Dalam konteks Entrepreneurial University, universiti diharapkan mempelbagaikan sumber pendapatan dengan menambah sumber kewangan ketiga. Sumber kewangan pertama adalah peruntukan dari kerajaan dan sumber kedua adalah pelbagai yuran dikenakan untuk pelajar. Untuk itu, universiti diharapkan menjana pendapatan sendiri. Kajian kes di universiti di Eropah dan AS menunjukkan universiti yang berjaya mampu menjana pelbagai sumber pendapatan sehingga sumbangan kerajaan (atau sumber pertama dan kedua) hanya berjumlah 30% daripada sumber kewangan keseluruhan. Konsep endowmen yang diadaptasi dari konsep waqaf Islam amat berjaya di universiti di Barat. Harvard University mempunyai lebih USD$30 bilion endowmen. University of Pennsylvania sendiri mempunyai lebih USD$10 bilion endowmen dan termasuk dalam 10 universiti di AS yang mempunyai endowmen terbanyak. Warwick University di UK membuka pelbagai perniagaan dari kedai, hotel, perkhidmatan persidangan, kedai buku, perkhidmatan runcit dan pelbagai jenis perniagaan untuk menjana pendapatan sendiri. Hasil keuntungan perniagaan ini dipulangkan kembali kepada universiti dengan menambahbaik dan menyediakan kemudahan dan infrastruktur kelas dunia.
Pendidikan keusahawanan di universiti harus dirancakkan. Bidang pengajian lain tidak seharusnya cemburu kerana EU dan semua negara OECD sedar akan kepentingan pendidikan keusahawanan di peringkat tertiari. Program, kursus dan latihan keusahawanan merentasi bidang, di pelbagai fakulti, dalam pelbagai mod dan bentuk diperkenalkan di universiti terkemuka. Contoh inovasi kursus adalah keusahawanan kejuruteraan dan keusahawanan biosains. Kewujudan dwi-major adalah biasa di universiti di Barat dengan tren dwi ijazah semakin menjadi pilihan sama ada di peringkat sarjanamuda mahupun sarjana. Pelajar sanggup menambah tempoh pengajian dan membayar lebih yuran pengajian agar mereka boleh melengkapkan dwi ijazah di peringkat sarjanamuda mahupun sarjana. Malah sebahagain universiti telah mereka bentuk program pengajian sehingga ke peringkat sarjana, tidak terhad kepada peringkat sarjanamuda semata-mata. Kita di Malaysia masih sibuk dengan isu merekabentuk program pengajian dalam tempoh tiga tahun, graduan yang lari daripada membayar pinjaman PTPTN dan kadar pengangguran graduan yang masih tinggi.
Aspek utama Entrepreneurial University adalah pembinaan ekosistem keusahawanan. Infrastruktur asas seperti pusat keusahawanan, bank idea, pusat inovasi, pusat komersilisasi, innovation lab, incubator center, science and technology park merupakan ekosistsm asas di Entrepreneurial University ataupun juga dipanggil hard initiatives. Geran seperti Seed Funding dan geran komersilisasi ditawarkan di dalam universiti atau ditawarkan melalui pelbagai agensi dan syarikat swasta. Pelajar mempunyai peluang untuk memulakan perniagaan semasa di dalam kampus di bawah penyeliaan dan bimbingan pensyarah, usahawan dan pakar industri. Pelbagai dana dan bantuan kewangan wujud dalam ekosistem keusahawanan ini sama ada dana disediakan oleh universiti, pelabur budiman (business angels), pemodal teroka (venture capialist), syarikat swasta, dana awam dan sebagainya.
Pendidikan dalam universiti seharusnya berorientasikan praktikal/tindakan, bukar sekadar teori. Di sebahagian besar universiti ternama di AS, pengajarannya adalah 30% sahaja teori dan 70-80% praktikal/tindakan. Dalam model pendidikan tinggi berasaskan Humboldtian, Napoleonik, Anglo-Saxon dan Anglo-Amerika, kajian menunjukkan universiti terkemuka dunia kini mengikuti Model Anglo-Amerika untuk terus berdaya saing dan berkeusahawanan. Hatta, universiti ternama di Eropah yang diwakili tiga model awal juga membuat pengubahsuaian untuk mengikuti model Anglo-Amerika. Saya tidak mencadangkan Malaysia mengikuti Model Anglo-Amerika sepenuhnya kerana Malaysia punya sistem pentadbiran, ekonomi, dan masyarakat yang berbeza. Sistem pendidikan dan sistem pendidikan tinggi (tertiari) di Malaysia sendiri adalah berasaskan model Anglo-Saxon yang bercampur dengan model Humboldtian, Napoleonik dan Anglo-Amerika. Kita perlukan model kita sendiri mengikut acuan kita sendiri, mengadaptasi amalan-amalan terbaik di Barat, tetapi disegarkan dengan roh dan semangat Islam. Jika kita mengabaikan aspek agama, maka ita juga akan jadi seperti Barat apabila mereka dasar sekularisasi dalam sistem politik dan ekonomi menyebabkan gereja/hal agama 'ditinggalkan'. Dasar dan sistem politik, ekonomi dan sosial mereka semakin hancur kerana bertindak mengikut hawa nafsu dan tuntutan akal semata-mata.
Di Malaysia, kita masih berorientasikan teori (maksudnya kuliah oleh pensyarah) dengan kurangnya unsur praktikal dan pengukuran masih berorientasikan peperiksaan! Bermasalah sungguh Malaysia apabila rakyat kita masih sukakan peperiksaan. Apabila PMR dibuang, masih ramai nak peperiksaan, maka diganti dengan PT3! Apabila keputusan UPSR 2016 diumumkan, ramai ibu-bapa mengeluh kerana keputusan peperiksaan anak mereka kurang cemerlang. Memang peperiksaan penting tetapi jangan dianggap ia begitu penting kerana masih banyak lagi yang amat penting dalam kehidupan kita yang sementara ini. Sekali gagal bukan bererti gagal selama-lamanya. Tidak cemerlang akademik bukan bermakna kita tidak berjaya dalam kehidupan mahupun kerjaya. Saya teringat rakan saya di Birmingham dahulu, Dr. Midhat Nabil, pensyarah di UniMAP. Beliau tidak cemerlang dalam UPSR, PMR dan SPM tetapi mendapat ijazah sarjanamuda kelas pertama, lulus sarjana dan doktor falsafah dari University of Birmingham, UK dan kini bergelar pensyarah kanan di UniMAP. Baca kisah beliau
di sini. Masyarakat Malaysia seharusnya keluar dari kepompong sistem peperiksaan dan dasar kerajaan perlu berubah jika kita ingin maju ke depan. Dunia sudah berubah, hatta negara Vietnam yang dahulunya jauh di belakang Malaysia pun sudah berubah. Bila lagi penggubal dasar dan rakyat di Malaysia hendak berubah?
Penemuan R&D di universiti dan institusi penyelidikan perlu diberi ruang untuk menjadi prototaip sebelum dikomersilkan. Walaupun pelbagai dana telahd isediakan KPT, dana-dana dari universiti, kerajaan, dan industri perlu diperkembangkan dengan kerajaan memberikan lebih banyak insentif fiskal kepada usaha-usaha R&D, sama ada oleh agensi awam, swasta mahpun NGO. Lihatlah perbelanjaan R&D negara berbanding KDNK, kita masih terlalu jauh. Pemimpin kerajaan harus faham bahawa pelaburan ke atas R&D, sepertimana pelaburan ke atas inisiatif keusahawanan tidak mendatangkan hasil dalam masa yang singkat. Bayh-Dole Act di negara kapitalis iaitu AS sendiri mengambil masa sehingga 15 tahun untuk melihat hasilnya, apatah lagi usaha R&D di Malaysia, sebuah ekonomi campuran. Masakan kita dapat menyeberangi lautan luas dengan sebuah perahu kecil. Tetapi jika kita memberikan pendidikan, latihan, kepakaran dan timba pengalaman kepada rakyat kita, perahu kecil akan berubah menjadi bot kecil sebelum menjadi kapal kecil, kapal besar dan kapal kargo. Dengan kapal kargo, kita bisa membelah lautan. Kita telah berjaya dengan Petronas, sebuah syarikat milik Malaysia, digerakkan oleh rakyat kita sendiri, beroperasi dalam industri huluan sehingga hiliran dalam industri minyak dan gas. Kita mampu berubah dan kita mampu berjaya!!!
Semasa pelajar belajar, mereka perlu diberi ruang dan sokongan untuk membuka perniagaan, mula berniaga dan mengembangkan perniagaan. Sama ada secara sambilan, atau kecil-kecilan, di dalam pusat inkubator, dalam makmal perniagaan, di kawasan taman sains, di dalam kompleks membeli-belah yang sebenar, pelajar perlu dibimbing dan dilatih sehingga usahaniaga mereka berjaya. Inisiatif berasaskan pelajar atau disebut soft initiatives ini penting dalam melahirkan graduan berkeusahawanan. Tidak semua graduan akan membuka perniagaan semasa belajar atau sesudah tamat belajar, ada yang mengambil masa 5-15 tahun selepas itu. Tetapi ilmu, pengalaman dan kompetensi keusahawanan yang diserap semasa di universiti itu akan berguna kelak. Hatta pekerja dan pengurus berkeusahawanan adalah lebih berdaya saing berbanding pekerja dan pengurus biasa. Dalam masa yang sama, dasar KPT tidak seharusnya memfokuskan kepada hard initiatives semata-mata kerana dalam jangka panjang, kajian menunjukkan soft initiatives lebih memberikan impak kepada ekonomi dan daya saing negara sepertimana dibuktikan oleh MIT dan Stanford University.
Pensyarah dalam konteks Entrepreneurial University adalah berbeza. Tugas dan tanggungjawab mereka bukan sekadar mengajar dan menyelidik. Mereka seharusnya menjadi pakar runding, pakar rujuk industri, terlibat dalam pembentukan dasar kerajaan, menjalankan kajian dan aktiviti bersama industri, menjadi panel industri, masuk TV membicarakan dan berkongsi kepakaran mereka dengan masyarakat, menggerak aktiviti kemasyarakatan, terlibat dalam membuka perniagaan, menjadi ahli lembaga pengarah syarikat/agensi kerajaan, bahkan menjadi CEO syarikat, sama ada bidang mereka perniagaan, kejuruteraan, sains, teknologi maklumat mahupun sains sosial. Dalam konteks pengajian Islam, pensyarah bukan sekadar pendakwah yang keluar di corong radio atau kaca TV, mereka adalah ilmuan yang membicarakan hukum-hukum baru, menulis di dada-dada akhbar, dilantik sebagai panel syariah pelbagai syarikat dan agensi, dan mensepadukan ilmu bukan wahyu kepada ilmu wahyu. Hatta, negara memerlukan ilmuan Islam yang menguasai ilmu sains dan teknologi sepertimana wujud dalam Tamadun Islam di Baghdad dan Andalusia. Sains dan teknologi, applikasi baru, perisian baru teknologi baru perlu direkabentuk untuk membolehkan manusia mengenal Sang Pencipta, semakin dekat dengan Allah AWJ, bukan semakin jauh dihimpit arus kemajuan dunia. Sememangnya kita mengejar dunia tetapi dunia yang kita kejar itu kita reka dan cipta semula agar ia mengikut fitrah dan Sunnah Allah dan Rasul-Nya.
Antara faktor kejayaan Entrepreneurial University di Barat adalah peranan dan sumbangan alumni. Alumni bertanggungjawab memberikan dana yang cukup besar dalam bentuk endowmen kepada universiti mereka. Sumbangan individu alumni ini dari juta-juta USD sehingga beratus-ratus juta USD seorang. Alumni akan datang dan turun semula ke universiti untuk memberikan ceramah, berkongsi pengalaman mereka secara percuma. Alumni menaja pembangunan bilih kuliah, makmal sains dan teknologi, buku-buku dan bahan-bahan kuliah, kelengkapan makmal, ruang belajar, ruang santai, laluan pejalan kaki, dan juga membina bangunan. Alumni menaja kerusi Profesor dalam bidang yang khusus, menyediakan dana penyelidikan, menaja hadiah Pertandingan Rancangan Perniagaan, menjadi hakim dalam pelbagai aktiviti di universiti, sebagai entrepreneur-in-residence dan expert-in-residence secara percuma. Masyarakat Barat tahu bahawa setiap sumbangan mereka secara percuma akan membawa banyak kebaikan kepada mereka semula kemudiannya. Malangnya kita di Malaysia, usahawan yang sudah jutawan dan kaya-raya masih mengenakan bayaran yang tinggi untuk turun ke universiti. Tanpa imbuhan empat angka sekali datang mereka tidak berminat berkongsi rahsia kejayaan mereka dengan para pelajar, apatah lagi jika diminta memberikan khidmat percuma!!! CEO@University merupakan langkah baik KPT dalam membawa para usahawan kembali menabur bakti ke universiti. Moga-moga usaha memperkasakan peranan dan sumbangan alumni di universiti di Malaysia boleh dilipatgandakan.
Entrepreneurial University memerlukan senibina keusahawanan (entrepreneurial architecture) yang berbeza untuk setiap universiti kerana setiap universiti mempunyai sumber, keupayaan, kekuatan, kelemahan yang berbeza-beza, terletak di lokasi yang memiliki tahap ekonomi, geopolitik dan geostrategik yang berbeza-beza, di bawah tadbir urus kerajaan negeri dan tempatan yang berbeza-beza. Justeru itu, jika KPT mengharapkan universiti berubah dan berdaya saing, KPT seharusnya berubah, dasar KPT seharusnya berubah dan Universiti juga perlu berubah. Perubahan adalah kata kuncinya. Perubahan pertama di peringkat universiti adalah dengan menambah komponen misi berkaitan keusahawanan dan sosio-ekonomi dalam misi Universiti Awam di Malaysia. Penambahan komponen ketiga ini akan mengubah strategi, struktur, sistem, staf, gaya kepemimpinan dan budaya semasa di universiti. Jika universiti mengubah perkara ini, mereka tidak akan berjaya jika KPT dan dasar KPT dan dasar kerajaan tidak berubah.....Panjang lagi, kalau saya nak ulas bab ini. Saya belum bicara dengan menyeluruh tentang dasar kerajaan dan pembangunan wilayah, Triple Helix atau Quadraple Helix, kepemimpinan dan governans, pembangunan manusia, dan keusahawanan akademik serta pendidikan keusahawanan yang merupakan komponen utama dalam konsep Universiti Berkeusahawanan. Saya berhenti di sini dahulu sebagai pembuka bicara.
Kenangan bersama isteri di musim luruh terakhir di Philly sebelum kembali ke Malaysia
pada tahun 2017, Insya-Allah.
Saya bersyukur ke hadrat Allah Taala dan berterima kasih kepada KPT atas peluang diberikan untuk menimba sedikit ilmu dan menambah pengalaman di Wharton School, University of Pennsylvania dan menjalani kehidupan di Amerika Syarikat. Misi saya di AS adalah melihat, mendengar, berinteraksi, peka dengan sekeliling, belajar dan bawa balik apa yang baik dari Wharton School, University of Pennsylvania dan Amerika Syarikat, yang tidak baik saya tinggalkan di AS. Apabila saya lulus ijazah Sarjanamuda Pentadbiran Perniagaan dari UUM pada tahun 1996, dan kemudiannya mendalami ilmu agama, tasawwur (worldview) saya berubah. Apabila saya melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah dalam bidang keusahawanan di University of Essex, UK pada tahun 2006 (10 tahun selepas tamat ijazah pertama), tasawwur (worldview) saya berubah lagi. Apabila saya datang ke Wharton School, UPenn pada tahun lepas (2015), dan setelah setahun sebulan di AS, tasawwur saya berubah lagi. Pokoknya, kita harus bersikap terbuka, sentiasa ingin tahu/belajar, self-motivated dan mempungai kerangka pemikiran yang mampu menapis unsur-unsur yang tidak baik dari Barat, mahupun Timur. Di sebalik 1001 permasalahan dunia Barat, mereka punya kemajuan aqliah yang hebat yang mana ada yang boleh kita pelajari dan amalkan, sama sepertimana ketika Eropah datang belajar semasa era kegemilangan Tamadun Islam di Baghdad dan Andalusia. Wassalam.