Saturday, 11 June 2016

Menangani Masalah Kos Sara Hidup Di Malaysia - Hal Makanan Dan GST

Assalamu'alaikum dan selamat berpuasa,



Sudah beberapa hari puasa bermula, bulan paling barokah dan dinantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Alhamdulillah, setakat ini saya dan keluarga dapat berpuasa dengan baik di Amerika, walaupun perlu berpuasa dalam 16 jam 30 minit. Satu yang menarik tentang bulan puasa (Ramadhan) ini ialah golongan yang kerjanya 'banyak bersosial dan hiburan' pun mengurangkan aktiviti mereka sempena bulan ini.  Ramai artis yang sudah berhijrah ke arah lebih baik. Petunjuk dan hidayah milik Allah. Saya dididik oleh guru-guru saya jangan benci orang buat jahat dan maksiat, tetapi benci kejahatan dan kemaksiatan mereka itu, serta mendoakan mereka diberikan petunjuk dan hidayah ke jalan Allah. Memang kita disuruh mengerjakan kebaikan dan menjauhi larangan tetapi kita tidak tahu adakah diri kita yang kita rasa baik dan banyak beramal ini akan masuk ke syurga. Mungkin setakat ini kita belum ditimpakan ujian-ujian besar yang mengganggu-gugat  iman dan amal kita, maka kita rasa kita berjaya. Jangan fikir ujian besar itu sememangnya besar. Kehendak Allah, ujian kecil pun boleh dijadikan oleh Allah kita rasakan 'cukup besar'. Sebab itu kita jangan berlagak sombong di atas muka bumi, di sebalik mana baikpun kita, lebih baik kita merendah diri dan bertawadhuk kepada Allah. 

Dah berbulan saya simpan tajuk ini, mencari idea sedikit demi sedikit. Kos sara hidup merupakan satu isu yang cukup penting dalam kehidupan kita masa kini. Di sebalik enam NKRA yang penting, NKRA yang ketujuh adalah berkaitan menangani kos sara hidup. Tetapi bila saya lihat portal kerajaan, masih ada 6 NKRA. Ini masalah pegawai dan kakitangan awam yang tidak kemas kini dengan perkembangan semasa. Saya walaupun jauh di Philadelphia, Amerika pun baca surat khabar Malaysia hampir setiap hari. Saya baca Utusan Malaysia, Berita Harian, Malaysiakini, Harakah, dan The Star, itu lima surat khabar / portal berita yang saya sering baca. Saya dapatkan pelbagai input dan maklumat dari pelbagai sumber berita supaya saya dapat membuat penilaian yang jelas, kemas dan tuntas, tidak bias. Saya dah 20 tahun bekerja, dah bergelumang dengan pelbagai asam garam kehidupan, faham sangatlah dengan agenda akhbar dan portal berita di Malaysia dan saya tahulah bagaimana menapis dan menyaring berita-berita ini. Saya juga mengajar kursus pengurusan strategik, maka saya berpengetahuan melakukan pengimbasan persekitaran dan menganalisis maklumat yang banyak untuk disintesis menjadi satu kesimpulan baru. 

Kita mengimpikan negara maju, tetapi pemikiran kita  dan jiwa kita belum cukup maju. Kita belum mencapai kematangan demokrasi sebagaimana negara maju. Cuma saya puji perubahan PAS dalam beberapa kebelakangan ini yang mempamerkan perubahan ke arah demokrasi matang. Itulah kematangan demokrasi Barat yang perlu diikuti (yang mana baik). Apa yang kerajaan lakukan baik, maka harus disokong, apa yang tidak baik, jangan disokong, apa yang silap, maka harus diperbetulkan. Apabila di Parlimen, bahaskan dengan betul-betul, bukan bergaduh tak habis-habis. Buat persediaan untuk berbahas dengan fakta, angka dan kenyataan, bukan ikut rasa, bukan ikut emosi sahaja. Ahli Parlimen diberi amanah untuk mencari solusi terbaik kepada dasar negara, maka jika pihak pemerintah menggubal satu dasar baru, maka semua ahli Parlimen perlu bahaskan dengan baik, berikan cadangan balas dengan berkesan. Ahli Parlimen di parti pemerintah pula jangan asyik sokong saja. Jika dasar kerajaan perlu ditegur dan dibetulkan, lakukan dengan betul. Bincanglah agenda besar untuk memaju negara, bukan isu-isu kecil dan remeh yang membazirkan masa di Parlimen, dan jangan tidur dalam Parlimen. Kalau dah letih, keluar saja dari dewan dan berehatlah. Kami rakyat faham anda manusia, bukan robot.

Kalau saya tengok UMNO dan BN dalam pilihanraya Kuala Kangsar dan Sungai Besar, UMNO dan BN masih tidak banyak berubah walaupun sudah dua kali diajar pengundi pada 2008 dan 2013. Masih dengan 'gula-gula pilihanraya' dan pelbagai janji. Namun begitu, antara kekuatan UMNO dan BN, adalah sebahagian wakil rakyat mereka memang 'buat kerja,', turun padang, ini pengundi suka. Yang rakyat tak suka adalah pelbagai skandal dan pembaziran yang melanda. Kekalahan DAP dalam pilihanraya yang baru berlalu di Sarawak antaranya adalah kerana sebahagian mereka turun padang apabila musim pilihanraya sahaja Waktu lain, jenguk pengundi pun tidak, selain 'kekuatan dan imej' YAB Ketua Menteri Sarawak yang baru. Pola pengundian PRU 2013 tidak sama antara bandar dan desa, tidak sama antara negeri. Ketika PRU 2013, saya membuat teori 'Tsunami Paradoks' iaitu walaupun ada tsunami dalam kalangan kaum tertentu, dan perubahan ini begitu besar dan melanda sebahagian besar negeri di Semenanjung, ada paradoksnya di mana paradoksnya adalah di Kedah dan Kelantan dan betul juga teori saya itu...he3. Kalau anda tanya saya macam mana hendak menang pilihanraya? Jawab saya antaranya adalah perkasakan Jentera Perisikan Parti...he3. Macam mana? Fikirlah sendiri...Dalam pengurusan strategik, perisikan korporat adalah satu perkara yang penting. Dunia politik mahupun dunia korporat atau dunia peperangan, ilmu terasnya sama sahaja iaitu pengurusan strategik, cuma aplikasinya berbeza, itu sahaja.

Pembangkang pula tidak bersepakat, dalam parti pun banyak pertelingkahan, maka jika BN menang bukan kerana BN kuat, tetapi kerana PH/PR tidak kuat...Maaf berceloteh sikit bab politik. Anda nak sokong siapa, anda sokonglah. Blog saya bukan blog politik, tetapi sebagai seorang yang dilatih berfikir sebagai strategis dan 'analyst', saya bolehlah mengulas bab politik tetapi sengaja tidak mahu mengulas kerana 'politik di Malaysia' sebahagiannya memecahkan rakyat. Apabila kita mula berbicara mengenai politik, orang akan mula bias, persepsi terpilih, mengambil pendirian dan sebagainya. Blog saya untuk berkongsi ilmu dan pengalaman, memupuk sifat dan sikap positif, bukan untuk memecah-belahkan rakyat. Cuma pandangan saya tentang politik secara umumnya adalah walau siapa yang memerintah, "Kita memerlukan Kerajaan yang stabil untuk memerintah dan dalam masa yang sama, kita memerlukan pembangkang yang kuat supaya kerajaan tidak buat ikut suka mereka". Itulah bagi saya antara 'falsafah demokrasi'. 

Berbalik kepada isu kos sara hidup, telah ada  Jawatankuasa Khas Ekonomi yang ditubuhkan dan cadangan-cadangan dari pelbagai pihak. Saya sendiri tidak arif cadangan-cadangan JKE ini, tetapi ini pandangan saya, bukan pun seorang ahli ekonomi pun, tetapi faham tentang ekonomi. Pandangan saya yang pertamanya kerajaan harus jelas tentang dasar asas. Dasar asas ini meliputi dan merentasi pelbagai kementerian dan agensi. Apakah maksud dasar asas ini? Kerajaan harus jelas apakah keperluan asasi bagi rakyat masa kini. Sebahagian orang akan mengatakan keperluan asasi itu terangkum kepada makanan, pakaian dan tempat tinggal. Saya pula berpendapat keperluan asasi tidak hanya terhad kepada tiga perkara tersebut kerana zaman dan cabaran ekonomi dan kehidupan telah berubah, dari ekonomi sara diri, pertanian, perlombongan, perdagangan, industri dan ekonomi berasaskan pengetahuan/inovasi. Pandangan saya, keperluan asasi manusia masa kini adalah i)makanan, ii)pakaian, iii)tempat tinggal, iv)kesihatan, v)keselamatan, vi)pendidikan, vii)telekomunikasi dan vii)pengangkutan. Tetapi bukan keperluan asasi itu semata-mata yang penting. Keperluan asasi itu penting tetapi dijaga dan dipelihara agar agama, jiwa, akal, keturunan dan harta terus terpelihara dan diperkasa. 

Kalau dahulu tiga keperluan yang pertama dianggap keperluan asasi, tetapi perubahan zaman menyaksikan lima keperluan lain kini merupakan keperluan asasi. Berbalik kepada dasar asas yang saya katakan. Maksudnya, kerajaan harus melakukan dasar, strategi, dan tindakan agar lapan perkara ini terjaga dan terpelihara, tidak melihat dari segi keuntungan, komersil atau perspektif lain dalam mengurus dan membangun negara. Perkara pertama adalah tentang makanan. Kerajaan bertanggungjawab memastikan dasar makanan yang lestari, penyediaan bahan dan makanan yang mencukupi, penawaran makanan di dalam negara, khususnya makanan asasi rakyat Malaysia, dapat disediakan dengan kos yang rendah/optimum dan dijual dengan harga yang munasabah. Apa makanan asasi rakyat Malaysia? Ini meliputi beras, gula, ikan, ayam, daging, sayuran, buah-buahan dan lain-lain. Biasanya barang-barang ini dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010. Apa dasar dan program yang telah ada dalam memastikan rakyat dapat membeli barang makanan dengan harga murah? Pasar Tani, Pasar Ikan, KR1M, Pasar Minggu, Pasar Malam, Pasar Uptown, dan Pasar Downton sebagai contoh. KR1M sendiri seperti sudah 'hilang serinya'. Adakah agenda KR1M sudah tidak penting lagi?

Cadangan saya adalah memperbanyak dan memperkasakan pasar-pasar dan kedai ini.  Kurangkan kadar sewanya, perbanyakkan lokasinya, tambah kadar bilangan dalam seminggu, jaga kebersihannya, perkemaskan aliran trafik, perhalusi kawasan parkir, jangan beri ruang warga asing berniaga, dan ambil tindakan ke atas mereka yang menjual lesen kepada warga asing. Kurangkan saluran rantaian bekalan antara nelayan sehingga ke pasar agar ikan-ikan boleh dibeli dengan harga lebih murah. Perangi orang tengah  yang tamak dan menindas. Kalau perlu kerajaan jadi orang tengah, maka kerajaan harus jadi orang tengah (seperti peranan FAMA). Saya lebih suka makan ikan kerana ia lebih baik berbanding makan 'ayam segera' atau 'ayam tak cukup umur', he3... Tapi saya faham ramai orang makan ayam kerana ayam sedap dan harganya lebih murah berbanding ikan. Saya sedih melihat nelayan yang kebanyakannya hidup dalam kesusahan. Cadangan saya adalah kerajaan menubuhkan badan baru atau mentransformasi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 'menjadi seperti Felda atau Felcra'.  Apa maksudnya?  Lihat kisah Felda dahulu. Peneroka masuk, diberi tanah, diberi rumah, mengusahakan tanah dan mendapat hasil, membayar sedikit-sedikit pinjaman tanah dan rumah, dalam tempoh tertentu, tanah dan rumah akan menjadi milik mereka. Peneroka juga diberi ruang dan peluang untuk mengusahakan tanah pertanian di Felda untuk pendapatan tambahan, membuka kedai di Felda, dan menjalankan perniagaan lain untuk menambah pendapatan. 

Dalam konteks nelayan, tidak bolehkah konsep Felda diaplikasi dalam konteks nelayan? Setiap keluarga nelayan dikelompokkan sepertimana Keluarga Felda.  Nelayan diberikan pinjaman tanpa caj perkhidmatan untuk membeli bot dan peralatan ke laut. Binakan rumah untuk nelayan dan buat potongan pinjaman seperti Felda. Sediakan lebih banyak insentif atas setiap kg/tan hasil tangkapan, semakin banyak tangkapan, semakin lebih kerajaan bayar insentif. Pelbagaikan insentif dalam industri hiliran berkaitan ikan seperti keropok, ikan kering, makanan kering, makanan dalam tin dan sebagainya agar pendapatan sebenar nelayan dapat ditingkatkan dengan perniagaan/industri yang mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi. Berikan kursus, latihan dan bimbingan agar produk hiliran ini mencapai standard antarabangsa dan mampu meneroka pasaran AFTA, Asia mahupun Amerika. Tidak mustahil kerana apabila saya membeli di Pasar Vietnam mahupun Asia di Philly, sebahagian bihun/kuew teaw kering dan lain-lain barang ini diimport dari Thailand, Kemboja dan Vietnam. Kalau saya bandingkan dengan standard Malaysia, barang kita lebih bagus, tetapi mengapa tidak dijual seantero dunia? Fikirkan apakah apakah pekerjaan atau perniagaan yang dapat dijalankan pada musim tengkujuh oleh para nelayan? Sediakan kemudahan lain kepada nelayan agar mereka masih dapat bekerja dan produktif di musim tengkujuh. Perkasakan koperasi nelayan untuk menjaga kebajikan dan kepentingan nelayan.

Sebagaimana anak Felda mempunyai pelbagai insentif, maka sediakan insentif lebih kurang sama kepada anak nelayan. Tidak bolehkah kita memaju industri perikanan negara?  Anak Melayu sudah terkenal sebagai pelaut yang hebat dari zaman dahulu kala, menjelajah laut tanpa gentar sehingga ke Madagascar juga ke Timur sehingga ke Polynesia. Warisi keluarga nelayan dengan bot-bot dan kapal besar yang mampu berbulan mencari hasil tangkapan di lautan besar, sebagaimana keluarga Felda diwarisi dengan tanah perladangan. Ubah persepsi dan realiti industri perikanan, bukannya industri picisan, bukannya industri golongan kelas bawahan, bukannya industri kais pagi makan pagi.

Zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dahulu, sudah timbul satu cadangan meneroka perikanan laut dalam, sehingga ke Lautan Hindi. Waktu itu pihak kerajaan mencari sumber-sumber baru ekonomi untuk Malaysia. Apa sudah jadi dengan cadangan ini? Industri laut dalam merupakan salah satu industri yang kita Malaysia masih ketinggalan atau 'buat tidak kisah'? Sedangkan ikan merupakan antara makanan utama manusia manakala industri perikanan memiliki sumber alam yang begitu luas, tidak perlu ditanam, dibaja dan dijaga seperti padi, kelapa sawit dan komoditi lain, kurang bermasalah seperti dicuri atau dilanda masalah kemarau/bencana alam, kurang menghadapi persaingan sengit dengan minyak kacang soya ataupun minyak sayuran contohnya, kurang menghadapi naik-turun harga seperti komoditi, tidak merosakkan alam sekitar, tidak mengganggu gugat flora dan fauna serta meresah para penghuni rimba (sepertimana kelapa sawit dan pembalakan), selain mampu mempunyai nilai tambah dari sektor huluan ke hiliran dengan cukup baik, mengapa kita menganggapnya industri kecil? Universiti Malaysia Terengganu adalah sebuah universiti butik yang antara fokusnya adalah kegiatan maritim. Kita sudah ada ALAM yang terkenal melahirkan nakhoda  dan anak-anak kapal yang berwibawa, kita sudah lama ada  MISC, antara syarikat perkapalan terbesar dunia. Nah, kita sudah ada sumber kepakaran dan guna tenaganya, ayuh tunggu apa lagi? Bilakah lagi kita mahu mendengar anak-anak muda kita menjelajah laut, meneroka dunia, mengaut hasil tangkapan, pulang dengan kejayaan, bergelar para jutawan?

Cadangan lain adalah berkaitan tanah kosong di Malaysia. Di sebalik kita sibuk dengan perkilangan dan perindustrian, hakikatnya kita semakin kurang kompetitif berbanding Vietnam dan China dalam kos pengeluaran barangan bukan teknologi tinggi, (mungkin juga barang berteknologi kerana Intel sendiri sudah menutup beberapa operasinya di Malaysia). Fokus kepada perkilangan dan perindustrian tidak salah, tetapi kita masih kekurangan dasar dan insentif berkaitan tanah kosong/terbiar di Malaysia. Mengikut maklumat Jabatan Pertanian, terdapat  tanah terbiar seluas 119,273.38 hektar di Malaysia pada tahun 2014. Kalau dibuat perladangan, sudah menjadi antara syarikat perladangan terbesar di Malaysia. Dalam sibuk kita menjaja di merata dunia untuk menarik kemasukan pelabur luar ke dalam negara, aset terpenting negara yang ada kita abaikan. Mengapa? Adakah tanah seluas sekitar 120 ribu hektar ini kecil, bernilai rendah, tidak berguna dan diabaikan? Mengapa kita tidak menggunakan kekuatan dan kepakaran kita, sumber dan keupayaan kita untuk mengoptimumkan tanah terbiar ini?

Sama-sama kita fikirkan bagaimana menggunakan tanah terbiar ini dengan sebaiknya. Semasa saya dan keluarga melancong ke Padang, Sumatera pada Februari 2015, kami melihat sebahagian besar tanah yang ada digunakan sebaiknya untuk mendatangkan hasil. Sekangkang kera tanahpun ditanam padi, di bawah rumah dibuat kolam untuk menternak ikan. Dari rumah besar ke rumah kecil, ada saja kolam ikan di bawah rumah, yang bukan sahaja menyediakan sumber ikan/protein, tetapi juga 'penghawa dingin semulajadi' kepada rumah. Aliran air di parit disalurkan dan digunakan untuk kolam ikan, sawah dan sebagainya. Apakah bantuan dan insentif untuk memajukan tanah terbiar ini? Apa lagi yang dibuat oleh Jabatan Pertanian dan sebagainya yang belum cukup? Jangan hanya berharap kepada Jabatan Pertanian, mungkinkah agensi kerajaan yang lain yang boleh membantu? Perlukah sebuah Badan khusus untuk memajukan tanah terbiar ini atau Agensi sedia ada diberi peranan baru untuk mengusahakan dan mengoptimumkan tanah terbiar ini? Bolehah Lembaga Zakat menggunakan zakat untuk menyedia peluang pekerjaan dan perniagaan kepada asnaf zakat di tanah terbiar ini?

Cadangan lain dari saya adalah mempermudah rakyat mendapat lesen untuk berniaga dan memudahkan mereka berniaga. Jangan tunggu rakyat mendaftar perniagaan mereka, jangan terus denda rakyat yang tidak mempunyai lesen. Bersikap lebih proaktif dan empati, khususnya kepada peniaga mikro dan kecil.  Mereka yang tidak punya lesen, carikan mereka dan usahakan mereka mendapat lesen, jangan terus mendenda mereka, maka kerajaan akan mempunyai data dan statistik yang lebih baik mengenai kumpulan ini.

Turunkan yuran pendaftaran perniagaan dan lesen perniagaan sama ada secara tahunan ataupun untuk tempoh tiga/lima tahun sekaligus. Kerajaan Persekutuan perlu mendapat kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam hal ini. Kalau kutipan yuran pendaftaran perniagan ini tidak mendatangkan hasil yang banyak kepada kerajaan, jadikan ia percuma atau sekadar RM1/2 setahun. Pelbagai barangan makanan khususnya mempunyai pelbagai lesen, maka mudahkan mendapat lesen ini, kurangkan bayaran lesennya atau tidak perlu belanja untuk lesen-lesen ini. Mudahkan rakyat mendapat lesen untuk 3/5 tahun sekaligus. Pihak berkuasa tempatan mempunyai banyak pendapatan daripada kegiatan peniaga mikro dan kecil. Berbincanglah dengan kumpulan peniaga ini, jangan asyik nak serbu dan rampas barangan. Memang undang-undang ada kata putus dan garis panduan, tetapi ia sekadar panduan, gunakanlah hati dan kebijaksanaan dalam bertindak. Bayangkan anda di tempat mereka. Tidak pernahkah anda merasai susah? Tidak mengertikah anda tentang kesusahan dan kemiskinan?  Saya sedikit hairan dengan beberapa Pihak Berkuasa Tempatan, berpuluh dan beratus perniagaan haram seperti judi, ceti haram dan pelacuran dibiarkan berleluasa, perniagaan kecil mencari sesuap nasi, mencari sepasang baju raya untuk anak-anak, mencari belanja balik kampung di hari raya dikacau, diserbu dan dirampas.

Mudahkanlah rakyat berniaga dan mencari nafkah. Kata salah seorang guru saya, satu golongan yang susah ditolong untuk keluar dari belenggu kemiskinan adalah golongan yang pemalas. Memang tak dapek den nak nolong. Tetapi golongan peniaga di pasar malam, uptown, downtown, pasar sehari, berniaga di tepi jalan, berniaga di depan rumah, berniaga dalam Facebook, sertai MLM, mereka ini bukan pemalas.  Luaskanlah dan pelbagaikan lokasi dan kawasan untuk rakyat berniaga. Saya melihat di Facebook tentang YAB Menteri Besar Negeri Sembilan yang memberi amaran kepada pegawainya agar jangan mengganggu rakyat nak berniaga di tepi jalan dan sebagainya, itulah yang betul. Saya terbaca di akhbar tentang Kerajaan Negeri Perlis yang mencari jalan untuk membolehkan rakyat berniaga di depan rumah, dalam kampung dan sebagainya, itulah yang betul. Pindalah peraturan yang ada untuk memudahkan rakyat berniaga, kurangkanlah cukai atau hapuskan cukai yang ada untuk tidak membebankan peniaga sambilan atau kecilan ini. Cari jalan untuk merendahkan kos sewa gerai, sewa tapak, sewa kedai dan sebagainya. Pihak Berkuasa Tempatan khususnya, perbanyakkan lokasi dan tapak berniaga sama ada di waktu malam, siang, tapak tetap, tapak sementara ataupun tapak 'sekejap-sekejap'. Tukar tanggapan apabila ada gerai dan peniaga berniaga di tempat yang tidak sepatutnya, bukannya kerana mereka sengaja nak langgar peraturan, tetapi Pihak Berkuasa Tempatan belum dapat menyediakan pelbagai prasarana dan bantuan untuk memudahkan mereka berniaga.

Buat peraturan baru yang memudahkan rakyat berniaga depan rumah, jadikan rumah kedai kecil, berniaga sebelah jalan dan sebagainya. Kerajaan negeri berkuasa ke atas tanah. Dahulunya, pada era 1980-an, Perbadanan Kemajuan Negeri dan MARA banyak membina arked, bangunan, dan kompleks untuk berniaga. Era 1990-an sehingga kini menyaksikan sektor swasta mendominasi pembinaan dan pembukaan kompleks membeli-belah. Apa hasilnya? Memang kompleks membeli-belah tumbuh merata, tetapi kesannya juga sewa premis niaga di kompleks sebegini amatlah mahal, maka peniaga menjual harga dan perkhidmatan dengan harga yang lebih tinggi dan hasilnya rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ini. Sudah sampai masanya dasar pembinaan kompleks membeli-belah ini dilihat semula. Sudah sampai masanya MARA, PKEN dan pihak berkaitan melihat dan menggubal dasar baru untuk membolehkan peniaga kecil bertapak. Ramai orang teruja ke Suria KLCC, tetapi tidak bagi saya kerana sebahagian besar jenama di Suria KLCC adalah jenama luar. Memang tidak salah jenama luar bertapak di Malaysia, tetapi apa usaha kerajaan untuk membolehkan jenama tempatan berkembang di dalam negara, di kompleks membeli-belah tempatan, juga berkembang di luar negara? Sebahagian besar jenama tempatan tidak mampu menyewa premis di Suria KLCC, Mid Valley Megamall dan seumpamanya. Kita masih perlu terus berusaha...

Saya berkeyakinan rakyat Malaysia rajin kerana mereka sanggup membuat kerja tambahan dalam menghadapi impak kos sara hidup yang meningkat. Apa yang perlu di pihak kerajaan adalah memahami, bukan memusuhi usaha rakyat dalam menghadapi kemelut ini. Perlu ada dasar dan insentif tambahan untuk menggalakkan kerja/perniagaan dari rumah (home-based business). Terbukti di negara maju bagaimana kerja/perniagaan dari rumah memberikan pendapatan yang lumayan. Antara kelebihan perniagaan dari rumah adalah tiada kos sewa bangunan/outlet, kadar bil elektrik/air yang berbeza antara industri dan penginapan, tidak perlu melanggani telefon/internet tambahan selain lebih banyak masa suri rumah untuk anak-anak. Ini mewujudkan suasana yang lebih harmoni kepada keluarga dan sebenarnya mengurangkan kebergantungan kepada pembantu rumah asing (bibik). Apatah lagi Indonesia telah menyatakan ia akan menghentikan penghantaran pembantu rumah ke luar negara. Semasa saya sambung PhD di UK, beratus jutawan dilahirkan menerusi eBay, melalui usahawan yang hanya bekerja di depan komputer di rumah. Ada rakan matrikulasi saya yang sudah bergelar akauntan tetapi kini bekerja dari rumah sahaja dan mampu hidup sederhana. Syabas kepada beliau.

Dalam masa yang sama, saya fikir kerajaan harus memberi masa kepada industri berasaskan internet, khususnya online business untuk berkembang sebelum mengenakan apa saja jenis cukai. Di Amerika syarikat sendiri, industri ini diberikan masa berkembang dan mantap sebelum dikenakan cukai.  Penembusan pasaran industri ini dalam kalangan masyarakat masih rendah, kerajaan seharusnya memberikan lebih insentif untuk ia berkembang di dalam negara dan menembusi pasaran ASEAN. Berbanding Amerika Syarikat, masih banyak perkhidmatan dalam Malaysia berasaskan kaedah konvensional dan kita masih kekurangan tenaga pakar berkaitan coding dan seumpamanya. Dengan industri ini dibenarkan berkembang sehingga mantap di dalam negara, barulah pemain-pemain tempatan bersedia dan mampu mendapatkan kelebihan bergerak pertama (first mover advantage) di pasaran ASEAN.  Kelebihan utama industri ini adalah ia mampu menembusi pasaran dengan pantas.  Beberapa gerak usaha Google, Amazon dan eBay melalui MITI harus diperkasakan. Begitu banyak peluang di Amerika dan seluruh dunia melalui online business. Saya sendiri kalau tidak kerana kesibukan tugas penyelidikan terasa teruja hendak berniaga melalui online business.  Namun usia tidak menghalang saya ke arah online business. Adalah…..he3…

Saya terbaca subsidi beras 20 kg setiap keluarga dalam Bajet 2016 yang masih tertangguh. Saya sedikit kecewa kerana ia masih belum dapat dilaksanakan. Dalam zaman IT yang serba canggih, ia menunjukkan kelemahan kerajaan dan saya fikir ia tidak sepatutnya berlaku. Sepatutnya perkara pelaksanaan telah difikirkan semasa cadangan ini dibentangkan dalam Bajet 2016.  Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Lembaga Zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Masyarakat, JKKP, JKKK dan pelbagai agensi mempunyai data golongan miskin di Malaysia melalui BR1M, zakat, bantuan bulanan dan sebagainya. Tidak sepatutnya ia tertangguh. Seharusnya dasar ini ditambahbaik dengan bukan dasar lump sum, sebaliknya mengambilkira bilangan isi rumah dalam setiap keluarga. Sebuah keluarga suami-isteri dengan seorang anak mungkin terasa dibantu dengan beras 20 kg. Bagaimana dengan keluarga dengan anak 4-5 orang? Perlu ada kontinum dalam memperincikan bantuan dalam skim ini. Contohnya had minimum adalah 20kg untuk setiap keluarga sebulan dan maksimum 40kg untuk bilangan isi rumah 5 orang dan ke atas. Perlu ada had usia anak yang diambilkira dalam memberikan bantuan agar subsidi ini menepati maksudnya. Contohnya, anak bujang yang berusia 25 tahun ke atas dan sudah bekerja tidak diambilkira dalam menentukan bilangan isi rumah.  Secara peribadi, saya lebih suka dasar sebegini berbanding pemberian wang yang kita tidak pasti ke mana ianya dibelanjakan. Walaupun ada risiko keluarga ‘menjual’ beras ini sepertimana Baucer Buku 1Malaysia, namun ini boleh dikurangkan dengan plastik beras ini dicop tidak boleh dijual-beli di pasaran. Semua dasar berbentuk bantuan dan subsidi memang ada ‘risiko penyelewengan’, tugas dan tanggungjawab pelbagai jabatan dan agensi untuk menguatkuasa dan membanterasnya. Satu lagi pandangan saya adalah dari segi pelaksanaannya kerajaan seharusnya berhati-hati agar dasar ini tidak digunakan untuk memperkayakan peniaga/syarikat tertentu.

Cadangan terakhir saya berkaitan hal makanan adalah berkaitan GST.  Saya berpeluang untuk merasai pengalaman hidup dalam negara yang mengamalkan sistem GST iaitu semasa di UK dahulu (2006-2010). Di UK, ia dipanggil Value Added Tax (VAT) dan semasa saya di sana kadarnya adalah tinggi iaitu 17.5%, kini kadarnya meningkat ke 20% mulai 4 Januari 2011.  Sistem GST di UK tidaklah begitu sukar untuk difahami. Kalau anda ke pasaraya dan hendak membeli air minuman, katakan air mineral, anda akan dapat melihat air mineral sebahagiannya besar tidak dikenakan VAT, tetapi air mineral mahal/premium akan dikenakan VAT. Anda boleh memilih barang yang tidak dikenakan VAT, dan jika anda memilih barang yang dikenakan VAT, anda sudah tahu dalam harga yang hendak dibayar berapa jumlah cukai/VAT bakal dibayar oleh anda. Ini membantu anda membuat keputusan dengan bijak.

Cadangan saya, perluaskan dan perbanyakkan barangan yang tidak dikenakan GST. Saya terbaca peniaga di Kelantan yang rotinya tidak dikenakan GST oleh Kastam Putrajaya, tetapi dikenakan GST oleh Kastam Kelantan kerana ‘tidak memenuhi spesifikasi roti sekian-sekian’. Ini satu isu remeh yang tidak sepatutnya timbul. Saya bersetuju LHDN dan Kastam berfungsi untuk mengutip cukai, tetapi motivasi kedua-dua agensi ini tidak sepatutnya mengutip cukai seperti syarikat korporat mengejar keuntungan kerana objektif keduanya adalah berbeza. Apatah lagi jika pegawai dan kakitangan agensi ini dimotivasikan dengan bilangan bonus yang tinggi jika mencapai sasaran cukai sekian-sekian banyaknya. Penjawat awam perlu dimotivasikan bekerja sebagai satu amanah dan tanggungjawab, dimotivasikan bahawa setiap kebaikan akan mendapat balasan daripada Tuhan, bekerja sebaik mungkin dan jika ada lebihan untuk bonus, maka bersyukur ke hadrat Allah. Jika sistem motivasi MLM dan syarikat swasta telah memasuki agensi kerajaan, kelak ia akan menyusahkan komuniti peniaga dan masyarakat. Moga-moga tidak.

Semasa saya di Persatuan Francais Malaysia (MFA), sebelum GST diperkenalkan, kami menganjurkan Seminar GST dengan pihak Kastam memberikan tajaan di hotel dan kami (MFA) hanya perlu mencari semua penggiat dalam industri francais untuk menghadirinya secara percuma. Sewaktu itu, persoalan timbul kepada pegawai Kastam sama ada pendidikan kanak-kanak (tadika) dikenakan GST dan pegawai Kastam yang hadir menyatakan tidak perlu GST. Kemudian ditanya jika pendapatan tadika ini melebihi RM500,000 setahun bagaimana pula? Pegawai Kastam menjawab lebih RM500,000 dikenakan GST. Apa yang saya hendak sampaikan adalah Kastam sendiri masih keliru dengan barang dan perkhidmatan mana dikenakan GST dan yang mana tidak dikenakan GST sepertimana kes peniaga roti di Kelantan itu.

Jadi apa cadangan saya? Barang makanan yang merupakan makanan asasi, makanan tambahan, sayuran tempatan, buah-buahan tempatan, herba-herba tempatan, sama ada beras, roti Benggali, segala jenis roti biasa, bukan roti premium, tepung, minyak masak tempatan (bukan minyak masak luar seperti minyak sayuran dan kacang soya), segala jenis mee segera, mee kering, bihun, dan makanan-makanan lain tidak perlu dikenakan GST, bukan susah pun. Klasifikasi barangan makanan dikenakan GST adalah barangan makanan premium/mahal. Itulah yang sepatutnya. Kalau pengguna nak beli daging import mahal dari Jepun, layaklah dikenakan GST, kalau daging tempatan, tak perlulah, kalau daging import lembu biasa dari India, tak perlulah. Maka itulah sasaran sebenar GST iaitu pada golongan mewah dan berkemampuan, bukannya rakyat biasa. Golongan mewah dan berkemampuan, kenakan caj GST sampai 20% pun tak apa kerana mereka mampu.  Sebab itu semasa saya di UK, saya jarang beli barang dikenakan VAT kerana saya tidak beli barang mewah/mahal/premium. Begitu juga dengan barangan dan perkhidmatan keperluan asasi yang saya bincangkan di peringkat awal. Pakaian biasa, bukan berjenama, bukan mahal/premium, tak perlulah kenakan GST. Pakaian keperluan seperti uniform sekolah, kasut, stoking, tuala dan sebagainya yang dikategori sebagai  barang keperluan tidak perlu dikenakan GST.

Mengapa rakyat marah kerajaan sebab GST? Kerana ‘segala mak-nenek barangan dan perkhidmatan’ nak dikenakan GST! Kaedah Malaysia mengenakan GST tidak sama dengan negara maju. Transaksi dan pindahan wang pun dikenakan GST. Berbalik kepada isi saya katakan sebelumnya, barangan dan perkhidmatan asasi tidak perlu dikenakan GST.  Segala transaksi dan caj perkhidmatan berkaitan pembinaan dan penjualan rumah/tanah sepatutnya tidak dikenakan GST. Akan tetapi, transaksi dan caj perkhidmatan berkaitan pembinaan dan jual-beli kondo, apartmen mewah, yang harganya melebihi RM1 juta, kerajaan nak kenakan GST, rakyat tak kisah walau berapa peratus. Kerajaan nak kenakan GST pada jam, beg, baju, dan barangan kemas yang mahal, rakyat tak kisah, tapi berilah peluang rakyat bawahan memiliki seutas rantai emas murah tanpa GST.

Dalam masa yang sama, pelbagai caj dan rawatan kesihatan di hospital awam dan swasta tidak sepatutnya dikenakan GST kerana ia bukan pilihan, kita tidak pergi hospital kerana satu pilihan tetapi satu keperluan. Tetapi kalau kerajaan nak kenakan GST untuk Spa dan Sauna, rakyat tidak kisah kerana ia bukan satu keperluan, tetapi satu pilihan untuk mereka yang berkemampuan. Begitu juga dengan aspek keselamatan seperti syarikat yang menyediakan kawalan keselamatan, penghantaran/pengambilan wang dan seumpamanya, tidak sepatutnya dikenakan GST. Bidang pendidikan sama ada dari pra sekolah sehingga ke pasca siswazah tidak perlu dikenakan GST kerana ianya adalah keperluan asasi manusia. Pendidikan menjadikan negara memiliki modal insan berkualiti yang akan memacu dan memaju negara. Malah dasar dan insentif fiskal dan bukan fiskal perlu diperbanyakkan untuk menjadikan sistem pendidikan negara lebih kos-efisien dan ‘mampu milik’.

Dalam dunia moden hari ini, keperluan telekomunikasi adalah satu keperluan asasi, bukan barang mewah. Dasar percukaian harus melihat perubahan zaman. Maka saya berpandangan bayaran prabayar telefon, pasca bayar telefon, langganan internet di rumah dan di pejabat tidak perlu dikenakan GST kerana ia keperluan asasi. Mana boleh kita mengelak dari internet untuk berurusan pada hari ini. Sebahagian besar perkhidmatan dan jual-beli barang memerlukan kita melayari internet. Di negara Scandinavia, saya terbaca bahawa pemilik hotel wajib menyediakan kemudahan wifi secara percuma kerana ia adalah keperluan asasi pelanggan hotel.

Begitu juga dengan keperluan pengangkutan, saya berpandangan tidak perlu dikenakan GST kerana ia keperluan asasi. Kita bukan hidup di dalam zaman dahulu kala, bercucuk tanam dan ekonomi sara diri, tidak perlu ke sini-sana. Motor kapcai, kereta sedan biasa, kereta terpakai berjenama biasa dan berharga murah, tak perlulah kenakan GST. Beri peluang rakyat memiliki kenderaan dengan harga murah. Kalau kerajaan nak kenakan GST, kenakan GST pada mereka yang menaiki kapal terbang kelas perniagaan dan kelas pertama, rakyat tak kisah. Janganlah kenakan GST pada mereka yang menaiki kapal terbang tambang murah. Kenakanlah GST dan cukai lain yang tinggi pada mereka yang membeli kenderaan mahal dan mewah, berpuluh dan beratus peratus pun, rakyat tak kisah sebab golongan itu berkemampuan.

Barangan dan perkhidmatan berkaitan urusan keagamaan tidak sewajarnya dikenakan GST. Agama adalah satu fitrah bagi manusia, bukan manusia suka-suka mencari untuk beragama. Islam sendiri memberikan hak kepada penganut bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka. Selain itu, industri baru berkembang (Emerging industry) yang bukan keperluan asasi tidak perlu dikenakan GST kerana kerajaan harus menyediakan peluang dan sokongan fiskal untuk indusri ini berkembang. Begitu juga dengan perkhidmatan kerajaan tidak wajar dikenakan GST kerana ia adalah tanggungjawab kerajaan. Cukuplah dengan pelbagai bayaran dan cukai lain dikenakan dalam mendapatkan perkhidmatan kerajaan.

Pihak kerajaan tidak harus gusar jika kutipan cukai berkurang. Dalam kita menerima beberapa kemajuan aqliah berkaitan dasar percukaian dari negara maju, kerajaan seharusnya yakin, kebahagiaan dan kemakmuran rakyat dan negara bukan diukur semata-mata dari segi indikator ekonomi negara maju. Malah negara Scandinavia pun sudah ‘berpindah’ ke indikator lain yang lebih seimbang dalam mencari makna kepada kehidupan yang sementara di dunia ini. Pelaksanaan GST masa kini, khususnya dalam lima tahun pertama seharusnya menumpukan kepada usaha-usaha penambahbaikan sistem, menambah/mengurang klasifkasi barang yang dikenakan/tidak dikenakan GST, melipatgandakan usaha penerangan agar pelaksanaan semasa semakin difahami, menambahbaik sistem aduan/pelaporan agar aduan GST lebih cepat ditangani, peningkatan teknologi dan sistem pemantauan agar Kastam berupaya memantau golongan peniaga yang cuba menipu dan memanipulasi sistem semasa, mensifarkan dan mengecualikan sebahagian besar barangan, khususnya keperluan asasi untuk mengurangkan beban rakyat bawahan dan golongan pertengahan, juga memudahkan pengguna membuat keputusan tentang pembelian barangan mana dikenakan GST, mana tidak dikenakan GST. Tidak rugi bagi kerajaaan memahami masalah dan keresahan rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 dalam menghadapi isu kenaikan kos sara hidup dan GST ini.


Saya fikir setakat itu dahulu, moga-moga saya diberikan kekuatan akal fikiran dan petunjuk dan hidayah-NYA dalam menyumbang idea dan buah fikiran untuk menyambung lagi bicara ini khususnya dalam menangani kos sara hidup yang berkaitan i)pakaian, iii)tempat tinggal, iv)kesihatan, v)keselamatan, vi)pendidikan, vii)telekomunikasi dan vii)pengangkutan yang belum saya sentuh secara mendalam. Semoga kita dapat kembali kepada fitrah di bulan Ramadhan ini. Berhabisan RM100-RM200 berbuka puasa di Hotel, sedap makannya sama saja dengan masak sendiri atau beli di gerai tepi jalan atau di Bazar Ramadhan. Sedapnya apabila masuk ke dalam mulut dan dikunyah selama beberapa saat tetapi sedap dan lazatnya hilang apabila melangkaui kerongkong kita. Betapa ramai Muslim yang berpuasa, tetapi hanya dapat belajar menahan lapar dan dahaga. Wassalam.

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete