Monday, 30 September 2019

SELAMAT HARI MALAYSIA 2019

Salam semua,

Image may contain: 2 people, including Rosmina Mohd Izan, people smiling, people standing and outdoor

1)Alhamdulillah, ketika catatan ini keluar di media sosial, saya dan isteri sudah selamat tiba di Malaysia, tanahair tercinta. Setelah 3 hari 2 malam kami di Indonesia, sudah pasti rindu dengan anak-anak yg ditinggalkan dan masakan Malaysia. Terima kasih anakanda satu-satunya puteri kami yang menjadi ‘ibu dan bapa sementara’ kepada 3 orang adik lelakinya yang ‘boleh tahan juga’...he3. Semenjak tahun 2014, saya mengamalkan bulan madu/bercuti berdua dengan isteri, sekurangnya sekali setahun, ketika anak bongsu telah berumur 5 tahun. Kami sudah ke Bandung, Bangkok, mengerjakan umrah, ke Cyprus, Bali dan kali ini ke Jakarta. Memang agak sukar meninggalkan anak-anakkali pertama, tapi kini sudah biasa. Tidak perlu pergi jauh atau lama, tetapi minimum 3 hari 2 malam. Perkara paling penting yang saya pelajari dari 1001 kisah di internet dan media sosial adalah jangan menunggu pencen utk berjalan bersama dan berdua dengan si isteri kerana kita tidak tahu sampai bila usia kita diberikan Allah.

2)Selamat Hari Malaysia. Demi negara tercinta, saya dan isteri meraikan Hari Malaysia di negara jiran serumpun. Hari Malaysia saya anggap penting kerana ia mencantumkan Persekutuan Tanah Melayu dengan Sarawak dan Sabah lalu membentuk sebuah negara bernama Malaysia yang kita kenali hari ini. Fahami sejarah kerana ia menjadikan kita warganegara berguna dan lebih matang dalam berbicara.

3)Harapan utama saya sempena Hari Malaysia ke 56 ini adalah jurang perbezaan ekonomi antara kaum, antara negeri, antara bandar dan desa, antara miskin dan kaya dapat dikurangkan. Ini juga yang saya nyatakan dalam program Ruang Bicara, 12 Sept 2019, 900-1000 malam di Bernama News Channel yang lalu (https://www.youtube.com/watch?v=HnN3X-VsGI4). 



Harapan kedua saya adalah Malaysia memerlukan dasar berkaitan pendidikan, sosial, budaya, ekonomi yang lebih baik agar semangat patriotik dan perpaduan rakyat dapat dipertingkatkan. Kita tidak boleh berharap dasar lama atau dasar sedia ada dikekalkan dan diteruskan. Kepentingan negara lebih utama berbanding kepentingan kaum dan etnik.

4)Tentang Indonesia? Memang banyak kenangan, pengalaman dan nukilan saya tentang Indonesia. Kali pertama saya ke Indonesia adalah pada tahun 1993 iaitu ke Pontianak, KALBAR, ketika menjadi Pengarah Program Jalinan Muhibbah Sintok - Pontianak anjuran PMUUM. Ketika itu, saya mahasiswa di Tahun Satu, tetapi menjadi Pengarah untuk projek besar yang saya sendiri usahakan dari sifar. Ianya tidak mustahil jika kita punya keyakinan yang tinggi dan kemahiran pengorganisasian dan konsepsi yang baik. Selain itu, dua kali keluarga saya (ketika anak masih dua orang) pusing Pulau Jawa pada tahun 2003 & 2006. Hanya kami belum ke Jogjakarta, bandar besar yang lainnya sudah kami singgahi @ kunjungi, dari JABAR ke JATENG ke JAMUR dan kembali semula ke JABAR.

5)Lagi??? Saya pernah sampai, berkunjung, juga melancong di Jakarta, Bengkulu, Palembang, Bogor, Bandung, & Banyuwangi (& Bali) atas urusan kerja. Pernah sampai ke Padang & Bukit Tinggi serta Medan atas kunjungan peribadi. Indonesia memang banyak lokasi dan tempat menarik. Saya telah melihat dan merasai kepelbagaian kehidupan di bandar besar dari hotel besar sehingga rumah yang menggunakan air yang dipam dari dalam tanah sehingga kehidupan di desa di Indonesia. Apapun, Indonesia telah banyak berubah, dan saya masih belum puas belajar sesuatu dari Indonesia.

6)Apa hebatnya Indonesia? Apa yang kita boleh pelajari dari Indonesia? Pengalaman saya di Indonesia semenjak 1993 dan kunjungan berterusan sehingga kini menunjukkan beberapa corak dan ‘proposition’ yang sama. Pertamanya sempena Hari Malaysia ini, kita boleh belajar tentang semangat patriotik Indonesia. Sepengalaman saya, paling mudah ketika Lagu Kebangsaan dimainkan, warga Indonesia lebih bersemangat sama-sama menyanyikan lagu kebangsaan mereka berbanding Malaysia. Di Malaysia, pengalaman menunjukkan lagu rakaman yang dimainkan yang lebih kuat kedengaran berbanding nyanyian warga Malaysia. Banyak lagi contoh berkaitan patriotik ini. Walaupun semangat patriotik memerlukan kajian lebih mendalam, saya fikir adalah penting kita menzahirkan patriotik kita, rasa kasih-sayang dan cinta kita kepada negara.

7)Hospitaliti di Malaysia mmg hebat. Malaysia terkenal kerana hospitaliti, layanan, kemesraan, budi-bahasa, dan sopan-santun rakyat kita. Namun, sepengalaman saya, hospitaliti di Indonesia ada beberapa kelebihan. Sebagai tetamu, saya masih merasakan layanan mereka kepada tetamu amat hebat. Kita di Malaysia tidak mampu melayan tetamu seperti mereka. Dlm tempoh 14-16 Sept 2019 ini, Prof Herman dari Universitas Negeri Jakarta (UNJ) yang membawa saya ke sana sini, belanja saya (dan isteri) ke sana sini dan 1001 bantuan. Tak mampu saya membalasnya. Moga Allah Taala merahmati, memberkati dan memurahkan rezeki kepada Prof Herman. Aaamiiin.

8)Indonesia semakin pantas membangun. Ekonomi negara dan wilayahnya berkembang 6-8 peratus setahun untuk tempoh kebelakangan ini. Kadang-kadang, kita tak perlu melihat @ mencontohi negara maju @ negara Barat. Banyak contoh yang boleh dipelajari dari Indonesia. Contohnya, di UNJ, universiti milik kerajaan, kadar yuran pengajian kepada pelajar prasiswazah ditetapkan mengikut tahap pendapatan keluarga. Pelajar dari keluarga kaya dikenakan bayaran yuran yang lebih tinggi, begitu juga dengan pelajar dalam kalangan keluarga sederhana bayar yuran lebih rendah dari keluarga kaya. Pelajar miskin yurannya amat rendah dan pelajar yang memang dari keluarga amat susah dan miskin tidak perlu membayar yuran pengajian sama sekali. Ini subsidi yang betul. Sekitar 20% pelajar setiap kohort datang dari keluarga amat miskin dan tidak perlu membayar yuran pengajian sama sekali.

9)Di Malaysia, di universiti awam, pihak kerajaan sebelumnya masih mengekalkan subsidi umum utk semua pelajar yang saya fikir kurang adil kerana Malaysia bukan negara kaya (dan 1001 sebab lain), pelajar kaya dan berada hanya bayar yuran sekitar 10% sahaja dan 90% disubsidi pihak kerajaan. Saya tidaklah menyokong dasar kapitalis atau liberalisasi pendidikan tanpa kawalan tetapi saya fikir Subsidi Bersasar lebih sesuai di mana contoh di UNJ boleh dipertimbangkan. Kerajaan yang baru memerintah ini pula belum nampak dasarnya yang jelas tentang pendidikan tinggi walaupun manifestonya ada menyentuh bab ini.

10)Selain itu, perlantikan Rektor UNJ adalah berdasarkan undian Senat dan undian dari wakil kerajaan. Ini lebih baik berbanding di Malaysia yang memberikan kuasa penting perlantikan Naib Canselor kepada Menteri yang mana bukti kerajaan lalu dan kerajaan baharu ini menunjukkan kerajaan yang memerintah belum ada ‘political will’ untuk mengubah dan mentransformasi universiti awam di Malaysia. Nampaknya isu-isu berkaitan politik masih mendominasi isu pendidikan tinggi di Malaysia. Universiti awam di Malaysia memerlukan transformasi governans, kewangan dan sumber manusia yang lebih baik. Pensyarah universiti memerlukan skim gaji berbeza dari penjawat awam lain agar kita mampu menarik dan mengekalkan bakat tempatan yang terbaik. Di Universiti, kita bukan mengeluarkan graduan untuk bekerja sepertimana kilang dan industri, tetapi melahirkan bakal pemimpin negara, industri dan masyarakat. Universiti bukan sekadar diharapkan memberi ilmu, kemahiran dan kompetensi dalam kalangan mahasiswa tetapi sebenarnya mencorakkan nilai, budaya, sikap, kelakuan dan tabiat-kebiasaan yang hebat untuk para mahasiswa agar mereka mampu membawa negara dan membina peradaban yang lebih baik di zaman mereka kelak. Kita bukan sekadar perlu menjalankan lebih banyak kegiatan penyelidikan dan pembangunan tetapi juga kegiatan pengkomersilan. Universiti sebagai menara gading tidak harus terpisah dari masyarakat tetapi menjadi sumber dan rujukan masyarakat sepanjang zaman. Umumnya, pada saya universiti di Indonesia kini lebih maju dalam beberapa hal selain lebih maju dalam sistem demokrasi, perjuangan mahasiswa dan kebebasan media.

11)Setakat ini dahulu coretan saya yang dilakukan dalam penerbangan AK387, ketika telefon dalam ‘Airplane mode’ utk mengecaj bateri. Insya Allah, November 2019 ini saya ke Acheh pula untuk urusan kerja.

Wassalam.


16 September 2019

PENGORBANAN KITA DAN PERANCANGAN TUHAN

Assalamu'alaikum,

Image may contain: 3 people, including Rosmina Mohd Izan and Mohd Hizam Hanafiah, people smiling, people standing
Antara pengorbanan besar saya adalah ke Wharton, USA. Saya hilang macam-macam peluang, jaringan, nama baik dan reputasi yang saya bina antara 2000-2015. Tapi ke Wharton itu atas petunjuk Allah Taala dan saya patuh kepada petunjuk-Nya. Dalam pada itu, saya tahu dan jelas bahawa peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman hidup bersama isteri dan anak-anak di Amerika Syarikat bukanlah satu peluang biasa yang wajar dibiarkan begitu sahaja.

Dua tahun saya di Wharton, apa yang saya hilang di Malaysia telah Allah Taala ganti. Masya Allah. Dan Allah menggantinya dengan sesuatu yang lebih hebat, itulah Maha hebatnya Allah Taala.  Ia memanglah tidak sama dengan apa yang hilang di Malaysia tetapi ianya amat berbaloi dan amat bernilai sekali. Kehidupan dan pengalaman di Wharton, University of Pennsylvania dan USA memang mengubah saya, dalam dan luar. Yang paling banyak berubah adalah aspek dalaman, tetapi orang biasa memang tidak akan tahu perubahan ini. Hatta sahabat terdekat pun sukar mengetahuinya. Saya amat bersyukur kepada Allah. Allah 'jadikan' musafir dan uzlah kami sekeluarga itu begitu indah sekali.

Apabila saya pulang dari Wharton kira-kira dua tahun lepas, saya fikir bagaimana saya perlu bekerja keras untuk membina semula dari sifar segalanya. Saya perlu buat nota dan PPT baru untuk kursus baru, berusaha cari geran penyelidikan (kami tak boleh ‘hidup’ di UKM kalau tak ada geran penyelidikan kerana UKM adalah Universiti Penyelidikan), membina jaringan dengan industri, saya tiada pelajar PhD jadi perlu fikir bagaimana nak dapatkan pelajar PhD, perlu hubungi semula jaringan lama yang orang pun dah lupa kita, dan 1001 perkara lain. 

Bukan mudah memulakan sesuatu dari baru tetapi kini setelah hampir dua tahun saya kembali dari Amerika Syarikat , saya amat positif dengan apa yang berlaku:
  • Saya mengajar dgn berusaha membuat persediaan dan  PPT terbaik, dengan hati yang ikhlas untuk menolong pelajar, khususnya kelas Sarjana dan PhD saya. Mula-mula pelajar di Malaysia seperti susah nak terima cara saya, tapi akhirnya mereka faham ia adalah untuk kebaikan dan kepentingan mereka. Biarlah susah semasa belajar tapi banyak yang dipelajari. Standard saya tinggi dan saya sentiasa ‘mencabar’ pelajar buat sesuatu dengan lebih baik. Jangan berpuashati dengan tahap dan pencapaian semasa. Kita tidak tahu kebolehan dan kemampuan kita jika tidak mencabar diri kita membuat sesuatu yang belum kita membuatnya atau mencapainya. Ringkasnya, saya fokus kepada transformasi sikap, nilai, kelakuan dan tabiat dalam kalangan pelajar saya, bukan hasil akhirnya. Ringkasnya, segala ilmu dan pengalaman saya di USA saya praktis kembali di Malaysia. 
  • Saya mendapat dua geran penyelidikan dari luar, satunya tentang projek industri yang saya amat berminat, saya sebagai ketua projek dan kami bakal menghasilkan satu ‘produk’ untuk digunakan industri (walaupun harta intelek milik agensi yang memberi dana), dan satu lagi dlm ‘industri baru’ yang saya baru ceburi. Walaupun saya baru dalam industri ini, saya yang jadi Ketua Projeknya dengan sokongan sahabat-sahabat yang baru saya kenali. Walaupun kami baru berkenalan, Alhamdulillah, ukhuwwah kami hebat sekali sebab kami berkongsi matlamat yang sama.
  • Saya menerima 10 pelajar PhD sebagai penyelia utama dalam empat semester yang lalu. Saya pun tak sangka, saya tak cari mereka tapi mereka cari saya. Dua lagi pelajar PhD, saya sebagai Ahli JK Penyeliaan. Alhamdulillah, saya mat bersyukur kepada Allah. Saya tidak membuat apa-apa 'promosi' tetapi bagi saya ianya adalah bantuan dan pertolongan dari Allah. Kadang-kadang kita sibuk mengejar KPI dan merungut jika kita tidak mencapai KPI ditetapkan. Kita selalu tinggalkan kerja-kerja kebaikan dan kebajikan kerana sibuk dan demi mengejar KPI kita. Kita lupa bahawa Allah Taala telah berjanji bahawa setiap kebaikan dan kebajikan itu akan dibalas-Nya. Pelbagai ayat Al-Quran dan macam-macam hadis menghuraikan ganjaran berbuat baik dan mengerjakan kebajikan. 

  • Jaringan industri saya makin bertambah, saya mendapat pengalaman baru dan rakan baru dalam ‘industri baru’. Sebagai seorang yang ‘Entrepreneurial’, saya sukakan cabaran dan pengalaman baru. Dalam masa yang sama, ada ganjaran menanti kepada sesiapa yang suka menghubungkan silaturrahim, sepertimana maksud hadis. Mengapa hanya bekerja dalam kelompok kita sahaja? 
  • Alhamdulillah, saya mendapat ramai sahabat dan kenalan dari golongan ulama dan Asatizah. Banyak ilmu dan pengalaman saya belajar dan timba dari mereka. Dalam berkawan dan bersahabat, fokus saya adalah aspek positif dari seseorang, bukan aspek negatif. Saya mengambil apa kebaikan dan aspek positif dari seseorang untuk dipegang sbagai prinsip hidup, cara berfikir dan untuk diamalkan. Tiada manusia yang sempurna.
  • Saya baru dua kali masuk TV. Dah 30 kali tulisan saya terbit di media perdana. Tak susah untuk saya menulis dan terbit dalam akhbar perdana topik-topik yang saya juarai dan pakar. Jaringan saya dengan beberapa media makin mantap walaupun belum dua tahun. Ini berbeza dengan berbelas tahun sebelum saya ke Amerika di mana membina jaringan dengan media bukanlah mudah. Saya tidak tergila-gila cari publisiti dan kejar populariti, tapi saya menulis di akhbar perdana untuk mendidik masyarakat walaupun 'tidak dipandang' oleh UKM untuk kenaikan pangkat. Tapi itulah tanggungjawab seorang ahli akademik.
  • Alhamdulillah, saya masih bermotivasi hampir setiap hari untuk datang ke pejabat, keluar dari rumah jam 650 pagi, hantar anak-anak ke sekolah dan tiba di bilik saya antara 730-740 pagi (kecuali ketika saya kurang sihat dan ada urusan/aktiviti lain). Saya cuba menggunakan masa di pejabat sebaik-baiknya. Malah saya biasa membawa kerja di pejabat pulang ke rumah (seperti membaca dan menulis artikel, memeriksa tesis pelajar, menulis laporan audit, menilai artikel jurnal) dan juga dibawa ke cuti hujung minggu. Itulah pengorbanan yang kita perlu ikhlaskan diri kita membuatnya dan kita tidak perlu risau akan pengorbanan itu. Yakinlah, Allah akan menilainya dan mengganjarinya. Ini berbeza berbanding era 2010-2015 di mana waktu saya tiba ke pejabat tidak sama dan tidak mempunyai corak yg jelas.
  • Saya tidak menjaja nama saya, tidak banyak membuka jaringan dengan universiti dan IPTS tetapi, Alhamdulillah, undangan universiti dan IPTS lain sebagai pemeriksa luar tesis makin berkembang, jemputan sebagai panel penilai, 'external moderator' untuk program pengajian bidang keusahawanan juga bertambah. Undangan sebagai penilai artikel jurnal berwasit juga makin berkembang. Baru-baru ini, Universitas Negeri Jakarta menjemput saya memberi dua syarahan. Saya pun tidak tahu mengapa dan bagaimana saya yang dipilih. Bagi saya ini adalah ‘perancangan dan ketentuan Allah jua.’
  • Perkara yang belum saya lakukan adalah ‘activate’ jaringan lama saya dengan industri. Tempoh sekitar dua tahun ini saya banyak memerhati dan mengkaji tingkah-laku manusia-manusia di dalam 'industri lama ini'. Allah, macam-macam perangai manusia ada. Saya tidak mahu nyatakan di sini kerana fokus saya adalah lebih kepada berkongsi perkara-perkara positif dalam tulisan dan blog saya.
  • Saya ada rancangan terakhir yang saya nak lakukan sebagai amal jariah saya di dunia ini, sebelum saya pencen dan mungkin mengisi masa lapang ketika pencen. Di FEP UKM, kami panggil ‘kubur wangi’ (kerja-kerja kebajikan). Perkara ini telah saya fikirkan dengan serius semasa saya di USA, cuma saya ada beberapa halangan dalam dua tahun ini. Para pembaca sama-sama doakan agar ianya menjadi kenyataan.

Apa sebenarnya yang saya nak kongsi?
a)Sentiasa sangka baik dan yakin dengan petunjuk dan ketentuan Allah. “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (QS. Al Baqarah: 216). Itulah 'cara' Allah mendidik saya. Dengan mengikuti petunjuk-Nya, melakukan pengorbanan, lebih banyak Allah berikan kepada kita. Segala kerisauan dan kebimbangan kita telah dibantu oleh-Nya.

b)Saya bukanlah seseorang yang 'amat terancang dan teliti'  dalam berbuat sesuatu. Saya mempunyai sasaran-sasaran umum yang hendak dicapai tetapi tidak merancang dengan begitu terperinci untuk apa yang saya terima hari ini. Ringkasnya saya tidak mahu terbeban atau stres dengan perkara dunia jika rancangan dan sasaran saya tidak dicapai. Saya tidak pernah fikirkan jika saya menjadi pesaing kepada orang lain @ orang lain menganggap saya sebagai pesaing mereka, saya cuma buat kerja saya, fokus saya adalah kerja dan tanggungjawab saya. Jika kita bekerja dengan ikhlas untuk Allah, kerana Allah, demi Allah, Allah akan menolong dan membantu kita semula.

c)Saya amat bersyukur dgn pencapaian saya dekat dua tahun ini, selepas kembali dari USA, walaupun mungkin bagi sesetengah orang tidak secemerlang mana. Walaupun ada pencapaian tertentu yang masih kurang, saya redha dan tidak pening kepala @ stres. Ramai rakan saya contohnya stres tentang syarat penerbitan minimum tahunan bagi pensyarah yang cukup tinggi, saya biashe-biashe aja. Buah akan gugur apabila cukup masaknya. Rezeki akan sampai tepat pada masanya. Memang kita dituntut berusaha, tetapi jangan terlalu fokus kepada hasilnya, fokuslah kepada Yang Maha Esa.  Jadi apa sahaja yang kita hadapi, baik @ buruk, sentiasa bersyukur dengan Allah. Zahirkan kesyukuran kita kepada Allah. Cara saya adalah paling kurang solat sunat syukur sekali sehari. Selepas salam, sujud dan zahirkan kesyukuran di atas segala rahmat, nikmat, kurnia, anugerah Allah kepada kita. Allah, tak terhitung banyaknya. “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, ....”(QS. Ibrahim: 7). Itulah 'cara' saya mendapat pertolongan Allah dan 'cara' Allah membantu dan menolong saya.

Wassalam.
26 September 2019.
*MUhasabah 2 tahun kembali dari USA ke Malaysia