Semenjak kewujudan universiti lebih seribu tahun yang lalu, ia merupakan antara institusi yang paling stabil di dunia berbanding institusi lain. Dalam zaman moden ini, dengan misi asalnya berpaksi kepada pengajaran, universiti kemudiannya mengalami transformasi pertama dengan tambahan misi kedua iaitu penyelidikan. Berdasarkan inisiatif Wilhem von Humboldt, University of Berlin yang ditubuhkan tahun 1810 merupakan universiti penyelidikan pertama yang menyepadukan dua misi universiti iaitu pengajaran dan penyelidikan, serta kemanusiaan dan sains. Model yang dipanggil Model Humboldtian ini berpaksi kepada kebebasan dari segi pemikiran, pengajaran dan pembelajaran, serta penyelidikan dan kesarjanaan banyak mempengaruhi kewujudan universiti di Eropah dan Barat kemudiannya.
Setelah mengalami pelbagai evolusi dan
kemajuan, universiti mengalami
transformasi kedua dengan penambahan misi ketiga iaitu keusahawanan (dan sosio
ekonomi). Burton Clark dan Henry Etzkowitz merupakan dua sarjana awal yang
memperkatakan mengenai konsep Universiti Keusahawanan (Entrepreneurial University) pada awal 1980-an. Transformasi ini bermakna
universiti perlu mengintegrasi komponen keusahawanan dan sosio-ekonomi dalam
misinya, manakala semua fakulti dan pusat tanggungjawab perlu mensejajarkan
misi dan aktiviti mereka dengan misi yang baru ini. Ini seterusnya menyebabkan
transformasi kepada kegiatan pengajaran,
penyelidikan dan pentadbiran universiti, dengan
universiti tidak diharapkan
berfungsi sebagai gedung ilmu sahaja-mata tetapi turut menyumbang
kepada pembangunan keusahawanan, kelestarian sosial dan ekonomi di peringkat wilayah, nasional mahupun global.
Aktiviti pengajaran berkaitan
keusahawanan diperkenalkan rentas fakulti, elemen keusahawanan diserapkan dalam
kursus semasa, aktiviti keusahawanan dan pembudayaan keusahawanan diperkasakan
dalam kalangan pelajar, pusat keusahawanan ditubuhkan, kepakaran keusahawanan
dipertingkatkan, dan program akademik baru dilahirkan dengan hasilnya untuk melahirkan
graduan keusahawanan (entrepreneurial
graduate) yang memiliki ciri, sifat,
nilai dan kelakuan keusahawanan. Dalam
masa yang sama, kegiatan universiti tidak berlegar sekitar penyelidikan asas dan rentas disiplin, menemui suatu ilmu baru, menghasilkan
sarjana, menerbitkan makalah berkualiti,
mendapat anugerah atau menerima kenaikan pangkat. Penyelidikan gunaan dan
translasi diharapkan mampu menyelesaikan masalah dunia dan negara seperti
pemanasan global, pencemaran, wabak penyakit, kemiskinan, kualiti kehidupan, akses
pendidikan dan pengangguran. Penyelidikan juga diharapkan berupaya menghasilkan
teknologi baru, mencadang polisi baru, mencipta usahaniaga baru, termasuk
melahirkan usahawan baru dalam kalangan ahli akademik, sarjana yang dihasilkan,
graduan dan pelajar.
Aktiviti pentadbiran universiti juga
mengalami pembaharuan. Universiti memerlukan Lembaga Pengarah dan pasukan
pengurusan yang profesional dan berpengalaman yang mampu membawanya mendepani persaingan
tanpa sempadan, selain struktur dan governans baru yang dinamik, lentur, kurang birokrasi, dan
pantas bertindak. Penyepaduan dan penjajaran ketiga-tiga misi dengan gaya kepemimpinan dan budaya baru, perubahan nilai, sikap dan kelakuan, serta penambahbaikan kemahiran dan sistem semasa amatlah
diperlukan. Kewujudan pelbagai jawatan sokongan dan pengurusan, skop dan spesifikasi
kerja, laluan kerjaya dan kenaikan pangkat perlu mengalami transformasi dan
rekacipta semula. Kewujudan pelbagai jawatankuasa dan pusat tanggungjawab harus
dipersoal kerelevannya dan direka bentuk semula berdasarkan tiga misi ini.
Penubuhan struktur matriks, unit perniagaan strategik, subsidiari baru, jawatan
eksekutif baru di bawah Pusat Tanggungjawab merupakan antara amalan terbaik
semasa sebagai contoh.
Ahli akademik merupakan komponen
terpenting dalam merealisasikan Universiti Keusahawanan. Tugas dan tanggungjawab mereka menjangkaui universiti dan
merentasi komuniti, industri, dan
negara. Mereka disasarkan menjadi
pencetus idea dan gagasan baru untuk negara, penggubal dasar, perunding
terkemuka industri, pakar rujuk bidang kepakaran, dan panel penasihat kerajaan/industri/komuniti,
Ahli akademik dihasrat menjadi ulama terkenal
di Asia Tenggara, pakar bedah dikagumi, saintis tersohor dalam kajian Tropika,
pencipta bahasa baru teknologi maklumat, pakar keganasan diiktiraf dunia, dan perunding
undang-undang di peringkat antarabangsa. Mereka disasarkan berupaya membuat penemuan
baru, mengkomersilkan hasil Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), membangunkan
teknologi baru dan produk baru, memindahkan pengetahuan baru kepada
industri dan komuniti, sehingga mengembangkan
perniagaan baru dan bergelar CEO.
Kajian kejayaan Universiti Keusahawanan
menzahirkan beberapa dasar dan amalan terbaik. Di Amerika Syarikat, Akta Bayh-Dole (1980) sering dikatakan sebagai dasar utama yang mempercepatkan kemajuan dan pengkomersilan kegiatan R&D di
universiti. Kepantasan universiti di sana dalam mendepani Revolusi
Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dikaitkan
dengan ekosistem keusahawanan yang saling
melengkapi di universiti dan sekitaran seperti perjawatan baru di universiti, bank
idea, pusat konsep, makmal inovasi, pusat pemindahan teknologi, pusat
inkubator, pusat keusahawanan, taman sains dan teknologi, pertandingan
rancangan perniagaan, program pembangunan perniagaan, pelbagai Geran Kerajaan dan
Industri, dana awal (Seed Funding), serta
kewujudan pelabur budiman dan pemodal teroka. University of Warwick merupakan contoh sebuah
Universiti yang mampu menjana 70
peratus pendapatannya dengan mewujudkan
puluhan usahaniaga konvensional dan saintifik. National University of Singapore pula melakukan
transformasi menjadi sebuah Universiti Keusahawanan dengan berpaksi kepada
perubahan strategi dan dasar utama Kerajaan Singapura yang mengubah ekonominya
daripada berasaskan industri kepada kepada ekonomi berasaskan pengetahuan.
Dalam sedekad lalu, Malaysia berjaya
melakukan transformasi pendidikan tinggi dengan pelbagai kisah kejayaan penyelidikan dan kegiatan pengkomersilan. Namun,
masih banyak ruang untuk kita menggubal strategi dan dasar bersepadu rentas
kementerian, agensi dan industri yang lebih lentur dan akomodatif untuk kemajuan
universiti dan negara. Antaranya adalah ‘Kerangka Kerja Penyelesaian Masalah’ yang
menjadi teras kegiatan Universiti Keusahawanan di Amerika Syarikat serta kerencaman perjawatan
akademik dan bukan akademik. Dalam pada itu, kita perlu mengimbangkan antara
kepentingan agama dan kemajuan dunia, nilai kemanusiaan dan nilai komersan,
tanggungjawab institusi dan eksploitasi diri serta membina kerangka kerja acuan
sendiri.
Prof. Madya
Dr. Mohd Hizam Hanafiah
(Prof. Madya
Bidang Pengurusan dan Keusahawanan)
Fakulti
Ekonomi dan Pengurusan
Universiti
Kebangsaan Malaysia
8 April 2019 (5.20 petang)
No comments:
Post a Comment