Wednesday, 22 May 2019

7th International Entrepreneurship Forum di Shanghai, China

Assalamu'alaikum,

Ada pula kenangan lama saya ke China pada tahun 2007 dalam draf blog ini. Ia merupakan pengalaman kali pertama ke Shanghai dan China. Saya terlibat membentangkan dua kertas kerja dalam persidangan 7th International Entrepreneurship Forum di Shanghai, China. Ketika ini saya sedang menyambung pengajian PhD di University of Essex, UK. Alhamdulillah, saya mendapat tajaan universiti untuk ke persidangan ini, maksudnya semua perbelanjaan tiket kapal terbang, hotel dan lain-lain ditanggung oleh University of Essex. 

Visa saya diuruskan oleh Bill Gleeve, salah seorang staf di Universiti. Tapi penerbangan ke Shanghai dari London adalah jadual masing-masing. Penyelia saya (Etnik Cina dari China yang bermastautin di UK) turut serta dalam persidangan ini. Seingat saya, penerbangan yang saya gunakan adalah Emirates. Dari London, saya transit di Dubai sebelum sampai ke Shanghai, China, berseorangan. Mulanya agak sukar ketika sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, Shanghai kerana tidak ramai yang tahu berbahasa Inggeris. Banyak juga prebet sapu yang berkeliaran. Alhamdulillah, saya dapat sebuah teksi dan terus menuju ke Fudan University, penganjur bersama persidangan ini. Berpusing-pusing juga sebelum pemandu teksi dapat mencari Hotel.

Saya menetap di sebuah hotel milik Fudan University. Besar ke Fudan University ini? Memang besar, stadium saja ada dua buah, hotel 4/5 bintang dan macam-macam lagi. Tidak ada universiti di Malaysia sebesar Fudan University. Ketika ini, Shanghai teruk dilanda jerebu. Ketika ini (2007), bukan senang nak cari makanan halal, jadinya saya makan buah saja sepanjang saya di Shanghai. Itulah kekuatan yang harus ada pada seorang pengembara. 

Fudan University memberikan khidmat seorang juruiring (pelajar lelaki) yang boleh berbahasa Inggeris kepada para peserta persidangan. Dapatlah saya ke bandaraya Shanghai dan kawasan sekitar. Shanghai memang bandaraya yang amat besar dan penuh dengan  manusia. bangunan pencakar langit, dan kemajuan teknologi yang mengujakan. Satu perkara terpenting dalam kembara ini adalah saya menyambut 50 tahun Kemerdekaan Malaysia di Shanghai, China. Ketika itu, saya terfikir sendirian, apakah hikmah yang ingin ditunjukkan Allah Taala kepada saya, menyambut Kemerdekaan Malaysia 50 tahun dengan berseorangan di bumi asing? 






715 petang (menunggu Iftar)
22 Mei 2019

No comments:

Post a Comment