Saturday, 27 October 2018

KEAMANAN ITU TERAMAT MAHAL HARGANYA

Assalamu'alaikum dan selamat bahagia,



Keamanan negara, ketenteraman awam, kestabilan ekonomi, dan kesejahteraan sosial tidak datang dengan mudah. Ia datang dengan titik peluh berjuang di pentas politik, muafakat pelbagai kaum, kerjasama dan toleransi yang wujud, kewujudan dasar yang betul, dan tindakan afirmatif yang berjaya mengurangkan perbezaan antara kaum antaranya. Jauh lebih penting dari itu, ia datang dengan mereka yang bekerja tidak mengenal penat, tidak kenal lelah, menghadapi penjenayah berharajalela, berjaga di malam hening ketika yang lainnya tidur di atas bantal empuk Das Abdul, berbulan bersama rakan sekerja di dalam hutan menjaga sempadan negara, meronda di malam hari, hanya beberapa platun di atas pulau berbatu di tengah kepanasan di utara Selat Melaka atau di Terumbu Layang-Layang, tanpa makanan yang enak, tanpa keluarga disisi, cuma dengan satu matlamat, memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

Ketika generasi pasca Perang Dunia Kedua merisaukan kami, generasi 1960-an dan 1970-an, sama ada kami mampu mengharungi dunia kami, kerana tidak pernah melalui kesusahan dan kesengsaraan seperti mereka sebelum dan pasca Perang Dunia Kedua, saya fikir, kami generasi 1960-an an 1970-an setakat ini berjaya membuktikan kami mampu mengharungi asam-garam kehidupan. Suka atau tidak, Malaysia kini semakin berjaya berbanding era sebelum dan baru merdeka. Semakin mencecah usia, pasti saya merisaukan masa depan anak-anak, pasti kita merisaukan masa depan generasi alaf baru. Generasi kini mengenal tablet di usia muda, KFC dan McD santapan biasa, lebih masa bersama gajet elektronik berbanding keluarga, generasi  yang sebahagian besarnya tidak hidup di dalam zaman susah, tidak merasai pahit-maung kehidupan, tidak melihat ibu-bapa bersengkang mata mencari sesuap nasi, tidak membantu keluarga mencari nafkah, tidak merasai berdikari di usia muda, apakah mereka berjaya mengharungi cabaran-cabaran mendatang kelak? Adakah mereka tahu apa itu SP dan PGB? 

Saya jarang menonton TV di rumah. Dahulunya, ketika di penghujung usia 20-an, saya dan isteri pernah bertahun-tahun tidak menonton TV (TV ada), atas suatu sebab. Kini, kadang-kadang saya hanya berkesempatan menonton TV di hujung minggu. Jadinya, rancangan bersiri memanglah tiada dalam diari saya. Apatah lagi saya mementingkan rancangan bermutu, membina dan mengasah minda, bukan sekadar cerita cinta dan konflik keluarga. Agak mendukacitakan apabila drama dan cerita Melayu masih kurang membina jatidiri, plot cerita yang tidak sukar dijangka, kisah keluarga yang menjemukan, jarang kisah membangun semangat perwira.

Begitu juga dengan wayang. Amatlah jarang saya menonton wayang, semenjak dari zaman muda. Satu yang pasti di Malaysia, kita jarang dihidangkan kisah benar yang diadaptasi ke panggung wayang. Selera penonton Malaysia mutakhir ini pula adalah kisah seram dan lawak, juga mempunyai mesej agama. Namun, saya baru pulang melihat PASKAL. Semenjak promosi dari awal, dengan plot berkisar kisah sebenar, saya memang menunggu PASKAL. Apatah lagi, kita jarang dihidangkan cerita yang mengangkat darjat dan pengorbanan warga perwira dan menanam semangat patriotik, sebagaimana negara maju. Ada kewajaran pihak kerajaan 'melabur sedikit' dalam perkara sebegini dalam usaha melahirkan masyarakat yang menyanjung tinggi, menghargai dan menghormati anggota keselamatan. 

Selepas menonton PASKAL, komen saya, "Memang terbaik!!!" Pertamanya, saya memang terkesan dengan PASKAL. Agaknya dah semakin berusia ini semakin sensitif dan mudah tersentuh...he3.. Beberapa kali saya mengalirkan air mata semasa menonton PASKAL. Apatah lagi babak Kapal Bunga Laurel ditawan Lanun Somalia merupakan kisah benar Operasi Fajar 8 (20-21 Januari 2011) dan juga kisah di Angola. Babak Kapal Bunga Laurel berjaya memamerkan kesiapsiagaan ATM dan kecekapan pasukan keselamatan Malaysia. Babak ini menunjukkan kepada dunia bahawa komando kita setaraf dengan negara maju yang lain.

Babak Angola pula mengingatkan saya dengan pengorbanan anggota tentera Malaysia dalam "Black Hawk Down". Kita mempunyai pelbagai kisah benar kepahlawanan anggota keselamatan (polis dan tentera) tetapi sayangnya masyarakat tidak dihidangkan dengan pengorbanan mereka. Ada perlunya 'dasar semasa' mengenai perkara ini difikirkan kembali. Dalam Babak Angola, plot dan penceritaannya memang mengesankan hati dan jiwa. Babak pengorbanan Joshua dan dipangku Leftenan Komander Arman sambil teresak-esak, babak Leftenan Komander Arman membawa pakaian Joshua (dan rantai) kepada isteri Joshua serta mendengar bunyi terompet ketika upacara pengebumian diolah dengan baik dan menimbulkan rasa yang begitu sayu di sanubari. Kalau tidak sayu dan pilu di hati, sukar mengatakan anda cintakan tanahair ini, MALAYSIA TERCINTA.

Begitu juga dengan  pengorbanan anggota PASKAL ketika babak ketiga, yang saya fikir merupakan gambaran aktiviti PASKAL di ESSZON. Saya teringat Tragedi Lahad Datu (11 Feb - 24 Mac 2013), jika kita leka, keamanan dan kestabilan kita boleh diganggu-gugat musuh bila-bila masa. Begitu banyak pengorbanan perwira negara, Wira Tidak Didendang, seperti dilupakan oleh masyarakat, tidak diendahkan, dan kita lebih disibukkan dengan pertelingkahan politik yang merosakkan perpaduan masyarakat.

Berbalik kepada PASKAL, kehebatan keduanya adalah jalan ceritanya tidak membosankan. Bermula dengan 'klimaks' dan diakhiri dengan 'klimaks', ia adalah satu garapan yang luar dari kebiasaan. Biasanya klimaks adalah di hujung sahaja. Garapan suara anggota PASKAL Loghat Utara, babak-babak lawak yang diselit, latihan PASKAL yang sukar, 'melepaskan sesuatu' ketika direndam beramai-ramai, rajuk hati bonda di kampung, sahabat berbeza bangsa dan agama tetapi berkorban 'kisah cinta', ini antaranya merupakan plot-plot yang menjadikan PASKAL menarik. Babak 'hero lawan penjahat' memang menarik, yang digarap dari persaingan menjadi anggota PASKAL terbaik, terpilih menjalani latihan bersama SEAL, pengalaman bersama di Angola, bertemu semula di pasar Filipina, sehinggalah pertempuran 'hero dan jahat' di akhir cerita. Kalau hendak ditambahbaik, kisah anggota PASKAL terkorban di atas Pelantar Minyak mampu digarap dengan lebih lagi untuk menikam hati dan jiwa para penonton.

Ketiga adalah mengenai teknologi pembikinan dan ATM yang digunakan dan ditunjukkan. Kesediaan TLDM dan ATM memamerkan 'sedikit' teknologi Malaysia dalam menjaga negara, bermula dengan Operasi Fajar 8, kehebatan risikan dalam menjangka tindakan musuh, terjun dari kapal terbang ke laut,, selingan babak kapal selam Malaysia,  koordinasi unit-unit komando, pertempuran di Pelantar Minyak, 'kecanggihan taktikal pengganas untuk mengumpan PASKAL ke lubang cacing', kepentingan Sniper dalam operasi khas, cemas semasa hendak meleraikan bom-bom diikat dengan begitu banyak (untuk meletupkan pekerja pelantar minyak dan komando yang datang menyelamat), antaranya menjadikan ia satu cerita yang memberikan kepuasan kerana Ciptaan Malaysia. Apatah lagi PASKAL menerima rating 9.1 di IMDb (28 Okt 2018). Syabas sekali lagi.

Tahniah kepada ATM, TLDM dan PASKAL atas 'lampu hijau', nasihat dan sokongan dalam menjadikan PASKAL satu naskah yang membanggakan. Tahniah kepada barisan pelakon, pengarah, penulis skrip, dan krew penerbitan yang membolehkan rakyat Malaysia memahami dan menghargai pengorbanan pasukan keselamatan, juga menyakini kesiapsiagaan ATM.  Kita menantikan naskah sebegini dari pihak kerajaan dan pasukan keselamatan. Banyak lagi episod-episod PASKAL, UTK PDRM, GGK, PASKAU dan Komando 69 dan pasukan keselamatan  yang lain yang boleh mengangkat martabat dan darjat negara. Di sebalik pergolakan politik dan ketidaktentuan ekonomi, kami rakyat biasa dahagakan naskah sebegini.

Takziah kepada anggota keselamatan, ATM, PDRM, APMM, dan lain-lain yang terkorban kerana menjaga keselamatan negara. Anda Wira Tidak Didendang. Semoga pihak kerajaan membantu dan menjaga waris-waris ini, walaupun sudah puluhan tahun mereka terkorban. Entah bagaimana pula nasib anggota keselamatan yang cacat anggota atau waris mereka yang masih hidup melayari kehidupan? Teringat waris Tragedi Lahad Datu yang masih muda, anak-anak kecil di pangkuan riba.... Saya terbaca elaun kenangan penerima Pingat Gagah Berani (PGB) dinaikkan daripada RM300 kepada RM1,500 sebulan... Terasa sedih kerana pelbagai anugerah dan elaun kemenangan untuk pemenang pingat Sukan Olimpik kita boleh beri lebih, tetapi setakat itu saja kita menghormati dan meraikan anggota keselamatan. Memanglah, mereka bukan mata duitan, tetapi tiada pengorbanan yang lebih besar selain berkorban nyawa.

Sekalung doa dan Al-Fatihah saya hadiahkan kepada anggota keselamatan yang terkorban demi mempertahankan bumi tercinta. Al-Fatihah. Saya yakin rakyat Malaysia mendambakan cerita sebegini lagi pada masa akan datang. Sesungguhnya KEAMANAN ITU TERAMAT MAHAL HARGANYA.

28 Oktober 2018 - 1248 tgh

No comments:

Post a Comment