Wednesday, 22 May 2019

7th International Entrepreneurship Forum di Shanghai, China

Assalamu'alaikum,

Ada pula kenangan lama saya ke China pada tahun 2007 dalam draf blog ini. Ia merupakan pengalaman kali pertama ke Shanghai dan China. Saya terlibat membentangkan dua kertas kerja dalam persidangan 7th International Entrepreneurship Forum di Shanghai, China. Ketika ini saya sedang menyambung pengajian PhD di University of Essex, UK. Alhamdulillah, saya mendapat tajaan universiti untuk ke persidangan ini, maksudnya semua perbelanjaan tiket kapal terbang, hotel dan lain-lain ditanggung oleh University of Essex. 

Visa saya diuruskan oleh Bill Gleeve, salah seorang staf di Universiti. Tapi penerbangan ke Shanghai dari London adalah jadual masing-masing. Penyelia saya (Etnik Cina dari China yang bermastautin di UK) turut serta dalam persidangan ini. Seingat saya, penerbangan yang saya gunakan adalah Emirates. Dari London, saya transit di Dubai sebelum sampai ke Shanghai, China, berseorangan. Mulanya agak sukar ketika sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, Shanghai kerana tidak ramai yang tahu berbahasa Inggeris. Banyak juga prebet sapu yang berkeliaran. Alhamdulillah, saya dapat sebuah teksi dan terus menuju ke Fudan University, penganjur bersama persidangan ini. Berpusing-pusing juga sebelum pemandu teksi dapat mencari Hotel.

Saya menetap di sebuah hotel milik Fudan University. Besar ke Fudan University ini? Memang besar, stadium saja ada dua buah, hotel 4/5 bintang dan macam-macam lagi. Tidak ada universiti di Malaysia sebesar Fudan University. Ketika ini, Shanghai teruk dilanda jerebu. Ketika ini (2007), bukan senang nak cari makanan halal, jadinya saya makan buah saja sepanjang saya di Shanghai. Itulah kekuatan yang harus ada pada seorang pengembara. 

Fudan University memberikan khidmat seorang juruiring (pelajar lelaki) yang boleh berbahasa Inggeris kepada para peserta persidangan. Dapatlah saya ke bandaraya Shanghai dan kawasan sekitar. Shanghai memang bandaraya yang amat besar dan penuh dengan  manusia. bangunan pencakar langit, dan kemajuan teknologi yang mengujakan. Satu perkara terpenting dalam kembara ini adalah saya menyambut 50 tahun Kemerdekaan Malaysia di Shanghai, China. Ketika itu, saya terfikir sendirian, apakah hikmah yang ingin ditunjukkan Allah Taala kepada saya, menyambut Kemerdekaan Malaysia 50 tahun dengan berseorangan di bumi asing? 






715 petang (menunggu Iftar)
22 Mei 2019

Mini-Reunion ANSARA MUUM Kulim 1990-1992

Assalamu'alaikum,

Ini gambar lama, mini re-union ANSARA Matrikulasi UUM Kulim. Saya pun dah lupa tariknya dan tahunnya. Bila tengok draf dalam blog ini, ada pula tersimpan gambar ini. Majlis diadakan pada 1 Mei 2015. Sahabat-sahabat ANSARA, bersama sepanjang Matrikulasi Universiti Utara Malaysia di Kolej MARA Kulim, 1990-1992 dan Universiti Utara Malaysia, 1992-1996. Kami bertemu di The Light Hotel, Seberang Jaya. 15 orang yang hadir dari sekitar 150 kesemuanya. Zaman matrikulasi ketika itu 'memang indah'. Indahnya lagi kerana 'akan dapat tempat di Universiti' asalkan lulus PNGK 2.00, he3. Zaman tu program matrikulasi dijalankan selama 2 tahun sebelum pihak kerajaan memendekkannya ke setahun sahaja. Sebelum makan-makan, kami baca Yaasin secara berjemaah dulu, untuk para sahabat yang telah kembali menemui Sang Pencipta. 

Al-Fatihah untuk Arwah Saifudin (Pujos), Mohd Nazri Md Ligun, Manan, Md Teng, Big

Cikgu Azmi, Cikgu Taufik dan Bashir (Bonn)

Hj Sukor (X Beseri), Fadzil (X Beseri), Ameng (X KT), Shemoi (X BP) dan Mayo (X Taiping)

Hj Sukor (X Beseri), Fadzil (X Beseri), Ameng (X KT), Shemoi (X BP) dan Mayo (X Taiping)



Yatie (X BP), Zaleha (X Muar), Norhashimah (X BP), Juzie (X BP) dan Norela (X Terendak)




Shemoi memang darah meniaga, datang dari keluarga meniaga.
Mayo pegawai kanan di LHDN, sahabat Kampung Angkat, Gunung Tahan, dan Gunung Inas. 

Shamex kini boss besar di UKM Holdings. 
Cikgu Azmi dengarnya dah balik bertugas di Nibong Tebal

Fadzil aka Faset usahawan besar. Dari dulu memang pandai cari duit dan meniaga

Bashir aka Bonn, orang Pengelih - kerja sendiri agaknya. Pernah kerja macam-macam. Saya pernah tempah Harumanis dari beliau ketika harganya masih berbaloi untuk dibeli. Sekarang Harumanis untuk golongan T20 sahaja.

Hj Sukor pensyarah UiTM Pulau Pinang. Orang kuat belia dulunya, sekarang banyak buat program motivasi di sekolah. Anak tujuh, sama dengan Mayo rasanya.


Terima kasih Faset yang menjadi tuan rumah Mini-reunion ini.


Selepas mini-re-union ini, saya terserempak Sdr Rizal Khamis, sahabat baik zaman Pengakap 12 BP dahulu, di hotel ini. Beliau ketika itu bertugas dengan SPR dan tak silap saya ada pilihanraya di Permatang pauh ketika itu. Beliau meninggal dunia kemudiannya (kemalangan jalan raya) ketika saya di Amerika Syarikat. 

Ramai sahabat saya yang terlibat dalam pelbagai parti politik, tapi masih boleh bersama dalam WA Group ANSARA MUUM Kulim. Petuanya jangan bersembang bab politik, orang kita masih diseliputi semangat parti politik yang tinggi. He3. Adios.


643 petang (Menunggu Iftar)
22 Mei 2019

Bersatulah Melayu - Dr. Lim Swee Tin

sumber : http://m.utusan.com.my/rencana/bersatulah-melayu-1.144096

TULISAN ini tidak sama sekali berhasrat mencampuri urusan orang Melayu. Apatah lagi dengan cuba bersikap bijak memberikan pandangan di luar skop kebolehan. Akan tetapi, sebagai warganegara di tanah bertuah ini, ada ruang peranan dan sumbangan sesiapa pun boleh mainkan.

Bersandarkan hakikat dan berdiri atas keyakinan itu, pada tahun 2008 saya menghasilkan sebuah sajak yang berjudul ‘Bersatulah Melayu.’ Saya perturun­kan seluruhnya sajak tersebut di bawah ini:

BERSATULAH MELAYU
Bersatulah Melayu
Kalau nampak ada retak
Kerana retak hujungnya belah
Bimbang belah membawa
pecah
Melayu itu tak mampu
berpecah!
Bersatulah Melayu
Melayu itu cermin
Dalam jernihnya kita menilik
Kita menilik mencari wajah
Wajah Melayu wajah kita.
Bersatulah Melayu
Melayu itu lampu
Terangi jalan luas terbentang
Siapa cuba kaburkan suluh
Kelak hilang arah dan tuju.
Bersatulah Melayu
Melayu itu payung
Payung jangan carik
Carik payung
Manakah lagi tempat berlindung!
Bersatulah Melayu
Melayu itu pohon
Akarnya mencengkam bumi
Bumi ini pautan kasih
Kasih Melayu segala kasih!
Melayu bersatulah
Cari dan rangkalah jalan
damai
Damai membuka pintu
pertemuan
Pertemuan kelak merintis
padu
Berpadu Melayu berpadu
semua!

Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), 2008.
Nota: ‘Melayu’ yang digunakan dalam sajak ini bermaksud bangsa Melayu.

Awalnya, saya sangat bimbang apabila telah siap menghasilkannya. Bimbang ia akan mengguris perasaan sesiapa, tidak terkecuali orang Melayu amnya. Sementelah pada ketika itu, persekitaran perpaduan dalam kalangan bangsa Melayu sedikit tidak memberangsangkan.

Saya menunjukkan karya ini kepada Tan Sri Pendeta Prof. Dr. Ismail Hussein (Allahyarham), yang ketika itu ialah Ketua 1 GAPENA atau Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia. Allahyarham Tan Sri menyukainya, lalu meminta izin untuk menyiarkannya di dalam Buletin GAPENA. Tan Sri mengotakan katanya. Sajak ini tersiar dalam Buletin GAPENA keluaran Di­sember 2008.

Sajak ini jelas. Saya tidak berselindung apa-apa tatkala menghasilkannya. Pada saya, asas kekuatan dan kestabilan negara kita adalah perpaduan dalam kalangan orang Melayu. Saya pernah mengibaratkan, perpecahan dalam kalangan bangsa Melayu di negara kita hanya akan mengakibatkan bahtera yang sedang belayar ini senget, tidak lagi seimbang.

Peri pentingnya perpaduan bangsa Melayu sudahlah dibuktikan sejarah. Pelbagai kekuatan telah dapat kita bina. Perpaduan dalam kalangan bangsa Malaysia seluruhnya semakin kukuh, perkembangan dan kemajuan negara bertambah-tambah makmur, dan perpaduan bangsa Melayu menjadi kompas yang menunjuk arah perjalanan kita bergerak siaga ke hadapan.

Saya fikir tiada sesiapa pun boleh menyangkalnya. Pembentukan masyarakat majmuk yang adil dan saksama saling dinikmati bersama. Bangsa Melayu tidak pernah mengaut segala-galanya dan mengambil semuanya.

Tatkala kekuasaan melalui politik pun diagih-agihkan, kek ekonomi dihiris adil, pendidikan, sosiobudaya, pemilikan kekayaan, peluang dalam segala bidang, toleransi bahasa, anut agama, sambutan perayaan, berkongsi suka dan duka, dan sebagainya dilihat teratur pada batas-batas Perlembagaan Negara, termasuk memberi kesaksamaan yang tiada pernah pula ada tercatat di mana-mana.

Bersatunya bangsa Melayu juga sepanjang sejarah tidak pernah menggugat sesiapa, jauh sekali daripada pernah mengancam apa-apa. Apakah terlalu sukar untuk kita memahami semua ini? Sajak ini hendaklah difahami dalam konteks keyakinan sa­ya yang tinggi, bahawasanya orang Melayu itu ‘tidak mampu berpecah’, dan ingatlah ‘wajah Melayu wajah kita’ semua. Selain, dengan tulus menerima hakikat bahawa Melayu itu ‘cermin’, ‘lampu’, ‘payung’ dan ‘pohon’, dan selama bangsa Melayu teguh bersatu, seluruh kita dalam pelukan ke­sejahteraan yang berkekalan.

Perpaduan dalam ka­langan bangsa Melayu sesungguhnya menjadi sumber inspirasi yang ampuh kepada semua etnik, kaum dan bangsa-bangsa lain dalam menyusuri perjalanan serta perjuangan kita melestarikan survival bangsa Malaysia yang kita idam-idamkan!

PENULIS ialah sasterawan penerima Anugerah Kesusasteraan Asia Tenggara atau lebih dikenali The South East Asia Write Award (S.E.A. Write Award).