarikat yang menghantar borang pencalonan. Jika mudah-mudah syarikat memenangi anugerah, di mana prestijnya AFM ini? Anda perlu membuktikan bahawa syarikat anda terbaik untuk memenangi anugerah yang dipertandingkan. Hanya syarikat yang disenarai pendek akan dinilai oleh panel penilai. Hanya syarikat yang mencapai kriteria "Exceptional" yang disarankan dipilih sebagai pemenang oleh panel penilai kepada Jawatankuasa Pemilih. Ini bermakna jika hanya satu penyertaan diterima untuk satu anugerah, ia tidak bermakna syarikat itu akan dipilih sebagai pemenang jika mereka tidak mencapai kriteria "Exceptional". Umumnya, selepas melalui proses penerimaan borang pencalonan, tapisan di peringkat awal, penilaian oleh panel penilai, dan pemilihan akhir oleh Jawatankuasa pemililh, hanya syarikat terbaik akan dipilih sebagai pemenang anugerah, hanya syarikat terbaik pada tahun tersebut akan dipilih sebagai "Franchise of the Year". Itulah "Prestige" nya Anugerah Francais Malaysia. Hanya yang terbaik akan menang. Bagi yang belum menang, anda perlu berusaha dan menambahbaik syarikat untuk terus bersaing dan cuba menang pada masa hadapan. Moga moto atau slogan "Genuine, Exceptional and Prestige" ini terus kekal untuk Anugerah Francais Malaysia pada masa depan.

Sekian.

PhD Potluck - 27 Januari 2024

PhD Potluck hari ini. Tradisi ini bermula tahun lepas. Saya akan jemput calon2 PhD dlm kursus PhD, EPPM8033 Teori Pengurusan dan Keusahawanan, calon-calon PhD di bawah penyeliaan saya dan calon2 PhD yang saya kenal (selaku pensyarah EPPM8033 dan TD Siswazah). Seperti biasa, tuan rumah masak menu utama. Menu utama kali ini adalah nasi lemak, bihun goreng (seperti biasa saya yang masak), teh tarik, dessert dan buah. Mengapa nasi lemak? Sebab ia makanan rasmi Malaysia. Nak bagi calon PhD antarabangsa ni kenal makanan2 Malaysia.





Alhamdulillah, lebih 20 orang yang datang. Potluck ni bukan wajib, tapi sukarela. Mengapa? Bnyk sebab antaranya adalah “meninggalkan kenangan manis kpd calon2 PhD, khususnya dari luar negara”. Mereka adalah “tetamu kita”. Selain itu, bnyk suruhan dlm Islam utk aktiviti sebegini. Tidak pernah ada kerugian dlm aktiviti ‘bersedekah’.









Di samping itu, ia juga sebenarnya satu dakwah, menunjukkan imej Islam kpd orang bukan Islam. Kita perlu berikan gambaran terbaik ttg agama kita & umat Islam. Jika orang bukan Islam menunjukkan contoh yang baik ttg akhlak, kelakuan, bimbingan sbg seorg ahli akademik, kita, ahli akademik Muslim kena tunjukkan, zahirkan contoh lebih baik lagi. Kita kan umat terbaik.
😊😊😊




PROJEK "HARVESTING HOPE" ANJURAN PELAJAR SARJANA KEUSAHAWANAN DAN INOVASI FEP UKM

Projek “Harvesting Hope” anjuran pljr Sarjana Keusahawanan dan Inovasi FEP di bawah seliaan Dr Roshayati Abd Hamid di Masjid As-Syakirin, Jenderam Hilir. Saya hadir selaku TD Siswazah.



Kira2 160 asnaf dlm kariah Masjid ini menerima sumbangan sykt swasta berupa beras, bihun dll. Terdapat sekitar 500 keluarga dlm kariah masjid ini, tidak termasuk penduduk taman. Nazir Masjid seorang yang proaktif kerana bersama pembantu Amir, mereka mencari keluarga2 yang layak utk dibantu. Angka asnaf agak merisaukan saya kerana sekitar 32% dari kariah masjid ini (orang kampung) tergolong dlm asnaf zakat.

Mslh ekonomi rakyat Malaysia pasca Covid-19 adalah jelas. Data ekasih di PPinang menunjukkan bilangan miskin tegar dan fakir miskin bertambah dgn bnyknya pasca Covid-19. Menurut Nazir Masjid, ramai keluarga jd asnaf pasca Covid-19 kerana hilang kerja, jatuh bankrap, tak dapat bayar hutang, dll.



Saya dijemput memberi ucapan mewakili FEP. Saya imbas kembali kisah saya 4 beradik, menjadi yatim ketika berusia 6 tahun, sebuah basikal pak saudara menjadi kenderaan keluarga kami sehingga tahun 1991 (sebelum adik saya membeli motorsikal utk ke tempat kerja dgn menggunakan wang dipinjam dr mak saudara), rumah kami antara rumah terakhir di kpg ada ‘Rumah Bawah’, bonda saya merupakan penerima tetap zakat MAIPP (biasa diberi pada bulan Ramadhan di masjid), dan adik bongsu saya penerima bantuan PIBG di sekolah setiap tahun. (Saya dan abang2 tak dapat sebab satu keluarga seorang saja penerima).

Saya kongsikan bagaimana kami 4 beradik keluar dari garis kemiskinan iaitu dgn ilmu/pendidikan. Saya kongsi hadis Nabi SAW, inginkan dunia kena ada ilmu, nak akhirat kena ada ilmu, inginkan dunia & akhirat pun kena ada ilmu. Saya bagi petua utk mak ayah, abang kakak jgn lupa Istiqamah dgn doa utk anak2. Bagi saya, “jika dikatakan saya berjaya masa kini” ia adalah kerana ‘doa bonda saya’. Tak putus doa bonda utk anak2nya dr kami kecil sehingga berkeluarga.





Saya juga kongsi satu amalan mudah utk murah rezeki iaitu bersyukur. Jgn lupa bersyukur, lafazkan syukur, zahirkan kesyukuran setiap hari kepada Allah SWT. Plng kurang sujud syukur @ lafazkan Alhamdulillah di atas setiap nikmat diberikan Tuhan Semesta Alam. Sunnahnya adalah mendirikan Solat Sunat Syukur (1 salam 2 rakaat) setiap hari. Tak susah sebenarnya jika hati berkehendak.






Mengapa bersyukur?
“Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu,…” (Surah Ibrahim: Ayat 7).
Ini antara pesanan guru saya, jangan tinggal bersyukur dan Solat Sunat Syukur. Ini Janji Tuhan bahawa DIA akan tambah nikmat-NYA kepada kita jika kita bersyukur. Ini bukan janji manusia. Tak yakinkah anda dengan janji Tuhan?

Sumber: FB Muhammad Hizam Hanafiah