Assalamu'alaikum,
Alhamdulillah, kami kiranya membilang hari di Wharton dan AS ini. Dalam dua bulan lebih sedikit, kami akan meninggalkan negara Amerika ini dan kembali ke tanahair tercinta. Sepanjang di AS, ramai yang bertanya (dari orang di Malaysia dan mereka di AS sendiri) sama ada saya (dan keluarga) akan kekal di AS, mencari pekerjaan lain, memulakan kehidupan baru dan sebagainya. Amerika Syarikat sememangnya merupakan sebuah negara maju dalam ertikata dan takrifan Barat, ia sememangnya negara yang menawarkan begitu banyak peluang kepada mereka yang pintar, rajin dan bijak mengambil peluang (a land of opportunities). Realitinya, saya dan keluarga ke AS bukan suka-suka. Ia merupakan satu ujian yang ditetapkan Allah, yang saya 'ditunjuki-NYA' agar berusaha untuk ke luar negara pasca-PhD. Walaupun di peringkat awal kami agak keberatan untuk ke AS, dan dengan Allah 'menetapkan' bahawa Wharton/AS saja tempat yang kami 'diizinkan', dengan permohonan ke tempat lain 'kelihatan digagalkan-NYA', saya dan keluarga mengharungi ujian ini dengan berprasangka baik dengan Allah Taala. Itu sahaja. Kami berprasangka baik dengan Allah yang maha bijaksana dalam mengatur sesuatu.
Dari Abu Hurairah radliyallaahu ‘anhu, ia berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, Allah سبحانه وتعالى berfirman,
أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى
“Aku sesuai dengan persangkaan hamba pada-Ku.”
(Muttafaqun ‘alaih).
Menghitung hari-hari terakhir di AS ini, dengan merenung dan bermuhasabah banyak aspek kehidupan di sini, melewati musim-musim sejuk yang begitu menyukarkan (bagi saya dan isteri walaupun anak-anak nampaknya OK ja), musim panas yang melekit, berpuasa 16 jam lebih sehari, pelbagai episod suka-duka di sini, pelbagai pengalaman amat bermakna di Wharton dan UPenn, menghadapi gumpalan-gumpalan ujian yang pastinya jika saya 'tidak tabah', saya akan salahkan beberapa pihak atas 'masalah kami di sini', namun hati sering mengingatkan akan redha dengan segala ujian Ilahi, 1001 peristiwa dan rakaman yang sebahagian besarnya saya tidak coretkan di blog ini atas sebab-sebab tertentu, biarlah ia menjadi rahsia dan kenangan saya sekeluarga.
Sememangnya menimba ilmu ke luar negara adalah satu hijrah yang baik untuk diri, selain ia juga satu 'uzlah', yakni satu pengasingan sementara dari ujian dan kehidupan sanak-saudara di Malaysia. Sepanjang 3 tahun 9 bulan kami di UK, saya tidak berkesempatan bermuhasabah diri secara menyeluruh, mungkin disebabkan sibuk dengan tugas menyambung pengajian dan menyiapkan tesis dan mungkin juga lalai sebenarnya. Alhamdulillah, uzlah kedua kami sekeluarga di AS ini, saya sering bermuhasabah atas diri dan keluarga, khususnya merenungi kehidupan pasca tamat belajar ijazah sarjanamuda, tahun 1996 yang lalu. Sudah 21 tahun saya bekerja, 20 tahun mendirikan rumahtangga, 20 tahun di UKM, dan dalam 21 tahun saya bekerja ini, saya hanya memikirkan tentang kerja, keluarga, kerja, keluarga, kerja, keluarga. Sememangnya saya ada sumbangan khidmat masyarakat yang tersendiri, ada Sunnah-Sunnah RSAW yang saya ikuti dan amali tetapi hakikatnya, saya membazirkan banyak masa untuk dunia. Memang mudah dikata buat apa sahaja kerana Allah Taala, tetapi bukan mudah mengotanya pada zahirnya dan batinnya, agar ia betul-betul lillahi taala.
Dalam muhasabah ini, saya...
...bersyukur masih hidup di atas muka bumi ini, dalam nikmat dan cahaya Islam, dalam rahmat yang tidak dapat dihitung dari-NYA, masih sihat walau dimamah usia, biasalah 'injap dan enjin' tidak seperti dulu, tetap bersyukur walau tidak segagah ketika muda,
...bersyukur dijodohkan isteri yang amat baik dan solehah, yang saya redha kepadanya, dikurniakan anak-anak yang memeriahkan rumah-tangga, walaupun kadangkala menimbulkan masalah, itulah lumrah bergelar ibu dan bapa, merasa bertuah dapat melihat mereka membesar di depan mata, (itu antara sebab saya tidak menghantar anak ke asrama), kelahiran pertama yang ditunggu, sayang aka si rudui, si putih, si kecil atau ... moga-moga saya sentiasa redha dengan ujian dari-NYA,
...bersyukur sudah enam kali dijemput-NYA ke tanah suci-NYA, berpeluang mengerjakan haji di usia yang muda, tiga kali membawa keluarga, sekali hanya berdua, sekali 'bujang sementara', masih menunggu jemputan seterusnya daripada-NYA, banyak pengalaman menarik menjadi tetamu-NYA, tiada tempat paling dicintai dan dirindui selain kedua Tanah Haram-NYA,
...bersyukur berpeluang bekerja sekejap di sektor swasta, kemudian mencapai cita-cita bekerja di menara gading, berpeluang membimbing, menegur, memarahi, menasihat, merangsang, membangun dan mendidik anak-anak muda pelbagai etnik, bangsa dan negara, susah dan kaya, atas amanah yang dipegang, atas kasih-sayang sesama insan, moga-moga mereka menjadi insan cemerlang, ibu-bapa gemilang, bakal ketua keluarga, bakal pemimpin organisasi dan masyarakat, bakal memimpin negara tersayang, bakal membina peradaban terbilang,
...bersyukur berpeluang melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti dengan industri, paling meluas dengan industri francais, berpeluang membina jaringan dengan berbelas agensi PKS di Malaysia, mengenali pegawai-pegawai kerajaan, mendapat pengalaman berharga dalam kerja-kerja penyelidikan, perundingan, latihan dan pembangunan dengan pelbagai pihak,
...bersyukur berpeluang memiliki rumah, tanah dan kereta, walau sekangkang kera, dapat melelapkan mata di rumah sendiri, dapat berteduh di kala senja, tidak menyewa di sini-sana, walau kenderaan biasa-biasa, dapat dibawa ke bandar dan desa, tidak berhutang berjela-jela,
...bersyukur melepasi beberapa peringkat pengajian, dari sarjanamuda sehingga doktor falsafah sehingga ke pasca PhD, walaupun tidak secemerlang mana ketika sarjanamudanya kerana banyak mainnya dan aktvitinya, keputusan akademik sarjana biasa-biasa saja kerana praktikal lebih disukai berbanding teorinya, walaupun berenam tahun dan banyak susah-payahnya dalam menghabiskan doktor falsafahnya, akhirnya berjaya jua,
...bersyukur berkesempatan merasai pengalaman pendidikan tinggi di dalam dan luar negara, berpengalaman menimba ilmu di lima universiti, mulanya di UUM tatkala zaman muda, kemudian di UKM dalam usaha bergelar sarjana, sekejap pengalaman di UM dalam program persijilan, seterusnya membawa amanah UKM dan negara di UK dalam program S Tiga (kata orang Indonedia) dan akhirnya berkelana di bumi Amerika, dalam program Sarjana Pelawat, merentas tiga benua, tiga budaya, tiga suasana, tiga gelodak rasa, satu nukilan jua, hatta tinggi ke mana perginya, akhirnya rasmi padi jua,
...bersyukur atas rahmat Ilahi mendapat pengalaman hidup yang amat bermakna di Malaysia, dari berkasut ke Kapcai Suzuki, dari Datsun 120Y ke Proton Wira, merentas Semenanjung, bandaraya dan desa, dari berdua menjadi berlima, dari menyewa di Sungai Tangkas kemudian berempunya di Bangi, kemudian berenam di negara Permaisuri, akhirnya membawa balik Toyota Estima, kemudian berkelana semula di Amerika, dari berkenderaan MPV Mazda ke tapak melata, menunggu bas seperti zaman remaja dan muda ketika belum berkerjaya, seperti hidup itu umpama roda, walau apa sahaja hidup itu, redha saja dan lillahi taala, kerana semua itu di bawah kehendak-NYA, kita hanya hamba-NYA, patuh dan taat serta redha, atas segala perancangan-NYA,
...bersyukur atas peluang dan kesempatan berkelana ilmu dan riadhah ke Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Bangladesh, China, Arab Saudi, UAE, Turki, Peranchis, Belgium, Belanda, Luxembourg, Jerman, Swiss, Itali, Monaco, Sepanyol, Portugal, merentas 20 negeri di USA, jauh berjalan luas pemandangan, luas pemikiran, banyak keterbukaan, menerima kepelbagaian, mantap pengalaman, buat bekalan di hari hadapan,
Mengakhiri ujian-ujian di Amerika ini,
...mencari-cari keheningan di pagi hari, ketika dunia belum bangun, ketika mentari belum memancar, ketika manusia diulit mimpi, sesungguhnya tiada perjuangan tanpa kesusahan, tiada kemenangan tanpa pengorbanan, menemani Sang Isteri pencinta Ilahi, kagum melihat semangat dan keluhuran hati, mencari jatidiri asal jatidiri, mencari linangan air mata sendiri untuk diri sendiri, ketika kita boleh berbicara dari hati, ketika Kalam Nafsi perlu disuci, supaya diri sebenar diri kelak menjadi dan zahiri, ketika cinta sejati masih dicari-cari, ketika cinta abadi belum bertitik di hati, ketika bertanya pada diri sendiri, "Apakah tercapai maksud ujian di sini?", ketika batinnya sudah mula berubah dan bertukar, ketika zahirnya masih diseliputi dosa, kesilapan, kesalahan, dan kealpaan lalu dan baru berlalu,
...dalam pada dunia ini sudah tidak penting, tidak mahu bersusah-payah lagi mencari habuan dunia, tidak mahu leka mencari barang yang habis, biarlah manusia lain lalai dan alpa, sudah cukup 21 tahun ku pasrahkan masaku ini dengan dunia, jika bukan kerana anak-anak masih kecil, akan kucampakkan saja dunia ini seperti yoyo, biar yang tinggal hanya Allah dan Rasul, jalanku masih berliku-liku, perjalananku masih jauh...,
...dalam pada memikirkan amal jariah dan kebajikan yang amat-amat kecil dalam 21 tahun yang lepas, terasa amat menyesal sekali dengan rezeki, harta dan masa yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya, ALLAH, malunya diriku pada Tuhan Semesta Alam, khalifah apakah aku ini? Sedangkan sedekah itu tidak permah memiskinkan pemberinya, sedangkan amal jariah dan kebajikan tidak pernah merugikan pengamalnya, sedangkan sekecil-kecil kebaikan dan kebajikan pasti dibalas-NYA, aku leka dan lalai dalam duniaku,
...memikirkan bagaimana meneruskan kehidupan 10-15 tahun lagi sebelum bersara, sedang anak-anak masih perlukan perhatian dan pembiayaan, dalam pada minat dan kecintaan pada dunia akademik semakin berkurang, pengajaran itu semakin kurang menyelerakan, penyelidikan pula semakin membosankan, sedangkan praktis bukannya teori yang semakin bergemerlapan, dalam pada menulis artikel jurnal dan perbahasan di dalamnya itu tidak lagi mengujakan, ketika birokrasi pentadbiran itu amat menjemukan, ketika mendidik anak Malaysia semakin jauh dari perhatian, dalam pada menyelia dan melahirkan bakal cendekiawan itu sahaja masih bertahan,
...memikirkan diskriminasi dalam pendidikan, ketika masing-masing memikirkan kepentingan diri masing-masing, siapa yang akan fikirkan kepentingan mereka yang ketinggalan, yang bijak dan pandai itu diberi banyak peluang, wang dan keistimewaan, hebat akademiknya dihantar ke sekolah yang istimewa, gurunya terpilih dan hebat, makan-minumnya terjaga, sistem pendidikannya 'ada kelas', agar ia berjaya dan lebih berjaya, sekolah-sekolahnya di bandar yang 'kluster' itu diberikan pelbagai kemudahan kerana kecemerlangan, sedangkan majoriti latar belakang keluarga mereka penuh kesenangan, kalau kurang cerdik, bisa diupah tutor dan guru, dihantar ke tuisyen, diajar sehingga pandai,
...apalah malang bagi mereka yang kurang cerdik itu, dibiarkan, dipinggirkan, peluangnya ke sekolah lebih baik disempitkan oleh anak-anak dalam kalangan mereka yang berpelajaran kerana pencapaian akademik mereka lebih mengujakan, sekolahnya di pinggiran dan kampungan, peluang berjaya itu seperti disukarkan, kemudahan tidak diberi keistimewaan lantaran kurang kecemerlangan, ada yang belajar teori tanpa makmalnya, dapatkah kefahamannya jika begitu, ketika sekolah di desa dengan sekolah berasrama penuh itu ibarat langit dan bumi, tidakkah diskriminasi itu namanya,
... memikirkan membuat amal dan kebajikan, pada anak yatim, orang susah, fakir miskin dan mereka yang memerlukan, tidak banyak pun tidak apa, barang sedikit pun berguna jua, ketika kita makan nasi beras Basmathi, ramai yang beras 15% itu 'sudah begitu Basmathi' pada mereka, ketika kita mencicah ikan bakar dengan air asam, ada yang hanya bersayur dan berulamkan pucuk-pucuk percuma dikutip di kampung dan kejiranan, ketika kita berhujung minggu di kompleks beli-belah dan hotel, masih ramai yang serba ketinggalan,
...memikirkan pada usiaku begini, wang ringgit tidak lagi menarik perhatian, pangkat, jawatan dan kuasa bukan lagi daya tarikan, emas dan harta bukan lagi dorongan, tetapi memberi sumbangan, amal dan kebajikan itulah menjadi keutamaan, apakah lagi caranya aku dapat membantu manusia, menolong orang lain, menolong peniaga-peniaga kecil, usahawan-usahawan baru bertapak, sesiapa yang aku berkemampuan dengan keterbatasanku yang serba kekurangan,
Memang benarlah, aku sedang mengalami krisis pertengahan umur...Aku yang sekarang bukan lagi aku ketika sampai di Amerika Syarikat pada 25 Oktober 2015... Adakah aku pada 25 Oktober 2015 berniat menjadi aku sekarang? Tidak sama sekali. Ini semua 'kerja Allah'. Aku hanya berprasangka baik dengan Allah, menyelusuri ujian-ujian-NYA, dan berusaha redha dengan setiap apa dari-NYA. DIA yang memegang hati setiap manusia, membolak-balik setiap hati dan DIA yang berkuasa atas setiap hati kita. Moga-moga Allah menetapkan hatiku dan membuka jalan terbaik untuk diriku dan keluargaku selepas ini. Wassalam.
Memang benarlah, aku sedang mengalami krisis pertengahan umur...Aku yang sekarang bukan lagi aku ketika sampai di Amerika Syarikat pada 25 Oktober 2015... Adakah aku pada 25 Oktober 2015 berniat menjadi aku sekarang? Tidak sama sekali. Ini semua 'kerja Allah'. Aku hanya berprasangka baik dengan Allah, menyelusuri ujian-ujian-NYA, dan berusaha redha dengan setiap apa dari-NYA. DIA yang memegang hati setiap manusia, membolak-balik setiap hati dan DIA yang berkuasa atas setiap hati kita. Moga-moga Allah menetapkan hatiku dan membuka jalan terbaik untuk diriku dan keluargaku selepas ini. Wassalam.