Monday, 30 September 2019

SELAMAT HARI MALAYSIA 2019

Salam semua,

Image may contain: 2 people, including Rosmina Mohd Izan, people smiling, people standing and outdoor

1)Alhamdulillah, ketika catatan ini keluar di media sosial, saya dan isteri sudah selamat tiba di Malaysia, tanahair tercinta. Setelah 3 hari 2 malam kami di Indonesia, sudah pasti rindu dengan anak-anak yg ditinggalkan dan masakan Malaysia. Terima kasih anakanda satu-satunya puteri kami yang menjadi ‘ibu dan bapa sementara’ kepada 3 orang adik lelakinya yang ‘boleh tahan juga’...he3. Semenjak tahun 2014, saya mengamalkan bulan madu/bercuti berdua dengan isteri, sekurangnya sekali setahun, ketika anak bongsu telah berumur 5 tahun. Kami sudah ke Bandung, Bangkok, mengerjakan umrah, ke Cyprus, Bali dan kali ini ke Jakarta. Memang agak sukar meninggalkan anak-anakkali pertama, tapi kini sudah biasa. Tidak perlu pergi jauh atau lama, tetapi minimum 3 hari 2 malam. Perkara paling penting yang saya pelajari dari 1001 kisah di internet dan media sosial adalah jangan menunggu pencen utk berjalan bersama dan berdua dengan si isteri kerana kita tidak tahu sampai bila usia kita diberikan Allah.

2)Selamat Hari Malaysia. Demi negara tercinta, saya dan isteri meraikan Hari Malaysia di negara jiran serumpun. Hari Malaysia saya anggap penting kerana ia mencantumkan Persekutuan Tanah Melayu dengan Sarawak dan Sabah lalu membentuk sebuah negara bernama Malaysia yang kita kenali hari ini. Fahami sejarah kerana ia menjadikan kita warganegara berguna dan lebih matang dalam berbicara.

3)Harapan utama saya sempena Hari Malaysia ke 56 ini adalah jurang perbezaan ekonomi antara kaum, antara negeri, antara bandar dan desa, antara miskin dan kaya dapat dikurangkan. Ini juga yang saya nyatakan dalam program Ruang Bicara, 12 Sept 2019, 900-1000 malam di Bernama News Channel yang lalu (https://www.youtube.com/watch?v=HnN3X-VsGI4). 



Harapan kedua saya adalah Malaysia memerlukan dasar berkaitan pendidikan, sosial, budaya, ekonomi yang lebih baik agar semangat patriotik dan perpaduan rakyat dapat dipertingkatkan. Kita tidak boleh berharap dasar lama atau dasar sedia ada dikekalkan dan diteruskan. Kepentingan negara lebih utama berbanding kepentingan kaum dan etnik.

4)Tentang Indonesia? Memang banyak kenangan, pengalaman dan nukilan saya tentang Indonesia. Kali pertama saya ke Indonesia adalah pada tahun 1993 iaitu ke Pontianak, KALBAR, ketika menjadi Pengarah Program Jalinan Muhibbah Sintok - Pontianak anjuran PMUUM. Ketika itu, saya mahasiswa di Tahun Satu, tetapi menjadi Pengarah untuk projek besar yang saya sendiri usahakan dari sifar. Ianya tidak mustahil jika kita punya keyakinan yang tinggi dan kemahiran pengorganisasian dan konsepsi yang baik. Selain itu, dua kali keluarga saya (ketika anak masih dua orang) pusing Pulau Jawa pada tahun 2003 & 2006. Hanya kami belum ke Jogjakarta, bandar besar yang lainnya sudah kami singgahi @ kunjungi, dari JABAR ke JATENG ke JAMUR dan kembali semula ke JABAR.

5)Lagi??? Saya pernah sampai, berkunjung, juga melancong di Jakarta, Bengkulu, Palembang, Bogor, Bandung, & Banyuwangi (& Bali) atas urusan kerja. Pernah sampai ke Padang & Bukit Tinggi serta Medan atas kunjungan peribadi. Indonesia memang banyak lokasi dan tempat menarik. Saya telah melihat dan merasai kepelbagaian kehidupan di bandar besar dari hotel besar sehingga rumah yang menggunakan air yang dipam dari dalam tanah sehingga kehidupan di desa di Indonesia. Apapun, Indonesia telah banyak berubah, dan saya masih belum puas belajar sesuatu dari Indonesia.

6)Apa hebatnya Indonesia? Apa yang kita boleh pelajari dari Indonesia? Pengalaman saya di Indonesia semenjak 1993 dan kunjungan berterusan sehingga kini menunjukkan beberapa corak dan ‘proposition’ yang sama. Pertamanya sempena Hari Malaysia ini, kita boleh belajar tentang semangat patriotik Indonesia. Sepengalaman saya, paling mudah ketika Lagu Kebangsaan dimainkan, warga Indonesia lebih bersemangat sama-sama menyanyikan lagu kebangsaan mereka berbanding Malaysia. Di Malaysia, pengalaman menunjukkan lagu rakaman yang dimainkan yang lebih kuat kedengaran berbanding nyanyian warga Malaysia. Banyak lagi contoh berkaitan patriotik ini. Walaupun semangat patriotik memerlukan kajian lebih mendalam, saya fikir adalah penting kita menzahirkan patriotik kita, rasa kasih-sayang dan cinta kita kepada negara.

7)Hospitaliti di Malaysia mmg hebat. Malaysia terkenal kerana hospitaliti, layanan, kemesraan, budi-bahasa, dan sopan-santun rakyat kita. Namun, sepengalaman saya, hospitaliti di Indonesia ada beberapa kelebihan. Sebagai tetamu, saya masih merasakan layanan mereka kepada tetamu amat hebat. Kita di Malaysia tidak mampu melayan tetamu seperti mereka. Dlm tempoh 14-16 Sept 2019 ini, Prof Herman dari Universitas Negeri Jakarta (UNJ) yang membawa saya ke sana sini, belanja saya (dan isteri) ke sana sini dan 1001 bantuan. Tak mampu saya membalasnya. Moga Allah Taala merahmati, memberkati dan memurahkan rezeki kepada Prof Herman. Aaamiiin.

8)Indonesia semakin pantas membangun. Ekonomi negara dan wilayahnya berkembang 6-8 peratus setahun untuk tempoh kebelakangan ini. Kadang-kadang, kita tak perlu melihat @ mencontohi negara maju @ negara Barat. Banyak contoh yang boleh dipelajari dari Indonesia. Contohnya, di UNJ, universiti milik kerajaan, kadar yuran pengajian kepada pelajar prasiswazah ditetapkan mengikut tahap pendapatan keluarga. Pelajar dari keluarga kaya dikenakan bayaran yuran yang lebih tinggi, begitu juga dengan pelajar dalam kalangan keluarga sederhana bayar yuran lebih rendah dari keluarga kaya. Pelajar miskin yurannya amat rendah dan pelajar yang memang dari keluarga amat susah dan miskin tidak perlu membayar yuran pengajian sama sekali. Ini subsidi yang betul. Sekitar 20% pelajar setiap kohort datang dari keluarga amat miskin dan tidak perlu membayar yuran pengajian sama sekali.

9)Di Malaysia, di universiti awam, pihak kerajaan sebelumnya masih mengekalkan subsidi umum utk semua pelajar yang saya fikir kurang adil kerana Malaysia bukan negara kaya (dan 1001 sebab lain), pelajar kaya dan berada hanya bayar yuran sekitar 10% sahaja dan 90% disubsidi pihak kerajaan. Saya tidaklah menyokong dasar kapitalis atau liberalisasi pendidikan tanpa kawalan tetapi saya fikir Subsidi Bersasar lebih sesuai di mana contoh di UNJ boleh dipertimbangkan. Kerajaan yang baru memerintah ini pula belum nampak dasarnya yang jelas tentang pendidikan tinggi walaupun manifestonya ada menyentuh bab ini.

10)Selain itu, perlantikan Rektor UNJ adalah berdasarkan undian Senat dan undian dari wakil kerajaan. Ini lebih baik berbanding di Malaysia yang memberikan kuasa penting perlantikan Naib Canselor kepada Menteri yang mana bukti kerajaan lalu dan kerajaan baharu ini menunjukkan kerajaan yang memerintah belum ada ‘political will’ untuk mengubah dan mentransformasi universiti awam di Malaysia. Nampaknya isu-isu berkaitan politik masih mendominasi isu pendidikan tinggi di Malaysia. Universiti awam di Malaysia memerlukan transformasi governans, kewangan dan sumber manusia yang lebih baik. Pensyarah universiti memerlukan skim gaji berbeza dari penjawat awam lain agar kita mampu menarik dan mengekalkan bakat tempatan yang terbaik. Di Universiti, kita bukan mengeluarkan graduan untuk bekerja sepertimana kilang dan industri, tetapi melahirkan bakal pemimpin negara, industri dan masyarakat. Universiti bukan sekadar diharapkan memberi ilmu, kemahiran dan kompetensi dalam kalangan mahasiswa tetapi sebenarnya mencorakkan nilai, budaya, sikap, kelakuan dan tabiat-kebiasaan yang hebat untuk para mahasiswa agar mereka mampu membawa negara dan membina peradaban yang lebih baik di zaman mereka kelak. Kita bukan sekadar perlu menjalankan lebih banyak kegiatan penyelidikan dan pembangunan tetapi juga kegiatan pengkomersilan. Universiti sebagai menara gading tidak harus terpisah dari masyarakat tetapi menjadi sumber dan rujukan masyarakat sepanjang zaman. Umumnya, pada saya universiti di Indonesia kini lebih maju dalam beberapa hal selain lebih maju dalam sistem demokrasi, perjuangan mahasiswa dan kebebasan media.

11)Setakat ini dahulu coretan saya yang dilakukan dalam penerbangan AK387, ketika telefon dalam ‘Airplane mode’ utk mengecaj bateri. Insya Allah, November 2019 ini saya ke Acheh pula untuk urusan kerja.

Wassalam.


16 September 2019

No comments:

Post a Comment